Pages

Showing posts with label Rawatan Mata. Show all posts
Showing posts with label Rawatan Mata. Show all posts

Friday, October 11, 2013

Nota Doktor Perihatin

Assalamualaikum,

Hari ini Mak Long ada temujanji dengan Dr Micheal Singer di pejabat kelinik mata di MCOP, Northeast, San Antonio.  Lawatan ini ialah lawatan rawatan susulan setiap enam bulan sekali untuk melihat perkembangan kesihatan mata terutama mata kiri setelah menerima rawatan pembedahan 'macular hole'.  Seperti biasa apabila sampai di kelinik, Mak Long mendaftar nama sebelum dipanggil oleh pembantu jururawat bertugas.  Selepas semua selesai Mak Long dipanggil masuk ke bilik rawatan.  Di situ jururawat menguji tahap pengelihatan.  Mata kanan bagus 20/20.  Tetapi mata kiri menunjukan menurun tahap pengelihatan.  Mak Long tidak boleh baca huruf yang ditunjukan.  

Kemudian jururawat mengambil tekanan mata, tekanan menunjuk normal iaitu 13, 13 kedua-dua mata.  Kedua-dua mata diberi titisan pelali dan titisan dilation.

Dr Singer menyatakan kebimbangannya tentang tahap pengelihatan mata sebelah kiri menurun.  Katanya lagi, sepatutnya pengelihatan bertambah baik atau tidak kurang dari pemeriksaan dahulu.  Katanya juga kedua-dua mata terdapat sedikit kekeringan walaupun dulu Mak Long sudah menjalani rawatan 'Lipi Flow'.  Lantas ia meminta jururawat terlatih mengambil gambar kedua-dua mata.  Mak Long dibawa ke suatu bilik di mana sebuah mesen canggih mampu mengambil gambar menunjukkan lapisan dalam mata.  Hmmm canggih sungguh teknoloji kini.




Macular Hole Berjaya Dirawat


Beberapa minit kemudian Mak Long dibawa ke bilik Dr Singer semula.  Di situ Dr Singer memberitahu bahawa tiada apa-apa masaalah pada mata kiri.  Beliau menunjukkan imej lapisan dalam mata (imej di atas) yang diambil oleh jururawat sebentar tadi.  Macular hole juga sudah sembuh dan nampak rata.  Yang ada hanyalah parut bedahan yang sangat halus.  Parut inilah membuat kekadang Mak Long tidak boleh nampak jelas apabila merenung tepat pada sesuatu objek.  Sebelum menjalani rawatan di tengah-tengah lapisan warna hijau itu ada satu lekuk atau lubang dalam.  Kini lubang itu sudah tiada dan hampir normal.  Beliau memeriksa mata Mak Long lagi, kali ini ia lebih cermat dan berhati-hati serta cuba mencari punca masaalah.  Beliau bertanya kalau Mak Long ada mengambil sebarang ubat baru.  Ya, Mak Long ambil ubat alahan 'claritin' kerana gatal tekak, mata, bersin dan berair hidung.  Memang waktu begini dalam musim luruh dan bunga Mak Long mudah mendapat alahan dari pokok cider dan bunga-bunga rumput yang banyak di sekeliling kawasan rumah.  Habuk juga menjadi alahan pada Mak Long.  

"Hahhh... that's it!  Your medication is making your eyes dry!  When your eyes are dry you will not see clearly!......!"

"Okkk..... I guess that explains everything ... actually I do feel dry in my eyes",  Mak Long mengaku.

Dr Singer sangat bagus menjalankan tugasnya. Beliau sentiasa membuat pesakitnya berasa penting serta istimewa.  Keselesaan pesakit diutamakan membuat pesakit percaya ia mampu membantu.  Dr Singer mahu melihat perkembangan seterusnya selepas tiga bulan dari sekarang.  Jadi temujanji telah diatur oleh jururawat pada awal bulan Januari 2014.  Nampak gaya tidak boleh pergi ke mana-manalah pada tarikh yang ditentukan itu.  Siang-siang lagi Dr Singer telah mengucapkan Selamat Tahun Baru 2014.



















Friday, June 28, 2013

Nota Rawatan LipiFlow

Assalamualaikum,

Kali ini Mak Long hendak menulis tentang rawatan penyakit mata kering atau "Blepharitis".  Pernah menulis tentang "Blepharitis" bertajuk "Nota Penyakit Kering Mata (Blepharitis) dalam bulan Mac 2013.  Dr Michael Orozco telah membuat pemeriksaan mata Mak Long dan mengesahkan mengidap penyakit tersebut.  Kedua-dua mata menunjukkan tanda-tanda kekeringan dan mungkin menjadi lebih teruk lagi kalau tidak dirawat.  Terdapat kelemahan di sekeliling kelinjar bibir mata tidak dapat mengeluarkan air mata yang mencukupi untuk melembabkan mata.  Beberapa petua untuk mengurangkan rasa kekeringan yang dinasihatkan telah dicuba.  Di antaranya menggunakan kaedah mendemah/menekap kedua mata dengan tuala bersih yang dibasahkan dengan air suam, dan letakkan tuala itu pada mata tertutup selama 1 hingga 2 minit.  Kemudian ulang cara begini beberapa kali serta bersihkan perlahan-lahan di sekeliling pangkal bulu mata setiap hari sekurang-kurangnya dua kali sehari.  Namun kaedah ini masih tidak memberi kesan disamping menggunakan titisan air mata buatan (tear drop) ke dalam mata.  Dr Orozco mencadangkan Mak Long menjalani rawatan "LipiFlow". 

Seminggu selepas pertemuan dengan Dr Orozco, Mak Long ada temujanji pula dengan Dr Jason Burns untuk rawatan susulan selepas menjalani rawatan membersih cataract dan memasang kanta "ReStore Len" ke atas mata sebelah kanan.  Mak Long beritahu tentang perbincangan dengan Dr Orozco.  Kami berbincang dengan panjang lebar pros dan cons membantu Mak Long membuat keputusan seterusnya.  Dr Burns menyakinkan Mak Long bahawa rawatan ini dapat membantu masaalah kering mata dan beliau sendiri bertauliah melakukan rawatan tersebut.  Jadi Mak Long yakin dan bersetuju menjalani rawatan LipiFlow dengan Dr Burns memandangkan pertamanya; dia bertauliah dan kedua beliau dapat menyakinkan khidmat yang diberi akan memberikan hasilnya.

Tarikh rawatan ditetapkan pada 16hb May, 2013.  Pada hari tersebut Mak Long menerima dua rawatan iaitu rawatan "YAG CAP" di mata kanan dan sejam kemudian, menjalani rawatan LipiFlow pula pada kedua-dua mata.

YAG ialah kaedah rawatan diberi kepada pesakit mata selepas menerima rawatan membuang selaput "cataract" dan memasang kanta "ReStore Len" dengan tenaga laser.  Rawatan ini disusul untuk membersihkan kanta dari selaput yang masih tinggal di kanta baru itu.  Pesakit tidak perlu dirawat di rumah sakit dan masa rawatanya singkat hanya beberapa minit sahaja.  Setengah pesakit akan bertambah baik secepat selepas rawatan dan setengah pula perlu beberapa hari sebelum boleh melihat dengan jelas.  Bagi Mak Long mengambil masa dua tiga hari baharu jelas pengelihatan.  

Apakah Rawatan LipiFlow?


Inilah mesen LipiFlow yang digunakan


Rawatan LipiFlow ialah satu kaedah baharu ditemui untuk merawat penyakit mata kering "Blepharitis".  Alat yang digunakan diletakan di bawah bibir mata atas dan bawah yang dibentuk sedemikian rupa supaya tidak menyentuh sedikit pun pada "cornea" ketika rawatan dijalankan.  Kemudian pesakit dibaringkan dan berehat di kerusi yang selesa ketika rawatan dijalankan selama 12 minit.  Sistem rawatan ini menggunakan tenaga haba yang berfunsi sebagai urutan perlahan-lahan pada bibir mata membantu membuka rongga lubang kelinjar yang tersumbat dan mengeluarkan kekotoran.  Ia juga akan membantu mengeluarkan air mata semula jadi semula.  Buat sekarang rawatan ini hanya diberikan kepada orang dewasa sahaja.  Selepas rawatan itu keselesaan dirasai serta pengelihatan pun bertambah baik.  Dr Burns memberitahu dalam masa dua tiga hari Mak Long merasa keselesaan, tetapi lebih kurang seminggu selepas itu rasa kekeringan akan terasa pula.  Ini disebabkan saluran kelinjar mula membuat air mata sendiri.  Untuk melegakan rasa kekering dinasihatkan mengguna titisan air mata buatan.  Alhamdulillah rawatan LipiFlow membantu mengatasi masaalah yang ditanggung begitu lama.

Untuk pengetahuan semua harga rawatan ini berharga USD1,400.00 bagi kedua-dua mata. Agak mahal, mungkin buat masa-masa hadapan apabila sudah banyak khidmat ini digunakan harganya mungkin kurang sedikit.  Mak Long agak aje....


















Saturday, March 9, 2013

Nota Penyakit Kering Mata (Blepharitis)

Assalamualaikum,  


Beberapa hari yang lepas atas nasihat Dr Michael Singer, Mak Long telah menemui seorang lagi doktor pakar mata iaitu Dr Michael Orozco di Medical Center Ophtalmology Associates, San Antonio, Texas.  Di pusat inilah juga Mak Long telah menerima khidmat perubatan mata sejak satu tahun lebih dari Dr Michael Singer dan Dr Burns.  Di kelinik ini mereka memberi khidmat perubatan dalam segala jenis masaalah dan penyakit mata. Dari masaalah mata rabun hinggalah segala masaalah penyakit mata yang lebih rumit termaksuklah sessi pembedahan.  

Kali ini Mak Long mengalami kedua-dua mata terasa kering menyebabkan ada kalanya pengelihatan kurang jelas dan kurang selesa.  Sebenarnya masaalah ini telah dialami semenjak masih muda-muda lagi hanya tidak pernah diambil kesah kerana memikirkan masaalah ini tidak penting tambahan lagi sentiasa sibuk dengan perkara-perkara lain meniti hidup.  Janji-temu dengan Dr Michael Orozco berjalan dengan lancar.  Melalui ujian yang dijalankan Dr Michael memberitahu Mak Long mengalami penyakit 'Kering Mata' yang dipanggil "Blepharitis".  Kata Dr Orozco "Dry eye is a disease" iaitu mata kering adalah sejenis penyakit mata.  Katanya lagi berjuta orang mengalami penyakit ini tetapi banyak kes tidak diberi perhatian untuk mengubatinya.  Kelenja pengeluar air mata tidak dapat mengeluarkan air mata untuk melembabkan mata kerana salurannya tersumbat oleh minyak yang menjadi beku di saluran.


Fungsi Kelenja Pengeluar Air Mata dan Minyak Di Sekeliling Mata


Apakah "Blepharitis"?

Blepharitis biasanya berlaku apabila seseorang itu mengalami tidak selesa pada matanya walaupun setelah menitiskan air mata buatan (tear drop) ke dalam mata.  Beberapa tanda telah dikenal pasti melalu kajian yang dibuat oleh para pakar mata dengan menggunakan berbagai teknologi masakini.  Penyakit ini sebenarnya boleh berlaku bila-bila masa atau ketika umur seseorang itu masih kecil lagi.  Antara tanda-tanda yang nyata termasuklah:

Mata terasa tidak selesa
Mata terasa seperti berhabuk atau berpasir
Mata terasa penat dan letih
Mata selalu berair
Bibir mata terasa gatal dan menjadikan mata merah
Pemandangan kadang kala tidak jelas
Terasa tidak selesa menggunakan kanta mata/"contact len"

Menurut doktor lagi kuman bacteria ini berada pada kulit manusia, tetapi sesetengah orang kuman ini masuk ke dalam kulit di pangkal barisan bibir alis bulu mata bahagian atas dan bawah mata.  Ini menjadikan rasa tidak selesa dan rasa radang.  Kadang-kadang boleh menjadikan kulit di kawasan itu seperti kelemumur kering di sekeliling mata juga di alis bulu mata.  Apabila terjadi begini, setengah orang mendapat alahan gatat-gatal di sekeliling mata.  Lebih teruk lagi ia akan jadi radang pada tisu mata, terutama pada cornea (bahagian hadapan mata).  Orang dewasa yang telah berumur lebih biasa mengalami keadaan begini.

Bagaimana hendak merawat "Blepharitis"?

Menurut Dr Orozco, keadaan ini mungkin belum ada ubat sesuai untuk disembuhkan tetapi boleh dikawal melalui beberapa kaedah yang perlu diambil.  Antara caranya ialah:
  • Basahkan tuala kecil dengan air panas suam, perah airnya dan letakkan tuala pada mata tertutup selama 1 atau 2 minit.  Ulang cara begini hingga dua atau tiga kali dan lakukan setiap hari sekurang-kurangnya dua kali sehari. Kaedah ini akan melembutkan dan mengeluarkan kelemumur kering itu.  Ia juga akan mencairkan pengeluaran minyak dari kelenjar minyak yang terdapat di sekeliling alis mata.
  • Kemudian lap perlahan-lahan keliling pangkal bulu mata dengan menggunakan jari yang dibalut dengan tuala kecil, kapas, atau tuala lembab lab mata sekarang ada dijual di famasi.  Lakukan ini kira-kira 15 saat setiap atas dan bawa alis mata.
  • Doktor mungkin memberi pesakit titisan antibiotik yang perlu dititiskan dalam mata.  Ikutlah nasihat doktor.
  • Titisan air mata tiruan boleh digunakan untuk melegakan kering mata.
  • Doktor juga mungkin memberi antibiotik untuk dimakan sebagai mengurangkan kuman di bibir alis mata.  Sekiranya keadaan kekeringan mata lebih teruk, mungkin rawatan "tetracyckube" melalui mulut akan dilakukan.

Mengambil perubatan sahaja tidak mencukupi untuk melegakan masaalah ini.  Cara menggunakan kain tuala suam yang basah seperti yang diterangkan di atas lebih baik untuk mengawal "blepharitis".

Adalah penting bagi setiap orang selalu melakukan pemeriksaan mata oleh doktor pakar mata kerana penyakit mata boleh berlaku tidak mengira umur seseorang atau masa.  Malahan kebanyakan masaalah mata buta juga boleh dikawal dan dicegah sekiranya cepat dikenal pasti serta mendapat rawatan di peringkat awal.








Sunday, February 17, 2013

Nota Rawatan Laser

Assalamualaikum,

Sudah dua hari suntuk Mak Long memerap dalam rumah.  Di luar sejuk dan angin pula bertiup kencang bagikan hendak tercabut pokok-pokok di sekeliling.  Suhu dalam rumah sudah tinggi tetapi Mak Long masih berasa sejuk.....   Demam ke?  Entahlah... 

Dua hari lepas iaitu hari Jumaat Mak Long ada temujanji dengan Dr Michael Singer, doktor merawat mata kiri yang masih bermasaalah.  Rawatan itu berjalan lancar sebagai yang dijadualkan jam tiga setengah petang.  Tujuan rawatan laser pada anak mata ialah untuk membersihkan titik lapisan yang melindungi  pengelihatan.  Amnya Mak Long kalau dengan mata kasar boleh nampak jelas di sekeliling tetapi bermasaalah untuk menumpukan untuk membaca kerana titik lapis itu.  Ini disebabkan dari rawatan pembedahan "macular hole" dahulu.  Kira-kira cacatlah mata kiri Mak Long ya......  

Sebelum rawatan itu dilakukan seperti biasa juru technician (pembantu yang menguji keupayaan pengelihatan pesakit) menyuroh membaca beberapa huruf di dinding dengan mata sebelah ditutup.  Hasilnya sama juga, Mak Long tidak boleh baca.  Kemudian beliau menitikkan beberapa titik ubat untuk membesarkan anak mata hitam bagi persedian rawatan.  Dalam hati risau juga, bolehkah Mak Long pandu kereta pulang kerumah selepas rawatan ini ... Tawakal sajalah, kata hati memujuk.  Dr Singer membuat rawatan hanya beberapa saat sahaja sudah selesai.  Cepat sungguh!  Dia berharap rawatan laser itu akan membantu memulihkan pengelihatan mata Mak Long.  Mak Long pun berharap begitu juga... Dalam masa dua, tiga hari ini pandangan akan kabur katanya dan akan mula baik selepas itu.....insya Allah dengan izin Nya.

Temujanji dengan Dr Singer seterusnya ditetapkan tiga minggu dari sekarang.  Asyik jumpa doktor ini sahaja, naik jemu pula.  Sebenarnya Dr Singer sangat bagus dan berdidikasi dalam kerjayanya sebagai doktor pakar mata.  Dia seorang yang bertanggong jawab dan perihatin terhadap pesakit-pesakitnya. Mak Long puas hati dengan perkhidmatnya dan berbaloi juga.

Dalam kereta Mak Long duduk lama hingga rasa selesa sedikit baharulah mulakan perjalanan balik ke rumah.  Amboi.... banyaknya kereta..... masa orang balik dari kerja, semuanya laju-laju belaka.  Sungguh tidak selesa memandu dengan satu biji mata hari itu.  Dalam hati berkata, beginilah agaknya rasa orang yang ada mata satu tengok.... Mujurlah orang di sini walaupun memandu laju, mereka masih bersopan dan mengikuti undang-undang jalanraya.  Kalau di Malaysia sudah pasti dengan cara Mak Long memandu sudah lama kena ten.. ten.. dan dimaki oleh pemandu-pemandu yang tidak sabar.  Akhirnya sampai juga di rumah dan bersyukur kepada Nya.  



Mendung Dan Kesejukan










Saturday, September 15, 2012

NOTA RAWATAN RSTOR/LASIK MATA (3)

Sejak pembedahan mata sebelah kanan untuk membuang selaput cataract dan mengenakan kanta Rstor pada 14hb May 2012, pengelihatan buat minggu pertama adalah baik tetapi beberapa hari setelah itu pengelihatan bertambah menurun dan tidak jelas bak kristal.  Ini menurut Dr Burns ada selaput filem di kanta yang disebabkan oleh astigmatism yang sudah bertahun lama bertapak di mata malah kedua-dua mata.  Untuk merawat astigmatism yang menganggu pengelihatan seseorang itu perlu menjalani rawatan laser atau lasik.  Rawatan lasik adalah rawatan terkini untuk merawat pengelihatan mata rabun jauh atau rabun dekat, justeru tidak memerlukan memakai cermin mata sekiranya rawatan itu berjaya dijalankan.  Rawatan laser ini dipersetujui ini memang sudah termasuk dalam package seluruh rawatan pembedahan kedua ini.  Kami hanya menunggu tarikh untuk rawatan lasik ini beberapa lama kerana pertama Dr Burns mahu pembedahan cataract baik betul dan kedua menunggu masa yang sesuai bagi pihak jabatan lasik.  Akhirnya 31hb Ogos, 2012 adalah tarikh yang ditetapkan dan masanya adalah awal pagi jam 8.30 pagi untuk rawatan lasik mata kanan Mak Long.  

Pada 31hb Ogos, 2012 jam 6.45 pagi kami telah siap dan terus bertolak ke Alamo Laser Vision Center, Northwest Center, 7550 IH-10 West, Suite 1240, San Antonio.  Kami mesti berada di pusat tersebut jam 7.30 pagi untuk persediaan pembedahan lasik pagi itu. Dalam hati Mak Long berdebak-demuk rasa gemuroh.  Mana tidaknya mana tau mereka salah buat ke? hishhhhhh naya mata!  Selepas pendaftaran dibuat, pembantu jururawat bertanya kalau Mak Long perlu ambil valium untuk tenteramkan fikiran.  Pak Long sibok katanya "bagilah satu, dia perlu!!"  Haiyaa... Mak Long pun telan sebiji valium dan kata pembantu itu ia akan bertindak balas antara 20-23 minit.  Mana ada....!  Tidak sampai sepuluh minit Mak Long sudah mula tersengih-sengih, rasa hendak menari dan menyanyi pula ..anihnya penangan ubat dadah ini!  Mak Long pergi ke bilik air yang terletak di luar pejabat itu, Mak Long terasa kepala ringan perasaan dan tidak rasa bermasaalah hanya perasaan tenang sahaja...sambil menyanyi dan menari-nari di dalam bilik air macam perangai budak-budak dapat air sekerim.  Nasib baik tidak ada sesiapa memerhati di situ, kalau tidak mesti dia kata Mak Long sewel pulak.  Patutlah ramai orang jadi penagih dadah....ini baru vallium.......

Sampai masa Mak Long masuk ke bilik pembedahan.  Sejuk bilik itu!  Mak Long perlu kain selimut ...hmmmm mereka bagi kain selimut yang dipanaskan, nyaman rasanya.  Dr Burns, laser technicsan dan pembantu sudah bersedia menunggu.  Satu suntikan diberi pada Mak Long agar bahagian mata kanan kebas memudahkan tugas mereka. Mak Long sedar dan boleh berkumunikasi dengan mereka. Mereka cakap kalau Mak Long rasa tidak selesa atau rasa saki bagi tahu mereka. Pak Long pula dapat melihat seluruh pembedahan melalui tingkap cermin besar bilik pembedahan dari luar.  Pembedahan ini berlainan...ia banyak menggunakan titisan air dan juga titisan ubat laser.  Dalam masa lapan saat pembedah sudah siap.  Selaput kanta dipasang dalam mata kanan sebagai pelindung daripada habuk, angin dan lainnya selama seminggu dan akan dibuka kanta tersebut oleh Dr Burns seminggu lagi.  Penangan valium masih kuat menguasai seluruh badan dan fikiran.  Mak Long rasa terlalu seronok dan tengok semua orang-orang di sekiling baik-baik dan cantik.  Bila Dr Burns hulur tangan untuk bantu turun dari meja pembedahan amboi! amboi! Mak Long perasan handsome nya omputih itu.  Bibir Mak Long sentiasa mengorak senyum hingga Dr Burns dan semua ahli pekerja di situ suka dan gelak tengok Mak Long.  Beberapa jenis ubat titisan air mata juga ubat tahan bisa telah disediakan untuk Mak Long guna bila perlu.  

Oleh kerana pagi tadi bila bertolah dari rumah tidak sempat hendak minum kopi atau menjamah makan apa-apa pun.  Perut kami sudah berkeroncong minta diisi.  Kami singgah di IHOP Restaurant, Mak Long hendak makan pan cake dengan telor rebus.  Pada mulanya tidaklah terasa sakit hinggalah beberapa minit kemudian terasa pedih seperti kena hiris dengan pisau nipis.  Seluruh mata kanan sudah merah.  Pak Long cepat-cepat ambil ubat tahan sakit untuk dimakan dan air titisan ubat untuk titikan dalam mata barulah kurang sakitnya.

Petang hari yang sama, Mak Long kembali berjumpa Dr Burns di pejabatnya untuk melihat keadaan mata.  Beliau memberitahu semua bekas pembedahan nampak baik seperti yang dikehendaki dan katanya pengelihatan mata akan menurun teruk untuk beberapa hari.  Katanya Mak Long tidak perlu bimbang kerana selepas itu pengelihatan akan perlahan-perlahan kembali seperti sediakala 20/20.  Ubat yang diberi mesti dihabiskan seperti yang diarahkan.  Mudah-mudahan begitulah hendaknya. 

Appointment seterusnya adalah pada 28hb September, 2012 jam 11.00 pagi di Medical Center Ophthalmology Associates, Northeast , San Antonio.







Saturday, September 1, 2012

NOTA RAWATAN RSTOR/LASIK MATA (2)

Pada 23hb March tahun 2012 ini pembedahan merawat "Macular Hole, Retna Hole dan Cataract telah dilakukan dengan jaya dan selamat ke atas mata kiri Mak Long.  Alhamdulidllah dan sangat bersyukur kepada Illahi yang masih menyayangi dan memanjangkan usia hingga ke saat ini.  Rawatan selanjutnya dari Dr Singer dan Dr Burns ke atas mata Mak Long mengambil masa yang panjang hingga berbulan-bulan lamanya dan sangat memuaskan hasilnya walaupun ambil masa yang lama.  Kedua-dua doktor pakar ini sungguh berdidikasi dengan tugas dan perhatian mereka kepada pesakit-pesakit mata.  Bayaran yang dikenakan juga sangat berpatutan kerana kami tidak ada insuran perubatan untuk membiayai pembedahan ini.  Ya Allah sesungguhnya ENGKAU maha berkuasa, maha pemurah, maha perlindung, maha mengasihi dan maha penggampun.

Rawatan seterusnya untuk membuang selaput cataract dan mengantikan kanta Restor di mata kanan pula telah dipersetujui dan ditetapkan antara Dr Burns dan pihak kami sebaik sahaja Dr Singer memberi kata boleh.  Dr Singer mahu mata kiri Mak Long benar-benar pulih dan gas sudah hilang dari mata sebelum meneruskan pembedahan pada mata kanan.  Tarikh yang ditetapkan ialah pada 14hb May, 2012.  Pembedahan ini diadakan di tempat pusat pembedahan yang sama di mana pembedahan Macular Hole diadakan, hanya pembedahan ini lebih singkat masa yang diperlukan.  Puteri kesayangan sudah mula ada kelas di universiti di mana dia sedang menuntut, jadi tinggallah Pak Long sahaja di samping melayan kerenah isterinya..... he he he Mak Long pesakit yang tidak banyak masaalah tau...he he he masuk bakul angkat sendiri nampak orang tua ini!  Pak Long masak tau!  Tapi tidak sedap..oopps kalau dia dengar mesti dia marah punya...Tidak mengapalah dia tidak boleh baca blog ini.  Ish! ish tentulah Mak Long makan masakannya dan berterima kasih atas penjagaan dan kasih sayangnya....

Di hari pembedahan seperti pembedahan Macular Hole dahulu diarahkan supaya memakai pakaian yang selesa, tidak memakai lotion badan, minyak wangi atau pun make-up.    Setelah sampai giliran Mak Long diberi berbagai jenis cecair titisan mata hingga rasa mata seolah-olah terjojol mahu terkeluar dari kepala..tetapi tidak sakit hanya rasa ketegangan yang amat sangat.  Pembedahan ini juga Mak Long sedar dan boleh berkata-kata kalau Mak Long berasa sakit atau perlu sesuatu.  Dalam kamar pembedahan sejuk dan mereka bagi Mak Long kain selimut yang dipanaskan.  Lihatlah video di bawah ini bagaimana pembedahan cataract dilakukan oleh doktor pakar mata.



Pembedahan membuang selaput cataract

Selepas pembedahan dan setelah berihat beberapa jam Mak Long dibenarkan balik kerumah dan satu temujanji untuk rawatan seterusnya dengan Dr Burns lagi pada hari esoknya telah diatur untuk membuka balut mata kanan dan melihat sejauh mana keadaan mata.  Masa pemulihan juga mengambil beberapa minggu sebelum pembedahan Rstor kanta mata boleh dilakukan untuk merawat astigmatism pada mata Mak Long yang menurut Dr Burns memang sudah ada pada kedua mata sejak kecil lagi.  Penggelihatan Mak Long beransur pulih tetapi oleh sebab agstimatism pengelihatan jadi semakin tidak jelas dan tidak boleh membaca jarak dekat.  Rawatan terbaik hanyalah melalui pembedahan lasik.  Gerun dengarnya?!!!  Perasaan selalu terganggu bimbang dan takut dengan pembedahan tersebut.  Tetapi walau apa pun Mak Long sungguh bersyukur kerana kejayaan dalam pembedahan cataract berjaya.  Terima kasih apda Dr Burns dan Dr Singer.

Setelah sihat semula Mak Long dapat lakukan kerja rumah, memasak, tanam pokok serta jaga tanaman Mak Long dan bergaduh dengan rusa-rusa yang sentiasa mencabar hendak mencuri dan makan tanaman cili Mak Long.  Bila Mak Long masak tidak boleh nampak jelas kalau hendak menggunakan oven, baca resepi atau mengerat sayuran jadi Mak Long guna teropong kaca baru boleh tengok jelas he he he... meletihkan dan tidak seronok serta menyusahkan diri tetapi begitulah setiap hari yang Mak Long hadapi dan dilakukan.  Janji Mak Long sentiasa bersyukur kepada Allah.....



Rusa Gaduh sapa dapat makan pokok Mak Long

NOTA RAWATAN RSTOR/LASIK MATA (1)

Sejak awal tahun 2012 ini beberapa dugan Mak Long hadapi.  Namun Mak Long berasa sungguh bersyukur kerana Allah masih sayang pada Mak Long, menguji ketabahan dan kesabaran kekuatan iman diri.  Sebenarnya kedua mata Mak Long sudah lama bermasaalah cumanya tidak tahu rupanya semakin berumor seseorang itu maka makin bertambahlah kelemahan segala daya panca indera pengelihatan, kekuatan dan tenaga.  Sejak berumur antara dua belas atau tiga belas Mak Long memerlukan cermin mata untuk melihat lebih jelas.  Zaman di sekolah menengah dulu kerja sekolah selalu tidak memuaskan dan terpaksa tanya kawan-kawan sedarjah bila hendak membuat kerja rumah.  Hinggalah seorang dari guru sekolah menyarankan pada "matron" asrama membawa Mak Long ke hospital membuat ujian mata.  Sahlah kena pakai cermin mata.  Dulu-dulu Mak Long sangat malu pakai cermin mata bimbang orang kata hendak eksen atau menunjuk, jadi guna cermin mata hanya dalam bilik darjah sahaja atau bila-bila perlu.

Akhir tahun lepas (2011) ketika berchatting dengan sahabat, cermin mata yang dipakai tiba-tiba berasa turun ke hidung.  Betulkan kedudukannya.  Rasa dalam bilik panas pula lalu melucutkan jaket ...tap!  bunyi jatuh atas kerusi.. cermin mata Mak Long patah dua!  Beritahu Pak Long ... aiseiman..dia kata sengaja Mak Long patahkan sebab hendak tukar cermin mata baru.  Lecahlah dia nih!  Sakit hati jer!  Bila jumpa doktor (Dr Garza) untuk buat cermin mata baru dan beliau mendapati kedua-dua mata ada cataracts dan mata sebelah kiri ada tanda-tanda "macular degenaration" satu jenis masaalah mata menjadi hilang pengelihatan pelahan-lahan yang belum ketemu ubatnya lagi.  Beliau menasihatkan agar berjumpa doktor pakar mata segera.  

Kami membuat temujanji dengan pakar mata Dr Micheal Singer di Medical Center Ophthalmology Associates, San Antonio, Texas.  Dr Singer telah melihat dan menjalankan ujian rapi ke dua-dua mata dan mengesahkan Mak Long ada cataract yang boleh diubati segera supaya pengelihatan lebih baik. Mata sebelah kiri satu hal pula.  Menerusi beberapa ujian terperinci yang dibuat, mata kiri mengidap "Macular Hole"  dan kami diperlihatkan data dan gambar yang diperolihi dari komputer di mana Macular Hole tersebut di belakang mata retina.  Macular Hole boleh dirawat di mana Macular Degeneration pula belum ada perubatan lagi tetapi teknologi sekarang menurut Dr Singer banyak kajian dibuat untuk memperlewatkan proses degeneration itu,  Dr Singer mencadangkan untuk menjimatkan belanja dan masa kedua-dua pembedahan merawat Macular Hole dan cataract mata kiri boleh dilakukan serentak.  Seorang lagi doktor pakar cataract dan laser Dr Jason Burns diperkenalkan kepada kami.  Tarikh dan masa ditetapkan untuk pembedahan serentak ini pada 23hb March, 2012 di Medical Center Ophthalmology Associates, San Antonio.  Beberapa procedure dijalankan sendiri sehari sebelum pembedahan.  Mak Long rasa sangat bersyukur kerana Pak Long dan puteri kesayangan sentiasa di samping memberi semangat dan perhatian.  

Persediaan di pusat perubatan bermula dari awal pagi dengan memberi titisan ubat mata juga suntikan macam-macam untuk kemudahan kerja di meja pembedahan.  Dr Singer dan Dr Burns sungguh baik hati, bertimbang rasa dan bertanggung jawab.  Pembedahan mengambil masa lebih kurang satu jam lebih.  Mak Long sedar di sepanjang pembedahan itu tetapi mamai perasaan.  Ketika pembedahan itu dijalankan Dr Singer mendapati mata Mak Long mengalami Retina Hole pula (beliau tidak nampak ketika ujian dilakukan dahulunya) dan beliau telah merawatnya menggunakan kuasa laser.  Jadi mata kiri menerima tiga rawatan serentak dan alhamdulillah semuanya berjalan dengan licin dan selamat.  Sebelum pembedahan Dr Burns menasihatkan agar menggunakan dan mengenakan kanta mata biasa sahaja disebabkan masaalah yang ditanggung berkaitan iaitu Macular Hole.  Arahan ketat diberikan supaya Mak Long menundukkan kepala selari dengan lantai dua puluh empat jam sehari selama tiga minggu.  Aduhaiiii seksanya.....alhamdulillah berkat kasih sayang dan galakan Pak Long serta puteri kesayangan yang mereka berikan pada Mak Long dapat lalui dan lakukan dengan taat...hendak baik kan?  Buat apa sahaja yang disuruh asalkan baik!  

Setiap hari Pak Long sediakan makan dan minum serta ubatan.  Dia masak lagi ..ada yang sedap dan ada juga yang tekak tidak terima masuk perut...tetapi walau apa pun yang penting Pak Long berusaha menjaga Mak Long dengan baik walaupun kekadang terpaksa dia memujuk supaya jangan bersedih menghadapai waktu-waktu yang mencabar masa permulihan.

Boleh tengok video cara pembedahan dilakukan.  Suara doktor dalam video ini seiras dengan suara Dr Singer.





Video Pembedahan Macula Hole

Dari pembedahan ini keadaan mata terasa selalu kering dan terpaksalah  gunakan cecair titisan air mata selalu.  Pada mulanya pengelihatan sangat terhad kerana gas yang dimasukkan dalam mata melindungi pengelihtan mengambil masa yang lama untuk hilang.  Alhamduldillah sekarang setiap hari bertambah baik pengelihatan walaupun masih ada dot dot samar gelap menganggu pengelihatan.  Mak Long boleh nampak jelas di sekeliling tanpa menggunakan cermin mata tetapi masih bermasaalah untuk membaca.