Pages

Thursday, December 13, 2012

Nota Kongsi Pengelaman

Assalamualaikum,

Mak Long ingin berkongsi pengelaman yang dilalui beberapa hari dalam minggu ini.  Bukan bermaksud atau berniat menunjuk-nunjuk, bukan bermaksud mengeji atau merendahkan mertabat hamba-hamba dan mahluk Allah yang ujut dengan pelbagai ragam, lagak, kepercayaan, rupa dan agama.  Walhal tidak terkecuali insan seperti Mak Long sendiri tinggal berjauhan dari keluarga dan sanak saudara, pastinya kami terdedah kepada segala gejala dugaan dan bermacam ujian.  Pelbagai rintangan sentiasa bergolek di hadapan sama ada sedar atau tidak sedar sahaja.  Bagi Mak Long semua ini adalah dugaan dan ujian dari Allah mengukur sejauh mana kekuatan iman di dada, ketabahan dan kesabaran untuk menghadapi segala.  Lain orang lain cara dugan yang diterima.  Rasa bersyukur dengan ujian yang diterima kerana ia mengiratkan lagi rasa kasih dan takut kepada Illahi.

Pada 5hb December, 2012 seorang kawan (boleh dikatakan rapat) disahkan mengidap barah usus tahap empat) talipon.  Ia meminta Mak Long agar membantu menemankan ibu mertuanya yang tua (89 tahun lebih) dan sudah uzur supaya membolehkan kawan ini menemui dan mendapat pandangan kedua dari doktor merawat barah di Oklahoma Cancer Centre, Tulsa selama beberapa hari.  Ia dan suaminya bertolak ke sana pada 9hb December.  Menurutnya rawatan semasa yang diterima tidak memuaskan.  Sebenarnya Mak Long tidak keberatan menyumbangkan kebajikan tenaga walau pun kawan ini bukan Islam.  Pak Long pun memberi sokongan dan mencadangkan bersedekah sedikit kewangan agar melegakan  keperitan hidup mereka.  Kawan kami ini orang susah (tetapi sesusah-susah orang di sini susah lagi orang-orang miskin kita di Malaysia).  Di minda Mak Long terbayang ramai saudara mara dan orang-orang kampung yang miskin yang tidak ada peluang luas menerima bantuan dan simpati seperti orang di sini.   Khidmat perubatan di sini sangat mahal.

Mak Long bertolak ke rumahnya di Liverpool, Texas pada 8hb December pagi bersama Orin, kucing puteri.  Mak Long maklumkan padanya tentang Orin.  Dari gaya percakapannya melalui talipon dia tidak menyukai kerana bimbang menganggu anjingnya.  Ketika itu barulah Mak Long sedar rupanya dia mahu Mak Long menjaga anjingnya sekali tetapi tidak disebutkannya ketika dia bercakap dulu.  Rasa keciwa hati Mak Long tetapi persetujuan menemani Memaw sudah dibuat.  Perjalanan mengambil masa selama empat setengah jam memandu.  Sesampai di sana, kawan ini menyatakan keinginan pergi beli-belah beberapa helai baju panas kemudian makan-makan.  Hmmm ini pun tidak disebutkan....tapi tidak mengapalah Mak Long pun suka beli-belah dan belanja makan.  Pandai kawan ini mengetok kawan!  Mak Long tidak lupa pesan Pak Long untuk bersedekah.

Selama lima hari dan empat malam Mak Long di rumahnya dan selama itulah pertama kali tidak berasa selesa.  Rasa mahu pulang ke rumah secepat mungkin dan berharap kawan ini cepat pulang dari rawatannya.  Pertama kerana kehadiran anjing dalam rumah membuatkan hati Mak Long was-was bersolat tetapi Mak Long tawakal kerana ini mungkin ujian keimanan dan kesabaran Mak Long dari Allah SWT.  Mak Long beli sekotak sampul tangan ketika memegang dan memberi makanan anjing itu.  Aduhai..... rasa geli dan jijiknya tetapi kan anjing pun mahluk Allah bukan?  Tolak tepilah perasaan itu!  Mak Long boleh gunakan akal bagaimana hendak menangi masaalah kecil ini.

Kedua selain menjaga anjing, mereka ada seekor kucing pula yang sentiasa di luar rumah.  Baguslah ye anjing di dalam , kucing di luar rumah!  Kebetulan cuaca sejuk tahap beku dan suaminya pula mahukan kucingnya disediakan sedikit keselesaan di luar.  Mak Long suka kucing dan rajin beri dia makan.

Ketiga, Mak Long sama sekali tidak menyangka keuzuran Memaw tahap teruk dan menyedihkan.  Pergerakannya terhad kerana kedua-dua mata sudah tidak boleh melihat lagi. Selain itu dia juga diserang barah paru-paru di mana doktor meramalkan tiada harapan peluang untuk sembuh serta umurnya tidak akan dapat bertahan lama lagi. Sesungguhnya Allah juga yang lebih mengetahui.  Memaw seorang wanita tua yang mempunyai semangat  besi dan kental tabah mengharungi arus hidup yang penuh cabaran.  Dengan keadaannya sebegitu ia masih mahu berdikari ... mahu menguruskan dirinya sendiri tanpa bantuan.  Tetapi akhirnya terpaksa mengalah juga kerana kelemahan tenaga serta keuzuran yang menguasai diri dan ia memerlukan penjagaan dan pemerhatian setiap masa.  

Keempat ialah tanggungjawab Mak Long yang diletakkan di bahu terhadap mereka sangat berat untuk dipikul walaupun rupa mudah dan ringan di mata tetapi memerlukan seluruh kesabaran yang jitu.  Berlinangan air mata kesedihan dan keinsafan diri, membayangkan diri sendiri belum tahu akhirnya nanti.  Nasib manusia sudah ditulis, ditentukan dari azali lagi sebagaimana kehendak Allah SWT.  Sesungguhnya dalam Islam Allah mengajar dan menyuruh umatnya bersolat memyembahNYA yang satu, berdoa ikhlas mohon belas kasihan dan pertolongan dariNYA tanpa putus asa.  Betapa manusia di dalam kerugian kecuali mereka yang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berwasiat dengan kesabaran.  Kalau ada rasa keciwa dan was-was dari Mak Long ketika ujian mengharapkan mudah-mudahan Allah ampunkan dosa Mak Long. 

Malam Rabu mereka pulang jadi hari ini Khamis Mak Long boleh pulang ke rumah dengan Orin.  Alhamdulillah kami selamat sampai ke rumah jam 5:30 petang.




Cahaya menerangi kegelapan






NOTA (Ingatan):

1.  Berbuatlah kebajikan dan amal jariah dengan ikhlas sebanyak yang mampu dilakukan tanpa mengira agama, bangsa dan darjat selagi kita hidup.

2.  Bertawakal, bertakwa dan sentiasa berangapan baik sesama insan.

3.  Kasihanilah binatang walau pun ia menjijikkan dan mengelikan.

4.  Ingatkan diri termasuk diri Mak Long sendiri agar memperkuatkan ilmu dan iman di dada.

5.  Hidup dan mati di tangan Allah SWT.  Nyawa diambil tidak terlambat dan tidak terawal.  Masanya tepat  tidak kira di mana, bila dan bagaimana.

6.  Jangan sekali memberi masaalah baik dari segi lahiriah atau rohani pada orang yang memberi pertolonngan pada kita terutama apabila kita meminta darinya.  









No comments:

Post a Comment