Pages

Saturday, September 7, 2019

Balik Kampung (4) - Lexington,

Assalamualaikum,


Hari ke empat kami berada di Kentucky.  Musim panas tahun ini di Lexington, Ketucky boleh dikatakan sederhana tidak sepanas seperti di Texas yang sering mencecah 100 degrees F ke atas.  Pagi ini kami bersedia lebih awal; agenda hari ini ialah melawat tempat penternakan kuda lumba melalui agen pelancungan "The Blue Grass Tours".  Keterangan dari agen itu lawatan ini akan mengambil masa hampir sepanjang hari mulai dari jam 9.30 pagi.  Kami diminta berkumpul di Embassador Hotel di mana dari situ lawatan kami bermula.  "Kalau tau kita bermalam di hotel itu lebih mudah lagi..." kata Pak Long.  Baru kami tahu Embassador Hotel adalah salah satu dari cawangan Hilton Hotel.

Mak Long memang minat dengan kuda.  Binatang ciptaan Allah yang sungguh sempurna dan cantik serta tangkas berlari.  Memiliki kuda walau pun seekor amatlah tinggi perbelanjaannya.  Kalaulah Mak Long kaya raya hahaha .... rasanya memang bela seekor atau dua... beranganlah kita ni.... 

Pemandu pelancung kami memperkenalkan dirinya nama John.  Ramah, sabar melayan dan menjawab soalan kami yang seramai enam orang sahaja.  Banyak pengetahuannya mengenai Lexington dan kuda lumba.  Bayaran yang dikenakan kepada setiap orang yang menyertai lawatan itu berpatutan juga.  Bus mini yang memuatkan kami itu amat selesa dan John mengarahkan kami supaya menggenakan tali pinggang keledar.  Dengan seloroh dia berkata, "Yes Maam, Yes Sir.....No seat belt, no going anywhere...!"   hahahah.  Tempat pertama dibawa ialah ke sebuah penternakan kuda lumba persendirian yang kaya raya.  Tuan punya memiliki rumah mewah, bangunan kandang kuda (stable) besar yang dilengkapi dengan aircon untuk kediaman kuda dan kawasan trek lumba kuda (horse racing course) sekali.  Kaya betul orang-orang ini.  Berfikir juga bagaimana mereka boleh berjaya buat duit banyak-banyak.  Apa rahsia mereka?  Apa resepi mereka?  Setengah orang terkial-kial berkerja kuat bagaikan hendak mati tetapi tidak juga kaya-kaya.  Mungkinkah mereka berusaha tidak kena cara...?  Sesungguhnya Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-bambaNya dan menyempitkan rezeki itu baginya; sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Rumah dan trek lumba kuda

Stable besar lengkap dengan aircon

Kami juga diberitahu bahawa pemerintah terkaya dari Dubai iaitu Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum memiliki sebuah pusat ternak kuda lumba (thoroughbred horse) elit terbesar di Lexington seluas 13,000 ekar lebih di Lexington.  Memang kaya betul Sheikh Mohammed.  Baginda memiliki beberapa pusat ternak kuda lumba di seluruh dunia seperti di Australia di antaranya.  Setiap tahun Sheikh Mohammed datang ke Lexingron untuk menikmati aktiviti perlumbaan kuda lumba di sana.  Setiap kali sheikh itu ke sana, kapal terbangnya terlalu besar untuk turun dan melabuhkan kapal terbangnya di lapangan terbang Lexington.  Maka setiap kali kapal terbangnya mendarat dan berlabuh di situ ia dikenakan bayaran saman sebanyak USD100,000.00.  Macam tidak percaya, tetapi itulah kebenaran di dunia orang-orang kaya dan berkuasa!


Hill 'n' Dale Farm


Kemudian kami dibawa pula melawat ke Hill 'n' Dale Farm sebuah tempat ternakan kuda "thoroughbred" terbaik juga.  Kami tidak dapat masuk ke dalam kawasan kandang kuda (stable) yang amat besar tersergam itu, tetapi kami diberitahu keadaan di dalam kandang kuda itu amat istimewa, berhawa dingin/panas khas untuk keselesaan kepada kuda-kuda kepunyaan jutawan.  Arwah nenek Mak Long dulu panggil orang yang kaya-raya itu miliuna..miliuna itu adakah dalam kamus Dewan Bahasa?


Kubur Seatle Slew

Sebenarnya tujuan kami dibawa ke situ ialah untuk menunjukkan kepada kami kawasan perkuburan mewah bagi kuda-kuda lumba yang telah mati.  Di hadapan gate Hill 'n' Dale Farm terdapat perkuburan kuda-kuda lumba siap dengan batu ninsan bertulis nama kudu-kuda itu.  Selain itu terdapat sebuah tugu seekor kuda lumba tersohor bernama Seatle Slew.  Di bawah tugu itulah bangkai Seatle Slew disemadikan.  Ia telah berjaya merangkul tiga kali kemenangan pertama yang diiktirafkan sebagai pemenang "Triple Crown" dari perlumbaan besar di Kentucky Derby, Preakness dan Belmont Stakes.  Yang pastinya kuda itu berjaya mengaut keuntungan berjuta-juta dollar bagi tuannya malah baginya sendiri!  Selain dari itu Seattle Slew meninggalkan banyak baka baik kuda lumba yang juga berharga beribu dollar dari setiap seekor.


Kuda stallion

Dari situ kami dibawa lagi ke sebuah pusat ternak kuda persendirian.  Kawasan yang luas menghijau rumputnya di mana kuda-kuda sedang meragut rumput dengan tenang di bawah sinaran matahari.  Penggunjong tidak dibenarkan mengusik atau beri makanan kepada kuda-kuda di situ.  Tengok sahaja!  Mak Long lihat seekor kuda jantan "stallion" (kuda jantan yang tidak dikasikan/dimandul) hitam.  Handsome betul kuda itu, berkilat badannya bagai disapu minyak di bawah sinaran matahari.  Tidak diam dia sentiasa bergerak dan bising mengorat kuda betina "mare"  di dalam pagar sebelah berhadapan dengannya.  Dua perkara kami belajar di situ dari John pemandu pelancung kami:

1.   Kuda stallion (jantan) diasing dari kuda mare (betina) dengan dua lapis pagar.  Sebabnya supaya kuda jantan tidak melompat masuk dalam pagar kuda betina.  Terok betul kuda!

2.    Setiap anak kuda lumba (colt atau foal) yang lahir dikira berumur satu tahun pada bulan Januari.  Tidak kiralah dalam bulan apa kuda itu lahir...  Mithalnya, kalau anak kuda itu lahir dalam bulan April, maka menjelang bulan Januari tahun baru hadapan ia berumur satu tahun walaupun kalau ia lahir dalam bulan December sekali pun, pada bulan Januari sebulan selepas kuda itu lahir umurnya jadi satu tahun juga.   Kerana itu waktu mengawan kuda lumba dicatur supaya anak kuda lahir awal membolehkan kuda lumba muda itu boleh masuk dalam perlumbaan.




Pak Long berbisik sesuatu dengan stallion hitam

Lama jugalah kami di situ mendengar macam-macam perkara dan cerita tentang kuda dari pemandu pelancung yang sangat berpengetahuan tentang kuda, kemudian kami di bawa ke Keeneland.  Keeneland ialah sebuah perusahaan kuda lumba merangkumi trek lumba kuda (Keeneland Race course) berumput atau tanah rata, semua perkara untuk kemudahan  thoroughbred horse racing, komplek urusan jual beli kuda lumba dan komplek lelong (auction) kuda.


Jam Rolex

Di hadapan bangunan Keeneland terdapat sebuah jam Rolex melambangkan kemajuan, kejayaan dan kekayaan mereka.


Keeneland Turf & Dirt Race Course

Keeneland Race Course mempunyai dua jenis race course iaitu race course rumput dan race course tanah.  Kedua-dua race course itu letaknya di sebelah menyebelah.  Gambar di atas trek berwarna hijau itu ialah trek rumput (turf racing course).  Manakala di bawah ialah trek tanah (dirt racing course).

Keeneland Dirt Race Course

Agenda terakhir ialah melawat Old Friends Retired Horse Farm.  Kata John, di tempat itu kami akan diberi peluang memberi kuda makan carrot dan bermesera dengan kuda-kuda di situ hahaha...  bermesera dengan kuda!!

Old Friends Retired Horse Farm ialah sebuah pusat penempatan kuda lumba berbaka baik yang telah bersara, juga kuda-kuda lumba yang diselamatkan daripada rumah persembelihan di mana daging kuda itu dijadikan makanan anjing dan kucing.  Kuda pencen.!!!  Kuda-kuda pencen itu dibela dan dijaga dengan baik hingga mereka mati.  Disitu juga terdapat kemudahan tempat perkuburan khas untuk kuda sahaja.  Kuda yang mati akan dibakar kemudian abunya ditanam di kubur kuda siap ada batu ninsan bertulis nama mereka.  Pusat ini telah ditubuhkan dalam tahun 2003 di Georgetown, Kentucky dalam kawasan seluas 136 ekar.  Kini mampu menempatkan dan memberi kemudahan kepada lebih kurang 175 ekor kuda lumba yang sudah bersara, maksudnya kuda-kuda yang tidak berlumba lagi.  Pusat inilah satu-satunya pusat yang menerima dan menjaga kuda “stallion” iaitu kuda jantan baka baik yang tidak dikasikan/dimandulkan untuk mendapatkan baka.  Pertubuhan ini dibiayai dari hasil penderma-penderma daripada tuan-tuan kuda itu sendiri atau dari pengemar-pengemar kuda amnya.  Mahal dan banyak perbelanjaan menjaga kuda yang bertaraf jutawan.  Binatang pun boleh jadi jutawan.... hmmm






Bagunan ini menyediakan jualan tiket masuk ke kawasan kuda dan menjual cenderamata seperti buku berkenaan kuda, gambar kuda, carrot segar juga dijual untuk penggunjung memberi makan pada kuda di situ.



Kandang Kuda (Stable)

Dalam Kandang Kuda

Dalam kandang atau stable .. bersih dan semua kuda-kuda di situ dijaga rapi... makan minum mereka, kesihatan mereka semua dijaga baik.  Kuda-kuda yang baru masuk ke Old Friends ditempatkan di kandang ini dahulu sehingga mereka dapat menyesuaikan diri masing-masing baharulah dilepaskan di padang ragut.

Di bawah ini adalah di antara kuda-kuda pencen:


Alphabet Sour dan Gorgeous George


Menurut kata pemandu pelancung kami umur Alphabet Soup sudah mencapai 28 tahun, tua dan pencen.  Umor kuda dikatakan boleh mencapai hingga 30 puluh tahun.  Tidak banyak diceritakan tentang kuda ini.  Hanya dia dan Gorgeous George kuda katik itu sangat rapat tidak mahu berenggang.


Afternoon Deelites

Pendapatan Afternoon Deelites sepanjang career perlumbaan dia menang dapat mengaut sebanyak USD1,061,193... wow banyaknya duit dia bagi tuannya.


River Squall

River Squall berasal dari Texas.  Pendapatan sepanjang hidupnya sebanyak USD376,303 lebih.  Baru lagi di Old Friend dan masih lagi dalam keadaan kenal suai di kandang kuda itu.  Kami tidak dibenarkan memberi carrot kerana dia belum dapat sesuaikan dirinya lagi.  


War Emblem

Nama kuda di atas ialah War Emblem.  Hasil pendapatannya sangat tinggi iaitu sebanyak USD3,491,100.  Pemenang Kentucky Derby dan Illinois Derby dan lain-lain perlumbaan serata dunia.  Hanya dia tidak dapat kemenagan "Triple Crown".  Jutawan kuda ni!  Pernah tinggal di Japan kemudian didermakan kepada Old Friends oleh tuannya keluarga Yoshida.  Menurut John lagi, kuda ini mempunyai akal/perangai tersendiri.  Kalau dia tidak mahu berlumba, dia tidak akan bergerak dari tempat perlumbaan atau pusing balik ke kandang.  Tuan-tuan kuda sanggup membayar lebih dari USD250,000.00 untuk mendapatkan baka War Emblem.  Mereka akan membawa kuda betina mereka kepada War Emblem, ada kala War Emblem tidak selera pun pandang kuda-kuda betina itu ... hahaha.  Padang ragutnya diasingkan kerana perangainya yang tidak menentu.  Hai binatang pun ada berperangai biul seperti manusia!


Little Silver Charm

Si kuda katik ini namanya Little Silver Charm mesera menyambut setiap kedatangan pengunjung.


Silver Charm

Ini Silver Charm.  Umurnya sekarang 25 tahun dan telah memenangi perlumbaan Kentucky Derby ketika umurnya baharu sahaja 3 tahun.  Kuda ini sangat tangkas dan kuat dan dia telah menang dalam banyak perlumbaan lain hingga ke tahap antarabangsa seperti di Dubai.  Pendapatan tinggi dari kemenangan Silver Charm ialah sebanyak USD6,944,369.



Silver Charm bersama Mike (Michael Blowen) president dan pengasas Old Friends.  Ketika kami berada di situ kami tidak dibenarkan memberi carrot kepada Silver Charm kerana dia baharu saja balik dari dentist.  Binatang pun dapat rawatan istimewa dari doktor gigi!


Popcorn Deelites

Ini Popcorn Deelites.  Dia tidak banyak berlumba, yang menjadikan ia dikenali kerana rupanya mirip rupa seekor kuda lumba bernama Seabiscuit yang tersohor di zaman meleset  di Amerika dahulu.  Popcorn Deelites telah diambil berlakun sebagai Seabiscuit dalam sebuah filem mengesahkan Seabiscuit dan ia telah berlakun dengan jayanya.  Pendapatannya sepanjang career hanya sebanyak USD56,880.  Dalam filem ini Popcorn Deelites berlumba dengan War Admiral.  Kalau sahabat-sahabat ada peluang tontonlah movie Seabiscuit itu.





Dua gambar di atas ialah Special Ring.  Sepanjang careernya sebagai pelumba pendapatannya ialah USD915,279.  Special Ring sangat bijak.  Bila disuruh senyum, ia senyum tunjuk gigi kemudian diupah dengan carrot.




Padang ragut di sebelah kiri ialah khas untuk Pocorn Deelites dan Special Ring.  Semua kuda-kuda di pusat itu menpunyai padang ragut bersendirian.. sungguh lumaian kehidupa kuda-kuda yang istimewa itu melebihi dari hidup manusia.
















Monday, September 2, 2019

Balik Kampung (3) - Lexington

Assalamualaikum,


Padang ternak kuda


Hari ini adalah hari ketiga kami di Kentucky.  Kami bermalam di Best Western Hotel, Paducah semata-mata untuk kemudahan dan keselesaan juga agar tidak menyusahkan mereka.  Pak Long puaskan kerinduan pada kampung halamannya dengan lalu mengukur setiap lorong kawasan Wickliffe serta menggunjungi sahabat akrab sedarjah di zaman persekolahan mereka iaitu Tommy.  Tiada perubahan dalam kemajuan pada kawasan Wickliffe malahan terdapat beberapa kedai dan rumah ditinggal kosong.  Kemanakah perginya penduduk kampung itu?  Mungkinkah suatu hari kampung Wickliffe akan jadi kosong .. jadi “ghost town”, di Amerika terdapat tempat-tempat lama yang tinggal kosong yang dinamakan ghost town... seperti Jerome, Arizona, Tomb Stone, Arizona dan lain-lain tempat lagi.

Pagi-pagi lagi Pak Long tanya pulak di mana, ke mana Mak Long ingin pergi di Kentucky.... ish ish tanya buat tidak tahu pulak.. lupakah?  Semalam kan cakap hendak tengok tempat ternakan kuda lumba di Lexington.   Apabila ditanya begitu Mak Long risau juga kerana ada kalanya seolah-olah Pak Long seperti tidak ingat....  

Perjalanan dengan kereta ke Lexington mengambil masa selama lebih kurang empat jam.  Selepas sarapan dan bersiap-siap kami pun mulakan perjalanan ke Lexington.  Kami sampai di Bandaraya Lexington tengahari.  Waktu di Lexington lebih awal satu jam dari waktu di Wickliffe.  Berasa lapar pula, hendak makan apa agaknya?  

Lexington ialah sebuah bandaraya besar letaknya di bahagian tengah Kentucky.  Bandaraya ini tersohor dengan beratus buah tempat ternakan kuda lumba, iaitu kuda lumba yang berbaka/ berketurunan baik, The Kentucky Horse Park trek lumba kuda seperti Keeneland.  Sekiranya tidak berminat dengan kuda ada beberapa tempat lain boleh pergi seperti "downtown" atau pusat bandar yang pasti banyak menyediakan pelbagai jenis aktiviti.   Antaranya membeli belah di beberapa mall iaitu pusat beli belah.

Kami terus sahaja ke hotel dan check-in, sebuah bilik yang telah ditempah untuk dua malam terlebih awal semalam.  Sebuah hotel lama dan sedikit jauh dari pusat bandar.  Bilik yang disediakan itu biasa-biasa sahaja.  Kami berihat sebentar sambil membelek-belek beberapa risalah berkenaan dengan kuda dan agen-agen pelancung melawat tempat-tempat lain.  Agenda utama kami ialah kuda.....  antara risalah-risalah itu terdapat satu agen pelancungan yang menarik perhatian kami iaitu 'Blue Grass Tours".  Pak Long menghubungi agen tersebut dan membuat tempahan pagi esoknya.

Hampir jam tiga petang kami keluar ke pusat bandar dan ke pusat beli belah Fayette Mall cari rezeki mengisi perut kosong.  Hahahah pasal makan tidak pernah dilupakan.  Ada tiga buah pusat beli belah di Lexington.  Hampir empat puluh minit kami menyusur melihat jualan yang dipamirkan.  Macam-macam ada...  Sudah berumor begini keinginan membeli-belah amat berkurangan malah naik malas hendak singgah ke dalam kedai berbelanja, tidak seperti zaman muda-muda dahulu semua hendak (syaitan bergayut di mata!).  

Sedang kami berjalan-jalan tiba-tiba seorang wanita jurujual muda menyapa mengajak Mak Long berhenti di kedainya.  Kami berhenti dan beliau menggunjukkan Mak Long sebuah peket kecil seperti dalam gambar di bawah ini.


Tresor Rare

Tresor Rare



Mak Long pasti setengah dari anda pernah tengok atau menggunakan keluaran jenama Tresor Rare iaitu keluaran kecantikan wanita.  Mak Long tidak berapa menggunakan alat kecantikan selain dari sabun pencuci muka dan krem pelembab muka.  Wanita itu bertanya dari negara mana Mak Long datang dan minta kebenaran kalau boleh dia sapu sejenis krem untuk mata berkedut. Hahahah kulit mata Mak Long ada banyak kedut tua!  Mak Long biarkan dia menyapu kulit mata perlahan-lahan.  Katanya biarkan beberapa minit akan tampak perubahannya.  Kemudian datang semula ke kedainya kotlah Mak Long hendak cuba membeli barangan itu.  Mana tahu krem itu boleh tegangkan kulit..  I wished!  Katanya dia berasal dari Israel apabila Mak Long tanya kerana lorat bahasa Inggerisnya lain sekali .. berderau hati Mak Long!  Tetapi apalah pulak hendak diherankan, Amerikan dan Israel, mereka berhubung rapat.  

Kami tinggalkan kedai itu terus mencari restauran yang bersesuaian.  Kami lapar dah..  Tempat-tempat begini agak susah mencari makanan yang halal.  Kita perlu bijak memilih.  Islam itu amat mudah.  Sekarang telah banyak restauran yang menyediakan makanan untuk vegetarian diet iaitu orang-orang yang makan hanya bahan sayuran sahaja.  Kiranya berada di restauran biasa, paling mudah memilih makanan ialah salad atau makanan laut.  Perlu juga berhati-hati tentang makanan laut kerana cara mereka memasaknya kebanyakan menggunakan bahan yang tidak halal.  Kami singgah di restauran P.F. Chang's.  Kami minta menu vegetarian diet.   Makanan mereka biasa-biasa sahaja seperti sushi dan tempora makanan Jepun.  Perut sudah kenyang malaslah hendak merayau lagi.  Balik hotel sahajalah kata Pak Long..

Di bilik hotel, Mak Long google keluaran Tresor Rare... wahhhhh  jenama termahal rupanya hingga ada yang berharga beratus malah beribu dolar bagi satu-satu barang.  Kemudian tengok pula bahan kandungan dalam paket kecil yang diberi tadi.  Amboiii patutlah mahal!  Rupa-rupa bahan kandungan itu memang tidak pernah Mak Long terpikir dan dengar atau tahu seperti menggunakan serbuk intan, serbuk mutiara entah apa-apa lagi.  Ini anak raja dan orang kaya sahaja mampu guna...  Mak Long tidak perlulah benda-benda gitu!   Oh ya, Pak Long kata kulit mata di mana wanita itu sapu krem mata pada Mak Long tadi berubah tiada kedut!  Menjadi betul krem tu kan....
























Saturday, August 24, 2019

Balik Kampung (2)

Assalamualaikum,

Selepas sarapan pagi kami sudah bersedia untuk meneruskan perjalanan balik Kampung Wickliffe, Kentucky.  Pagi ini badan berasa lebih segar selepas berihat dan makan ubat kerana perut memulas dan sakit kepala.  Alhamdulillah.  Lalulintas sibuk seperti semalam juga.   Maka Pak Long ambil keputusan menggunakan jalan dalam sahaja.  Perjalanan pun sudah tidak berapa jauh cumalah lebih kurang empat jam sahaja kalau tidak berhenti di mana-mana.

Bagus juga lalu ikut jalan belakang keadaan lebih baik, lalulintas pun sangat berkurangan.  Pemandangan cantik segar mata memandang di mana petani-petani sibuk mengerjakan kerja ladang mereka.  Cuaca panas terik tetapi tidak melenturkan semangat dan tanggungjawab  mereka bertani.  Tanaman tahun ini nampaknya ialah kacang soya dan jagong.  Sayup luas menghijau hingga di kaki langit luasnya ladang mereka.  Beberapa kali kami nampak beberapa buah kapal terbang kecil terbang rendah menurunkan ubat serangga atau menabur baja pada tanaman di ladang.  Kapal terbang yang melakukan kerja begini dipanggil “crop duster”.  Kongsep pertanian di sini menggunakan segala kenderaan khas dan mesen untuk pertanian adalah cara yang sangat canggih menyenangkan dan memudahkan tugas ahli petani bertani.  Sudah pasti dari hasil alat-alat yang sebegitu canggih akan mengeluarkan keluaran pendapatan yang lebih baik dan kualiti yang baik juga.  Tetapi ingat manusia hanya berusaha, Allah yang menentukan semua....

Crop Duster


Kami sampai Wickliffe tengahari dan terus ke rumah Judy.  Nasib baik Judy ada di rumah.  Sejak dulu-dulu lagi Pak Long memang tidak pernah hendak memberitahu atau mengumumkan kepada Judy bila kami hendak balik.  Kelam kabut Judy dibuatnya.  Pak Long macam suka tengok Judy kelam kabut tetapi kesihan Judy!  Heran juga pulak kali ini awal-awal lagi Pak Long beritahu Judy kami tidak bermalam di rumahnya.  Sedih juga nampaknya Judy.....


Judy

Duduk di meja makan dalam ruang bilik makan dan dapur, kami bersembang.  Judy hidangkan teh berperisa peach yang dirumusnya sendiri sambil kami bertiga mengunyah keropok jagong.  Seronok sembang-sembang begitu rasa bertambah mesera dan rapat hubungan keluarga.  Junior suami Judy sudah keluar sejak awal pagi lagi kata Judy.  Petang baru balik rumah.  Junior seorang yang kuat kerja walau pun sudah bersara, dia tetap buat kerja, macam-macam kerja...  

Dari rumah Judy, kami singgah ke rumah sahabat baik Pak Long sehaj dari zaman sekolah dahulu iaitu Tommy.  Tidak pernah tidak singgah ke rumah Tommy setiap kali kami balik kampung.  Persahabatan mereka berdua rapat macam adik beradik.  Tommy pula seorang yang suka berjenaka.  Setiap perkataan yang keluar dari mulutnya sentiasa buat orang tidak kering gusi.  Memang kelakar dia ni.  Isterinya Kay mengidap sakit “lupus” sejak dia muda lagi.  Bagus Tommy sentiasa memjaga dan mengasihi Kay sepenuh hati.  Tommy kerjanya ialah kerja kampung sahaja, berkebun dan meraih barang-barang besi lama kemudian dijual seperti dalam gambar di bawah.  Pak Long ada juga pesan untuk beberapa tayar besi lama.  


Tommy

Rangka lereng besi dalam gambar di bawah sepatutnya Tommy simpan untuk Pak Long, tetapi Kay pula suka dan minta Tommy agar dipamerkan di hadapan halaman rumah mereka.  Ha ha ha melepas Pak Long!

Rangka lereng besi

Tommy kata dia baharu sahaja beli sebuah trektor jenama John Deer, suatu jenama yang terbaik di negara ini.   John Deer adalah sebuah syarikat besar yang mengeluarkan bermacam jenis trektor dan mesen berat di Amerika.  Kebanyakan keluaran syarikat ini adalah untuk pertanian.  Di bawah adalah gambar trektor baru Tommy.




Lama juga kami di rumah Tommy.  Bersembang macam-macam hal, kebanyakannya buat kami semua tidak kering gusi.  Dari rumah Tommy, kami ke Paducah iaitu sebuah bandar terdekat dengan Wickliffe.  Di bandar inilah kami bermalam.






















Tuesday, August 13, 2019

Balik Kampung (1)

Assalamualaikum,

Sudah banyak kali Pak Long sebut hendak balik ke Wickliffe, Kentucky...berbulan sudah.  Wickliffe sebuah kampung tempat beliau dibesarkan.  Tidak ada siapa melainkan sepupunya Judy dan anak-beranak dia sahaja yang masih tinggal di kampung itu.  Mereka punyai tanah luas pusaka dan harta benda keluarga.  Pelik sungguh cara gaya orang-orang sini membahagi harta pesaka tinggalan ibu bapa.  Mereka itu orang kuat berugama kristian tetapi kebanyakan mereka-mereka itu tidak ada pun yang ikut hukum hakam ugama mereka.  Tidak bolehlah kita hendak cemoh atau hina kepercayaan mereka, Allah larang kita menghina agama lain.  Itu pegangan agama yang mereka percaya walau Allah sudah terang-terang beri petunjuk. Sebenarnya Mak Long liat juga hendak ke sana walaupun mereka tidak sekat atau ganggu kami.  Cumanya rasa tidak selesa, itu sahaja.  

Maka hari ini kami mulai perjalanan ke sana.  Duduk di rumah pun tidak banyak yang perlu diuruskan.  Musim panas, panas yang teramat sangat lebih kurang sama panas di padang pasir di Saudi Arabia.  Biasa pagi sebelum matahari membahangi udara, kami segera lakukan kerja-kerja di luar.  Pukul sepuluh pagi matahari sudah mula panas membakar.  Semalam kami siram semua pokok-pokok dan tanaman.  Agak-agak boleh tahan beberapa hari in sha Allah.

Texas sebuah negeri yang amat besar.  Satu hari suntuk perjalanan dengan kenderaan masih belum keluar-keluar daerah lagi.  Kami berhenti bermalam di Bandar Arkadelphia, Arkansas.  Hujan pula di situ, kuranglah sedikit panasnya.  Esok kami akan sambung musafir kami hingga ke kampung.  Sepanjang perjalanan tadi kenderaan banyak di lebuhraya terutama truck besar 18 tayar.  Berlumba-lumba mereka pandu kenderan buat kita seriau serun!   Malam ini rehat dulu.










Sunday, August 11, 2019

"Pete"

Assalamualaikum,





Dalam video di atas ialah seekor musang liar yang setiap hari datang di kawasan perumahan kami.  Kami namakan musang itu Pete.  Anihnya Pete seolah-olah tahu itu adalah namanya.  Bila kami panggil , “Pete, Pete....”. Dia berhenti berjalan dan pandang kami.  Umumnya Pete nampak jinak tetapi tidak begitu.  Setiap petang selepas Asar tidak kira hujan atau panas Pete datang ke patio belakang rumah.  Kami beri dia makanan samaada seketul daging ayam mentah atau makanan anjing yang dibeli dari supermarket.  Senang beri Pete makan, apa sahaja makanan yang kami beri padanya tidak pernah ditolak.  Mujur lalu melintang patah.....  

Kekadang saja-saja dia duduk berhampiran mangkoknya memerhatikan aktiviti kawasan.  Kekadang dia baring atas rumput dengan sabar dan taat menunggu makanan sampai walau terpaksa tunggu lama.  Sekiranya tiada makanan dalam mangkok setelah lama menunggu, Pete berlalu tetapi dia akan datang kembali selepas beberapa jam kemudian.  Kami sediakan dua biji mangkok di hujung patio, satu untuk makanan dan satu lagi untuk air minum.  Musim-musim panas lit lit begitu tentu kering tekaknya.  Mak Long ada sediakan air minum di kawasan hadapan dapur untuk burung-burung dalam "bird bath.."  Kesihan kan....  

Apabila ketulan ayam atau tulang yang diberi itu besar Pete akan makan separoh kemudian gonggong bakinya bawak balik ke sarangnya.  Kami agak Pete ada keluarga kerana melihat dari tabiat yang dilakukan itu.  Daging ayam dalam video ini agak besar dan berat.  Dia angkat-angkat letak daging itu beberapa kali.  Pengabisnya dia makan separoh kemudian gonggong daging ayam itu balik ke sarang.  Nampak tu bijak sungguh musang ... tahu bertanggung jawab jaga keluarga...!

Bagi kami Pete adalah satu hiburan yang tidak perlu berbelanja besar.  











Tuesday, August 6, 2019

Teller House Hotel, Silverton


Assalamualaikum,


Teller House Hotel

Teller House Hotel adalah sebuah hotel lama bentuk dalam era Vitorian.  Hotel ini dibina oleh Charles Fischer dalam tahun 1896.  Semua hiasan dalaman hotel menggunakan bahan dan perabut lama seperti katil, kerusi, almari dan lain-lain.  Hotel ini mengandungi sepuluh buah bilik tidur sahaja di mana setengah dari bilik tersebut mempunyai bilik mandi seperti terdapat di hotel-hotel sekarang dan setengah bilik pula berkongsi bilik mandi.  Dalam setiap bilik tidak ada kemudahan talipon, television, radio dan hawa dingin untuk penginap di situ. Betul-betul seperti suasana zaman dahulu.  Alat moden yang ada dalam bilik hanyalah satu kipas angin kecil dan peti sejuk kecil.  Mana kala bilik mandi pula mujurlah ia dilengkapi dengan saluran air panas dan tandas biasa.  Kalau tidak habislah!  Bandar Silverton terletak di aras paling tinggi dari aras laut iaitu lebih kurang 10,000 kaki (3,048m) tinggi.  Salji masih terdapat di kaki-kaki pergunungan walaupun sudah musim panas (July) dan air di sungai pun masih sejuk.  

Ketika sampai berpusing-pusing juga kami mencari hotel ini pada hal sudah beberapa kami lalu lalang di hadapannya.  Masaalahnya papan penunjuk Teller House Hotel tidak kelihatan, cumanya hanya terdapat tanda “HOTEL” itu sahaja.  Mana tidaknya buat kita keliru tercari-cari.  Bukan Teller House Hotel sahaja begitu, malah ada juga hotel-hotel lain pesen begitu!  Tempat letak kenderaan boleh dipakir di mana-mana tempat kosong di tepi jalan.


Ruang Sambut Tamu Hotel


Di hadapan pintu hotel kami tercegat berdiri kehairanan seketika.  Pintu hotel tutup rapat.  Hendak ketuk dahulukah atau terus buka sahaja daun pintu itu.  Locing tidak kelihatan untuk kami tekan.  Ini lain punya macam hotel!  Kami berpandangan sesama sendiri.  Akhirnya Pak Long kuak daun pintu.  Ada tangga berpermaidani merah menyala naik ke tingkat atas.  Kami panjat tangga itu hingga ke tingkat atas.  Tiba di atas mana pergi orang-orang yang jaga hotel ini?  Tanya hati kecil kehairan bertambah ... hahaha.  Di meja kecil penyambut tetapi terdapat sebuah bakul cantik, di dalam ada sekeping kad "PICK YOUR ROOM KEY HERE.  YOUR NAME IS DISPLAYED ON ROOM DOOR."  Ada satu set anak kunci dan Pak Long ambil anak kunci tersebut yang mengandungi dua anak kunci. Kami cari bilik kami itu, ... sebelah kanan ruang tamu sahaja tidak jauh.  Pak Long buka pintu bilik kami.  Lain pesen cara hotel ini. 








Suasana dalam bilik cantik, simple dan selesa tidak besar.  Wallpaper berbunga ros kecil warna merah jambu lembut sepadan dengan corak yang sama dengan kain alas katil dan sampul bantal.  Wangi bau dalam bilik seperti bau bunga kenangga.  Seram pulak bila bau wangi semacam itu.  Alhamdulillah ada bilik mandi tanpa berkongsi dengan penginap lain.  Kalau tidak parah kita.  Kami bermalam di Teller House Hotel selama tiga malam.




Inilah bilik No. 7 kami 

Gambar di bawah itu pemandangan dari tingkap bilik kami.  Lelaki itu sedang memperbaiki atap bangunan sebelah.





Kami bermalam di Teller House Hotel selama tiga malam.  Puas jugalah kami di sana.  Biasanya kami tidak tinggal lama di sesuatu tempat kerana kami sentiasa ada tempat-tempat dan agenda lain.  Kali ini santai sahaja tidak terburu-buru.  Mak Long suka kalau pergi sesuatu tempat itu tinggal lama sedikit, dan tinggal di hotel-hotel lama seperti Teller House Hotel.






















Thursday, May 9, 2019

Cucu Yang Belum Ku Temui

Assalamualaikum,



Sudah hampir setahun lebih Mak Long tidak pulang ke tanahair. Tanah tumpahnya darah ku. Sejak arwah Emak kembali ke pangkuan Iilah. Hati ini sangat rindu untuk pulang bertemu dan menjejak kasih keluarga yang sekian lama tidak bersua. Mereka semua tanya bila "hendak balik?" Tidak terjawab soalan mereka. Di sudut hati kecil ini Allah sahaja yang mengetahui betapa melonjak-lonjak hati hendak pulang!
Keinginan hati begitu kuat untuk pulang melihat dan bertemu mata dengan cucu kedua yang dilahirkan setahun yang lalu. Cucu perempuan yang amat comel yang mereka hantar gambarnya pada Mak Long. Namanya Aisha.
Kini Aisha sudah berjalan dan berlari-lari, sudah pandai berkawan. Sudah pandai makan durian (gambar di atas), sudah pandai bercakap dan sangat cerdik. Setiap hari Aisha diserahkan ke pusat penjagaan kanak-kanan untuk khidmat jagaan ketika anak dan menantu pergi kerja cari rezeki. 
Anak Mak Long cakap, di pusat jagaan kanak-kanak, Aisha suka berkawan dengan anak-anak yang lebih besar darinya. Suka makan makanan kawan-kawannya, hahaha .. bukannya tidak dibekalkan makanan untuknya.. semua ada disediakan. Tetapi makanan orang lain juga yang digemari. Lantas anak dan menantu sediakan makanan serupa dengan makanan kawan-kawannya pula. Anak-anak kecil begitulah tabiat mereka. Maka sikap terbuka dan tanggung-jawab ibu bapalah membentuk anak-anak yang masih rebung.
Muga Aisha cucu Mak Long ini menjadi solihah serta berbudi bahasa tinggi, berjaya hidupnya di dunia dan di akhirat, ammiin..

Muga Allah panjangkan umur kami dan dapat kami berjumpa bertentang mata, in Sha Allah.