Pages

Wednesday, January 9, 2013

Nota Grand Canyon, Arizona (2000)

Assalamualaikum.....

Mula-mula Mak Long sampai di Amerika Syarikat, Pak Long bertanya apakah yang Mak Long ingin sekali melihat di benua ini.  Jawab Mak Long cepat sahaja ialah "Grand Canyon", Arizona, "The Yellowstone National Park" dan "The Redwood", Califonia.  Hanya The Redwood" sahaja yang belum tercapai hasrat di hati.  In sya Allah suatu hari nanti.......

Mak Long bertanya dengan seorang kawan kami yang pernah pergi ke Grand Canyon apa pendapatnya tentang tempat itu?  Apa jawabnya?  "Oh.... nothing special.  Just a big hole in the ground!!"  Mak oii!  Kecewa juga dengan jawapannya. Tetapi tidaklah mematahkan keinginan hati hendak melihat ciptaan Allah.


Grand Canyon (Lubang besar dalam bumi) - 2001

Kami mulakan perjalanan jauh ini dari Deming, New Mexico di mana kami tinggal ketika itu. Kenderaan yang kami gunakan ialah motosikal berenjin tinggi Harley Davidson model Softail Custom Harritage.  Kami tidak banyak membawa barang selain daripada barang keperluan,  beberapa helai pakaian, baju hujan dan sebuah "tool box" kecil (kotak berisi alat seperti screw driver, penampal tayar dll) kegunaan bila perlu untuk baiki motosikal.  Kami singgah di beberapa tempat menarik di sepanjang perjalanan seperti Gila Cliffs Dwellings, Petrified Forest National Park, Painted Desert dan Tombstone.  Perjalanan ini kami mengambil masa beberapa hari barulah sampai ke Grand Canyon.  Puas rasa hati dapat melihat ciptaan Allah SWT dan mempelajari tentang negeri dan adat resam negeri asing.

Sehari sebelum kami sampai ke rumah tumpangan cuaca tidak menyebelahi kami. Hujan lebat sepanjang hari dan sejuk hingga kami terpaksa melewatkan perjalanan beberapa jam menunggu hujan reda.  Mujurlah kami sudah bersedia dengan baju hujan.  Kalau tidak macam tikus basah jatuh longkanglah kami jawabnya....... Kami sampai di rumah tumpangan lewat hampir jam tujuh malam (lima jam lewat).  Pak Long telah membuat tempahan  tiga minggu lebih awal untuk sebuah bilik di rumah berkembar untuk dua malam.  Bulan Mei biasanya ramai penggunjung ke situ.

Grand Canyon adalah satu daripada tujuh keajaiban semulajadi yang ditemui dan diketahui dalam dunia.  Grand Canyon terletak di Arizona.  Luasnya ialah 277 batu (446km) panjang, 18 batu (29km) lebar dan lebih dari 1 batu (1.6km) dalam.  Itulah lubang besar di bumi ciptaan Illahi yang dikatakan oleh kawan Mak Long.  Menurut perangkaan yang Mak Long baca baru-baru ini dikatakan hampir sepuluh juta pelawat datang melawat Grand Canyon setiap tahun.  Lubang besar ini mempunyai banyak sejarah yang istimewa berkenaan kehidupan purba pueblo kaum Navajo dan Hopi Indian di dalam dan di luar kawasan ini sejak beribu tahun dahulu.  Di Musium Tusayan banyak pameran berkenaan mereka.

Kedudukan Grand Canyon adalah dalam kawasan desert.  Keadaan cuaca tidak menentu dan boleh bertukar dengan tiba-tiba sepanjang tahun.  Musim panas suhu boleh mencecah terlalu tinggi dan kering memjadikan pemandangannya terindah terutama waktu subuh dan senja.  Grand Canyon boleh bertukar-tukar berbagai warna yang sungguh menakjubkan setiap kali bumi bergerak mengelilingi matahari.  Musim sejuk pula bersalji dan sering berlaku ribut salji.  Banyak jenis binatang dan ungas seperti elk, rusa, cougar (singa gunung), helang dan lain-lain menjadi penghuni di sini.



Grand Canyon (berkabus) - 2001

Pelawat-pelawat boleh memasuki Grand Canyon melalui "South Rim" (Pintu Selatan).  Ia dibuka sepanjang tahun.  Memasuki melalui "North Rim" (Pintu Utara) pula ia dibuka dari pertengahan bulan Mei hingga pertengahan bulan Oktober.  Boleh juga masuk melalui "East dan West Rim".

Aktiviti kami bermula pagi-pagi lagi.  Membeli tiket masuk untuk dua hari.  Berbagai aktiviti disediakan untuk semua penggunjung samaada menggunakan khidmat pelancungan atau sendiri-sendiri. Aktiviti menarik melihat canyon termasuklah "hiking" (berjalan kaki), menunggang "mule" (kuda dikacuk dengan keledai), berakit di Colorado River, kayuh basikal, menaiki keretapi mengelilingi Grand Canyon Villlage dan menikmati pemandangan waktu subuh dan senja.  Untuk menikmati sepenuhnya suasana keadaan di sini anda mestilah bersedia untuk tinggal beberapa hari lamanya.  Terlalu banyak yang boleh dilawat dan dilihat.

Kami menaiki keretapi bersejarah dari station Grand Canyon berpusing ke Williams dan balik semula mengelilingi kawasan Grand Canyon Village mengambil masa beberapa jam lamanya, hampir setengah harilah juga. Khidmat keretapi dibuka sepanjang tahun melainkan cuti hari Natal.  Di dalam keretapi kami dihiburkan dengan aksi-aksi cowboy berlakun seperti penyamum keretapi.  Seronok!  Minuman ringgan juga disediakan dan yang paling bagus dapat mengambil gambar sepuasnya.  Sayang ketika itu camera digital masih belum ada lagi terpaksalah guna film.


Perkhidmatan keretapi Grand Canyon (2001)
"Historic Grand Canyon Railway"

Ekor keretapi sayup 

"Train robbery"

Kami juga berkesempatan pergi ke beberapa tempat yang terbaik pemandangan seperti "Yaki Point" dan "South Kaibab" dengan menaiki bus yang disediakan percuma setiap 15 minit sekali.  Bas ini berhenti di setiap ("point") tempat yang menarik.  Penumpang boleh berjalan-jalan di sekeling kemudian ambil bas yang lain pula.  Yang perlu hanyalah masa.  Kalau tidak mahu naik bas, boleh jalan kaki!


South Rim (2001)

Grand Canyon (2001)


Nikmatilah video You Tube ini disediakan oleh National Geographic.  Mak Long mungkin tidak dapat menerangkan lebih baik dari melihat sendiri video ini.



Sekarang sudah ada Grand Canyon Skywalk yang dibuka kepada umum dalam tahun 2007.  Ketika kami sampai ia belum pun dibina lagi hanya baru ada dalam perancangan sahaja.  Tuntunlah video Your Tube yang cantik ini.





Beberapa tempat makan dan kedai menjual berbagai cenderamata hasil kerja tangan kaum Navajo Red Indian terdapat di pusat beli belah dalam kawasan Grand Canyon.  Di perkampungan orang-orang Navajo Indian pun ada menjual banyak kraf atau kerja tangan mereka merupakan barang tembikar dan barang kemas untuk lelaki dan wanita dibuat dari manik atau batu permata "turquoise" (sejenis batu permata berwarna hijau kebiruan). Harganya pun lebih murah dari yang dijual di dalam kawasan Grand Canyon.  



Pasar lambak kerjatangan orang Red Indian di luar Grand Canyon


Barang tembikar dari debu tanah dan pasir halus kaum Navajo Indian
Kanan:  Tembikar Tempat Minum Pengantin Baru

Mak Long membeli beberapa cenderamata sebagai kenangan.  Satu darinya ialah sebuah tembikar digunakkan dalam istiadat perkahwinan kaum Navajo Indian.  Tembikar ini dibuat menggunakan debu tanah halus dan bulu kuda.  Sungguh halus dan cantik hasil kerja tangan mereka.  Mak Long diberitahu pengantin baru diberi minum air dari tembikar ini..sebelah untuk pengantinn perempuan dan sebelah lagi untuk pengantin lelaki sebagai merestui perkahwinan hingga ke akhir hayat.

Tembikar Navajo Indian
Kanan:  Tempat Minum Pengantin Baru








NOTA:


Melihat dan menekmati serta mengkagumi cipataan Allah yang tidak terkata indah dan sempurna ciptaan menambahkan lagi kepercayaan dan kekuatan iman kepada Nya.






2 comments:

  1. salam ramadhan, mak long tak singah Flagstaff ke makk? tu sekolah sy tu dulu2., huhu2

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam tiga lalat,

      Flagstaff? Ya kami singgah di sana untuk beberapa jam sahaja. Tahun berapa tiga lalat menuntut di sana?

      Delete