Pages

Monday, July 21, 2014

Nota Hari Kelahiran



Assalamualaikum,


Menapak Menuju Ke Hujung Jalan



Hari kelahiran ialah hari istimewa dimiliki setiap insan yang dilahirkan ke dunia ini dengan saat dan tarikh-tarikh yang ditentukan oleh NYA.  Ada yang sama atau berlainan saat dan tarikhnya.  Ada orang menyambut hari kelahiran setiap tahun samaada sambutan sederhana atau besar-besaran.  Ada juga yang tidak pernah menyambut hari istimewa tersebut atas sebab-sebab sendiri.  Menerima hadiah pemberian dari keluarga dan sahabat.  Buat hati penerima gembira tentunya.


Zaman Mak Long dulu-dulu tidak pernah ambil pusing tentang hari kelahiran.  Tidak pernah ambil tahu pun makna hari istimewa itu.  Tidak pernah pun merayakan hari istimewa itu.  Tidak pernah pun terima ucapan selamat hari kelahiran atau hadiah.

Kini, perjalanan hidup sudah berubah sejak mendirikan rumah tangga.  Tarikh kelahiran ahli keluarga eloklah diambil kira dan diingati untuk mengiratkan hubungan silaturrahim kasih sayang keluarga dan orang yang dikasihi.  

20hb Julai ialah hari istimewa buat Mak Long.  Mak Long sungguh bersyukur punyai keluarga yang perihatin.  Suami dan anak-anak tidak pernah melupai hari kelahiran Mak Long.  Diri ini terasa diperlukan setiap masa membuat hati tenang dan bersyukur ke hadratnya.  Alhamdulillah...Allah hu akbar... 


Thursday, July 10, 2014

Nota Jalan-jalan (5) - Utara Illinois

Assalamualaikum,

Tarikh 10hb Mei, dari rumah Ernie kami teruskan perjalanan menuju ke Daerah Joliet letaknya di utara Illinois.  Perjalanan mengambil hanya lebih kurang 3 jam lebih.  Keadaan di sepanjang perjalanan sama dengan pandangan tanah pertanian, masih banyak lagi tanah ladang yang belum dibuat persediaan untuk penanaman.  Arah perjalanan kami kali ini menuju ke rumah sahabat lama Pak Long.  Mereka berdua telah pun membuat temujanji untuk menggunjungi rumah sahabatnya.  Cuaca hari itu dingin walau pun matahari sudah bersinar tinggi dan kami selamat sampai ke rumah sahabat Pak Long tengah hari itu tanpa masaalah.  Alat GPS memanglah canggih mampu menunjuk arah jalan dengan betul.  Dick dan Aileen Smith begitulah nama sahabat Pak Long.  Kami disambut sungguh mesera walaupun Mak Long tidak pernah bertemu mereka.  Pak Long memberi tahu, Dick pernah bekerja bersamanya suatu masa dahulu di Kentucky dan mereka berkawan baik.  

Mereka beria-ia sangat mengajak kami bermalam di rumah mereka malam itu dan kami terima dengan senang hati.   Seronok juga bersembang-sembang dengan Aileen.  Beliau bijak melayan tamu membuat kami berasa selesa.

Amboi, cantiknya rumah baru mereka, bersih bersinar lantai batu  mar-mar dengan perabut serba mahal.  Sekeliling rumah pula ditanam dengan rumput tebal menghijau segar dan luas kawasannya.  Rumah mereka terletak di pinggir tasik kecil di mana penduduk di situ boleh bersantai tanpa gangguan, mengail ikan atau berihat mengayoh perahu kecil tanpa gangguan.  Di bahagian belakang rumah pula Dick mendirikan sebuah pondok khas untuk berihat atau melayan tetamu yang berkunjung ke rumahnya.  Kemas kerja pertukangannya.


Rumah Kediaman Dick & Aileen Smith


Tasik Kecil 


Tasik kecil di belakang rumah Dick Smith.  Ia adalah sebuah kelumpuk kediaman mewah yang cantik dan tenang keadaan sekeliling.







Mereka telah menyediakan bilik tidur khas untuk kami dengan pemandangan dari jendela menghadap tasik.  Bilik mandinya juga istimewa dilengkapi dengan kolam jakuzi.  Bilik untuk mandi pula dikelilingi dengan dinding kaca buat hati kurang senang pula untuk membersikan diri.



Dick & Aileen Smith

Pasangan ini nampak bahagia dan tinggal di rumah besar yang cantik.  Kebetulan Aileen mempunyai kegemaran hobi yang sama dengan Mak Long…. berkarya seni membuat quilt.  Beliau telah menunjukkan beberapa helai quilt yang telah dibuatnya.  Cantik semuanya dengan pilihan warna ceria.  Seperti Mak Long, beliau juga tidak berminat menjual quilt-quilt yang dibuat.  Quilt yang sudah siap katanya disimpan atau dihadiahkan kepada keluarga terdekat.  Kami berjanji akan berhubungan selalu, bertukar fikiran serta berkongsi rekaan yang kami reka dan temui dari majalah atau buku. 

Keesokan paginya selepas sarapan pagi dengan segelas jus oren, secawan kopi pekat dan sekeping roti bakar Mak Long sudah bersedia untuk menghadapi hari itu dengan rasa lebih bersemangat.  Susah betul hendak berpisah dengan pasangan Dick dan Aileen sahabat Pak Long itu.  Ada-ada sahaja yang hendak diceritakan oleh mereka sejak malam lagi.  Sungguh ramah dan baik hati mereka.  Kami terpaksa menolak bekalan yang hendak dibekalkan kepada kami.













Wednesday, July 2, 2014

Nota Jalan-jalan 2014 (4) - Illinois

Assalamualaikum,

Bertarikh 9hb Mei, 2014 pagi-pagi selepas kemas-kemaskan barang-barang ke dalam bag dan sarapan pagi bersama keluarga Betty dan John kami bertolak pula menghala ke Illinois.  Cahaya matahari pagi itu sungguh cantik walaupun sedikit dingin.  Perancangan perjalanan ini pula menziarahi adik lelaki Pak Long bernama Ernie Lonas dan isterinya Brenda.

Seperti yang telah lalu kami tidak menggunakan lebuhraya.  Kami mengikut jalanraya melalui pendalaman lebih seronok lagi walaupun mengambil masa yang lebih panjang.  Mata puas memandang menikmati keadaan suasana kampung yang damai.  Sepanjang perjalanan ini penduduknya adalah petani.  Tanah yang diusahakan terlalu luas sayup mata memandang hingga ke kaki langit.  kali ini kami melalui bahagian utara Negeri Louisiana.

Kami berhenti di Pike, Illinois sebentar.  Mak Long tidak lepas peluang mengambil gambar "Court House" atau bangunan mahkamah bandar itu.  Tiap-tiap buah bandar mesti ada "Court House".  Kebanyakan "Court House" adalah bangunan lama yang dibina khas untuk itu.

Court House, Pike, Illinois

Di sepanjang kiri dan kanan jalanraya dalam perjalanan kelihatan banyak kolam-kolam berair, ada yang besar dan ada pula yang kecil.  Mak Long diberi tahu dahulu ketika kerajaan mula-mula membina jalanraya di Illinois, mereka mengali kolam-kolam di sepanjang jalan.  Tanah dari galian itu digunakan untuk menambak tapak jalanraya agar tinggi dari aras tanah.  Petani-petani di kawasan ini telah mula mengerjakan tanah dan ladang mereka.  Jalanraya yang kami lalui tidak banyak pokok atau rumput menghijau seperti tempat yang kami lalui dahulu.  Kawasan di sini dihiasi dengan tanah dan ladang pertanian.

Jalanraya Di Illinois

Rumah Petani

Kawasan rumah petani-petani di sini kelihatan kemas dan bersih.  Jarang nampak rumput atau pokok liar berserabut di keliling rumah.  


"Silo" Tempat Menyimpan Hasil
Jagong atau Kacang Soya

Kami sampai di rumah Ernie hampir jam 11 pagi.  Ernie anak ketiga dari keluarga Burkhart tetapi sayang, beliau  dan Betty ketika kecil mereka telah diserah penjagaan kepada keluarga lain sebagai anak angkat.  Kerana itulah nama keluarga Ernie dan Betty berlainan dari Pak Long.  Ibu bapa Pak Long berpisah ketika mereka masih kecil lagi.  Di sini apabila seseorang itu menjadi anak angkat nama keluarga asal ditukar kepada nama keluarga angkat.  Ernie bertugas sebagai pilot helikopter hospital di Champagne sedang isterinya pula seorang jururawat bertauliah.  Kami bermalam hanya satu malam sahaja di rumah Ernie.  Niat asalnya kami bercadang tinggal lebih lama lagi.  Tetapi oleh kerana alahan yang Mak Long alami disebabkan bulu kucing dan anjing dalam rumah mereka membuat Mak Long batuk teruk dan tidak boleh bernafas.  Tambahan bermasaalah untuk menunaikan kewajiban diri kepada Illahi.


Ernie Lonas


Malam itu Ernie dan isterinya membawa kami makan malam di sebuah restauran makanan laut.  Kami berbual panjang tentang keluarga, kesah-kesah lama tentang mereka adik beradik.  Dalam mendengarkan cerita-cerita mereka Mak Long dapat memahami lebih baik tentang sebuah keluarga yang berlainan agama, adat dan masyarakat.  

Sebagai abang yang lebih tua pula Pak Long berpesan kepada adiknya, "Berhentilah dari minum dan merokok!  Rokok dan minuman keras tidak bagus untuk manusia…  "  Mereka suami isteri merokok dan minum minuman keras.  Bertugas untuk orang ramai di hospital difikirkan tentulah mengetahui padah buruknya  merokok dan minum minuman keras yang berlebihan.



Ernie dan Brenda

Walaupun hanya semalam bersama-sama mereka, Pak Long puas hati dapat bertemu dengan adiknya Ernie dan isterinya.  Mereka jarang bertemu.  Sempat jugalah Brenda membawa Mak Long pergi ke sebuah kedai terbesar yang menyediakan pelbagai jenis  bahan perkebunan, bunga, bahan lama, bahan hiasan rumah dan macam-macam lagi.  Yang paling Mak Long gemar sekali adalah tanaman dan bunga yang dipamirkan di situ.


Bakul Bunga Gantung


Bakul Bunga Gantung Bentuk Bocong (1)

Bunga Gantung Plastik Panjang (2)



Mak Long tertarik dengan cara mereka mengubah dan menanam bunga dalam bakul bentuk bocong (gambar 1) untuk digantung.  Bocong itu diperbuat dari jerami padi atau gandum diimpot dari Negeri China.  Kelakarkan!  Banyak pelbagai bahan didatangkan dari Negeri China.  Keduanya (gambar 2) mereka guna bag plastik panjang lebih kurang empat atau lima kaki panjangnya.  Bag plastik ini diisi tanah hitam kemudian dibelah tiga atau empat liang melintang kemudian dari belahan itu ditanam pokok bunga petunia.  Cantik! Dan idea yang baik sekali.  Mungkin musim bunga tahun hadapan Mak Long boleh cuba buat begitu supaya tidak diganggu rusa liar kawasa kediaman kami.





Bunga ini sangat wangi baunya.  Banyak terdapat di kawasan rumah Ernie.  Brenda telah memetik dan dibuat jambangan di atas meja dapur.  Bukan main semerbak wangi seluruh rumah.  Lupalah pulak nama dan jenis bunga ini walau sudah diberitahu.






Setelah siap berkemas dan bersarapan pagi di sebuah restauran berhampiran rumah Ernie, kami teruskan perjalanan kami ke arah daerah Juliet menziarahi sahabat lama Pak Long.  







Saturday, June 14, 2014

Nota Jalan-jalan 2014 (3) - Kingsville, Missouri

Assalamualaikum,

7hb Mei, 2014 hari Rabu adalah hari ke tiga dalam siri Jalan-jalan 2014 kami.  Bermalam dan berihat tanpa gangguan di RV milik Salma dan Bill Beach, mengembalikan kesegaran tenaga kami.  Sudah berumur badan semakin lemah memerlukan rihat lebih sedikit.  Duduk sebelah Pak Long dalam truck pun penat.  Di luar RV mereka gelap melainkan sinaran bulan yang samar-samar cahayanya, tiada lampu menerangi kawasan, dan tiada kebingaran kenderaan lalu lalang menganggu kesunyian perkampungan.

Kami bertolak dari kediaman Salma meneruskan perjalanan menuju ke Kingsville, Missouri. Pak Long sudah merancang hendak singgah melawat adik bungsunya Betty Lou di sana.  Perjalanan mengambil selama lebih kurang enam jam melalui jalan biasa menyusur perkampungan dan bandar-bandar kecil.  Bagi Mak Long dengan cara begini, pendekatan dan mengenali cara hidup orang tempatan lebih jelas dan menepati dari yang selalu dibaca melalui akhbar, radio atau TV.

Sepanjang perjalanan itu Mak Long lihat pemandangan lakdskap tidak begitu banyak perbezaan.  Rumput dan tumbuhan semua sudah menghijau menebal.  Begitu juga pokok-pokok baharu sahaja mengeluarkan pucuk-pucuk halus menjonggol menghijau di dahan.  Semakin jauh perjalanan kami ke bahagian utara, keadaan cuaca lebih dingin dari Oklahoma.  Kebanyakan tanah ladang masih terbiar belum diusahakan lagi untuk bertaman.



Gambar di atas ialah Bandar Coffeeyville satu daripada bandar kecil yang kami lalui.  Kebanyakan bandar-bandar itu mempunyai bangunan lama yang sudah dibaik-pulih dan digunakan semula.

Hampir pukul 3.30 petang baharulah kami sampai di rumah Betty Lou.  Betty menyambut mesera kedatangan kami.  Tampak kegembiraan di air muka adik and abang bila bertemu.  Betty adalah anak bungsu dalam empat orang adik beradik seibu sebapa.   Ibu Pak Long kelahiran anak bumiputera dari keturunan salah satu dari puak "Red Indian" sedangkan bapa mereka pula berdarah keturunan German.  Walau pun Mak Long tidak pernah bertemu dengan ibu dan bapa Pak Long, tetapi wajah Betty 100% mempunyai nilai-nilai sifat puak orang Red Indian; terutama bentuk hidungnya seperti paroh burung helang dan matanya yang tajam bila merenung.

Betty memberi pilihan kepada kami samaada mahu tidur di bilik sebelahan biliknya atau di "basement" di bahagian bawah rumahnya.  Pak Long cepat-cepat jawab "basement"!   Penduduk di sebelah sini kebanyakan mempunyai rumah berbasement.  "Basement" ialah bilik luas di tingkat bawah rumah berdindingkan tanah.  Lazimnya basement digunakan sebagai tempat menyimpan barang sebagainya dan tempat perlindungan dari tiupan angin pusing tornado.  Basement di rumah Betty dilengkapi dengan perabut, katil, TV dan bilik mandi.  Suhu di sini dingin tidak memerlukan mesin pendingin.  Kami tinggal di sini selama dua hari.  Yelah Pak Long jarang dapat bertemu dengan keluarganya, sekali-sekali bertemu biarlah lama sedikit.     

Suaminya John sudah mula berhuma di sebelah rumahnya menanam sayauran seperti bawang, tunip, kacang boncis, strawberry dan lain-lain.   Pendeknya mereka tidak perlu ke pasar membeli sayuran.  Sayur dan buah yang tidak termakan akan dibekukan atau dibuat jerok dan jam.  Pendeknya hasil dari tanaman tidak terbuang.  John memiliki beberapa traktor sendiri untuk bertani.  Di dalam "barn" atau bangsal dalam bahasa Melayu yang penuh macam-macam perkakas dan alat untuk bertani dan bengkil.  Barn itu lebih besar dan luas saisnya dari rumah mereka.      


Traktor
Traktor dalam gambar di atas telah dibaik pulih dan ada tiga buah lagi yang serupa.  Satu daripadanya sedang diperbaik pulih.  John mempunyai kemahiran untuk memperbaiki jentera justeru tidak perlu mengupa mengupah orang lain yang sudah tentu akan memakan belanja yang besar.  



Traktor


Strawberry baru sahaja menjonggol

Bawang dan tunip

Dalam gambar di atas adalah sebahagian dari tanaman yang John usahakan.  Gambar di bawah pula sebuah kolam besar dan luas di belakang rumah digunakan sebagai tempat lembu ternakan minum.  Di kolam ini juga ada beberapa jenis ikan air tawar ditempatkan.  Apabila ada kelapangan untuk bersama-sama keluarga mereka sering memancing dan berkelah di tepi kolam.  Ikan yang berjaya dipancing dilepaskan semula ke dalam air.  Mereka tidak makan ikan-ikan itu.  



Kolam

Ikan yang ditangkap dilepaskan semula

Tanaman utama di ladang keluarga adalah jagong yang diupah kepada seorang peladang lain untuk diuruskan.  Gambar di bawah tanah masih belum dibajak lagi.  Biasanya apabila sampai masa untuk penyemaian benih, peladang yang mengerjakan akan membajak dahulu kemudian menabur benih biji jagong dengan menggunakan kapal terbang khas untuk menabur benih dan baja.


Ladang Jagong

Ladang Jagong



Kawasan ini (gambar atas) dulunya sebuah paya kecil dipenuhi dengan rumpai dan air.  Penanaman tidak dapat dikerjakan kerana keadaan tanah begitu.  Baru-baru ini kawasan itu telah ditimbus bahagian atas dan di bawahnya dijadikan sebagai kolam menyimpan air yang disalurkan pada tanaman.

Betty dan John bawa kami menonton satu perlawanan "soft ball" di Lone Star Elementary School  iaitu sekolah di mana cucu mereka Twilla dan Tori bersekolah.  Sebelum pergi, kami dijamu makan ringgan…sandwich sayur dan keju.  Dalam kereta sudah tersusun empat buah kerusi lipat untuk kegunaan di padang sekolah nanti.  Permainan mula jam enam petang.  Sesampai sahaja kami di padang sekolah, masing-masing bawa seorang satu kerusi lipat ke tempat perlawanan.  Belum pun sempat kami duduk, Brenda bersama ke dua-dua anaknya Twilla dan Tori datang memelok kami dengan mesera.  Anak-anaknya sungguh manja dan petah bercakap.  Brenda ialah anak perempuan Betty dan John.  Petang itu Tori dengan pasukannya masuk berlawan "soft ball".  Tangkas juga budak ini bermain.  



Betty Lou Dan John Oliphant

John, Betty Lou, Pak Long Dan Sandi the dog

Pihak keluarga dan guru-guru sekolah di sini memberi galakan penuh kepada anak-anak mereka bersukan.  Ibu bapa dan guru berusaha keras memenuhi apa juga keperluan anak-anak baik dari segi pembelajaran mahu pun kesukanan.  

Mak Long teringat masa kecil-kecil dahulu.  Apabila ada majlis sukan sekolah, jarang keluarga hendak datang melihat untuk memberi sokongan kepada anak-anak pergi berlatih sukan.  Pada hari majlis sukan diadakan pun tidak ramai ibu bapa dan keluarga datang.












Saturday, May 24, 2014

Nota Jalan-jalan 2014 (2) - Oklahoma

Assalamualaikum,

Dari Dallas iaitu hari kedua dalam siri Jalan-jalan 2014 kami pada 6hb Mei, kami mulai perjalanan menuju ke Oklahoma.  SH balik ke rumahnya pagi-pagi lagi selepas subuh bersedia untuk ke pejabatnya.  Dalam masa hendak cepat SH tertinggal kaca matanya.  Orang muda kalau tidak kelam kabut tidak sah gamaknya!  Sebelum kami meneruskan perjalanan ke Oklahoma pagi itu, kami singgah di rumah SH menghantar kaca matanya.  Ketika kami sampai di rumahnya, SH sudah pun pergi kerja, jadi Mak Long letakkan kaca matanya dalam bag plastik dan gantung pada tombol pintu.  Se kuntum bunga ros kuning wangi sermerbak terletak di hadapan pintu untuk Mak Long dengan nota "Untuk Mom, Selamat Hari Ibu".  Tersenyum lebar Mak Long dapat sekuntum bunga cantik sambil mencium baunya yang amat wangi.  Dalam hati berbisik "I am one a lucky Emak!" - Mak Long berasa bersyukur dan bertuah.

Rancangannya perjalanan ke Oklahoma hari tersebut adalah untuk berkunjung ke rumah seorang sahabat lama Mak Long semasa di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru.  Sejak berpisah selama lebih empat puluh lima tahun iaitu setelah tamat persekolahan dari sekolah tersebut kami tidak pernah bertemu dan bertanya khabar.  Alhamdulillah akhirnya kami dapat juga menyambung semula perhubungan yang terputus secara tidak langsung melalui Facebook.  Sebenarnya kami sama-sama berusaha mencari dan menghubungi semula sahabat-sahabat lama.  Dalam umur yang terlalu muda kami sama-sama membesar dan menuntut di bawah satu bumbung seperti adik beradik di sekolah berasrama penuh.  Hubungan siraturrahim antara kami terjalin rapat.  Tidak heranlah antara kami semua sering teringat sahabat-sahabat sekolah.  Dulu-dulu manalah ada kemudahan talipon bimbit  dan khidmat laju sesawang yang serba cangih sekarang.  Semua terpaksa tulis surat menyurat bila hendak bertanya khabar.  Kenderaan pun tidak semudah ada seperti sekarang kalau ingin berkunjung tempat.  Sahabat yang Mak Long maksudkan itu ialah Salma kini menetap di Oklahoma bersama suaminya seorang anak tempatan Amerika.  Salma lebih muda dari Mak Long.  Sejak dapat berhubung semula kami erat kembali.  Perjalanan dari Dallas ke Seminole, Oklahoma mengambil masa lebih kurang lima jam lebih dengan kereta.

Kami sengaja tidak menggunakan lebuhraya sebaliknya menggunakan jalanraya biasa sahaja.  Kadang-kadang kami melalui perkampungan, juga bandar dan pekan kecil.  Setelah kami melepasi sempadan Texas dan Oklahoma, landskap dan suasana negeri itu sungguh cantik.  Rumput tebal menghijau seperti permaidani terbentang luas sayup mata memandang.  Di situlah ribuan ekor binatang ternakan meragut rumput tampa gangguan.  Sedangkan pepohon pula mula menjongolkan putik-putik hijau berpucuk lebat menyambut kedatangan musim bunga.  Rata-rata kawasan pinggiran Oklahoma penduduknya petani moden menanam gandum, jagong dan kacang soya dan lain-lain jenis pengeluaran tanaman.  Tahun ini nampaknya mereka menanam lebih banyak jagong dan gandum.  Menurut Pak Long setiap tahun petani-petani menukar jenis tanaman, umpamanya tahun ini mereka tanam jagong dan gandum, tahun hadapan pula mereka tanam kacang soya.  begitulah seterunya.  Selain dari bertani ramai juga yang jadi penternak lembu dan kambing.



Padang Ragut Untuk Lembu

Kebiasaan penternak dan petani menanam sejenis rumput khas untuk permakanan binatang ternakan mereka.  Dalam musim panas rumput ragut kering dan mati begitu juga dalam musim sejuk kerana suhu telalu sejuk dan salji.   Rumput yang sudah matang tumbuhnya akan dipotong dengan mesin dan dijadikan bentuk gulungan bulatan atau empat persegi dipanggil "hay." 


Padang Ragut Dan Hay

Salma menelipon beberapa kali ketika dalam perjalanan bertanya sudah sampai dekat mana dan dia terlalu bimbang kalau-kalau kami tersesat.  Kami berjanji bertemu di sebuah stesen minyak Shell apabila sampai di kawasan Seminole di mana beliau menunggu ketibaan kami.   Di benakan Mak Long membayangkan kenalkah lagi bila bertemu?  Kami sampai lebih awal darinya.  Kami menunggu Sal (nama pendeknya) sehingga dia sampai, rasa tidak sabar bukan main Mak Long ni.

Lebih kurang lima minit kemudian Sal pun sampai dengan kereta warna hijau.  Kami sama-sama sebak bercampur gembira dapat bertemu semula setelah sekian lama.  Tidak susah mengenalinya, nyata tidak banyak perubahan pada wajahnya.  Kami berpelukan, bersyukur dan gembira teramat dapat bertemu kembali.  Ketika itu Mak Long teringat wajahnya ketika ia di zaman remaja dahulu.  Mudah tersenyum, berani dan bijak walaupun sedikit pendiam.

Mak Long seronok sangat naik kereta Sal.  Nasiblah Pak Long bawak truck sendirian di belakang kami.  Kami tidak sabar hendak bercerita macam-macam dulu dan sekarang.  Jalan ke rumahnya adalah jalan batu merah belum ditar lagi.  Pohhhh.. debu tebal berterbangan walaupun Sal bawa kereta perlahan.  Nasiblah Pak Long di belakang!


Jalan NS3640

Akhirnya sampai juga kami ke rumah Sal.  Suaminya Bill sudah sedia menunggu di hadapan rumah.  Beliau nampaknya seorang yang baik dan peramah, kami dipersilakan masuk ke rumah mereka.  Walau pun kali pertama kami bertemu dengan Bill, beliau membuat kami berasa selesa.  Mereka menawarkan tempat dan bilik khas untuk kami    di RV milik mereka berhampiran dengan rumah iaitu sebuah "trailer home".  RV ialah sejenis "caravan" yang boleh dicangkok pada belakang truck supaya boleh dibawa/heret di jalanraya ke merata tempat.  Besar juga RV itu, dilengkapi dengan bilik tidur, bilik air, tempat memasak kecil dan ruang tamu.  Bill memasang kuasa gas untuk memanaskan air mandi dan menyejukkan hawa dingin sementara Sal pula menyediakan segala keperluan untuk kami.  Mak Long belum pernah tinggal dalam RV, inilah kali pertama pengelaman baharu.  Yaa .. Mak Long seronok tidur di dalamnya dan berasa sangat selesa.

RV Home

Pandai Bill melayan Pak Long dan mengajaknya melihat kawasan tanah kediaman mereka dengan dua buah kenderaan lasak dipanggil "Four wheeler" seorang satu memandunya.  Pak Long pula nampak "ngam" dengan Bill walaupun baharu sahaja berkenalan.  Apabila Bill dan Pak Long pulang giliran kami pula mengelilingi kawasan kediaman mereka.  Mak Long tidak berani bawa "four wheeler", jadi Sal sahaja pandu dan Mak Long duduk di belakannya.  Seronok bukan main lagi.  Di kawasan tanahnya terdapat sebuah kolam ikan, berbagai jenis pokok liar meredupkan kawasan, reban ayam dan kawasan meragut rumput untuk kambing.  Pak Long pula berminat benar melihat beberapa buah traktor Bill di bangsal.  Seronoknya, kawasan rumah mereka seolah-olah sebuah zoo kecil.  Mereka berdua rajin berkebun kecil-kecilan di tapak tanaman sayuran.  Hidup mereka bahagia, dan semuga terus bahagia hingga ke akhir hayat.  

Kemudian Bill dan Pak Long bersama-sama pergi membantu seorang kawan Bill yang meminta bantuan di 'ranch'nya yang tidak berapa jauh dari rumah Sal.  Mak Long senyum senang hati sendirian melihat mereka.  Setelah mereka berdua pergi hanya tinggal kami berdua sahaja.  Kami bersembang dan bercerita tentang kesah masing-masing dalam hidup kami yang telah kami lalui sejak habis sekolah.  Kami tergelak dan ketawa bila ada yang lucu.  Rasa tidak cukup masa bercerita!  Sal tidak lupa menunjukkan sekeliling rumah dan dua buah garage yang penuh dengan pelbagai benda.  Orang lelaki Amerika kalau tidak simpan benda-benda besi, kayu, tracktor tidak lengkap hidupnya!  


Asparagus

Berbagai jenis sayuran yang ditanam, antaranya asparagus, bawang, kacang panjang, timun, tomato dan lain-lain lagi.  Malam itu kami makan asparagus goreng dari kebun mereka.  Memang enak makan sayur yang baru dipetik, manis dan segar.


Kambing --- Embekkk!

Menurut Sal semasa beliau pulang ke Malaysia, Bill memberitahunya beliau telah membeli tiga hadiah pemotong rumput untuk Sal.  Sal tidak sabar ingin tahu apakah hadiah untuknya.  Setelah Sal kembali semula di Oklahoma rupa-rupanya hadiah itu adalah tiga ekor kambing!  Dari tiga ekor kambing dalam setahun telah menjadi lebih sembilan belas ekor kambing peliharaan.  Cepat membiak rupanya membela kambing..  Sal tidak berminat menjual atau menyembelih kambing-kambingnya.  "Sayang dan tidak sampai hati nak sembelih!" katanya.

Kambing

Gelagat binatang peliharaannya sangat menghiburkan dan kami leka melihat mereka.


Sal bersama Max

Oleh kerana tinggal jauh dari bandar, mereka membela dua ekor anjing dalam kawasan untuk menjaga keselamatan.  Anjing mereka reti bahasa dan ikut kata tuannya.

Yang paling indah sekali di petang hari itu ialah pemandangan waktu senja penamat siang, ketika matahari terbenam di ufuk barat..  Nah… saksikanlah ciptaan Allah… Subhanallah!!



Ufuk Senja Di Oklahoma

Esoknya pagi-pagi lagi selepas solat Subuh kami sudah bersiap untuk meneruskan perjalanan kami seterusnya.  Dingin juga waktu pagi di awal musim bunga, terpaksa Mak Long sarongkan baju panas nipis.  Kami keluar dari RV menuju ke rumah, Sal dan Bill sudah siap membuat sarapan pagi.  Bill masak pancake sedap, habis empat keping Mak Long makan…tak malu!

Hampir pukul 9.30 pagi Pak Long beri isyarat sudah siap masukkan beg kami dalam truck.  Mak Long peluk Sal irat, rasa tidak mahu berpisah.  Bilalah dapat peluang dan rezeki bertemu kembali...?  Semuga dapat jumpa lagi…. Selepas mengucapkan ribuan terima kasih atas layanan mesera mereka menerima kedatangan kami; kami pun bertolak menuju ke Missouri.  Jauh lagi perjalanan kami…..


Bill dan Sal Beach












Sunday, May 18, 2014

Nota Jalan-jalan 2014 (1) - Dallas

Assalamualaikum,

Kata orang tua-tua dahulu "jauh perjalanan, banyak pengelaman".  Bagi Mak Long perpatah itu ada betulnya.  Semakin banyak kita merantau dan melawat ke tempat orang, lagi banyak pengetahuan dan pengelaman diperolehi.  Bukan setakat itu sahaja malah dapat memahami cara hidup dan pemikiran manusia seberang ... bangsanya, agamanya, adatnya serta kebaikan yang boleh diambil guna dalam hidup kita amnya. 

Tahun ini kami memulakan perjalanan sambil menziarahi puteri SH di Dallas, sahabat sekolah Mak Long, sahabat Pak Long dan keluarga sebelah Pak Long meliputi beberapa buah negeri iaitu, Missouri, Oklahoma, Illinois, Indiana dan Kentucky.  Dalam siri ini Mak Long akan menulis setiap satu negeri yang dilawati dan pengelaman serta pengajaran yang diperolehi.'

Perjalanan kami bermula pada tarikh 5hb Mei, hari Isnin mengunjungi puteri SH di Dallas.  Minggu itu adalah minggu terakhir beliau bertugas sebagai Junior Designer di Syarikat Dement Designs, Dallas.  Puteri SH menerima tawaran memulakan kerjaya baharu di Syarikat RTKL, Dallas mulai 12hb Mei lepas.  Kerjaya yang diidam-idaminya sejak di bangku sekolah lagi.  Doa Mak Long semuga buah hati berjaya dalam kerjayanya dan sentiasa bersyukur atas rahmat dari Allah yang maha kaya dan maha pemberi.  Malam tersebut SH bermalam bersama-sama kami di hotel.  SH mengajukan beberapa perkara isu kerjaya barunya juga serba serbi tentang mengurus kewangannya dari kami.  Pak Long banyak memberi tunjuk-ajar dalam serba isu menghadapi hidup yang serba pantas dan mencabar.

Seminggu sebelum kami ke sana, Mak Long telah membuat temujanji dengan seorang sahabat baharu berkulit hitam manis, anak kelahiran dari Pontian, Johore, Hafisah Bayfield.  Kami mula berkenalan melalui sesawang Facebook dalam satu kumpulan dipanggil "MMM" (Malaysian Mixed Marriage).  Feza nama pendeknya tinggal di Arizona dan kini berpindah pula ke Dallas menjalankan perniagaannya sendiri.  Kami berjanji bertemu di Fairfield Hotel di mana Mak Long menginap malam itu.  Feza datang ke hotel bersama sahabat serumahnya Sha kemudian kami ke sebuah Denny's Restaurant  yang berhampiran dengan hotel.  Kami berbual panjang sambil berkenalan lebih rapat lagi.

Hafizah Dan Aisha (Sha)

Menurut Feza, ia datang ke Amerika hanya berbekalkan dengan dua buah bag pakaian sahaja.  Berhijrah untuk memulakan kehidupan baharu di negara orang yang belum tentu menemui apa yang dicari.  Berbekalkan keberanian mahu mencuba kelainan dalam hidup serta pengetahuan dan penggelaman yang ada pada dirinya, Feza memulakan perniagaan sendiri secara kecil-kecilan.  Menurunya kalau mahu berjaya dan rajin berusaha semua boleh dilakukan.  Yang penting sekali ialah kecekalaan yang padat di hati, berani tidak mahu tunduk kepada kekalahan atau kegagalan.

Sha atau Aisha pula seorang keraayatan Singapura.  Suaminya keturunan China juga orang Singapura menetap di Dallas.  Mereka mempunyai hanya seorang anak gadis.  Menurutnya pada awal ia berhijrah ke Amerika beliau menuntut di Amerika sementara suaminya bertugas untuk rezeki keluarga.

Pengajaran yang Mak Long perolehi darinya, adalah kepercayaan pada diri sendiri untuk mencuba sesuatu kelainan dalam hidup yang baharu umpama mecari rezeki yang halal.  "Di mana ada kemahuan, di situ ada kejayaan" begitulah pepatah Melayu.












Saturday, May 3, 2014

Nota Dulu-dulu Budak Main Buah Saga

Assalamualaikum,

Tiap-tiap hari Mak Long rasa sibuk sahaja.  Apa yang disibukkan pulak tidak nampak bendnnya.  Buat itu dan buat ini sudah malam sampai pulak masa untuk meletakkan kepala di bantal,  pendek pulak rasa masa-masa yang dilalui.  Bagusnya bila kita sentiasa sibuk, fikiran menjadi tertumpu pada sesuatu dalam satu masa tidak serabut dangan perkara lain.  

Pagi tadi ketika Pak Long duduk menunggu Mak Long buatkan kopi panasnya siap, tiba-tiba dia berkata, "Barry risaukan tentang cucunya Scott……"

"Kenapa dengan Scott?" Mak Long tanya ingin tahu.

"….dia sudah dua kali diberhentikan dari dua buah sekolah … sebab sama!"  Tambah Pak Long kesal, "…. Barry cakap, Scott budak malas tidak mahu belajar.  Suka duduk depan TV main game sepanjang hari!  Scott diberhentikan sekolah kerana menghina dan bercakap kasar dengan guru di sekolah… Di rumah dia tidak mahu membantu ibunya.  Ibunya pula tidak tahu nak buat apa ….".

"Sekarang dia tak sekolah ke?"

"Sekolah di rumah saja … ikut program sekolah sendiri di rumah…"

Scott, cucu kepada Barry baru berumur 14 tahun lebih.  Jenelle pula anak perempuan Barry, seorang ibu tunggal tidak pernah bernikah punya dua orang anak lelaki iaitu Scott dan adiknya (Mak Long lupa namanya) berumur 6 tahun.  Kedua-dua anak ini mempunyai bapa berlainan yang tidak mengambil kesah tentang mereka.  'Fenomena' berkeluarga begini adalah perkara biasa di Amerika Syarikat, bukanlah sesuatu yang ganjil atau luar biasa!  

Perbualan kami beralih melarat ke kesah waktu zaman kanak-kanak kami dulu.  Ibu bapa memainkan peranan penting dan bertanggung jawab membesarkan anak-anak mereka supaya menjadi "orang".  Walaupun setengah cara didikan orang lama itu dilihat dari mata kasar sangat teruk dan tidak sesuai.  Tetapi hasilnya anak-anak jadi 'orang'.   

Teringat Mak Long kesah Mak Long dengan buah saga.  Orang kampung sebut biji sage.  Pokok saga besar juga pokoknya mengeluarkan biji kecil warna merah menyala lebih kurang sebesar kacang soya.  Buah saga juga dijadikan permainan menjentik, dan batu sembang iaitu buah saga dimasukkan kedalam karung kecil dari kain dijahit seperti bentuk bantal.  Waktu rehat, kami cepat-cepat makan kemudian terus sahaja main jentik buah saga atau main batu sembang.  Kadang-kadang tidak makan pun, sebab terlalu gairah hendak main dengan kawan-kawan.  Purata permainan ini dikuasai murid-murid perempuan sahaja.


Buah Saga

Suatu hari selepas habis waktu sekolah dua orang kawan, Sani dan kakaknya Cik Mah yang juga anak jiran kami beria-ia sangat mengajak Mak Long mencari buah saga di belakang rumah emak saudara Mak Long iaitu Mak Ngah Milah.  Tanpa berfikir panjang Mak Long terus sanggup sahaja.  Budak-budaklah katakan mana ada tahu takut pun.  Tahu suka sahaja, tambah lagi berkawan membuat sesuatu yang menyeronokan.  Kalau tidak silap ketika itu Mak Long baharu sahaja masuk darjah dua…bodoh lagi.  Sani dan Cik Mah lebih tua dari Mak Long dan mereka belajar mengaji kuran dengan Emak.

Leka kami mencari dan mengutip buah saga yang banyak jatuh ke tanah dan dalam rumput. Buah saga yang sudah dipunggut dimasukkan kedalam saku masing-masing.  Penuhlah saku kami dan terasa berat dengan buah saga baharulah kami berjalan pulang ke rumah.  Tidak tahulah sudah pukul berapa ketika itu.  Yang pasti memang sudah terlalu lambat kami pulang.  Tidak terasa takut atau bersalah lagi tu, handalnya semangat Mak Long.  Sampai di rumah Wak sudah berdiri depan pintu menunggu Mak Long dengan satu rotan panjang di tangannya.  Mak Long tersengeh-sengeh bodoh bila sudah dekat dengan Wak, konon-konon biasa sahaja, tidak ada hal.  Apa lagi tidak disangka-sangka Wak menarik kasar tangan Mak Long yang kurus.  Wak melibas kaki, betis, ponggong Mak Long banyak kali.  Aduhhhhh sakit dan peritnya tidak terkira..

"…amboiii dah pandai balik lambat ye!"  Sappp kena rotan …".. engko kemana tadi hah?" sapp kena rotan bertubi-tubi tidak berhenti..  Siapa tidak menangis sakit kena pukul begitu?  Tetapi Emak tengok sahaja tanpa berkata apa-apa atau membantu Mak Long yang sedang sensara.  Wak betul-betul nampak marah.  Mak Long menjerit-jerit tersedu-sedu minta ampun dan janji tidak mahu buat lagi.  Lagi kuat menjerit, lagilah kuat tangan Wak melibas Mak Long.  Lama-lama Wak berhenti merotan, air mukanya masih nampak marah sambil memberi amaran keras kepada Mak Long.  "Tiap hari habis sekolah, ko mesti balik rumah tau? Jangan buat Emak, Wak risau!  Ko faham?"  Mak Long angok-angok lemah janji tidak buat lagi.

Sebatan dari penangan rotan panjang kecil itu meninggalkan kesan-kesan bengkak di seluruh badan kurus Mak Long.  Sakit dan perit bukan main.  Malam itu Mak Long tidak mahu makan nasi, merajuklah kononnya, buat Emak pula bimbang tentang kesihatan anaknya.  Masih ingat lagi Emak cakap, "….lain kali jangan buat ..kalau nak pegi ke mana-mana lepas sekolah balik dulu ke rumah, salin baju sekolah, makan dan mengaji….." sambil menyapu minyak di tempat-tempat luka.  Mata Mak Long sudah bengkak menangis tadi..

Dari peristiwa itu menjadikan satu pengajaran betul-betul berkesan dalam hidup Mak Long dan tidak dapat melupakan hingga ke hari ini.  Walaupun tindakan Wak dan Emak itu pada zahirnya terlalu keras dan tidak berperi merotan anaknya tetapi pengajaran itu meninggalkan hikmah yang tidak ternilai dalam membentuk peribadi seseorang seperti Mak Long.  Mak Long fikir balik kalau tidak kerana ajaran yang keras begitu mungkin perangai Mak Long menjadi lebih teruk tidak menjadi 'orang' gamaknya…  

Perpatah Melayu menyebut. "sayangkan isteri tinggal-tinggalkan... sayangkan anak tangan-tangankan."

Masyarakat sekarang sudah banyak perubahan dalam cara membesar dan mendidik anak-anak.  Ada yang bijak mendidik anak-anak dan meneraju keluarga bahagia dan berjaya.  Ada juga sebaliknya hingga terdapat anak-anak yang menderhaka kepada ibu bapa mereka.  Memukul atau menzalimi ibu bapa yang sudah tua.  Ada juga anak-anak yang sanggup mengheret ibu bapa ke mahkamah hanya dengan kesilapan yang kecil dan tidak menasabah. 

Didiklah anak-anak sebaik mungkin dengan bimbingan berilmu dan agama.  Kadang-kadang mendidik dengan kekerasan itu bukanlah kebencian tetapi adalah sayangkan anak-anak agar menjadi baik. Semuga bila mereka dewasa kalau tidak berpangkat besar atau tinggi pun darjat hidup mereka tidak ke lembah keburukan dan kehinaan.