Pages

Tuesday, January 6, 2015

Nota Belanja Dapur


Assalamualaikum,

Sejak pagi lagi sang suria sudah muncul cerah dan ceria menandakan hari yang cantik.  Suhu hari ini dijangka mencecah hingga 65 darjah fahrenheit (18.33 celsius) hingga ke petang.  Berbagai jenis burung sudah berkerumun pada setiap sangkar bijian makanan burung yang tergantung di hadapan tingkap dapur kami.  Ada tiga buah sangkar bijian makanan burung.  Burung cardinal yang berwarna merah adalah yang paling cantik sekali.  Burung ini tidak sentiasa ada, sekejap timbul, sekejap hilang.


Cardinal Merah

Pagi-pagi lagi Mak Long sudah bancuh kopi 434 dari kampung.  Kopi orang Muar.  Kopi pekat tanpa gula.  Kadang-kadang ada juga terasa hendak kopi manis, Mak Long guna madu lebah sesudu sahaja.  Pak Long tidak kesah apa sahaja jenis kopi yang diminumnya.  Janji kopi!  Hari-hari cantik macam ini buat Pak Long hendak keluar rumah sahaja.  Memang dia kaki jalan!  "Jom kita pergi ke Oriental Market di Austin..." katanya sambil meletakkan cawan kopinya yang sudah pun kosong di meja dapur.  Mak Long ikut sahaja, tambahan memang kami perlu berbelanja sedikit untuk barang makanan.

Bandar Austin ialah ibu negeri Texas.  Perjalanan ke sana mengambil masa lebih kurang satu jam begitulah kalau tidak sesak lalu-lintas.  Kali ini Mak Long siap bersedia dengan beberapa beg kosong.  Kini semua pasaraya di Austin tidak menyediakan beg plastik lagi untuk mengisi barang belian.  Sudah banyak kali bila ke sana Mak Long lupa hendak bawak beg.  Maka berlambaklah, tergolek-golek barang-barang yang dibeli dalam bonet kereta.  Sampai di MT Asian Market sudah ramai pelanggan.  Kebanyakan tempat letak kereta sudah penuh terpaksa pusing beberapa kali.  Kawasan perniagaan di sini bolehkan 90% peniaga dari Asia (China, Taiwan, Korea dan Vietnam).  Bermacam restauran semuanya menghidangkan makanan dari negara masing-masing.  Restauran dari Malaysia dan Indonesia sahaja tidak nampak!  Mungkin suatu hari adalah agaknya....

Pasaraya MT Asian, seperti yang lazim terdapat di Malaysia dan lain-lain tempat di Asia Tenggara seperti Taiwan, Vietnam dan Hongkong diselangarakan oleh orang China.  Dari depan pintu masuk ke dalam pasar hidung sudah kembang kuncup bau semerbak dari dalam.  Itu yang buat Pak Long tidak tahan.  Kalau dia masuk pun sekejap sahaja cari barang yang dia berkenan.  Dia sanggup tunggu dalam kereta berjam-jam. 


Tempeh


Kale


Banyak juga yang Mak Long berkenan.... biasalah semua jenis beras, bee hoon, santan kelapa, makanan dalam tin dan lain-lain ada terdapat di situ.  Hari ini di bahagian sayuran ada pengaga, jantung pisang.. tidak sedar hampir penuh troley diisi dengan berbagai jenis sayur.  Lagi yang buat hati meloncat suka bila nampak petai dan belacan!  Petai sudah siap kopek dan dibekukan.  Daun pisang dan daun pandan pun ada.  Yang itu Mak Long sudah borong dahulu dan masih ada dalam peti sejuk.  Belacan pulak "Malaysian Product"  you!  Penang mari!  Mak Long tidak beli.  Dalam peti sejuk ada dua buku besar belacan Sarawak.  Di pasaraya ini semua ada, bawakkan duit atau kad plastik ajer....

Dari pasaraya MT Asian, kami ke International Halal Food Market pula yang tidak jauh.  Jalan kaki pun boleh tetapi kenalah menyeberang jalanraya sibuk.  Di situ Mak Long terus memesan daging lembu dan daging lembu kisar untuk stok sebulan dua.  Pembantu penjual daging di situ akan mengkisar daging yang dipesan oleh pelanggan ketika itu juga.  Jadi semuanya segar.  Macam-macam jenis daging ada, lembu, kambing, ayam dan lelain.  Begitulah halnya. Bandar San Marcus kawasan kediaman kami tidak ada pasar membekalkan daging halal jadi bila dua tiga bulan kami pergi ke Austin, kenalah beli lebih.  Sebenarnya Mak Long tidak kesah ada daging atau tidak.  Semuanya untuk bekalan Pak Long dan tetamu yang berkunjung ke rumah kami.  Mak Long lebih suka makan sayuran dan nasi.  Orang Melayu!  Lemah, meleleh air lior kalau tidak dapat makan nasi!  Esok Mak Long berangan hendak buat sambal tok tok resepi orang kampung.  Bahannya cili padi, ikan bilis, bawang besar, sedikit belacan, sedikit garam dan jus lemon.  Semua itu digoreng kemudian ditumbuk atau dikisar.  Hari-hari lauk itu pun tidak mengapa.  Sedap tau!

Beberapa bulan lepas Mak Long beli limau nipis dan buat jeruk.  Inilah hasilnya.. gambar bawah:



Limau Nipis Jeruk






























6 comments:

  1. Iyalah, kalau dah tekak Melayu mesti rindukan nasi dan lauk (mesti ada rasa pedas-pedas), kan? :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang betul Kakcik Nur. Cili padi memang sentiasa ada kat dalam peti sejuk. Mak Long tanam pokoknya, habis semua dimakan rusa. Beli ajer ler kemudian basuh bersih-bersih kemudian masukkan dalam freezer.

      Delete
  2. Mak Long...syok pulak bila start nih....kena cari time baca semua....excellent Mak Long...gambar pon cantik! Kirim salam kat Pak Long....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Uncle jengok blog Mak Long yang tidak seberapa ni. Saja mengisikan masa lapang dan anak-anak dan anak buah dapat mengikuti dan mengenali Mak Long lebih dekat.

      Delete
  3. Mak Long, lupa nak tanya.....jeruk limau tu makan lagu mana? As a pickle as in burgers? Ka makan lagu tu saja sambey tengok katun Merry Melodies?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hihihi Uncle, jeruk limau tu sedap dimakan dengan sambal belacan atau sambal tok-tok dengan nasi panas. Boleh makan lagu tu saja sebab Mak Long buat manis sikit.. Orang pompuan suka jerok!

      Delete