Pages

Showing posts with label Jelajah Amerika. Show all posts
Showing posts with label Jelajah Amerika. Show all posts

Tuesday, May 19, 2020

Cerita 2020 - Kentucky Dan North Carolina

Assalamualaikum,

Lama sungguh blog Mak Long dalam kesepian.  Macam hidup segan, mati tak mahu.  Petang ini tiba-tiba sahaja buka blog ini.  Banyak dan berlambak cerita .. hmm in sha Allah pelan-pelan dulu.

Namun masa begitu pantas datang dan pergi.  Kini sudah pun melewati bulan May, hampir setengah tahun kita dalam 2020.  Rasa baru beberapa hari sahaja kita menyambut kedatangan tahun 2020.  Masa itu tidak menunggu walau sekelip mata untuk sesiapa pun.  Kami berdua ni memang tidak boleh duduk diam di rumah lama-lama.  Pada hal kerja-kerja rumah memang melambak menanti.  Tetapi itulah, kaki kami terlalu gatal hendak berpergian.  Pak Long berhasrat hendak ke rumah Robin di Belmont, North Carolina di samping singgah di tempat lain sebelum sampai ke rumah Robin.  Sambil menyelam sambil-sambil minum airlah kononnya. 

Hari pertama -   Bertolak dari rumah di awal pagi hari Khamis 28hb Februari dan bermalam di Forrest City, Missouri selepas 9 jam dalam kereta, berhenti hanya isi minyak dan makan.  Aduhai, lama sungguh duduk dalam kereta, sengal segala sendi.  Sampaikan berasa terhuyong hayang bila berhenti dan keluar dari kereta.  Dahsyat!  Satu yang Mak Long tidak suka bila berjalan dalam musim sejuk.  Kena bawak baju tebal-tebal dan pakai kasut boot atau sepatu dengan setokin tebal.  Leceh!  



Esoknya hari Jumaat kami teruskan perjalanan dan singgah di rumah Judy sepupu Pak Long di Wicklift, Kentucky (Kampung halaman Pak Long).  Malangnya Judy tiada di rumah.  Tabi'at Pak Long pulak memang tidak pernah hendak telipon atau hantar mesej kepada sedara mara yang hendah ditemui.  Pak Long tidak mahu menunggu, maka kami terus ke rumah Tommy Cruise iaitu kawan sekolah Pak Long.  Hampir sejam jugalah kami di situ bersembang bermacam tajuk entah apa-apa sampai perut pun sudah berbunyi minta diisi. Hari itu kami makan makanan laut di Restaurant Captain D, alhamdulillah.

Video di bawah ini adalah dua jambatan lama dan amat sempit menghubungi dua buah sungai iaitu Sungai Mississippi dan Sungai Ohio.  Perjalanan yang mesti dilalui menuju ke kampung Wicklift.  Seram juga apabila berselisihan dengan kenderaan besar-besar.  Pak Long cerita, Judy tidak suka dan takut memandu di jambatan tersebut.  Kalau boleh ia akan mengelak dari memandu di situ.








Perjalanan kami diteruskan ke Bowling Green, Kentucky dan berhenti di National Corvette Museum.  Banyak kali sudah kami datang ke museum ini.  Memang sudah dalam mindanya hendak singgah di tempat itu.  Konon hendak tengok  kot ada keluaran terbaharu 2020 Corvette dipamerkan.  Hampa!  Mereka tidak pun pamirkan kereta baru lagi.  Pak Longlah terasa sangat hampanya.  Orang lelaki memang itulah minta mereka.... kereta, motorsikal, tukul besi dan lain-lain yang orang perempuan tidak minat walaupun ada tetapi tidaklah ramai.  


National Corvette Museum

Malam itu kami bermalam di kawasan berhampiran sahaja.  Esok pagi-pagi Sabtu kami teruskan perjalanan ke North Carolina.  Cuaca memang sudah sejuk, ditambahlah pula dengan salji turun.  Nampak cantik memutih salji yang turun tetapi tidak lebat.

Salji mula menyelubungi bumi

Alhamdulillah kami selamat sampai di North Carolina dan terus ke rumah Robin di Bandar Belmont, iaitu sebuah bandar lama.  Terasa amat letih seluruh badan.  Almaklumlah umor pun sudah terlalu banyak angkanya.  Orang tua-tua dulu kata rumah kata pergi, kubur kata mari.....  tapi hati tetap muda macam tidak sedar diri...

1hb Mac, kebetulan tarikh ini adalah tarikh yang istimewa buat Pak Long.  Hari ulang tahun kelahiran beliau.  Katanya, "I feel old........."  hahaha.. Sedar diri tidak mengapa!   Happy Birthday, Dear Sayang..  Dalam gambar di bawah,  Pak Long nampak kepenatan tersandar dan tertidur di kerusi.  Sempena harijadi Pak Long, Ricky dan Robin belanja kami makan makanan laut di sebuah restauran.  Udang dan ikan goreng bertepong nipis, coslaw, kentang dan keledek goreng.  Alhamdulillah... rezeki.

Happy Birthday Dear

2hb Mac, Mak Long pagi-pagi mesti pekena dengan kopi panas pekat tanpa gula baru boleh segar mata, tetapi di rumah orang walaupun di rumah anak, Mak Long jarang buat macam rumah sendiri.  Ricky buatkan secawan kopi panas baru lega tetapi tidak pekat seperti di rumah sendiri guna kopi kampung yang sangat umpp..  Memilih pulak orang tua ini hahahah.   Tidak mengapa janji kopi...  

Tengah hari itu kami dibawa anak dan menantu makan di sebuah restauran kawasan di situ.  Tengoklah gambar di bawah itu, sandwish ikan tuna berketul-ketul penuh sepinggan.  Sayuran yang dicelor kena letak di mangkok asing sebab tidak muat hendak diletak dengan sandwish.  Ini Mak Long punya... tidak habis pun dimakan .... lebihnya bungkus bawak balik, nanti boleh makan untuk malam nanti.


Sandwich Ikan Tuna dan Sayur Celor

Untuk menyerohkan perut yang penuh dan kekenyangan, kami berjalan-jalan kawasan bandar itu, tengok-tengok ada beberapa kedai yang baru dibuka.  Banyak perubahan ... bangunan semuanya bangunan lama cumanya dibaik-pulihkan memberi muka baru.



Bandar Belmont

Tiba-tiba Pak Long minta Ricky dan Robin pergi ke taman riadah.  Bolehlah berjalan ambil angin dan berpeloh sedikit.  Tempatnya di Latta Plantation Nature Preserve.  Tidaklah berapa jauh dari Belmont.  Ia adalah taman riadah yang disediakan dalam perhutanan di mana tempat itu disediakan beberapa lorong dan jalan-jalan kecil dilengkapi batu tanda menunjukkan jarak-jauh dari satu tempat ke satu tempat bagi pejalan kaki.  


Peta Pejalanan Kami

Jauh juga kami berjalan kaki, tidak sedar kami sampai di pinggir tasik.   Lupa pulak Mak Long nama tasik kecil itu.  Airnya jernih boleh nampak banyak ikan besar dan kecil berenang berhampiran di kaki air.  Tetapi pengunjung tidak dibenarkan berenang atau bermain dalam air.   Papan tanda terpangpang besar memberitahu bahawa air dan ikan-ikan itu mengandungi bahan mecury yang merbahaya kepada manusia minum air dan memakan ikan di situ.  Jenis ikan terdapat di situ ialah ikan air tawar jenis sembilang/keli (catfish) dan ikan "largemouth bass".





Lihatlah makcik di bawah ini sedang asik menikmati berjalan kaki.  Kami diberitahu supaya berhati-hati kerana dalam kawasan itu ada beruang hitam yang dikenali bahayanya.  Manalah tahu nasib tidak baik tiba-tiba terserempak pulak...ish bahaya.. 




Gambar di bawah kami posing sakan untuk kenangan bila jumpa satu pokok hidup bengkok boleh duduk di situ.  Taman riadah itu terang tidak semak walaupun dalam hutan.  Daun kering dan luruh.  Kalau ada binatang seperti beruang pasti boleh nampak kalau mereka ada berhampiran.  




Hampir satu jam lebih kami beriadah di situ.  Panas dan segar rasa badan dibawa berjalan.  Puas hati Pak Long dapat berjalan kaki sampai rasa penat.  


Haus.. minum air

Gambar di bawah ialah suatu monumen American Air Force.  Tidak lama kami di situ.  Tengok-tengok lebih kurang kami teruskan perjalanan balik ke rumah Robin.  Malam itu Mak Long tidor lena bukan main, mungkin letih berjalan kaki siangnya.




Pada awal pagi-pagi esoknya kami bersiap-siap untuk meneruskan peralanan kami.  Kami berhasrat ke Tennessee untuk beberapa hari berihat di kaki gunung.


Bye kids











Sunday, September 8, 2019

Balik Kampung (5) Akhir

Assalamualaikum,

Dua malam kami bermalam di Lexington, Kentucky.  Puas hati dapat memenuhi hajat melihat kuda lumba dari jarak dekat hingga dapat manyaluti badan kuda yang cantik dan berkilat tambah-tambah lagi dapat memberi makan carrot.  Mak Long renong susuk badan kuda lumba sangat sasa lagi tegap.  Boleh kelihatan otot-otot berketul timbul di bahagian ke empat-empat kaki menunjukkan kuda-kuda itu walau sudah pencen tetap melakukan  senaman dengan berlari di trek lumba setiap pagi.  Waktu pagi hari ketika cuaca masih sejuk  jockey iaitu orang yang menunggang kuda-kuda di trek lumba kuda atau di sepanjang jalan di kawasan ternakan.  Ada polis khas menjaga lalu lintas di situ di mana tugas polis itu memberhentikan kenderaan yang lalu di situ untuk memberi laluan kepada kuda-kuda yang sedang ditunggang itu.

John pemandu pelancung kami cakap setiap program perlumbaan yang dianjurkan pasti ada agenda “betting” atau kalau kita cakap bahasa kita ialah bertaruh.  Berjudi....!    Maksud Mak Long ialah dalam acara perlumbaan kuda itu antara agenda wajib mereka adalah “berjudi” - judi numbor ekor.  Seperti di Keeneland Race Course, setiap kali ada program perlumbaan kuda maka perjudian numbor ekor akan dibuka kepada semua penggunjung di situ.  Malah sesiapa yang tidak dapat ke sana mereka boleh beli numbor melalui alam maya.  Manusia walau sudah diberitahu judi itu haram tetapi mereka tetap mahu berjudi.  

Pagi itu kami bersiap awal.  Mak Long cuma ambil secawan kopi panas sahaja dari bilik makan di hotel.  Isi minyak kereta gitu gini, kami bertolak balik ke Wicklifte ke rumah Judy.  Dalam perjalanan kami singgah di Corvette Muzium di Bowling Green.  Katanya hendak tengok kalau sudah ada kereta jenama Corvette 2020 keluar di pamirkan di situ.  

Corvette 2020

Hanya terdapat sebuah Corvette 2020 sahaja ada di situ... warna merah!  Kabarnya pengeluaran kereta itu masih lagi dalam process yang panjang; mungkin tahun hadapan baharu keluar di pasaran.  Pak Long peminat tegar kereta jenis ini.


Kedai Beli-belah Corvette
Mak Long berminat tengok dalam Corvette Store sahaja.  Bermacam jenis pakaian T-shirt dan seluar ada.  Tengok-tengok jugalah yang tergantong-gantong  

Kami sampai Wickliffe dan terus ke rumah Judy waktu tengahari.  Beliau tengah sibuk menyediakan untuk makan tengahari di bangunan “barn” bahagian belakang rumah induk.. di atas meja ada salad, ada roti, ada beberapa jenis kek dan biskot serta dua jenis bancuhan tuna untuk sandwich.  Junior suami Judy sedang mencelor tomato untuk dibotolkan sebagai bahan makanan bila perlu.  Dia tidak lokek ilmu. Junior mengajar Mak Long bagaimana cara membotolkan bahan sayuran dan buah-buahan seperti tomato, lada, bendir dan lain-lain bahan.

Eric anak lelaki Judy bersama sahabat wanitanya Christy Wooley tiba tidak berapa lama selepas kami sampai membawa sebekas besar berisi ayam goreng panas.  Kemudian diikuti Angela pula anak perempuan Judy.  Lama kami tidak bertemu dengan Eric dan Angela.  Eric seorang yang amat periang suka melawak.  Tidak kering gusi dibuatnya.  





Video di atas adalah Eric bercerita tentang Junior yang amat kelakar.  Terbahak-bahak kami dibuatnya cara dia menyampaikan ceritanya.  Junior berada di luar bilik makan jadi beliau tidak dengarlah Eric cerita.

Dari kiri:  Angela, Christy, Eric dan Judy


Selepas makan dan sembang-sembang kami bertolak balik ke Texas, berhenti bermalam di  sebuah hotel dalam perjalanan.  Kami selamat sampai rumah esoknya.   

















Saturday, September 7, 2019

Balik Kampung (4) - Lexington,

Assalamualaikum,


Hari ke empat kami berada di Kentucky.  Musim panas tahun ini di Lexington, Ketucky boleh dikatakan sederhana tidak sepanas seperti di Texas yang sering mencecah 100 degrees F ke atas.  Pagi ini kami bersedia lebih awal; agenda hari ini ialah melawat tempat penternakan kuda lumba melalui agen pelancungan "The Blue Grass Tours".  Keterangan dari agen itu lawatan ini akan mengambil masa hampir sepanjang hari mulai dari jam 9.30 pagi.  Kami diminta berkumpul di Embassador Hotel di mana dari situ lawatan kami bermula.  "Kalau tau kita bermalam di hotel itu lebih mudah lagi..." kata Pak Long.  Baru kami tahu Embassador Hotel adalah salah satu dari cawangan Hilton Hotel.

Mak Long memang minat dengan kuda.  Binatang ciptaan Allah yang sungguh sempurna dan cantik serta tangkas berlari.  Memiliki kuda walau pun seekor amatlah tinggi perbelanjaannya.  Kalaulah Mak Long kaya raya hahaha .... rasanya memang bela seekor atau dua... beranganlah kita ni.... 

Pemandu pelancung kami memperkenalkan dirinya nama John.  Ramah, sabar melayan dan menjawab soalan kami yang seramai enam orang sahaja.  Banyak pengetahuannya mengenai Lexington dan kuda lumba.  Bayaran yang dikenakan kepada setiap orang yang menyertai lawatan itu berpatutan juga.  Bus mini yang memuatkan kami itu amat selesa dan John mengarahkan kami supaya menggenakan tali pinggang keledar.  Dengan seloroh dia berkata, "Yes Maam, Yes Sir.....No seat belt, no going anywhere...!"   hahahah.  Tempat pertama dibawa ialah ke sebuah penternakan kuda lumba persendirian yang kaya raya.  Tuan punya memiliki rumah mewah, bangunan kandang kuda (stable) besar yang dilengkapi dengan aircon untuk kediaman kuda dan kawasan trek lumba kuda (horse racing course) sekali.  Kaya betul orang-orang ini.  Berfikir juga bagaimana mereka boleh berjaya buat duit banyak-banyak.  Apa rahsia mereka?  Apa resepi mereka?  Setengah orang terkial-kial berkerja kuat bagaikan hendak mati tetapi tidak juga kaya-kaya.  Mungkinkah mereka berusaha tidak kena cara...?  Sesungguhnya Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-bambaNya dan menyempitkan rezeki itu baginya; sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Rumah dan trek lumba kuda

Stable besar lengkap dengan aircon

Kami juga diberitahu bahawa pemerintah terkaya dari Dubai iaitu Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum memiliki sebuah pusat ternak kuda lumba (thoroughbred horse) elit terbesar di Lexington seluas 13,000 ekar lebih di Lexington.  Memang kaya betul Sheikh Mohammed.  Baginda memiliki beberapa pusat ternak kuda lumba di seluruh dunia seperti di Australia di antaranya.  Setiap tahun Sheikh Mohammed datang ke Lexingron untuk menikmati aktiviti perlumbaan kuda lumba di sana.  Setiap kali sheikh itu ke sana, kapal terbangnya terlalu besar untuk turun dan melabuhkan kapal terbangnya di lapangan terbang Lexington.  Maka setiap kali kapal terbangnya mendarat dan berlabuh di situ ia dikenakan bayaran saman sebanyak USD100,000.00.  Macam tidak percaya, tetapi itulah kebenaran di dunia orang-orang kaya dan berkuasa!


Hill 'n' Dale Farm


Kemudian kami dibawa pula melawat ke Hill 'n' Dale Farm sebuah tempat ternakan kuda "thoroughbred" terbaik juga.  Kami tidak dapat masuk ke dalam kawasan kandang kuda (stable) yang amat besar tersergam itu, tetapi kami diberitahu keadaan di dalam kandang kuda itu amat istimewa, berhawa dingin/panas khas untuk keselesaan kepada kuda-kuda kepunyaan jutawan.  Arwah nenek Mak Long dulu panggil orang yang kaya-raya itu miliuna..miliuna itu adakah dalam kamus Dewan Bahasa?


Kubur Seatle Slew

Sebenarnya tujuan kami dibawa ke situ ialah untuk menunjukkan kepada kami kawasan perkuburan mewah bagi kuda-kuda lumba yang telah mati.  Di hadapan gate Hill 'n' Dale Farm terdapat perkuburan kuda-kuda lumba siap dengan batu ninsan bertulis nama kudu-kuda itu.  Selain itu terdapat sebuah tugu seekor kuda lumba tersohor bernama Seatle Slew.  Di bawah tugu itulah bangkai Seatle Slew disemadikan.  Ia telah berjaya merangkul tiga kali kemenangan pertama yang diiktirafkan sebagai pemenang "Triple Crown" dari perlumbaan besar di Kentucky Derby, Preakness dan Belmont Stakes.  Yang pastinya kuda itu berjaya mengaut keuntungan berjuta-juta dollar bagi tuannya malah baginya sendiri!  Selain dari itu Seattle Slew meninggalkan banyak baka baik kuda lumba yang juga berharga beribu dollar dari setiap seekor.


Kuda stallion

Dari situ kami dibawa lagi ke sebuah pusat ternak kuda persendirian.  Kawasan yang luas menghijau rumputnya di mana kuda-kuda sedang meragut rumput dengan tenang di bawah sinaran matahari.  Penggunjong tidak dibenarkan mengusik atau beri makanan kepada kuda-kuda di situ.  Tengok sahaja!  Mak Long lihat seekor kuda jantan "stallion" (kuda jantan yang tidak dikasikan/dimandul) hitam.  Handsome betul kuda itu, berkilat badannya bagai disapu minyak di bawah sinaran matahari.  Tidak diam dia sentiasa bergerak dan bising mengorat kuda betina "mare"  di dalam pagar sebelah berhadapan dengannya.  Dua perkara kami belajar di situ dari John pemandu pelancung kami:

1.   Kuda stallion (jantan) diasing dari kuda mare (betina) dengan dua lapis pagar.  Sebabnya supaya kuda jantan tidak melompat masuk dalam pagar kuda betina.  Terok betul kuda!

2.    Setiap anak kuda lumba (colt atau foal) yang lahir dikira berumur satu tahun pada bulan Januari.  Tidak kiralah dalam bulan apa kuda itu lahir...  Mithalnya, kalau anak kuda itu lahir dalam bulan April, maka menjelang bulan Januari tahun baru hadapan ia berumur satu tahun walaupun kalau ia lahir dalam bulan December sekali pun, pada bulan Januari sebulan selepas kuda itu lahir umurnya jadi satu tahun juga.   Kerana itu waktu mengawan kuda lumba dicatur supaya anak kuda lahir awal membolehkan kuda lumba muda itu boleh masuk dalam perlumbaan.




Pak Long berbisik sesuatu dengan stallion hitam

Lama jugalah kami di situ mendengar macam-macam perkara dan cerita tentang kuda dari pemandu pelancung yang sangat berpengetahuan tentang kuda, kemudian kami di bawa ke Keeneland.  Keeneland ialah sebuah perusahaan kuda lumba merangkumi trek lumba kuda (Keeneland Race course) berumput atau tanah rata, semua perkara untuk kemudahan  thoroughbred horse racing, komplek urusan jual beli kuda lumba dan komplek lelong (auction) kuda.


Jam Rolex

Di hadapan bangunan Keeneland terdapat sebuah jam Rolex melambangkan kemajuan, kejayaan dan kekayaan mereka.


Keeneland Turf & Dirt Race Course

Keeneland Race Course mempunyai dua jenis race course iaitu race course rumput dan race course tanah.  Kedua-dua race course itu letaknya di sebelah menyebelah.  Gambar di atas trek berwarna hijau itu ialah trek rumput (turf racing course).  Manakala di bawah ialah trek tanah (dirt racing course).

Keeneland Dirt Race Course

Agenda terakhir ialah melawat Old Friends Retired Horse Farm.  Kata John, di tempat itu kami akan diberi peluang memberi kuda makan carrot dan bermesera dengan kuda-kuda di situ hahaha...  bermesera dengan kuda!!

Old Friends Retired Horse Farm ialah sebuah pusat penempatan kuda lumba berbaka baik yang telah bersara, juga kuda-kuda lumba yang diselamatkan daripada rumah persembelihan di mana daging kuda itu dijadikan makanan anjing dan kucing.  Kuda pencen.!!!  Kuda-kuda pencen itu dibela dan dijaga dengan baik hingga mereka mati.  Disitu juga terdapat kemudahan tempat perkuburan khas untuk kuda sahaja.  Kuda yang mati akan dibakar kemudian abunya ditanam di kubur kuda siap ada batu ninsan bertulis nama mereka.  Pusat ini telah ditubuhkan dalam tahun 2003 di Georgetown, Kentucky dalam kawasan seluas 136 ekar.  Kini mampu menempatkan dan memberi kemudahan kepada lebih kurang 175 ekor kuda lumba yang sudah bersara, maksudnya kuda-kuda yang tidak berlumba lagi.  Pusat inilah satu-satunya pusat yang menerima dan menjaga kuda “stallion” iaitu kuda jantan baka baik yang tidak dikasikan/dimandulkan untuk mendapatkan baka.  Pertubuhan ini dibiayai dari hasil penderma-penderma daripada tuan-tuan kuda itu sendiri atau dari pengemar-pengemar kuda amnya.  Mahal dan banyak perbelanjaan menjaga kuda yang bertaraf jutawan.  Binatang pun boleh jadi jutawan.... hmmm






Bagunan ini menyediakan jualan tiket masuk ke kawasan kuda dan menjual cenderamata seperti buku berkenaan kuda, gambar kuda, carrot segar juga dijual untuk penggunjung memberi makan pada kuda di situ.



Kandang Kuda (Stable)

Dalam Kandang Kuda

Dalam kandang atau stable .. bersih dan semua kuda-kuda di situ dijaga rapi... makan minum mereka, kesihatan mereka semua dijaga baik.  Kuda-kuda yang baru masuk ke Old Friends ditempatkan di kandang ini dahulu sehingga mereka dapat menyesuaikan diri masing-masing baharulah dilepaskan di padang ragut.

Di bawah ini adalah di antara kuda-kuda pencen:


Alphabet Sour dan Gorgeous George


Menurut kata pemandu pelancung kami umur Alphabet Soup sudah mencapai 28 tahun, tua dan pencen.  Umor kuda dikatakan boleh mencapai hingga 30 puluh tahun.  Tidak banyak diceritakan tentang kuda ini.  Hanya dia dan Gorgeous George kuda katik itu sangat rapat tidak mahu berenggang.


Afternoon Deelites

Pendapatan Afternoon Deelites sepanjang career perlumbaan dia menang dapat mengaut sebanyak USD1,061,193... wow banyaknya duit dia bagi tuannya.


River Squall

River Squall berasal dari Texas.  Pendapatan sepanjang hidupnya sebanyak USD376,303 lebih.  Baru lagi di Old Friend dan masih lagi dalam keadaan kenal suai di kandang kuda itu.  Kami tidak dibenarkan memberi carrot kerana dia belum dapat sesuaikan dirinya lagi.  


War Emblem

Nama kuda di atas ialah War Emblem.  Hasil pendapatannya sangat tinggi iaitu sebanyak USD3,491,100.  Pemenang Kentucky Derby dan Illinois Derby dan lain-lain perlumbaan serata dunia.  Hanya dia tidak dapat kemenagan "Triple Crown".  Jutawan kuda ni!  Pernah tinggal di Japan kemudian didermakan kepada Old Friends oleh tuannya keluarga Yoshida.  Menurut John lagi, kuda ini mempunyai akal/perangai tersendiri.  Kalau dia tidak mahu berlumba, dia tidak akan bergerak dari tempat perlumbaan atau pusing balik ke kandang.  Tuan-tuan kuda sanggup membayar lebih dari USD250,000.00 untuk mendapatkan baka War Emblem.  Mereka akan membawa kuda betina mereka kepada War Emblem, ada kala War Emblem tidak selera pun pandang kuda-kuda betina itu ... hahaha.  Padang ragutnya diasingkan kerana perangainya yang tidak menentu.  Hai binatang pun ada berperangai biul seperti manusia!


Little Silver Charm

Si kuda katik ini namanya Little Silver Charm mesera menyambut setiap kedatangan pengunjung.


Silver Charm

Ini Silver Charm.  Umurnya sekarang 25 tahun dan telah memenangi perlumbaan Kentucky Derby ketika umurnya baharu sahaja 3 tahun.  Kuda ini sangat tangkas dan kuat dan dia telah menang dalam banyak perlumbaan lain hingga ke tahap antarabangsa seperti di Dubai.  Pendapatan tinggi dari kemenangan Silver Charm ialah sebanyak USD6,944,369.



Silver Charm bersama Mike (Michael Blowen) president dan pengasas Old Friends.  Ketika kami berada di situ kami tidak dibenarkan memberi carrot kepada Silver Charm kerana dia baharu saja balik dari dentist.  Binatang pun dapat rawatan istimewa dari doktor gigi!


Popcorn Deelites

Ini Popcorn Deelites.  Dia tidak banyak berlumba, yang menjadikan ia dikenali kerana rupanya mirip rupa seekor kuda lumba bernama Seabiscuit yang tersohor di zaman meleset  di Amerika dahulu.  Popcorn Deelites telah diambil berlakun sebagai Seabiscuit dalam sebuah filem mengesahkan Seabiscuit dan ia telah berlakun dengan jayanya.  Pendapatannya sepanjang career hanya sebanyak USD56,880.  Dalam filem ini Popcorn Deelites berlumba dengan War Admiral.  Kalau sahabat-sahabat ada peluang tontonlah movie Seabiscuit itu.





Dua gambar di atas ialah Special Ring.  Sepanjang careernya sebagai pelumba pendapatannya ialah USD915,279.  Special Ring sangat bijak.  Bila disuruh senyum, ia senyum tunjuk gigi kemudian diupah dengan carrot.




Padang ragut di sebelah kiri ialah khas untuk Pocorn Deelites dan Special Ring.  Semua kuda-kuda di pusat itu menpunyai padang ragut bersendirian.. sungguh lumaian kehidupa kuda-kuda yang istimewa itu melebihi dari hidup manusia.
















Saturday, June 17, 2017

2017 - Meredah Colorado - Colorado Spring

Assalamualaikum,

Dari catatan:

9hb & 10hb May 2017

Amboi bukan main lena Mak Long tidor malam tadi.  Hampir-hampir melepas Subuh.  Adohai orang tua inilah!  Kenyang makan sandwich sayuran dari restauran segera Jimmy John's agaknya!

Selepas sarapan kami teruskan perjalanan ke Colorado Spring, Colorado.  Cuaca sejuk, lebih sejuk dari yang Mak Long agak.  Colorado menikmati cuaca panas hanya dari June hingga September sahaja.  Di Texas waktu macam ini memang sudah panas berdenting.


Perjalanan ke Pikes Peak

Rancangan kami untuk hari ini ialah melawat ke puncak Pikes Peak dengan menaiki keretapi Pikes Peak Cog Railway.  Puncak Pikes Peak adalah rangkaian banjaran pergunungan Rocky Mountain sebelah timur Colorado mempunyai ketinggian 14,115 kaki dari aras laut.  Tempat pelancungan yang kerap dikunjungi pelawat oleh kerana keindahan alam semulajadi.  Malah Pike Peak dinobatkan sebagai sebuah gunung kedua yang paling ramai dikunjunggi selain dari Gunung Fuji di Jepun.  Pak Long sudah menempah tiket untuk kami berdua beberapa hari lalu dikuatiri jualan tiket cepat habis.  Perkhidmatan keretapi ke puncak gunung itu berkhidmat sepanjang tahun melainkan dalam cuaca buruk yang merbahayakan.  Kami diberitahu ramai juga pendaki-pendaki gunung cuba mendaki hingga ke puncak Pikes Peak dengan berjalan kaki.  Juga ada beberapa acara sukan mendaki naik dan turun gunung itu dalam bulan Ogos setiap tahun.  Bukan itu sahaja, malah dalam musim panas terdapat pula sukan perlumbaan memandu kereta.  Sukan tersebut telah menarik beribu peserta dari seluruh dunia.



Landasan Keretapi Pikes Peak Cog

Cuaca hari ini pulak mendung menandakan juga hari akan hujan bila-bila masa sahaja begitu juga suhu pun sejuk.  Rancangan terpaksa diteruskan sedangkan tiket kami sudah ditempah.  Perjalanan dari Canon City ke Colorado Spring tidak jauh sangat.  Jalanraya yang membawa kami ke stesen keretapi Pikes Peak berliku-liku dan sempit.  Bangunan rumah-rumah peranginan dan hotel terlalu berdekatan dengan jalan.  Seriau rasanya!  Tompokan salji masih kelihatan dan jalan pun agak licin.  Kami sampai di stesen lebih awal dan setibanya di kaunter tiket, penjual tiket memohon maaf dan memberitahu khidmat perjalanan keretapi hari ini hanya setengah jalan sahaja.  Menurutnya adalah disebabkan ribut salji berlaku di puncak Pikes Peak waktu malam tadi dan tidak selamat membawa penumpang keretapi memanjat gunung.  Penjual tiket bertanya jika kami masih mahu turut serta dalam perjalanan serta bayaran yang terlah diterima akan dikembalikan.  Kami masih mahu meneruskaan rancangan kami..bayar separuh sahajalah.  Sekiranya kami tidak juga teruskan rancangan itu, entah bilalah pula kami akan ke situ lagi.



Keretapi Pikes Peak Cog

Ramai juga yang masih mahu meneruskan menaiki keretapi.  Ada tiga buah gerabak semuanya tidak panjang seperti keretapi lain yang telah kami naiki.  Gerabak pertama dan kedua menempatkan pelawat-pelawat seperti kami sementara gerabak ketiga bahagian belakang pula dipenuhi oleh murid-murid sekolah berumur dalam lengkongan sepuluh hingga sebelas tahun.  Porak dan riuh rendah jugalah sehinggalah terpaksa guru-guru bertugas mengawal lebih ketat lagi.  



Kabus tebal di pergunungan

Perjalanan kami di peringkat permulaan keadaan di pergunungan mengalami kabus tebal.  Salji juga tebal di bumi.  Sekiranya memandu kenderaan memang tidak boleh nampak dengan jelas.


Dalam gerabak keretapi

Keadaan cuaca bertambah baik apabila keretapi semakin tinggi naik ke atas pergunungan.  Pemandangan di kiri dan kanan amat menakjubkan keindahanya.  Indahnya ciptaan Allah.  Tingkap cermin keretapi boleh diturun-naikkan untuk kemudahan penumpang melihat di luar lebih jelas.  Tingkap sebelah kami hanya diturunkan apabila Mak Long mengambil gambar, kemudian cepat-cepat ditutup semula.  Sejuklah!


Salji tebal


Seperti yang diberitahu awal tadi, keretapi hanya sampai di pertengahan pergunungan sahaja.  Keretapi diberhentikan di suatu tempat selama lebih kurang tiga puluh minit, kemudian menerusakan perjalanan menurun ke stesen keretapi.  Kami keluar melihat suasana dalam hutan di pergunungan tetapi tidak lama.  Tidak tahan kesejukan hahahah..


Salji tebal

Kami rasa terkilan juga keretapi tidak dapat terus ke puncak Pikes Peak, tidak ada rezeki     kami.  Tetapi kami tidak berputus asa.  Kami belek-belek beberapa keping risalah yang kami peroleh dari hotel.  Satu dari risalah tersebut ada Pikes Peak Highway.  Bolehlah!  Ada orang tersenyum lebar dari telinga ke telinga.  Jadilah kami ke situ ajelah...  manalah tahu boleh naik sampai ke atas sana.  Pak Long arahkan minah gps ke sana.  Perjalanan tidak berapa jauh dari stesen keretapi tadi melalui berhampiran dengan bandar juga.


Bangunan pintu masuk ke lebuhraya bertol

Lebuhraya Pikes Peak mempunyai jarak sejauh sembilan belas batu sebelum sampai di puncaknya.  Ia adalah satu-satunya jalan yang paling indah di muka bumi Allah ini yang pernah Mak Long lihat dan lalui.  Sentuhan angin alam semula-jadi memberi nikmat ketenangan jiwa dan keindahan mata memandang.  Namun di dalam masa yang sama ia juga mengerikan dengan jurang selekoh tajam yang amat merbahaya sekali kiranya nasib malang kenderaan terbabas.  Keseluruhan lebuhraya itu tidak mempunyai pagar atau tembok untuk menghalang kenderan dari terbabas ke dalam gaung.  Kalau berlaku nahas memang tidak ada harapanlah melainkan dengan kuasa Allah.



Leburaya Pikes Peak

Kami sampai di gate masuk ke lebuhraya dan disambut baik oleh seorang pegawai "ranger" berbangsa Korea yang bertugas dan beliau sangat peramah.  Beliau memberi penerangan dan nasihat yang terperinci tentang keselamatan cara memandu naik dan turun Pikes Peak Highway dalam cuaca sejuk bersalji.  Menurutnya ada kejadian runtuhan salji dari ribut malam semalam sangat tebal, licin dan merbahaya terutama di puncak Pikes Peak.  Kami hanya dibenarkan memandu naik ke atas hingga ke batu tanda ke 13 sahaja di mana di situ katanya akan ada seorang pegawai "ranger" bertugas di tempat itu.  Tidak boleh pergi ke puncak!!  Alaa kata hati!  Setelah membayar toll dan menerima peta lebuhraya dan risalah, maka kami pun teruskan perjalanan kami naik ke atas.  Dari pintu masuk ke lebuhraya tersebut sahaja keadaan jalan itu sudah mendatar tinggi dengan ketinggian 7,400 kaki dari aras laut.  Tinggi oo..




Saujana alam luas

Bagaimana pemandangan dari atas lebuhraya di situ?  Masya Allah tidak mampu hendak Mak Long bayangkan betapa indahnya di situ dengan pokok-pokok pine tinggi meruncing ke langit dibalut oleh salji putih bersih.  Sedang di buminya pula memang sudah diliputi salji tebal membuat suasana mengeluarkan bau aroma dari pokok pine serta alam semula jadi yang nyaman.  Terasa tiupan angin sejuk menampar muka.  Segalanya itu tidak dapat dirakamkan melalui gambar atau video.  Luasnya kuasa Pencipta tidak dapat dibandingkan dengan apa sekali pun.


Salji meliputi gunung


Kami selamat sampai ke batu tanda ke 13 .... hmmm mana orangnya?  Tidak ada siapa pun di situ!  Gate pula terbuka luas dan keadaan lebuhraya nampak kering tiada air batu di permukaannya.  Pak Long berhentikan kereta dan kami tunggu seketika .... tiada siapa kelihatan pun.  Pak Long berpendapat mungkin mereka sudah benarkan pelawat-pelawat meneruskan memandu ke atas.  Lagi pun cuaca yang sejuk beku mungkin pegawai itu tidak perlu susah-susah tunggu di situ.  Tempat bertedup pun tiada.  Maka kami teruskan naik ke atas perlahan-lahan hingga sampai melalui batu-batu tanda ke 14, 15, 16, 17, 18 hinggalah seterusnya ke batu tanda ke 19.  Di situ gate tertutup tetapi tidak juga nampak pegawai "ranger" yang sepatunya bertugas di situ.  Salji di kawasan itu tebal dan jalan juga licin kerana air batu.  Hanya lebih kurang satu batu lebih sahaja untuk sampai ke puncak Pikes Peak.  Melihat keadaan begitu mengingatkan peristiwa pengelaman yang kami alami ketika berada di pergunungan di California tahun lalu.  Merbahaya!!  Pak Long berhentikan kereta dengan berhati-hati dan letak kereta di sisi jalan.  Rupanya ramai pelawat-pelawat lain yang sudah sedia sampai di tempat itu lebih awal dari kami tetapi mereka semua tidak berani naik ke atas di puncak memandangkan salji tebal berbukit-bukit sedia untuk runtuh.  Kebanyakan mereka itu adalah anak-anak mudah warga India sedang berseronok main salji bagai hendak gila!  Hahaha.  Tidak lama kami di situ.  Kami kesejukan dan perlahan-perlahan memandu turun gunung.  Walau pun tidak tercapai hajat untuk ke puncak Pikes Peak, cukuplah buat kali ini.  Mungkin di lain kali kami akan datang lagi ke situ.  Mungkin bila cuaca lebih baik dan tidak sesejuk seperti sekarang.



Glen Cove Inn

Dalam perjalanan turun kami berhenti sebentar di hadapan Glen Cove Inn (gambar di atas), tetapi tidak masuk ke dalam bangunan.  Di situ ada disediakan restauran kecil menyediakan minuman panas, menjual barang-barang cenderamata dan bilik air.


Crystal Creek Reservoir

Kami terus turun perlahan-lahan sehingga kami sampai dan singgah di tempat rehat di Crystal Creek Reservoir.  Di dalam bangunan terdapat berbagai jenis cenderamata  yang unik dijual juga beberapa jenis pakaian musim sejuk.  Harga pun agak mahal juga jadi hati pun tidak berasa teringin hendak membeli.   


Crystal Creek Reservoir

Ketika kami sedang membelek-belek barang-barang seorang pegawai ranger masuk.  Beliau memberitahu kami yang mereka akan menutup semua gate.  Ribut salji diramalkan akan turun dalam beberapa jam lagi dan menasihatkan kami agar segera turun ke pengkalan bawah.  Pak Long memberitahu kepada beliau masih ada ramai lagi pelawat di aras papan tanda batu ke 19 di mana gate ke puncak telah sedia ditutup.  Bermakna terpaksalah beliau gigihkan naik ke sana memberitahu mereka-mereka di atas sana supaya meninggalkan tempat tersebut.

Menurut penerangan dari penjual kedai cenderamata itu, ramai pelawat datang untuk menyaksikan perlumbaan kereta di lebuhraya itu yang sering diadakan dalam musim bunga dan musim panas. 


Crystal Creek

Hehehe walau pun begitu sempat juga kami menikmati keindahan di kawasan Crystal Creek itu.  Mak Long terjumpa seekor jenis tupai comel yang dipanggil "chipmunk" sedang membuat sarang.  Dalam gambar di bawah mulutnya penuh dengan rumput kering bahan membuat sarang.  Tengoklah chipmunk comelkan?


Chipmunk

Kami selamat sampai kembali ke bahagian bawah lebuhraya, hari pula sudah petang, cuaca pun sejuk.  Kami terus pulang ke hotel, esok rancangannya kami akan ke Durango menaiki keretapi lama menggunakan kuasa arang batu.  Setelah sampai di hotel Pak Long cakap sebenarnya beliau pun terasa cuak dan seriau juga ketika memandu di lebuhraya itu.  Banyak selekoh tajam tanpa sebarang pagar sebagai pelindung. 


10hb Mei, 2017

Pagi-pagi yang cerah dan ceria membuat hati pun berasa riang begitulah bisik hati sendiri.  Selepas sarapan Mak Long capai dua bag kertas bekalan yang mengandungi air, buah apple, roti muffin dan gula-gula angin (disediakan oleh pihak hotel untuk tetamu yang berpergian) meneruskan perjalanan kami ke Durango untuk menaiki keretapi ke Bandar Silverton.  Ini adalah kali kedua kami ke sana.  Kali pertama kami  ke sana dahulu dalam tahun 2015, tetapi kami hanya dapat naik keretapi sampai setengah jalan sahaja dan tidak dapat meneruskan hingga ke Bandar Silverton disebabkan runtuhan ribut salji teruk menimbus laluan keretapi setinggi dua puluh lima kaki.  



Papan tanda ke Royal Gorge Bridge Park

Perjalanan ke Durango melalui Royal Gorge Bridge Park jadi kami singgah ke sana.  Sambil menyelam sambil minum airlah...



Pemandangan jambantan gantung
Royal Gorge

Sebenarnya kami memang tidak ada rancangan datang ke sini kerana kami pernah berkunjung ke Royal Gorge Bridge Park kira-kira tujuh tahun lalu.  Tetapi alang-alang sudah berada di kawasan itu, kami singgah jugalah untuk ulang tengok!  Dalam masa tujuh tahun berlalu hingga sekarang ternyata telah banyak perubahan berlaku di Royal Gorge Bridge Park. 


Jambatan gantung Royal Gorge   

Royal Gorge Bridge Park adalah tempat yang sama dengan laluan landasan keretapi Royal Gorge tetapi mempunyai jalan masuk berlainan.


The Royal Gorge Bridge

Jambatan gantung Royal Gorge telah dibina dalam tahun 1879.  Nun berbatu-batu jauh ke bawah gaung sana terdapat landasan keretapi di pinggir sepanjang Sungai Arkansas.  Dalam tahun 2013 lalu kawasan perhutanan di The Royal Gorge Bridge Park telah mengalami nahas kebakaran menyebabkan 3,200 ekar kawasan terbakar termasuk sebanyak 48 bangunan turut punah.  Namun jambatan gantung tersebut telah terselamat dan tidak mengalami kebakaran teruk.  Kerja-kerja binan untuk baik pulih telah dijalankan dan dibuka semula untuk penggunjung tidak lama selepas itu.  





Gambar di bawah ini kelihatan dari atas jambatan sayup ke bawah sana ialah Sungai Arkansas dan di pinggirnya pula adalah landasan keretapi yang kami naiki sebelum ini.


Jurang Gunung, Sungai Arkansas dan landasan keretapi


Berjalan di atas jambatan gantung itu berasa jambatan seperti berbuai.  Lagi kuat buaiannya apabila truck atau kereta taman itu lalu.  Kenderaan awam tidak dibenarkan melalui jambatan itu.  Terasa gayat jugalah apabila Mak Long cuba jengok tengok ke bawah.  Kalau jatuh ke bawah memang hancur tidak ada harapan bernyawa melainkan dengan kuasa Allah.  Namun menurut pegawai ranger di situ ada juga insan-insan 'sakit' yang memilih penyelesaian jalan buntu mereka dengan terjun dari jambatan itu.     




Di sepanjang kiri dan kanan pagar jambatan itu diletakan bendera dari setiap buah negeri dalam Amerika Syarikat.  Ada lima puluh dua helai bendera semuanya.  Adalah orang itu teringin hendak ambil gambar sebelahan bendera Texas hahaha.


Banjaran Gunung President Kennedy

Dari jambatan itu juga kelihatan banjaran gunung yang dinamakan Gunung President Kennedy.  Nampak tak puncak gunung itu menyerupai mirip wajah President Kennedy sedang baring tidur?

Selepas pusing-pusing kawasan itu kami teruskan perjalanan ke Durango pula.  Dalam perjalanan kami ternampak kawasan ini dan kami berhenti singgah sebentar melihat air terjun dari gunung.  Cantik! 




Kami sampai di Durango lewat tengah hari.  Kami terus ke hotel, makan tengah hari, dan berihat sebentar.  Kami tinggal di Durango selama tiga malam.