Pages

Sunday, December 16, 2012

Nota Pasar Daging Halal

Assalamualaikum,

Puteri balik malam tadi.  Biasalah janji balik sebelum hari gelap, sampainya ke rumah sudah pun gelap walau pun jam di dinding sudah enam petang.  Musim sejuk waktu malam lebih panjang dari waktu siang.  Buat Mak Long terjengok-jengok tingkap setiap jam.  Hmmm budak-budak sekarang ada-ada sahaja jawab dan alasan.  

Hari ini Mak Long merancang sambil menunggu Pak Long sampai di lapangan terbang eloklah kami pergi berbelanja sedikit di kedai China dan di pasar menjual makanan halal.  Perjalanan mengambil masa satu jam lebih itu pun nasib baik trafik tidak sibuk.  Kami keluar lebih awal supaya dapat meluangkan masa lebih panjang bila berbelanja nanti.  Tempat pertama kami ke kedai China.  Amboi..... macam-macam ada dari jantong pisang, pegaga, nangka muda hinggalah budu ikan pun ada.  Emak dan bapa sahaja yang tidak ada di situ.  Barangan keluaran Yeo Hap Seng pun ada!  Senyum Mak Long dan puteri dari telinga ke telinga seronok tengok barang-barang biasa terdapat dari tanah air.  Tidak sedar pun troli besar sudah penuh dan sarat dengan entah apa-apa macam barang dimasukan ke dalam troli .... janji hendak belanja sedikit sahaja.  Dalam hati cakap "tak apalah bukan selalu datang sini, borong aje ler...."  Hmmm... banyak juga belanja!

Selepas itu kami terus ke pasar halal.  Pasar ini kecil sahaja kepunyaan orang Pakistan.  Semua ada dari segala jenis  rempah, sayuran hinggalah ke daging yang disembelih halal oleh peniaga Islam.  Ada roti perata Malaysia!  Ada sos cili dari Malaysia!  Wah-wah!! .... Terbeliak mata Mak Long tengok.  Mestilah beli punya!  Mak Long memesan beberapa ekor ayam (siap potong dan buang kulitnya), daging potong untuk sop, daging kisar.  Penuhlah bag besar khas untuk membawa daging supaya tidak rosak rasa dan bau.  Bolehlah daging-daging ayam dan lembut tahan untuk sebulan kalau tidak ada tetamu.  

Tengah hari itu kami makan di Whole Sale Market Mall yang menyediakan barang makanan organic dan asli (makanan untuk sihat). Di sini pun macam-macam ada tetapi harganya tinggilah lagi kerana tempat cantik dan canggih.  Pelanggan melayan diri sendiri mengambil makanan dan masukkan kedalam kotak khas mengikut kegemaran sendiri.  Boleh campur macam-macam yang diingini.  Bebagai jenis sop panas pun ada.  Kami makan salad pasta sejuk rumusan masakan Greek atau Timur Tengah.  Makanan dibayar mengikut berat makanan dalam kotak.  Keadaan tempat letak kereta di bawah bangunan yang sama mengingatkan Mak Long tempat letak kereta di pusat beli belah atau pasaraya di Kuala Lumpur cumanya di sini tidak ada bayaran untuk letak kereta...percuma!

Selepas berbelanja barulah kami terus ke lapangan terbang antarabangsa Bergstrom tunggu Pak Long.  Pesawat yang dinaikinya mendarat tepat pada  waktunya.


Roti ini dipanggil Amish Friendship Bread.  Sedap dimakan untuk minum petang.  Mak Long buat pagi tadi sebelum keluar ambil Pak Long.

Amish Friendship Bread





NOTA:

Orang kata kalau hendak berbelanja bahan makanan jangan pergi bila perut kosong!


No comments:

Post a Comment