Pages

Sunday, August 5, 2012

NOTA DI RUMAH WAK SAMAD

Zaman kanak-kanak memang seronok, tidak pernah memikirkan masaalah hidup.  Janji perut kenyang, tidak sakit dan dapat bermain walaupun tidak ada bahan permainan seperti kanak-kanak sekarang.  Masa kecil Mak Long suka main pondok-pondok.  Suka main tanah yang dihancurkan jadi debu kemudian campur air jadikan dough dan bentuk macam-macam seperti periok, lagan batu, pinggan dan lain-lain. Bermain seorang pun boleh jadi..berangan-angan macam-macam, bercakap sorang-sorang.  Pernahkah kalian melihat kanak-kanak sering bercakap sendirian?  Menyanyilah, beraksi bermacam-macam gaya.... pernah Mak Long lakukan semua itu semasa kecil dan masih ingat hingga kini.  Habis tanah bawah rumah Atok Salleh dan rumah kami Mak Long gali buat mainan sampai kena marah.

Satu masa Mak Long ikut Wak Samad balik ke rumahnya.  Lama Mak long berada di rumah Wak Samad di Sungai Bilah.  Dua orang emak saudara iaitu anak Wak Samad dengan isteri keduanya hampir sebaya dengan Mak Long.  Mak Itam hanya empat puluh hari lebih tua dan Mak Adah mungkin setahun lebih muda.  Rioh rendah rumah Wak Samad dengan ketawa riang kami setiap hari.  Keluarga Wak Samad besar....isterinya Mak Eena, emak mertuanya Tok Gelegek (Mak Long tidak pasti nama sebenarnya); anak-anaknya ketika itu ialah Pak Andak, Mak Itam, Mak Adah dan Pak Kahal.  Waktu malam kami tidur tiga orang di atas ranjam (katil) besi di ruang rumah besar.  Mak long diberi sehelai kain batik untuk selimut bila sejuk. Kami berceloteh macam-macam serta ketawa berdekah-dekah sampai tertidur.  

Pagi-pagi buta kami sudah bangun makan sarapan dan minum kopi manis... Bukan basuh muka atau gosok gigi pun main bedal sahaja. Wak Samad pula awal pagi sudah turun ke kebun atau ke sungai melihat lukah dan bubunya kalau-kalau mengena.  Selalunya dapat banyak rezeki seperti udang galah dan beberapa jenis ikan sungai.  Mak Long suka makan udang galah.  Ketik udang yang besar-besar itu kami bakar atas bara api di dapur... Kena bebel dengan Mak Eena sebab menyebok di dapur dia hendak masak.  Orang tua itu masam muka dia sambil bersunggut apa entah?!  Ada kami pedulik!  Bukalah kami tidak hormat padanya...kami hormat padanya.  Tetapi namanya kanak-kanak bukan? Bila sudah bergeng jadi beranilah.  Mak Long sebenarnya tidak berani melawan atau berolok-olok dengan orang tua-tua.  Emak sudah pesan sebelum ikut Wak Samad balik Mak Long tidak boleh berlaku nakal dan jangan jahat-jahat.    Mak Long ingat pesan Emak.  Sebab itu bila Mak Eena bebel Mak Long diam dan pergi tempat lain.  Biarkan anak-anak dia dengan emak mereka bukan urusan Mak Long.  Waktu masa-masa beginilah Mak Long teringat dan rindu pada Emak.  Rasa hendak balik ketika itu juga.  Kadang-kadang Wak Samad dapat ikan tapah, ikan tilan, ikan sembilang dan lain-lain jenis ikan sungai.  Mak Eena masak asam rebus tarok nenas sedapnya... Meleleh air lior terbayang-bayang lauk itu di hadapan mata.

Kami kanak-kanak yang aktif jarang tidur waktu siang hari walaupun disuruh tidur.  Di sebelah rumah Wak Samad adalah kebun getah seorang Jawa dan setiap hari kalau tidah hujan tuan tanah akan menoreh getah.  Sebelum tengahari dia sudah siap membangkit susu getah.  Sebelah petang kami bertiga  pula membangkit getah susu yang tidak habis keluar ke cawan getah.  Kami kumpulkan masuk ke dalam baldi kecil kemudian dibahagi tiga dan kami bekukan jadi segerap buku.  Banyak jugalah kami kumpul getah buku itu, kemudian kami jual dengan seorang apek Cina yang datang tiap-tiap bulan ke rumah Wak Samad membeli getah keping yang sudah kering hasil kebun getah di sekeliling rumahnya.  Kami pun sibuk menjual getah buku kami!  Tidak siapa pun menegor perbuatan salah kami hinggalah suatu hari Wak Samad cakap kami tidak boleh lagi kutip susu getah orang...berdosa!!!  

Sebelah pagi setiap hari kami mesti tolong Mak Eena membasuk kain baju sekeluarga, guna sabun buku cap kapak di atas pelantar kayu tepi kolam.  Sabun kurang berbuih kerana air kolam itu masam-masam sedikit rasanya.  Adohai....penat menyental kain kotor sampai melecir jari dan tangan Mak Long.  Membilas kain satu lagi kerja berat kemudian menjemur di ampai.  Kami bergilir-gilir menimba air dari kolam dengan baldi menggunakan cangkok kayu kerana tebing kolam itu agak tinggi sedikit.  Kalau jatuh dalam kolam itu mampus mati lemas.  Mak Long tidak berapa mahir buat kerja begini dan terasa beratnya tugas yang diberi. Seriau bila tengok ke dalam kolam dari tebing...takut terjatuh dalamnya.  Mak Long tidak pandai bernang ketika itu.  Mak Eena pula, Mak Longlah yang banyak disuruhnya mencedok air itu.  Rasa hendak menangis!!   Agaknya dia lebih suka tengok cucu tiri ini mati lemas jatuh dalam kolam itu!  Itulah yang Mak Long rasa ketika itu. Di sinilah juga tempat kami mandi-manda setiap pagi dan petang. Kolam ini digali untuk sumba air utama kegunaan keluarga.  Besar dan dalam serta jernih air kolam tersebut.  Wak Samad tidak tahu Mak Long dikerah mencedok air dari kolam!  Bila sudah balik ke rumah kami di Kampung Jorak Mak Long cerita pada Emak.  Beliau hanya geleng kepala dan cakap "...itu ler gemo beno nak ikut pegi sana!!.."








Rumah Wak Samad di
Kampung Sungai Bilah, Bukit Gambir, Muar
Bergaya dengan biola itu Pak Utih Man adik Emak


8 comments:

  1. SALAM MAK LONG ,SAYA TERTARIK DAN TERHARU MEMBACA KISAH MAK LONG SEMASA DI KG,SG BILAH,SAYA BEASAL DARI SITU,SAYA ADA BERJUMPA DENGAN PAK KAHAR DAN PAK YAAKOB (TAHUN 70 AN)MASA TU SAYA SELALU MAIN GITAR D RUMAH ROSLI (DEPAN RUMAH WAK SAMAD).SELALU GAK PEGI MENAJOR BAUNG D SUNGAI BILAH.DAN TERINGAT MASA LALU MEMANG BEST.BUAT MASA INI SAYA MENETAP D JB.SALAM UTK MAK LONG DARI SAYA SHAROL KALAM@SALAM.

    ReplyDelete
  2. Waalaikumsalam,

    Terima kasih sudi menjengok nota yang tidak seberapa. Mak Long rasa pernah dengar nama Kalam/Salam tetapi tidak dapat hendak dibayangkan. Tidak sangka ya begitu besarnya alam kita dapat bertemu di sawangan lelabah.

    ReplyDelete
  3. SALAM UTK MAK LONG &FAMILY .ALMARHUM AYAH SAYA DULU BEKERJA DI JPT(SEKARANG JABATAN SALIRAN)KALAU PADA TAHUN 70 AN AYAH SAYA KERJA MENGHANTAR MINYAK DISEL UTK KAPAL KOREK YANG MENGALI PARIT SEKITAR SEROM DAN BUKIT GAMBIR. SAYA SEBAYA DENGAN ROSNAH ANAK WAK SAMAD
    TAPI LAMA DAH SAYA TAK JUMPA DIA,KALAU SAYA BALIK KE SG BILAH PUN SAYA JARANG BERJUMPA DENGAN KAWAN KAWAN LAMA,PEKAN BKT.GAMBIR SEKARANG DAH MEMBANGUN SEMULA SELEPAS BERLAKU KEBAKARAN DIPEKAN TERSEBUT.KALAU MAK LONG BALIK KE MALAYSIA DATANG LAH KE BKT.GAMBIR .SEMOGA KITA BERJUMPA DI LAIN KESEMPATAN.SALAM UTK.MAK LONG

    ReplyDelete
  4. Waalaikumsalam,

    Maafkan Mak Long terlambat membalas ya. Boleh Mak Long tahu nama ibu En. Sharol..mungkin boleh membantu ingatan Mak Long. Bapa saudara Mak Long, Pak Andak Abu Rahim (Berahim) baharu saja meninggal dunia minggu lepas. Arwah anak lelaki sulung dari isteri Wak Samat yg kedua.

    ReplyDelete
  5. SALAM MAK LONG,TERLEBIH DAHULU SAYA INGIN MENGHADIAHKAN AL FATIHAH KPD ALMARHUM ABU .SAYA KENAL DENGAN BELIAU SEWAKTU DI KG SEBELUM ALAMARHUM PINDAH KE FELDA KOTA TINNGI.ALMARHUMAH IBU SAYA BERNAMA SENYA BTE HASSAN BERASAL DARI KG PANTAI LAYANG.SEWAKTU SAYA REMAJA SAYA SELALU MELIHAT MAK CIK ENA DATANG KERUMAH KAMI BILA ADA MAJLIS KENDURI ATAU TAHLIL.

    ReplyDelete
  6. Waalaikumsalam,

    Terima kasih bagi tahu nama ibu. Rasanya Mak Long kenal dan pernah pergi ke rumahnya . Jalan kaki ikut Mak Ena (Mak Long panggil dia emak) majlis kenduri kalau itulah Mak Cik Senya, rumah di sebelah baroh sedikit itu. Masya Allah ....

    ReplyDelete
  7. BETUL LE TU MAK LONG .TAPI MAAFLAH SAYA TAK BERAPA NAK INGAT WAJAH MAK LONG PADA KETIKA ITU .TAK SANGKA YE MAK LONG PERNAH DATANG KE RUMAH KAMIDI KG.

    ReplyDelete
  8. Subhanallah, bagaikan kecil pula dunia yang besar ini ya. Dapat berjumpa di alam cyber. Tak mengapa tidak ingat rupa, Mak Long tidak kenal rupa Sharol juga. Mungkint kita pernah jumpa tetapi tidak perasan ketika itu. Masa kecik-kecik dulu pun Mak Long tidak menonjol kerana sifat pendiam, rupa pula seperti budak lelaki dan gelap kulit. Mereka selalu usik Mak Long anak keling heheheh.. Yelah zaman kanak-kanak.

    ReplyDelete