Pages

Saturday, December 1, 2012

Nota Membuat Sos Pedas

Assalamualaikum.....

Hari ini sudah 1 haribulan December, 2012.  Bulan terakhir bagi tahun ini.  Sungguh cepat masa berlalu tanpa disedari.  Cuaca hari ini pun sangat baik dan cantik walaupun malam tadi kedengaran guruh mendayu di langit.  Di awal pagi melahirkan tanda-tanda kehadiran hujan, tetapi Allah juga yang merancang dan lebih mengetahui.  

Hari ini juga Mak Long mengambil keputusan tidak mahu menabur jagong kepada rusa-rusa setiap hari.  Mak Long letih dan tidak larat hendak ke bangunan belakang waktu-waktu sejuk ini.  Tetapi mereka datang juga, malah mereka duduk berlengkar dan beratur di atas rumput sambil memandang arah ke rumah buat hati Mak Long bertambah sedih.  Mereka semakin berani datang hingga hampir ke depan pintu.  Mereka musnahkan pokok-pokok cili yang Mak Long tanam.  Habis dimakan dengan buah-buah sekali.  Apakah ini bermakna mereka tunjukkan perasaan mereka??????  Makanlah rusa kalau itu yang patut dilakukan sebagai hukuman untuk Mak Long.  Dihalau dan disembur dengan air pun mereka tidak pedulik.  Mak Long sudah tidak larat lagi!


Rusa tunjuk perasaan 2012

Mak Long terpaksa petik dan kutip semua cilli yang tinggal, dapatlah kira-kira satu paun.  Mak Long buat sos pedas dan dibotolkan mengikut kaedah "canning" in-shaa Allah boleh tahan lama tidak perlu dimakan sekarang.  Membotolkan makanan dalam botol untuk tahan lama mudah sahaja caranya.  Ada dua cara iaitu (1)   Merebus (boiling-Water Canning) dan (2)   "pressure Canning".  Mak Long gunakan cara merebus; ia lebih mudah.  Ini kali kedua Mak Long buat dalam tahun ini.  Resepinya Mak Long reka sendiri.  Puteri kata sedap!  Sudah separuh daripada yang dibuat dahulu sudah habis.  Bolehlah cuba bagi sesiapa yang ingin mencuba.

Pertama sediakan/masak bahan sos.

2.5lb cilli hidup dipotong
5lb tomato direbus hingga kulitnya merekah kemudian buang kulit dan potong sederhana
2 bawang besar dibuang kulit dan dipotong-potong sederhana
1 labu bawang putih dibuang kulit
1 tin sos tomato
1 cawan cuka apple (boleh guna cuka putih)
2 cekak daun ketumbar
4 sudu besar garam
2 sudu besar serbuk lemon pepper (optional)
2 sudu besar gula merah atau gula tebu

Masukkan semua bahan kedalam periok besar, tutup dan masak dengan api sederhana hingga mendidih dan reneh selama dua puluh minit.

Masukkan dalam blender dan hancurkan bahan.  Buat beberapa bahagian hingga habis semuanya dihancurkan.  Kalau sos nampak terlalu cair dan lebih suka sos pekat masukkan kedalam periuk semula dan masak hingga susut ikut pilihan sendiri.  Biarkan sos itu panas.


Jenis cilli yang diguna 2012


Kedua bersihkan botol (canning jar) dan penutupnya dengan air sabun dan dibilas bersih.
  • Guna periuk besar kalau tidak ada periuk canning khas.  Letakkan rak di bahagian bawah periuk dan letak botol di atasnya supaya botol tidak duduk atas periuk.  Tutup botol pun masukkan sekali dalam periuk.  Isi air separuh penuh periuk itu, tutup dan masak dengan api besar selama sepuluh minit (sterilize).  Biarkan botol-botol itu sentiasa panas tetapi tidak mendidih.
  • Dalam masa yang sama didehkan satu cerek air sebagai air panas tambahan bila perlu nanti.
  • Isikan sos ke dalam botol yang panas itu, tinggalkan ruang kira-kira 1 inci dari mulut botol, tutup ketat dan masukkan balik dalam air panas.  Buat hingga habis botol diisi dengan sos.  
  • Tambahkan air yang dididihkan berlain tadi ke dalam periuk sehingga botol-botol itu tengelam dalam satu inci dari aras permukaan air.
  • Tutup periuk dan masak hingga mengelegak kemudian biarkan mendidih perlahan selama dua puluh minit.  Sekiranya air sedang mendidih dan airnya susut hendaklah ditambah air panas lagi.  Pengiraan masa mendidih kena mula baru.
  • Bila sudah mendidih mengikut had masanya, matikan api dan keluarkan botol-botol dari periuk.  Sejukkan di atas rak atau atas kain towel/tebal selama 12 hingga 24 jam.  Bila sudah sejuk cek penutup ditutup ketat.  Kalau tutupnya tidak ketat maknanya sos itu tidak akan tahan lama.

Inilah hasil sos cili pedas 2012





NOTA:

1.  Berhati-hati bila mengendalikan bahan pedas dan panas.
2.  Guna sampul tangan getah kalau takut jari pijar bila memegang cilli.
3. Berhati-hati bila menghancurkan bahan panas dalam blender, mesti tekan tutupnya beralaskan kain (bahan panas bila dihancurkan akan bersembur ke atas)
4.  Gunakan alat khas untuk mengeluarkan botol panas dari dalam air panas.
5. Gunakan cermin mata kalau takut terpercik ke mata bila mengisi sos panas kedalam botol.




2 comments:

  1. kena cuba buat ni mesti sedap tp....takde ker timbagan dalam kg.

    ReplyDelete
  2. hehehe tak pe kak dah dapat convert kan lb ke kg. nanti ada masa ina cuba buat sos ni

    ReplyDelete