Pages

Friday, October 19, 2012

NOTA HARI INI JUMAAT

Assalamulaikum.... hari ini Mak Long rasa tidak berapa sihat.  Rasa letih dan lemah membendungi seluruh badan.  Kepala pun sengal.  Pagi tadi kuatkan juga melangkah ke pondok belakang mengambil bijian jagong untuk ditabur kepada binatang-binatang yang sudah tercongok menunggu.  Pagi ini hampir 50 degree F.  Tidakkah mereka berasa sejuk pagi-pagi begini?  Mak Long tanya si Lucy kesayangan Pak Long.  Paham tak?  Ke kau tidak faham!?  Si Lucy tengok sahaja Mak Long bercakap macam cuba hendak jawab..  Masyaallah...kalaulah kita boleh berbicara dengan binatang alangkan mudahnya mengetahui semua masaalah mereka.  Sudah dua beg seberat 50lb jagong sudah selesai.  Tinggal tiga beg lagi.  Hendak kena tambah lagilah sebelum cuaca sejuk sangat nanti.




Tengoklah video Mak Long ambik ketika mereka tunggu hendak makan jagong di belakang rumah.  Dalam musim bunga dan panas Mak Long suka bersarapan di bahagian belakang rumah sambil tengok mereka kutip biji-biji jagong.  Hiburan murah tetapi menenangkan fikiran.







Nota:

Pesan Mak Long untuk semua sayangilah binatang-binatang.  Mereka juga makhlok Allah yang tidak mempunyai kebijaksanaan dan keupayaan seperti manusia.

Wednesday, October 17, 2012

NOTA SAJAK TETAMU SENJA - A SAMAD SAID

Assalamualaikum,


Lama juga Mak Long memikirkan apakah bahan yang hendak dibuat sepanjang hari ini.  Bosan sungguh tinggal seorang diri.  Pagi tadi sejuk juga kenalah pakai baju panas ketika Mak Long ke pondok simpan barangan di belakang rumah mengambil bijian jagong untuk memberi rusa-rusa yang sudah tidak sabar lama menunggu.  Hai ... binatang pun pandai, waktu-waktu macam ini siap menanti dengan sabar.  Manusia sahaja tidak pandai besabar.  

Rusa sudah pun diberi makan walaupun ada juga yang ketinggalan lambat datang.  Malaslah Mak Long hendak ke pondok belakang tu lagi...nanti petang kalau mereka datang insyaallah Mak Long tabur jagong lagi.  Senaman harian pun sudah buat.  Sarapan pagi minum segelas air jus campuran buah peach, fit, carot dan daun parsley (Mak Long buat sendiri tau....) pun sudah.  Bersembang dengan Pak Long dari Saudi Arabia pun sudah.  Check e-mail dan Facebook pun sudah..  Apa lagi ya..

Hmmm jumpa satu sajak nukiran ahli penulis agong A Samad Said.  Mak Long memang suka semua penulisan beliau sejak masih di bangku sekolah lagi.  Inilah sajaknya:

Tertamu Senja  - 
Oleh A. Samad Said


Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembalilah
Kita kepadanya
Kita datang ini kosong tangan dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala

Pada tetamu yang datang dan
Kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra kepada
Tuhan kepada insan
Pada tetamu yang datang
Dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka pula
Pada Tuhan kepada insan

Bila kita lihat manusia lupa tempat 
Atau segera sesat puja darjat
Puja pangkat
Segera kita insaf kita ini punya kiblat
Segera kita ingat kita ini punya tekad

Bila kita lihat manusai terbiar larat
Hingga mesti merempat ke laut biru
Ke kuning darat
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas sembah
Seluruh rasa belas

Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa baakti padat berkat




NOTA YELLOWSTONE NATIONAL PARK

Ogos 29, 2011


Kami sampai di gate masuk ke Yellowstone National Park waktu tengahari dari Jackson Hole.  Di gate setiap kereta berhenti membayar tiket masuk ke Yellowstone National Park dan Grand Teton National Park.  Tetapi kami tidak dikenakan apa-apa bayaran dan kami menjadi tetamu sebagai warga emas.  Keistimewaan sebagai warga emas kami miliki kad istimewa membolehkan kami masuki semua National Park di Amerika dengan percuma seumur hidup.  Kalau tidak mahal jugalah harga tiket seorang.  Maklumlah sudah pencen nih tahu-tahu sahajalah..


Gate masuk ke Yellowstone Park


Grand Teton National Park dan Yellowstone National Park adalah berjiran.  Ketika kami masuk ke Grand Teton National Park kami masuk melalui Jackson Hole.  Walaupun kami sudah masuk kawasan Yellowstone, kami masih boleh nampak banjaran pergunungan Teton.

Banjaran Gunung Teton dari Yellowstone

Kami dinasihatkan oleh pengawal di gate masuk tadi supaya mematuhi semua arahan dan peraturan semasa berada dalam park untuk keselamatan kami.  Sekiranya menghadapi masaalaah supaya segera memaklumkan ke pihak pengurusan atau pegawai ranger yang sentiasa bertugas dalam kawasan dan kami sudah diberi beberapa risalah penerangan yang menunjukan semua tempat-tempat yang bagus dilawati.  Mereka juga nasihatkan kami supaya berhati-hati ketika berada di park kerana banyak binatang liar seperti moose, elk, bison, serigala, beruang dan lain-lain jenis binatang liar berkeliaran di sekitar.

Pemandangan yang indah di waktu pagi

Pak Long terus sahaja ke hotel tempat penginapan kami selama dua malam.  Pak Long telah membuat tempahan lebih awal sebelum kami bertolak dari rumah lagi memandangkan akan ramai penggunjung ke Yellowstone yang datang waktu itu.  Agak tinggi juga harga bilik hotel.  Hotel lama yang sengaja diuruskan seperti zaman-zaman dahulu.  Tiada penggunaan alat moden seperti TV, hawa dingin/panas dan talipon.  Segala peralatan juga hanya keperluan asas hinggalah dalam bilik mandi menyediakan barangan sabun, syampu dan lain-lain adalah dari bahan keluaran asli.  Yang moden hanya alat membuat kopi dan teh!  Anak kunci bilik pun masih guna anak kunci asli yang besar dan panjang (tiada kunci digital kad).

Perhutanan asli di Yellowstone National Park sangat luas; 96% darinya terletak dalam negeri Wyoming, 3% dalam negeri Montana dan 1% lagi dalam negeri Idaho. Yellowstone mempunyai "geothermal features" atau lebih kurang fahaman dalam bahasa Melayu ialah sifat-sifat kuasa belerang dalam bumi  yang sentiasa mengelegak meledak di bawah tanah yang boleh menyebabkan letupan berapi bila-bila masa sahaja di muka bumi.  Begitu juga perigi-perigi dan kolam-kolam air panas yang besar, airnya sedang mengelegak mendidih rancak hingga percikan air panas muncul di muka bumi dan ia juga meletakkan lebih dari buah 300 geyser yang sedang aktif begitu. Banyak tempat-tempat yang indah alam semulajadi yang dibiar tidak diterokai.  Berbagai jenis binatang liar dan ungas hidup di sini. Pak Long berkata kalaulah Yellowstone meletup habislah seluruh Amerika punah dan tentunya akan mengubah stratur alam dunia khasnya benua Amerika sendiri.   


Lihatlah video ini: 





Geyser yang pertama kami lihat

Yellowstone terbahagi kepada beberapa bahagian termaksuklah Upper Geyser Basin, Midway Geyser Basin, Lower Geyser Basin, Norris Geyser Basin, The Mud Volcanao, Dragon Mouth Spring dan Mammoth Hot Spring dan yang paling Mak Long suka ialah:

Upper Geyser Basin

Beberapa kolam air panas dan lebih dari 150 geyser terbesar dan aktif seperti Castle Geyser, Riverside Geyser terletak berhampiran dengan Firehole River.  Geyser yang paling terkenal termasuklah the "Old Faithful Geyser".  Old Faithful Geyser ialah geyser yang sangat aktif berupaya meluahkan pancutan air panas (199 degree F) setiap 45-92 minut sekali setinggi 135 kaki lebih ke udara selama lebih kurang 4-5 minit dan ia pernah mencatitkan pancutan setinggi 190 kaki tinggi.  Mak Long cuba sertakan video Old Faithful Geyser beberapa kali di sini tetapi tidak berjaya pulak.  Gambar sahajalah......


Old Faithfl Geyser

Midway Geyser Basin



Di sini terdpat beberapa kolam dan air panas yang cantik termasuklah "Excelsior Geyser", "Turquoise Pool" dan "Grand Prismatic Spring".  Grand Prismatic Spring terbesar sekali di Yellowstone and ke tiga terbesar di dunia.  Prismatic Spring sangat indah memperlihatkan berbagai warna terutama apabila sinaran matahari memancar ke atasnya menghasilkan warna pelangi.  Excelsior Geyser juga besar dan dalam.  Ia telah meletup dalam tahunan 1880 mengeluarkan lava panas dan menghasilkan tebing yang tajam dan curam. Selepas itu ia tidak aktif hinggalah pada 14.9.1985 sekali lagi meletup.  Kawah air panas in sentiasa melegak dan mengeluarkan sebanyak 4,000 galon se minit mengalir ke Firehole River. 




Grand Prismatic Spring

Waktu pagi di kawasan ini sangat sejuk di bawah 35 degrees F.  Banyak tempat-tempat yang cantik dan masih asli tanpa diteroka.


Heart Spring Geyser


Yellowstone Lake 

Kami nampak beruang hitam (Black bear) tidur

Sampai di suatu tempat, kami nampak ramai orang berkumpul di tepi jalanraya.  Pak Long pandu kereta pelahan.  Bila kami sampai berhampiran mereka Mak Long tanya seorang lelaki yang paling terdekat sekali:

Mak Long:  What do you see?
Lelaki:       A bear ..sleeping over there ... maam
Mak Long:  Hmmm..... I don't see no bear (sambil mata liar melihat-lihat)..
               Ohhhh BEARRRR!!!!!!!! (tidak sedar Mak Long sebut kuat..ha ha ha)

Mak Long tersipu-sipu lepas tu..tetapi buat der sahajalah he he he sambil tengok bear hitam sedang tidur lena walau pun suasana bising suara orang-orang yang menontonnya.


Kerbau (Bison)

Kerbau liar seperti dalam gambar di atas banyak berkeliaran di merata tempat. Mereka ganas terutama kerbau jantan juga kerbau betina yang baru beranak.



Beberapa tempat ada papan tanda "Continental Divide" tetapi Mak Long tidak dapat peluang hendak melihatnya kerana kena berjalan memanjat tinggi dan jauh dari jalanraya.  Pak Long agak keberatan bila sebut panjat bukit dan jauh.


Elk betina 

Elk jantan

Binatan-binatang bebas di seluruh tempat mahupun di jalanraya atau kawasan hotel.  Mereka tidak takut kepada orang-orang yang melihat mereka.


Yellowstone Waterfalls

Pertrified Wood (Kayu menjadi batu mineral)


Hutan selepas terbakar

Kebakaran semulajadi sering berlaku di hutan dalam kawasan Yellowstone.  Kebakaran seperti ini dibiarkan sahaja bagitu kerana kebakaran akan menjadi sumba asli membersihkan dan menghapuskan tunggul-tunggul pokok dan tumbuhan yang sudah tua serta rapuh. Apabila ini berlaku segala tumbuhan akan tumbuh semula dengan tumbuhaan-tumbuhaan baru... kehidupan berputar lagi.

Dua hari berada di kawasan Yellowstone, jadual kami sungguh padat dan Mak Long rasa berbaloi datang ke sini dari jauh-jauh.  Dari sini juga kami keluar gate ke Montana kemudian masuk semula ke Yellowstone.  Puaslah berjalan hingga tidak perasan terasa penat.  Hanya satu sahaja yang tidak memuaskan ialah hal makanan.  Tidak banyak restauran di sini kalau ada pun harga mahal dan menyediakan makanan yang tidak menyelerakan.  Lain kali kalau hendak datang ke sini tahulah apa yang perlu dibawa.

Monday, October 8, 2012

NOTA SENAMAN BERJALAN KAKI

Hmmmm...... pagi ini sejuk, malam tadi Mak Long tidak pasang pemanas.  Mak Long belajar dari Pak Long kalau hendak nyanyak tidur biarkan suhu sejuk dan selimut tebal-tebal.  Mak Long cuba..benar juga ye!  Waktu subuh bangun pagi-pagi ...whoaaa sejuknya, beku rasa kaki pijak lantai walaupun berpermaidani.  Kena pasang pemanas hari ini.  Semalam pun sejuk tetapi tidak pasang pemanas.  Tidak tahu apa hendak dibuat dahulu hari ini, tidak nampak ada kerja tetapi sebenarnya melambak kerja yang perlu dibuat dalam rumah; di luar rumah jangan cakaplah macam-macam boleh buat cuma hendak tidak hendak sahaja.

Petama sekali hari ini Mak Long check email dan tunggu Pak Long talipon, sambil itu sarapan minum jus carot campur apple dan tomato dulu kemudian milo panas dengan dua keping roti bakar selet cheese perisa straberry.  Mak Long mulakan berjalan kaki keliling kawasan tempat tinggal kami turun bukit naik bukit sambil musik di telinga.  Badan pun mula berasa panas setelah berjalan beberapa jauh.  Mak Long jumpa seorang wanita juga berjalan kaki macam Mak Long.  Ramah juga orangnya menyapa Mak Long dengan mesera. Dalam hati Mak Long berkata..wahdoohai.. siap dia pakai jaket tebal, selendang tebal membalut leher dan bertopi macam hendak main ski di atas salji.  Mesti dia berasa sejuk sangat dan mempunyai tanggungjawab kesihatan diri yang tinggi.  

Tidak berapa lama kemudian sebuah kereta polis lalu perlahan-lahan melalui setiap jalan kecil di kiri kanan jalan besar.  Dia berhenti dan bercakap dengan seseorang di sebuah rumah.  Ketika ini Mak Long sudah mula berjalan hala pulang ke rumah.  Ketika kereta polis itu hampir dengan Mak Long dia lagi pelahan bawak kereta dan berhenti sebelah Mak Long.  Berderau darah!  

Polis       :   Hi there, are you alright?

Mak Long:   Hello, Yes..thank you.

Polis       :  Have you seen a silver color car..the driver with 3 women earlier?

Mak Long:  No.  Why..are they dangerous?

Polis       :  Well...we don't know yet.  But they are acting suspicious.  
                The driver dropped one woman and she walked into the wood.  
                After a while the driver came back picked her up....

Mak Long:  I'll keep my eyes open for them.

Polis       :  Good.. and be careful

Polis itu pun berlalu dan masuk lagi ke jalan-jalan kecil dan berhenti bila ada pokok-pokok yang tebal dan semak.  Mak Long jalan lagi laju supaya cepat sampai rumah, teringat tadi nak keluar tidak kunci pintu....manalah tahu nasib kurang baik?  Sampai rumah cepat-cepat kunci pintu dan teruskan kerja lain hari ini.


Dengar lagu ni dari The Gap Band






Sunday, October 7, 2012

NOTA JACKSON HOLE & TETON PEAK - 2011

Ogos 29, 2011

Perjalanan kami sampai di bandar Jackson Hole.  Bandar ini terletak di lembah  yang dikelilingi oleh gunung-ganang dalam negeri Wyoming. Sebatang sungai dipanggil "Snake River" bengkang-bengkok mengalir dari Yellowstone ke lembah ini menghasilkan beberapa cabang anak-anak sungai dan tasik-tasik kecil yang cantik dan sesuai untuk beraktiviti sukan dan perkelahan.  Banjaran pergunungan Teton dengan gah dan tingginya tegak bersebelahan bandar Jackson Hole.  Grand Teton adalah puncak gunung tertinggi di banjaran  pergunungan itu setinggi 13,772 kaki dari aras laut. Walau pun baharu akhir bulan Ogos cuaca di sini sejuk terutama di waktu malam.  Bandar Jackson Hole ialah sebuah pusat peranginan dan pelancungan di pergunungnan menyediakan banyak hotel, aktiviti sukan musim sejuk dan musim panas.  Sewa bilik hotel juga agak tinggi.  Pak Long telah membuat tempahan bilik awal-awal lagi sebelum kami sampai untuk menyewa sebuah bilik selama dua malam, manalah tahu ada masaalah untuk mendapatkan tempat bermalam pula.

Grand Teton National Park adalah kawasan perindustrian pelancungan meliputi  keseluruhan pergunungan Teton dan lembah bandar Jackson Hole yang menjadi pintu masuk antara Grand Teton National Park dan Yellowstone National Park. Banyak jenis binatang liar terdapat di sini seperti elk, moose, pronghorn, black bear, bioson (sejenis kerbau) dan lain-lain lagi.   

Setelah berihat sebentar di bilik hotel, kami berjalan kaki merayau dan melihat-lihat keadaan bandar.  Tidaklah besar bandar ini tetapi ramai pengunjung berkunjung bandar ini setiap masa rupanya.    Difahamkan musim yang paling sibuk sekali ialah musim panas terutama dalam bulan Julai dan Ogos di mana pengunjung-pengunjuk dapat menikmati cuaca yang baik antara 70-90 degrees F.  Aktiviti popular dalam musim panas seperti traking di pergunungan, mengail di "Snake River", camping, main rakit, menunggang kuda dan banyak lagi jenis aktiviti sukan manakala dalam musim sejuk pula sukan yang digemari sekali ialah selonsor salji dan ski. 


Bandar Jackson Hole

Perhotelan di lembah Jackson Hole

Banjaran Pergunungan Teton

Gunung Teton

Puncak The Grand Teton

Hari kedua di Jackson Hole pagi-pagi lagi kami sudah sarapan minum jus apple, kopi panas dan dua keping roti bakar yang disediakan oleh pihak hotel.  Amboi sejuknya pagi-pagi mujur bawak baju panas.  Pak Long hendak bawak Mak Long naik kereta cable pergi ke pergunungan Gunung Teton.  Nasib tidak berapa menyebelahi kami kerana cuaca hari itu mendung tetapi tidak menghalang kami daripada menikmati suasana di pergunungan.  

Sungguh indah di atas gunung Teton ini.  Di sini ada disediakan beberapa hotel dan cabin-cabin untuk mengunjung di situ dan harganya pun lebih tinggi dari di Jackson Hole.  Bagi pengunjung yang tidak pandai bermain ski atau gelongsor  jangan gusar kerana di sini disediakan juga khidmat mengajar main ski atau gelongsor.  Sebuah mall menyediakan banyak bahan keperluan di musim sejuk seperti pakaian tebal, kasut, alat-alat sukan gelonsur, ski serta tidak ketinggalan berbagai cenderamata untuk pengunjung-pengunjung.  Mak Long beli sehelai baju sweater hoodie untuk kenangan, Pak Long yang pilihkan.

Pelantar kereta cable ke Puncak Grand Teton


Lorong pemain ski di Gunung Teton apabila salji tebal



NOTA ANGIN SEJUK UTARA SAMPAI

Hari ini ialah Ahad bersamaan 7hb Oktober, 2012.......tiupan angin sejuk dari kutub utara sudah pun sampai ke tempat kami hari ini.  Malam tadi Mak Long kesejukan kesaorangan tanpa Pak Long di sisi.  Biasanya waktu-waktu begini dia akan bangun lebih awal menghidupkan  hawa panas supaya bila Mak Long bangun pagi untuk mengambil wuduk suhu dalam rumah tidak sejuk bagi Mak Long.  Mak Long berdoa supaya cepat-cepatlah Pak Long balik dari negara Saudi Arabia yang panas dan kering itu.  Mak Long faham dia ke sana kerana mencari rezeki untuk kami jua jadi Mak Long mestilah bersabar dan berdoa agar dia sentiasa sihat begitulah Mak Long memujuk hati sendiri.  Semuga Allah sentiasa memberi rahmat dan hidayah serta  lembutkan hati kami supaya mudah dan dapat menerima semua ajaran dan petunjukNya.  

Hari ini Mak Long munafaat dengan mendengar ceramah ini.  Kepada anda yang membaca jurnal ini silalah bersama dengar ini.  Mudah-mudahan dapat iktibar baik dalam hidup kita sebelum kita diambilNya kembali.  Wallahuwalam..

Taubat dan Doa



NOTA:

Di bumi mana kita berpijak sekali pun, kaya atau miskin, berdarjat atau tiada dekatkan diri kepada penciptaNYA.  Allah akan bersama dan mendengar doa serta rintihan kesalan dosa kita walau di mana pun.  Taubatlah bila berdosa.  Berdoalah mendekatkan diri kepadaNYA.

Friday, October 5, 2012

NOTA MENILAU-NILAU TEMPAT ORANG - 2011

Ogos 28, 2011

Selepas melawat Salt Lake City kami menilau tempat-tempat berdekatan dan sampai di satu museum koleksi kapal terbang lama terutama kapal terbang peperangan dunia.  Pak Long sukalah memang dia berminat sangat dengan benda-benda sesangkut paut enjin.  Aiisaymen....bateri kamera pulak buat hal habis bateri tidak charge...masam muka dia !!   Hmmm buruk muka!

Salt Lake City sepintas lalu dari jauh




Kapal terbang terpantas tahun tujuh-puluhan

Kami berhenti sebuah bandar kecil nama Logan, Utah dan menginap di Hampton Inn.  Susah hendak cari makanan halal tempat tidak kenal begini.  Hentam sahaja salad walaupun tidak berapa menyelerakan.  Malam itu terasa lapar juga... tidak mengapalah kita bermusafir adatlah begitu.. Kalau sudah gelap bermasaalah juga hendak mencari hala qiblat di mana... kalau di Malaysia atau negara Islam biasanya ada tujuk arah qiblat maka mudahlah.

Pagi esoknya kami tinggalkan hotel dan melihat-lihat di sekitar berdekatan disitu.  Kami melalui dan dapat tahu sebatang Sungai Logan panjang dan airnya mengalir di bawah tanah kemudian tembus keluar mengalir melalui sebuah lubang di Rick Spring.  Airnya sejuk dan biru tetapi tidak selamat untuk diminum kerana kesan pencemaran di sekitar kawasan itu.  


Air sungai menebusi lubang keluar di Rick Spring

Ricks Spring

 Bear Lake Valley...   Tidak lama kami di Ricks Spring dan tidak ramai orang berhenti di situ, mungkin kerana papan tandanya terlindung dan tidak nampak kepada yang lalu lintas di jalanraya.  Kemudian kami sampai di tempat rehat Bear Lake Valley.  Tempat rehat ini macam baru dibuka untuk umum dan banyak burung kelicap (humming bird).  Cuaca agak lembab dan sejuk pula.  Bear Lake ini sebenarnya sungai yang mengalir ke beberapa cabangan seperti ke Sungai Logan, Snake River Plain, Great Salt Lake dan masuklah hingga ke Wyoming dan Idaho.  Ia juga terletak di antara sempadan negeri Utah dan Idaho.  Ketika kami lalu air tasik itu tinggi dan melimpahi jalanraya.



Burung kelicap menghisap air manisan

Bear Lake Valley, Utah

Mak Long baca tentang Bear Lake ini di papan tanda di situ....kononnya ada lembaga  timbul di tasik tersebut.  

Tasik ini adalah terkenal dengan pusat pelancungan dan sukan air, juga kawasan ini dikatakan pengeluar raspberries yang berkualiti tinggi dan enak dimakan.  Perjalanan ke arah utara kami teruskan melalui tempat-tempat yang bergunung-ganang menghijau dan segar serta cantik pemandangan.  Tidak jemu mata memandang.  Setengah tempat ada banyak pokok pine yang tinggi dan lurus menjolok langit.  Mak Long perhatikan sepanjang daerah yang kami lalui, penduduknya banyak menanam rumput hijau yang kemudian diusahakan sebagai "hay" (rumput dipepat padat) berbentuk empat segi atau membulat seperti buku benang gitu untuk makanan ternakan khasnya di musim sejuk.  Bear Lake terletak di antara dua negeri iaitu Wyoming dan Utah.  


"Hay" (Rumput dipepatkan)

Jam 10.00 pagi kami sudah sampai di sempadan Idaho, lalu sahaja kemudian  kami masuk semula ke barat utara Wyoming. Kami sampai di daerah Afton.  Di sini terdapat sebuah mata air sungai dipanggil Periodic Spring (air sungai ada kalanya berhenti mengalir).  Periodic Spring ini ialah yang ketiga besarnya di antara tiga buah periodic spring semula jadi yang pernah terjumpa di dunia.  Air yang mengalir dalam sungai ini terhenti dari mengalir di antara tiga hingga tiga puluh minit lamanya memjadikan ketika itu air sungai tiada kemudian mengalir semula.  Suatu keanihan ciptaan Illahi.  Biasanya kekerapan berlaku di antara bulan Ogos hingga Mei.  Kalau ingin ke tempat ini hanya boleh berjalan kaki menyusur di tepi sungai.

Periodic Spring

Kami masuk dalam bandar Afton.  Bandarnya sangat bersih dan di tengah-tengah bandar itu pula terdapat pintu gerbang (The Elkhorn Arch) melintasi Lebuhraya 89.  Yang menjadikan pintu gerbang ini menarik ialah ia dibuat dengan menggunakan lebih tiga ribu tanduk elk (elk horn atau elk antlers) dengan keberatan lebih dari lima belas ton.  Sebenarnya perkataan "horn" itu tidak lazim kerana "horn" adalah tanduk binatang yang selama-lamanya tidak berganti seperti tanduk kambing atau tanduk lembu sebagainya.  Walhal "antler"  pula adalah tanduk binatang yang tanggal dan berganti tiap-tiap tahun saperti tanduk rusa dan elk sebagainya.  Tanduk elk sangat mahal harganya dalam perubatan tradisi Cina.  Dikatakan jika hendak menhasilkan pintu gerbang seperti ini lagi dianggarkan memakan belanja lebih dari USD300,000; itu hanya harga tandu sahaja.


The Elkhorn Arch

Ladang gandum

Banyak ladang tanaman gandum dan rumput (untuk dijadikan "hay") di lereng gunung.  Selain dari itu ialah kawasan ternakan kuda bagi sukan menunggang kuda.

Ladang ternak kuda



NOTA:

Orang tua-tua berkata jauh perjalanan banyak pengelaman. Mak Long mengistilahkan bahawa pengelaman mengembara yang mencelikkan mata hati bahawa Allah itu luas kebesaran dan kuasaNYA..subhanallah.