Pages

Friday, November 2, 2012

NOTA MENJENGOK PUTERI

Assalamualaikum ....di rumah keseorangan terasa sangat sunyi.  Tiada sesiapa hendak lawan berbicara.  Di bahagian tingkat atas rumah lagilah sunyi dan kosong hanyalah dua bilik tidur yang sentiasa kemas menunggu sesiapa yang ingin merihatkan badan yang letih dan mengantuk.  Di bilik kraft kecil pula tersusun berbagai jenis corak dan warna kain kapas di rak yang Pak Long buatkan khas.  Boleh dikatakan semua jenis alat jahitan untuk membuat quilt ada dalam bilik ini.  Sebuah mesen jahit dan lampu meja menunggu dengan sabar di atas meja jahit di tepi dinding.  Sebuah TV "flat screen nipis dan CD player" pun ada kalau hendak menonton sambil berkarya.  Cuma Mak Long sahaja masih belum bersedia untuk memulakan apa-apa pun.  

"Quilt" (satu daripada jahitan Mak Long tahun 2011)

Di luar rumah seperti biasa waktu pagi adalah masa untuk menabur jagung untuk rusa.  Terasa terlalu sejuk pagi itu memerlukan Mak Long memakai baju panas tebal.  Mak Long berkata-kata dengan rusa supaya jangan usik tanaman Mak Long.  Mereka tengok Mak Long seolah-olah mereka dengar  dan faham semua yang dikatakan.  Macam orang biol pulak Mak Long bercakap dengan binatang.  Di hati pulak rasa hendak pergi menjengok puteri kesayangan yang tidak dapat balik pada hari raya aidil adha.  Rindu rasa hati Mak Long kepadanya rasa tidak dapat di tahan-tahan.  Sebenarnya Mak Long sudah pun masak sebahagian menu yang hendak disediakan untuk hari raya bila puteri balik (janji hendak balik) .... lama tidak makan sama.  Akhirnya Mak Long ambil keputusan pergilah jengok puteri.  Mungkin dia sakit tidak sihat bolehlah Mak Long bantu mana yang boleh sebab semalam bila dia beri tahu tidak jadi balik suaranya macam penat dan tidak sihat sahaja.  

"Puteri"

Mak Long hantar email kepada Pak Long memberitahunya keinginan Mak Long hendak ke tempat puteri untuk beberapa hari.  Pak Long segera membalas email dan membenarkan cadangan Mak Long dan boleh pandu mana-mana kereta yang Mak Long suka antara Ford Escape dan Corvette.  Mak Long suka Ford Escape kerana pandangan luas dan jelas.  Selepas bagi rusa makan dan petik buah cili yang sudah tua tetapi masih warna hijau lagi, Mak Long pun berkemas dan susun barang-barang yang hendak dibawa bersama di dalam kereta.  Banyak juga yang hendak dibawak untuk puteri.... macam-macam barang.

Sudah hampir setahun Mak Long tidak memandu jauh sejak membedahan kedua-dua mata.  Masih belum begitu terang tetapi boleh untuk memandu terutama bila menggunakan alat GPS.  Mula-mula berasa janggal memandu jauh tetapi lama kelamaan jadi biasa.  Alhamdulillah...bersemangat kerana hendak jumpa anak kesayangan.  Bagus juga ada GPS ini mampu menunjukkan arah perjalanan.  Kalau tidak mungkin Mak Long tidak ada keupayaan sampai tanpa sesat jalan.  Lalu lintas walaupun banyak di jalan raya semuanya berjalan lancar dan terurus.  Mak Long selamat sampai di hadapan pintu apartment puteri pada pukul 2.30 petang.  Hmmmm....  Tidak nampak keretanya di kawasan letak kereta.  Dia tidak ada di rumah ke?  Pandai-pandailah tidak hendak bagi tahu puteri konon!  Rasakan !  Mak Long talipon, hmmmm dia berada di rumah kawan di Denton katanya.  Dia segera balik walaupun setengah jam kemudian.  Cuaca di sini lebih sejuk dari di kawasan rumah kami.  Mujurlah sudah bersedia dengan bekalan baju panas.

Puteri memang nampak "stress out".  Sebagai ibu Mak Long berasa sedih dan ingin membantunya sebaik mungkin.  Bila diajukan soalan apa masaalahnya?  "tak ada apa-apa hanya tak cukup rehat sebab banyak project sekolah yang semuanya hendak siapkan cepat-cepat.  Professor semuanya memendekkan masa untuk kami menyiapkan project".  Beberapa malam tidak tidur katanya.  Bertemu pulak seorang sahabat baiknya di UT, Arlington; begitu juga pendapatnya dan berkata "final year, auntie, is normal like that.  Everyone is stressed out about almost everything....."  Mak Long ini sudah tua, zaman Mak Long sekolah tinggi dulu pun tidaklah sampai hendak separoh mati tidak tidur dengan kerja sekolah.  Ini apa ke bendanya sampai macam itu teruknya.  Entah .... Susah hendak faham semua ini.?!? Zaman berbeza dan berubah betul .... dulu dan sekarang.  Tetapi hakikatnya yang sekarang dunia bertambah rumit..orang putih kata a complicated world.   Manusia sengaja membuat rumit pada benda yang mudah dan senang.  Pak Long pun fikir macam itu juga.  Katanya, di tempat dia bertugas, Ada seorang engineer..kelulusan bukan main tinggi, bila bab kerja macam dia sahaja pandai tetapi tidak mengikut procedure yang betul akhirnya terpaksa dia bertanya kepada yang berpengelaman.  


"Puteri"

Kereta puteri pun ada masaalah.  Lampu isyarat rosaklah, tempat duduk sebelah penumpang tanggal dan patah besilah entah apa-apalah lagi.  Mak Long kata ganas betul tidak pandai jaga harta benda.  Masaalahnya hakikat manusia kalau senang mendapat sesuatu dengan mudah tidak mengeluarkan sesen pun setengahnya tidak bersyukur rezeki yang diberi Allah SWT yang datang bergolek depan mata.  Puas mengingatkan menjaga harta dengan baik dan sentiasa bersyukur atas pemberian rezeki Dari Allah.  Semua masuk telinga kanan keluar Dari telinga kiri.  Mudahan suatu hari puteri akan menghargai rezeki yang datang keriba.  

Tanggal 2hb November (Jumaat) jam 8.30 pagi Mak Long betolak balik ke rumah.  Puteri kerja buat practical sekolah tahun akhir.  Puteri meminta agar membawak kucingnya si Orin balik bersama Mak Long. Jalanraya sibuk waktu pagi kerana bersaing dengan mereka yang hendak pergi kerja terutama di Dallas.  Dua kemalangan berlaku membuatkan jalanraya bertambah sesak.   Mak Long sampai kerumah pukul 12.45 tengahari.  Alhamdulillah...


"Orin"


 NOTA:

Seseorang ibu akan berkorban apa sahaja untuk anaknya sekalipun hatinya tersiksa dan menderita!




No comments:

Post a Comment