Pages

Thursday, March 7, 2013

Nota Sejarah Srikandi Tun Fatimah

Assalamualaikum,

Dalam buku-buku sejarah Melayu tidak banyak menampilkan cerita mengenai sejarah Tun Fatimah.  Amatlah penting sekiranya sejarah mengenainya diperluaskan kerana beliau adalah lambang wanita Melayu yang jelas berperibadian dan ketokohan sebagai pejuang wanita Melayu hebat.  Beliau adalah seorang serikandi yang gagah dan berani berjuang mempertahankan negeri Melaka dari serangan Pertugis walau pun dalam saat genting beliau terpaksa melarikan diri ke Kampar, Perak.  Kesetiaannya pada negeri dan suaminya Sultan Mahmud Shah mekar menyelubungi dihatinya hingga ke akhir hayat.

Tun Fatimah adalah anak bungsu kepada Bendahara Seri Nara Diraja Tun Ali berketurunan Tamil Muslim dan isterinya Tun Kudu.  Anak lelaki mereka iaitu abang kepada Tun Fatimah ialah Tun Mutahir dilantik menjadi Bendahara Negeri Melaka pada waktu pemerintahan Sultan Mahmud Shah.  Sebelum Tun Kudu menjadi isteri kepada Bendahara Seri Nara Diraja Tun Ali, beliau adalah isteri kepada Sultan Muzzafar Shah dan kakak kepada Bendahara yang tersohor Tun Perak.  Rupa paras Tun Fatimah terserlah cantik dan jelita menjadi kegilaan anak-anak muda ketika itu.  Mempunyai akhlak dan budi perkertinya baik sejajar dengan kejelitaannya.  Handal dalam seni bersilat mempertahankan diri dan tangkas menggunakan alat senjata keris dan tombak untuk berjuang.

Tun Fatimah telah ditunangkan dan dikahwinkan dengan pemuda pilihan orang tuanya iaitu Tun Hassan.  Sultan Mahmud Shah telah dijemput hadir untuk meraikan majlis perkahwinan itu.  Sultan telah tertarik dengan kejelitaan Tun Fatimah dan baginda berasa terlalu murka kepada Bendahara Seri Nara Diraja Tun Ali kerana tidak pernah menyembahkan bahawa beliau mempunyai anak gadis yang jelita kepada baginda terlebih dahulu.  Baginda telah meninggalkan majlis itu tanpa menjamah santapan yang disajikan.

Sebenarnya ramai yang dengki hati kepada keluarga Bendahara Seri Nara Diraja Tun Ali.  Di antaranya ialah Raja Mandaliar, Kitul, dan Laksamana Khoja Hassan.  Mereka telah memfitnahkan Bendahara, yang kononya Bendahara itu telah menempah persalinan dan cerek yang semuanya daripada emas dan mempunyai agenda ingin merampas takhta kerajaan Melaka.  Dengan berita itu Baginda Sultan bertambahlah kemurkaannya terhadap Bendahara.  Tanpa usul periksa lagi Baginda lantas menyerahkan keris kuasanya kepada Tun Sura dan Tun Setia untuk menjatuhkan hukuman bunuh keatas seluruh keluarga Bendahara kecuali Tun Fatimah.  Maka tinggallah Tun Fatimah sebatang karah.

Akhirnya Sultan Mahmud sedar atas kesilapan dan keterlanjuran perbuatan kejamnya yang tanpa usul periksa terlebih dahulu.  Kasih dan cintanya terus membara terhadap Tun Fatimah, akhirnya mengutus pinangan kepada Tun Fatimah dan membawanya masuk ke istana dengan sambutan secara besar-besaran.  Perkahwinan antara Sultan Mahmud Shah dan Tun Fatimah telah diatur dan dilangsongkan tidak lama selepas itu. Tun Fatimah terpaksa akur dengan titah Sultan Mahmud kerana tidak mahu menderhaka.  Menurut cerita Tun Fatimah enggan beradu bersama-sama atau melayani Sultan Mahmud.  Tetapi sebagai seorang wanita yang waras serta bertimbang-rasa walaupun hatinya membenci atas tindakan zalim Sultan terhadap seluruh keluarganya, tambahanan lagi Tun Fatimah mengingati pesanan ayahnya dahulu supaya jangan sekali menderhaka kepada Sultan.  Juga menyedari keikhlasan dan keinsafan Baginda yang ditunjukkan kepada isterinya akhirnya Tun Fatimah berlembut hati membalas cinta Sultan Mahmud Shah.  Oleh kerana terlalu sayang dan mengagumi paras rupa Tun Fatimah yang cantik itu, Sultan Mahmud telah mengisytiharkan Tun Fatimah sebagai Paduka Seri Permaisuri Melaka.

Dengan menjadi Permaisuri Melaka dan mempunyai kuasa istimewa, Tun Fatimah dengan dayang-dayang istana serta rakan-rakan wanitanya yang lain telah berjaya menangkap orang-orang yang memfitnahkan keluarganya.  Ketiga-tiga pendalang Raja Mandeliar, Kitul dan Laksamana Khoja Hassan ditangkap dan dihukum bunuh, menerima hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang telah mereka lakukan.

Baginda Sultan dan Paduka Seri Permaisuri Tun Fatimah telah dikurniakan empat orang putera dan puteri.  Mereka adalah Raja Ala'uddin ibni Sultan Mahmud Shah menjadi Sultan Muda Ahmad Shah;  Raja Raden Ali ibni Sultan Mahmud Shah menjadi Sultan Johor ke-2 sebagai Sultan Alauddin Riayat Shah II selama 36 tahun; Raja Puteh binti Sultan Mahmud Shah dan Raja Khadijah binti Sultan Mahmud Shah.

Tun Fatimah adalah Srikandi Melayu dan mempunyai besar pengaruhnya terhadap Sultan agar terus berjuang mempertahan negeri Melaka menentang Portugis demi maruah dan mertabat orang Melayu. Sebagai memperingati srikandi hebat ini sebuah sekolah berasrama penuh menempatkan anak-anak perempuan orang Melayu dari seluruh daerah di tanah air telah ditubuhkan dan diberi nama Sekolah Tun Fatimah atau lebih dikenali dengan STF sahaja.

















Nota:  

Mempelajari sejarah lama adalah penting satu dari sebabnya ialah sejarah dapat membantu dalam mencapai kejayaan masa kini dan hadapan.








No comments:

Post a Comment