Pages

Showing posts with label Quilts. Show all posts
Showing posts with label Quilts. Show all posts

Friday, November 9, 2012

Nota Quilt Untuk Adik Angkat

Assalamualaikum,

Dalam tahun 1990an kami sekeluarga berpindah ke negeri Pantai Timur menyambut seruan sebuah syarikat perusahaan cari-gali yang mewajibkan sebahagian ahli pekerja-pekerja beralih kedudukan tempat kerja.  Alhamdulillah kami sekeluarga tidak menghadapi sebarang masaalah bertukar angin di Pantai Timur.  Putera-putera dan puteri-puteri semua mendapat penempatan  persekolahan yang terbaik di daerah tersebut kala itu.  Alhamdulillah, Mak Long pula beroleh rezeki pekerjaan dan kedudukan yang sangat baik setelah meletak jawatan lama di Petaling Jaya, Selangor. Paling gembira berpeluang bertemu serta membuat lebih ramai sahabat terutama dengan orang-orang tempatan.  Mereka gelar Mak Long "orang KL" (sebab kami datang dari Kuala Lumpur!).

Suatu hari, Mak Long ditugaskan menemuduga beberapa orang calon untuk mengisi satu jawatan kosong di pejabat sebagai pembantu Mak Long.  Rumit juga hendak memilih calon yang terbaik dan berdidikasi dalam tugas.  Selain itu kami disyaratkan mengutamakan calon dari anak negeri tempatan (masaalahnya tidak ramai anak negeri yang sanggup menyahut cabaran syarikat).  Akhirnya Mak Long memilih seorang wanita muda beranak dua yang sudah berpengelaman berkerja dengan sebuah syarikat antarabangsa di Pantai Timur.  Orangnya putih melepak, cantik, ramah serta rajin pula.  Rupanya tidak sia-sia memilihnya berkerja di syarikat kami.  Kami menjadi kawan rapat dan akhirnya menjadi adik angkat Mak Long hingga ke hari ini.

Sebagai kenangan Mak Long hadiahkan sehelai quilt besar dan sehelai kecil (untuk digantung di dinding).  Bahan yang digunakan untuk quilt besar adalah dua helai kain batik Noor Arfah dari Terengganu digandingkan dengan kain kapas berwarna merah jambu, biru dan hijau.  Quilt ini dinamakan "Friendship" (Persahabatan).


Friendship bahagian hadpan

Friendship bahagian hadapan dan belakang


Quilt untuk digantung kecil ini bercorak (pattern) tradisi lama dipanggil "Churn Dash".  Dalam bahasa Malaysia hmmmm -  kalau perbuatan "memutar, mengodak, mengodeh" dan kalau nama am pula ialah alat pemutar  atau pengodak seperti mengodak susu untuk dijadikan butter... lebih kurang begitulah maknanya ....                                                                                                                                                        

Churn Dash

Sedikit dari koleksi batik Malaysia yang ada dalam simpanan.



Koleksi batik





Wednesday, November 7, 2012

NOTA QUILT UNTUK KELUARGA AL QATANI

Assalamualaium,

Sejak berkecimpung dalam jahitan membuat quilt, tidak tahu berapa helai sudah dihasilkan.  Mak Long lupa berapa jumlah semua kerana terlalu banyak jumlahnya baik bersais kecil atau pun besar; quilt untuk selimut, untuk tutup katil, untuk digantung di dinding, alas meja, untuk bayi dan sebagainya. Setiap helai ada sebab berserta ceritanya tersendiri.  Di dalamnya juga tersimpan segala perasaan terluah yang membantu memberi ketenangan dan kepuasan hati apabila berhasil melahirkan quilt seperti yang digambarkan dalam benakan Mak Long.  Begitulah satu-satunya cara Mak Long mengisi masa lapang sambil berkarya dengan cara tersendiri.

Quilt dibawah ini dihadiahkan kepada sahabat baik kami May dan Batti Al Qatani yang tinggal di Al Jubail, Saudi Arabia.  Batti banyak membantu dalam serba serbi setiap kali Pak  Long berada dan bertugas di sana beberapa tahun (lima atau enam tahun?) ...entah!  Mak Long namakan quilt ini "Kehidupan Berpusing" berbentuk hirisan pie bila disusun menjadi lekaran satu bulatan.  Sedikit rumit menjahit dan mencantumkan kepingan-kepingan itu; begitulah juga kehidupan manusia itu selalu serta sentiasa rumit kalau tidak tahu atau tidak mahu menemui punca  untuk meniti kehidupan yang lurus dan kebenaran.

Bahagian bawahnya sesuatu yang mudah dan terang bercorak dam dan menampakkan hasil rekaan jahitan yang dijahit dari bahagian atas quilt.  Begitulah manusia, kalau hati jujur, bersih dan ikhlas akan terselah walau arah mana ia menghala.


Kehidupan berpusing (bahagian atas quilt)

Corak Dam (bahagian bawah quilt)

Quilt bayi ini dihadiahkan kepada anak sulung Batti dan May bernama Maha.  Menurut Batti quilt ini menjadi 'selimut busuk' Maha.  Setiap waktu tidur mahukan quilt ini.   Waktu bermain pun dia akan heret kesana sini.  Dapat dibayangkan keletah anak comel ini ha ha ha.  Seronok Mak Long dengar kerana dapat memberi hiburan dan ketenangan kepada seorang anak kecil ....Alhamdulillah..


Love Baby

Batti Saad Al Qatani



NOTA:

Carilah dan buatlah orang yang baik-baik sebagai sahabat kerana merekalah biasanya orang terdekat bisa memberi bantuan ketika susah setelah kita berjauhan dari pangkuan keluarga.


Tuesday, November 6, 2012

NOTA QUILT ISTIMEWA

Assalamualaikum, 

Mak Long membuat dua helai quilt yang istimewa untuk arwah Mak Ngah adik Mak Long.  Ketika hayatnya kami sangat rapat dan kembalinya ke rahmatullah sungguh terasa kehilangannya terutama hari-hari istimewanya.   Arwah suka warna cerah dan sangat serasi dengan kulitnya yang putih.  Al Fatihah untuk adik yang sangat dikasih....





Suatu hari kami berkunjung ke rumahnya di Johor Bahru, arwah telah memberikan sebuah bungkusan kain ela yang masih belum dipotong kepada Mak Long.  "Naah, ambik ni...aku tak nak simpan!"  Heran dan membuat Mak Long bertanya kenapa tidak hendak kain batik kuning itu.  

Kain batik ela itu adalah pemberian arwah suaminya yang ketika itu mempunyai isteri muda yang Mak Long difahamkan cuba memisahkan arwah dengan suaminya...naauzubillah .. semuga kezalimannya diampunkan Allah yang maha pengampun dan maha mengetahui segala.  

Hendak buat apa dengan kain itu Mak Long pun hilang punca kerana Mak Long tidak ada hak menyimpannya walaupun sudah diberikan kepada Mak Long.  Mak Long simpan sahaja beberapa tahun lamanya.  Ketika Mak Long bertemu dengan arwah sekali lagi bila balik Malaysia, arwah sering menyebut-yebut tentang suaminya.  Teringat tentang kain batiknya dahulu lalu bila Mak Long sudah balik ke Amerika semula Mak Long hasilkan sehelai quilt besar berdasarkan rekaan "the flying geese".  Mak Long kembali semula ke Malaysia dan menyerahkan quilt tersebut kepadanya di pembaringan di hospital.  Dipeluk dan diciumnya quilt itu...... dibuat selimut hingga ke saat akhir.... innalillah hiwainna ilaihirajioon..









NOTA:

Bertaubatlah segera apabila kita sedar telah berbuat dosa.  
Jangan sekali-kali cuba memutuskan hubungan silturrahim sesama insan.



NOTA BABY QUILT (4)

Assalamualaikum.... Mak Long suka membuat "baby quilt" kerana semuanya bersais kecil dan sangat mudah menjahit dan cepat mengerjakannya.  Dua hari boleh siap satu quilt.



Barisan pertama:

  1. Hush Baby (1) .... niat hendak sedekahkan kepada seseorang tetapi masih belum ada peluang untuk sampaikan niat ini.  Mungkin suatu masa nanti.....
  2. Hush Baby (2) .... dihadiahkan kepada seorang anak buah Mak Long di Malaysia.
  3. Fish .... dihadiahkan kepada cucu Vickie Williams sahabat kami satu tahun lebih yang lalu.  
Barisan kedua:

  1. Love Baby .... dihadiahkan kepada 'Maha' anak Bathi dan May Al Qatani sahabat kami di Dammam, Saudi Arabia.
  2. Scalloped Pink .... dihadiahkan kepada puteri sulung sebagai 'sample' untuk puteri membuat quilt.
  3. Scalloped White .... masih tersimpan di dalam peti.
Barisan ketiga:

  1. Duckie ... masih tersimpan di dalam peti (wooden chest).
  2. Manggis ...masih tersimpan di dalam peti.
  3. Rama-rama  ... masih tersismpan di dalam peti.
Barisan keempat:

  1. Traffic Jam:  permintaan dari Robin (2012)
  2. Duckie .... dihadiahkan kepada cahaya mata Bey dan Awie di Malaysia
  3. Pink .... dihadiahkan kepada Brie cicit Mema








NOTA QUILT MAK LONG (3)

Assalamualaikum...  Setiap tahun harijadi Pak Long datang, tidak tahu apa hendak hadiahkan padanya.  Bila ditanya apa yang diingininya...jawapan dia sama sahaja.."I don't need anything, Dear.  I have everything I need.."   Semasa Pak Long berada di luar negara bertugas Mak Long pun sibuklah buatkan sehelai quilt berukuran besar "king size" untuk hadiah harijadinya.  Quilt yang paling besar pernah Mak Long buat.  Bermasaalah juga kerana mesen jahit terlalu kecil untuk menjahit quilt yang besar.  Hampir sebulan baru siap dan sedang molek bila Pak Long balik jatuh pada harijadinya.

Quilt ini dinamakan Double Irish Chain.  Mak Long gunakan tiga helai kain batik Terengganu "Noor Arfah", kain kapas berwarna hijau lembut dan kain pelikat (sebagai lekaran quilt) sepadan dengan corak dan warna batik.  Pak Long senyum lebar bila menerima quilt ini tanda suka!!!

Double Irish Chain (2007)

*********

Quilt Snow Ball adalah dari cantuman berbagai warna dan corak kain kapas lebihan dari quilt-quilt terdahulu.  Mak Long buat lima helai disedekahkan kepada setiap orang anak lelaki dan satu untuk Robin.

Snow Ball (2007)

**********

Quilt Mema's Flower Garden ialah untuk selimut di musim sejuk (lab quilt) bila duduk-duduk menonton TV.  Satu dari kegemaran peribadi bersais kecil.   Bunga biru itu adalah pemberian Mema yang dijahitnya sudah banyak tahun dahulu ketika zaman mudanya.  Mak Long padankan bunga itu dengan berlatar belakang kain bercorak kecil warna kuning air lembut dan batik biru.  

Mema's Flower Garden (2007)

***********

Percubaan pertama membuat quilt bercorak pelangi log cabin.

Log Cabin

**********

"Flying Geese" - Angsa Terbang (2010)

Flying Geese di antara quilt kesukaan Mak Long.  Ianya nampak banyak kerja dan rumit tetapi sebenarnya mudah membuatnya kalau mengikut aturan cara membuatnya.  Quilt ini "double sided quilt" iaitu boleh diguna bahagian depan dan belakang sebagai muka depan.  Jenis kain yang digunakan ialah kain kapas bercorak ira zaman 1700-1800an.  Harga kainnya sedikit mahal kerana ia direka bentok oleh seorang pereka.  Setelah semuanya siap dicantum dan dijahit, akhir sekali quilt ini Mak Long upah seorang ahli jahit quilt kerana tangan dan jari-jari Mak Long sakit.   Mak Long puas hati dengan cara dia mengquilt.
"Multi-color" (bahagian belakang Flyinf Geese)

**********

Quilt Rempah Ratus ini Mak Long tiru dari sebuah majalah quilt menggunakan pelbagai warna dan corak kain kapas.  Jahitan quilt dijahit seolah-olah ombak di lautan (tidak nampak dalam gambar ini).

Rempah Ratus (2006)




NOTA:

Satu usaha daripada mencari kepuasan hati ialah melekarkan bakat yang ada pada diri sendiri.




Sunday, November 4, 2012

NOTA QUILT - WALL HANGING (2)

Assalamualaikum... Koleksi quilt bersais kecil untuk digantung di dinding atau alas meja.


Barisan atas sekali:
  1. Scalloped quilt   -  Blok four patched dicantum dengan blok berjahit tampal (dalam simpanan)
  2. Tinted Glass quilt (2008)  -  Quilt ini lebihan dari membuat quilt broken rail fence untuk Mema.  Dihadiahkan kepada Judy Jackson sepupu Pak Long yang tinggal di Wickliff, Kentucky.
  3. Autumn Pin Wheel (2009) - Dihadiahkan kepada puteri sulung Mak Long.
Barisan tengah:
  1. Cinta Malaysia  - Pelbagai warna dan corak hati dijahit tampal.  Bingkai quilt menggunakan kain batik Terengganu (dalam simpanan)
  2. Buku Benang (dua helai)  -  Dihadiahkan kepada adik angkat dan sahabat perempuan putera sulung di Malaysia
  3. Soduku  -  Pak Long menyelesaikan soduku kemudian Mak Long buat quiltnya (dalam simpaan.
Barisan bawah sekali:
  1. Autumn Pin Wheel -  Menggunakan berbagai corak dan warna kain kapas.  Mak Long hadiahkan quilt ini kepada Haminah sahabat karib di Malaysia sebagai kenangan dalam persahabatan kami.
  2. Autumn Pin Wheel  -  Lebihan dari membuat quilt untuk sahabat di atas dilahirkan satu quilt terkecil sekali.  Bingkai warna hijau cerah itu dijahit merupakan buah apple (dalam simpanan).
  3. Broken Rail Fence  -  Projek quilt pertama semasa Mak Long mengambil kelas di Wimberley, Texas tahun 2010.  Kaedahnya sama membuat broken rail fence cuma ia disusun sebegitu rupa menampilkan kelainan dari design asal broken rail fence (dalam simpanan). 
**********


Barisan pertama:
  1. Table Runner  -  Menggunakaan kaedah "paper piecing" (dalam simpanan)
  2. Tulip Wall Hanging  -  Menggunakana kaedah "paper piecing" ... (menjahit dan mencantum kepingan kain di atas kertas) juga (dalam simpanan).
Barisan tengah:
  1. Wall Hanging  -  dihadiahkan kepada adik lelaki Mak Long di Malaysia
  2.  Autumn Pin Wheel (2010) -  dihadiahkan kepada Robin
Barisan bawah:
  1. Table Runner  -  dihadiahkan kepada Salbiah sepupu Mak Long di Malaysia juga menggunakan kaedah paper piecing.
  2. Wall Hanging - dihadiahkan kepada Norma sahabat baik yang datang berkunjung dari Malaysia  (2011)

Setiap proses jahitan membuat quilt memberikan kedamaian dalam pemikiran dan ketenangan dalam jiwa serta memberi kepuasan yang tidak terhingga.




NOTA;

Membuat kerja berfaedah sambil berjariah adalah sifat yang baik.



NOTA QUILT MAK LONG (1)


Assalamualaikum,  di bawah ini beberapa gambar quilt yang hanya tinggal koleksi gambar sahaja.  Kesemuanya telah dihadiahkan untuk harijadi atau disedekahkan kepada keluarga "The Raymers".  Keluarga ini adalah sahabat baik kami di Texas.   

The Red Indian

Quilt Red Indian dihadiahkan untuk harijadi Mike Raymer dan mengkarya quilt ini satu cabaran bagi Mak Long kerana setiap potongan kain memerlukan ukuran dan potongan yang tepat (precised cut).  Quilt ini juga adalah sumba ilham Pak Long, kebetulan ketika kami sedang berbelanja kami terjumpa corak kain kapas ini ada dijual di pasaraya Wal-Mart.


The Butterflies

The Butterflies (di atas) dan The Star Wall Hanging (dibawah) hadiah harijadi untuk Elaine isteri Mike.  Rama-rama dijahit tampal (applique) dari berbagai jenis warna dan corak kain kapas.  Mak Long guna pattern "The Star Wall Hanging" yang dibeli dari Wal-Mart.  Dalam bulan September 2012 tahun ini Elaine telah disahkan mengidap barah usus di peringkat tiga/empat dan sedang menerima rawatan kemo untuk merawat bahagian limpa yang sudah dicemar oleh barah juga.  Selepas tiga bulan rawatan ini ia akan menjalani pembedahan membuang barah ususnya.


The Star Wall Hanging

Broken Rail Fence

Broken Rail Fence dan Nine Patched ialah hadiah harijadi untuk Mema ibu kepada Mike.  Mema banyak memberi galakan pada Mak Long dalam menghasilkan quilt.  Malah beliau telah memberi semua buku dan majalah lama berkenaan quilt dan berbagai jenis kain pada Mak Long.  Mema tidak berupaya menjahit lagi lantaran usia yang sudah lanjut ke penghujung (89 tahun umurnya) dan sudah hilang cahaya pengelihatan kedua-dua matanya.  Saat ini pula Mema disahkan mengidap barah paru-paru dan doktor berkeberatan memberi rawatan kimo atau pembedahan kerana keadaan Mema yang sangat lemah tetapi wanita ini mempunyai semangat yang kukuh dan kuat seperti besi waja.


Nine Patched

Kusyen Victorian Lady

Mema suka kusyen.  Kegemarannya juga pergi ke garage sale (ketika matanya masih boleh melihat dan kuat berjalan lagi) dan membeli banyak kusyen.  Di kamar tidurnya penuh dengan koleksi berbagai kusyen.  Mema meminta agar Mak Long buatkan dia sepasang kusyen bertemakan wanita abad Victoria (era Ratu Victoria zaman dahulu di England).  Itulah hasilnya.   Perca-perca lebihan kain dijahit tampal pada kain merah.  


Kusyen warna hijau pula Mak Long buat untuk harijadinya yang ke lapan puluh tahun.  Bintang dicantum mengikut kaedah "nine patch".


Kusyen Bintang

Mema's Garden sempena mengingati Mema.  Bunga merah itu ialah kerjatangan Mema sudah banyak tahun dahulu dan diserahkani kepada Mak Long.  Dia mencantum keratan kain berbentuk hexagon dengan jahit tangan sahaja.  Suatu hari Mema telah meminta Mak Long agar membuatkan sehelai quilt untuk anak perempuannya Kay.  Telahan sudah ada bunga merah ini sebagai bahan dari Mema sendiri Mak Long buatkanlah satu.  Bunga merah itu dijahit tampal (applique) pada kain warna lembut merah jambu.  Inilah hasilnya.  


Mema's Garden


Four Patched Baby Quilt ini dihadiahkan kepada Brie cucu Kay dan cicit kepada Mema.  Brie melahirkan bayi perempuan dinamakan Kayla ..oneng-oneng (?) "great great grand daughter" selepas pangkat cicit?!??  Mereka sudah jadi lima generasi!


Four Patched Baby Quilt



NOTA:

Tangan yang memberi adalah lebih baik dari tangan yang menerima.  Berilah dengan ikhlas tanpa mengira bangsa, darjat dan ugama.  Jangan mengharapkan pembalasan dari orang yang kita beri.




NOTA SENI QUILT

Assalamualaikum.....

Berkarya dan berseni sungguh luas dunianya dan tiada bertepi bagi seseorang seni.  Perbagai benda dan bahan baru atau lama boleh dikaryakan menjadi sesuatu benda yang cantik, unik dan berseni.  Mempunyai sesuatu hobi untuk berkarya mampu menghasilkan sesuatu benda yang cantik di kaca mata pemerhati seseorang lain dan ia boleh menjadi dan mendatangkan rezeki yang baik serta lumaian.     Kini ramai orang berhobi dengan berkarya bermacam-macam rupa dan jenis yang satu ketika dahulunya hanyalah sebagai kegemaran masa lapang dijadikan sebagai punca mata pencarian.  

Sejak kecil-kecil lagi Mak Long suka pada seni lukisan dan kerja-tangan.  Mak Long tertarik dengan melihat warna-warna cerah dan lembut.  Warna yang berupa powder atau cecair boleh diadun dengan warna lain akan bertukar menjadi satu warna lain dan menarik.  Masih ingat lagi Emak sering memarahi Mak Long kerana menconting dan melukis di dinding rumah dengan arang dari dapur Emak.  Masa dulu-dulu kami guna kayu api untuk memasak dan dari kayu yang dibakar itu menjadi arang hitam.  Bila sudah masuk sekolah Mak Long akan punggut puntung-puntung kapur alat penulisan guru pada papan hitam yang sudah patah dan kontut telah dibuang oleh guru.  Terlalu suka sekali kalau dapat punggut kapur yang berwarna.  Mak Long akan melukis tidak kira di mana, di dinding, di tangga rumah dan di dapur.  Kesukaan masa itu ialah melukis orang lidi pakai baju kembang (gown/dress).  Tidak pernah serik walaupun beribu kali kena marah dari Emak.  Minat punya pasal!  Semua anak-anak Mak Long mempunyai minat dalam seni lukisan dan Mak Long sentiasa memberi galakan kepada mereka.

Apabila kami menetap di Amerika tahun 1997, Mak Long mula tertarik dengan seni membuat quilt.  Di hati ingin mempelajari seni ini dan Mak Long mula berjinak-jinak dengan membeli buku-buku membuat quilt dan melangan beberapa jenis majalah quilt.  Mak Long belajar dari situ hingga bolehlah membuat beberapa helai quilt kecil dan besar.  Kebanyakan quilt yang dihasilkan Mak Long sedekahkan dan hadiahkan kepada keluarga terdekat dan sahabat-sahabat.  Hanya beberapa helai sahaja yang tinggal dalam simpanan Mak Long.  Tidak pula teringin hati Mak Long hendak menjual quilt-quilt itu.  Terasa sayang dan ralat hendak dijual kerana setiap helai yang dihasilkan adalah dari naluri seni sendiri dan dijahit denga penuh perhatian dan sayang.  Tahun 2011 beberapa bulan selepas kami pindah di Canyon Lake, Texas Mak Long dapat peluang belajar membuat quilt secara rasmi di sebuah pusat membuat quilt di Wimberley, Texas.  Bagus kalau ada peluang belajar di tempat yang khas walaupun Mak Long kebanyakan yang diajar sudah Mak Long ketahui dan membuatnya dengan belajar sendiri.

Quilt pertama (2004)
Quilt pertama Mak Long hasilkan, semuanya dijahit tangan dari awal hingga ke akhir.  Quilt ini mengamabil masa lebih kurang tiga bulan lebih menjahitnya.  Kalau menggunakan mesen jahit boleh mengambil masa dalam seminggu sahaja bagi quilt yang besar dan sederhana begini.

Quilt ini terlalu istimewa bagi Mak Long dan guna setiap malam untuk selimut kami.  Puteri telah beberapa kali memohon agar quilt ini diberikan kepadanya.  Tetapi biarlah yang pertama ini kami guna untuk sendiri.   Yang lain dan lebih menarik biarlah puteri ambil mana dia suka.


Quilt kedua (2004)

Pak Long memberi galakan dan sokongan dalam usaha Mak Long membuat quilt dan beliau telah menghadiahkan sebuah mesen jahit jenis "Brother" sekembalinya dari Delware di mana beliau bertugas ketika itu.  Kemudian membelikan sebuah meja khas untuk mesen jahit pula.  Quilt kedua Mak Long jahit mengunakan mesen jahit baru.  Yang ini Mak Long reka sebuah bendera negeri Texas dengan mengikut ukuran bendera asas yang betul.  Quilt ini Mak Long hadiahkan kepada Robin anak Pak Long.





Morning glory (2004)

Morning Glory ini khas untuk Emak tersayang.  Emak gemar warna biru, jadi keseluruhannya menggunakan kain kapas warna biru.  Bunga biru itu dijahit kaedah jahit tampal (applique).









Flower garden (2005)



Flower Garden dihadiahkan untuk harijadi kepada puteri sulung Mak Long.  Bunga-bunga itu dijahit tampal (applique).











Pin Wheel (



Pin Wheel dihadiahkan kepada putera sulung untuk harijadinya.












Irish Chain


Irish Chain ini Mak Long guna kain batik "Noor Arfah" dibeli dari Kuala Terengganu semasa Mak Long melawat adik angkat di sana.  Quilt ini dihadiahkan kepada Busu Mai adik Mak Long yang bungsu.












Ketika Pak Long bertugas di Baton Rouge, Louisiana Mak Long abadikan sehelai quilt untuk digantung ke dinding.  Sekuntum bunga peony Mak Long lukis sendiri dan warnakan mengikut kaedah "wax cracking" cara pengecapan batik yang Mak Long pelajari beberapa tahun dahulu di Kuala Lumpur.  Inilah hasilnya.

Baton Rouge Wall Hanging

Insyaalah Mak Long akan paparkan beberapa quilt karya sendiri di halaman yang akan datang.  




NOTA:  

Mempunyai sesuatu kegemaran hobi adalah cara baik untuk mengisi masa lapang.