Pages

Showing posts with label Masa Dulu-dulu. Show all posts
Showing posts with label Masa Dulu-dulu. Show all posts

Saturday, May 3, 2014

Nota Dulu-dulu Budak Main Buah Saga

Assalamualaikum,

Tiap-tiap hari Mak Long rasa sibuk sahaja.  Apa yang disibukkan pulak tidak nampak bendnnya.  Buat itu dan buat ini sudah malam sampai pulak masa untuk meletakkan kepala di bantal,  pendek pulak rasa masa-masa yang dilalui.  Bagusnya bila kita sentiasa sibuk, fikiran menjadi tertumpu pada sesuatu dalam satu masa tidak serabut dangan perkara lain.  

Pagi tadi ketika Pak Long duduk menunggu Mak Long buatkan kopi panasnya siap, tiba-tiba dia berkata, "Barry risaukan tentang cucunya Scott……"

"Kenapa dengan Scott?" Mak Long tanya ingin tahu.

"….dia sudah dua kali diberhentikan dari dua buah sekolah … sebab sama!"  Tambah Pak Long kesal, "…. Barry cakap, Scott budak malas tidak mahu belajar.  Suka duduk depan TV main game sepanjang hari!  Scott diberhentikan sekolah kerana menghina dan bercakap kasar dengan guru di sekolah… Di rumah dia tidak mahu membantu ibunya.  Ibunya pula tidak tahu nak buat apa ….".

"Sekarang dia tak sekolah ke?"

"Sekolah di rumah saja … ikut program sekolah sendiri di rumah…"

Scott, cucu kepada Barry baru berumur 14 tahun lebih.  Jenelle pula anak perempuan Barry, seorang ibu tunggal tidak pernah bernikah punya dua orang anak lelaki iaitu Scott dan adiknya (Mak Long lupa namanya) berumur 6 tahun.  Kedua-dua anak ini mempunyai bapa berlainan yang tidak mengambil kesah tentang mereka.  'Fenomena' berkeluarga begini adalah perkara biasa di Amerika Syarikat, bukanlah sesuatu yang ganjil atau luar biasa!  

Perbualan kami beralih melarat ke kesah waktu zaman kanak-kanak kami dulu.  Ibu bapa memainkan peranan penting dan bertanggung jawab membesarkan anak-anak mereka supaya menjadi "orang".  Walaupun setengah cara didikan orang lama itu dilihat dari mata kasar sangat teruk dan tidak sesuai.  Tetapi hasilnya anak-anak jadi 'orang'.   

Teringat Mak Long kesah Mak Long dengan buah saga.  Orang kampung sebut biji sage.  Pokok saga besar juga pokoknya mengeluarkan biji kecil warna merah menyala lebih kurang sebesar kacang soya.  Buah saga juga dijadikan permainan menjentik, dan batu sembang iaitu buah saga dimasukkan kedalam karung kecil dari kain dijahit seperti bentuk bantal.  Waktu rehat, kami cepat-cepat makan kemudian terus sahaja main jentik buah saga atau main batu sembang.  Kadang-kadang tidak makan pun, sebab terlalu gairah hendak main dengan kawan-kawan.  Purata permainan ini dikuasai murid-murid perempuan sahaja.


Buah Saga

Suatu hari selepas habis waktu sekolah dua orang kawan, Sani dan kakaknya Cik Mah yang juga anak jiran kami beria-ia sangat mengajak Mak Long mencari buah saga di belakang rumah emak saudara Mak Long iaitu Mak Ngah Milah.  Tanpa berfikir panjang Mak Long terus sanggup sahaja.  Budak-budaklah katakan mana ada tahu takut pun.  Tahu suka sahaja, tambah lagi berkawan membuat sesuatu yang menyeronokan.  Kalau tidak silap ketika itu Mak Long baharu sahaja masuk darjah dua…bodoh lagi.  Sani dan Cik Mah lebih tua dari Mak Long dan mereka belajar mengaji kuran dengan Emak.

Leka kami mencari dan mengutip buah saga yang banyak jatuh ke tanah dan dalam rumput. Buah saga yang sudah dipunggut dimasukkan kedalam saku masing-masing.  Penuhlah saku kami dan terasa berat dengan buah saga baharulah kami berjalan pulang ke rumah.  Tidak tahulah sudah pukul berapa ketika itu.  Yang pasti memang sudah terlalu lambat kami pulang.  Tidak terasa takut atau bersalah lagi tu, handalnya semangat Mak Long.  Sampai di rumah Wak sudah berdiri depan pintu menunggu Mak Long dengan satu rotan panjang di tangannya.  Mak Long tersengeh-sengeh bodoh bila sudah dekat dengan Wak, konon-konon biasa sahaja, tidak ada hal.  Apa lagi tidak disangka-sangka Wak menarik kasar tangan Mak Long yang kurus.  Wak melibas kaki, betis, ponggong Mak Long banyak kali.  Aduhhhhh sakit dan peritnya tidak terkira..

"…amboiii dah pandai balik lambat ye!"  Sappp kena rotan …".. engko kemana tadi hah?" sapp kena rotan bertubi-tubi tidak berhenti..  Siapa tidak menangis sakit kena pukul begitu?  Tetapi Emak tengok sahaja tanpa berkata apa-apa atau membantu Mak Long yang sedang sensara.  Wak betul-betul nampak marah.  Mak Long menjerit-jerit tersedu-sedu minta ampun dan janji tidak mahu buat lagi.  Lagi kuat menjerit, lagilah kuat tangan Wak melibas Mak Long.  Lama-lama Wak berhenti merotan, air mukanya masih nampak marah sambil memberi amaran keras kepada Mak Long.  "Tiap hari habis sekolah, ko mesti balik rumah tau? Jangan buat Emak, Wak risau!  Ko faham?"  Mak Long angok-angok lemah janji tidak buat lagi.

Sebatan dari penangan rotan panjang kecil itu meninggalkan kesan-kesan bengkak di seluruh badan kurus Mak Long.  Sakit dan perit bukan main.  Malam itu Mak Long tidak mahu makan nasi, merajuklah kononnya, buat Emak pula bimbang tentang kesihatan anaknya.  Masih ingat lagi Emak cakap, "….lain kali jangan buat ..kalau nak pegi ke mana-mana lepas sekolah balik dulu ke rumah, salin baju sekolah, makan dan mengaji….." sambil menyapu minyak di tempat-tempat luka.  Mata Mak Long sudah bengkak menangis tadi..

Dari peristiwa itu menjadikan satu pengajaran betul-betul berkesan dalam hidup Mak Long dan tidak dapat melupakan hingga ke hari ini.  Walaupun tindakan Wak dan Emak itu pada zahirnya terlalu keras dan tidak berperi merotan anaknya tetapi pengajaran itu meninggalkan hikmah yang tidak ternilai dalam membentuk peribadi seseorang seperti Mak Long.  Mak Long fikir balik kalau tidak kerana ajaran yang keras begitu mungkin perangai Mak Long menjadi lebih teruk tidak menjadi 'orang' gamaknya…  

Perpatah Melayu menyebut. "sayangkan isteri tinggal-tinggalkan... sayangkan anak tangan-tangankan."

Masyarakat sekarang sudah banyak perubahan dalam cara membesar dan mendidik anak-anak.  Ada yang bijak mendidik anak-anak dan meneraju keluarga bahagia dan berjaya.  Ada juga sebaliknya hingga terdapat anak-anak yang menderhaka kepada ibu bapa mereka.  Memukul atau menzalimi ibu bapa yang sudah tua.  Ada juga anak-anak yang sanggup mengheret ibu bapa ke mahkamah hanya dengan kesilapan yang kecil dan tidak menasabah. 

Didiklah anak-anak sebaik mungkin dengan bimbingan berilmu dan agama.  Kadang-kadang mendidik dengan kekerasan itu bukanlah kebencian tetapi adalah sayangkan anak-anak agar menjadi baik. Semuga bila mereka dewasa kalau tidak berpangkat besar atau tinggi pun darjat hidup mereka tidak ke lembah keburukan dan kehinaan.  


















Saturday, March 2, 2013

Nota Mengimbas Masa Dulu-dulu (IV)

Assalamualaikum,


Mak Long tidak ingat tarikh mendaftar diri di pejabat guru besar Sekolah Tun Fatimah,  Durian Daun, Melaka.  Tahun sahaja yang ingat iaitu tahun 1963.  Sudah berpuluh tahun berlalu tetapi keadaan dan suasana ketika pendaftaran masih jelas dalam ingatan.  Hanya Wak, Emak dan adik Mak Long arwah Mak Ngah sahaja menghantar dengan menaiki taxi arwah Uda Man.  Kami sesat beberapa kali kerana tidak tahu jalan ke sekolah itu.  Tidak macam sekarang sudah ada kemudahan GPS senang, taip sahaja alamat, lainnya GPS akan tunjuk arah.  Akhirnya kami sampai juga setelah bertanya dengan beberapa orang di situ.  

Ketika sampai di situ hati Mak Long mulai rasa berbelah bagi.  Susah hati kerana Mak Long tidak ada kenalan pun tambahan Wak, Emak dan adik akan meninggalkan Mak Long sendirian di tempat asing.  Gembira kerana akhirnya dapat menjejakkan kaki di sebuah sekolah yang menjadi impian ramai pelajar perempuan.  Selepas pendaftaran Mak Long telah dibawa oleh seorang kakak iaitu pengawas sekolah ke bilik asrama.  Wak dan Uda Man tidak dibenarkan ikut sama kerana orang lelaki tidak dibenarkan masuk kawasan asrama... kawasan larangan!  Emak dan adik sahaja yang ikut.   

Mak Long ditempatkan di Asrama Teratai. Ada dua buah bangunan asrama lagi yang berhampiran dan Asrama Teratai terletak di antara kedua-dua asrama itu.  Semua bangunan asrama ada dua tingkat disambung ketiga-tiga bangunan itu dengan kaki lima beratap dan berpagar besi.  Mak Long dapat di tingkat bawah.  Kemudian kami dibawa ke bahagian bangunan dewan makan.  Banyak meja makan dan kerusi teratur kemas di situ.  Bahagian belakangnya ialah dapur menyediakan makanan untuk pelajar.  Emak sempat menjengok ke dapur tengok makcik-makcik sedang sibuk memasak.  

Bangunan pejabat guru besar kecil sahaja tidak besar mana berkongsi dengan pejabat guru-guru.  Bendera Malaya (belum Malaysia lagi) dan bendera Negeri Melaka berkibar di kedua penjuru bangunan pejabat dengan megahnya.  Di hadapan pintu pejabat kena memanjat beberapa anak mata tangga batu.  Di sekeliling kawasan banyak berbagai jenis pokok bunga subur ditanam dan dijaga rapi.  Pendapat Mak Long ketika itu "wahh cantik benar sekolah ni". Guru besar ketika itu ialah Miss Lim seorang wanita tionghua.  Genit dan serious orangnya, rambut kerenting pendek; sering berpakaian chongsam belah kiri dan kanan pehanya dengan berkasut tumit tinggi.  

Masih ingat lagi, Mak Long nangis sedih waktu berpisah dengan keluarga tersayang.  Emak pun nangis, maklumlah kami tidak pernah berpisah jauh sebelum ini.  Sampai jauh taxi itu berlalu Mak Long perhatikan dari pandangan.  Seorang kawan dari asrama temankan Mak Long.  Mungkin dia faham perasaan Mak Long ketika itu sambil memujuk dan pimpin tangan Mak Long berjalan balik ke asrama.  

Di asrama Mak Long diperkenalkan dengan penghuni asrama.  Mereka yang lebih tua dikehendaki dipanggil kakak.  Mereka semua anak bangsa Melayu dari luar bandar datang daripada perbagai cerok daerah dan negeri di Malaya.  Seorang kakak tolong mengemaskan pakaian Mak Long dalam locker dan memberitahu apa yang perlu dilakukan setiap hari.  Dialah menunjukkan di mana bilik mandi, tempat mencuci kain baju dan lain-lain.  Di dalam asrama Teratai mengandungi kira-kira 40 - 45 buah katil bujang dari besi teratus kemas dan bersih.  Setiap buah katil disediakan tilam, sebiji bantal berserta sampul bantal, kain cadar warna putih, kain selimut tebal dan alas katil warna biru.  Semua sama.  Di hadapan katil pula ialah almari kecil (locker) tempat simpan pakaian dan sebagai.  Bagi Mak Long semua itu satu kemewahan sungguh istimewa.  Di rumah kami tidur atas leca (tilam) lama dialas dengan tikar sahaja.  Setiap malam guru bertugas akan membuat lawatan secara senyap-senyap memastikkan pelajar semua berada di katil masing-masing dan tidur!

Mulai petang itu maka bermulalah penghidupan baru sebagai pelajar berasrama penuh selama enam tahun.  Zaman pembesaran waktu remaja dan kematangan cara hidup peribadi Mak Long diolah terbentuk oleh antara kawan-kawan dan aturan sekolah.  Jadual waktu kami sungguh padat dan teratur rapi daripada bangun tidur hinggalah masuk tidur semula.  Aktiviti siang sebegitu membuat Mak Long leka tidak berfikit tentang keluarga.  Tetapi waktu malam sungguh menyiksakan.  Mak Long sering menangis rindukan Wak dan Emak.  Kekadang menangis sampai tertidur ... esoknya mata bengkak!  Malu pulak dengan kawan-kawan. Mak Long terpaksa melawan perasan supaya tidak menangis lagi dengan menumpukan pada pelajaran dan banyakkan membaca buku.

Semua aktiviti mengikut jadual.  Waktu makan semua mesti berada di dewan makan besar, tidak dibenarkan duduk dan makan selagi seorang pengawas yang bertugas belum membaca bismillah dan doa.  Kami tidak dibenarkan makan menggunakan tangan.  Semua mesti menggunakan sudu, gerpu dan pisau...... ikut adat cara orang putih makan... Hahaha sudu dan gerpu Mak Long sering terpelanting jatuh sebab tidak pandai guna .. orang kampung ler...  Kami dibesarkan dengan makan nasi dan lauk kawah.  Kadang-kadang dalam nasi dan lauk terjumpa ulat mati keras... Ya benar!  Dalam sehari kami diberi makan empat kali iaitu sarapan pagi, makan tengahari, minum petang dan makan malam.  Dalam bulan Ramadan kami dikejutkan dengan locing di dinding berbunyi pekak telinga membangunkan kami pergi untuk makan sahor di dewan makan.

Tahun 1963 sekitar kawasan sekolah dan Maktab Perguruan Perempuan Melaka (Sekolah Tun Fatimah ketika itu menumpang bangunan dan kawasan Maktab Perguruan di situ) menghadapi musim kemarau teruk.  Berhari-hari kami tidak dapat bekalan air kalau ada pun warna dan bau yang meloyakan.  Kalau dapat mandi pun main lap-lap sahaja.  Ramai jadi kambing tidak mandi.  Sebuah perigi telah digali berhampiran asrama untuk mendapatkan sumba air mengatasi masaalah air.   


Semasa Membuat Lawatan Ke Cathay Kris Film Production, Singapura
Mak Long berdiri No. 3 dari kanan



Lencana STF
Kena pakai lencana ini di baju seragam sekolah








Nota:  Berlumba-lumbalah menimba ilmu untuk tingkatkan taraf hidup dunia dan akhirat.








Nota Mengimbas Masa Dulu-dulu (III)

Assalamualaikum,

Semangat Emak Mak Long

Mak Long bersyukur mempunyai seorang ibu yang pengasih dan bertanggung-jawab terhadap keluarganya.  Bagi Mak Long beliaulah seorang wanita yang gigih berusaha tidak mengenal penat dan lelah, sanggup mengorbankan tulang empat keratnya demi kepentingan anak-anak dan keluarga.  Emak tidak segan dan tidak risau mencemarkan jari-jarinya menjadi kasar seperti berus dawai.  Emak sanggup membuat apa juga jenis kerja untuk mendapat rezeki yang halal dan diredha Allah.  Menoreh getah, menebas semak-samun kebun getah, bercucuk tanam ubi kayu dan sayur, ambil upah mencucuk atap rumbia .... namakanlah, semua Emak sudah lakukan.  Kalau waktu makan, Emak tidak makan selagi anak-anak tidak bersama duduk makan di sekeliling dulang bersamanya.  Kiranya salah seorang dari kami berada di tempat lain pada waktu makan, Emak akan mengasingkan sedikit makanan itu untuknya.  Emak seorang yang buta huruf, tidak boleh membaca dan menulis.  Tetapi Allah memberinya kelebihan mempunyai hati yang tulus, ikhlas dan cekal menghadapi segala serta berkebolehan mengaji quran dan mengenal huruf-huruf jawi tetapi tidak boleh juga menulis jawi atau membaca.  Sesungguhnya hanya Allah sahaja yang mengetahui rahsianya.  

Arwah Uteh Man, Arwah Mak Long Semah, Abang Yunos,
Emak, Mak Long (diriba Emak), Arwah Uda Timah dan Kak Milah

Selepas Emak balik dari rumah arwah Pak Uteh Man adik Emak, memberi tahu Mak Long iaitu Pak Uteh Man akan menguruskan borang kemasukan sekolah berasrama penuh untuk Mak Long.  Emak beritahu dan memujuk Wak apabila hatinya sudah sejuk semula.  Emak cakap pada Mak Long, "Emak nak kau belajar bersungguh-sungguh supaya dapat kerja dan rezeki lebih dari apa yang Mak dapat.  Emak tak sekolah..... tak ada peluang bersekolah!  Kalo Emak sekolah, mungkin hidup kita tak macam nih...kau belajarlah!... yuran sekolah kalau kena bayo ..insya Allah adalah rezekinya nanti.........."  Kata-kata Emak hingga sekarang tidak pernah lupa.  Bila Wak sudah sejuk hatinya Emak beritahu dan pujuk supaya bersetuju.  Alhamdulillah Wak menganggokkan kepalanya.   Setujulah tu... Alhamdulillah.

Emak bekerja lebih kuat lagi.  Waktu malam selepas habis mengajar budak-budak mengaji Quran, Emak menganyam tikar dari daun pandan kering untuk dijual.  Supaya tidak menggunakan minyak tanah banyak emak padamkan lampu pam dan hanya guna pelita.  Hampir tiap-tiap malam Emak menganyam tikar atau melurut daun pandan kering.  Tidak tahu entah bila masa dia masuk tidur.  Pagi-pagi sudah bangun buat sarapan dan pergi menoreh getah.  Balik dari menoreh tidak duduk lagi sudah bersedia memasak untuk makan tengahari dan petang pula.  Aduhai.... Emak besarnya pengorbanan mu.  Tidak terbalas jasa dan pengorbanan itu.  Ketika cuti sekolah Mak Long bantu Emak kemas rumah lama yang tidak seberapa itu dan tolong masak yang mudah-mudah.  Alhamdulillah kerana mengalami keperitan keadaan hidup begitu memberi kesedaran pada Mak Long agar membantu Emak seberapa yang boleh.  Dalam usia yang muda Mak Long sudah pandai memasak, berkemas rumah dan menjaga adik-adik yang masih kecil.


Arwah Wak Dan Emak

Kira-kira beberapa minggu selepas arwah Pak Teh Man menghantar borang untuk memasuki Sekolah Tun Fatimah kami terima jawapan.  Mak Long dikehendaki melapur diri pada pertengahan penggal pertama dalam tahun 1963.  Sementara itu Mak Long berlajar dalam tingkatan satu di Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar, Muar.  Jadual waktu sekolah sebelah petang jadi pagi-pagi sebelum pergi sekolah Mak Long masak nasi dahulu supaya Emak tidak penat sangat.  Kalau ada apa-apa bahan untuk lauk Mak Long masaklah.  Bas sekolah lalu di depan rumah pukul sebelas pagi jadi kenalah Mak Long bersiap-siap awal supaya tidak tertinggal bas.

Beberapa persediaan diadakan seperti beberapa jenis pakaian, baju tidur, kasut sekolah, stokin (semua ini serba tiga pasang), selipar jepun dan alat peribadi.  Mak Long faham ketika itu perit juga Wak dan Emak hendak menyediakan semua itu.  Mak Long sendiri kata pada Emak semua itu tidak penting, sikit-sikit cukuplah nanti Mak Long boleh basuh pakaian bila perlu.  Tahukah kalian, sebelum itu Mak Long tidak pernah memiliki baju tidur khas untuk tidur?  Bagi kami pakaian harian sama gunanya untuk pakaian tidur!  Janji bersih.  Wak belikan dua pasang baju tidur warna kuning air dan biru lembut dari kedai China di Bukit Pasir ....cantik sangat.  Baju kemeja tidur warna kuning air itu ada renda putih di keliling lihir dan berbutang warna putih seperti bentuk mutiara.  Yang biru ada sulam bunga biru di bahagian depannya.  Pandai Wak pilih baju Mak Long ....  Wak juga belikan satu beg sederhana besar untuk masukkan pakaian.  Emak pula sibuk buatkan baju dalam dan seluar katok (seluar dalam) Mak Long dari kain perca lebihan... jahit sendiri sahaja tidak beli di kedai.  Seminggu sebelum kami bertolak ke Sekolah Tun Fatimah, Wak sudah pesang taxi Uda Man hantar kami ke sana.  Nanti Mak Long cerita di Sekolah Tun Fatimah, Melaka.


Emak
Budi dan jasamu sentiasa dikenang
Ya Allah, lindungilah dan sihatkanlah kesihatan Emak









Nota:  Berusahalah mencari ilmu penuhi dada bekalan dunia dan akhirat
  



Wednesday, February 20, 2013

Nota Mengimbas Masa Dulu-dulu (II)

Assalamualaikum,

Tahun 1962 Mak Long masuk dalam darjah enam 'A' dan ditempatkan di bangunan yang baru siap.  Bangunan ini tidak besar hanya menempatkan dua buah bilik khas bagi darjah enam 'A' dan 'B'.  Guru darjah enam 'A' ialah arwah Cik Gu Said dan guru besar pula ialah Cik Gu Mat 'Tampal' (nama gelaran keluarga).  Adik beliau Cik Gu 'Mat Boyor' (juga nama gelaran keluarga) mengajar murid darjah enam 'B'.  Mereka berdua ialah pangkat bapa saudara Mak Long dan tidak ingat nama sebenarnya.

Darjah enam ialah tahun akhir di sekolah rendah sebelum masuk ke peringkat sekolah menengah.  Akhir tahun Mak Long mengambil peperiksaan menentukan tempat ke sekolah menengah.  Oleh kerana murid-murid darjah enam tidak ramai, Mak Long dan murid lain terpaksa pergi ke sekolah rendah kebangsaan di kampung jiran iaitu Sekolah Rendah Kampung Batu Enam untuk menduduki peperiksaan penting itu.  Kenderaan diuruskan oleh pihak sekolah.

Sebelum hujung tahun keputusan peperisaan keluar.  Cik Gu Mat Tampal? (tidak berapa ingat) datang ke rumah kami memberi tahu Wak dan Emak, yang Mak Long telah lulus dengan kecermerlangan.  Cik Gu cakap Mak Long terpilih seorang sahaja untuk masuk ke sekolah menengah berasrama penuh di Melaka iaitu Sekolah Menengah Tun Fatimah, Durian Daun.  Beliau memyerahkan satu borang untuk diisi supaya dapat dihantar ke pejabat pelajaran bagi memasuki ke sekolah itu.  Sebelum itu Mak Long tidak pernah pun dengan nama sekolah tersebut.  Emak gembira kesyukuran atas kejayaan Mak Long. Tetapi Wak tidak menunjukan riaksi sama.  

Malam itu Mak Long dengar dari tempat tidur, mereka berbincang menentukan masa depan Mak Long.  Wak tidak setuju menghantar Mak Long ke Melaka.  Jauh katanya susah hendak jengok-jengok lagi pun Mak Long terlalu kecil untuk tinggal jauh dari mereka; dan bimbang belanja mahal tidak terbayar nanti. Emak pula memujuk Wak dengan nadar suara lembut merayu agar mengambil peluang keemasan itu dengan harapan mendapat menukar kesempitan hidup keluarga masa depan yang lebih baik.  Berita baik itu sekejap sahaja tersebar seluruh kampung... semua tahu.  Wak Sungai Bilah (datuk Mak Long) pun datang ingin tahu lebih lanjut tentang berita itu.  Beliau juga tidak setuju menghantar Mak Long sekolah jauh-jauh.  Antara katanya "budak betina tempanya di dapur!"  Sedih dengar kata-katanya.  Selama ini Mak Long sentiasa menghormati dan manja dengannya.  Mak Long berdoa sungguh-sungguh berdoa supaya dapat belajar di Sekolah Tun Fatimah.  Setelah Wak Sungai Bilah balik, Wak koyakkan borang permohonan itu dan lemparkan keluar.  Bila Wak tidak nampak dengan rupa sedih dan air mata berlinangan Emak kutip borang itu dan bawa kepada arwah Pak Teh adik Emak.  Mereka cantumkan semula borang itu dengan pelekat dari nasi lembek.  Arwah Pak Tehlah yang mengisi borang tersebut dan menghantarnya terus kepada Cik Gu Mat Tampal.  Mak Long sungguh terhutang budi yang tidak ada bandingan hargannya kepada Emak dan Pak Teh.  Merekalah yang membantu dan berusaha untuk menentukan Mak Long masuk belajar keperingkat lebih tinggi.





Di Hujung Sana Ada Cahaya







Nota:  Hidup mestilah ada pengorbanan yang ikhlas agar hidup itu lebih bermakna dan sempurna.


Tuesday, February 19, 2013

Nota Mengimbas Masa Dulu-dulu (I)

Assalamualaikum,

Sambil duduk-duduk menyelak beberapa muka surat sebuah majalah "American Patch Work & Quilting" lama untuk mencari ilham membuat sehelai quilt baru.  Keinginan di hati hendak dihadiahkan kepada seseorang yang telah banyak budinya diterima, tetapi tiba-tiba timbul rasa hilang minat pula.  Kenapa rasa demikian ya?  

Hai.. tidak semena-mena Mak Long teringat kepada Arwah Wak pula. Mak Long merinduinya .... baiklah sedekahkan fatihah untuk arwah ...Al-Fatihah.....  Mak Long masih ingat lagi, ketika itu baharu sahaja masuk sekolah darjah satu di Sekolah Rendah Kebangsaan Jorak, Muar.  Umur Mak Long muda setahun sudah masuk sekolah.  Dalam masa hampir sebulan mula-mula masuk sekolah Wak menghantar dan menjemput Mak Long pergi dan balik setiap hari.  Betapa kasihnya seorang bapa kepada anaknya.  Selepas itu Mak Long pergi sendiri berjalan kaki dengan budak-budak lain.  Mak Long ingat murid-murid darjah satu guna papan batu hitam tempat menulis.  Bila sudah boleh menulis sedikit barulah guna buku betul.  Pakaian seragam ketika itu hampir menyerupai yang ada sekarang, baju kemeja putih dan di luar gaun kembang biru tua.  Arwah Wak belikan satu bag rotan berupa bakul ha ha ha ... diisi, papan batu, sebotol air kopi sejuk dan payong.  Kadang Emak bekalkan ubi rebus atau biskot kering untuk makan waktu rihat.

Sekolah Rendah Jorak ketika itu mempunyai tiga buah bangunan sahaja.  Sebuah rumah guru di hadapannya sebatang pokok manggis rendang dan berhampiran dengan kantin sekolah.  Tidak jauh dari rumah guru ialah sebuah bangunan tinggi bertiang batu dan beratap batu genting.  Bentuk bangunan itu ala-ala bangunan rekaan dari bangunan British.  Di bangunan ini biasanya menempatkan murid-murid darjah empat hingga enam.  Bangunan sebuah lagi lebih kecil seperti bangunan pisang sesikat.   Dinding papan sekerat dan beratapkan atap rumbia.  Orang luar boleh bersidai di dinding tengok murid-murid belajar dari luar.  Di sinilah murid-murid darjah satu hingga darjah tiga ditempatkan.  Pintu keluar masuk bangunan hanya melalui dua pintu, iaitu di kedua hujung bangunan.  Bangunan itu dapat menampung hanya lima buah darjah sahaja.  Skrin pengadang dari papan digunakan sebagai pemisah di antara satu darjah ke darjah yang lain.  Murid boleh intai dan dengar murid dan guru di sebelah.  Meja murid-murid pula meja panjang dan tempat duduknya pula sepadan dengan meja iaitu bangku panjang.  Lima atau enam orang murid boleh duduk sekali semeja.  Bahagian belakang darjah ialah lorong lalu-lalang masuk dan keluar pintu bangunan.  Bila hari hujan tempias masuk dalam darjah dan kalau atap bocur habislah menitik membasahi dalam darjah.  Bila hujan terlalu lebat air akan melimpah masuk ke dalam darjah.  Boleh bayangkan?  Hmmm... ya.. daif sungguh sekolah ketika itu.  Dari sekolah daif itulah Mak Long menerima ilmu asas untuk mengembangkan sayap mengenal erti hidup sebenar.  

Padang sekolah sentiasa bersih.  Tiap-tiap pagi sebelum beratur masuk darjah masing-masing, kami diarah pungut sampah dahulu.  Cik Gu bertugas jaga dengan rotan atau kayu pembaris panjang jadi mandor.  Cik Gu tidak pernah suruh cuci dan bersihkan tangan murid-murid selepas pungut sampah!  Arwah Pak Mat Kelepek, tukang kebun potong rumput dengan pedang rumput yang sangat tajam.  Isterinya pula menjual makanan di kantin sekolah.... jual nasi empit, mee goreng, kuih, mee siput goreng dan lain-lain masakan orang Johor.  Mak Long jarang membeli di situ, Emak tidak bagi duit belanja.

Guru-guru sekolah pula boleh dikatakan semuanya garang-garang.  Mereka gunakan kayu pembaris lebar dan panjang untuk memukul murid-murid nakal.  Kadang-kadang kalau murid yang kurang cergas pun cik gu bantai.  Zaman itu kalau melihat kelibat cik gu, semua takut dan kecut pada mereka,..... lari menyorok takut hendak bersua muka.  Tidak seperti sekarang ... sudah terbalik, guru pulak yang takut kepada anak murid!!

Guru yang masih Mak Long ingat ialah arwah Cik Gu Kandis, arwah Cik Gu Hamdan yang mendiami rumah guru bersama keluarganya dan Cik Gu Bahanan bin Makrof.  Kedua-dua mereka ini terkenal dengan kegarangan serta digeruni murid-murid. 

Dalam tahun sembilan belas enam puluhan bangunan sekolah lama dirobohkan dan diganti dengan bangunan baru berdinding batu dan beratap zinc.  Sebuah lagi bangunan didirikan bersebelahan dengan sekolah tinggi khas untuk murid darjah enam.  Mak Long antara murid pertama menggunakan bilik darjah baru itu dalam tahun 1962.  Hmmm... sudah jauh perjalanan hidup Mak Long rasai.......  




Buku Adalah Gedung Pengetahuan










NOTA:  Tuntulah ilmu walau pun terpaksa ke hujung dunia






Tuesday, February 12, 2013

Nota Belajar Mengaji Dulu-dulu

Assalamualaikum,


Masa Mak Long kecil berlajar mengaji quran dengan Emak sahaja.  Emak mengajar mengaji quran dan berzanji kepada anak-anak jiran.  Kebanyakan anak-anak jiran pula ada kaitan tali persaudaraan dengan keluarga Mak Long.  Kiranya sekampung itu  semuanya saudaralah.  Mana tidaknya asal usul Tok nenek Mak Long datang membuka Kampung Jorak dan Kampung Jalan Raja, ketika itu masih lagi hutan belantara bersama-sama dengan adik beradik, sepupu dan bapa saudara Tok Nek.  Masing-masing punya keluarga bertambah hingga kini.  Ada yang kawin antara sepupu atau dua pupu.  Kami bersaudara ha ha ha sepusat sepusing.

Masa Emak mengajar mengaji adalah malam selepas Maghrib.  Masa siang Emak menoreh getah dan selalu sibuk dengan kerja-kerja lain menambah rezeki keluarga.  Ramai juga anak-anak yang datang, ada yang sudah besar panjang.  Emak tidak pernah mengambil bayaran; Emak ikhlas mengajar mengaji.  Waktu itu kampung kami belum ada kemudahan air paip atau kuasa letrik.  Bekalan air hanyalah dari air perigi atau kolam yang digali sendiri atau diupah mengali.  Manakala bekalan letrik pula kebanyakan orang kampung menggunakan pelita minyak tanah dan lampu pam.  Kekadang orang kampung panggil minyak tanah itu minyak gas (gasoline).  Minyak tanah Wak beli dari kedai Cina yang berhampiran dengan rumah kami.  Bila hampir senja Wak akan pasangkan lampu pam untuk menerangi tempat kami mengaji.  

Tiap-tiap hari budak-budak yang lebih besar datang awal cedok air dari perigi penuhkan semua tempayan yang Emak ada di pelantar dekat dapur.  Emak boleh guna air itu untuk memasak dan mencuci pinggan.  Ringanlah sedikit kerja Emak.  Kalau mereka tidak pergi kemana-mana lepas waktu sekolah mereka datang tolong bersihkan laman rumah dan angkat kayu api, susun di bawah dapur.  Itulah sahaja cara mereka membalas budi Emak mengajar mengaji.  Emak tidak tidak pernah meminta atau menyuroh mereka berbuat begitu, mereka sendiri yang suka rela hati memberi bantuan tulang.  

Mak Long dengan yang lain, kami lebih kecil sedikit kerjanya pasang rihal; keluarkan quran dan buku rawi (buku berzanji) untuk mereka yang mengisi air tempayan.  Hari-hari begitu melainkan malam Jumaat tidak mengaji sebab Emak perlu menunaikan kewajiban diri ... kekadang pergi ke surau atau mesjid bila ada orang beri syarahan agama.  

Bila Mak Long ingatkan keadaan masa dulu-dulu hidup masyarakat di kampung walau pun banyak kekurangan dalam serba serbi, kami hidup rukun dan damai, bila ada buat kenduri kendara ramai-ramai datang berkumpul bergotong-royong memberi bantuan.  Ada yang menghulur bantuan berupa kewangan atau barang untuk meringankan beban.  Suasana sangat meriah dan mesera ....  Sekarang sudah jauh berbeza.  Anak-anak muda lepas sekolah ada yang menyambung pelajaran peringkat tinggi di bandar.  Bila tamat belajar mereka akan terus tinggal di sana kerana tugas masing-masing ada yang mendirikan rrumah tangga pula.  Ramai yang meninggalkaan kampung mencari rezeki di tempat lain atau lain-lain hal.  Kampung kami sudah sunyi tidak seperti dulu-dulu.  Sudah ramai orang luar warga asing masuk dan tinggal di kampung.  Mereka datang dari negara-negara seberang.  Sering mereka ini tidak hormat dengan penduduk kampung.  Mereka membuat kacau, mencuri, meragut dan sebagainya membuat orang-orang kampung lebih berhati-hati menjaga keselamatan.   


Berat sama dipikul
Ringgan sama dijinjing












Nota:   Amalan tolong menolong antara sesama insan adalah amalan yang terpuji.


Saturday, February 9, 2013

Nota Lesong Kayu

Assalamualaikum,

Sudah beberapa hari ini Mak Long teringatkan kampung sahaja.  Hati rindu tidak terhingga kepada keluarga dan sanak saudara serta sahabat sekelian.  Tetapi masih belum ada masa dan peluang untuk pulang ke kampung.  Lambatnya Pak Long balik!  Hari ini sepanjang hari hujan, angin kencang dan disambut dengan kabus tebal.  Sejuk pula mengulit kulit walau suhu dalam rumah sudah Mak Long tinggikan hingga 76 darjah F.  Mungkin orang kurus macam Mak Long tidak tahan sejuk agaknya?  Banyak pekara yang perlu diberi perhatian dalam rumah tetapi hari ini malas sungguh .... berangan sahaja.  

Mak Long terkenang kesah lama, zaman kanak-kanak dahulu.  Arwah Tok Kiah pangkat atok saudara Mak Long, rumahnya berdekatan dengan rumah kami, hanya beberapa ela sahaja jaraknya.  Mak Long suka bertandang ke rumahnya bermain dengan arwah Mak Puteh.... main congkak atau main buah biji saga.  Bukan pandai pun bermain selalu kalah dengan arwah.  Mata pencarian arwah Tok Kiah dan suami  hanyalah dengan mencucuk atap rumbia yang dijual kepada orang China di Bukit Pasir dan di Bandar Muar; kalau musim buah-buahan mereka murah rezeki dengan jualan durian, manggis dan duku.   Ketika itu banyak kedai dan rumah penduduk kampung juga penduduk bandar beratapkan atap daun rumbia.  Rumah kami pun beratapkan daun rumbia yang Emak cucuk daun sendiri.  Bila atap itu sudah lama tidak berganti, Mak Long boleh nampak langit dan waktu malam boleh nampak cahaya bulan mengambang dari celah-celah daun atap yang sudah kering dan jarang itu.  Kalau hari hujan Emak suruh ambil besen atau baldi tadah air tempat bucur.  Hai... hidup orang kampung, begitulah.......

Tiap-tiap kali hendak menyambut raya di bulan Syawal, emak dan arwah Tok Kiah sibuk membuat persediaan mebuat kuik untuk hari raya.  Mereka mesti menjemur tepong dan gula dalam beberapa nyiru di tempat panas bawah cahaya matahari.  Bukannya boleh ditinggalkan barang jemuran bergitu sahaja.  Arwah Tok Kiah membela banyak ayam kampung begitu juga dengan Wak dan Emak.  Itik nila pun ada juga, tetapi tidak banyak.  Ayam-ayam itu jahat, kais dan melingkupkan nyiru.  Bertaburlah tepung melambak atas tanah.  Bising Emak marah!  Jadi Mak Longlah kena jaga ayam-ayam itu.  Geram dengan ayam-ayam itu sungguh degil... orang cakap jangan dekat hai lagilah...... itulah dia buat.  Puas dikejar dan baling dengan kayu.  Ada juga yang mengena sampai dengkat kaki ayam-ayam itu kena balon.  Baru puas hati...   Muga-muga Allah ampunkan dosa Mak Long berlaku zalim pada ayam.

Bila masa hendak kacau dodol atau kuih menderam, Emak dan arwah Tok Kiah pun mula lah menumbuk beras pulut yang sudah direndam semalaman dengan mengunakan lesung kayu.  Ada dua batang antan panjang untuk menumbuk.  Emak angkat tinggi antannya, Tok Kiah pula turunkan antannya ke dalam lesung.  Kemudian bila arwahTok Kiah angkat antannya, Emak pula turunkan antannya ke dalam lesung.  Begitulah halnya turun naik mereka menumbuk beras pulut bersama-sama tanpa jemu.  Bila beras pulut itu hancur, ia akan diayak kedalam besen besar.  Beras yang masih kasar akan ditumbuk beberapa kali dan diayak hinggalah habis semuanya.  Ayak pun sudah uzur, ada lubang-lubang kecil.  Waktu inilah ayam suka berkerumun di sekeliling kawasan orang sedang kerja.  Kerja kejar ayam tugas Mak Long dengan kayu panjang  menghalau ayam.  Tapi ialah kadang-kadang kalau malang hendak berlaku tidak siapa dapat menghalang.  Sedang Mak Long mengejar anak-anak ayam itu, entah macam mana seekor darinya lari termasuk dalam lesong!  Aduh, aduh habis penyek anak ayam ditumbuk antan yang sedang rancak!   Berlecek bunyi mengilukan.  Mak Long tercegat  dan bengang kepala melihat kejadian itu.  Kena marah lagi........hai!  Nasiblah ...... tetapi bila dikenangkan kembali peristiwa itu geli hati, lucu pun ada, pilu pun ada.  Pilu kerana memikirkan betapa usaha gigih dengan tidak mengenal penat dan lelah kedua wanita bergelar ibu ini rela hati sentiasa berkurban untuk keperluan dan kebahagian keluarga masing-masing.  Betapa susahnya kehidupan ketika itu.  Walaupun hidup susah dan miskin kami bahagia....Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah SWT.  

Ya Allah, ya Rabbi limpah kurniakan kami dengan rezeki yang lebih melimpah ruah lagi halal.... Aminn.


Ayam Kampung


Itik Nila






Nota:     

Hormati dan kasihani kedua ibu bapa yang telah berkurban membesar dan mendidik kita semasa kita kecil dalam pemeliharaan mereka.  Balaslah budi mereka selagi mereka masih hidup.





Thursday, February 7, 2013

Nota Bai Jual Kain

Assalamualaikum,

Cerita ini sudah lama zaman Mak Long kanak-kanak dahulu.  Tidak pula ingat tahun berapa.  Zaman itu pusat beli belah tidak ujut lagi walau pun di Kuala Lumpur.  Di bandar Muar, tanah tumpah darah Mak Long yang ada ketika itu hanyalah deretan kedai China dan India yang menjual kain baju dan barangan lain-lain.  Tidak macam sekarang barang pasar di tempat lain dan barang pakaian di tempat lain.  Emak Mak Long kalau hendak pergi ke bandar sebulan sekali pun susah, pengangkutan yang ada hanyalah bas yang lalu tiga atau empat kali sehari.  Itu pun ikut rasa pemandu bas.  Kalau dia malas atau ada kerja lain sekali sahajalah dia lalu masuk kampung.  Pukul lima petang bas sudah tutup kedai.  Teksi hanya ada dua atau tiga buah sahaja itu pun kadang-kadang tidak ada lalu langsong.  Zaman itu motosikal memang tidak ada.  Arwah Wak Mak Long hanya ada basikal tua yang dibasuh dan digilap setiap kali ada habok hinggap pada basikalnya.  Bekilat basikal itu dijaganya seperti basikal baru beli.  Hmm cermat betul arwah dengan hartanya walau pun hanya sebuah basikal tua.  Basikal tua inilah yang menghantar dan menjemput Mak Long pergi dan balik ke sekolah rendah kampung; hinggalah Wak dan Emak ada rezeki lebih membelikan kami sebuah lagi basikal.  Mak Long tidak tahu pulak bila arwah membeli basikal itu, seingat Mak Long basikal itu sentiasa ada di rumah.  Bila malam atau kalau arwah tidak pergi ke mana-mana, basikal itu duduk dalam rumah siap diselimutkan lagi supaya habuk tidak hinggap.

Suatu masa musim hendak raya menyambut Syawal, emak berhasrat membeli baju raya untuk Mak Long dan arwah Mak Ngah.  Hendak ke bandar memang tidak ada peluanglah sebab hendak bercermat tidak hendak bayar tambang bas.  Waktu itu tambang bas hanyalah dua puluh atau dua puluh lima sen sekali jalan.  Kanak-kanak bawah umur dua belas tahun naik bas percuma sahaja tidak perlu bayar tambang.  Tetapi kalau orang ramai dalam bas itu, kanak-kanak tersebut mesti duduk atas pangku.  Jangan ketawa.... Mak Long pun pernah alami begitu!  Tingkap bas tidak pernah tutup melainkan hari hujan, itu pun kalau tingkap itu tidak jam.  Bila tingkap tidak boleh tutup hai... nasib basah kuyuplah jawabnya.  Habis jambol semua roboh kena tiup angin.  Sebab itulah pada masa itu orang lelaki suka guna minyak rambut warna hijau cap bunga melekit-lekit supaya kekal tidak ditiup angin dalam bas.  Bau minyak rambut itu masya Allah bukan main lagi penuh hidung semerbak baunya.  Rasa terbayang-bayang baunya.  Arwah Wak pun sama.  Biasanya bila sudah hendak dekat-dekat perayaan adalah dua tiga orang China atau India penjual kain dengan berkayoh basikal.  Penuh dan sarat basikal dengan bungkusan kain besar tinggi mengatasi kepala bila dia duduk atas basikal.  Bungkusan besar ini diikat di atas para basikal yang lebar.  Kadang terlalu berat penjual itu akan minta tolong pegangkan bahagian depan basikal supaya dia boleh naik dan turun serta mengimbankan berat bungkusannya.  Penjual kain berbasikal ini orang kampung Mak Long panggil "China kelentong kain" atau "Keling Bai jual kain".  Untuk menarik perhatian orang kampung yang dia berada di sekitaran, penjual ini akan membunyikan kelentongnya sambil mengayoh basikal atau pun berteriak, "kain! kain!.....Kaiiiin".  Tahukah apa itu kelentong?  Ia adalah sejenis alat bunyian seperti gendang kecil yang ada tempat pemegang panjang.  Di keliling gendang ini ada beberapa gundil diikat padanya.  Bila digoyangkan ia akan mengeluarkan bunyi.  Biasanya penjual orang China menggunakan alat ini untuk menarik pelanggan.

Setiap hari Khamis Bai jual kain akan datang ke kampung.  Emak dengan dua, tiga orang jiran sudah sedia menunggu Keling Bai datang.  Sampai sahaja di depan rumah Keling Bai pun masuk singgah.  Tetapi dia bermasaalah hendak berhenti melencong arah rumah melalui titi parit depan rumah..... Dia tidak dapat mengawal basikalnya!  Terhuyung hayang dia dengan basikalnya,........ "Aiyooo ama, ama toloooonglah......!"  Belum sempat apa-apa dia dan basikalnya, sekali dengan bungkusan sudah tersungkur tepi parit.  Koyak kain pelekat yang dipakainya.. kesihan tengok dia.  Nasib baik tidak masok dalam parit terus atau patah tulang.  Ada jugalah dapat cendawan kukur di lengan dan kakinya.  Mungkin lebam pun dapat gamaknya.  Emak dan jiran bingkas mambantu penjual kain itu.  Tersipu-sipu Keling itu bila menyedari kain pelekatnya sudah koyak panjang.  Hari itu Emak dan jiran dapat rezeki baik.  Dapatlah beli kain kurang sedikit harganya kerana menolong Keling Bai ketika dia jatuh.   






Basikal Tua Hiasan Sahaja










Nota:    


Kita hendaklah bersyukur dan menghargai harta yang dilimpahi Allah serta menjaga harta itu sebaik mungkin.

Sunday, August 5, 2012

NOTA DI RUMAH WAK SAMAD

Zaman kanak-kanak memang seronok, tidak pernah memikirkan masaalah hidup.  Janji perut kenyang, tidak sakit dan dapat bermain walaupun tidak ada bahan permainan seperti kanak-kanak sekarang.  Masa kecil Mak Long suka main pondok-pondok.  Suka main tanah yang dihancurkan jadi debu kemudian campur air jadikan dough dan bentuk macam-macam seperti periok, lagan batu, pinggan dan lain-lain. Bermain seorang pun boleh jadi..berangan-angan macam-macam, bercakap sorang-sorang.  Pernahkah kalian melihat kanak-kanak sering bercakap sendirian?  Menyanyilah, beraksi bermacam-macam gaya.... pernah Mak Long lakukan semua itu semasa kecil dan masih ingat hingga kini.  Habis tanah bawah rumah Atok Salleh dan rumah kami Mak Long gali buat mainan sampai kena marah.

Satu masa Mak Long ikut Wak Samad balik ke rumahnya.  Lama Mak long berada di rumah Wak Samad di Sungai Bilah.  Dua orang emak saudara iaitu anak Wak Samad dengan isteri keduanya hampir sebaya dengan Mak Long.  Mak Itam hanya empat puluh hari lebih tua dan Mak Adah mungkin setahun lebih muda.  Rioh rendah rumah Wak Samad dengan ketawa riang kami setiap hari.  Keluarga Wak Samad besar....isterinya Mak Eena, emak mertuanya Tok Gelegek (Mak Long tidak pasti nama sebenarnya); anak-anaknya ketika itu ialah Pak Andak, Mak Itam, Mak Adah dan Pak Kahal.  Waktu malam kami tidur tiga orang di atas ranjam (katil) besi di ruang rumah besar.  Mak long diberi sehelai kain batik untuk selimut bila sejuk. Kami berceloteh macam-macam serta ketawa berdekah-dekah sampai tertidur.  

Pagi-pagi buta kami sudah bangun makan sarapan dan minum kopi manis... Bukan basuh muka atau gosok gigi pun main bedal sahaja. Wak Samad pula awal pagi sudah turun ke kebun atau ke sungai melihat lukah dan bubunya kalau-kalau mengena.  Selalunya dapat banyak rezeki seperti udang galah dan beberapa jenis ikan sungai.  Mak Long suka makan udang galah.  Ketik udang yang besar-besar itu kami bakar atas bara api di dapur... Kena bebel dengan Mak Eena sebab menyebok di dapur dia hendak masak.  Orang tua itu masam muka dia sambil bersunggut apa entah?!  Ada kami pedulik!  Bukalah kami tidak hormat padanya...kami hormat padanya.  Tetapi namanya kanak-kanak bukan? Bila sudah bergeng jadi beranilah.  Mak Long sebenarnya tidak berani melawan atau berolok-olok dengan orang tua-tua.  Emak sudah pesan sebelum ikut Wak Samad balik Mak Long tidak boleh berlaku nakal dan jangan jahat-jahat.    Mak Long ingat pesan Emak.  Sebab itu bila Mak Eena bebel Mak Long diam dan pergi tempat lain.  Biarkan anak-anak dia dengan emak mereka bukan urusan Mak Long.  Waktu masa-masa beginilah Mak Long teringat dan rindu pada Emak.  Rasa hendak balik ketika itu juga.  Kadang-kadang Wak Samad dapat ikan tapah, ikan tilan, ikan sembilang dan lain-lain jenis ikan sungai.  Mak Eena masak asam rebus tarok nenas sedapnya... Meleleh air lior terbayang-bayang lauk itu di hadapan mata.

Kami kanak-kanak yang aktif jarang tidur waktu siang hari walaupun disuruh tidur.  Di sebelah rumah Wak Samad adalah kebun getah seorang Jawa dan setiap hari kalau tidah hujan tuan tanah akan menoreh getah.  Sebelum tengahari dia sudah siap membangkit susu getah.  Sebelah petang kami bertiga  pula membangkit getah susu yang tidak habis keluar ke cawan getah.  Kami kumpulkan masuk ke dalam baldi kecil kemudian dibahagi tiga dan kami bekukan jadi segerap buku.  Banyak jugalah kami kumpul getah buku itu, kemudian kami jual dengan seorang apek Cina yang datang tiap-tiap bulan ke rumah Wak Samad membeli getah keping yang sudah kering hasil kebun getah di sekeliling rumahnya.  Kami pun sibuk menjual getah buku kami!  Tidak siapa pun menegor perbuatan salah kami hinggalah suatu hari Wak Samad cakap kami tidak boleh lagi kutip susu getah orang...berdosa!!!  

Sebelah pagi setiap hari kami mesti tolong Mak Eena membasuk kain baju sekeluarga, guna sabun buku cap kapak di atas pelantar kayu tepi kolam.  Sabun kurang berbuih kerana air kolam itu masam-masam sedikit rasanya.  Adohai....penat menyental kain kotor sampai melecir jari dan tangan Mak Long.  Membilas kain satu lagi kerja berat kemudian menjemur di ampai.  Kami bergilir-gilir menimba air dari kolam dengan baldi menggunakan cangkok kayu kerana tebing kolam itu agak tinggi sedikit.  Kalau jatuh dalam kolam itu mampus mati lemas.  Mak Long tidak berapa mahir buat kerja begini dan terasa beratnya tugas yang diberi. Seriau bila tengok ke dalam kolam dari tebing...takut terjatuh dalamnya.  Mak Long tidak pandai bernang ketika itu.  Mak Eena pula, Mak Longlah yang banyak disuruhnya mencedok air itu.  Rasa hendak menangis!!   Agaknya dia lebih suka tengok cucu tiri ini mati lemas jatuh dalam kolam itu!  Itulah yang Mak Long rasa ketika itu. Di sinilah juga tempat kami mandi-manda setiap pagi dan petang. Kolam ini digali untuk sumba air utama kegunaan keluarga.  Besar dan dalam serta jernih air kolam tersebut.  Wak Samad tidak tahu Mak Long dikerah mencedok air dari kolam!  Bila sudah balik ke rumah kami di Kampung Jorak Mak Long cerita pada Emak.  Beliau hanya geleng kepala dan cakap "...itu ler gemo beno nak ikut pegi sana!!.."








Rumah Wak Samad di
Kampung Sungai Bilah, Bukit Gambir, Muar
Bergaya dengan biola itu Pak Utih Man adik Emak


Friday, August 3, 2012

NOTA NAIK PERAHU DI SUNGAI MUAR

Pernahkah kalian menaiki perahu dan berdayong di permukaan air?  Mak Long pernah menaiki perahu banyak kali juga.  Kedua-dua atok Mak Long mempunyai perahu masing-masing.  Perahu mereka dibina dengan keringat mereka sendiri.  Perahu juga adalah salah satu daripada kenderaan penting di zaman Mak Long membesar.  Jalan raya masih belum banyak dan cangih seperti sekarang untuk menghubungi sesuatu tempat ke satu tempat lain.  Jambatan tidak banyak yang dibina lagi untuk menyeberangi sungai.  Kenderaan moden juga belum banyak bilangannya.  Jadi perahulah jadi kenderan penting bagi penduduk-penduduk kampung khasnya untuk berulang alik ke pekan, menyeberang sungai dan sebagainya.  Bagi Atok Salleh perahu digunakan untuk menyeberangi sungai apabila dia pergi menjengok dan membesihkan kebunnya di Kampung Seberang.  Selain daripada itu dia menggunakan perahu untuk pergi mengail dan menangkap ikan dan udang galah.  Wak Samad pula perahu memainkan peranan yang sangat penting sekali baginya.  Kerap dia berulang-alik dari rumah tempat tinggalnya di Kampung Sungai Bilah, Bukit Gambir ke beberapa tempat lain terutama ke Kampung Jorak menjengok kami sekeluarga.  Selain dari itu seperti Atok Salleh, Wak Samad memasang lukah, bobo, jerat dan mengail ikan.  Di Sungai Muar, kalau rajin berusaha memang banyak rezeki boleh diperolehi darinya. 

Suatu hari Wak Samad (kadang-kadang kami panggil dia Wak Sungai Bilah) datang lagi menjengok kami.  Dia biasanya kalau datang mesti bermalam di rumah kami.  Yalah tak kan hendak bermalam di rumah orang lain pulak sedangkan ada rumah anak sendiri.  Mak Long paling seronok Wak Samad selalu datang sebab suka bermanja denganya.  Biasalah tidak pernah dia lupa membawa buah tangan untuk kami sekeluarga.  Limau manis dengan kuih China (kuih berbungkus kertas merah dipanggil kuih "cher ki") tidak pernah lupa untuk Mak Long.  Masa ini Mak Long tidak ingat sama ada Mak Long sudah bersekolah atau belum.  Mungkin belum kot....  Kali ini bila Wak Samad hendak balik, dia tanya kalau Mak Long hendak ikut dia balik ke Sungai Bilah sebab perahu dia kosong.  Sudah tentulah hendak!  Tanya-tanya pulak!!  Emak bekalkan beberapa helai baju (bukan ada banyak baju pun cuma dua, tiga helai).  Mak Long tidak pernah kesah pun tidak ada baju banyak.  Yang ada itu pun sudah mencukupi.  Biasanya Emak yang jahit baju. jahit dengan tangan lagi...  Seluar dalam pun Emak buat tidak pernah berbeli.  Kadang   perca kain lebih Emak ambil upah menjahit atau kain uncang beras cap kunci yang sudah dicuci bersih dibuat seluar dalam Mak Long.  Pernah bayangkan kalian pakai seluar dalam dibuat dari uncang beras?  Baju dalam tidak pernah pakai lagi.  Emak bungkus sahaja baju-baju Mak Long dengan sapu tangan besar macam dia bungkus bekal makanan.

Kami bertolak dari rumah sudah petang sangat hampir waktu Maghrib.  Wak tolong hantar kami dengan basikalnya hingga ke Kampung Selabi iaitu kampung berjiran dengan Kampung Jorak.  Dari situ kami terpaksa berjalan kaki sedikit hingga ke pengkalan perahu dilabuhkan.  Rupa-rupanya bukan Wak Samad dan Mak Long sahaja yang akan menaiki perahu malam itu.  Tok Cik Aboh anak saudara Wak Samad sudah sedia menunggu kami di pengkalan.  Di dalam perahu ada beberapa barang sudah siap letak dan susunnya.  Tok Cik Aboh dan Wak Samad duduk di hujung dan pangkal perahu dengan batang pengayuh dan Mak Long duduk di tengah-tengah bahagian perahu.  Suasana sudah mulai gelap hanya balam-balam sahaja kelihatan.  Adoh!  Nyamok banyak!!  Habis telinga Mak Long kena gigitlah....

Mereka bergilir-gilir mengayoh di tengah-tengah sungai dan perahu kami mengelongsur perlahan-lahan.  Mesti lengoh tangan mengayoh tidak berhenti.  Wak Samad tidak bagi bising-bising, katanya nanti takut buaya timbol.  Dalam sungai Muar ada banayak buaya tau.  Orang kata kalau di sungai ada banyak udang galah bermakna ada banyak buaya di situ.  Tidak tahulah kalau ini faktor benar?  Tidak ingat berapa lama perjalaan itu, sampai tertidor jugalah Mak Long dalam perahu itu berbantalkan barang yang disusun itu.  Malam itu bulan tidak berapa terang tetapi pemandangan di sungai terang seperti bulan sedang mengambang penuh.  Di kiri kanan sungai banyak pokok-pokok besar dan kecil jelas kelihatan.  Di antaranya pokok putat, pucuknya sedap dibuat ulaman.  Di rimbunan pokok-pokok inilah berjuta-juta ekor kelip-kelip menerangi kawasan.  Sungguh cantik seperti lampu lip-lip mengelip di sana sini.  Tidak jemu Mak Long menikmati suasana yang sebegitu indah dan syahdu diulit dengan bunyi air apabila dipukul pengayuh perahu.  Angin pun bertiup sempui sahaja.  Susana malam yang indah dan damai.  Setiap bulan December waktu perayaan Hari Natal di Amerika Syarikat Mak Long mesti ingat tentang kelip-kelip.  Orang Amerika merayakan Hari Natal dan mereka menghias rumah mereka dengan lampu-lampu kecil dan besar yang berwarna warni cantik di sekeliling rumah dan kawasan.  Cantik tetapi indah lagi lampu kelip-kelip asli ciptaan Illahi.

Kami selamat sampai di pengkalan perahu di Sungai Bilah.  Wak Samad dan Tok Cik Aboh memunggah barang-barang dari perahu dan mereka kandar semuanya depan dan belakang kayu kandar.  Nampak berat!  Apa entah yang mereka bawak dari Jorak?  Kali ini Mak Long tidak dapat berdokong dengan Wak Samad.... kena jalan kaki sendiri daa...penatlah!  Jauh pulak hendak sampai ke rumah.  Kami sampai di rumah sudah lewat malam..semua ahli keluarga sudah tidur.





Sekadar hiasan 
Sungai Mersing, Johor

Thursday, August 2, 2012

NOTA MAKAN ANGIN KE SINGAPORA

Mak Long seronok menjadi cucu perempuan pertama dalam keluarga kami.  Apa-apa semua dapat lebih dari yang lain.  Atok Salleh dan Tok Keti adalah datok sebelah Wak.  Atok Salleh menoreh getah sebelah pagi dan sebelah petang pula beliau suka pergi ke sungai pasang lukah tangkap udang galah dan ikan.  Kadang-kadang duduk di rumah memotong dan meraut buluh dan rotan untuk membuat jerat, lukah dan bobo udang galah dan ikan.  Bila jerat dan lukah mengena tidak perlulah Atok pergi ke pekan Jorak membeli ikan atau lauk lain.  Kekadang Atok senang duduk berborak-borak dengan orang-orang kampung sambil minum kopi di kedai kopi di pekan Jorak.  Bila musim durian dan duku Atok Salleh sibuk menjaga tupai dan keluang di kedua-dua dusunnya.  Kalau tidak ke mana-mana atau tidak membuat kerja lain Atok suka duduk di rumah sahaja bersama-sama Tok Keti.  Kalau sudah mula berborak, mereka berdua ini rioh rendah bunyinya macam ada ramai orang di situ.  Atok Sitam emak tiri kepada Tok Keti sering bertandang tidur di rumah Atok, lagilah porak bunyinya mereka bersembang, sungguh mesera perhubungan mereka.  


Atok Salleh murah rezekinya.  Selalu juga beliau berjalan makan-makan angin membawa keluarga pergi ke beberapa tempat.  Satu daripadanya ialah pergi ke Singapura.  Singapura adalaha nama lama sebelum ditukar kepada Singapore.  Setiap kali bila hendak pergi ke mana-mana Atok menggunakan khidmat Uda Man iaitu anak saudaranya yang menjadi pemandu teksi.  Atok selalu membawa Mak Long kalau pergi makan angin.  Sukalah Mak Long dapat ikut berjalan.  Penuh juga kereta Uda Man perjalanan kali ini...enam orang Atok Salleh, Atok Keti, Busu Peaah, Pak Cik Rahim, Mak Long dan termasuk Uda Man.  Sarat penuh kereta!  Sampai di Johor Bahru kami singgah di rumah adik ipar Uda Man.  Mak Long tidak ingat sangat di mana di Johor ni.  Mak Long ingat Busu Peaah menangis sebab tidak dapat beli gula-gula yang dia hendak.  Masam muka dan muncung mulut merajuk.  Di Singapura kami tinggal di sebuah hotel sewa satu bilik.  Uda Man balik ke Johor Bahru tidur di rumah iparnya.  Keadaan hotel di zaman itu jauh bezanya dari hotel-hotel zaman sekarang.  Kunci pintu guna kunci asli tidak ada kunci plastik digital.  Bilik air berasingan dan dikungsi dengan penyewa-penyewa bilik hotel lain.  Tidak ada air panas untuk mandi pagi-pagi.  Kalau hendak melepas pun kenalah turun hotel di bawah nun..... Hawa dingin tiada juga hanya guna kipas angin.  Susah hendak dibandingkan dengan kemewahan hotel-hotel sekarang.  Tetapi walau apa pun Mak Long tetap seronok!   


Esoknya Uda Man datang ambil kami berjalan-jalan keliling  kota Singapura.   Amboiii besar dan cantik bandar Singapura (ini kenangan dalam ingatan Mak Long ketika di umur semuda itu).. ada beca, bas, kereta ... Salah satu tempat yang betul-betul Mak Long ingat kami singgah adalah Taman Haw Par Villa.  Taman ini juga di panggil The Tiger Balm Garden, masih ujud hingga sekarang mungkin sudah banyak kali diperbaiki untuk mengekalkan keasliannya. Di taman ini mengandungi lebih dari seribu patong-patong berukiran menjunjukkan ajaran-ajaran Kongfusi.  Di situ juga ada sebuah tempat khas ditunjukan yang dipanggil "Ten Courts of Hell".  Di sini patong-patong menunjukkan ..kalau hidup berbuat baik dibalas baik dan kalau hidup berhati dengki dan jahat dibalas dengan hidup neraka yang buruk.  Bila balik dari tengok semua patong-patong ngeri itu Mak Long rasa takut pula dan berazam hendak jadi manusia yang baik den bagus berbudi pekerti.







Gambar Anjang Hassan dan Busu Peaah