Pages

Saturday, June 14, 2014

Nota Jalan-jalan 2014 (3) - Kingsville, Missouri

Assalamualaikum,

7hb Mei, 2014 hari Rabu adalah hari ke tiga dalam siri Jalan-jalan 2014 kami.  Bermalam dan berihat tanpa gangguan di RV milik Salma dan Bill Beach, mengembalikan kesegaran tenaga kami.  Sudah berumur badan semakin lemah memerlukan rihat lebih sedikit.  Duduk sebelah Pak Long dalam truck pun penat.  Di luar RV mereka gelap melainkan sinaran bulan yang samar-samar cahayanya, tiada lampu menerangi kawasan, dan tiada kebingaran kenderaan lalu lalang menganggu kesunyian perkampungan.

Kami bertolak dari kediaman Salma meneruskan perjalanan menuju ke Kingsville, Missouri. Pak Long sudah merancang hendak singgah melawat adik bungsunya Betty Lou di sana.  Perjalanan mengambil selama lebih kurang enam jam melalui jalan biasa menyusur perkampungan dan bandar-bandar kecil.  Bagi Mak Long dengan cara begini, pendekatan dan mengenali cara hidup orang tempatan lebih jelas dan menepati dari yang selalu dibaca melalui akhbar, radio atau TV.

Sepanjang perjalanan itu Mak Long lihat pemandangan lakdskap tidak begitu banyak perbezaan.  Rumput dan tumbuhan semua sudah menghijau menebal.  Begitu juga pokok-pokok baharu sahaja mengeluarkan pucuk-pucuk halus menjonggol menghijau di dahan.  Semakin jauh perjalanan kami ke bahagian utara, keadaan cuaca lebih dingin dari Oklahoma.  Kebanyakan tanah ladang masih terbiar belum diusahakan lagi untuk bertaman.



Gambar di atas ialah Bandar Coffeeyville satu daripada bandar kecil yang kami lalui.  Kebanyakan bandar-bandar itu mempunyai bangunan lama yang sudah dibaik-pulih dan digunakan semula.

Hampir pukul 3.30 petang baharulah kami sampai di rumah Betty Lou.  Betty menyambut mesera kedatangan kami.  Tampak kegembiraan di air muka adik and abang bila bertemu.  Betty adalah anak bungsu dalam empat orang adik beradik seibu sebapa.   Ibu Pak Long kelahiran anak bumiputera dari keturunan salah satu dari puak "Red Indian" sedangkan bapa mereka pula berdarah keturunan German.  Walau pun Mak Long tidak pernah bertemu dengan ibu dan bapa Pak Long, tetapi wajah Betty 100% mempunyai nilai-nilai sifat puak orang Red Indian; terutama bentuk hidungnya seperti paroh burung helang dan matanya yang tajam bila merenung.

Betty memberi pilihan kepada kami samaada mahu tidur di bilik sebelahan biliknya atau di "basement" di bahagian bawah rumahnya.  Pak Long cepat-cepat jawab "basement"!   Penduduk di sebelah sini kebanyakan mempunyai rumah berbasement.  "Basement" ialah bilik luas di tingkat bawah rumah berdindingkan tanah.  Lazimnya basement digunakan sebagai tempat menyimpan barang sebagainya dan tempat perlindungan dari tiupan angin pusing tornado.  Basement di rumah Betty dilengkapi dengan perabut, katil, TV dan bilik mandi.  Suhu di sini dingin tidak memerlukan mesin pendingin.  Kami tinggal di sini selama dua hari.  Yelah Pak Long jarang dapat bertemu dengan keluarganya, sekali-sekali bertemu biarlah lama sedikit.     

Suaminya John sudah mula berhuma di sebelah rumahnya menanam sayauran seperti bawang, tunip, kacang boncis, strawberry dan lain-lain.   Pendeknya mereka tidak perlu ke pasar membeli sayuran.  Sayur dan buah yang tidak termakan akan dibekukan atau dibuat jerok dan jam.  Pendeknya hasil dari tanaman tidak terbuang.  John memiliki beberapa traktor sendiri untuk bertani.  Di dalam "barn" atau bangsal dalam bahasa Melayu yang penuh macam-macam perkakas dan alat untuk bertani dan bengkil.  Barn itu lebih besar dan luas saisnya dari rumah mereka.      


Traktor
Traktor dalam gambar di atas telah dibaik pulih dan ada tiga buah lagi yang serupa.  Satu daripadanya sedang diperbaik pulih.  John mempunyai kemahiran untuk memperbaiki jentera justeru tidak perlu mengupa mengupah orang lain yang sudah tentu akan memakan belanja yang besar.  



Traktor


Strawberry baru sahaja menjonggol

Bawang dan tunip

Dalam gambar di atas adalah sebahagian dari tanaman yang John usahakan.  Gambar di bawah pula sebuah kolam besar dan luas di belakang rumah digunakan sebagai tempat lembu ternakan minum.  Di kolam ini juga ada beberapa jenis ikan air tawar ditempatkan.  Apabila ada kelapangan untuk bersama-sama keluarga mereka sering memancing dan berkelah di tepi kolam.  Ikan yang berjaya dipancing dilepaskan semula ke dalam air.  Mereka tidak makan ikan-ikan itu.  



Kolam

Ikan yang ditangkap dilepaskan semula

Tanaman utama di ladang keluarga adalah jagong yang diupah kepada seorang peladang lain untuk diuruskan.  Gambar di bawah tanah masih belum dibajak lagi.  Biasanya apabila sampai masa untuk penyemaian benih, peladang yang mengerjakan akan membajak dahulu kemudian menabur benih biji jagong dengan menggunakan kapal terbang khas untuk menabur benih dan baja.


Ladang Jagong

Ladang Jagong



Kawasan ini (gambar atas) dulunya sebuah paya kecil dipenuhi dengan rumpai dan air.  Penanaman tidak dapat dikerjakan kerana keadaan tanah begitu.  Baru-baru ini kawasan itu telah ditimbus bahagian atas dan di bawahnya dijadikan sebagai kolam menyimpan air yang disalurkan pada tanaman.

Betty dan John bawa kami menonton satu perlawanan "soft ball" di Lone Star Elementary School  iaitu sekolah di mana cucu mereka Twilla dan Tori bersekolah.  Sebelum pergi, kami dijamu makan ringgan…sandwich sayur dan keju.  Dalam kereta sudah tersusun empat buah kerusi lipat untuk kegunaan di padang sekolah nanti.  Permainan mula jam enam petang.  Sesampai sahaja kami di padang sekolah, masing-masing bawa seorang satu kerusi lipat ke tempat perlawanan.  Belum pun sempat kami duduk, Brenda bersama ke dua-dua anaknya Twilla dan Tori datang memelok kami dengan mesera.  Anak-anaknya sungguh manja dan petah bercakap.  Brenda ialah anak perempuan Betty dan John.  Petang itu Tori dengan pasukannya masuk berlawan "soft ball".  Tangkas juga budak ini bermain.  



Betty Lou Dan John Oliphant

John, Betty Lou, Pak Long Dan Sandi the dog

Pihak keluarga dan guru-guru sekolah di sini memberi galakan penuh kepada anak-anak mereka bersukan.  Ibu bapa dan guru berusaha keras memenuhi apa juga keperluan anak-anak baik dari segi pembelajaran mahu pun kesukanan.  

Mak Long teringat masa kecil-kecil dahulu.  Apabila ada majlis sukan sekolah, jarang keluarga hendak datang melihat untuk memberi sokongan kepada anak-anak pergi berlatih sukan.  Pada hari majlis sukan diadakan pun tidak ramai ibu bapa dan keluarga datang.












No comments:

Post a Comment