Pages

Thursday, January 31, 2013

Nota Cepatnya Masa Berlalu

Assalamualaikum, 

Baru perasan hari ini sudah 31hb Januari, 2013.  Wahai, cepatnya masa berlalu tanpa disedari.  Pak Long sudah mengira hari kepulangannya.  Baguslah begitu.  Memang pun janjinya dahulu mahu pencen terusan.

Sebentar tadi, Mak Long dikejutkan dengan satu bunyian di dapur.  Tidak dapat dipastikan apakah bunyi itu.  Berasa curiga juga, maklum tinggal seorang di rumah.  Mak Long jalan terjengkit-jengkit intai apatah bendanya.  Tidak ada apa pun!  Heyy ...Berbunyi lagi!    Laaa peti sejuk rupanya sedang keluarkan air batu kedalam bekasnya.

Sudah seminggu lebih keadaan sungguh berangin menambahkan lagi kesejukan yang sedia terasa.  Angin yang bertiup laju meninggalkan bunyi yang menakutkan membuat Mak Long selalu terjaga waktu malam.  Mak Long tidak sabar menunggu musim bunga yang akan datang tidak berapa lama lagi...Insha Allah..

Hari ini Mak Long bersihkan tabong dan penuhkan makanan burung dan tupai dengan bijian dan jagong.  Rusa pula sudah beberapa hari tidak kelihatan.  Seronok dan terhibur melihat tupai dan ungas datang makan rezeki yang disediakan untuk mereka.  Terutama waktu pagi-pagi berbagai jenis burung datang makan dan menyanyi kegembiraan.  Indahnya ciptaan Illahi.......


Mr Holis sorok jagong bawah pokok rosemary


Mr Holis











Monday, January 28, 2013

Nota Selamat Harijadi

Assalamualaikum,

29hb Januari, 1976 adalah tarikh istimewa bagi kami berdua beranak ..... hari kelahiran Puteri Sulung Mak Long.  Pemberian dari Allah SWT seorang zuriat yang dinanti dengan penuh debaran dan sangsi.  Tarikh kelahirannya dijangka awal dalam bulan February.  Tahun itu juga adalah tahun naga bagi kaum Tionghua yang akan menyambut perayaanTahun Baru China.   Pada tarikh bersamaan yang diramalkan oleh Dr Tan Chee Koon akan kelahiran Puteri Sulung.  Lebih awal Dr Tan telah mengumumkan kepada kami dan pesakit-pesakit lain yang beliau akan bercuti beberapa hari meyambut dan meraikan perayaan Tahun Barunya.  Bermakna kalau Puteri Sulung lahir pada tarikh yang diramalkan, Dr Tan tidak dapat menyambut kelahiran Puteri dan segalanya akan terserah kepada kepakaran bidan hospital sahaja.  Kami menerima cadangan Dr Tan untuk mempercepatkan kelahirana Puteri Sulung iaitu pada 29hb Januari.  Alhamdulillah dan bersyukur Puteri selamat dilahirkan jam dua belah tengahari hari itu ketika matahari sedang tinggi di langit di Klinik Bersalin Dr Tan Chee Koon di Jalan Tengku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.  Sekarang klinik bersalin itu sudah tidak ada lagi dan tidak tahu apa terjadi dengan klinik tersebut.  Dari saat ketika itulah bermulanya Mak Long menjadi dan bergelar seorang ibu.  

Kasih dan sayang seorang ibu kepada anaknya hingga ke akhir hayat, sanggup berkurban demi anak........  Tetapi kasih seseorang anak kepada ibunya belum tahu sampai ke mana?.....  


Twinkle, twinkle little star
How I wonder what you are
Up above the world so high
Like a Dimond in the sky

SELAMAT MENYAMBUT HARIJADI, SAYANG


Anakku


Masih jelas di ruang mata...
Saat pertama kau ku sapa,
Saat pertama bertentang mata,
Walau bermusim ianya berlalu pergi,
Keindahan detik itu masih mekar di sanubari.

Anakku...
Lihatlah sekeliling mu,
Inilah dunia mu,
Inilah pentas permainan mu,
Jangan gentar jangan gerun,
Bangunlah kau berlari gagah,
Usah mengundur usah mengalah

Anakku...
Engkaulah anak merdeka,
Engkaulah anak Malaysia,
Dunia kini kian berubah,
Measat, KLCC, MSC juga ICT,
Menjadi satu wadah perjuangan,
Semua ini milik mu jua,
Tawanlah segala ilmu yang ada,
Biar dunia mengenali siapa diri mu

Wahai anakku..
Usah kau meninggi diri,
Atau sombong dan saling membenci,
Ingatlah pada Tuhan Mu,
Taatlah pada ibubapa mu,
Setialah pada pertiwi mu,
Bulatkan segala tekad mu,
Dan berpeganglah pada janji janji mu
Sesunggunnya anak aku..
Dunia ini adalah milik mu
Janganlah dipersiakan segalanya
Janganlah dibazir peluang yang ada
Ingatlah...ingatlah...ingatlah...



 Petikan dari pesajak yang tidak dikenali siapakah penulisnya.








Friday, January 25, 2013

Nota Beef Steak

Assalamualaikum,

Apakah "steak?"  Macam mana sebutannya?  Se...teik? begitulah lebih kurang bunyinya.  Sebutan se dipendekkan seperti sebut stik.  Tetapi apakah nama "steak" dalam bahasa Melayu?  Tidak ada nama khas dalam bahasa Melayu perkataan "steak" sebab "steak" bukan masakan orang Melayu.  Kalaulah ia satu dari masakan Melayu sudah tentu ada nama khas baginya.  Satey masakan orang Melayu, bolehkah kita istilahkan dalam senarai "steak" juga?  Hmmm... boleh kot!  Sebab satey pun dipanggang juga!  "Steak" ialah masakan orang barat berupa potongan atau keratan daging atau ikan yang dipotong mengikut melintangi serat. Cara "steak" disediakan biasanya dipanggang (grilled); digoreng atau dipanggang (broiled) dengan api tinggi dalam ketuhar.  "Steak" ikan pula biasanya dari ikan yang besar seperti ikan tuna, salmon dan lain-lain lagi.

Beberapa nama diberikan kepada potongan daging lembu yang hendak dibuat "steak" mengikut bahagian-bahagian terletak dalam badan lembu.  Umpamanya "tender loin steak, rib eye steak, T-bone steak dan banyak lagi nama yang diberi.  Seperti nama-nama yang disebut adalah di antara yang mudah dipanggang dan tidak liat.   Ada bahagian daging lembu keras dan liat memerlukan bahan pelembut daging (meat tenderizer) sebelum dimasak atau dipanggang.  Memilih bahagian daging yang sesuai sangatlah penting supaya "steak" tidak keras atau liat.  

Di Amerika, para tukang potong daging (butcher) mereka pakar cara memotong dan memilih daging yang sesuai untuk berbagai jenis masakan pelanggan.  Mak Long dapat bekalan daging halal dari pasar daging orang Pakistan yang tidak kurang bagusnya cara daging dipotong.  Walau pun pasar ini agak jauh dari rumah, kira-kira sejam perjalanan, Mak Long biasanya beli lebih dan simpan dalam "freezer".  

Pak Long pandai panggang "steak" tetapi sekarang dia pencen dari memanggang.  Mak Long belajar daripadanya dan tugas memanggang "beef steak" sudah jadi tugas Mak Long seumur hidup!  Kebiasaan kami panggang menggunakan grill di luar rumah. Ada beberapa cara menyediakan "steak" sebelum dipanggang.  Setengah orang suka peram dahulu dengan rempah selama beberapa minit sebelum dipanggang.  Ada pula tabur atau sapu serbuk lada hitam dan  garam dan terus dipanggang.  Ada juga tidak menggunakan apa-apa perasa terus sahaja dipanggang, bila sudah masak barulah taruk garam dan lada hitam.  Memasak "steak" boleh diperbagai, dipanggang (grilled) di atas pemangang atau dibakar dalam ketuhar, kaedah ini dipanggil "broiled" kerana menggunakan api terus pada "steak".  Akhir sekali digoreng dalam kuali tebal, sesuai bagai mereka yang tidak mempunyai ketuhar atau grill.   Sudah cakap pun di atas!!!

Inilah resepi membuat "steak" menggunakan kuali tebal.


Bahan:

6 - 8 oz. (1 - 1 1/2 inci tebal) daging lembu
Garam ikut rasa sendiri
Lada hitam

Cara Memanggang

Panaskan kuali tebal dengan api sederhana besar, masukkan 2 sudu besar minyak zaiton  atau minyak sayur.  Boleh juga campurkan minyak zaiton dengan sedikit mentega.

Gunakan sudip kapit panjang, masukkan daging ke dalam kuali pelahan-lahan.  Gerak-gerakkan daging supaya tidak melekat di kuali selama 5 hingga 6 minit kemudian balikkan dan gerak-gerakkan seperti mula-mula selama 5 hingga 6 minit.  Masak daging itu mengikut selera masing-masing iaitu:

Suhu dalam steak yang sudah masak:

Kurang masak (rare)  -  120 degrees F
Setengah masak (medium rare)  -  125 degrees F
Masak (Medium)  -  130 degree F (dibahagian tengah "steak" masak tapi masih berwarna merah)

Bila "steaks" sudah dimasak seperti yang dikehendaki, keluarkan daging dari kuali, bungkus atau balut "steak" dalam aluminum foil dan biarkan rehat 5 hingga 10 minit sebelum dihidang.  Ketika ini daging akan terus masak lagi.  Selepas itu bolehlah dihidang, tabur garam sedikit dan menikmati "steak" sama ada dipotong nipis atau ikut suka hati macam mana hendak makan.  


Potong daging lembu sebelum dipanggang



Beef Steak 



Kami suka sayur hijau yang dicelur seperti brokoli, kacang hijau, kacang panjang atau carrot makan dengan "steak".  Kadang-kadang Mak Long buat kentang lenyek "mashed potato" atau kentang bakar begitu sahaja kemudian potong, taruk keju dan "sour cream".  Ada orang suka makan "steak" colek dengan sos.  

Sos senang sahaja buatnya tidak perlu beli.  Caranya, guna bekas kuali mengoreng "steak" tadi.  Koret-koret dalam kuali itulah yang menyedapkan sos.  Dengan api sederhana masukan sedikit tepung gandung dan goreng seketika hingga sebati dengan koretan itu kemudian taruk air sedikit angaran yang perlu untuk makan ketika itu, garam dan lada hitam.  Kacau hingga pekat dan angkat, sedia untuk diguna.

Menurut kata doktor, makan steak hendaklah berpada-pada dan tidak selalu.  Kerap memakan daging dan lemak adalah satu dari punca penyakit jantung dan darah tinggi.







NOTA:

Jaga kesihatan dengan mengambil makanan yang sihat.


Wednesday, January 23, 2013

Nota Tawaran Ke Slovenia

Assalamualaikum,

Dua bulan lepas Puteri beritahu dapat tawaran menghadiri "GIDE Conference 2013", di Ljubljana, Solvenia selama seminggu.  Puteri sungguh gembira sekali menerima tawaran itu.  Mak Long pun turut gembira juga atas kejayaanya dari usaha gigih Puteri dalam pelajaran di peringkat tertinggi.  Bukan senang hendak memanjat ke menara gading tanpa usaha dan pengorbanan diri dan keluarga. Tetapi jauh di sudut hati Mak Long terasa kebimbangan melepaskan Puteri ke sana.  Ibu mana yang tidak merasa perasaan begitu?  Kebimbangan menusuk hati ini pertama sekali, Puteri belum pernah bersendirian mengembara jauh di Eropah selain dari penerbangan pulang ke Malaysia.  Keduanya musim sejuk di negara tersebut selalunya tahap teruk.  Segala perbelanjaan dibiayai pihak universiti melainkan duit belanja "shopping".  Jadual dan tarikh penerbangan pun sudah dalam tangan.  Hati ini bertambah gusar.  Puteri selamba sahaja seperti tidak ada apa-apa yang meragukan atau merisaukan hatinya.

Mak Long tanya kalau semua keperluan sudah cukup untuk ke tempat itu.  Jawabnya hampir semua cukup hanya perlukan beberapa pasang pakaian seperti coat tebal dan wang saku untuk belanja.  Ahaa ... kalau itu fahamlah Mak Long!  Beli pakaian baru dan wang memang tidak pernahnya mencukupi!   Selagi ada benda yang menarik dan cantik di kedai dan nampak .... mahu sahaja.  Mak Long sarankan ambil sahaja coat tebal yang Mak Long ada dan tidak pun pernah digunakan dan sehelai baju dibuat dari bulu arnab.  Senyum lebar bukan main lagi dia dan Mak Long harap dia suka dengan pakaian itu.

Puteri, Puteri ...... buat hati Mak Long cair melimpah ruah bila dia memberi pelukan manja dan mesera begitu.  Orang putih cakap "She is my baby!"  Tetapi tidak bermakna kita sebagai ibu mesti menurut sahaja segala kehendak anak-anak tanpa menimbangkan baik dan buruknya, perlu atau tidak perlunya.  Mestilah ada garis pandu dan sempadannya.  Ketegasan, tanggung jawab, sifat keadilan dan galakan dari ibu dan bapa mesti ada dalam membimbing anak-anak disamping memberi kasih dan sayang sepenuhnya.  Mak Long bersyukur dengan kehadiran anak-anak yang baik serta hormat kepada kami.  Anugerah dari Allah yang tidak ternilai dalam hidup Mak Long.  

Mak Long banyak membuat kesilapan dalam banyak perkara sepanjang perjalanan hidup ini.  Semua liku dan lurah pernah dilalui.  Tetapi Mak Long cekalkan hati untuk bangun atas dasar kesedaran diri, tidak segan silu, tidak serik sentiasa belajar dari kesilapan yang lalu serta berusaha untuk menjadi seorang ibu dan ummah yang diredhai Nya.  Insya Allah.





Puteri








NOTA:

Jadikanlah diri sebagai contoh yang baik dan dihormati kepada anak-anak kita.






Tuesday, January 22, 2013

Nota Beef Stew

Assalamualaikum,

 Beef stew dalam bahasa Melayu ialah sop daging lembu.  Terdapat sedikit perbezaan cara memasak antara sop orang Melayu dan sop orang Amerika.  Walaupun berlainan cara, rasa semua jenis sop sedap dimakan.  Sop orang Melayu, lazimnya menggunakan bahan rempah ratus yang dibungkus bonjot direbus sekali dalam daging atau tulang dengan air biasa atau air kosong sehingga daging lembut.  Kemudian dicampurkan atau ditumis dengan bahan-bahan tumbuk temasuk bawang, bawang putih, halia atau guna rempah penumis mengikut selera pemasak.  

Orang Amerika pula kelainannya, mereka lebih mengemari menggunakan daging pejal tanpa lemak untuk buat sop.  Mereka gemar menggunakaan "stock" atau "broth" iaitu air rebusan dari tulang, makanan laut atau sayuran sebagai kuah dalam sop.  Air rebusan ini banyak dijual di mana-mana pasaraya di sini. Mak Long buat air rebusan sendiri menggunakan sayuran atau tulang kaki ayam sahaja.  Kadang-kadang kalau malas, Mak Long guna air paip sahaja, lebih cepat dan mudah.  Sop mereka pekat dengan campuran sedikit tepung gandum.  Kalau sop sayur biasanya diblend hancur seperti makanan bayi pun ada.  "Beef stew" lebih sedap dimakan sehari selepas dimasak kerana semua bahan sudah mesera dalam periok.  Oh ya, Mak Long tambah sedikit halia lagi sedap rasanya.  Kalau tidak ada sos Worcesteshire, Mak Long gantikan dengan sedikit air asam jawa.  Makannya pula bersama roti bakar atau "corn bread" (roti dibuat dari tepung jagong kasar).  Mak Long suka makan panas-panas begitu sahaja.

Ini resepi "beef stew":

Bahan:

2 1/2 lb daging lembu tanpa lemak dipotong dadu kira-kira 1 1/2"x1 1/2".  Basuh dan toskan
1/3 cawan tepung gandum
3-4 cawan air rebusan atau air paip
1/2 cawan minyak masak
1 bawang besar dipotong kecil
2 bawang putih diketuk sahaja
3 ketul kiub pati lembu
1 camca teh sos Worcestershire 
1 camca teh serbuk lada hitam (black pepper)
5 ubi kentang dipotong serdahana besar
5 batang carrot dipotong besar kira-kira 1-1 1/2"
1 cawan kacang pea (kalau suka)
Garam secukup rasa

Cara memasak:

1.   Gaulkan daging dengan tepung gandung.  Jangan habiskan tepung itu, tinggalkan sedikit dan letak tepi.  

2.   Panaskan periok besar dan masukkan minyak.  Kemudian masukkan daging sedikit-sedikit dan golek-golekkan hingga kekuningan, keluarkan dari periok dan ulang buat seperti itu pada daging selebihnya hingga habis semua.

3.   Dalam periok yang sama, masukkan bawang, bawang putih dan goring seketika hingga bawang lembut.  Kemudian masukkan tepung gandung lebih tadi dan kacau.  Kecilkan api supaya tepung tidak hangus.

4.   Pelahan-lahan masukkan air, lada hitam, sos Worcestershire, pati lembu dan garam.  Kacau pelahan-lahan hingga kuah itu nampak pekat sedikit.  

5.   Masukkan daging dan masak hingga mendidih dan kacau selalu supaya tidak berkerak di bontot periok.  Kecilkan api, tutup periok dan renih selama 2 jam.

6.   Masukkan kentang dan carrot serta besarkan api sedikit.  Masak hingga mendidih semula hingga daging, kentang dan carrot lembut.

Selamat mencupa kepada yang berminat buat dan makan sop daging lembu...."beef stew".




Beef Stew









NOTA:

Makan kerana hendak hidup....  atau
Hidup kerana hendak makan...







Monday, January 21, 2013

Nota Kek Vanilla Wafer Walnut Memaw

Assalamualaikum....

Atas permintaan adik Mak Long untuk menurunkan resepi kek Vanilla Wafer Walnut kesukaan puteri.  Puteri suka makan kek ini.  Biasanya bila dia balik Mak Long buatkan untuk dibawa pulang.  Katanya dia akan makan setiap serpih dan habuk yang tinggal!!  Mudah sahaja membuatnya dan bahannya pula senang didapati.

Bahan dalam kek ini sangat manis dan lemak.  Tidak bagus kalau makan selalu.   Mak Long kurangkan gula kalau menggunakan gula putih dengan mengurangkan setengah cawan dari resepi atau menggunakan setengah gula putih dan setengah gula merah (gula tebu).  Kali ini Mak Long guna gula tebu sahaja kurang manis dengan memampatkan gula merah itu dalam cawan ukuran.  Kelapa parut di USA dijual dari dalam paket yang sudah dimaniskan, sebab itu juga Mak Long kurangkan gula.  Boleh guna kelapa parut yang dibuang kulit arinya mungkin lebih baik.  Tidak tahulah Mak Long belum cuba lagi buat begitu.  Vanilla wafer ialah sejenis biskot manis.  Zaman Mak Long budak-budak dahulu biskot ini biskot koman aja, dijual dan ditimbang pakai kati.  Rupa, sais dan bentuknya seperti jering rebus.  Biasa Emak Mak Long beli untuk sarapan pagi cicah dengan air kopi atau jamu tetamu datang ke rumah Emak.

Resepi ini resepi lama sudah berpuluh tahun lamanya kepunyaan keluarga Memaw minah saleh, emak angkat Mak Long.  Dia sudah pun mati dua minggu lepas.  


Bahan:


1 kotak 12oz = (340gm) vanilla wafer (kalau tidak ada vanilla wafer boleh gunakan biskut mary asal beratnya sama
2 ketul butter (8 oz = 226.8gm) lembut (at room temperature)
2 cawan gula  pasir
6 biji telur
1/2 cawan susu segar (boleh guna susu cair, susu soya, susu almond)
7 oz = (198gm)  kelapa parut manis 
1 cawan walnut dicencang kasar (kalau tiada boleh guna pecan atau badam)
1 camca kecil esen vanilla
1 camca baking powder

Cara bancuhan:


  • Panaskan oven 350 degree F. (ikut petunjuk kepanasan oven masing-masing untuk membakar kek).  
  • Biskut vanilla wafer diketuk-ketuk hancur tetapi tidak terlalu halus and campurkan baking powder, letak tepi dahulu.
  • Kacang walnut yang sudah dicencang kasar dicampurkan dengan kelapa, letak tepi dahulu.
  • Pukul mentega dengan gula hingga kembang kemudian masukkan telur satu demi satu.  Dipukul setiap kali telur dimasukkan sampai bersatu.
  • Masukkan dan kacau serbuk biskut sedikit-sedikit berselang-seli dengan susu hingga habis.  Masukkan esen vanilla.
  • Masukkan kelapa bercampur kacang walnut kedalam bancuhan.  Jangan kacau terlalu lama atau banyak kali nanti kek jadi mampat.
Masukkan bancuhan ke dalam cetak pembakar dan bakar selama 50 minit atau bila cucuk dengan lidi tidak melekat dilidi.  Mak Long guna cetak kek dipanggil "bundt" seperti dalam gambar.  Sapu minyak rata-rata pada cetak itu kemudian taburkan dengan tepung gandung dalam cetak kek kemudian tengkorkan keluar tepung itu supaya kek yang dibakar itu longkah bila hendak dikeluarkan.



Bahan Kek Vanilla Wafer Walnut Memaw



Adunan yang sedia untuk dibakar

Sedia untuk dinikmati






Nota:


Makan makanan yang berkhasiat untuk menjaga kesihatan badan.  Kurangkan pengambilan manisan, lemak dan memakan tidak berlebihan.  Ikutlah sunnah Nabi cara dan bila makan.



Saturday, January 19, 2013

Nota Menunggu Puteri

Assalamualaikum,

Dua hari lepas, puteri talipon.  Katanya dia dan kawannya ada kerja bersabit dengan kerja sekolah di bandar Austin pada hari Sabtu, iaitu hari inilah.  Bandar Austin tidaklah begitu jauh sangat dari rumah kami di Canyon Lake kira-kira satu jam perjalanan dengan kereta. Katanya lagi mereka akan balik menjengok Mak Long selepas kerja mereka selesai.  Hati Mak Long tentulah gembira menerima berita ini.  Alahai.... hati ibu mana yang tidak seronok bila dapat berita anaknya hendak balik ke rumah menjengok orang tua.

Pagi semalam, Mak Long pergi ke pejabat "Texas Department of Motor Vehicles" untuk memperbaharui lesen kereta puteri yang tamat hujung bulan Februari ini.  Nanti bila dia balik bolehlah Mak Long serahkan kepadanya.  Senang puteri nanti tidak perlu berulang alik untuk kerja yang sama.  Bukan dekat perjalanan dari tempat tinggalnya dengan rumah kami ini.  

Petang semalam Mak Long masak "beef stew" atau sop daging lembu.  Puteri suka makan "beef stew".  Masak sehari lebih awal sedap dimakan hari ini kerana sudah mesera masakan itu di dalam periok.  Mak Long juga tidak lupa membuat sebuku kek kesukaannya juga...."Vanilla Cake with Walnut"......Kek vanilla dengan kacang walnut.  Kek ini, orang lain janganlah harap dapat tumpang makan.  

Mak Long tidak sabar menunggu puteri pulang.  Mak Long duduk menghadap tingkap supaya nampak kereta puteri sampai nanti.

"Ya Allah lindungi dan selamatkan perjalanan anakku balik dan sampai ke pangkuanku..
 Ya Allah Ya Rabbi permudahkanlah urusan kami hari ini......aminn"



Puteri









NOTA:  


Kasih sayang seorang ibu kepada anaknya tiada mengenal penghujungnya........hingga ke akhir hayat.






Thursday, January 17, 2013

Nota Louisiana

Assalamualaikum,

Louisiana sebuah negeri yang unik.  Uniknya kerana berlakunya sejarah perjanjian "The Louisiana Purchase" atau lebih kurang dalam bahasa Malaysia ialah Perjanjian Pembelian Louisiana.  Dengan perjanjian Louisiana Purchase ini; di mana ketika itu Amerika di bawah naungan President Thomas Jefferson, telah memberi keuntungan terbesar kepada kerajaan Amerika.  Hasil dari "Louisiana Purchase" maka bertambahlah keluasan negeri dan kuasa pemerintahan kerajaan Amerika.  Tarikh perjanjian bersejarah itu berlaku pada 30hb April 1803 di mana kerajaan Perancis menjual 828,000 batu persegi (2,144,510 km persegi) tanah di kawasan Sungai Mississippi hingga ke sempadan "the Rocky Mountains" kepada kerajaan Amerika dengan harga lebih kurang lima sen se ekar tanah atau $15 juta sahaja bayaran keseluruhan.  Anggaran dalam harga sekarang ialah lebih kurang $283 juta.  Negeri-negeri yang termasuk dalam perjanjian ini ialah Arkansas, Colorado, Iowa, Kansas, Minnesota, Missouri, Montana, Nebraska, New Mexico, North Dakota, Oklahoma, South Dakota, Texas dan Wyoming.  Negeri-negeri ini ketika itu hanyalah pergunungan hutan belantara yang belum diteroka dan tidak diketahui adanya kepentingan hasil galian asli yang kaya ada ketika itu.  Bijakkan Amerika dengan gelecik minda mereka!   



Peta Negeri Louisiana


Ramai penduduk di negeri ini berasal dari keturunan peranakan orang Perancis, dan orang kulit hitam Afrika yang menjadi hamba abdi dalam zaman pemerintahan kerajaan Perancis.  Louisiana mengandungi berbagai gulungan masyarakat dan kebudayaan campuran orang kulit putih dan kulit hitam.  Antara yang paling dikenali ialah "Creole" dan "Cajun".

Kebudayaan "Creole" ialah dari campuran dari orang Perancis, Sepanyol, Afrika dan Red Indian.  Orang lelaki berkulit putih yang menjadi tuan mencampuri (di luar pernikahan) perempuan orang-orang berkulit hitam yang menjadi hamba mereka menghasilkan anak  di luar nikah  Kemudian perempuan-perempuan yang menjadi gondek pula dan anak-anak mereka itu akan ditanggung sara hidup oleh tuan-tuan mereka, setengahnya diberi kemerdekaan.

Kebudayaan "Cajun" ialah penduduk Louisiana berasal dari keturunan Perancis digelar "Acadia".  Apabila British menang dalam peperangan "French and Indian War", orang British telah memaksa orang Perancis keluar.  Mereka (Perancis) pula lari ke Louisiana tempat berlindung.

Agaknya kalau Mak Long masuk universiti semula bolehlah ambil sejarah sebagai salah satu dari mata pelajaran hahaha.  



Bunga negeri Louisiana ialah Magnolia
Burung negeri Louisiana ialah Pelican
Pokok negeri Louisiana ialah bald cypress









NOTA:


Sejarah itu penting dipelajarai bagi memperingati dan mengetahui asal usul terdahulu.  Kita dapat memahami mengapa sesuatu itu berlaku dan memperbaiki keadaan ke arah kebaikan....wallahhuwaklam






Wednesday, January 16, 2013

Nota Baton Rouge, Louisiana

Assalamualaikum.....


Awal tahun 2002 Pak Long mula bertugas di Baton Rouge (baeton 'roog), Louisiana selama lebih kurang enam bulan.   Baton Rouge ialah perkataan Perancis bermakna "red stick" atau kayu merah dan ia juga adalah ibu negeri Louisiana.  Perkembangan  dalam industri petrochemical di sini menjadikan bandaraya ini terus maju dan berkembang serta memainkan peranan terpenting dalam ekonomi Louisiana.  Cuaca di sini bercampur panas lembah seperti panas tropika; musim sejuk sedehana dan jarang-jarang turun salji.  Port of Baton Rouge ialah pelabuhan kapal terbesar di sini terletak di Sungai Mississippi dan yang ke sembilan besarnya di Amerika Syarikat.  

Kami menyewa sebuah apartment di Baton Rouge.  Apartment itu baharu sahaja siap pembinaannya dan kami adalah di antara penyewa pertama di situ.  Cantik suasana keadaan di sini.  Semua kemudahan kumuniti ada tersedia untuk semua penghuni apartment.  Paling Mak Long suka ialah gym sederhana besarnya menyediakan banyak alat senaman terkini.  Setiap pagi selepas Pak Long pergi kerja di situlah biasanya Mak Long mulakan aktiviti harian selama satu setengah jam.  Selain dari itu disediakan juga kemudahan sebuah kolam renang yang  bersebelahan dengan gym dan pusat kumputer bagi penyewa-penyewa apartment.  


Bersama Muriel (ibu Ann) dan Ann Pettit
Baton Rouge, Lousiana


Ann Petit dan suaminya Jack sahabat kami dari Canada juga tinggal berhampiran.  Jack berkerja setempat dengan Pak Long setiap hari.  Ann tidak suka bersenam.  Dia lebih suka membaca buku di tepi kolam renang tunggu Mak Long habis bersenam kemudian kami berenang bersama.    Ada kalanya dia berendam dahulu bila cuaca panas.  Minah saleh mana tahan panas!  Kami banyak menghabiskan masa lapang kami di perpustakaan awam (State Library of Lousiana), Baton Rouge mencari bahan bacaan atau memulangkan buku yang dipinjam.  Kami biasanya berjalan kaki sahaja ke situ yang tidak berapa jauh dari tempat kami tinggal.  Mak Long banyak membaca dan belajar sendiri cara-cara membuat quilt dan mendalamkan lagi dalam pengetahuan pembuatan mengecap batik dan mencelup warna kain .  Di Kuala Lumpur dahulu, Mak Long adalah belajar membuat batik secara asas sahaja.  Sebenarnya tidak ada banyak perbezaan pun dari segi teknik membuat batik, malah teknik yang diamalkan pembuat batik di Malaysia lebih baik dan halus seninya.



Quilt Baton Rouge 2002

Gambar di atas adalah karya pertama Mak Long membuat batik kaedah menggunakan canting dan bahan lilin lebah pada bunga.  Kaedah "wax cracking" pula digunakan pada latar-belakangnya. Kemudian dicantumkan pula dengan blok (four patch) quilt sebagai frame.  Keseluruhan permukaan quilt Mak Long jahit gunakan benang khas  berwarna-warni bila diletakan di bawah lampu nampak germerlapannya.

Setiap dua minggu sekali Mak Long akan pulang ke rumah di Texas untuk dua tiga hari melihat kalau ada apa-apa keperluan yang patut dilaksanakan.













Sunday, January 13, 2013

Nota Saguaro Cactus Di Arizona

Assalamualaikum....


Dari Sedona kami meneruskan perjalanan menghala Phoenix (Fee-niks) iailtu sebuah bandaraya terbesar dan ibu negeri Arizona.  Phoenix juga dikenali sebagai "Valley of the Sun" kerana cuacanya terlalu panas di musim panas.  Tetapi berkurangan panasnya di musim sejuk.  Dalam musim panas suhu tempat ini sering mencecah melebihi dari 110-122 degree F (43-50C) hampir menyerupai cuaca panas di padang pasir di Saudi Arabia.  



Isi minyak penuh-penuh

Pada hari kami sampai di sini sudah masuk bulan June, jadi panasnya amat terasa bahang membakar.  Kami keletihan ditambah pula terasa dahaga yang teramat sangat... kering tekak!  Sampai tertidur Mak Long duduk di belakang.  Toeinggggg!!....topi keledar Mak Long terantuk dengan topi keledar Pak Long.  "Hey!! Are you sleeping?"  jerkah Pak Long. 

Hari pun sudah petang tidak pasti pukul berapa, tetapi matahari masih lagi memancar dengan panasnya.  Pak Long berhenti di sebuah station minyak.... Mak Long cepat-cepat turun dari motorsikal lalu duduk sambil meluruskan kedua-dua kaki di tempat redup di kaki lima bangunan yang ada pokok kurus sebelahnya.... Phewww panasnya..., sambil sapu air ke muka dan kipas-kipas macam nyonya dekat kedai kerenting rambut di Muar.  Pak Long isi minyak dan terus pergi ke dalam.  Tidak lama kemudian beliau keluar semula membawa dua botol coke sejuk sambil menghulur sebotol kepada Mak Long.  Bismilla hirahman nirrahimm ...... Amboiiii !!!!!  Sedapnya rasa coke itu, rasanya itulah coke yang paling sedap sekali pernah Mak Long minum!  Pak Long ketawakan melihat gelagat lucu Mak Long..  Mak Long tidak suka minum coke tetapi pada hari itu oleh kerana kehausan minum jugalah. Kami bermalam sahaja di Phoenix malam itu.  Yang paling seronok sekali kami terjumpa sebuah restauran anak baba dari Melaka.  Nama restauran itu pun mengikut nama negerinya iaitu Sri Melaka.  Macam-macam jenis masakan Melayu ada.  Air batu cendol pun adalah....... Jangan tanyalah kalau Mak Long minta minuman itu atau tidak!


Cactus Saguaro (se-waroo)

Esoknya pagi-pagi lagi kami sudah bersedia untuk meneruskan perjalanan ke Saguaro (se-waroo) National Park di sebelah timur Tucson.  Matahari sudah pun bahang panasnya walaupun di awal pagi.  Kami membawa beberapa bekalan air botol bersama untuk melepaskan dahaga bila perlu.  Tambahan cuaca panas terik memerlukan minum air lebih supaya tidak menjejaskan kesihatan.  


Cactus Saguaro di Tucson

Saguaro National Park dinamakan sempena dengan nama sejenis cactus yang tidak asing lagi unik dan terkenal iaitu  Cactus Saguaro.  Saguaro National Park terbahagi kepada dua bahagian iaitu sebelah timur The Rincon Mountain District dan sebelah barat ialah Tucson Mountain District.  Di antara kedua-dua taman ini ialah bandaraya Tucson.  



Saguaro National Park, Tucson

Cactus Saguaro boleh tumbuh dan hidup melalui biji benih sahaja dan hanya terdapat di Sonoran Desert.  Ia mengambil masa terlalu lama hingga bertahun-tahun untuk membesar dan mengambil masa lebih kurang 75 tahun untuk ia tumbuh satu dahan.  Cactus Saguaro adalah satu-satunya jenis cactus yang hidup dan membesar melebihi 50 kaki tinggi dan boleh hidup lebih dari 200 tahun lamanya.  Manusia pun tidak hidup begitu lama!  Dahannya tumbuh menyerupai bentuk orang angkat tangan ke atas, kadang-kadang mempunyai hingga 50 dahan bagi satu-satu pokok.   Jenis cactus ini sangat sensitif dan mudah rosak jika kebakaran atau mengalami suasana sejuk beku (frost).  Air hujan boleh serap dengan mudah kedalam batang cactus dan menampilkan rupa besar dan kembang.  Air yang serap di batang cactus itu akan digunakan untuk ke seluruh pokok perlahan-lahan.  Bunga cactus saguaro ialah bunga kebangsaan Negeri Arizona.  



Cactus ditanam dalam kawasan Bandaraya Tucsun







NOTA:


Kebesaran Allah mencipta tumbuh-tumbuhan berbagai jenis dan rupa supaya hambanya dapat menikmati dan mempelajari dari ciptaan NYA.







Saturday, January 12, 2013

Nota Sedona, Arizona (2000)

Assalamualaikum,


Puas hati Mak Long dapat melawat Grand Canyon satu daripada tujuh keajiapan semulajadi di dunia.  Kini sampailah masa untuk perjalanan balik ke Deming, New Mexico dengan mengikuti arah Sedona, Phoenix dan Tucson.

Bandar pertama yang kami lalui ialah Sedona.  Sedona adalah sebuah bandaraya yang mempunyai penduduk lebih kurang 10,031 (mengikut bancian 2010).  Sedona terkenal dengan banjaran pergunungan berbatu merah ("Red sandstone") atau juga dikenali dengan nama "the Red Rocks of Sedona".  Perbentukannya menimbulkan warna yang menyerlah begitu ketara merah dan jingga apabila disinari oleh cahaya matahari pagi dan petang.  Berbagai aktiviti seperti hiking, kayuh basikal dan lain-lain lagi. 

Red Rock, Sedona, Arizona


Sedona dinamakan sempena Puan Sedona Arbelle Miller Schnebly isteri kepada Theodore Schneby,  ketua pejabat post di situ.   Wanita ini dikenali dengan kerja-kerja amalnya serta sebagai seorang wanita yang gigih berusaha.

Kami berhenti di sini untuk makan tengahari serta melepaskan penat seketika.  Cuaca di sini panas iaitu panas desert.


Bell Rock di Sedona, Arizona

Sedona, Arizona












Wednesday, January 9, 2013

Nota Grand Canyon, Arizona (2000)

Assalamualaikum.....

Mula-mula Mak Long sampai di Amerika Syarikat, Pak Long bertanya apakah yang Mak Long ingin sekali melihat di benua ini.  Jawab Mak Long cepat sahaja ialah "Grand Canyon", Arizona, "The Yellowstone National Park" dan "The Redwood", Califonia.  Hanya The Redwood" sahaja yang belum tercapai hasrat di hati.  In sya Allah suatu hari nanti.......

Mak Long bertanya dengan seorang kawan kami yang pernah pergi ke Grand Canyon apa pendapatnya tentang tempat itu?  Apa jawabnya?  "Oh.... nothing special.  Just a big hole in the ground!!"  Mak oii!  Kecewa juga dengan jawapannya. Tetapi tidaklah mematahkan keinginan hati hendak melihat ciptaan Allah.


Grand Canyon (Lubang besar dalam bumi) - 2001

Kami mulakan perjalanan jauh ini dari Deming, New Mexico di mana kami tinggal ketika itu. Kenderaan yang kami gunakan ialah motosikal berenjin tinggi Harley Davidson model Softail Custom Harritage.  Kami tidak banyak membawa barang selain daripada barang keperluan,  beberapa helai pakaian, baju hujan dan sebuah "tool box" kecil (kotak berisi alat seperti screw driver, penampal tayar dll) kegunaan bila perlu untuk baiki motosikal.  Kami singgah di beberapa tempat menarik di sepanjang perjalanan seperti Gila Cliffs Dwellings, Petrified Forest National Park, Painted Desert dan Tombstone.  Perjalanan ini kami mengambil masa beberapa hari barulah sampai ke Grand Canyon.  Puas rasa hati dapat melihat ciptaan Allah SWT dan mempelajari tentang negeri dan adat resam negeri asing.

Sehari sebelum kami sampai ke rumah tumpangan cuaca tidak menyebelahi kami. Hujan lebat sepanjang hari dan sejuk hingga kami terpaksa melewatkan perjalanan beberapa jam menunggu hujan reda.  Mujurlah kami sudah bersedia dengan baju hujan.  Kalau tidak macam tikus basah jatuh longkanglah kami jawabnya....... Kami sampai di rumah tumpangan lewat hampir jam tujuh malam (lima jam lewat).  Pak Long telah membuat tempahan  tiga minggu lebih awal untuk sebuah bilik di rumah berkembar untuk dua malam.  Bulan Mei biasanya ramai penggunjung ke situ.

Grand Canyon adalah satu daripada tujuh keajaiban semulajadi yang ditemui dan diketahui dalam dunia.  Grand Canyon terletak di Arizona.  Luasnya ialah 277 batu (446km) panjang, 18 batu (29km) lebar dan lebih dari 1 batu (1.6km) dalam.  Itulah lubang besar di bumi ciptaan Illahi yang dikatakan oleh kawan Mak Long.  Menurut perangkaan yang Mak Long baca baru-baru ini dikatakan hampir sepuluh juta pelawat datang melawat Grand Canyon setiap tahun.  Lubang besar ini mempunyai banyak sejarah yang istimewa berkenaan kehidupan purba pueblo kaum Navajo dan Hopi Indian di dalam dan di luar kawasan ini sejak beribu tahun dahulu.  Di Musium Tusayan banyak pameran berkenaan mereka.

Kedudukan Grand Canyon adalah dalam kawasan desert.  Keadaan cuaca tidak menentu dan boleh bertukar dengan tiba-tiba sepanjang tahun.  Musim panas suhu boleh mencecah terlalu tinggi dan kering memjadikan pemandangannya terindah terutama waktu subuh dan senja.  Grand Canyon boleh bertukar-tukar berbagai warna yang sungguh menakjubkan setiap kali bumi bergerak mengelilingi matahari.  Musim sejuk pula bersalji dan sering berlaku ribut salji.  Banyak jenis binatang dan ungas seperti elk, rusa, cougar (singa gunung), helang dan lain-lain menjadi penghuni di sini.



Grand Canyon (berkabus) - 2001

Pelawat-pelawat boleh memasuki Grand Canyon melalui "South Rim" (Pintu Selatan).  Ia dibuka sepanjang tahun.  Memasuki melalui "North Rim" (Pintu Utara) pula ia dibuka dari pertengahan bulan Mei hingga pertengahan bulan Oktober.  Boleh juga masuk melalui "East dan West Rim".

Aktiviti kami bermula pagi-pagi lagi.  Membeli tiket masuk untuk dua hari.  Berbagai aktiviti disediakan untuk semua penggunjung samaada menggunakan khidmat pelancungan atau sendiri-sendiri. Aktiviti menarik melihat canyon termasuklah "hiking" (berjalan kaki), menunggang "mule" (kuda dikacuk dengan keledai), berakit di Colorado River, kayuh basikal, menaiki keretapi mengelilingi Grand Canyon Villlage dan menikmati pemandangan waktu subuh dan senja.  Untuk menikmati sepenuhnya suasana keadaan di sini anda mestilah bersedia untuk tinggal beberapa hari lamanya.  Terlalu banyak yang boleh dilawat dan dilihat.

Kami menaiki keretapi bersejarah dari station Grand Canyon berpusing ke Williams dan balik semula mengelilingi kawasan Grand Canyon Village mengambil masa beberapa jam lamanya, hampir setengah harilah juga. Khidmat keretapi dibuka sepanjang tahun melainkan cuti hari Natal.  Di dalam keretapi kami dihiburkan dengan aksi-aksi cowboy berlakun seperti penyamum keretapi.  Seronok!  Minuman ringgan juga disediakan dan yang paling bagus dapat mengambil gambar sepuasnya.  Sayang ketika itu camera digital masih belum ada lagi terpaksalah guna film.


Perkhidmatan keretapi Grand Canyon (2001)
"Historic Grand Canyon Railway"

Ekor keretapi sayup 

"Train robbery"

Kami juga berkesempatan pergi ke beberapa tempat yang terbaik pemandangan seperti "Yaki Point" dan "South Kaibab" dengan menaiki bus yang disediakan percuma setiap 15 minit sekali.  Bas ini berhenti di setiap ("point") tempat yang menarik.  Penumpang boleh berjalan-jalan di sekeling kemudian ambil bas yang lain pula.  Yang perlu hanyalah masa.  Kalau tidak mahu naik bas, boleh jalan kaki!


South Rim (2001)

Grand Canyon (2001)


Nikmatilah video You Tube ini disediakan oleh National Geographic.  Mak Long mungkin tidak dapat menerangkan lebih baik dari melihat sendiri video ini.



Sekarang sudah ada Grand Canyon Skywalk yang dibuka kepada umum dalam tahun 2007.  Ketika kami sampai ia belum pun dibina lagi hanya baru ada dalam perancangan sahaja.  Tuntunlah video Your Tube yang cantik ini.





Beberapa tempat makan dan kedai menjual berbagai cenderamata hasil kerja tangan kaum Navajo Red Indian terdapat di pusat beli belah dalam kawasan Grand Canyon.  Di perkampungan orang-orang Navajo Indian pun ada menjual banyak kraf atau kerja tangan mereka merupakan barang tembikar dan barang kemas untuk lelaki dan wanita dibuat dari manik atau batu permata "turquoise" (sejenis batu permata berwarna hijau kebiruan). Harganya pun lebih murah dari yang dijual di dalam kawasan Grand Canyon.  



Pasar lambak kerjatangan orang Red Indian di luar Grand Canyon


Barang tembikar dari debu tanah dan pasir halus kaum Navajo Indian
Kanan:  Tembikar Tempat Minum Pengantin Baru

Mak Long membeli beberapa cenderamata sebagai kenangan.  Satu darinya ialah sebuah tembikar digunakkan dalam istiadat perkahwinan kaum Navajo Indian.  Tembikar ini dibuat menggunakan debu tanah halus dan bulu kuda.  Sungguh halus dan cantik hasil kerja tangan mereka.  Mak Long diberitahu pengantin baru diberi minum air dari tembikar ini..sebelah untuk pengantinn perempuan dan sebelah lagi untuk pengantin lelaki sebagai merestui perkahwinan hingga ke akhir hayat.

Tembikar Navajo Indian
Kanan:  Tempat Minum Pengantin Baru








NOTA:


Melihat dan menekmati serta mengkagumi cipataan Allah yang tidak terkata indah dan sempurna ciptaan menambahkan lagi kepercayaan dan kekuatan iman kepada Nya.