Pages

Wednesday, November 7, 2012

NOTA QUILT UNTUK KELUARGA AL QATANI

Assalamualaium,

Sejak berkecimpung dalam jahitan membuat quilt, tidak tahu berapa helai sudah dihasilkan.  Mak Long lupa berapa jumlah semua kerana terlalu banyak jumlahnya baik bersais kecil atau pun besar; quilt untuk selimut, untuk tutup katil, untuk digantung di dinding, alas meja, untuk bayi dan sebagainya. Setiap helai ada sebab berserta ceritanya tersendiri.  Di dalamnya juga tersimpan segala perasaan terluah yang membantu memberi ketenangan dan kepuasan hati apabila berhasil melahirkan quilt seperti yang digambarkan dalam benakan Mak Long.  Begitulah satu-satunya cara Mak Long mengisi masa lapang sambil berkarya dengan cara tersendiri.

Quilt dibawah ini dihadiahkan kepada sahabat baik kami May dan Batti Al Qatani yang tinggal di Al Jubail, Saudi Arabia.  Batti banyak membantu dalam serba serbi setiap kali Pak  Long berada dan bertugas di sana beberapa tahun (lima atau enam tahun?) ...entah!  Mak Long namakan quilt ini "Kehidupan Berpusing" berbentuk hirisan pie bila disusun menjadi lekaran satu bulatan.  Sedikit rumit menjahit dan mencantumkan kepingan-kepingan itu; begitulah juga kehidupan manusia itu selalu serta sentiasa rumit kalau tidak tahu atau tidak mahu menemui punca  untuk meniti kehidupan yang lurus dan kebenaran.

Bahagian bawahnya sesuatu yang mudah dan terang bercorak dam dan menampakkan hasil rekaan jahitan yang dijahit dari bahagian atas quilt.  Begitulah manusia, kalau hati jujur, bersih dan ikhlas akan terselah walau arah mana ia menghala.


Kehidupan berpusing (bahagian atas quilt)

Corak Dam (bahagian bawah quilt)

Quilt bayi ini dihadiahkan kepada anak sulung Batti dan May bernama Maha.  Menurut Batti quilt ini menjadi 'selimut busuk' Maha.  Setiap waktu tidur mahukan quilt ini.   Waktu bermain pun dia akan heret kesana sini.  Dapat dibayangkan keletah anak comel ini ha ha ha.  Seronok Mak Long dengar kerana dapat memberi hiburan dan ketenangan kepada seorang anak kecil ....Alhamdulillah..


Love Baby

Batti Saad Al Qatani



NOTA:

Carilah dan buatlah orang yang baik-baik sebagai sahabat kerana merekalah biasanya orang terdekat bisa memberi bantuan ketika susah setelah kita berjauhan dari pangkuan keluarga.


No comments:

Post a Comment