Pages

Tuesday, August 28, 2012

NOTA DR PEPPER..?

Panas hari ini hampir mencecah 99 degrees F.  Berpinar-pinar rasa mata Mak Long tidak tahan dengan cahaya matahari. Duduk di luar belakang rumah pasang kipas angin laju pun tidak terasa anginnya.   Masuk dalam rumah sejuk pulak dengan hawa dingin.  Semua suhu tidak secucuk pada Mak Long hari ini!  Sebab sudah tua ke apa semua tidak kena?  Baring-baring terlena pulak......

Hampir satu jam Mak Long terlena... di luar sudah tidak berapa panas lagi.  Angin petang pun sudah ada sepui-sepui.  Baru selesa dan dapat melayari internet.  Pak Long datang ajak kalau Mak Long hendak ikut jalan-jalan dengan motosikal barunya.  Mak Long suka memboncing di belakang, seronok rasa perasan macam orang muda hehehehe.. Bukan orang muda sahaja hendak rasa seronok.  Di Texas ini penunggang dan pemboncing  motosikal dibenarkan menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar.  Tetapi Mak Long tetap pakai topi keledar untuk keselamatan ...mana tahu malang tidak berbau!

Brooooomm.... Pak Long tekan minyak...kuat bunyi broooooom dan lajulah motosikal nih sedikit put tidak gegar duduk di belakang memboncing.  Setelah lama di jalan kami singgah di Sonic restauran (fast food restaurant) ... tekak kami rasa haus.  Sonic restauran sangat popular di Texas dengan jualan berbagai makanan dari burger hingga ke minuman.  Sonic tidak menyediakan kerusi meja tempat makan di dalam restauran seperti retauran biasa. Tetapi ada juga bebebrapa kerusi meja besi di luar bangunan disediakan kalau pelanggan suka duduk dan makan di situ.  Di luar  sekeliling bangunan restauran disediakan beberapa tiang lengkap dengan menu dan butang pesanan di papan tanda pada tiang-tiang.  Kalau hendak bayar dengan kad kredit pun boleh ada disediakan khas di papan yang sama.  Pesan sahaja apa hendak dari dalam kenderaan.  Pak Long tekan butang untuk membuat pesanan.  Suara seorang lelaki menjawab dari corong membesar suara.

Suara:   Yes...may I help you?

Pak Long: One medium..vanilla diet coke easy ice and one medium strawberry tea no sugar, please"

Suara:    Yes sir, vanilla diet coke easy ice and strawberry ice tea no sugar.  anything else sir?

Pak Long:  That's all..

Suara:     That will be $3.55 sir... will be right there..

Sebentar kemudian pesanan kami sampai.  Teh perisa strawberry Mak Long ok sahaja.  Pak Long punya coke ... aisayman... icenya padat hingga ke tutup cawan plastik itu.  Hendak cucuk straw pun tidak boleh masuk..  Tadi pesan "easy ice".. Pak Long minum jugalah dua tiga tegok coke sudah kering tinggal ice sahaja.  Tiba-tiba Pak Long bangun dengan cawannya menuju ke bahagian pembekal restauran.  Dia tunjuk cawan pada pekeja..

Pak Long:  Is this easy ice?  

Pekerja  :  Oh!  my worker must have heard  for extra ice!

Pak Long :  No!  you repeated my order!  (Mesti orang itu sudah ketengee)

Pak Long balik semula di kerusi.  Sebentar datang pelayan bawa minuman Pak Long semula. Hai! lain macam sahaja orang tua nih.  Kedua-dua siku bertongkat di atas meja sambil kedua belah tangan pegang kepala sambil tunduk.  Selalu kalau Pak Long buat perangai macam itu adalah yang tidak kena.   Hmmm...

Mak Long:  Kenapa... 

Pak Long :  Lain macam rasa...

Mak LongL  Dia orang bagi Dr Pepper ke?

Pak Long :  Rasa nih...

Laaa dia orang bagi Pak Long Dr Pepper...... Pak Long marah tetapi tidak berkata apa-apa cuma bangun sambil mencampakkan minuman itu ke tong sampah dengan perasaan hambar....





Harley Davison: Softtail convertible 2012






Friday, August 24, 2012

NOTA GARAGE SALE

Garage sale juga dipanggil yard sale, moving sale, rummage sale dan banyak lagi panggilan yang dinamakan.  Garage sale adalah jualan barang-barang baru dan lama yang tidak diperlukan lagi oleh tuan rumah atau sahaja untuk mencari wang lebih.  Barang-barang yang dijual kebanyakan dan lazimnya seperti pakaian, buku, alat-alat dapur atau rumah dan lain-lain lagi.  Tempat untuk jualan biasanya di halaman rumah, dalam garage, dan di jalan/lorong masuk perkarang rumah masing-masing.  Garage sale tidak perlu lesen jualan dan jualan tidak ada cukai jualan. Tarikh dan masa biasanya dilakukan pada hujung minggu sebelah pagi hingga tengahari sebelum cuaca panas terik.  Barang-barang yang hendak dijual akan dipamirkan atau ada juga yang main lambak begitu sahaja berserta dengan tag harga, ada juga malas hendak letak tag harga.  Mereka yang hendak mengadakan garage sale akan meletakkan papan tanda di tempat-tempat  pasaraya, tepi jalan atau di mana sahaja yang difikirkan orang ramai yang lalu lalang boleh nampak papan tanda tersebut.  

Mak Long suka pergi ke garage sale hanya untuk melihat-lihat kalau ada barang-barang murah yang kami perlu.  Kadang-kadang terlalu murah macam dapat barang percuma.  Penjual kadang kala memang tidak perlu dan tidak hendak lagi.  Pendapat Mak Long garage sale adalah satu aktiviti baik sekiranya tidak perlu lagi barang-barang yang ada dan tidak perlu simpan lama-lama dan menyemakan sahaja.  Di Amerika garage sale menjadi satu tradisi pula.  Orang Malaysia kebanyakan tidak suka beli atau guna barang-barang yang sudah diguna.  Kadang-kadang diberi percuma pun tidak mahu menerima!  "Barang dah lebih baru nak bagi orang.."  Sikap yang sangat merugikan.

Semasa kami tinggal di Freeport, Texas boleh dikatakan tiap-tiap minggu Mak Long dan dua orang sahabat kami pergi garage sale.  Kami mulakan awal pagi sebaik sahaja selepas Mak Long tunaikan solat Subuh.  Kami jadi "early birds" dan akan pergi tidak kira musim.  Kadang-kadang Mak Long dapat beberapa pasang jeans berjenama baik dengan harga USD1 sehelai sahaja.  Masih baru dan ada juga yang belum dipakai lagi.  Murah Kan!

Moral dari nota ini ialah seperti kata-kata ini:  
SOMEONE'S TRASH IS SOMEONE ELSE'S TREASURE




Gambar Garage Sale



Thursday, August 23, 2012

NOTA SARANG SEMUT

Mike sahabat karib kami tengah rajin membersihkan bangunan garage mereka. Orang putih Amerika suka memiliki garage besar-besar.  Lagi besar garage itu lebih baik.  Setengah garage mereka tersusun kemas, rapi dan bersih.  Setengah garage mereka pula.....haiyaaaa hendak lalu dengan mengiringkan badan pun tidak boleh lulus.  Garage rumah kami boleh muat dua buah kereta dan sebuah motorcycle besar tambah perkakas-perkakas pertukangan seperti tukul besi, jack dan lain-lain.  Itu pun suami cakap tidak cukup besar lagi!  Terokkan perangai orang putih nih..........!  

Hari itu Mike sibuk  punggah keluar semua barang-barang dari garage termasuk kereta, truck, motorcycle dan benda-benda lain. Dia guna "blower" (alat peniup kuasa tinggi) meniup bersih habuk, sampah dan sebagainya.  Kalau hendak tahu si Mike ini sombong bodoh orangnya.  Mata dia rabun teruk tetapi tetapi terlalu sombong tidak mahu pakai cermin mata.. Cermin mata ada! Tangan sibuk berkerja dengan blower tetapi mata entah ke mana...hingga di satu sudut garage baru dia perasan ada busut tinggi....sarang semut merah!!  Belum sempat corong blower dialih  hala lain sarang semut sudah melayang berterbangan seluruh garage termasuk dia-dia sekali diselaputi semut dan sarang...  Terjengkit-jengkit macam orang sewel tidak sedar diri tepis kiri dan kanan hendak mengelak dari gigitan semut merah.  Semut merah ini kalau dapat mengetip kita..mati mahu demam sakitnya.  Terkangkang-kangkang Mike menahan sakit sambil kelam kabut berlari masuk ke rumah.  Di rumah Elaine isterinya selamba jer cakap..."hey!  Mike you have ants all over your shirt!". "Dam it woman!!!  I have been eaten alive by ants!"





Moral nota ini ialah supaya berhati-hati membuat sesuatu kerja.  Kalau kita memerlukan sesuatu untuk kemudahan diri baik dari segi kesihatan atau sebagai perlulah digunakan terutama untuk keselamatan.







NOTA JANGAN JADI BATU RONSON!

Mak Long sangat suka internet hubungan alam maya.  Banyak faedah dan kebaikan maklumat yang boleh diperolehi dari internet, semua ada..baik atau tidak baik.  Kalau ingin mengetahui sesuatu keterangan lebih lanjut buka sahaja internet dan layari sepuasnya hingga semua pengetahuan diperolihi.  Internet juga berupaya merapatkan lagi hubungan silaturrahim di antara insan-insan yang berjauhan di antara satu dengan lain. Tetapi ada banyak juga keburukan dan bahaya berinternet.  Pendek kata semua ini adalah teknologi moden yang paling canggih dapat dicipta oleh manusia masakini... Tentunya dengan izin dari yang Maha Esa.....

Hari ini di suatu halaman yang kerap Mak Long jengok yang memaparkan satu kumpulan menarik mengenai perkhawinan campur dari rakyat tanah air Malaysia dengan bangsa-bangsa asing di seluruh dunia.  Sungguh ramai rakyat Malaysia..Melayu, Cina dan India mendapat pasangan dari negara asing.  Salah satu dari tujuan kumpulan ini ditubuhkan ialah untuk kenal suai antara satu dengan lain yang semuanya mempunyai latar belakang hidup adat resam yang berlainan.  Sudah pasti pasangan-pasangan ini akan mengalami beberapa masaalah serta cabaran yang dihadapi ketika saat-saat "transition period" mengubah suai keadaan hidup, cuaca, makanan, ugama dan masyarakat yang berlainan.  Tidak ketinggalan Mak Long sendiri punya banyak penggelaman pahit maung tinggal di negeri orang yang rakyatnya rata-rata berbagai bangsa, ugama dan adat resam.  Kami berpeluang berbincang bersama apabila seseorang dari kumpulan ini menghadapi masaalah dan membantu di mana yang boleh dari segi memberi sokongan, nasihat dan apa-apa lagilah.  Tentu sekali  kumpulan ini mampu memberikan menafaat yang baik.


Tetapi itulah kita hanya sebagai manusia biasa tidak lepas dari kehilapan.  Alangkan lidah lagi tergigit ini kan pun hubungan sesama insan.  Seorang dari kumpulan dipercayai menerima cemuhan yang melukai hati dan perasaan dari pihak kumpulan yang sama juga membawa berita angin dan bermuka-muka.   Mulanya hanyalah berupa perkara kacil.  Tetapi oleh sebab segala pertuturan dilisankan di internet secara publik membolehkan ramai yang dapat membaca dan memberi komen-komen setengahnya mengalakan lagi api yang sedang membakar.  Orang-orang seperti ini nyata tidak selidik terlebih dahulu dan tidak membaca ke semua tulisan asal dan komen-komen terdahulu.  Akhirnya kedua insan yang berselisih faham bertambah tertekan.  Itulah kalau tidak tahu menahu sebab-sebab sesuatu usahlah menjadi batu ronson yang sangat merugikan kita.  

Hendaklah kita selalu beranggapan baik sesama insan.  
Hendaklah berlaku sopan dan hormat di antara satu sama lain.
Hendaklah menghormati fikiran dan keputusan seseorang
Hendaklah kurang berkata-kata daripada banyak cakap.
Hendaklah meneliti semua yang hendak ditulis dan dikatakan (jaga mulut)
Hendaklah fahami segala yang didengar dan dibaca sebelum memberi komen.
Hendaklah tidak menokok tambah pada perkara yang asal
Hendaklah jaga perasaan sendiri supaya tidak cepat melatah
Jangan sekali-kali membuat fitnah
Jangan sekali-kali memburukkan seseorang

Kalau kita jaga dengan baik akan kesederhanaan penampilan diri insyaAllah di mana dan kemana juga kita berada Allah akan lindungi dan selamat.








Tuesday, August 21, 2012

NOTA PUTERI MAK LONG PULANG SABUT HARI RAYA SYAWAL 1433

Dua hari lepas puteri kesayangan Mak Long beritahu dia hendak balik pada hari Khamis ini.  Mak Long rasa sungguh gembira dengar berita baik ini.  Hati ini sentiasa rasa rindu yang amat sangat bila puteri berjauhan.  Mak Long juga rasa rindu pada anak-anak yang berada beribu batu jauhnya.  Hanya keadaan kejauhan sahaja yang jadi misahkan rasa kasih dan sayang serta rasa rindu yang sentiasa menebal di hati.  Rasa hati kalau boleh jasad dan hati ini biasa dibahagi dua sama rata mahu separuh untuk nun di sana bersama mereka dan separuh lagi di sini.  Tetapa mana biasa begitu....  Manusia hanya dapat merancang perjalanan dan warna kehidupan yang diidamkan, tetapi Allah jua yang menentukan segala dan terbaik untuk umatnya.  

Tidak sekali pun pernah Mak Long lupa untuk mendoakan kesejahteraan, keselamatan setiap orang anak-anak.  Apabila mendengar kesihatan mereka terganggu rasa mahu ditukarkan agar Mak Long sendiri sahaja yang menanggung kesakitan dan penderitaan mereka.  Biarlah mereka sentiasa sihat dan sejahtera.  Setiap kali menghadapi rezeki yang enak-enak di depan mata Mak Long terkenangkan mereka semua...makankah mereka, kenyangkah perut mereka, alangkan seronoknya kalau dapat bersama-sama menikmatan juadah ini, dan apa-apa lagilah yang terlintas di hati.  Semasa kecil Mak Long dididik sentiasa berkongsi setiap rezeki makan dan minum bersama-sama adik beradik dan keluarga.  Kalau sedikit bagi seorang sedikit, semua mesti merasa... ya  kami diajar begitu.  Sekiranya salah seorang dari kami tiada ketika itu, bahagiannya mesti disimpan dan diberi padanya bila dia balik.  Bukan hanya makanan sahaja, semuanya mesti dikongsi.

Hari itu ketika menunggu ketibaan kesayangan Mak Long berzikir dan berdoa agar perjalanan puteri selamat sampai kerumah.  Alhamdulillah.... hey dia sudah sampai dan leganya hati sudah dapat menatap dan mendakap buah hati yang dikasihi....my road runner!






Peet! Peet!  Here comes the road runner




Monday, August 20, 2012

NOTA SAJAK BULAN RAMADHAN


Sempena bulan Ramadhan yang mulia tahun 1433 ini Mak long terbaca sajak ini yang dinukilkan oleh seorang hamba Allah bernama Musa Burki di dalam bahasa inggeris dari alam-maya.  Mak long suka nukilan beliau dan ingin bersama kongsi-konngsi membaca bagi sesiapa yang berminat dengan sajak.  Mak long tidak pandai buat sajak...baca pandailah.... 

Ramadhan tahun ini sungguh bermakna sekali dalam hidup Mak Long.  Belum pernah dirasakan betapa indah dan manis fadilat berpuasa bagi insan-insan yang benar-benar berusaha dapat menhayati dan melakukan dengan penuh keikhlasan hati.  Walaupun berjauhan dari sanak saudara, Emak dan keluarga tercinta, juga berjauhan dari umat-umat Islam yang lain serta masjid untuk meluaskan keinginan beribadat  Mak Long merasa kenikmatan bulan mulia ini sendirian di rumah kami.  Alhamdulillah..... wahai Tuhanku hamba MU ini amatlah bersyukur dengan anugerah MU..... dengan kesihatan yang sihat walaupun kekurangan pengelihatan mata yang belum pulih seperti biasa tetapi dapat hamba kerdil dan hina ini mengerjakan dan menunaikan ibadah yang tidaklah seberapa dibandingkan dengan hamba-hamba mulia Mu yang lain.  Terasa kesedihan apabila bulan Ramadhan sudah sampai ke akhirnya dengan memberi kemenangan melawan dan menundukkan hawa nafsu yang sentiasa menguasai hati manusia.  Harapan semuga ibadah diterima Ya Allah..ya Rabbi....Amin ya rabbal 'alamin.......


Begini bunyinya :


RAMADHAN POEM

A time for our hearts to become unsealed
Reflecting on the divine words revealed
The month which we hope to never end
Unable to count the infinite blessings it sends

Asked by our Lord to give up worldly pleasures

So that we may receive His divine treasures
It's  a time that comes but once a year
Yet the moments which we hold most dear

The nights spent in prayer and reflection
Prepares the soul for redemption
Praying go our Creator for mercy and wisdom
Pleading to be admitted into His kingdom

We welcome you, O Ramadhan, with joy as our quest
Having to subdue our egos as a test
You mend our hearts and give us tranquility
As we engage in battling our iniquity

Solidifying the bonds of kith and kin
Washing away the stain of sin
Fasting not only of body but of speech
It is Your benevolence which we beseech

O Ramadhan, you have blessed us with your presence
Teaching us to grow from our spiritual adolescence
Continue to be the month which will always bless


By Musa Burke



Masjid di Al Jubail, Saudi Arabia






Saturday, August 18, 2012

NOTA JUMPA DOKTOR

Di samping menjalani ibadah berpuasa bulan Ramadhan bersamaan bulan Ogos 2012 tahun ini adalah bulan yang sibuk bagi kami.  Beberapa aktiviti dan temujanji dengan doktor sebagainya memenuhi jadual harian kami.  

Pertama sekali suami Mak Long menerima tawaran untuk suatu tugas di Negara Saudi Arabia dalam perindusterian carigali minyak dan gas.  Dalam hati Mak Long rasa gusar juga ...eh bukankah kita sudah berbincang dahulu dia akan bersara?  Mak Long khuatir umurnya sudah lebih enam puluh empat tahun, memang sudah patut bersara pun.  Tetapi pujuknya pada Mak Long .."Maybe it is a good idea I accept this job... besides helping our friend in need of cash, we will have a comfortable cursion for our financial side......."  Hmmm betul juga, rezeki Allah beri.  Kita mesti terima dengan kesyukuran.

Setelah sepakat bersetuju suami menerima tawaran tugas itu kami mula membuat persedian.  Suami perlukan beberapa perkara sebelum bertolak ke Saudi Arabia.  Pertama sekali membuat temujanji dengan doktor kami di Angleton untuk membakar beberapa tanda merah dan tahu lalat di muka dan di ulu lengannya dikhuatiri tanda barah kulit.  Kebetulan Mak Long pun ada temujanji dengan doktor pakar jantung di Angleton juga pada hari yang sama. Langkah baik sekali.  Pada tiga belas haribulan Ogos kami ke Bandar Alvin sehari lebih awal kerana perjalanan ke sana mengambil masa lebih kurang empat jam lebih.  Kami bermalam di rumah sahabat baik Mike dan Elaine Raymer.  Sebenarnya malas Mak Long hendak bermalam di rumah mereka.  Bukan Mak Long sombong atau memilih kerana rumah mereka rumah "trailer" sahaja.  Tetapi bermasaalah untuk Mak Long hendak menunaikan solat dan sebagainya.  Mereka bela anjing dalam rumah, Mak Long tidak selesa tambahan di bulan puasa ini ....

Rawatan kami berjalan dengan baik.  Suami menerima bakaran hydrogen enam tempat...empat di muka dan dua di ulu tangannya.  Dari keputusan rawatan EKG dan ultra sound Dr Salim Dabaghi yang merawat Mak Long memberitahu air/lendir yang membaluti jantung sudah pun kering dan pulih kembali.  Alhamdulillah lega hati!   Nasihatnya agar Mak Long teruskan memakan makanan sihat dan senaman.  Satu lagi ia mahukan Mak Long menjalani ujian darah supaya boleh ditentukan dos perubatan kolestrol.  

Mak Long memikirkan rawatan mata masih belum lagi selesai.  Buat masa terdekat ini masih lagi berulang alik ke kelinik rawatan mata untuk rawatan seterusnya.  Kalau dia sudah jauh di negara asing masaalah juga bagi Mak Long hendak berulang alik memandu kereta.  Buat ketika ini kedua-dua belah mata walau pun berupaya melihat tetapi masih tidak jelas dan Mak Long bermasaalah untuk membaca jauh dan dekat.  Dia minta bantuan dari sahabat rapat kami agar datang membantu Mak Long apabila perlukan pergi ke kelinik. Elaine bersetuju.  Tetapi masaalahnya dia ini mahu ambil kesempatan pula.  Apabila kami bertemu, dia berkata.."sebelum rawatan lasik awak..kita boleh sewa bilik hotel di River Walk dan enjoy..lepas itu saya hantar awak ke kelinik dan bila beres kita boleh enjoy lagi di tempat lain.."  Tentu sahaja dimaksudkan saya menanggung perbelanjaan.  Hey mangkok ini cantik muka!!  Tidak sedar diri betul!  Tidak ingatkah dia bahawa kami berdua sentiasa membantunya sekeluarga tidak pernah mengira waktu dan tidak meminta balasan sedikit pun.  Kami bantu dengan keikhlasan baik dari segi tenaga mahu pun kewangan.  Sedih rasa hati Mak Long.....  Hari ini Mak Long perlu bantuan kerana kesihatan diri tetapi orang lain mahu ambil kesempatan untuk kesenagan sendiri.  Entahlah macam-macam manusia ni ye....

Sebaliknya dari Alvin, esoknya pula Mak Long ada temujanji dengan pakar doktor mata Dr Burn.  Rawatan ini untuk menguji tahap pengelihatan mata bagi persedian rawatan lasik yang akan ditetapkan tarikh dan masanya nanti.

Suami pula membuat pemeriksaan mata untuk mendapatkan kaca mata keselamatan bila bertugas nanti.  Kemudian ke kelinik gigi yang berhampiran dengan rumah kami.  Hee hehehe service gigi ddaaa..

Hari ini pula adalah hari terakhir mengerjakan ibadah berpuasa.  Esok menyambut Syawal pertama..Eid Mubarak!!

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRY!!!!!








Friday, August 17, 2012

NOTA AIR BATU BULAN PUASA

Malam semalam sambil duduk makan berbuka puasa Mak Long teringatkan zaman kanak-kanan waktu musim bulan puasa dahulu di kampung belum ada kemudahan tenaga leterik.  Kami guna pelita atau lampu pam guna minyak tanah untuk mendapatkan cahaya waktu malam.  Bila tenaga letrik sudah ada pun tidak ada orang kampung yang mampu untuk membeli "ice box" (peti sejuk).  Kalau ada pun satu, dua keluarga sahaja yang mampu.  Keluarga Mak Long tidak mampu mempunyai ice box. Bahan daging, ikan basah semua dibeli tiap-tiap hari dari kedai orang China atau dari apek jual ikan dengan berkayuh basikal sahaja.  Motorsikal orang kampung belum ramai yang memiliknya.  Semua main kayuh basikal. Waktu petang apabila hampir beberapa jam sebelum berbuka adalah dua tiga budak-budak muda berkayuh basikal menjual air batu ketul yang berbalutkan habuk papan.  Air batu itu dipotong besar kira-kira dua belas inci persegi lebihkurang saisnya.  Kemudian dibalut dengan habuk halus papan supaya tahan lama dari menjadi cair.  Bertong-tong ketul air batu mereka bawak.  Kasihan juga tengok mereka tolak basikal sarat dengan air batu.  Mencari rezeki yang halal kan.....

Kling!  Kling!  Kling!  locing basikal mereka...".air batu, air batu, air batu"...Mak Long akan kelang kabut belari merengik minta duit dengan Emak.  Kadang-kadang kalau Emak ada duit lebih dapatlah Mak Long beli air batu ketul itu.  Kadang-kadang selalunya hampa sahaja.  Emak kata "cukup-cuckuplah tu..tak baik minum air batu selalu... dapat batok nanti!!."  Kita budak-budak manalah reti dan faham..tahu ada aje.  Bila dapat beli air batu itu sungguh gembira sibuklah merendam biji selasih kegemaran kami sekeluarga kemudian campurkan air berperisa oren dan air batu dalam besen besar.  Air batu itu sebelum digunakan mesti dicuci dengan air bersih dahulu baru boleh diminum.  Air itulah yang mula-mula Mak Long terkam walaupun Emak kata jangan minum banyak-banyak nanti badan akan rasa letih dan perut kembong.    Mak Long masa kecil-kecil puasa tau.  Bukan puasa "yang-yok" Mula-mula belajar puasa setengah hari sahaja.  Aduuuh hendak sampaikan waktu berbuka punyalah seksa, baring salah, duduk pun salah....adui kelaparan macam sudah hendak separuh mati rasanya.... Kempis habis perut Mak Long, bibir pun pucat lesi, hendak angkat tangan pun sudah tidak larat.  Teruk Mak Long ni kan!!

Kanak-kanaklah yang paling gembira dalam bulan Ramadhan.  Tiap-tiap malam bila kaum bapa pergi ke masjid mengerjakan solat sunat Terawih ramailah budak-budak kampung ikut sama ke masjid.  Bukannya ikut bersolat tetapi bersuka-suka "main galah" dan "kok-nai"  sukan traditional lama.  Rioh rendah hingga kena tegur kerana menganggu orang bersolat.  Selepas habis solat Terawih biasanya adalah jamuan juadah yang disediakan.  Lazimnya juadah ini berupa bubur kacang hijau, bubur lambuk, dan lain-lain lagi.  Penduduk kampung bergilir-gilir dan berkongsi dua atau tiga orang menyediakan juadah mengikut pilihan sendiri.  Satu masa Wak pernah berkongsi dengan Pak Ngah Usop masak bubur kacang hijau campur pisang dan bijiran sagu liap.  Kerja memasak dilakukan di rumah Pak Ngah kerana berdekatan dengan Masjid.  Ketika itu rumah lama Pak Ngah Usop di sebelah rumah Atok Cik Asim di Sungai Budu.  Lampu-lampu kecil mula dipasang di tepi jalan masuk ke rumah masing-masing.  Terang benderang keliling kampung dan budak-budak lelaki pula mula bermain meriam buluh.  Seronok dan meriah tau.  Emak-emak pula semua sibuk membuat kuih raya...bahulu cermai, kuih bangkit, wajik dan lain-lain jenis kuih lama terutama dodol mesti ada.  Emak biasanya buat ala kadar sahaja.  Tetapi ketupat mesti ada.  Wak dan Emak akan sibuk kejar ayam untuk disembelih hendak masak kari.  Emak pandai anyam berbagai jenis ketupat daun kelapa muda.  Mak Long ambil peluang belajar anyam ketupat... ketupat satey, ketupat bawang, ketupat sara dan ketupat ayam jantan semua Mak Long boleh anyam dan tidak pernah lupa hingga ke hari ini.  Apek Bak Hor (tokey kedai roncit di kampung) selalu bagi tiga, empat tong air lemoned (air bergas) berbagai perisa.  Paling Mak Long suka ialah air jenjal skerim soda (air bergas perisa ice cream soda).  He he he nama pelik-pelik kan...orang kampung ler.....  Orang Muar, bahasa percakapan lain sikit!

Bila hari raya sudah hampir, ramai ibu bapa sibuk membeli belah untuk baru raya.  Emak dan Wak jarang beli baju raya untuk kami sekeluarga.  Pakai mana yang masih ada asalkan tidak koyak.  Mak Long tidak kesah ada baju baru ke atau tidak raya tetap raya.  Makan sepanjang hari sampai bentak!  Pergi setiap rumah saudara mara mesti makan punya tidak pernah tolak!  Bila malam terbongkah kekenyangan.  Memang tidak senonoh punya peranai.....







Gambar hiasan di kampung suatu hari raya





NOTA PUTERI MAK LONG PULANG BERHARI RAYA SYAWAL 1433

Dua hari lepas puteri Mak Long talipon, katanya dia hendak balik beraya pada hari Khamis ini.  Hati Mak Long bukan main gembira menerima berita baik ini.  Tidak sedah air mata meleleh di pipi yang muda berkerepot pun.  Mak Long sentiasa merindui puteri buah hati kesayangan.  Anak bungsu, manja dan menambat hati yang sepi.  Mak Long juga sentiasa rindu dan terkenang kepada anak-anak yang jauh beribu batu....sihat ke, makan ke, ada duit belanja ke .... ah macam-macam bermain di kepala ini.  

Semalam ialah hari Khamis.  Puteri talipon lagi dia akan sampai lambat sedikit kerana ada hal sedikit hendak menolong kawan katanya.  Tidak mengapalah asal puteri Mak Long pulang.  Setiap lepas solat Mak Long berdoa supaya Allah selamatkan perjalanan puteri sampai ke rumah.  Sebaiknya selepas Mak Long Solat Asar puteri pun sampai.   Alhamdulillah..Mak Long ucapkan kesyukuran.  Puteri Mak Long sudah sampai!!

Kami berbuka kuetiaw goreng makan dengan sambal kacang Mak Long masak seperiok.  Rendam air selasih baru ingat ada tersimpan di rak simpan bahan makanan kering.  Ada buah kesukaan tembikai lagi yang dibeli ketika Mak Long bertandang di Alvin berjumpa doktor pakar jantung Dr Salim Dabaghi.   Sedap dan berselera sungguh Mak Long makan dengan puteri.  Oh ye Mak Long jumpa doktor untuk pemeriksaan tahunan dan menyambung prescription ubat kolestrol.  Alhamdulillah cecair yang membaluti jantung sudah tiada lagi.  Mak Long hanya perlu jaga permakanan yang sihat dan bersenam.  Tidak ada masaalah kerana Mak Long pun memang jaga permakanan dan rajin bersenam, kayuh basikal dan berjalan setempat di atas Noditrac.  Mak Long hendak jaga kesihatan.  Mintal sentiasa sihat hingga ke akhir hayat.








Wednesday, August 8, 2012

NOTA PUTERI BUNGSU MAK LONG PULANG

Sudah beberapa hari Mak Long lepak, berasa malas dan sedikit letih berpuasa di bulan Ramadhan yang mulia tahun ini.  Cuaca musim panas kali ini mencecah lebih 100 degree F hampir setiap hari.  Walaupun begitu Alhamdulillah Ramadhan tahun ini Mak Long dapat menunaikan ibadah dengan tabah dan kesabaran.  Dapat juga Mak Long menunaikan beberapa ibadah untuk diri.  Biasanya setiap pagi selepas bersahur dan solat Subuh Mak Long membaca email yang tiap-tiap hari berlambak sampai entah dari kawan-kawan dan kenalan dari alam maya.  Mak Long seronok dan leka membaca dan melihat gambar-gambar cantik yang dipaparkan mereka.  Sekurang-kurangnya membantu menghilangkan sedikit rasa rindu dan sayu kepada keluarga dan kampung halaman tercinta.  Sudah banyak tahun Mak Long tidak dapat berhari raya di kampung halaman.  Setiap kali balik Malaysia tidak terkena bulan-bulan Ramadhan dan Syawal.  Mak Long merindui Emak yang sedang uzur.  Mak Long merindui anak-anak tersayang setiap masa.  Di sini walaupun tidak berapa jauh jaraknya rumah dengan puteri bungsu, Mak Long tidak juga dapat bersama dengannya setiap hari.  Setiap hari hati Mak Long diulit perasaan rindu, rindu, rindu semuanya!!!

Beberapa hari lalu puteri bungsu beritahu Mak Long ... puteri bungsu hendak balik di hujung minggu.  Hati Mak Long suka sangatlah dengar anak kesayang hendak balik.  Mak Long fikir hendak masak masakan kegemarannya.  Mak Long buatkan kari puff dan popia kemudian dibekukan supaya dapat dibekalkan nanti bila dia balik ke rumahnya semula.  Macam-macam bahan makanan kering sudah Mak Long sedia dan simpan untuk puteri bungsu...beras, cili kering, madu, pasta dan lain-lain.  Hati ibu selalu risau dan tidak mahu puterinya berperut kosong bila berjauhan.  Maklumlah kalau sudah berjauhan macam-macam perasaan mendatang di benakan.  Allah sahaja yang tahu.   Mak Long tidak berdaya hendak memberi lebih dari yang mampu untuk perbelanjaannya dan saraan hidupnya di sana.  Juga mengharapkaan puteri bungsu belajar hidup berpada-pada dan cuba berdiri di kaki sendiri.  Itupun sangat bersyukur kerana masih ada yang sanggup membantu kami di rantauan.

Kemudian bila hujung minggu berhampiran, puteri bungsu memberitahu dia tidak dapat pulang lantaran banyak kerja (projek sekolah katanya) masih berlambak perlu dilaksanakan.  Katanya lagi, kalau dia balik hujung minggu ini nanti hari raya dia hendak balik lagi.  Habis duit minyak sahaja katanya...hmm.  Walaupun begitu Mak Long faham dan menghormati keputusannya walaupun hati ini mulai hampa sedikit.  Tidak mengapalah sambil memujuk hati esok-esok baliklah.  Mak Long sentiasa maafkan anak-anak ..nanti hari raya baliklah tu.  

Tengahari Jumaat, tiba-tiba pintu diketuk beberapa kali.  Mak Long ingatkan suami saja-saja mengusik dan tidak Mak Long hiraukan.  Pintu dibuka....di depan pintu hala-mak tercegat gadis manis puteri kesayangan Mak Long dengan senyuman manis meleret..... Puteri bungsu Mak Long sudah pulang!  Oh!  Tidak perasan air mata gembira membasahi pipi...  Puteri bungsu Mak Long pulang.  Syukurlah kepada ILLAHI yang maha mengetahui dan maha mengesihani...

ALLAH HU AKBAR!  ALLAH HU AKBAR!





Puteri Bungsu kesayangan 




Sunday, August 5, 2012

NOTA DI RUMAH WAK SAMAD

Zaman kanak-kanak memang seronok, tidak pernah memikirkan masaalah hidup.  Janji perut kenyang, tidak sakit dan dapat bermain walaupun tidak ada bahan permainan seperti kanak-kanak sekarang.  Masa kecil Mak Long suka main pondok-pondok.  Suka main tanah yang dihancurkan jadi debu kemudian campur air jadikan dough dan bentuk macam-macam seperti periok, lagan batu, pinggan dan lain-lain. Bermain seorang pun boleh jadi..berangan-angan macam-macam, bercakap sorang-sorang.  Pernahkah kalian melihat kanak-kanak sering bercakap sendirian?  Menyanyilah, beraksi bermacam-macam gaya.... pernah Mak Long lakukan semua itu semasa kecil dan masih ingat hingga kini.  Habis tanah bawah rumah Atok Salleh dan rumah kami Mak Long gali buat mainan sampai kena marah.

Satu masa Mak Long ikut Wak Samad balik ke rumahnya.  Lama Mak long berada di rumah Wak Samad di Sungai Bilah.  Dua orang emak saudara iaitu anak Wak Samad dengan isteri keduanya hampir sebaya dengan Mak Long.  Mak Itam hanya empat puluh hari lebih tua dan Mak Adah mungkin setahun lebih muda.  Rioh rendah rumah Wak Samad dengan ketawa riang kami setiap hari.  Keluarga Wak Samad besar....isterinya Mak Eena, emak mertuanya Tok Gelegek (Mak Long tidak pasti nama sebenarnya); anak-anaknya ketika itu ialah Pak Andak, Mak Itam, Mak Adah dan Pak Kahal.  Waktu malam kami tidur tiga orang di atas ranjam (katil) besi di ruang rumah besar.  Mak long diberi sehelai kain batik untuk selimut bila sejuk. Kami berceloteh macam-macam serta ketawa berdekah-dekah sampai tertidur.  

Pagi-pagi buta kami sudah bangun makan sarapan dan minum kopi manis... Bukan basuh muka atau gosok gigi pun main bedal sahaja. Wak Samad pula awal pagi sudah turun ke kebun atau ke sungai melihat lukah dan bubunya kalau-kalau mengena.  Selalunya dapat banyak rezeki seperti udang galah dan beberapa jenis ikan sungai.  Mak Long suka makan udang galah.  Ketik udang yang besar-besar itu kami bakar atas bara api di dapur... Kena bebel dengan Mak Eena sebab menyebok di dapur dia hendak masak.  Orang tua itu masam muka dia sambil bersunggut apa entah?!  Ada kami pedulik!  Bukalah kami tidak hormat padanya...kami hormat padanya.  Tetapi namanya kanak-kanak bukan? Bila sudah bergeng jadi beranilah.  Mak Long sebenarnya tidak berani melawan atau berolok-olok dengan orang tua-tua.  Emak sudah pesan sebelum ikut Wak Samad balik Mak Long tidak boleh berlaku nakal dan jangan jahat-jahat.    Mak Long ingat pesan Emak.  Sebab itu bila Mak Eena bebel Mak Long diam dan pergi tempat lain.  Biarkan anak-anak dia dengan emak mereka bukan urusan Mak Long.  Waktu masa-masa beginilah Mak Long teringat dan rindu pada Emak.  Rasa hendak balik ketika itu juga.  Kadang-kadang Wak Samad dapat ikan tapah, ikan tilan, ikan sembilang dan lain-lain jenis ikan sungai.  Mak Eena masak asam rebus tarok nenas sedapnya... Meleleh air lior terbayang-bayang lauk itu di hadapan mata.

Kami kanak-kanak yang aktif jarang tidur waktu siang hari walaupun disuruh tidur.  Di sebelah rumah Wak Samad adalah kebun getah seorang Jawa dan setiap hari kalau tidah hujan tuan tanah akan menoreh getah.  Sebelum tengahari dia sudah siap membangkit susu getah.  Sebelah petang kami bertiga  pula membangkit getah susu yang tidak habis keluar ke cawan getah.  Kami kumpulkan masuk ke dalam baldi kecil kemudian dibahagi tiga dan kami bekukan jadi segerap buku.  Banyak jugalah kami kumpul getah buku itu, kemudian kami jual dengan seorang apek Cina yang datang tiap-tiap bulan ke rumah Wak Samad membeli getah keping yang sudah kering hasil kebun getah di sekeliling rumahnya.  Kami pun sibuk menjual getah buku kami!  Tidak siapa pun menegor perbuatan salah kami hinggalah suatu hari Wak Samad cakap kami tidak boleh lagi kutip susu getah orang...berdosa!!!  

Sebelah pagi setiap hari kami mesti tolong Mak Eena membasuk kain baju sekeluarga, guna sabun buku cap kapak di atas pelantar kayu tepi kolam.  Sabun kurang berbuih kerana air kolam itu masam-masam sedikit rasanya.  Adohai....penat menyental kain kotor sampai melecir jari dan tangan Mak Long.  Membilas kain satu lagi kerja berat kemudian menjemur di ampai.  Kami bergilir-gilir menimba air dari kolam dengan baldi menggunakan cangkok kayu kerana tebing kolam itu agak tinggi sedikit.  Kalau jatuh dalam kolam itu mampus mati lemas.  Mak Long tidak berapa mahir buat kerja begini dan terasa beratnya tugas yang diberi. Seriau bila tengok ke dalam kolam dari tebing...takut terjatuh dalamnya.  Mak Long tidak pandai bernang ketika itu.  Mak Eena pula, Mak Longlah yang banyak disuruhnya mencedok air itu.  Rasa hendak menangis!!   Agaknya dia lebih suka tengok cucu tiri ini mati lemas jatuh dalam kolam itu!  Itulah yang Mak Long rasa ketika itu. Di sinilah juga tempat kami mandi-manda setiap pagi dan petang. Kolam ini digali untuk sumba air utama kegunaan keluarga.  Besar dan dalam serta jernih air kolam tersebut.  Wak Samad tidak tahu Mak Long dikerah mencedok air dari kolam!  Bila sudah balik ke rumah kami di Kampung Jorak Mak Long cerita pada Emak.  Beliau hanya geleng kepala dan cakap "...itu ler gemo beno nak ikut pegi sana!!.."








Rumah Wak Samad di
Kampung Sungai Bilah, Bukit Gambir, Muar
Bergaya dengan biola itu Pak Utih Man adik Emak


Friday, August 3, 2012

NOTA NAIK PERAHU DI SUNGAI MUAR

Pernahkah kalian menaiki perahu dan berdayong di permukaan air?  Mak Long pernah menaiki perahu banyak kali juga.  Kedua-dua atok Mak Long mempunyai perahu masing-masing.  Perahu mereka dibina dengan keringat mereka sendiri.  Perahu juga adalah salah satu daripada kenderaan penting di zaman Mak Long membesar.  Jalan raya masih belum banyak dan cangih seperti sekarang untuk menghubungi sesuatu tempat ke satu tempat lain.  Jambatan tidak banyak yang dibina lagi untuk menyeberangi sungai.  Kenderaan moden juga belum banyak bilangannya.  Jadi perahulah jadi kenderan penting bagi penduduk-penduduk kampung khasnya untuk berulang alik ke pekan, menyeberang sungai dan sebagainya.  Bagi Atok Salleh perahu digunakan untuk menyeberangi sungai apabila dia pergi menjengok dan membesihkan kebunnya di Kampung Seberang.  Selain daripada itu dia menggunakan perahu untuk pergi mengail dan menangkap ikan dan udang galah.  Wak Samad pula perahu memainkan peranan yang sangat penting sekali baginya.  Kerap dia berulang-alik dari rumah tempat tinggalnya di Kampung Sungai Bilah, Bukit Gambir ke beberapa tempat lain terutama ke Kampung Jorak menjengok kami sekeluarga.  Selain dari itu seperti Atok Salleh, Wak Samad memasang lukah, bobo, jerat dan mengail ikan.  Di Sungai Muar, kalau rajin berusaha memang banyak rezeki boleh diperolehi darinya. 

Suatu hari Wak Samad (kadang-kadang kami panggil dia Wak Sungai Bilah) datang lagi menjengok kami.  Dia biasanya kalau datang mesti bermalam di rumah kami.  Yalah tak kan hendak bermalam di rumah orang lain pulak sedangkan ada rumah anak sendiri.  Mak Long paling seronok Wak Samad selalu datang sebab suka bermanja denganya.  Biasalah tidak pernah dia lupa membawa buah tangan untuk kami sekeluarga.  Limau manis dengan kuih China (kuih berbungkus kertas merah dipanggil kuih "cher ki") tidak pernah lupa untuk Mak Long.  Masa ini Mak Long tidak ingat sama ada Mak Long sudah bersekolah atau belum.  Mungkin belum kot....  Kali ini bila Wak Samad hendak balik, dia tanya kalau Mak Long hendak ikut dia balik ke Sungai Bilah sebab perahu dia kosong.  Sudah tentulah hendak!  Tanya-tanya pulak!!  Emak bekalkan beberapa helai baju (bukan ada banyak baju pun cuma dua, tiga helai).  Mak Long tidak pernah kesah pun tidak ada baju banyak.  Yang ada itu pun sudah mencukupi.  Biasanya Emak yang jahit baju. jahit dengan tangan lagi...  Seluar dalam pun Emak buat tidak pernah berbeli.  Kadang   perca kain lebih Emak ambil upah menjahit atau kain uncang beras cap kunci yang sudah dicuci bersih dibuat seluar dalam Mak Long.  Pernah bayangkan kalian pakai seluar dalam dibuat dari uncang beras?  Baju dalam tidak pernah pakai lagi.  Emak bungkus sahaja baju-baju Mak Long dengan sapu tangan besar macam dia bungkus bekal makanan.

Kami bertolak dari rumah sudah petang sangat hampir waktu Maghrib.  Wak tolong hantar kami dengan basikalnya hingga ke Kampung Selabi iaitu kampung berjiran dengan Kampung Jorak.  Dari situ kami terpaksa berjalan kaki sedikit hingga ke pengkalan perahu dilabuhkan.  Rupa-rupanya bukan Wak Samad dan Mak Long sahaja yang akan menaiki perahu malam itu.  Tok Cik Aboh anak saudara Wak Samad sudah sedia menunggu kami di pengkalan.  Di dalam perahu ada beberapa barang sudah siap letak dan susunnya.  Tok Cik Aboh dan Wak Samad duduk di hujung dan pangkal perahu dengan batang pengayuh dan Mak Long duduk di tengah-tengah bahagian perahu.  Suasana sudah mulai gelap hanya balam-balam sahaja kelihatan.  Adoh!  Nyamok banyak!!  Habis telinga Mak Long kena gigitlah....

Mereka bergilir-gilir mengayoh di tengah-tengah sungai dan perahu kami mengelongsur perlahan-lahan.  Mesti lengoh tangan mengayoh tidak berhenti.  Wak Samad tidak bagi bising-bising, katanya nanti takut buaya timbol.  Dalam sungai Muar ada banayak buaya tau.  Orang kata kalau di sungai ada banyak udang galah bermakna ada banyak buaya di situ.  Tidak tahulah kalau ini faktor benar?  Tidak ingat berapa lama perjalaan itu, sampai tertidor jugalah Mak Long dalam perahu itu berbantalkan barang yang disusun itu.  Malam itu bulan tidak berapa terang tetapi pemandangan di sungai terang seperti bulan sedang mengambang penuh.  Di kiri kanan sungai banyak pokok-pokok besar dan kecil jelas kelihatan.  Di antaranya pokok putat, pucuknya sedap dibuat ulaman.  Di rimbunan pokok-pokok inilah berjuta-juta ekor kelip-kelip menerangi kawasan.  Sungguh cantik seperti lampu lip-lip mengelip di sana sini.  Tidak jemu Mak Long menikmati suasana yang sebegitu indah dan syahdu diulit dengan bunyi air apabila dipukul pengayuh perahu.  Angin pun bertiup sempui sahaja.  Susana malam yang indah dan damai.  Setiap bulan December waktu perayaan Hari Natal di Amerika Syarikat Mak Long mesti ingat tentang kelip-kelip.  Orang Amerika merayakan Hari Natal dan mereka menghias rumah mereka dengan lampu-lampu kecil dan besar yang berwarna warni cantik di sekeliling rumah dan kawasan.  Cantik tetapi indah lagi lampu kelip-kelip asli ciptaan Illahi.

Kami selamat sampai di pengkalan perahu di Sungai Bilah.  Wak Samad dan Tok Cik Aboh memunggah barang-barang dari perahu dan mereka kandar semuanya depan dan belakang kayu kandar.  Nampak berat!  Apa entah yang mereka bawak dari Jorak?  Kali ini Mak Long tidak dapat berdokong dengan Wak Samad.... kena jalan kaki sendiri daa...penatlah!  Jauh pulak hendak sampai ke rumah.  Kami sampai di rumah sudah lewat malam..semua ahli keluarga sudah tidur.





Sekadar hiasan 
Sungai Mersing, Johor

Thursday, August 2, 2012

NOTA MAKAN ANGIN KE SINGAPORA

Mak Long seronok menjadi cucu perempuan pertama dalam keluarga kami.  Apa-apa semua dapat lebih dari yang lain.  Atok Salleh dan Tok Keti adalah datok sebelah Wak.  Atok Salleh menoreh getah sebelah pagi dan sebelah petang pula beliau suka pergi ke sungai pasang lukah tangkap udang galah dan ikan.  Kadang-kadang duduk di rumah memotong dan meraut buluh dan rotan untuk membuat jerat, lukah dan bobo udang galah dan ikan.  Bila jerat dan lukah mengena tidak perlulah Atok pergi ke pekan Jorak membeli ikan atau lauk lain.  Kekadang Atok senang duduk berborak-borak dengan orang-orang kampung sambil minum kopi di kedai kopi di pekan Jorak.  Bila musim durian dan duku Atok Salleh sibuk menjaga tupai dan keluang di kedua-dua dusunnya.  Kalau tidak ke mana-mana atau tidak membuat kerja lain Atok suka duduk di rumah sahaja bersama-sama Tok Keti.  Kalau sudah mula berborak, mereka berdua ini rioh rendah bunyinya macam ada ramai orang di situ.  Atok Sitam emak tiri kepada Tok Keti sering bertandang tidur di rumah Atok, lagilah porak bunyinya mereka bersembang, sungguh mesera perhubungan mereka.  


Atok Salleh murah rezekinya.  Selalu juga beliau berjalan makan-makan angin membawa keluarga pergi ke beberapa tempat.  Satu daripadanya ialah pergi ke Singapura.  Singapura adalaha nama lama sebelum ditukar kepada Singapore.  Setiap kali bila hendak pergi ke mana-mana Atok menggunakan khidmat Uda Man iaitu anak saudaranya yang menjadi pemandu teksi.  Atok selalu membawa Mak Long kalau pergi makan angin.  Sukalah Mak Long dapat ikut berjalan.  Penuh juga kereta Uda Man perjalanan kali ini...enam orang Atok Salleh, Atok Keti, Busu Peaah, Pak Cik Rahim, Mak Long dan termasuk Uda Man.  Sarat penuh kereta!  Sampai di Johor Bahru kami singgah di rumah adik ipar Uda Man.  Mak Long tidak ingat sangat di mana di Johor ni.  Mak Long ingat Busu Peaah menangis sebab tidak dapat beli gula-gula yang dia hendak.  Masam muka dan muncung mulut merajuk.  Di Singapura kami tinggal di sebuah hotel sewa satu bilik.  Uda Man balik ke Johor Bahru tidur di rumah iparnya.  Keadaan hotel di zaman itu jauh bezanya dari hotel-hotel zaman sekarang.  Kunci pintu guna kunci asli tidak ada kunci plastik digital.  Bilik air berasingan dan dikungsi dengan penyewa-penyewa bilik hotel lain.  Tidak ada air panas untuk mandi pagi-pagi.  Kalau hendak melepas pun kenalah turun hotel di bawah nun..... Hawa dingin tiada juga hanya guna kipas angin.  Susah hendak dibandingkan dengan kemewahan hotel-hotel sekarang.  Tetapi walau apa pun Mak Long tetap seronok!   


Esoknya Uda Man datang ambil kami berjalan-jalan keliling  kota Singapura.   Amboiii besar dan cantik bandar Singapura (ini kenangan dalam ingatan Mak Long ketika di umur semuda itu).. ada beca, bas, kereta ... Salah satu tempat yang betul-betul Mak Long ingat kami singgah adalah Taman Haw Par Villa.  Taman ini juga di panggil The Tiger Balm Garden, masih ujud hingga sekarang mungkin sudah banyak kali diperbaiki untuk mengekalkan keasliannya. Di taman ini mengandungi lebih dari seribu patong-patong berukiran menjunjukkan ajaran-ajaran Kongfusi.  Di situ juga ada sebuah tempat khas ditunjukan yang dipanggil "Ten Courts of Hell".  Di sini patong-patong menunjukkan ..kalau hidup berbuat baik dibalas baik dan kalau hidup berhati dengki dan jahat dibalas dengan hidup neraka yang buruk.  Bila balik dari tengok semua patong-patong ngeri itu Mak Long rasa takut pula dan berazam hendak jadi manusia yang baik den bagus berbudi pekerti.







Gambar Anjang Hassan dan Busu Peaah



NOTA ROMBONGAN KE JOHOR BAHRU - SULTAN JOHOR MANGKAT

Kali ini Mak Long hendak bercerita tentang rombongan orang kampung Jorak ke Johor Bahru.  Penganjur rombongan tidak lain dan tidak bukan lagi atok saudara Mak Long Atok Cik Asim.  Pada 8hb May 1959, melalui siaran radio rakyat Negeri Johor telah dikejutkan dengan berita sedih atas kemangkatan Sulatan Ibrahim Al Masyhur ibni Sultan Abu Bakar mangkat di Britain.  Baginda adalah sultan Negeri Johore (1873 - 1959) sultan yang paling lama memerintah Negeri Johor.  Sultan Ibrahim semasa hayat dan pemerintahannya mempunyai ramai isteri dan hanya empat orang isteri sebagai isteri yang sah. Isteri sah baginda yang pertama ialah Ungku Maimunah binti Ungku Abdul Majid.  Dari perkahwinan ini mereka dikurniakan putera lelaki bernama Sultan Ismail (1894 - 1981) yang menaiki tahta selepas mangkanya ayahndanya.  Baginda pernah beristerikan seorang wanita bangsa Inggeris yang kemudiannya becerai.  Isteri ke empat dan yang terakhir juga berbangsa Inggeris bernama Lady Marcella.  Sultana Ibrahim juga dikenali sebagai salah seorang dari yang terkaya di dunia ketika hayatnya.  Dari perkahwinan ini mereka dikurniakan seorang puteri bernama Tungku Mariam.  Sultan Ibrahim mengemari kehidupan adat resam Inggeris di Britain dan lebih suka tinggal di Eropa terutama di Britain.  Baginda semakin tidak disukai rakyat amnya seluruh rakyat Malaya ketika itu apabila baginda tidak mahu menyokong kemerdekaan Malaya dari kerajaan Inggeris.  Selepas Malaya merdeka pada 31hb Ogos 1958, baginda sultan lebih banyak menghabiskan hidupnya di Britain bersama-sama isterinya Lady Marcella.


Rakyat diumumkan iaitu jenazah baginda akan dibawa balik dari Britain ke Johor Bahru dengan kapal laut.  Pelayaran mengambil masa satu bulan baharulah sampai di Johor pada bulan June.  Sesampai di Johore Bahru jenazah baginda dibawa ke istana di mana selama lebih kurang tiga hari rakyat negeri Johor dibenarkan melawat sebelum dikebumikan.


Dalam masa sebulan pelayaran jenazah itu ke Johor Bahru itu memberi peluang baik pada Atok Cik Asim untuk merancang membuat rombongan ke Johor Bahru melawat jenazah sultan.  Ramai juga yang menyahut rancangannya termasuklah Wak dan Emak.  Hanya orang dewasa sahaja yang pergi, anak-anak tidak dibenarkan ikut rombongan itu.  Emak telah berurus untuk menumpangkan Mak Ngah di rumah saudara (tidak ingat siapa) semasa memergiannya ke Johor.  Mak Long dikehendaki tinggal di rumah Atok Cik Asim bersama dua orang anak mereka Kak Melah dan Mat Takong menemani Tok Sitam (emak kepada Atol Cik Asim).  Sedih juga tak dapat ikut!  Dalam hati berkata cepat ler beso boleh aku pergi rombongan!  


Pada 6 haribulan June, 1959 maka tibalah hari rombongan bertolak ke Johore Bahru.  Penumpang semua sudah berkumpul di satu tempat.  Ketika itu Mak Long, Kak Melah dan Mat Takong sedang berlongok hendak sarapan.  Mandi pun belum lagi cuma salin baju biasa sahaja.  Tiba-tiba kami dengar bising-bising di luar panggil nama kaki.  Emak dan Tok Cik Asim rupanya.  Tok Cik kata "Cepat! mari ko orang boleh ikut"  Owhaa sukanya hati kami rasa nak rabak senyum lebar sampai ke telinga!  Kak Melah dan Mat Takong. dia orang nasib baik boleh capai jer pakaian yang ada dan bersih....Mak Long?!  Tak bawak baju pun selain dari yang sedang dipakai.  Emak kata tidak sempat hendak balik kerumah ambil baju Mak Long dan rumah pula sudah dikunci sedangkan bas sudah hendak bertolak.  Pakai sahajalah yang sudah di badan!  Adoi!  Kesihannya Mak Long, kasut pun tidak ada selain dari selipar jepun buruk.... Heh heh tidak mengapalah asal dapat ikut rombongan!!  Maka Mak Long pun dapat ikut..seronok habis...


Sampai di Johor Bahru beratus bas rombongan sudah berdirit sampai.  Ramai sungguh rakyat Negneri Johor datang memberi penghormatan terakhir kepada Sultan Ibrahim.  Rakyat jelata dikehendaki berkabong selema beberapa bulan tidak ingat Mak Long berapa bulan sebenarnya.  Orang lelaki Islam dimestikan memakai songkong hitam dililit dengan kain putih kelilingnya dan wanita memakai baju putih.  Mak Long tidak berkabong!  Kami berjalan kaki jauh menuju ke istana besar..Mak Long dengan selipar buruknya..kecepek! kecepek! bunyi selipar!  Sampai di pintu besar istana kami berbaris masuk ke ruang dalam istana di mana keranda dan jenazah diletakkan.  Cantik dalam istana, semua dihiasi dengan warna kuning, warna diraja.  Pengawal berdiri setiap pintu dan pengawal khas berdiri di empat penjuru pentas petarakna di mana jenazah diletakan.  Permaidani indah di seluruh lantai istana.  Mak Long belum pernah tengok permaidani apatah lagi menjejakkan kaki di atasnya.  Hari itu Mak Long dapat mencecahkan kaki di permaidani,  Lembut dan tengelam rasa kaki (Mak Long buka selipar ler!) di atas permaidani.  Nyamannya udara dingin dalam istana tidak panas macam di luar sana.  Hati Mak Long juga berkata-kata ...."alangkan bagusnya jadi raja.....dan kaya pulak tu".  Kami tidak dibenarkan lama-lama di situ dan diarahkan keluar segera memberi peluang kepada pelawat-pelawat yang lain.  


Selepas selesai lawatan itu kami beredar dan pergi ke tepi pantai untuk menekmati bekalan yang masing-masing bawa.