Pages

Sunday, December 30, 2012

Nota Selamat Datang 2013

Bismillah hirahman nirrahim....






Kini sudah sampai ke penghujung tahun 2012.  Masa, hari, minggu, bulan dan tahun berlalu begitu cepat hinggakan tidak terasa sedikit pun mereka berlalu.  Mereka tidak akan kembali lagi.  Yang tinggal hanyalah hasil yang dikumpul semasa berusaha, kenangan yang dipaut ke dalam lipatan ingatan serta amalan yang baik dan buruk setahun dikumpul bekalan ke akhirat.



Selamat datang 2013
Permulaan membuka tirai kehidupan baharu.
Kemungkinan luas yang tiada bertepi

Semuga tahun baharu membawa kita
Kesejahteraan dan kekuatan iman 
Kedamaian disertai kasih dan sayang

Semuga tahun baharu memberi kita
Kecermerlangan, rezeki yang berlimah ruah
Mengajar melatih kita sentiasa bersyukur
Atas kurnia dan pemberian ALLAH

Semuga tahun baharu mengajar kita
Ketabahan melalui ufuk-ufuk yang mencabar
Kita berjanji untuk berazam dan bermaruah 
Tentang dalam segala uji cabar dan debar
Semuga hidup kita diredhai



SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2013











Thursday, December 27, 2012

Nota Fire Place

Assalamualaikum,

Sudah hampir tiga tahun kami tinggal di kawasan Canyon Lake, Texas.  Daerah ini juga dipanggil sebagai "Texas Hill Country".  Kami sekeluarga bahagia tinggal di sini dan sangat bersyukur atas nekmat dan rezeki yang dilimpahi Allah SWT.  Sesungguhnya Allah maha kaya, maha pemurah lagi maha pemberi.  Tahun pertama musim sejuk kami tinggal di sini salji turun dalam awal Februari dan tahun kedua salji tidak pula ada selain dari mendapat sejuk dan angin yang kuat.  Tahun kedua juga merupakan kemarau panjang yang teruk hingga ke akhir tahun 2011 di mana beberapa daerah dan kawasan perumahan mengalami kejadian kebakaran.  Tahun 2011, alhamdulillah keadaan kembali pulih walaupun perlahan.  Tahun ini keadaan masih terlalu kering mungkin terlalu awal untuk turun salji.  Kalau ada salji seronok juga.  Walaupun begitu cuaca sangat sejuk diikuti tiupan angin kuat dan hari ini...sejuk sampai ketulang!  Selama kami tinggal di sini kami tidak pernah menggunakan "unggun api" asli sebagai pemanas udara yang sedia ada di dalam rumah kami.  Kebiasaan kami menggunakan hawa pemanas letrik.        

Hari ini Pak Long cadangkan kami nyalakan unggun api sebagai pemanas dalam rumah.  Kayu api yang sudah kering pun banyak berlunggun di luar rumah.  Hmmmm... Bau dari kayu api yang dibakar itu sungguh sedap seolah-olah bau itu menjadi pengirat kemeseraan silarturrahim keluarga.  Sepanjang petang dan malam puteri duduk berlengkor berhampiran dengan unggun api sambil nonton TV.


Unggun Api







NOTA:

Allah memberi nekmat dan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki NYA dan mengambilnya kembali dari sesiapa jua yang dikehendaki NYA.

Hendaklah kita sentiasa bersyukur atas nekmat yang dilimpahi Allah yang maha pemurah.  
Berdoa agar segala pemberian nekmat itu sentias dilimpahi NYA.




Friday, December 21, 2012

Nota Oooops Terbasuh!

Assalamualaikum,

Semalam adalah hari untuk mencuci kain baju kotor.  Setiap orang dalam rumah mesti menunaikan peraturan ini.  Pakaian kotor hendaklah diletakkan setempat di dalam bakul khas yang sudah disediakan di setiap kamar mandi.  Semua kocek hendaklah dikosongkan supaya tidak terbasuh barang yang ada di dalam kocek.. Walaupun begitu Mak Long tetap memastikan semua kocek dikosongkan sebelum memasukkan pakaian kotor ke dalam mesen basuh.

Seperti biasa semua pakaian kotor akan diasingkan mengikut warna gelap, warna terang dan pakaian yang lembut seperti sutera supaya mudah mendapat hasil pencucian yang baik.  Kadang-kadang ada juga tuala kertas (tissue paper) terselit dalam kocek menjadikan seluruh cucian lekat dengan kertas yang sudah hancur itu buat masaalah sahaja.  Apabila tamat pusingan pencucian, Mak Long akan keluarkan cucian satu-satu, kebas-kebas dan terus masukkan ke dalam mesen penggering pula.  Ketika Mak Long keluarkan kemeja merah Pak Long dari mesen ... ada benda dalam kocek baju!  Tengok-tengok.......... ooops!!!!  Alamak passport Pak Longlah!  Tadi masa Mak Long masukkan baju dalam mesen cuci tidak nampak dan terasa.  Cepat-cepat Mak Long keluarkan dari kocek kemeja itu.  Sah passport sudah kena basuh!  Habis lembab semua muka surat passport tetapi bernasib baik kerana tidak ada dakwat dari cop-cop imigresen yang turun.  Muka surat yang mengandungi visa masuk ke setiap negeri yang Pak Long hendak masuk pun tidak rosak...... alhamdulillah selamat!  Mak Long minta puteri tolong keringkan dengan penggering rambut.  Baharu sahaja hendak mulakan, Pak Long muncul... 

Pak Long:   What are you girls doing?

Mak Long:   I accidentally washed your passport!   You did not remove it from your pocket!

Pak Long:   Stop ..stop.. drying it.   Let it dry naturally so pages will not curl.  Its my fault......
                   I should have removed if from the pocket....

Mak Long:    I am sorry, dear...

Pak Long:     It is not your fault...

Pheww!  Nasib baik passport itu kering semula dan tidak pulak bergulung-gulung seperti yang dijangka.  Pak Long tindih passport itu di bawah buku tebal dan berat supaya passport itu tetap seperti biasa.  Passport tidak rosak mungkin disebabkan sampul plastik melindungi passport dari digesel-gesel dalam mesen sewaktu pencucian.



Warna warni





NOTA;

Pastikan setiap kerja itu bersih dari gejala yang merosak.

Kadag-kadang walau pun kita berhati-hati melakukan sesuatu kalau hendak terjadi, maka ia akan terjadi jua.

Wednesday, December 19, 2012

Nota Puteri Belajar Baiki Kereta

Assalamualaikum,

Hari ini sungguh cantik dengan sinaran mata hari disertai pula cuaca sepanjang hari sejuk menambahkan lagi keindahan dan keselesaan suasana di daerah kami.  Pak Long nampaknya sudah pulih dari keletihan dari penerbangan jauh dari negara Timur Tengah.  Pak Long cakap, "my age is catching up on me....."  Dulu-dulu perjalanan hampir seluruh bulatan dunia tidak berasa apa-apa baginya.  Setiap orang akan melalui dan mengalami saat begitu....

Kereta puteri ada masaalah.  Lampu besar di hadapan sebelah kanan dimasuki air membuatkan mentol terbakar.  Puteri bawa ke tempat makanik kereta, tetapi harganya sangat tinggi hampir $700.00 untuk menganti satu lampu itu termasuk upah.  Pak Long nasihatkan supaya tidak hantar untuk membaiki lampu kereta di situ dan beritahu kami dia akan buat tempahan untuk sepasang lampu baru melalui internet.  Kerja ganti serta pasang lampu itu sendiri bila beliau balik dari Saudi nanti tidak adalah sampai dua ratus dollar pun.  Kerjanya pun mudah sahaja Pak Long kata.

Pak Long berkata kepada puteri eloklah kalau puteri belajar bagaimana hendak memasang lampu kereta.  Tidak rugi belajar kerja-kerja seperti itu tidak kira bagi lelaki atau perempuan. Sekurang-kurangnya tahu buat sendiri bila perlu.  Sekiranya hendak mengupah orang untuk membuat sesuatu untuk kita jangan haraplah dapat harga murah itu pun kadang kala tidak memuaskan hati.  Hari ini mereka dua beranak sama-sama membuka dan menganti lampu baru yang ditempah dari internet dahulu sudah beberapa hari sampai.  Dengan tunjuk ajar Pak Long, puteri berjaya membuka dan pasang pulih kedua-dua lampu itu.  Pak Long sungguh bangga dengan puteri kerana ia cepat faham dan berkebolehan melakukannya dengan baik hanya dengan penerangan yang sedikit.  Puteri Mak Long boleh melakukan kerja mekanik walaupun hanya memasang lampu kereta.   Mak Long  bangga dengan kebolehan puteri.



Belajar pasang lampu


Siap!






NOTA:


Tidak rugi menimba ilmu, ia akan  berkekalan dan berguna bila diperlu

Sunday, December 16, 2012

Nota Pasar Daging Halal

Assalamualaikum,

Puteri balik malam tadi.  Biasalah janji balik sebelum hari gelap, sampainya ke rumah sudah pun gelap walau pun jam di dinding sudah enam petang.  Musim sejuk waktu malam lebih panjang dari waktu siang.  Buat Mak Long terjengok-jengok tingkap setiap jam.  Hmmm budak-budak sekarang ada-ada sahaja jawab dan alasan.  

Hari ini Mak Long merancang sambil menunggu Pak Long sampai di lapangan terbang eloklah kami pergi berbelanja sedikit di kedai China dan di pasar menjual makanan halal.  Perjalanan mengambil masa satu jam lebih itu pun nasib baik trafik tidak sibuk.  Kami keluar lebih awal supaya dapat meluangkan masa lebih panjang bila berbelanja nanti.  Tempat pertama kami ke kedai China.  Amboi..... macam-macam ada dari jantong pisang, pegaga, nangka muda hinggalah budu ikan pun ada.  Emak dan bapa sahaja yang tidak ada di situ.  Barangan keluaran Yeo Hap Seng pun ada!  Senyum Mak Long dan puteri dari telinga ke telinga seronok tengok barang-barang biasa terdapat dari tanah air.  Tidak sedar pun troli besar sudah penuh dan sarat dengan entah apa-apa macam barang dimasukan ke dalam troli .... janji hendak belanja sedikit sahaja.  Dalam hati cakap "tak apalah bukan selalu datang sini, borong aje ler...."  Hmmm... banyak juga belanja!

Selepas itu kami terus ke pasar halal.  Pasar ini kecil sahaja kepunyaan orang Pakistan.  Semua ada dari segala jenis  rempah, sayuran hinggalah ke daging yang disembelih halal oleh peniaga Islam.  Ada roti perata Malaysia!  Ada sos cili dari Malaysia!  Wah-wah!! .... Terbeliak mata Mak Long tengok.  Mestilah beli punya!  Mak Long memesan beberapa ekor ayam (siap potong dan buang kulitnya), daging potong untuk sop, daging kisar.  Penuhlah bag besar khas untuk membawa daging supaya tidak rosak rasa dan bau.  Bolehlah daging-daging ayam dan lembut tahan untuk sebulan kalau tidak ada tetamu.  

Tengah hari itu kami makan di Whole Sale Market Mall yang menyediakan barang makanan organic dan asli (makanan untuk sihat). Di sini pun macam-macam ada tetapi harganya tinggilah lagi kerana tempat cantik dan canggih.  Pelanggan melayan diri sendiri mengambil makanan dan masukkan kedalam kotak khas mengikut kegemaran sendiri.  Boleh campur macam-macam yang diingini.  Bebagai jenis sop panas pun ada.  Kami makan salad pasta sejuk rumusan masakan Greek atau Timur Tengah.  Makanan dibayar mengikut berat makanan dalam kotak.  Keadaan tempat letak kereta di bawah bangunan yang sama mengingatkan Mak Long tempat letak kereta di pusat beli belah atau pasaraya di Kuala Lumpur cumanya di sini tidak ada bayaran untuk letak kereta...percuma!

Selepas berbelanja barulah kami terus ke lapangan terbang antarabangsa Bergstrom tunggu Pak Long.  Pesawat yang dinaikinya mendarat tepat pada  waktunya.


Roti ini dipanggil Amish Friendship Bread.  Sedap dimakan untuk minum petang.  Mak Long buat pagi tadi sebelum keluar ambil Pak Long.

Amish Friendship Bread





NOTA:

Orang kata kalau hendak berbelanja bahan makanan jangan pergi bila perut kosong!


Saturday, December 15, 2012

Nota Tunggu Pak Long Balik

Assalamualaikum,


Minggu ini genab tiga bulan Pak Long berada berjauhan di Saudi Arabia menunaikan tugas mencari dan menambah rezeki halal untuk kami sekeluarga.  Perasaan rindu antara kami berdua bertaut rapat dan tebal di hati kami dari hari ke hari.  Tibalah masanya untuk beliau pulang kepangkuan keluarga walau hanya untuk dua minggu kali ini.  Pak Long sudah patut pencen sepenuh masa, menikmati dan menafaatkan hari-hari warga emas di bumi Allah disamping menyiap serta menyediakan diri bekalan menuju ke alam yang kekal di akhirat.  Tetapi Pak Long mempunyai misi sendiri.  Katanya bukan sahaja untuk menambah kestabilan rezeki keluarga tetapi yang penting ia dapat membantu insan-insan lain yang lebih memerlukan bantuan dan kurang bernasib baik.  Begitulah hasratnya.....

Esok hari Ahad Pak Long sampai dan Mak Long in-sya-Allah akan menunggunya di lapangan terbang antarabangsa Austin diiringi doa untuknya.  Mudah-mudahan Pak Long selamat sampai ke pangkuan kami.  Rasa kesyukuran yang tidak terhingga ke hadhrat Allah SWT yang maha pengasih, penyayang, pemurah dan maha pemberi.  Ameen..



Padang pasir di Al Jubail, Saudi Arabia






Friday, December 14, 2012

Nota Orange, Texas (1997-1998)

Assalamualaikum....

Hujung tahun 1997 Pak Long terima kontrak bertugas di loji minyak dan  gas di Lake Charles, Luisiana bersama dengan sahabat baik Andy Williams.  Lake Charles letaknya di selatan Luisiana hampir dengan sempadan Negeri Texas di sebelah timur-lautnya (North-east).  Perjalanan dari kediaman kami di Freeport mengambil masa lebih kurang empat jam dengan kereta.  Pak Long menyewa sebuah apartment berbilik satu di Orange, Texas iaitu daerah terdekat dengan tempat kerja hanya mengambil lebih kurang dua puluh minit dengan kereta.  

Masa itu Mak Long baru sahaja pulang dari Malaysia selama dua bulan di sana.  Rasa belum puas lagi bermesera denga keluarga di kampung.  Tetapi tempat isteri adalah di sisi suami.  Itu pun sangat bersyukur kerana Pak Long merelakan Mak Long pulang ke Malaysia setiap tahun, kadang-kadang dua kali setahun.

Apartment ini kecil di tingkat satu dan kosong tiada perabut disediakan, biasa-biasa sahaja.  Yang ada hanyalah peti sejuk dan dapur, itu sahaja.  Pak Long tidak dapat mengesahkan berapa lama dia akan bertugas dengan syarikat itu.  Sebab itu kami tidak kesah sangat hanya membawa sebuah tilam, dua biji bantal dan beberapa kain cadar serta gebar untuk bilik tidur dan beberapa biji pinggan mangkok, periok dan lain-lain hanya barang asas sahaja.  Vickie isteri Andy tolong belikan kami satu set kerusi rotan dari "garage sale" untuk ruang tamu.   Itu sahaja yang ada dalam apartment kami.  Apartment Andy dan Vickie pun tidak jauh dari kami.

Tinggal jauh dari kediaman sendiri banyak masa terluang apabila Pak Long sudah pergi kerja sehari suntuk setiap hari.  Mak Long gunakan masa itu sepenuhnya.  Di hadapan apartment disediakan sebuah taman rimba kecil penuh dengan pokok pine tinggi dan lain-lain jenis pokok besar untuk penduduk sekitar berjalan kaki dan bersenam.  Tiap-tiap hari tidak kira cuaca Mak Long berjalan di sini kadang-kadang dua kali sehari.  Di sebelah taman ini ada sebuah kubur lama ... he he sunyi benar dan seram juga kalau tidak ada perjalan kaki lain ketika itu.  Pergi ke gym empat kali seminggu .... hendak turunkan berat badan yang sudah mula naik.  Sahabat Mak Long dari Malaysia cakap Mak Long sudah ada volvo bumper...ish! ish! ish! ...... malu benar rasanya.....  Mesti jaga makan betul-betul supaya turun berat badan.  Untuk makan malam Mak Long masak yang mudah-mudah sahaja biasanya masakan Melayu!   Selepas lebih kurang dua bulan berat Mak Long turun seperti biasa... seronok masih boleh pakai jeans sais 4 dengan selesa.

Penduduk di Orange ramai orang kulit hitam.  Tidak berapa jauh dari apartment kami ada sebuah kedai kecil kepunyaian seorang Pakistan menjual barang-barang keperluan.  Di antara kedua tempat ini ialah kawasan lapang dan beberapa bangku kayu di situ.  Ramai orang-orang muda kulit hitam berlonggok.  Satu hari Mak Long lalu di situ untuk ke kedai itu.  Mereka menyapa "hey..baby.. want and come join us..?  Let's have some fun baby....."   Itulah kali pertama dan terakhir Mak Long lalu di situ....rasa tidak selamat dan Pak Long pun tidak benarkan lagi!

Satu hari pintu rumah diketok orang dan Mak Long intai dari lubang kaca kecil pintu.  Dua orang lelaki berpakaian kemas berkemeja putih dan berseluar hitam.  Beberapa kali pintu diketuk barulah Mak Long buka pintu.  Mereka perkenalkan diri yang mereka adalah pendakwah dan pengembang agama dari gereja Mormon.  Mak Long ucapkan terima kasih kerana datang tetapi dengan cara baik Mak Long menolak hasrat mereka hendak memberi penerangan tentang agama mereka.  Akhirnya mereka pergi tetapi meninggalkan beberapa keping risalah untuk Mak Long baca dan menghubungi mereka kalau berubah fikiran!!.  Sungguh bijak cara mereka berdakwah tentang agama mereka!  Tiada paksaan, sentiasa senyuman di bibir, bersopan dan berbahasa lemah-lembut.  Patutlah ramai orang yang cetik ilmu agama di dada mudah terperdaya............

Dua minggu sekali Mak Long pulang sendirian ke rumah di Freeport untuk dua atau tiga hari memastikan semua keadaan di rumah baik.  Hampir setahun juga Pak Long berkerja di logi minyak dan gas di Lake Charles.



Texas 1998





NOTA:

Didikan asas agama Islam yang sempurna adalah penting supaya tidak mudah terpesong ke agama yang lain.

Jauhkan diri dari gejala manusia jahat.


Thursday, December 13, 2012

Nota Memaw

Assalamualaikum....

Malam pertama seperti yang diterangkan oleh kawan tentang jadual harian menjaga Memaw, Mak Long berikan ubat-ubatan pil kepadanya dengan segelas air sejuk.  Banyak ubat yang ditelan dua kali setiap hari.  Patutlah dia menjadi seperti orang ketagih dadah!  Kemudian menghulurkan mesen sedutan pernafasan pula kerana mengalami masaalah pernafasan.  Kemudian bantu dia baring di katilnya sambil tentukan cukup selimut kerana cuaca sejuk walaupun hawa panas dihidupkan dan tutup lampu.  Malam masih muda, Mak Long gunakan masa itu untuk melayari halaman cyber kemudian barulah masuk tidur di bilik tetamu.  

Tiba-tiba Mak Long dikejutkan dengan suara orang bercakap.  Mak Long amati suara itu dahulu diam-diam.  Suara Memaw.....

Memaw:     Hello..hello..hello..  how r you?  hey sweetie whacha doing?

Mak Long bangun dan pakai kasut jengok ke ruang datangnya suara Memaw.  Kami terserempak di ruang bilik makan.  Terperanjat besar Mak Long!  Ia seperti orang kehilangan sesuatu teraba-raba di ruang meja makan.

Mak Long:     Memaw, what are you doing here?

Memaw:        Oh!  OoooI was hunting for you.  I was hunting for you, hon..  Where'r you been?

Mak Long:     I am right here, Memaw.  I was in bed.  What's going on?  Let's go back to bed ok...

Memaw:        Ok.. where'r you been?

Memaw pusing kebelakang dan terus berjalan terhegeh-hegeh arah ke dapur.  Sebelum itu rupanya dia sudah meraba-raba berjalan hala ke pintu belakang mencari sesuatu.  Dia tidak sedar apa yang dilakukannya.  Sudah nyanyok dia!

Mak Long:    Memaw, not that way... this way..here let me help you. 

Memaw:        No...., no..., no I can walk to my bed myself

Dalam hati Mak Long berkata degilnya orang tua nih terantok pintu kang baru tau!  sambil bantu dia naik atas katilnya.  Selimutkan dan tutup lampu.  Beritahu dia kalau dia perlu bantuan, panggil sahaja Mak Long di bilik sebelah.  Tidak berapa lama lepas itu:

Memaw:   Hello, hello...hi hi hi hi

Mak Long bangun dan tengok apa hal pulak kali ini?

Mak Long:     Memaw, are you alright?  What is it?

Memaw:         Ohh I was talking to my kids.      

Mak Long:      ??????? laaa  

Mak Long balik semula ke bilik Mak Long.  Hmmm dengar lagi dia bercakap seorang. Kali ini Mak Long diamkan sahaja.  Malam itu Mak Long tidak boleh lena.

Aduhai....


Sediakan diri sebelum petang





NOTA:

Mari berdoa mudah-mudahan kita nanti tidak nyanyok bila melalui kehidupan hari tua.




Nota Kongsi Pengelaman

Assalamualaikum,

Mak Long ingin berkongsi pengelaman yang dilalui beberapa hari dalam minggu ini.  Bukan bermaksud atau berniat menunjuk-nunjuk, bukan bermaksud mengeji atau merendahkan mertabat hamba-hamba dan mahluk Allah yang ujut dengan pelbagai ragam, lagak, kepercayaan, rupa dan agama.  Walhal tidak terkecuali insan seperti Mak Long sendiri tinggal berjauhan dari keluarga dan sanak saudara, pastinya kami terdedah kepada segala gejala dugaan dan bermacam ujian.  Pelbagai rintangan sentiasa bergolek di hadapan sama ada sedar atau tidak sedar sahaja.  Bagi Mak Long semua ini adalah dugaan dan ujian dari Allah mengukur sejauh mana kekuatan iman di dada, ketabahan dan kesabaran untuk menghadapi segala.  Lain orang lain cara dugan yang diterima.  Rasa bersyukur dengan ujian yang diterima kerana ia mengiratkan lagi rasa kasih dan takut kepada Illahi.

Pada 5hb December, 2012 seorang kawan (boleh dikatakan rapat) disahkan mengidap barah usus tahap empat) talipon.  Ia meminta Mak Long agar membantu menemankan ibu mertuanya yang tua (89 tahun lebih) dan sudah uzur supaya membolehkan kawan ini menemui dan mendapat pandangan kedua dari doktor merawat barah di Oklahoma Cancer Centre, Tulsa selama beberapa hari.  Ia dan suaminya bertolak ke sana pada 9hb December.  Menurutnya rawatan semasa yang diterima tidak memuaskan.  Sebenarnya Mak Long tidak keberatan menyumbangkan kebajikan tenaga walau pun kawan ini bukan Islam.  Pak Long pun memberi sokongan dan mencadangkan bersedekah sedikit kewangan agar melegakan  keperitan hidup mereka.  Kawan kami ini orang susah (tetapi sesusah-susah orang di sini susah lagi orang-orang miskin kita di Malaysia).  Di minda Mak Long terbayang ramai saudara mara dan orang-orang kampung yang miskin yang tidak ada peluang luas menerima bantuan dan simpati seperti orang di sini.   Khidmat perubatan di sini sangat mahal.

Mak Long bertolak ke rumahnya di Liverpool, Texas pada 8hb December pagi bersama Orin, kucing puteri.  Mak Long maklumkan padanya tentang Orin.  Dari gaya percakapannya melalui talipon dia tidak menyukai kerana bimbang menganggu anjingnya.  Ketika itu barulah Mak Long sedar rupanya dia mahu Mak Long menjaga anjingnya sekali tetapi tidak disebutkannya ketika dia bercakap dulu.  Rasa keciwa hati Mak Long tetapi persetujuan menemani Memaw sudah dibuat.  Perjalanan mengambil masa selama empat setengah jam memandu.  Sesampai di sana, kawan ini menyatakan keinginan pergi beli-belah beberapa helai baju panas kemudian makan-makan.  Hmmm ini pun tidak disebutkan....tapi tidak mengapalah Mak Long pun suka beli-belah dan belanja makan.  Pandai kawan ini mengetok kawan!  Mak Long tidak lupa pesan Pak Long untuk bersedekah.

Selama lima hari dan empat malam Mak Long di rumahnya dan selama itulah pertama kali tidak berasa selesa.  Rasa mahu pulang ke rumah secepat mungkin dan berharap kawan ini cepat pulang dari rawatannya.  Pertama kerana kehadiran anjing dalam rumah membuatkan hati Mak Long was-was bersolat tetapi Mak Long tawakal kerana ini mungkin ujian keimanan dan kesabaran Mak Long dari Allah SWT.  Mak Long beli sekotak sampul tangan ketika memegang dan memberi makanan anjing itu.  Aduhai..... rasa geli dan jijiknya tetapi kan anjing pun mahluk Allah bukan?  Tolak tepilah perasaan itu!  Mak Long boleh gunakan akal bagaimana hendak menangi masaalah kecil ini.

Kedua selain menjaga anjing, mereka ada seekor kucing pula yang sentiasa di luar rumah.  Baguslah ye anjing di dalam , kucing di luar rumah!  Kebetulan cuaca sejuk tahap beku dan suaminya pula mahukan kucingnya disediakan sedikit keselesaan di luar.  Mak Long suka kucing dan rajin beri dia makan.

Ketiga, Mak Long sama sekali tidak menyangka keuzuran Memaw tahap teruk dan menyedihkan.  Pergerakannya terhad kerana kedua-dua mata sudah tidak boleh melihat lagi. Selain itu dia juga diserang barah paru-paru di mana doktor meramalkan tiada harapan peluang untuk sembuh serta umurnya tidak akan dapat bertahan lama lagi. Sesungguhnya Allah juga yang lebih mengetahui.  Memaw seorang wanita tua yang mempunyai semangat  besi dan kental tabah mengharungi arus hidup yang penuh cabaran.  Dengan keadaannya sebegitu ia masih mahu berdikari ... mahu menguruskan dirinya sendiri tanpa bantuan.  Tetapi akhirnya terpaksa mengalah juga kerana kelemahan tenaga serta keuzuran yang menguasai diri dan ia memerlukan penjagaan dan pemerhatian setiap masa.  

Keempat ialah tanggungjawab Mak Long yang diletakkan di bahu terhadap mereka sangat berat untuk dipikul walaupun rupa mudah dan ringan di mata tetapi memerlukan seluruh kesabaran yang jitu.  Berlinangan air mata kesedihan dan keinsafan diri, membayangkan diri sendiri belum tahu akhirnya nanti.  Nasib manusia sudah ditulis, ditentukan dari azali lagi sebagaimana kehendak Allah SWT.  Sesungguhnya dalam Islam Allah mengajar dan menyuruh umatnya bersolat memyembahNYA yang satu, berdoa ikhlas mohon belas kasihan dan pertolongan dariNYA tanpa putus asa.  Betapa manusia di dalam kerugian kecuali mereka yang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berwasiat dengan kesabaran.  Kalau ada rasa keciwa dan was-was dari Mak Long ketika ujian mengharapkan mudah-mudahan Allah ampunkan dosa Mak Long. 

Malam Rabu mereka pulang jadi hari ini Khamis Mak Long boleh pulang ke rumah dengan Orin.  Alhamdulillah kami selamat sampai ke rumah jam 5:30 petang.




Cahaya menerangi kegelapan






NOTA (Ingatan):

1.  Berbuatlah kebajikan dan amal jariah dengan ikhlas sebanyak yang mampu dilakukan tanpa mengira agama, bangsa dan darjat selagi kita hidup.

2.  Bertawakal, bertakwa dan sentiasa berangapan baik sesama insan.

3.  Kasihanilah binatang walau pun ia menjijikkan dan mengelikan.

4.  Ingatkan diri termasuk diri Mak Long sendiri agar memperkuatkan ilmu dan iman di dada.

5.  Hidup dan mati di tangan Allah SWT.  Nyawa diambil tidak terlambat dan tidak terawal.  Masanya tepat  tidak kira di mana, bila dan bagaimana.

6.  Jangan sekali memberi masaalah baik dari segi lahiriah atau rohani pada orang yang memberi pertolonngan pada kita terutama apabila kita meminta darinya.  









Wednesday, December 5, 2012

Nota Motorsikal Harley Davidson

Assalamualaikum.....

Menunggang motosikal berinjin kuasa tinggi adalah kegemaran Pak Long sejak zaman mudanya lagi.  Harley Davidson.. hanya itulah jenis motosikal kegemaran number satu selain dari menikmati makanan enak.  Dia akan merempit motosikalnya setiap ada peluang terluang tidak kira di mana dan masa.  Pak Long sanggup berhabisan duit yang banyak menokok tambah barangan pada injin dan badan motosikalnya agar lebih laju dan canggih!   Anih sungguh tabiat manusia mempunyai berbagai ragam, cara dan gaya.



1997 Harley Davidson Dyna Glide


Mat Rempit dengan HDnya


Mak Long sebenarnya tidak begitu berminat dengan motorsikal walau apa juga jenisnya.  Seumur hidup sebelum ini hanya satu kali sahaja pernah memboncing motorsikal cabok Pak Teh Man, bapa saudara Mak Long.  Entah tahun berapa itu ... mungkin tahun 70an?!!!  Setiap kali bila pulang ke Texas, Harley Davidson itulah yang dibelek dahulu.  Setiap kali kami berada di luar negara Pak Long meninggalkan HDnya di rumah sahabat baik kami Mike dan Elaine Raymer.  Semenjak mengenal jenama hangat Harley Davidson, maka di situlah bermulanya era aktiviti memboncing motorsikal HD dalam hidup Mak Long hingga ke dewasa ini.


1998 Harley Davidson Softail Custom 

Dalam bulan Februari 1998, Pak Long mengambil keputusan menjual 1997 HDnya dan mengantikannya pula 1998 Harley Davidson Softail Custom warna biru gelap (sinister blue).  Yang mengelikan hati pula, orang yang membeli motorsikal itu kesahnya tidak tahu macam mana hendak menunggang motor dan sang isteri tidak tahu menahu suaminya sudah membeli motorsikal. Jadi kenalah Pak Long tolong hantar motorsikal itu ke rumah mereka di Houston.... jauh dari rumah kami.  Tidak tahu apa terjadi selepas itu....



1998 Harley Davidson Sportster

Pak Long bukan main pujuk lagi dan memberi dorongan agar Mak Long pergi belajar menunggang di sekolah memadu.  Entahlah tidak berminat benar hati Mak Long merempit!  Tetapi untuk menjaga hati Pak Long, setuju jugalah pergi kelas di kolej tempatan yang memberi khidmat memandu kenderaan dan menunggang motorsikal.  Di kelas Mak Long paling kecil dan terpendek!  Berbagai motorsikal yang ada semuanya besar, tinggi tidak sesuai hendak naik atasnya pun kaki pendek tidak jejak ke tanah....macam manalah hendak merempit.  Akhirnya belajar lisan sahaja.  Pak Long belikan sebuah Honda Ravel ...cantik warna merah.  Dialah tidak jemu-jemu ajar Mak Long merempit ha ha ha...bolehlah!  Hari-hari berlatih sampai boleh!  Di harijadi Mak Long dalam bulan Julai, 1998 Pak Long hadiahkan sebuah 1998 Harley Davidson Sportster baru sama warna dengan mortor dia.  Sportster ini terlalu berat bagi Mak Long walaupun model ini adalah terkecil dalam semua model-model HD.  Tempat duduknya juga direndahkan agar kaki si pendek ini boleh jejak ke tanah.  Dua kali Mak Long jatuhkan....aduh!  Nasib tidak kena timpa... OKkkkkkk..... Setakat itu Mak Long mesti ambil keputusan tidak mahu merempit...... jadinya memboncing di belakang sahaja sampailah ke hari ini tidak perlu risau apa-apa.  Kami jual sahaja Sportster, habis kesah!











NOTA:

Kekadang kita ingin mengembirakan hati orang yang dikasihi; tetapi sedihnya ada kala ia diluar keupayaan diri sendiri.  Malah ia menjadi seolah-olah kita memperbodohkan diri sendiri apabila ternyata itu hanya kerja sia-sia.








Sunday, December 2, 2012

Nota Negeri Taiwan (1998-1999)

Assalamualaikum.......

Ogos 1998 hingga Januari 1999 Pak Long mengikat kontrak dengan Syarikat Shaws bertugas untuk syarikat gergasi cari gali minyak dan gas Farmosa Petrochemical di Mai Liou, Taiwan.    Mak Long tinggal di Malaysia menguruskan hal keluarga dan anak-anak.  Apabila ada kelapangan sahaja baharulah Mak Long berpeluang mengikut Pak Long di Taiwan.  Tambahan tempat Pak Long bertugas bukanlah dalam bandaraya.   Mai Liou adalah kawasan baru yang diusaha-bangunkan oleh Farmosa Petrochemcial, sebagai pusat pengeluaran cari-gali minyak dan gas terbesar di Taiwan.  Tempat ini jauh dari bandaraya Taipei, ibu negeri Taiwan.  Dalam bulan September 1998 Pak Long datang mengambil Mak Long ke Taiwan beberbapa bulan di sana.  



Tok Kong di Mai Liou

Perjalanan dari bandaraya Taipei ke Mai Liou mengambil masa beberapa jam.  Hari kami sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Taipei sudah lewat malam, jadi kami bermalam sahaja di apartment milik Syarikat Shaws.  Kami meneruskan perjalanan ke Mai Liou pagi esoknya dengan taxi.  Mai Liou bandar kecil tetapi penduduknya sangat ramai.  Disini tidak ramai yang boleh berbahasa Inggeris.  Ramai pekerja-pekerja yang datang khas dari negara-negara asing seperti dari negeri England, Amerika dan lain-lain di situ untuk menyumbangkan khidmat kemahiran mereka.  

Tempat tinggal kami ialah sebuah apartment yang sangat selesa lengkap dengan perabut sekali.  Mak Long paling suka sekali ialah tandasnya yang istimewa.  Ia mempunyai funsi pemanas tempat duduk, pemancut air suam untuk cebok dan alat pengering ponggong.  Tidak perlu guna kertas tisue.  Paling tidak gemar ialah bantal orang Taiwan; semua bantal mereka keras seperti batu bata.  Mak Long buka dan jahit semula semua bantal-bantal kami dan keluarkan isinya mengikut kegemaran kami.  Seminggu sekali pihak penjaga apartment akan datang membersihkan tempat tinggal kami.  Makan dan minum disediakan tetapi kami tidak mengemarinya.  Makanan yang disediakan tidak halal dan tidak banyak pilihan bagi kami berdua selain dari sayuran dan buah-buahan.  Mak Long makan banyak magie mee dari Malaysia hingga naik muak!  Hari minggu kami ke bandar melihat-lihat kehidupan orang Taiwan.  

Bandar Mai Liou

Bandar Mai Liou ada persamaan seperti kebanyakan bandar-bandar (China town) yang terdapat di Malaysia.  Lalu lintas sentiasa sibuk, kotor dan banyak habuk.  Orang China di sini suka makan sirih, pinang dan tembakau pula dibuat songel.  Terdapat kesan air ludah di mana-mana sahaja di kaki lima bangunan, jalan raya dan parit.  Kotor!!!!   Banyak pondok-pondok kecil di tepi-tepi jalan, di sisir bangunan dan simpang jalan yang menjual bahan-bahan ini.  Mengingatkan Mak Long nenek-nenek tua saudara Mak Long biasa bersongel tembakau dan makan sirih, pinang dengan secalit kapur.


Pondok ini jual sirih, pinang dan tembakar


Pendudunya terlalu ramai dan keluasan tanah untuk perumahan mereka sangat terhad dan kecil.  Namun begitu mereka suka bercucuk tanam dan berniaga.  Tidak ada tanah kosong terbiar semuanya diusahakan dengan berbagai cara perhumaan padi, sayuran dan ternakan kecil-kecilan.  Orang China kuat dan rajin bekerja. 



Pemandangan di pasar basah di Mai Liou

Mak Long dapati orang Taiwan suka memandu kenderan laju seperti orang gila.  Undang-undang lalu lintas tidak dihiraukan.  Lampu isyarat bagaikan tidak siapa yang ambil indah.  Sudah tentulah kadar jumlah angka kemalangan lalu lintas sangat tinggi.  Setiap kenderaan terdapat kemik-kemik di sana sini kesan kemalangan.  Mak Long sungguh kecut dan kuatir setiap kali berada di dalam kenderaan.  Satu lagi yang tidak menyenangkan hati ialah pemandu-pemandu di sini mengamalkan bercakap kuat dalam talipon bimbit sambil memandu. Penduduk Taiwan juga ramai menunggang motosikal (scooter) sebagai kenderaan utama serta terdapat juga banyak  perkhidmatan bas awam dan taxi haram!





Bandaraya Taipei

Satu hari sahabat kami Ann Petit dan Mrs Cleo seorang wanita Perancik mengajak Mak Long pergi ke Taipei.  Sahaja jalan-jalan sementara suami kami sibuk berkerja.  Waktu pergi kami menaiki taxi tanpa sebarang masalah.  Di Taipei kami berjalan di mana sahaja kaki kami bawa.  Ann dan Mak Long sangat berhati-hati tidak makan makanan atau minum yang dijual dijalanan.  Kami dinasihatkan agar tidak sesuka makan di kawasan awam kerana bekalaan air belum tentu bersih tambahan banyak habuk berterbangan di udara.  Lain pula halnya dengan wanita Perancis itu.  Dia tidak kisah, bantai sahaja apa yang dia suka.  Antara tempat-tempat yang kami pergi ialah pasar jade.  Di sini macam-macam ada jual dan murah tetapi kena berhati-hati dengan barang tiruan seperti jade dan emas.  


Ann Petit dan Mrs Cleo wanita Perancis

Perjalanan balik ke Mai Liou tidak sebaik yang kami jangkakan.  Masaalah bahasa kami tidak dapat berkumunikasi dengan baik.   Semua papan tanda dalam bahasa dan tulisan China.  Tulisan cakar ayam!  Mujurlah ada seorang China yang kami temui boleh bercakap Inggeris sedikit dan memberi sedikit pertolongan.  Orang China di sini mereka tidak berapa suka menghulur bantuan kepada orang luar!  Apa pun sebab mereka begitu wallahwaklam....  Kami dapat menaiki bas yang membawa kami balik ke Mai Liou....aduhi lajunya bas itu dipandu.  Suami kami sudah bimbang dan hampir membuat repot polis kerana kami tidak sampai ke kediaman pada masa yang dijanjikan.  Hampir jam lapan malam baru kami sampai.   Ternyata kebimbangan di muka Pak Long.....



Pasar jade, Taipei

Pasar lambak, Taipei

Hanya selama tiga bulan sahaja Mak Long sanggup menemani Pak Long di Taiwan.  Selepas itu Mak Long balik semula ke Malaysia beberapa bulan sebelum pulang ke Amerika.







NOTA:

Lain tempat lain adatnya.











Saturday, December 1, 2012

Nota Melawat Korea

Assalamualaikum...

Tahun 1989 sekali lagi perniagaan Agrochemical Department meraih keuntungan yang lebih tinggi dari peruntukan belanjawan yang diagihkan kepada jabatan kami.  Sekali lagi kami berpeluang melancung ke negara asing.  Pernerbangan kami dijadualkan pada tahun 1990 dalam musim sejuk selama satu minggu lebih kerana ramai di antara kami yang belum pernah mengalami musim sejuk dan melihat salji.  Jadual pelancungan kami sungguh padat termasuklah satu hari bebas untuk membeli belah.  Kalau hendak dibandingkan zaman Korea tahun 1990 dan sekarang memang banyak perubahan.  Sudah tentu setengah dari tempat yang kami lawat mungkin sudah tiada lagi dan digantikan pula dengan bangunan yang lebih moden dan cantik dalam zaman kini dengan pembangunan yang sungguh pesat.  Apa-apa pun melalui dari gambar-gambar di bawah walau pun sudah bertahun-tahun Mak Long melawat Korea ialah sebuah negara yang disarankan untuk dilawati.



Agrochemical Department 1990
Dari kiri:  Soong, Ismail Yusoff, Lim Pendek, Muhammad Azmi, Bert Lim, Mak Long, George Vargese (di belakang), Laili, Heng Bak Meng, Rosmawati, Subramaniam, Abdul Kadir Karim dan Reginal Govindan

Sedang sarapan di hotel bersama Rosmawati 1990

Mak Long masih ingat lagi, di Lotte World walau pun di antara kami semua sudah bergelar ibu dan bapa, masing-masing meluahkan perasaan menampilkan gerak laku keseronokan dalam alam dan dunia keanak-anakkan tetap dirasai.  Kami bergambar dan bergambar sampai habis semua film yang ada.  Dulu-dulu digital camera belum ada lagi.  Sayangnya gambar-gambar banyak yang hilang dari simpanan Mak Long.

Lotte World 1990

Bersama Rosmawati 1990

Di Gyeonju kami dibawa melawat ke museum perkuburan (Burial Mounds) dan di sini juga banyak terdapat pokok cherry blossom.  Sungguh cantik bunga cherry blossom.  

Kami juga melawat beberapa buah istana lama di antaranya ialah istana Kyongbok.

1990

Kami dibawa melawat ke stadium di mana Olympic Games tahun 1988 diadakan.  Walaupun cuaca kurang baik, hujan renyai dan sejuk kami seronok berpeluang melihat tempat ini.



1990


Kami berpeluang pergi ke Pulau Jeju dan menekmati angin laut serta bermalam di situ selama tiga malam.  Di tepi pantai kami bertemu dengan beberapa orang penyelam wanita yang sangat handal.  Mereka menyelam tanpa mengunakan sebarang bekalan oxygen.  Kami difahamkan oleh pemandu pelancung, suatu masa dahulu wanita Korea awam berkerja di luar rumah membanting tulang dengan bertani, menangkap ikan di laut dan sebagainya menanggung keluarga sedangkan orang lelaki duduk tiada membuat sebarang perkerjaan di rumah.  Penyelam-penyelam itu memberi kami makan hirisan nipis sotong yang mereka tangkap dari dasar laut dan kami cicah dan makan dengan kimchi.  Rasanya biasa sahaja kerana Mak Long tidak bergitu berminat memakan makanan mentah.


Di sana kami juga dibawa melawat ke air terjun Cheonjiyeon dan Halla-san gunung tertinggi di Korea Selatan di mana kesan-kesan lubang (volcanic crater) besar yang ditinggalkan oleh letupan gunung berapi.

Hari ketiga di Pulau Jeju sebelum terbang semula ke Seoul kami dibawa melalui sebatang jalan anih "Mysterious Road of Jejudo - twilight zone".  Jalan ini memanjat bukit tidaklah tinggi sangat.  Sampai sahaja di bahagian bawah jalan pemandu bas berhentikan enjin bas.  Yang anihnya bas itu terus bergerak memanjat bukit!  Seseorang mencurahkan air di atas jalan dan didapati air itu mengalir ke atas.




1990


Mak Long seronok melancung ke Korea dan kalaulah ada peluang lagi rasanya tidak akan lepaskan peluang itu.  Ketika lawatan kami masalah yang kami hadapi adalah bahan permakanan kerana tidak banyak menyediakan makanan halal.  Mungkin kini sudah tidak begitu bermasalah, tentunya sudah bertambah umat Islam di sana.  Kami kembali ke tanah air dengan membawa kenangan manis dari Korea.







NOTA:

Kegigihan berusaha dalam sesuatu bidang tanpa mengenal jemu memberi kejayaan yang dicari.