Warkah ini Mak Long abadikan kepada kedua orang anak buah yang sangat dikasihi sempena menyambut hari raya Aidil Fitri tahun 2011. Mak Long mengasihi mereka seperti anak kandungan sendiri malah lebih dari itu. Ibu mereka adalah adik kandung Mak Long yang telah kembali kerahmatullah pada May, 2011 akibat serangan barah payudara. Al-Fatihah...... kepada Mak Ngah adik Mak Long yang sangat disayangi semuga beliau ditempatkan di antara orang-orang yang soleh di alam akhirat. Oleh kesedihan yang amat menekan jiwa, Mak Long lemparkan segala kenangan dan ingatan penderitaan beliau di saat akhir yang menyayat hati jauh, jauh di suatu sudut di lubuk hati. Hanya saat ini Mak Long beranikan membuka dan menyingkap semula tirainya selama ini. Mak Long terlalu bersedih dan kesal tidak terhingga atas pemergiannya tetapi redha segalanya itu adalah qada' dan qadar yang sudah disuratkan oleh-NYA dari asali. Mak Long sedih dan kesal kerana keenggannya untuk melalui pembedahan payudaranya dengan perubatan moden ketika ia disahkan mendapat barah itu di peringkat awal. Sebaliknya ia rela membelanjakan jumlah wang yang besar untuk membeli perubatan homeopati, membayar tabib China yang kononnya telah berjaya mengubat penyakit barah. Bukan setakat berjumpa dengan tabib China sahaja malah selagi ada tok bomoh yang pandai terdengar di telinganya di situlah pergi wangnya. Tetapi apakan daya kami hanya mampu memberi nasihat, cadangan dan sokongan yang tidak pernah berbelah bagi. Sayang sekali empunya diri mempunyai dan mengambil pilihan sendiri. Mak Long rela pulang untuk bersamanya bila kehadiran Mak Long diperlukan sebagaimana di saat-saat akhirnya dulu.
Warkah ini adalah warkah kepada kedua Jan dan Yana sempena menyambut hari raya tahun pertama tanpa ibu dan ayah mereka. Ayah mereka juga pulang ke rahmatullah dua bulan terlebih dahulu dari Mak Ngah mengidap sakit kencing manis dan menderita patah tulang selangka setelah jatuh. Al Fatihah....... untuk Pak Ngah. Mak Long tidak dapat pulang lantaran tahun tersebut sudah dua kali penerbangan balik ke Malaysia dengan urusan keluarga.
"Jan" |
"Jan" |
"Hari Konvokesyen Yana 2011" |
"Assalamualaikum anak-anak Mak Long Jan dan Yana,
Semuga sihat dan sejahtera hendaknya. Sempena Ramadhan yang sudah pun hampir berlalu dan Syawal pula akan menjelang tidak beberapa hari lagi, Mak Long ucapkan selamat berpuasa dan Selamat Hari Raya Aidil Fitiri. Mak Long mohon maaf kelau selama ini ada silap dan salah dalam pertuturan atau silap faham Mak Long pada Jan dan Yana. Maklumlah sebagai insan biasa kita tidak hilang dari membuat kesilapan. Halalkan juga kiranya ada yang Mak Long termakan, minum atau terambil. Harapan Mak Long hendak berpuasa dan menyambut Aidil Fitri bersama keluarga di kampong tahun ini tidak dapat dipenuhi. Kita hanya dapat merancangkan tetapi Allah jua yang menentukan. Mudah-mudahan Allah perkenankan hajat dan harapan ini buat masa-masa hadapan. InsyaAllah. Namun ingatan dan rindu Mak Long untuk bersama Jan dan Yana serta keluarga hendak beraya bersama sangat terasa.
Duduk di rantau jauh dari keluarga, masa-masa menyambut perayaan seperti Ramadan, Syawal dan kenduri kendara sangat dirasai. Hiba dan rindu menyelungi perasaan.
Janganlah Jan dan Yana berasa terlalu sedih. Sudah begitu kehendak Allah tidak siapa dapat menyangkal. Setiap yang bernyawa Allah akan ambil semula nyawa itu dan kita hendaklah redha dan berserah kerana ia bukan hak kita. Allah pinjamkan nyawa ita sekejap sahaja, kemudian diambil balik. Kita tidak tahu bila nyawa kita pula diambil-NYA semula. Setiap musibah yang terjadi ada fadilatnya untuk menguatkan lagi semangat dan ketabahan hati kita kepada NYA. Allah sentiasa menduga keimanan setiap Muslim dan Muslimah, menunjukkan Allah sayang kepada kita.
Yang penting sekarang bagi kita semua yang masih hidup hendaklah meneruskan hidup selagi ada nyawa dikandung badan. Yang pergi tetap pergi dan tidak kembali. Inilah masa untuk kedua-dua anak Mak Long bangun meneruskan cita-cita masing-masing untuk masa hadapan. Tidak dapat disangkal rintangan dan dugaan sentiasa mengiringi usaha dan semangat kita. Mak Long tidak dapat dan tidak boleh ambil tempat menjadi ibu kandung sebagai ganti Mak, tetapi insyaAllah selagi Mak Long masih hidup, dan walaupun hanya bertaraf emak saudara anggaplah Mak Long ini ibu dan ayah untuk Jan dan Yana berdua. Mak Long sayang pada Jan dan Yana seperti anak kandung sendiri. Janganlah oleh sebab kita berjauhan menghalang perhubungan kasih dan sayang antara kita. Jangan putuskan hubungan kita. Ada masaalah bagi tahu Mak Long segera agar dapat kita selesaikan bersama.
Di sini juga ingin Mak Long ingatkan supaya rajin berusaha untuk kemajuan. Walaupun kita anak beranak miskin tetapi di luar sana ada banyak perkara yang baik boleh kita guna, buat dan cuba. Jan, rajin-rahinlah kerja dan cari kerja yang lebih baik dan mesti selalu beringat dan cermat bila dapat rezeki. Bila ada peluang untuk belajar, belajarlah. Yana, belajarlah rajin-rajin sampai berjaya agar dapat kerja yang baik juga. Sekarang ini manusia sentiasa berlumba merebut kejayaan dan kesenangan. Kita tidak mahu ketinggalan. Tetapi jangan pula lupa hal akhirat.
Mak Long percaya wang peninggalan arwah (insuran dan royalti kerja) mungkin sudah masuk account di bank. Gunakan dengan cermat dan bijak supaya tidak membasir dan merugikan. Segala harta peninggalan hendakalah dibahagi sama rata (bahagi dua) walaupun sedikit kerana itulah hasrat arwah kalau tidak masakan arwah membuat keputusan sebagimana yang dibuat dan ditinggalkannya? Sangat besar dosa dan buruk padahnya kalau tidak adil dalam pembahagian harta peninggalan orang yang sudah meninggal. Kita hendaklah menghormati keputusannya. Tidak baik bergaduh dan berbalah tentang rezeki. Segala hutang hendaklah dibayar supaya tidak menjadi masaalah pula. Sebaiknya jauhkan dari berhutang!
Ingin juga Mak Long beri pandangan dan fikirkanlah. Seeloknya masing-masing ambillah separoh sahaja dari bahagian peninggalan duit arwah untuk uruskan hutan dan keperluan penting. Separoh lagi simpan untuk guna waktu perlu. Manalah tahu ada keperluan lain buat masa hadapan pula tidaklah susah nanti. Mak Long maklum anak berdua membuat pinjaman PTPTN untuk pembelajaran kelian. Pinjaman ini hendaklah dibayar apabila habis belajar dan sudah bekerja. Jadi bayarlah dengan gaji sendiri walaupun sedikit jumlah bayarannya pelan-pelan hingga habis. Kalau gunakan wang peninggalan arwah semua untuk bayar hutang rasanya tidak bijak kerana wang habis begitu sahaja tidak berkat. Bang Hylmi dan Hayyu pun bayar sikit-sikit dengan gaji mereka bila sudah kerja. Mak Long harap Jan dan Yana ambil jalan yang bijak menguruskan kewangan supaya tidak susah dan bermasaalah di hari kemudian. Cermat dan berhati-hati dalam semua perkara dan tidak gelap mata bila dapat rezeki lebih. Kalau dekat Mak Long tidak bimbang dan Mak Long sentiasa boleh bantu Jan dan Yana.
Sekian dari Mak Long dan berharap Jan dan Yana jaga diri baik-baik. Jaga kesihatan dan keselamatan serta dekat-dekatkanlah diri dengan Allah.
Sayang dan rindu selalu,
Mak Long
August 27, 2011...."
"Bangga dengan kejayaan Yana - 2011" |
No comments:
Post a Comment