Pages

Saturday, November 10, 2012

Nota Perubahaan Ketara

Assalamualaikum ...

Hari ini Sabtu, cepatnya masa berlalu tanpa disedari.  Tidak ada sebarang jadual atau rancangan khusus hari ini untuk Mak Long.  Kerja rumah semua sudah siap sejak semalam. Bolehlah berehat-rehat sahaja hari ini.  Di luar angin terlalu kencang bertiup tidak berhenti-henti dari awal pagi tadi.  Waktu siang tidak berapa terasa sangat, tetapi apabila sudah malam bunyi angin menderu sayu dan menakutkan.  Kadang-kadang bunyi semacam pokok hendak tumbang sahaja.

Mak Long teringat ke kampung halaman yang jauh.  Sudah hampir satu tahun lebih tidak balik, rindu rasanya.  Teringat pulak ketika Mak Long balik pada akhir tahun 2010 dahulu kerana menghadiri hari konvo putera di Malaysia.  Sesekali balik selalunya Mak Long akan balik lama.. dua atau tiga bulan.  Biar berbaloi orang kata..

Suatu hari Mak Long pergi ke KLCC kerana ada temujanji dengan adik angkat untuk makan tengahari bersamanya.  Mak Long naik taxi sahaja, tidak berani memandu kereta.  Lalu lintas di bandaraya ini terlalu sibuk ... semua pemandu macam orang gila dirasok hantu bila duduk dibelakang setereng kereta.  Tambahan jalanraya semua sudah berubah dan banyak jalan baru.  Mak Long sampai awal dari adik ... Masa menanti itu Mak Long berjalan-jalan seorang melihat-lihat pusat beli-belah disitu.  Banyak perubahan di Kuala Lumpur.  Orang, kedai, barang-barang, bangunan dan macam-macam lagi.  Orang-orang yang berkunjung di KLCC bermacam ragam, rupa dan perangai.  Barangan jualan berharga lebih tinggi semuanya dari tahun-tahun yang telah lalu.  Mak Long rasa kurang senang hendak membeli belah bila Mak Long tengok harga-harga yang dipaparkan terlalu tinggi.  Mak Long sudah biasa membeli belah dengan angka bawah dari seratus bagi sesuatu barangan.  Namun begitu Mak Long cuba beranikan membeli sehelai selendang panjang dari sutera berharga RM79.00 (koman sahaja, yang termurahlah) dan empat helai serekop kepala dengan harga RM49.00 (yang paling murah juga sekali!!).  Adoi mahalnya bagi Mak Long!  Tetapi itulah hakikatnya sekarang.  Barang-barang semua berharga mahal tetapi kualitinya belum tentu lagi.  Tetapi mahal-mahal pun ada juga orang beli!!   Hmmmmm... orang Malaysia suka membeli belah terutama barangan yang berjenama dari luar negera.  Seorang wanita lalu di hadapan Mak Long, amboi....dari hujung rambut hingga ke hujung kaki dihias dan disalut dengan perhiasan kecantikan hingga hilang yang asli!!  Siap dengan talipon bimbit canggih dan cermin mata hitam besar melindungi kedua bijik mata.  Tertanya-tanya juga hati Mak Long tambah kehairanan ... untuk apakah itu semua dengan jenama yang belum tentu baik mutunya.  Untuk perlihatkan status kehidupan?  Untuk keunikan barang itu?  Untuk kelainan dari orang-orang lain?  Untuk menutup yang kurang atau untuk memberi keyakinan pada diri?  Entah apa-apalah... jadi pengkritik pulak Mak Long ini.  

Mak Long lihat adik angkat dan sahabatnya memiliki dan mengayakan kasut gaya (style) baru dan terkini, tas tangan kulit besar-besar yang berjenama terkenal belaka, setengahnya banyak Mak Long lihat di setiap lapangan terbang di bahagian "duty free" juga di semua pusat beli belah di Amerika dan di negara-negara yang pernah Mak Long lawat.  Adohai!!! Cantik belaka bag mereka mesti tinggi harganya, tetapi Mak Long segan hendak bayar mahal-mahal.. membasir duit.  Bukannya satu sahaja yang mereka miliki, malah lebih dari satu.  Nampaknya semua yang Mak Long amati di KLCC sahaja, itu belum lagi di luar sana; kebanyakan wanita di Malaysia suka bawak tas atau bag besar-besar macam hendak pergi pasar beli sayor.  Mak Long mempunyai tas tangan kecil sahaja lagi murah tetapi tidak kurang pula berkualiti dari tas tangan mereka.  Cemburu juga hati ini, bag Mak Long tidak ada kelaslah.  Ish!  Wahai hati janganlah berfikir begitu!  Mak Long sudah mempunyai semua dan mencukupi!!!  Bersyukurlah Mak Long!  Cara kehidupan yang sederhana lebih bermakna dan jiwa tenteram.



Hidup sederhana seperti bunga liar ini



NOTA:

Berjimat cermat sifat baik tidak membazir dan merugikan.



No comments:

Post a Comment