Pages

Showing posts with label New Mexico/Arizona. Show all posts
Showing posts with label New Mexico/Arizona. Show all posts

Sunday, January 13, 2013

Nota Saguaro Cactus Di Arizona

Assalamualaikum....


Dari Sedona kami meneruskan perjalanan menghala Phoenix (Fee-niks) iailtu sebuah bandaraya terbesar dan ibu negeri Arizona.  Phoenix juga dikenali sebagai "Valley of the Sun" kerana cuacanya terlalu panas di musim panas.  Tetapi berkurangan panasnya di musim sejuk.  Dalam musim panas suhu tempat ini sering mencecah melebihi dari 110-122 degree F (43-50C) hampir menyerupai cuaca panas di padang pasir di Saudi Arabia.  



Isi minyak penuh-penuh

Pada hari kami sampai di sini sudah masuk bulan June, jadi panasnya amat terasa bahang membakar.  Kami keletihan ditambah pula terasa dahaga yang teramat sangat... kering tekak!  Sampai tertidur Mak Long duduk di belakang.  Toeinggggg!!....topi keledar Mak Long terantuk dengan topi keledar Pak Long.  "Hey!! Are you sleeping?"  jerkah Pak Long. 

Hari pun sudah petang tidak pasti pukul berapa, tetapi matahari masih lagi memancar dengan panasnya.  Pak Long berhenti di sebuah station minyak.... Mak Long cepat-cepat turun dari motorsikal lalu duduk sambil meluruskan kedua-dua kaki di tempat redup di kaki lima bangunan yang ada pokok kurus sebelahnya.... Phewww panasnya..., sambil sapu air ke muka dan kipas-kipas macam nyonya dekat kedai kerenting rambut di Muar.  Pak Long isi minyak dan terus pergi ke dalam.  Tidak lama kemudian beliau keluar semula membawa dua botol coke sejuk sambil menghulur sebotol kepada Mak Long.  Bismilla hirahman nirrahimm ...... Amboiiii !!!!!  Sedapnya rasa coke itu, rasanya itulah coke yang paling sedap sekali pernah Mak Long minum!  Pak Long ketawakan melihat gelagat lucu Mak Long..  Mak Long tidak suka minum coke tetapi pada hari itu oleh kerana kehausan minum jugalah. Kami bermalam sahaja di Phoenix malam itu.  Yang paling seronok sekali kami terjumpa sebuah restauran anak baba dari Melaka.  Nama restauran itu pun mengikut nama negerinya iaitu Sri Melaka.  Macam-macam jenis masakan Melayu ada.  Air batu cendol pun adalah....... Jangan tanyalah kalau Mak Long minta minuman itu atau tidak!


Cactus Saguaro (se-waroo)

Esoknya pagi-pagi lagi kami sudah bersedia untuk meneruskan perjalanan ke Saguaro (se-waroo) National Park di sebelah timur Tucson.  Matahari sudah pun bahang panasnya walaupun di awal pagi.  Kami membawa beberapa bekalan air botol bersama untuk melepaskan dahaga bila perlu.  Tambahan cuaca panas terik memerlukan minum air lebih supaya tidak menjejaskan kesihatan.  


Cactus Saguaro di Tucson

Saguaro National Park dinamakan sempena dengan nama sejenis cactus yang tidak asing lagi unik dan terkenal iaitu  Cactus Saguaro.  Saguaro National Park terbahagi kepada dua bahagian iaitu sebelah timur The Rincon Mountain District dan sebelah barat ialah Tucson Mountain District.  Di antara kedua-dua taman ini ialah bandaraya Tucson.  



Saguaro National Park, Tucson

Cactus Saguaro boleh tumbuh dan hidup melalui biji benih sahaja dan hanya terdapat di Sonoran Desert.  Ia mengambil masa terlalu lama hingga bertahun-tahun untuk membesar dan mengambil masa lebih kurang 75 tahun untuk ia tumbuh satu dahan.  Cactus Saguaro adalah satu-satunya jenis cactus yang hidup dan membesar melebihi 50 kaki tinggi dan boleh hidup lebih dari 200 tahun lamanya.  Manusia pun tidak hidup begitu lama!  Dahannya tumbuh menyerupai bentuk orang angkat tangan ke atas, kadang-kadang mempunyai hingga 50 dahan bagi satu-satu pokok.   Jenis cactus ini sangat sensitif dan mudah rosak jika kebakaran atau mengalami suasana sejuk beku (frost).  Air hujan boleh serap dengan mudah kedalam batang cactus dan menampilkan rupa besar dan kembang.  Air yang serap di batang cactus itu akan digunakan untuk ke seluruh pokok perlahan-lahan.  Bunga cactus saguaro ialah bunga kebangsaan Negeri Arizona.  



Cactus ditanam dalam kawasan Bandaraya Tucsun







NOTA:


Kebesaran Allah mencipta tumbuh-tumbuhan berbagai jenis dan rupa supaya hambanya dapat menikmati dan mempelajari dari ciptaan NYA.







Saturday, January 12, 2013

Nota Sedona, Arizona (2000)

Assalamualaikum,


Puas hati Mak Long dapat melawat Grand Canyon satu daripada tujuh keajiapan semulajadi di dunia.  Kini sampailah masa untuk perjalanan balik ke Deming, New Mexico dengan mengikuti arah Sedona, Phoenix dan Tucson.

Bandar pertama yang kami lalui ialah Sedona.  Sedona adalah sebuah bandaraya yang mempunyai penduduk lebih kurang 10,031 (mengikut bancian 2010).  Sedona terkenal dengan banjaran pergunungan berbatu merah ("Red sandstone") atau juga dikenali dengan nama "the Red Rocks of Sedona".  Perbentukannya menimbulkan warna yang menyerlah begitu ketara merah dan jingga apabila disinari oleh cahaya matahari pagi dan petang.  Berbagai aktiviti seperti hiking, kayuh basikal dan lain-lain lagi. 

Red Rock, Sedona, Arizona


Sedona dinamakan sempena Puan Sedona Arbelle Miller Schnebly isteri kepada Theodore Schneby,  ketua pejabat post di situ.   Wanita ini dikenali dengan kerja-kerja amalnya serta sebagai seorang wanita yang gigih berusaha.

Kami berhenti di sini untuk makan tengahari serta melepaskan penat seketika.  Cuaca di sini panas iaitu panas desert.


Bell Rock di Sedona, Arizona

Sedona, Arizona












Wednesday, January 9, 2013

Nota Grand Canyon, Arizona (2000)

Assalamualaikum.....

Mula-mula Mak Long sampai di Amerika Syarikat, Pak Long bertanya apakah yang Mak Long ingin sekali melihat di benua ini.  Jawab Mak Long cepat sahaja ialah "Grand Canyon", Arizona, "The Yellowstone National Park" dan "The Redwood", Califonia.  Hanya The Redwood" sahaja yang belum tercapai hasrat di hati.  In sya Allah suatu hari nanti.......

Mak Long bertanya dengan seorang kawan kami yang pernah pergi ke Grand Canyon apa pendapatnya tentang tempat itu?  Apa jawabnya?  "Oh.... nothing special.  Just a big hole in the ground!!"  Mak oii!  Kecewa juga dengan jawapannya. Tetapi tidaklah mematahkan keinginan hati hendak melihat ciptaan Allah.


Grand Canyon (Lubang besar dalam bumi) - 2001

Kami mulakan perjalanan jauh ini dari Deming, New Mexico di mana kami tinggal ketika itu. Kenderaan yang kami gunakan ialah motosikal berenjin tinggi Harley Davidson model Softail Custom Harritage.  Kami tidak banyak membawa barang selain daripada barang keperluan,  beberapa helai pakaian, baju hujan dan sebuah "tool box" kecil (kotak berisi alat seperti screw driver, penampal tayar dll) kegunaan bila perlu untuk baiki motosikal.  Kami singgah di beberapa tempat menarik di sepanjang perjalanan seperti Gila Cliffs Dwellings, Petrified Forest National Park, Painted Desert dan Tombstone.  Perjalanan ini kami mengambil masa beberapa hari barulah sampai ke Grand Canyon.  Puas rasa hati dapat melihat ciptaan Allah SWT dan mempelajari tentang negeri dan adat resam negeri asing.

Sehari sebelum kami sampai ke rumah tumpangan cuaca tidak menyebelahi kami. Hujan lebat sepanjang hari dan sejuk hingga kami terpaksa melewatkan perjalanan beberapa jam menunggu hujan reda.  Mujurlah kami sudah bersedia dengan baju hujan.  Kalau tidak macam tikus basah jatuh longkanglah kami jawabnya....... Kami sampai di rumah tumpangan lewat hampir jam tujuh malam (lima jam lewat).  Pak Long telah membuat tempahan  tiga minggu lebih awal untuk sebuah bilik di rumah berkembar untuk dua malam.  Bulan Mei biasanya ramai penggunjung ke situ.

Grand Canyon adalah satu daripada tujuh keajaiban semulajadi yang ditemui dan diketahui dalam dunia.  Grand Canyon terletak di Arizona.  Luasnya ialah 277 batu (446km) panjang, 18 batu (29km) lebar dan lebih dari 1 batu (1.6km) dalam.  Itulah lubang besar di bumi ciptaan Illahi yang dikatakan oleh kawan Mak Long.  Menurut perangkaan yang Mak Long baca baru-baru ini dikatakan hampir sepuluh juta pelawat datang melawat Grand Canyon setiap tahun.  Lubang besar ini mempunyai banyak sejarah yang istimewa berkenaan kehidupan purba pueblo kaum Navajo dan Hopi Indian di dalam dan di luar kawasan ini sejak beribu tahun dahulu.  Di Musium Tusayan banyak pameran berkenaan mereka.

Kedudukan Grand Canyon adalah dalam kawasan desert.  Keadaan cuaca tidak menentu dan boleh bertukar dengan tiba-tiba sepanjang tahun.  Musim panas suhu boleh mencecah terlalu tinggi dan kering memjadikan pemandangannya terindah terutama waktu subuh dan senja.  Grand Canyon boleh bertukar-tukar berbagai warna yang sungguh menakjubkan setiap kali bumi bergerak mengelilingi matahari.  Musim sejuk pula bersalji dan sering berlaku ribut salji.  Banyak jenis binatang dan ungas seperti elk, rusa, cougar (singa gunung), helang dan lain-lain menjadi penghuni di sini.



Grand Canyon (berkabus) - 2001

Pelawat-pelawat boleh memasuki Grand Canyon melalui "South Rim" (Pintu Selatan).  Ia dibuka sepanjang tahun.  Memasuki melalui "North Rim" (Pintu Utara) pula ia dibuka dari pertengahan bulan Mei hingga pertengahan bulan Oktober.  Boleh juga masuk melalui "East dan West Rim".

Aktiviti kami bermula pagi-pagi lagi.  Membeli tiket masuk untuk dua hari.  Berbagai aktiviti disediakan untuk semua penggunjung samaada menggunakan khidmat pelancungan atau sendiri-sendiri. Aktiviti menarik melihat canyon termasuklah "hiking" (berjalan kaki), menunggang "mule" (kuda dikacuk dengan keledai), berakit di Colorado River, kayuh basikal, menaiki keretapi mengelilingi Grand Canyon Villlage dan menikmati pemandangan waktu subuh dan senja.  Untuk menikmati sepenuhnya suasana keadaan di sini anda mestilah bersedia untuk tinggal beberapa hari lamanya.  Terlalu banyak yang boleh dilawat dan dilihat.

Kami menaiki keretapi bersejarah dari station Grand Canyon berpusing ke Williams dan balik semula mengelilingi kawasan Grand Canyon Village mengambil masa beberapa jam lamanya, hampir setengah harilah juga. Khidmat keretapi dibuka sepanjang tahun melainkan cuti hari Natal.  Di dalam keretapi kami dihiburkan dengan aksi-aksi cowboy berlakun seperti penyamum keretapi.  Seronok!  Minuman ringgan juga disediakan dan yang paling bagus dapat mengambil gambar sepuasnya.  Sayang ketika itu camera digital masih belum ada lagi terpaksalah guna film.


Perkhidmatan keretapi Grand Canyon (2001)
"Historic Grand Canyon Railway"

Ekor keretapi sayup 

"Train robbery"

Kami juga berkesempatan pergi ke beberapa tempat yang terbaik pemandangan seperti "Yaki Point" dan "South Kaibab" dengan menaiki bus yang disediakan percuma setiap 15 minit sekali.  Bas ini berhenti di setiap ("point") tempat yang menarik.  Penumpang boleh berjalan-jalan di sekeling kemudian ambil bas yang lain pula.  Yang perlu hanyalah masa.  Kalau tidak mahu naik bas, boleh jalan kaki!


South Rim (2001)

Grand Canyon (2001)


Nikmatilah video You Tube ini disediakan oleh National Geographic.  Mak Long mungkin tidak dapat menerangkan lebih baik dari melihat sendiri video ini.



Sekarang sudah ada Grand Canyon Skywalk yang dibuka kepada umum dalam tahun 2007.  Ketika kami sampai ia belum pun dibina lagi hanya baru ada dalam perancangan sahaja.  Tuntunlah video Your Tube yang cantik ini.





Beberapa tempat makan dan kedai menjual berbagai cenderamata hasil kerja tangan kaum Navajo Red Indian terdapat di pusat beli belah dalam kawasan Grand Canyon.  Di perkampungan orang-orang Navajo Indian pun ada menjual banyak kraf atau kerja tangan mereka merupakan barang tembikar dan barang kemas untuk lelaki dan wanita dibuat dari manik atau batu permata "turquoise" (sejenis batu permata berwarna hijau kebiruan). Harganya pun lebih murah dari yang dijual di dalam kawasan Grand Canyon.  



Pasar lambak kerjatangan orang Red Indian di luar Grand Canyon


Barang tembikar dari debu tanah dan pasir halus kaum Navajo Indian
Kanan:  Tembikar Tempat Minum Pengantin Baru

Mak Long membeli beberapa cenderamata sebagai kenangan.  Satu darinya ialah sebuah tembikar digunakkan dalam istiadat perkahwinan kaum Navajo Indian.  Tembikar ini dibuat menggunakan debu tanah halus dan bulu kuda.  Sungguh halus dan cantik hasil kerja tangan mereka.  Mak Long diberitahu pengantin baru diberi minum air dari tembikar ini..sebelah untuk pengantinn perempuan dan sebelah lagi untuk pengantin lelaki sebagai merestui perkahwinan hingga ke akhir hayat.

Tembikar Navajo Indian
Kanan:  Tempat Minum Pengantin Baru








NOTA:


Melihat dan menekmati serta mengkagumi cipataan Allah yang tidak terkata indah dan sempurna ciptaan menambahkan lagi kepercayaan dan kekuatan iman kepada Nya.






Sunday, January 6, 2013

Nota Tombstone, Arizona (2000)

Assalamualaikum...


Setelah melawat Petrified Forest National Park dan Painted Desert, Arizona kami meneruskan perjalanan kami arah ke Grand Canyon.  Dalam perjalanan kami singgah di Tombstone.  Di suatu masa beberapa abad dahulu Tombstone sangat dikenali dengan perlombongan perak terbesar di Arizona.  Ia merupakan zaman gemilang baginya dengan bilangan penduduk yang ramai berbagai perdagangan diujutkan.  Walaupun kini era pengeluaran bahan logam perak sudah pun tamat, namun lagenda bandar "Wild West" ini namanya tetap dikenang dan menjadi sebagai kawasan pelancungan pula.  Orang sini mengelarkan bandar ini bandar "The Town Too Tough To Die" dan mereka menyifatkan ia sebuah sejarah untuk diperingati.  Bagi setengah orang seperti Mak Long, orang luar yang berasal dari berlainan latar belakang tidak nampak keistimewaannya. Tumbstone merupakan sebuah bandar lama (tahun 1870an) di Cochise County, Arizona sengaja dibiarkan seperti keadaan seperti dahulu.  Lorong-lorong dan jalan tanah penuh habuk berterbangan dipenuhi dengan deretan bangunan sepanjang lorong.  Bangunan menjual minuman keras mempunyai pintu-pintu yang boleh tolak ke dalam dan keluar masih ujut hingga ke hari ini.  Cuaca panas dan angin kencang di Arizona menambahkan lagi buruk keadaan habuk di situ.  Ada pula beberapa orang pelakun-pelakun (tidak diketahui samaada mereka ini suka-suka atau digaji oleh sesuatu badan) beraksi seolah-olah "outlaw" dengan senapang/pistol terhunus di tangan, berkasut "boot" dan berpakaian seperti "cowboy" lama.  Mereka mundar mandir di lorong-lorong seperti mahu bergasak!

Ceritanya bermula dari antara (1877 hingga 1880an).  Suatu petang bulan Oktober 1881, Doc Holliday bersama dua orang adiknya Virgil dan Morgan, masing-masing bertugas sebagai "sheriff" (polis) di situ.  Mereka menemui sekumpulan "cowboy" yang memang tidak bersefahaman dengan beberapa kumpulan "cowboy" lain juga dengan pihak penguat-kuasa ketika itu di Lorong OK Corral.  Kejadian tembak-menembak berlaku dan mereka berjaya membunuh tiga orang dari kumpulan "cowboy" itu.  Semenjak kejadian itu keadaan di Tombstone bertambah buruk dengan keganasan.  Tambahan perusahaan perak pula tidak dapat bertahan lama zaman kegemilangannya. Penuduk  yang ramai pada ketika awal akhirnya mulai berkurangan dan lebih ramai meninggalkan Tumbstone.  Mengikut bancian baru-baru ini bilangan penduduk di situ hanya tinggal 1,570 sahaja.  Sumba ekonomi di sini hanya bergantung melalui pelancungan.



Ketandusan bumi Arizona







NOTA:


Di mana ada sumba rezeki di situlah manusia berkumpul mencuba nasib masing-masing.



Saturday, January 5, 2013

Nota Painted Desert, Arizona (2000)

Assalamualaikum....

Painted Desert letaknya berhampiran dengan daerah Holbrook, Arizona.  Kawasan Painted Desert juga berjiranan dan satu kawasan dengan Petrified Forest National Park.  Selepas melawat Petrified Forest kami terus sahaja ke Painted Desert.  Desert ini mendapat nama begitu kerana lapisan warna warni cerah yang dipamirkan dari bukit-bukit itu dengan berbagai warna biru lavender hingga ke warna kelabu, kemudian dengan warna kuning jingga hingga ke warna merah terang menjadikan pemandangan di Painted Desert menyerupai warna pelangi.  Warna-warna itu akan lebih terserlah apabila dipancar dengan pancaran matahari.  Ia juga digelarkan "badland" iaitu bumi berbukit-bukit gersang dan tandus yang banyak terdapat di Arizona.







Sila tengok U-tube berkenaan dengan Painted Desert dan Petrified Wood di Arizona.  Seperti Petrified Forest National Park, Painted Desert juga disenaraikan sebagai kawasan yang dilindungi.  Walaupun tempat ini tanah gersang, pada suatu ketika beratus tahun dahulu ada juga terdapat kesan-kesan peninggalan manusia purba dipanggil orang Pueblo hidup dan tinggal di sini.  Ini kerana ada tanda-tanda sahih yang ditinggalkan oleh mereka pada dinding-dinding batu dan bukit dengan pahatan lukisan dan penulisan (batu bersurat).  Ada juga kesan bangunan rumah yang dibena oleh mereka menggunakan petrified wood dipanggil rumah Agate.  Selain dari itu mereka gunakan petrified wood untuk membuat senjata dan alat keperluan lain-lain.


Painted Desert dengan lapisan warna kuning, merah


Painted Desert dengan lapisan warna merah


Painted Desert kelihatan dari Petrified Forest









NOTA:

Manusia mampu hidup di mana sahaja di muka bumi ini dengan pertolongan Allah.






Friday, January 4, 2013

Nota Petrified Forest National Park, Arizona (2000)

Assalamualaikum.....

Petrified Forest National Park terletak di Arizona.  Ia merupakan sebuah taman alam semula jadi dan sains terkenal yang menarik ramai ahli sains dan pelajar datang ke sini untuk mengkaji dan belajar berbagai kejadian zaman dahulu kala.  Kami berkesempatan singgah di sini ketika dalam perjalanan ke Grand Canyon, Arizona.  Masa kami di situ adalah dalam musim bunga, tetapi cuaca di taman itu sudah pun panas walaupun masih sejuk di awal pagi.


Petrified Forest National Park, Arizona

Petrified wood


"Petrified wood" makna ringkas dalam bahasa Malaysia ialah pokok yang sudah berzaman menjadi batu.  Dalam ira berkurun-kurun lamanya yang dinamakan kurun "Triassic Period" (200-250 juta tahun dahulu) menurut kajian alam, berlaku perolahan hebat seperti gempa bumi dan banjir dahsyat yang mampu mengubah bentuk peta alam semesta.  Bila kejadian seperti ini terjadi, segala kehidupan seperti binatang dan burung mati dan terbenam dalam tanah menjadi fossil.  Lama kelamaan pokok-pokok  juga mati atau hanyut dalam air banjir atau ditiup angin kemudian hanyut dan tertimbus dalam lurah-lurah dan dasar sungai.  Kebanyakan pokok-pokok itu reput dan hancur.  Hanya sedikit sahaja yang bertukar menjadi batu fossil yang cantik mempunyai warna warni yang unik.  Sebelum kayu-kayu menjadi reput ketika tertanam dalam lumpur di dasar sungai yang mengandungi berbagai mendapan bahan mineral (campuran abu dari letupan gunung berapi dengan air dan berbagai jenis mineral) serap ke dalam pokok mengubah formasi pokok menghasilkan berbagai warna kristal cerah yang cantik.



Sebatang petrified wood timbul di permukaan bumi

Apabila berlaku musibah perolahan alam seperti gempa bumi, letupan gunung berapi, hakisan banjir dan sebagainya kebanyakan khazanah yang tertanam di perut bumi timbul semula di permukaan bumi sebagaimana terjadinya di Petrified Forest National Park.



Petrified wood yang sudah menjadi keratan


Keratan petrified wood

"Petrified wood" terdapat di mana-mana di dunia ini.  Mengapa Petrified Forest di sini dijadikan taman kebangsaan?  Muktamad sebenarnya ialah untuk memelihara petrified wood supaya tidak terus dirosak dan dicuri.  Juga hanya di taman ini sahaja yang mempunyi catatan lengkap tentang dan bagaimana kejadian artifak dan fossil dalam kurun "Triassic Period".  Itulah yang membuat taman ini istimewa.  Orang awam atau pelawat dilarang mengambil petrified wood, batu, fossils, artifak dan tumbuhan tidak diganggu atau diambil.  Malangnya walaupun ada undang-undang melarang dan hukuman yang ketat, namun masih juga berlaku kecurian dan kemusnahan yang tidak diingini.  Ada juga kedai-kedai yang menjual "petrified wood" dalam berbagai bentuk seperti (meja, serpihan kecil) yang sah didapati dari tuan punya tanah persendirian.




Petrified wood di belakannya

Selain dari "petrified wood" terdapat juga fossil tulang buaya, ikan gergasi, dinosaur, binatang dan tumbuhan seperti pern.  Banyak juga binatang liar seperti "ravens" (gagak hitam besar), badger (sejenis binatang seperti merang), landak dan lain-lain hidup di sini.








NOTA:

Maha besar kuasa Illahi mencipta alam semesta ini dilengkapi dengan berbagai rupa, gaya,  ganjil dan anih tetapi hanya sedikit sahaja rahsia Nya yang dipertunjukkan kepada manusia.





Nota Gila Cliff Dwellings, New Mexico (2000)

Assalamualaikum,

Semasa Pak Long bertugas di Deming, New Mexico, jadual beliau bertugas ialah dua minggu berkerja dan dua minggu hari kelepasan.  Pada hari-hari kelepasan ini kami mengambil peluang memanjangkan langkah kami dan melawat tempat-tempat dan negeri-negeri berhampiran di New Mexico.  Begitu banyak tempat-tempat yang istimewa dan bersejarah untuk dilawati.  Sejak kecil lagi Mak Long sangat berminat mengambil tahu dan membaca buku atau keratan maklumat mengenai kehidupan zaman purba.  Sebenarnya lalau rajin menkaji serta merenungi bagaimana perkembangan kehidupan manusia dulu dan sekarang, banyak yang boleh kita pelajari. Boleh diambil iktibar dari segi pengelamanan dan perkembangan kehidupan yang dilalui dan harus diterapkan dalam hidup kita harian mana yang baik.  Banyak cerita berkenaan yang sama Mak Long baca dari buku.  Kali ini Mak Long berpeluang melihat dengan mata sendiri bekas/kesan tempat kediaman purba di Gila (he-la) Cliff Dwellings (Penduduk cenuram) , di Gila National Forest, New Mexico.  



 Gila Cliffs Dwellings
Pemandangan dari aras bawah gunung

Gila Cliff Dwellings National Monument letaknya di Perhutanan Gila, daerah Catron County, New Mexico; iaitu kawasan perhutanan tebal dan pergunungan berasal dari berbatu-batan tinggi dan curam lagi berbahaya kira-kira antara 5,700-6,000 kaki tinggi dari aras muka laut.  Perjalanan ke situ hanya boleh  dilalui dari utara Silver City sejauh lebih kurang 45 batu, dan dari sebuah kampung kecil San Lorenzo, New Mexico .... kira tidaklah jauh dari daerah kami tinggal ketika itu.  Perjalanan sebenarnya mengambil masa lebih dua jam memandu kerana jalan yang sempit seperti lorong sahaja dan bengkang bengkok pula.  Suasana pemandangan di sepanjang perjalanan dipenuhi dengan keindahan semula jadi yang sungguh menakjupkan.  Lorong kecil itu sering rosak oleh hakisan air hujan yang selalu berlaku di situ.  Kenderan pelawat diletak di tempat yang ada disediakan berhampiran pusat pelawat, kemudian berjalan kaki melalui lorong dan jembatan-jembatan merentangi anak sungai.  Berjalan kaki mengambil masa lebih kurang satu jam begitu.  Penyelia Gila Cliffs Dwellings telah menyarankan agar kawasan ini diletakkan di bawah pengawasan pihak kerajaan untuk mengelakkan dari bahan-bahan artifak di situ daripada dicuri dan dirosakkan oleh yang tidak bertanggung jawab.  


Gua-gua di Gila Cliffs Dwellings

Kawasan cenuram (cliffs) mengandungi beberapa bahagian gua sebagai rumah, bilik dan dapur digunakan oleh puak Mogollon (mugu-YON).  Suasana tempat seperti itu sangat sesuai untuk tempat tinggal kerana gua-gua dan pokok-pokok di sekeliling kawasan itu memberi perlindungan dari cuaca, binatang liar dan gangguan dari luar.  Di kawasan bahagian bawah cenuram pula mereka boleh bercucuk-tanam sebagai sumba makanan mereka.  Mereka gunakan duri pokok "agave" (sejenis cactus) yang terdapat di kawasan itu sebagai jarum untuk menjahit.


Tangga kayu asli lebih 700 tahun masih kelihatan baik

 Mereka tinggal di situ beratus tahun lamanya yang dipercayaai mengandungi antara 10-15 keluarga sahaja.  Tidak dapat ditentukan bilakah orang-orang Mogullon itu meninggalkan tempat kediaman mereka.


Rumah di gua Gila Cliffs Dwellings

Hanya dua mumia (mummy) telah dijumpai di kawasan perkuburan di situ, selainnya telah lesap dicuri oleh pengumpul khazanah persendirian sebagai koleksi mereka.  Satu dari mumia yang diberi nama Zeke" telah dibawa untuk pamiran di Smithsonian, Washington D.C.


Dalam rumah Gila Cliffs


Bahagian lereng rumah Gila Cliffs


Di luar rumah Gila Cliffs


Sebahagian dari rumah Gila Cliffs








NOTA: 

Tahukah anda bagaimana orang Mogollon menggunakan kapak dari batu menebang dan memotong pokok untuk dijadikan  beruti-beruti rangka rumah?

  • Sebelum memotong pokok, mereka buat unggun api kecil dan bakar di pangkal pokok supaya memudahkan kerja memotong.






Nota Deming Dan Silver City, New Mexico (2000-2001)

Assalamualaikum...

Deming ialah sebuah daerah kecil berhampiran dengan sempadan US dan Mexico. Ia juga adalah sebahagian daripada kawasan Chihuahuan (chi-wa-wa) Desert dan letaknya di sebelah barat Las Cruces, New Mexico.  Cuaca di sini panas kering dan berangin kencang dan sering berlaku ribut habok yang berpusing-pusing.  Cuaca panasnya kekadang mencecah melebihi 100 degree fahrenheit.  Tumbuh-tumbuhan di sini tidak tinggi, renek sahaja dengan kekurangan air.  Berbagai jenis pokok cactus tidak memerlukan air banyak terdapat di sini.  



Chihuahuan Desert

Deming mempunyai saluran air semula jadi di bawah tanah dari pergunungan Florida.  Ia dikatakan salah satu daripada air gunung yang terbaik sekali di Amerika. Penduduknya rata-rata bangsa Mexican dan dikategorikan sebagai petani mengeluarkan hasil bawang besar dan cili.  Apabila musim menuai bawang tiba, seluruh Deming berbau bawang.  Begitu kuat baunya.  Harga keluaran bawang dan cili sangat murah di sini.  Musim sejuk pula bagi penduduk tempatan mereka berpendapat tidaklah terlalu sejuk sangat.  Bagi Mak Long sejuk hingga ke tulang.  Kami pernah tinggal di sini hampir setahun.  Pak Long bertugas di situ suatu pusat kecil pengeluaran minyak dan gas.  Apabila kami keluar di bandar, orang-orang di situ sering berbahasa Spanish dengan Mak Long.  Mereka fikir Mak Long satu kapal dengan mereka dan kata muka Mak Long macam rupa orang Mexico.. hmmm.  


Ladang dua musim (bawang besar dan cili)

Tidak jauh di sebelah utara Deming ialah sebuah bandar kecil dipanggil Silver City.  Kedudukan Silver City lebih tinggi dari bandar Deming, bila musim sejuk salji sering turun di sini, berbeza dengan Deming walaupun berhampiran.  Dalam musim panas pula keadaan cuacanya sama seperti kawasan Deming.  Di bandar inilah tempat Mak Long selalu datang ke pasaraya Wal-Mart membeli barang-barang keperluan harian selain dari bandar Deming.  Beberapa buah restoran juga terdapat di kedua-dua bandar ini.  Kebanyakannya menghidangkan makanan Mexican asli.  Cintarasa makanan Mexican di sini berlainan dari tempat-tempat makanan Mexican yang terdapat di lain-lain negeri dalam Amerika.  Masakannya lebih pedas dan enak seakan-akan masakan orang Melayu.  Jalapeño (ha-la-pen-yo) pepper adalah bahan utama dalam masakan mereka.  Jalapeño ialah sejenis cili besar dan bontak dan ia sangat pedas seperti pedas cili padi.  

Waktu pagi ketika cuaca masih dingin Mak Long suka berjalan kaki cairkan lemak serta kendurkan urat yang tegang setiap hari tambahan Mak Long bertambah tembam, hari-hari Pak Long belanja "pineapple milk shake" dari Dairy Queen restauran menyediakan juadah Amerika.  Mak Long berjalan mengikuti di celah-celah lorong kawasan perumahan dan bandar.  Pemandangan di kaki gunung Florida sungguh indah.  Banyak terdapat binatang-binatang liar yang Mak Long temui ketika berjalan seperti "jackrabbit" iaitu sejenis arnab liar, ular dan "road runner" sejenis burung.  Burung ini larinya seperti kilat lajunya.  Kadang-kadang Mak Long berjalan terus ke bandar melihat-lihat itu dan ini.  Sebenarnya tidak ada banyak benda yang menarik hati  selain dari hanya untuk suka-suka mengisi masa.  Minggu pertama kami berada di situ, Mak Long sesat tidak sedar kaki sudah berjalan jauh sedang mata asik melihat sekeling dan tidak ingat jalan balik ke apartment.  Hati malu hendak bertanya arah.... betullah  peribahasa Melayu "malu bertanya sesat jalan....."



Burung "Roadrunner"


Jacrabbit (arnab liar) banyak di kawasan desert

Kami tinggal di Deming menyewa sebuah apartment lama berbilik sebijik.  Tuan punya apartment ialah seorang tua pelik yang hanya memastikan bayaran sewa dari penyewa-penyewa membayar sewa tepat pada haribulan yang ditentukannya.  Orangnya pendiam dan tiap-tiap hari kerjanya menggali/mengorek, menanam, mencabut berbagai pokok dan bunga di hadapan deretan apartment.  Dia tidak pernah senyum.  Mak Long telah melakarkan beberapa bunganya yang cantik itu di dalam buku lakarkan.  Tidak ada keistimewaan di apartment ini melainkan ia berkedudukan dalam kawasan bandar.  Waktu siang di musim panas, ia sangatlah panas dan berhabuk menjadikan pintu dan tingkap nampak sentiasa kotor berhabok.  Serangga berbisa banyak merayap di sekeliling terutama labah-labah hitam.



Labah-labah hitam berbisa banyak di kawasan desert

Pak Long ada kalanya bertugas waktu malam.  Satu malam Pak Long ajak Mak Long ikut bersama di tempat kerjanya.  Pak Long mula bertugas jam lima petang dan habis jam lima pagi.  Macam-macam Mak Long bawa bersama (segala alat untuk melukis, buku dan makanan).  Ketika itu musim sejuk.   Aduhaiii... sejuknya, suhu di desert lebih sejuk pada waktu malam bawah 20 degree F.  Hawa panas yang dipasang bagaikan tidak menampung kesejukan yang dialami.  Puaslah Mak Long mengisi masa dengan baring, bangun, buat lukisan macam-macam, makan dan minum kopi panas sambil menunggu Pak Long habis kerja sehingga naik bosan giler.  Dalam pengelaman Mak Long itulah malam yang paling panjang sekali dalam hidup Mak Long.  Suasana malam senyap sepi yang terdengar hanyalah injap mesen generator di bangunan belakang.  Sayup-sayup kedengaran "cayote" (sejenis serigala" menyalak menyeramkan menaikkan bulu roma.  



Lakaran Jackrabbit  dan Bunga Cactus

Mak Long berpeluang melakarkan gambar jackrabbit sedang makan bunga cactus di hadapan pejabat Pak Long sepetang di tempat kerjanya.

Lakaran Desert, Deming, New Mexico

Pemandangan yang dapat  Mak  Long lakarkan sebelum matahari terbenam di kaki gunung. Lakaran sebelah kanan adalah pemandangan di hadapan bangunan dan lakaran sebelah kiri ialah pemandangan sebelah belakang bangunan.

Pukul lima pagi selepas subuh barulah kami keluar dari pejabat Pak Long, mata pun sudah mengantuk sesangat. Dalam perjalanan balik ke apartment, Pak Long bawa Mak Long tengok matahari terbit di balik pergunungan yang sungguh menakjubkan.  Subhanallah indahnya ciptaan Allah.  Mulanya hanya bayangan kekuningan memancar perlahan-lahan diikuti dengan warna kuning jingga.  Kemudian perlahan-lahan timbul matahari seperti bebola merah menyala menyerlah menyinari alam.  Keindahan yang tidak terkata!


Matahari terbit di ufuk pergunungan, Deming, NW








NOTA:

Perpatah Melayu kata "kalau sesat jalan patah balik ke pangkal jalan".  Tetapi bagaimana walaupun patah balik ke pangkal jalan masih tetap sesat?