Pages

Saturday, November 24, 2012

Nota Thanksgiving Day Dan Black Friday

Assalamualaikum ....

Semalam jiran kami, Linda telah mengundang kami sekeluarga ke rumahnya untuk menyambut "Thanksgiving Day".  Hendak ditolak jemputannya rasa tidak baik dan tidak sopan pula.   Maka Mak Long pun setujulah.  Yang penting niat asal di hati bukanlah untuk bersubahat melangar akidah ugama kerana menerima undangan dari mereka.  

22hb November adalah harinya .... "Thanksgiving Day" atau dalam Bahasa Melayu lebih kurang maknanya ialah hari kesyukuran.  Perayaan ini disambut pada hari Khamis yang keempat pada bulan November setiap tahun.  Sambutan perayaan ini telah diistiharkan serta dikuatkuasakan sebagai cuti am bagi rakyat Amerika oleh President Abraham Lincoln dalam tahun 1863 yang masa itu berlakunya peperangan persaudaraan "Civil War" di Amerika.  



Pecan Pie

Makanan yang mereka sajikan lazimnya adalah ayam belanda (turkey) yang dimasak berbagai cara.  Selain dari itu ialah ubi kentang, ubi keledek, salad juga juadah-juadah manisan seperti pie, kuih muih sebagai mencuci mulut.  Pada hari itu terutama waktu makan malam ahli keluarga berkumpul menikmati juadah yang sudah dimasak.  Ada juga yang mengadakan waktu makan tengahari terpulanglah mengikut keselesaan individu keluarga itu.

Hampir pukul empat petang, Linda datang memberitahu mereka sudah sedia untuk makan, jadi Mak Long pun pergilah bersama puteri (puteri balik semalam).  Sebagai buah tangan Mak Long masak dan bawa semanggok besar nasi goring Melayu.  Di meja makan di bahagian dapur sudah penuh diatur makanan yang bermacam-macam.  Linda memberitahu nama dan jenis makanan yang disajikan itu.  Kesemuanya bahan sayuran belaka melainkan ayam belanda besar yang dibakar seekor kemudian dipotong-potong agar mudah memakannya.  Menurut mereka Bob, suami Linda memasak ayam belanda itu.  Kata Heather anak perempuan Linda, ayam belanda dimakan dengan "cranberry sauce" (kuah pekat dimasak dari buah cranberry). Beberapa jenis pencuci mulut juga ada seperti cheese cake, "macroon" (kuih kelapa bakar".  Meriahlah juga majlis itu dengan kehadiran Mary kakak Linda, Heather dan suami, Jennifer dan dua orang anaknya.  Mereka persilakan kami sebagai tetamu mengambil makanan dahulu.  Tidaklah begitu teruk sebagaimana yang Mak Long agak mula-mula dahulu.  Banyak makanan yang boleh dimakan dan minuman pun ada banyak pilihan.   Selepas makan kami minta diri dan mengucapkan terima kasih atas jemputan mereka.  

Beehoon goreng

Keesokan hari iaitu Jumaat adalah "Black Friday".  "Black Friday" adalah satu hari khas untuk membeli belah terbesar selepas menyambut Thanksgiving Day.  Semua kedai kecil dan besar, di pusat membeli belah mana-mana sahaja mengadakan Black Friday dengan menurunkan harga jualan yang paling rendah memberi peluang rakyat membeli barang-barang dengan harga rendah terutama bagi mereka membuat persediaan menyambut perayaan "Christmas" (Hari Natal) pula.  Banyak kedai menurunkan harga barang-barang jualan mereka hingga 80% dari harga asal.  Di kedai menjual alat letronik jangan ceritalah betapa sesaknya penggunjung ke situ.  Istimewanya kedai-kedai ini dibuka terlalu awal...seawal pukul tiga atau empat pagi.  Walau pun cuaca sejuk dan terlalu awal, ramai yang menggagahi untuk membeli belah.  Yalah kalau lambat keluar, tentu banyak barang yang diingini sudah habis dibeli orang lain.

Puteri menyatakan keinginannya pergi ke Black Friday.  Mak Long tidak ada rancangan lain, pergi jugalah membeli belah tumpang sibuk!  Waktu-waktu begini bawakan sahajalah duitnya atau kad plastik semua boleh dibeli dengan murah.  Kami pergi ke J C Penny pusat beli belah berdekatan dengan tempat tinggal kami, selepas itu kami ke Tanger-San Marcos Premium Outlet.  



Ayam Belanda liar






NOTA:

Hormati jiran tertangga dan berfikiran terbuka itu adalah baik.







No comments:

Post a Comment