Pages

Friday, January 25, 2013

Nota Beef Steak

Assalamualaikum,

Apakah "steak?"  Macam mana sebutannya?  Se...teik? begitulah lebih kurang bunyinya.  Sebutan se dipendekkan seperti sebut stik.  Tetapi apakah nama "steak" dalam bahasa Melayu?  Tidak ada nama khas dalam bahasa Melayu perkataan "steak" sebab "steak" bukan masakan orang Melayu.  Kalaulah ia satu dari masakan Melayu sudah tentu ada nama khas baginya.  Satey masakan orang Melayu, bolehkah kita istilahkan dalam senarai "steak" juga?  Hmmm... boleh kot!  Sebab satey pun dipanggang juga!  "Steak" ialah masakan orang barat berupa potongan atau keratan daging atau ikan yang dipotong mengikut melintangi serat. Cara "steak" disediakan biasanya dipanggang (grilled); digoreng atau dipanggang (broiled) dengan api tinggi dalam ketuhar.  "Steak" ikan pula biasanya dari ikan yang besar seperti ikan tuna, salmon dan lain-lain lagi.

Beberapa nama diberikan kepada potongan daging lembu yang hendak dibuat "steak" mengikut bahagian-bahagian terletak dalam badan lembu.  Umpamanya "tender loin steak, rib eye steak, T-bone steak dan banyak lagi nama yang diberi.  Seperti nama-nama yang disebut adalah di antara yang mudah dipanggang dan tidak liat.   Ada bahagian daging lembu keras dan liat memerlukan bahan pelembut daging (meat tenderizer) sebelum dimasak atau dipanggang.  Memilih bahagian daging yang sesuai sangatlah penting supaya "steak" tidak keras atau liat.  

Di Amerika, para tukang potong daging (butcher) mereka pakar cara memotong dan memilih daging yang sesuai untuk berbagai jenis masakan pelanggan.  Mak Long dapat bekalan daging halal dari pasar daging orang Pakistan yang tidak kurang bagusnya cara daging dipotong.  Walau pun pasar ini agak jauh dari rumah, kira-kira sejam perjalanan, Mak Long biasanya beli lebih dan simpan dalam "freezer".  

Pak Long pandai panggang "steak" tetapi sekarang dia pencen dari memanggang.  Mak Long belajar daripadanya dan tugas memanggang "beef steak" sudah jadi tugas Mak Long seumur hidup!  Kebiasaan kami panggang menggunakan grill di luar rumah. Ada beberapa cara menyediakan "steak" sebelum dipanggang.  Setengah orang suka peram dahulu dengan rempah selama beberapa minit sebelum dipanggang.  Ada pula tabur atau sapu serbuk lada hitam dan  garam dan terus dipanggang.  Ada juga tidak menggunakan apa-apa perasa terus sahaja dipanggang, bila sudah masak barulah taruk garam dan lada hitam.  Memasak "steak" boleh diperbagai, dipanggang (grilled) di atas pemangang atau dibakar dalam ketuhar, kaedah ini dipanggil "broiled" kerana menggunakan api terus pada "steak".  Akhir sekali digoreng dalam kuali tebal, sesuai bagai mereka yang tidak mempunyai ketuhar atau grill.   Sudah cakap pun di atas!!!

Inilah resepi membuat "steak" menggunakan kuali tebal.


Bahan:

6 - 8 oz. (1 - 1 1/2 inci tebal) daging lembu
Garam ikut rasa sendiri
Lada hitam

Cara Memanggang

Panaskan kuali tebal dengan api sederhana besar, masukkan 2 sudu besar minyak zaiton  atau minyak sayur.  Boleh juga campurkan minyak zaiton dengan sedikit mentega.

Gunakan sudip kapit panjang, masukkan daging ke dalam kuali pelahan-lahan.  Gerak-gerakkan daging supaya tidak melekat di kuali selama 5 hingga 6 minit kemudian balikkan dan gerak-gerakkan seperti mula-mula selama 5 hingga 6 minit.  Masak daging itu mengikut selera masing-masing iaitu:

Suhu dalam steak yang sudah masak:

Kurang masak (rare)  -  120 degrees F
Setengah masak (medium rare)  -  125 degrees F
Masak (Medium)  -  130 degree F (dibahagian tengah "steak" masak tapi masih berwarna merah)

Bila "steaks" sudah dimasak seperti yang dikehendaki, keluarkan daging dari kuali, bungkus atau balut "steak" dalam aluminum foil dan biarkan rehat 5 hingga 10 minit sebelum dihidang.  Ketika ini daging akan terus masak lagi.  Selepas itu bolehlah dihidang, tabur garam sedikit dan menikmati "steak" sama ada dipotong nipis atau ikut suka hati macam mana hendak makan.  


Potong daging lembu sebelum dipanggang



Beef Steak 



Kami suka sayur hijau yang dicelur seperti brokoli, kacang hijau, kacang panjang atau carrot makan dengan "steak".  Kadang-kadang Mak Long buat kentang lenyek "mashed potato" atau kentang bakar begitu sahaja kemudian potong, taruk keju dan "sour cream".  Ada orang suka makan "steak" colek dengan sos.  

Sos senang sahaja buatnya tidak perlu beli.  Caranya, guna bekas kuali mengoreng "steak" tadi.  Koret-koret dalam kuali itulah yang menyedapkan sos.  Dengan api sederhana masukan sedikit tepung gandung dan goreng seketika hingga sebati dengan koretan itu kemudian taruk air sedikit angaran yang perlu untuk makan ketika itu, garam dan lada hitam.  Kacau hingga pekat dan angkat, sedia untuk diguna.

Menurut kata doktor, makan steak hendaklah berpada-pada dan tidak selalu.  Kerap memakan daging dan lemak adalah satu dari punca penyakit jantung dan darah tinggi.







NOTA:

Jaga kesihatan dengan mengambil makanan yang sihat.


3 comments:

  1. SALAM MAK LONG T KASIH DIATAS RESEPI STEAK YANG SIMPLE DAN TAK PAYAH MENGGUNAKAN BERBAGAII SPICE.SAYA SUKA MAKAN STEAK YANG DI MASAK SENDIRI GUNA DAGING TENDERLOIN INDIA,KERANA AUST/N.ZEALAND BEEF HARGANYA 3 X GANDA DI MSIIA.SELALUNYA SAYA MASAK STEAK SECARA MEDIUM KERANA INDIAN BEEF BANYAK BAKTERIA SALMONELLA.

    ReplyDelete
  2. Tq for sharing, macam ru rupanya nuat sos yang sedap n simple, nak cuba arini :-)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih kembali Suhaily kerana sudi baca blog Mak Long. Selamat mencuba.

      Delete