Assalamualaikum,
Bertarikh 9hb Mei, 2014 pagi-pagi selepas kemas-kemaskan barang-barang ke dalam bag dan sarapan pagi bersama keluarga Betty dan John kami bertolak pula menghala ke Illinois. Cahaya matahari pagi itu sungguh cantik walaupun sedikit dingin. Perancangan perjalanan ini pula menziarahi adik lelaki Pak Long bernama Ernie Lonas dan isterinya Brenda.
Seperti yang telah lalu kami tidak menggunakan lebuhraya. Kami mengikut jalanraya melalui pendalaman lebih seronok lagi walaupun mengambil masa yang lebih panjang. Mata puas memandang menikmati keadaan suasana kampung yang damai. Sepanjang perjalanan ini penduduknya adalah petani. Tanah yang diusahakan terlalu luas sayup mata memandang hingga ke kaki langit. kali ini kami melalui bahagian utara Negeri Louisiana.
Kami berhenti di Pike, Illinois sebentar. Mak Long tidak lepas peluang mengambil gambar "Court House" atau bangunan mahkamah bandar itu. Tiap-tiap buah bandar mesti ada "Court House". Kebanyakan "Court House" adalah bangunan lama yang dibina khas untuk itu.
Court House, Pike, Illinois |
Di sepanjang kiri dan kanan jalanraya dalam perjalanan kelihatan banyak kolam-kolam berair, ada yang besar dan ada pula yang kecil. Mak Long diberi tahu dahulu ketika kerajaan mula-mula membina jalanraya di Illinois, mereka mengali kolam-kolam di sepanjang jalan. Tanah dari galian itu digunakan untuk menambak tapak jalanraya agar tinggi dari aras tanah. Petani-petani di kawasan ini telah mula mengerjakan tanah dan ladang mereka. Jalanraya yang kami lalui tidak banyak pokok atau rumput menghijau seperti tempat yang kami lalui dahulu. Kawasan di sini dihiasi dengan tanah dan ladang pertanian.
Jalanraya Di Illinois |
Rumah Petani |
Kawasan rumah petani-petani di sini kelihatan kemas dan bersih. Jarang nampak rumput atau pokok liar berserabut di keliling rumah.
"Silo" Tempat Menyimpan Hasil Jagong atau Kacang Soya |
Kami sampai di rumah Ernie hampir jam 11 pagi. Ernie anak ketiga dari keluarga Burkhart tetapi sayang, beliau dan Betty ketika kecil mereka telah diserah penjagaan kepada keluarga lain sebagai anak angkat. Kerana itulah nama keluarga Ernie dan Betty berlainan dari Pak Long. Ibu bapa Pak Long berpisah ketika mereka masih kecil lagi. Di sini apabila seseorang itu menjadi anak angkat nama keluarga asal ditukar kepada nama keluarga angkat. Ernie bertugas sebagai pilot helikopter hospital di Champagne sedang isterinya pula seorang jururawat bertauliah. Kami bermalam hanya satu malam sahaja di rumah Ernie. Niat asalnya kami bercadang tinggal lebih lama lagi. Tetapi oleh kerana alahan yang Mak Long alami disebabkan bulu kucing dan anjing dalam rumah mereka membuat Mak Long batuk teruk dan tidak boleh bernafas. Tambahan bermasaalah untuk menunaikan kewajiban diri kepada Illahi.
Ernie Lonas |
Malam itu Ernie dan isterinya membawa kami makan malam di sebuah restauran makanan laut. Kami berbual panjang tentang keluarga, kesah-kesah lama tentang mereka adik beradik. Dalam mendengarkan cerita-cerita mereka Mak Long dapat memahami lebih baik tentang sebuah keluarga yang berlainan agama, adat dan masyarakat.
Sebagai abang yang lebih tua pula Pak Long berpesan kepada adiknya, "Berhentilah dari minum dan merokok! Rokok dan minuman keras tidak bagus untuk manusia… " Mereka suami isteri merokok dan minum minuman keras. Bertugas untuk orang ramai di hospital difikirkan tentulah mengetahui padah buruknya merokok dan minum minuman keras yang berlebihan.
Ernie dan Brenda |
Walaupun hanya semalam bersama-sama mereka, Pak Long puas hati dapat bertemu dengan adiknya Ernie dan isterinya. Mereka jarang bertemu. Sempat jugalah Brenda membawa Mak Long pergi ke sebuah kedai terbesar yang menyediakan pelbagai jenis bahan perkebunan, bunga, bahan lama, bahan hiasan rumah dan macam-macam lagi. Yang paling Mak Long gemar sekali adalah tanaman dan bunga yang dipamirkan di situ.
Bakul Bunga Gantung |
Bakul Bunga Gantung Bentuk Bocong (1) |
Bunga Gantung Plastik Panjang (2) |
Mak Long tertarik dengan cara mereka mengubah dan menanam bunga dalam bakul bentuk bocong (gambar 1) untuk digantung. Bocong itu diperbuat dari jerami padi atau gandum diimpot dari Negeri China. Kelakarkan! Banyak pelbagai bahan didatangkan dari Negeri China. Keduanya (gambar 2) mereka guna bag plastik panjang lebih kurang empat atau lima kaki panjangnya. Bag plastik ini diisi tanah hitam kemudian dibelah tiga atau empat liang melintang kemudian dari belahan itu ditanam pokok bunga petunia. Cantik! Dan idea yang baik sekali. Mungkin musim bunga tahun hadapan Mak Long boleh cuba buat begitu supaya tidak diganggu rusa liar kawasa kediaman kami.
Bunga ini sangat wangi baunya. Banyak terdapat di kawasan rumah Ernie. Brenda telah memetik dan dibuat jambangan di atas meja dapur. Bukan main semerbak wangi seluruh rumah. Lupalah pulak nama dan jenis bunga ini walau sudah diberitahu.
Setelah siap berkemas dan bersarapan pagi di sebuah restauran berhampiran rumah Ernie, kami teruskan perjalanan kami ke arah daerah Juliet menziarahi sahabat lama Pak Long.
No comments:
Post a Comment