Assalamualaikum...
Deming ialah sebuah daerah kecil berhampiran dengan sempadan US dan Mexico. Ia juga adalah sebahagian daripada kawasan Chihuahuan (chi-wa-wa) Desert dan letaknya di sebelah barat Las Cruces, New Mexico. Cuaca di sini panas kering dan berangin kencang dan sering berlaku ribut habok yang berpusing-pusing. Cuaca panasnya kekadang mencecah melebihi 100 degree fahrenheit. Tumbuh-tumbuhan di sini tidak tinggi, renek sahaja dengan kekurangan air. Berbagai jenis pokok cactus tidak memerlukan air banyak terdapat di sini.
Chihuahuan Desert |
Deming mempunyai saluran air semula jadi di bawah tanah dari pergunungan Florida. Ia dikatakan salah satu daripada air gunung yang terbaik sekali di Amerika. Penduduknya rata-rata bangsa Mexican dan dikategorikan sebagai petani mengeluarkan hasil bawang besar dan cili. Apabila musim menuai bawang tiba, seluruh Deming berbau bawang. Begitu kuat baunya. Harga keluaran bawang dan cili sangat murah di sini. Musim sejuk pula bagi penduduk tempatan mereka berpendapat tidaklah terlalu sejuk sangat. Bagi Mak Long sejuk hingga ke tulang. Kami pernah tinggal di sini hampir setahun. Pak Long bertugas di situ suatu pusat kecil pengeluaran minyak dan gas. Apabila kami keluar di bandar, orang-orang di situ sering berbahasa Spanish dengan Mak Long. Mereka fikir Mak Long satu kapal dengan mereka dan kata muka Mak Long macam rupa orang Mexico.. hmmm.
Ladang dua musim (bawang besar dan cili) |
Tidak jauh di sebelah utara Deming ialah sebuah bandar kecil dipanggil Silver City. Kedudukan Silver City lebih tinggi dari bandar Deming, bila musim sejuk salji sering turun di sini, berbeza dengan Deming walaupun berhampiran. Dalam musim panas pula keadaan cuacanya sama seperti kawasan Deming. Di bandar inilah tempat Mak Long selalu datang ke pasaraya Wal-Mart membeli barang-barang keperluan harian selain dari bandar Deming. Beberapa buah restoran juga terdapat di kedua-dua bandar ini. Kebanyakannya menghidangkan makanan Mexican asli. Cintarasa makanan Mexican di sini berlainan dari tempat-tempat makanan Mexican yang terdapat di lain-lain negeri dalam Amerika. Masakannya lebih pedas dan enak seakan-akan masakan orang Melayu. Jalapeño (ha-la-pen-yo) pepper adalah bahan utama dalam masakan mereka. Jalapeño ialah sejenis cili besar dan bontak dan ia sangat pedas seperti pedas cili padi.
Waktu pagi ketika cuaca masih dingin Mak Long suka berjalan kaki cairkan lemak serta kendurkan urat yang tegang setiap hari tambahan Mak Long bertambah tembam, hari-hari Pak Long belanja "pineapple milk shake" dari Dairy Queen restauran menyediakan juadah Amerika. Mak Long berjalan mengikuti di celah-celah lorong kawasan perumahan dan bandar. Pemandangan di kaki gunung Florida sungguh indah. Banyak terdapat binatang-binatang liar yang Mak Long temui ketika berjalan seperti "jackrabbit" iaitu sejenis arnab liar, ular dan "road runner" sejenis burung. Burung ini larinya seperti kilat lajunya. Kadang-kadang Mak Long berjalan terus ke bandar melihat-lihat itu dan ini. Sebenarnya tidak ada banyak benda yang menarik hati selain dari hanya untuk suka-suka mengisi masa. Minggu pertama kami berada di situ, Mak Long sesat tidak sedar kaki sudah berjalan jauh sedang mata asik melihat sekeling dan tidak ingat jalan balik ke apartment. Hati malu hendak bertanya arah.... betullah peribahasa Melayu "malu bertanya sesat jalan....."
Burung "Roadrunner" |
Jacrabbit (arnab liar) banyak di kawasan desert |
Kami tinggal di Deming menyewa sebuah apartment lama berbilik sebijik. Tuan punya apartment ialah seorang tua pelik yang hanya memastikan bayaran sewa dari penyewa-penyewa membayar sewa tepat pada haribulan yang ditentukannya. Orangnya pendiam dan tiap-tiap hari kerjanya menggali/mengorek, menanam, mencabut berbagai pokok dan bunga di hadapan deretan apartment. Dia tidak pernah senyum. Mak Long telah melakarkan beberapa bunganya yang cantik itu di dalam buku lakarkan. Tidak ada keistimewaan di apartment ini melainkan ia berkedudukan dalam kawasan bandar. Waktu siang di musim panas, ia sangatlah panas dan berhabuk menjadikan pintu dan tingkap nampak sentiasa kotor berhabok. Serangga berbisa banyak merayap di sekeliling terutama labah-labah hitam.
Labah-labah hitam berbisa banyak di kawasan desert |
Pak Long ada kalanya bertugas waktu malam. Satu malam Pak Long ajak Mak Long ikut bersama di tempat kerjanya. Pak Long mula bertugas jam lima petang dan habis jam lima pagi. Macam-macam Mak Long bawa bersama (segala alat untuk melukis, buku dan makanan). Ketika itu musim sejuk. Aduhaiii... sejuknya, suhu di desert lebih sejuk pada waktu malam bawah 20 degree F. Hawa panas yang dipasang bagaikan tidak menampung kesejukan yang dialami. Puaslah Mak Long mengisi masa dengan baring, bangun, buat lukisan macam-macam, makan dan minum kopi panas sambil menunggu Pak Long habis kerja sehingga naik bosan giler. Dalam pengelaman Mak Long itulah malam yang paling panjang sekali dalam hidup Mak Long. Suasana malam senyap sepi yang terdengar hanyalah injap mesen generator di bangunan belakang. Sayup-sayup kedengaran "cayote" (sejenis serigala" menyalak menyeramkan menaikkan bulu roma.
Lakaran Jackrabbit dan Bunga Cactus |
Mak Long berpeluang melakarkan gambar jackrabbit sedang makan bunga cactus di hadapan pejabat Pak Long sepetang di tempat kerjanya.
Lakaran Desert, Deming, New Mexico |
Pukul lima pagi selepas subuh barulah kami keluar dari pejabat Pak Long, mata pun sudah mengantuk sesangat. Dalam perjalanan balik ke apartment, Pak Long bawa Mak Long tengok matahari terbit di balik pergunungan yang sungguh menakjubkan. Subhanallah indahnya ciptaan Allah. Mulanya hanya bayangan kekuningan memancar perlahan-lahan diikuti dengan warna kuning jingga. Kemudian perlahan-lahan timbul matahari seperti bebola merah menyala menyerlah menyinari alam. Keindahan yang tidak terkata!
Matahari terbit di ufuk pergunungan, Deming, NW |
NOTA:
Perpatah Melayu kata "kalau sesat jalan patah balik ke pangkal jalan". Tetapi bagaimana walaupun patah balik ke pangkal jalan masih tetap sesat?
No comments:
Post a Comment