Pages

Tuesday, November 27, 2012

Nota Melawat Perth, Australia



Assalamualaikum....

Lawatan ke Perth, Australia telah banyak tahun berlalu, zaman muda-muda dahulu iaitu ketika Mak Long bertugas dalam bahagian kimia pertanian dengan sebuah syarikat antarabangsa Rhone Poulenc.  Janji syarikat tersebut sekiranya jabatan kami berjaya mengaut keuntungan terbesar melebihi dari budget tahunan yang ditentukan oleh syarikat kapada jabatan kami, setiap pekerja yang terlibat dalam jabatan itu diberi peluang untuk melancung di mana sahaja.  Pada tahun 1988 jabatan kami berjaya mengaut keuntungan yang besar.  Setelah beberapa perbincangan bersama diadakan Encik Ismail Yusoff sebagai pengurus di jabatan kami telah bersetuju untuk  melancung ke Perth, Australia selama seminggu lebih.  Semua perbelanjaan lawatan ditanggung beres oleh syarikat melainkan wang saku untuk perbelanjaan membeli-belah... itu kena tanggung sendirilah!!  Tugas Mak Long ialah memilih dan menghubungi sebuah syarikat pelancungan untuk mengurus, mengatur pernerbangan dan pelancungan kami ke sana.  

Inilah kali kedua Mak Long berpeluang melancung keluar negara.  Pernerbangan kami telah ditetapkan pada bulan January 1989.  Jumlah pegawai dalam jabatan kami ialah 10 orang.   Encik Ismail membawa isteri dan dua orang anak lelaki mereka.  Kami dibenarkan membawa suami atau isteri dan anak-anak bersama tetapi perbelanjaan mereka ditanggong sendirilah.  Pak Long tidak berminat hendak pergi sama.  Di lapangan terbang antarabangsa Perth, kami disambut oleh seorang lelaki Australia yang akan mengatur dan menguruskan pelancungan kami.  Pertama sekali kami dibawa ke hotel dahulu untuk bertukar pakaian yang lebih selesa.  Mak Long dapat keistimewaan sebuah bilik seorang.  Pegawai-pegawai yang lain berkongsi satu bilik untuk dua orang.


Angsa di Swan River

Cuaca ketika itu adalah musim panas.  Rupanya dalam musim panas di Perth ada banyak lalat.  Kalau sudah hinggap di batang hidung susah hendak halau pergi.  Kami dibawa ke banyak tempat di antaranya ialah Swan River.  Di sini banyak jenis angsa hitam dan putih terdapat di sepanjang sungai ini.  Kami dibenarkan memberi makanan seperti roti kepada angsa-angsa itu.  Di Fremantle Port kami menaiki cruise mengelilingi kawasan itu melihat suasana di sekeliling.  Satu hari kami berada dalam cruise itu.  Kali pertama Mak Long menaiki cruise...seronok!  Australia terkenal sebagai pengeluar batu permata opal dan kami berpeluang melawat tempat batu permata ini dilombong dan Mak Long sempat juga membeli beberapa biji opal untuk puteri sulung Mak Long. Kami diberi penerangan bagaimana opal dilombong, dibersih hinggalah menjadi batu permata yang cantik dan mahal harganya.  Selain dari itu kami dibawa melawat ke kebun anggur seterusnya ke tempat membuat minuman wine.  Pihak pembuat wine memberi cuba-rasa kepada mereka yang ingin merasa wine.  Mak Long cuba jus anggur yang belum jadi wine sahaja.  Enak dan manis rasanya.  Sayangnya oleh kerana sudah terlalu lama lawatan ini dibuat Mak Long sudah banyak lupa nama tempat-tempat yang dilawati.  Banyak juga gambar-gambar yang diambil telah musnah kerana keluarga sering berpindah randah.



Makan sarapan pagi
Muhamad Azmi Endut, Abdul Kadir Karim, Subramaniam, Mak Long dan Lim


Dalam Bus Pelancungan
Abdul Kadir Karim, Mak Long, Subramaniam, Laili (di belakang Subramaniam), Heng Bak Meng, 

Muhammad Azmi Endut dan ....(?) lupa nama dia!


1.  (a)  Bertolak ke Perth                  (b)  Taman penempatan koala bear                    (c)  Angsa di Swan River
2.  (a)  Angsa di Swan River            (b)  Masa membeli belah                                       (c)  Di kebun anggor
3.  (a)  Di taman                                 (b)  Keluarga En Ismail Yusoff                             (c)  Bersama keluarga En Ismail


Dalam gua di bawah tanah


Wombat

Wombat ialah sejenis binatang "marsupial" atau binatang yang mempunyai kocek (pocket) di bahagian perut.  Wombat banyak terdapat di Australia dan di kepulauan berhampiran dengannya.  Saperti  kangaroo, wombat betina apabila beranak, anaknya terlalu kecil tidak berupaya hidup di luar seperti anak-anak binantang lain.  Anak wombat itu merangkak masuk ke dalam kocek di bahagian perut ibunya untuk membesar selama kira-kira lima enam bulan lamanya barulah menjongol keluar.  Wombat makan rumput, akar,  kulit kayu dan waktu mencari makan pula ialah malam hari.   Binatang ini mengorek tanah dan tinggal dalam lubang (tunnel).







Nota:

Agrochemical Department personnels:
Pengurus :.... Ismail Yusoff
Setiausah sulit & Administrator : .... Mak Long
Research & Developmen : .... Lim Seow Sheong
Juru-jual .... Abdul Kadir Karim, Muhamad Azmi Endut, Laili, Heng Bak Meng, Lim pendek, Soong dan George Vargese




Saturday, November 24, 2012

Nota Thanksgiving Day Dan Black Friday

Assalamualaikum ....

Semalam jiran kami, Linda telah mengundang kami sekeluarga ke rumahnya untuk menyambut "Thanksgiving Day".  Hendak ditolak jemputannya rasa tidak baik dan tidak sopan pula.   Maka Mak Long pun setujulah.  Yang penting niat asal di hati bukanlah untuk bersubahat melangar akidah ugama kerana menerima undangan dari mereka.  

22hb November adalah harinya .... "Thanksgiving Day" atau dalam Bahasa Melayu lebih kurang maknanya ialah hari kesyukuran.  Perayaan ini disambut pada hari Khamis yang keempat pada bulan November setiap tahun.  Sambutan perayaan ini telah diistiharkan serta dikuatkuasakan sebagai cuti am bagi rakyat Amerika oleh President Abraham Lincoln dalam tahun 1863 yang masa itu berlakunya peperangan persaudaraan "Civil War" di Amerika.  



Pecan Pie

Makanan yang mereka sajikan lazimnya adalah ayam belanda (turkey) yang dimasak berbagai cara.  Selain dari itu ialah ubi kentang, ubi keledek, salad juga juadah-juadah manisan seperti pie, kuih muih sebagai mencuci mulut.  Pada hari itu terutama waktu makan malam ahli keluarga berkumpul menikmati juadah yang sudah dimasak.  Ada juga yang mengadakan waktu makan tengahari terpulanglah mengikut keselesaan individu keluarga itu.

Hampir pukul empat petang, Linda datang memberitahu mereka sudah sedia untuk makan, jadi Mak Long pun pergilah bersama puteri (puteri balik semalam).  Sebagai buah tangan Mak Long masak dan bawa semanggok besar nasi goring Melayu.  Di meja makan di bahagian dapur sudah penuh diatur makanan yang bermacam-macam.  Linda memberitahu nama dan jenis makanan yang disajikan itu.  Kesemuanya bahan sayuran belaka melainkan ayam belanda besar yang dibakar seekor kemudian dipotong-potong agar mudah memakannya.  Menurut mereka Bob, suami Linda memasak ayam belanda itu.  Kata Heather anak perempuan Linda, ayam belanda dimakan dengan "cranberry sauce" (kuah pekat dimasak dari buah cranberry). Beberapa jenis pencuci mulut juga ada seperti cheese cake, "macroon" (kuih kelapa bakar".  Meriahlah juga majlis itu dengan kehadiran Mary kakak Linda, Heather dan suami, Jennifer dan dua orang anaknya.  Mereka persilakan kami sebagai tetamu mengambil makanan dahulu.  Tidaklah begitu teruk sebagaimana yang Mak Long agak mula-mula dahulu.  Banyak makanan yang boleh dimakan dan minuman pun ada banyak pilihan.   Selepas makan kami minta diri dan mengucapkan terima kasih atas jemputan mereka.  

Beehoon goreng

Keesokan hari iaitu Jumaat adalah "Black Friday".  "Black Friday" adalah satu hari khas untuk membeli belah terbesar selepas menyambut Thanksgiving Day.  Semua kedai kecil dan besar, di pusat membeli belah mana-mana sahaja mengadakan Black Friday dengan menurunkan harga jualan yang paling rendah memberi peluang rakyat membeli barang-barang dengan harga rendah terutama bagi mereka membuat persediaan menyambut perayaan "Christmas" (Hari Natal) pula.  Banyak kedai menurunkan harga barang-barang jualan mereka hingga 80% dari harga asal.  Di kedai menjual alat letronik jangan ceritalah betapa sesaknya penggunjung ke situ.  Istimewanya kedai-kedai ini dibuka terlalu awal...seawal pukul tiga atau empat pagi.  Walau pun cuaca sejuk dan terlalu awal, ramai yang menggagahi untuk membeli belah.  Yalah kalau lambat keluar, tentu banyak barang yang diingini sudah habis dibeli orang lain.

Puteri menyatakan keinginannya pergi ke Black Friday.  Mak Long tidak ada rancangan lain, pergi jugalah membeli belah tumpang sibuk!  Waktu-waktu begini bawakan sahajalah duitnya atau kad plastik semua boleh dibeli dengan murah.  Kami pergi ke J C Penny pusat beli belah berdekatan dengan tempat tinggal kami, selepas itu kami ke Tanger-San Marcos Premium Outlet.  



Ayam Belanda liar






NOTA:

Hormati jiran tertangga dan berfikiran terbuka itu adalah baik.







Tuesday, November 20, 2012

Nota Gebar Kain Selimut Letrik

Assalamualaikum......


Gebar kain selimut letrik?  Hmmmm........... teringat waktu mula-mula Mak Long menjejakkan kaki di bumi Amerika ialah musim panas dan pada musim sejuk tahun yang sama pula, kami berkunjung ke kampung halaman Pak Long di Wicklift, Kentucky di rumah bapa saudara PO dan isterinya Frances.  Salji turun tebal hampir ke paras lutut.  Sejuk bukan main lagi.  Seluruh badan Mak Long berbintik ruam merah, berasa gatal-gatal perit ... ha ha ha dapat "snow bite" kata Pak Long.  Hawa panas yang dipasang dalam seluruh rumah bagaikan tidak terasa panas walau sedikit suamnya  melainkan sejuk juga.  Dalam hati berkata-kata ".... apa rahsia semua orang sini tidak terasa sejuk?  Aku pakai baju tebal pun masih terasa sejuk sampai ke tulang....."  Sedih hati Mak Long dan berasa tidak seronok betul, rasa hendak balik ke Malaysia bukan kepalang.   

Waktu malam lagilah sejuk terasa ........ Kalau di rumah sendiri memamg sudah Mak Long berbungkus macam buat tapai ubi!  Sebelum kami masuk tidur Aunt Frances menghulurkan se helai gebar warna merah jambu kepada Mak Long.  Katanya "outlet" (tempat sambung swis letrik) sebelah katil.  Di dalam hati bertanya juga .. apa pasal pulak dia cakap tentang swis ada sebelah katil?  Hendak bertanya malu pulak!  Bodohnya Mak Long kan!  Setelah mengucapkan terima kasih dan selamat malam kepadanya Mak Long pun bawa terus masuk ke bilik tidur kami.  Mak Long tunjukkan gebar itu pada Pak Long dan tanya kenapa Aunt Frances suruh guna swis sebelah katil (Mak Long tidak perasan ada wire halus di hujung gebar itu).  Pak Long senyum lebar sambil mengambil gebar itu dari Mak Long.  Dia memang suka menyakat Mak Long tidak habis-habis.  Sakit hati!  Dia suruh Mak Long baring dahulu sementara dia pasang swis kemudian selimutkan Mak Long dengan gebar itu.  Pak Long cakap baring diam-diam jangan bergerak nanti kena karan!  Pak Long pula buat selamba sahaja.  Aduhai!  Malam itu Mak Long semalaman tidak bergerak sedikit pun, tidur lurus macam kayu sebatang!  Gebar itu sebenarnya memberi kepanasan yang menyelesakan.  Pagi-pagi bila bangun Pak Long tanya..."you did not moved dear ?.."  dan ketawakan.  Cis! 



Rumah tinggal - Rumah Putih
Pak Long dibesarkan di rumah ini






NOTA:

Kalau malu bertanya, sesat jalan;
Kalau ingin tahu, bertanya



Sunday, November 18, 2012

Nota Musim Sejuk Di Benua Amerika

Asslamualaikum...



"Snowcap" di puncak gunung
Musim sejuk sudah pun bermula untuk tahun 2012 di Benua Amerika.  Begitu jugalah aktiviti musim sejuk sudah bermula seperti sambutan perayaan Halloween diadakan pada akhir bulan Oktober; perlawanan permainan bola sepak Amerika (American football) dan memburu binatang (rusa, itik liar dan lain-lain binatang) sedang rancak dan hebat.  Tidak lama lagi perayaan menyambut "Thanks Giving" dan "Christmas" (hari Natal) pula akan tiba.   Bagi negeri-negeri di sebelah utara pula aktiviti bersukan peluncur salji (ski) sangat popular di mana kebiasaan salji turun dengan tebal dan sangat sesuai untuk sukan itu seperti di Colorado, Montana, Utah dan lain-lain negeri. Musim inilah mereka mengaut keuntungan dari pelawat-pelawat yang berkunjung untuk bersukan musim sejuk.

Walaupun musim sejuk menjadikan lankskap begitu menarik dan indah di kaca mata dengan salji memutih menghampari bumi terutama di daerah pergunungan, perhutanan, padang dan tasik tidak selalunya menjanjikan keselamatan dan ketenangan.  Malapetaka seperti ribut salji sering berlaku menjadikan keadaan sangat merbahaya dan getir.  Waktu siang lebih pendek sedang  waktu malam pula lebih panjang.  Menjadi amalan di sini masa-jam dilambatkan sejam kemudian ditukar kembali ke waktu asal apabila musim bunga hampir tiba.  Ini adalah memberi kemudahan terutama kepada anak-anak ke sekolah dan orang awam ke tempat kerja. 

Pertama kali Mak Long merasa pengelaman musim sejuk ialah di Korea Selatan berpuluh tahun yang lalu.  Ketika itu Mak Long bertugas dengan satu daripada syarikat antarabangsa terbesar yang beroperasi secara besaran mengedalikan "warehouse" cawangannya di Petaling Jaya, Malaysia sebagai pengedar bahan "pharmaceuticals" , kimia, agrochemical dan veterinary kepada kerajaan Malaysia dan di sektor-sektor persendirian.


Salji di Freeport tahun 2004


Apabila berhijrah ke bumi Texas, Amerika ... setiap tahun mengalami musim sejuk.  Mula-mulanya sangatlah bermasalah bagi Mak Long kerana tidak tahan cuaca sejuk.  Kulit menjadi kering dan alahan dengan ruam gatal-gatal walaupun disapu dengan cream pelembut kulit di seluruh badan sepanjang hari.  Hidung juga sering berdarah!  Bukan itu sahaja Mak Long mudah dapat selsema dan batuk.  Bila malam tidur berbungkus tebal macam lepat pisang!!  Lama kelamaan semua itu beransur hilang dan menjadi kebiasaan pula.




Puteri seronok buat kepak "angel"

Di Freeport di mana kami mula-mula tinggal dahulu iaitu di timur selatan Houston, Texas lazimnya salji tidak ada tetapi kami mendapat sejuknya sahaja.  Setelah kami berpindah di kediaman kami sekarang di utara barat "Hill Country" salji biasa turun hanya beberapa inci sahaja tebalnya.  Tidak ada peluang untuk bermain "ski" ...... buat "snowball" bolehlah!   

Puteri terlalu ingin melihat salji turun.  Akhir tahun 2003 kami bawa puteri melawat keluarga Pak Long di Kinkekee dan Chicago, Illinois dalam musim sejuk berharap dapat bermain salji tetapi hampa!  Dapat sejuk hingga ke tulang di bawak aras beku sahaja.

Selama kami tinggal di Freeport hanya sekali sahaja mengalami salji turun iaitu pada malam Christmas tahun 2004.  Doa puteri dimakbulkan Allah, ... alhamdulillah.  Waktu itu Pak Long berada jauh di Negeri China kerana tugasnya.  Waktu pagi apabila hendak menggunakan air untuk berwuduk, didapati paip beku tiada keluar air.  Mak Long jadi kelam kabut tidak tahu bagaimana hendak mengatasi masalah paip beku lalu terus menghubungi Pak Long.  Sudahlah begitu lupalah pulak untuk menghubungi dan bertanya kawan berhampiran sebelum menalipon Pak Long yang jauh.  Pak Long cakap "...Deeeearrrrr......, I am in Chinaaaaa .....!"  Haiyaaa...... tahulah tetapi apa mesti buatlah?  Hendak nangis Mak Long... Pak Long kesihan lalu katanya ambil air panas dan jiruskan pada batang paip besar hala masuk ke dalam rumah.  Nasib baik Mak Long ada air dalam botol besar ... dapatlah panaskan air dan lakukan nasihat Pak Long.  Lain kali kata Pak Long, hendaklah dibuka kecil satu dari paip air dalam rumah agar air mengalir sepanjang waktu apabila suhu cuaca terlalu sejuk di bawah aras beku.

Tahun lepas 2011, kami (Pak Long ada di rumah!) lupa membuka paip agar mengalir sepanjang malam, pada pagi esoknya paip beku!  Daaa.... Pak Long cuba memanaskan batang paip besar dengan mesen pemanas dan air panas tetapi tidak berhasil kerana sebahagian besar saluran paip tertanam dalam dinding garage.  Seminggu kami tiada bekalan air!  Bayangkanlah....!!!!  Nasib kami baik kerana tiada saluran paip yang pecah kerana pembekuan itu.  Tahun ini belum tahu bagaimana keadaan samaada  turun salji atau hanya dapat sejuk sahaja.  Mak Long sudah bersedia... tanaman (kunyit, halia, lengkuas dan semua tanaman tropika) yang perlu diselamatkan dari cuaca sejuk sudah dikumpul untuk dimasukan ke dalam garage bila perlu.      


Musim sejuk di Kentucky


Musim sejuk di beberapa tempat di Amerika







NOTA:

Ilmu pengetahuan dan pengelamanan membantu menyelesaikan  masalah kita.

Friday, November 16, 2012

Nota Halloween

Assalamualaikum...

Mak Long ingin bercerita sedikit tentang sambutan Halloween sebagai pengetahuan kepada anak-anak muda kita di Malaysia sekarang khasnya, yang pernah Mak Long saksikan berpakaian dan bertopeng seolah-olah bersama merayakan sempena Halloween agar memahami apakah itu Halloween sebenarnya.  

Dihadapan pintu rumah juga dihias 

Hadapa rumah dihias seperti keadaan di kubur

Halloween ialah suatu sambutan perayaan tradisi orang barat dan Amerika amnya.  Perayaan ini adalah juga satu tradisi lama yang dirayakan semenjak turun temurun lagi dalam sejarah dan adat kehidupan manusia.  Ia masih lagi dirayakan di banyakan tempat di seluruh dunia hinggalah ke masa kini.  Halloween disambut untuk mengingati hari orang yang sudah mati atau dalam bahasa Inggerisnya "Day of the Dead" selain itu dipanggil juga sebagai "All Saints Day" .... (perkataan saint digunakan sebagai pangkat pada ahli gereja seperti St Paul, St Peter dan sebagainya.  Juga ia bermakna sebagai orang yang dianggap keramat, tinggi akhlak terutama dalam hal-hal agama kristian).  Di setengah tempat dan negera mereka masih menyambutnya mengikut tradisi lama dengan melakukan beberapa upacara bagi menghormati dan mengingati nenek moyang mereka dahulu.


"Trick or treat..."
Kanak-kanak berpakaian seragam Halloween

Halloween juga bermakna menandakan tamatnya musim panas dan musim penuaian tanaman dan ternakan (harvest season) seterusnya menyambut kedatangan musim sejuk.  

Halloween disambut dan dirayakan setiap tahun pada malam 31hb Oktober.  Ia dipercayai berasal dari Ireland dan dikatakan juga hari cuti umum yang paling tua sekali di dunia.  Sejarahnya bermula dari perayaan Celtic kunu dikenali sebagai penyembahan hasil tuaian kepada Samhain .... sambutan perayaan juga bermakna akhirnya musim penuaian tanaman oleh adat orang Gaelic dahulu kala.  Ketika inilah juga mereka menuai tanaman untuk bekalan makanan dan kegunaan semasa dalam musim sejuk.  Mereka juga percaya pada malam 31hb Oktober adalah malam menamatkan masalah antara orang hidup dan roh orang mati.  Roh orang yang sudah mati kononya menganggu orang yang masih hidup dengan membawa berbagai penyakit dan kemusnahan pada tanaman.  Di Upacara ini orang-orang Gaelic memakai pakaian beragam dan bertopeng menyerupai rupa hantu dengan bermaksud mengelirukan hantu-hantu yang keluar supaya tidak mengganggu mereka yang hidup serta bermaksud juga menghalau hantu-hantu itu keluar dari kampung halaman mereka.  Mereka menghidupkan ungun api serta melemparkan tulang-tulang binatang ternakan kedalam ungun api itu sebagai pemberian kepada hantu-hantu.


Di dalam bakul berisi gula-gula yang dipungut di rumah ke rumah

Perayaan Halloween masa kini mereka meriahkan menyambut dengan memberi gula-gula, coklat kepada kanak-kanak yang datang dari rumah ke rumah malam itu yang menyalakan lampu di pintu hadapan rumah mereka.... Kanak-kanak akan ketuk pintu dan berkata "trick-or-treat!!..." sambil menghulur bakul atau guni kecil sebelum diberi hadiah gula-gula oleh tuan rumah.  Di Amerika, sambutan Halloween sudah menjadi satu tradisi yang disambut setiap tahun sejak kedatangan orang-orang dari Scotland ke benua ini dalam abad 1800an dahulu.  Ia juga menjadi satu dari hari cuti penting selain hari cuti Christmas.  Buah labu terutama labu kuning memainkan peranan penting dalam sambutan Halloween di Amerika.  Kebanyaknya labu hanya sebagai hiasan di dalam dan di luar rumah sempena sambutan itu.  Labu kuning itu dilorek berbagai rupa dan mengeluarkan bijian dari dalamnya; ada yang ditoreh dan ditebok menyerupai berbagai bentuk rupa hantu, bunga dan sebagainya.  Setelah siap dalam labu itu akan dibubuh lilin dan dinyala sebagai lampu.



"Trick or Treat!!...."

Setengah orang berbelanja besar membeli gula-gula


Melorek dan menebuk labu kuning

Lampu lilin dalam labu yang sudah dilorek 




NOTA:


Sekadar memberitahu apa itu Halloween...






Thursday, November 15, 2012

Nota Pagi Maal Hijrah

Assalamualaikum..

Alhamdulillah hari ini ialah hari pertama tahun baru bagi umat Islam.  Malam tadi rasa terlalu sejuk tetapi sengaja Mak Long tidak menghidupkan hawa panas.  Lebih sedap dan lena kalau suhu dalam rumah sejuk bila waktu tidur tetapi masaalahnya pula bila hendak bangun pagi terlalu sejuk .. rasa keras tulang-tulang hendak bangun waktu subuh.  Biasa Pak Long akan bangun lebih awal dan hidupkan hawa panas untuk Mak Long.  Sayang, pagi ini kenalah buat sendiri.

Azan dari jam digital menandakan waktu subuh sudah masuk berkumandang di dalam rumah disambut pula dengan bunyi alarm dari talipon bimbit Mak Long.   Orin, kucing puteri sudah bising mengerakkan Mak Long.  Sibuk dia turun naik katil bila tengok Mak Long belum bangun lagi.  Hmmmm kucing pun tahu macam tugasnya pula untuk mengingatkan manusia agar bersolat.  Terima kasih Orin!  Bila Mak Long sudah bangun dan bersedia untuk bersolat, Orin sudah duduk di tepi katil tunggu Mak Long menunaikan kewajipan di pagi hari.

Selepas semuanya sempurna, konon Mak Long hendak main satu game untuk mengera otak di pagi hari (tiap-tiap pagi sebelum sarapan Mak Long amalkan bermain game seperti jig-saw puzzle kerana ia membuat otak kita berfikir).  Orin datang lagi mendekati dan meleset-leset kaki Mak Long kemudian pergi ke mangkok air dan pinggan makannya.  Oooo Si Orin hendak sarap pagi.   Pandai betul kucing ini mengingatkan orang tua dalam rumah ini!!  Kalau dia tidak buat begitu mungkin Mak Long tidak ingat hendak bagi dia makan.... mudahan tidak sampai begitu.

Selepas Orin makan dia datang lagi sambil mengiau-giau.  Apalah pulak hendak kucing ini. Mak Long biarkan sahaja dia begitu tapi tidak mahu berhenti dia dari buat bising.  Dia pergi balik ke hadapan pintu kaca di sebelah belakang rumah sambil melihat keluar.  Mak Long ikut dia ke pintu dan lihat keluar.  Matahari pagi sudah bersinar cantik dan ..... Ohh  ada rusa sudah datang tunggu Mak Long tabur jagong rupanya!!  Yelah! yelah! .... Orin! Orin! Orin!  Sejuk tahu pagi ini .... 38 degrees F.  


Orin
Tengok rusa di belakang rumah


Rusa
Kutip jagong dan tengok Orin




NOTA;

Kasihilah pada binatang-binatang.  Mereka juga mahlok ciptan Allah

Wednesday, November 14, 2012

Nota Maal Hijrah

Bismillahirahmannirrahim...

Esok ialah 15hb November, 2012 bersamaan 1 haribulan Muharram dalam kalendar Islam juga dipanggil Maal Hijrah merupakan suatu hari yang penting bagi umat Islam sebagai memperingati penghijahan Nabi Muhammad s.a.w. dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi.  Peristiwa bersejarah itu berlaku pada 1 Muharram tahun baru bagi Takwim Hijrah.  Namun Tahun Hijrah Rasullah s.a.w. dari Makkah ke Madinah itu diambil sebagai permulaan kiraan bagi kalendar Hijrah.




Nama bulan Islam:

Berikut adalah nama bulan Islam dan asal-usulnya (yang kebanyakannya muncul sebelum Islam lagi).  Kebanyakan nama tersebut timbul sempena cuaca ketika suatu peristiwa besar berlaku ataupun sempena peristiwa besar tersebut.  Walau bagaimanapun, oleh kerana semuanya adalah nama bulan dan bulan berubah 11 hari lebih awal setiap tahun, maka, musim atau peristiwa asal tidak begitu mempengaruhi nama sesetengahnya kini.

1.  Muharram al-Haram (dipendekkan kepada Muharram)
  • Bulan ini mengambil perkataan "Haram" yang bermaksud terlarang.  Ini disebabkan budaya atau tradisi Arab mengharamkan sebarang peperangan pada bulan ini.  Selepas munculnya Islam, Allah meneruskan budaya ini lantas menjadi satu antara empat bulan haram dalam Islam.
2.  Safar
  • Perkataan ini bermaksud tiupan angin.  Ketika nama tersebut mula diguna pakai, kemungkinan yang ketika itu adalah waktu yang berangin.  Safar juga menunjukkan yang masyarakat Arab (badwi) meninggalkan rumah mereka.
3.  Rabiulawal
  • Bulan pertama musim bunga iaitu masa ketika bulan tersebut dinamakan.
4.  Rabiulakhir
  • Bulan kedua musim bunga.
5.  Jamadilawal
  • Bulan pertaman musim panas.  "Jumada" bermaksud kering.
6.  Jamadilakhir
  • Bulan kedua musim panan.  Jamada, juga bulan yang lain juga lebih sejuk, yang membawa maksud telaga menyejuk adalah suatu yang biasa ketika itu.
7.  Rejab
  • Satu lagi bulan suci yang mengharamkan perlawanan atau peperangan dan salah satu bulan yang dihormati.  Ia juga dikenali sebagai Rajab al Fard bermaksud keseorangan, kerana tiga bulan suci yang lain berada jauh dan berturutan berbanding Rejab di tengah-tengah.
8.  Syaaban
  • Bulan ini terbit dari perkataan "syu'ba". bermaksud berpecah/menyimpang.  Masyarakat Arab dahulu sering keluar dan berpecah untuk mencari air.
9.  Ramadan
  • Diambil daripada perkataan "ramada". yang bermaksud batu panas.  Ini menceritakan ketika nama tersebut diberikan, keadaan amat panas ketika itu.
10.  Syawal
  • Diambil daripada perkataan yang membawa maksud, apabila unta betina bunting.  Ketika ama bulan ini diberikan, lazimnya unta betina bunting pada ketika itu.
11.  Zulkaedah
  • Diambil daripada perkataan "qa'ada" bermaksud untuk duduk.  Inilah bulan suci ketiga yang mengharamkan sebarang pertempuran.  Kebanyakan orang juga mula menghentikan aktiviti perniagaan mereka untuk duduk dan bersedia untuk menunaikan Haji.
12.  Zulhijah
  • Ini adalah bulan suci terakhir dalam setahun dan dilarang melakukan sebarang pertempuran kerana pada bulan ini, haji dilaksanakan.  Perkataan tersebut juga mengambil perkataan "haji" sebagai rujukan nama bagi bulan haji ini.
Semuga kita gigih berusaha untuk berhijarah ke peringkat yang lebih baik dan memberi keimanan dan kejayaan dalam hidup kita dunia dan di akhirat hendaknya.... Amin yarabbal'alamin.









NOTA:  

Bahan rujukan adalah dari Takwim Hijrah dari laman Wikipedia



Nota Musim Luruh Di Benua Amerika

Bismillahirahmannirahim...


Musim berlalu silih berganti mengikut giliran masing-masing memenuhi putaran empat musim setiap tahun di Benua Amerika bumi Allah yang maha kaya dan maha indah. Setiap musim mempunyai ciri dan sifat masing-masing yang berlainan dan unik. Musim luruh, musim sejuk, musim bunga dan musim panas. Semua musim indah.......Mak Long sangat menyukai tinggal dan menikmati cuaca berlainan di negara yang beroleh empat musim dan rasa sungguh bertuah dan bersyukur ke hadrat Allah SWT yang telah mencucuri hidup Mak Long dengan rahmat, kesejahteran dan nikmat yang dilimpahi. Diberi-NYA peluang untuk merantau jauh dari tanah air sendiri ke merata pelusuk di muka bumi Allah yang kaya ini.  Walaupun begitu Mak Long sentiasa merindui tanah tumpah darah sendiri walaupun belum sehebat seperti di negara yang lebih canggih dan maju.  Tempat jatuh lagi dikenang inikan pulak tempat mula mengenal erti hidup!!


Guadalupe River, Texas

Teringat pula ketika masih di bangku sekolah rendah (tahun 1959-1961) darjah empat, lima dan enam dahulu kami di ajar Ilmu Alam (Georgraphy) sekitar meliputi seluruh dunia. Kami diberitahu bagaimana gunung berapi boleh meletop mengeluarkan lava cair yang panas, bagaimana hakisan angin dan air membantu mengujutkan perubahan landskap alam juga termasuklah berkenaan dengan udara dan cuaca. Ketika itu guru kami tidak mempunyai bahan lengkap untuk mengajar kami seperti gambar-gambar atau video untuk kami lihat, mereka hanyalah berpandukan buku teks sahaja. TV pun belum ujut lagi di Malaysia.  Semua itu sudah cukup bagi menjadikan satu impian Mak Long yang masih mentah ketika itu untuk menjelajah dunia melihat sendiri keindahan dan keajiaban alam ciptaan Allah.




Inks Lake, Texas


Pertengahan tahun 1997 dalam musim panas kami berhijrah ke Texas membina hidup yang serba serbi baru bagi Mak Long. Cuacanya sungguh panas dan kering, kadang kala panas lembah hingga mencecah 115 degrees berlainan dari cuaca di Malaysia yang berhawa panas lembab sepanjang tahun. Seperti orang lain yang menjadi pendatang baru di sesebuah negara Mak Long juga menghadapi beberapa masaalah untuk menyesuai diri di tempat asing.... makanan dan minum, jiran, bahasa (Mak Long guna bahasa Inggeris British), cuaca dan berbagai. Alhamdulillah semuanya dapat diatasi dengan bantuan Pak Long.


Rebecca Creek, Texas

Selepas musim panas ialah musim luruh.  Di Texas musim luruh di mana kami tinggal mula-mula berhijrah dulu di Freeport letaknya timur selatan bandaraya Houston sebelah pantai Gulf of Mexico tidak banyak perubahan.  Dedaun tidak banyak bertukar warna sebelum keguguran ke bumi.  Cuaca musim luruh pula tidak begitu sejuk dibandingkan dengan negeri-negeri lain di sebelah utara.  


Indahnya alam ciptaan Illahi
Pada tahun 2010 kami berpindah ke bahagian bukit tinggi utara tengah Texas (Texas hill country).  Di sini cuacanya berlainan sedikit dari Freeport.  Bila musim luruh hampir tiba selepas musim panas cuaca beransur sejuk.  Ada kala kami perlu menghidupkan hawa panas dalam rumah terutama waktu malam dan awal pagi.  Kebanyakan daun bertukar warna kemerahan dan kuning keemasan akhirnya gugur ke bumi. Ada juga pokok-pokok tidak langsong bertukar warna daunnya seperti pokok oak dan pokok cedar (juniper tree).  Pokok-pokok ini juga tidak gugur daunnya.


Pak Long menikmati cuaca baik di Colorado

Negeri-negeri di sebelah utara Amerika seperti di Colorado, Utah, North Dakota, South Dakota, Montana, Kentucky, Carolina dan lain-lain negeri pokok-pokok bertukar warna warni lebih hebat lagi kecantikannya.  Terutama apabila pancaran matahari menyinari daun-daun yang sedang menguning.  Kuasa kecanggihan kamera mampu menangkap keindahan alam, tetapi tidaklah sama kalau dinikmat dan dilihat dengan mata kepala sendiri.


Musim luruh di Texas

Musim luruh di North Carolina

Musim luruh di merata tempat di Amerika
(tempat-tempat yang kami singgah)




NOTA:

Kata perpatah Melayu;  jauh perjalanan banyak pengelaman seseorang itu.





Monday, November 12, 2012

Nota Cuci Kereta

Hari minggu ialah hari rehat bagi mereka yang berkerja atau menghabiskan masa bersama-sama keluarga atau sahabat; atau melakukan apa sahaja apa yang tidak dapat dilakukan ketika hari-hari biasa.  Bagi mereka yang sudah pencen seperti Mak Long, hari-hari sama sahaja kalau tidak dirancang aktiviti harian.  Mak Long suka tinggal di rumah, banyak kerja dapat dilakukan kalau rajin.  

Suhu pagi musim luruh sejuk kekadang berangin kencang.  Mak Long rancang dari malam tadi kalau tidak sejuk dan tidak berangin cadang hendak cuci kereta kami.  Banyak bermacam serangga melekat di hadapan kereta ketika memandu ke bandar sehari lepas.  Lama tidak buat kerja cuci kereta, biasanya Pak Long buat kerja ini, Mak Long sekadar tolong lap-lap sahaja.  Bahagian kereta yang sama tinggi dapatlah dicuci tanpa masaalah.  Hmmm terpaksalah guna tangga.  Ha ha ha masaalah orang pendek!!!  

Tanpa disedari segala perbuatan Mak Long rupanya ada permerhati!  Bahaya sungguh! nasib baik Mak Long tidak jatuk ke dari panjat tangga plastik itu.  Jiran sebelah rupanya sedang memerhati gerak-geri.  Dia (Linda) lambai-lambai sambil dia menghampiri tempat Mak Long sedang sibuk!!  

Linda :          Hello neighbour!  Why so long no see?  Are y'al alright?

Mak Long:   Hello Linda, I am fine..thank you.  What's up?


Linda :         Oooo..I am just checking on you because I don't see much of both of you. 
                    Bob and I are worried about you if something has happened.

Mak Long:   Thank you for checking on us.  We are just fine.  He is in Saudi for a few
                     months.......working.

Linda :         Ooooo yaa reallyyyy.....we didn't that!  Call us or knock on our door if you need
                    anythin..... or we can go out for breakfast or lunch together then we can go to 
                    the store or....bla...  bla...  bla... bla...  bla

Mak Long ini tidak berapa gemar bersembang lama-lama buang masa, terutama bila ada tugas yang belum beres.  Bukannya sombong atau tidak sudi bersembang-sembang.  Kalau sudah bersembang nanti macam-macam cerita masuk dan kerja pun tidak siap.  Tetapi Mak Long sangat menghargai sikap jiran yang mengambil berat di antara satu sama lain demi keselamatan sesama.  Mak Long jemput Linda masuk ke rumah, boleh minum kopi atau teh tetapi beliau menolak, mungkin hendak beritahu Bob suaminya cerita yang baru diketahuinya.  Mak Long senyum sendiri, senang hati dapat meneruskan kerja cuci kereta sampai habis.  



Kereta sudah bersih!





NOTA:

Hormat dan kasihi jiran tertangga kita.