Pages

Thursday, January 31, 2013

Nota Cepatnya Masa Berlalu

Assalamualaikum, 

Baru perasan hari ini sudah 31hb Januari, 2013.  Wahai, cepatnya masa berlalu tanpa disedari.  Pak Long sudah mengira hari kepulangannya.  Baguslah begitu.  Memang pun janjinya dahulu mahu pencen terusan.

Sebentar tadi, Mak Long dikejutkan dengan satu bunyian di dapur.  Tidak dapat dipastikan apakah bunyi itu.  Berasa curiga juga, maklum tinggal seorang di rumah.  Mak Long jalan terjengkit-jengkit intai apatah bendanya.  Tidak ada apa pun!  Heyy ...Berbunyi lagi!    Laaa peti sejuk rupanya sedang keluarkan air batu kedalam bekasnya.

Sudah seminggu lebih keadaan sungguh berangin menambahkan lagi kesejukan yang sedia terasa.  Angin yang bertiup laju meninggalkan bunyi yang menakutkan membuat Mak Long selalu terjaga waktu malam.  Mak Long tidak sabar menunggu musim bunga yang akan datang tidak berapa lama lagi...Insha Allah..

Hari ini Mak Long bersihkan tabong dan penuhkan makanan burung dan tupai dengan bijian dan jagong.  Rusa pula sudah beberapa hari tidak kelihatan.  Seronok dan terhibur melihat tupai dan ungas datang makan rezeki yang disediakan untuk mereka.  Terutama waktu pagi-pagi berbagai jenis burung datang makan dan menyanyi kegembiraan.  Indahnya ciptaan Illahi.......


Mr Holis sorok jagong bawah pokok rosemary


Mr Holis











Monday, January 28, 2013

Nota Selamat Harijadi

Assalamualaikum,

29hb Januari, 1976 adalah tarikh istimewa bagi kami berdua beranak ..... hari kelahiran Puteri Sulung Mak Long.  Pemberian dari Allah SWT seorang zuriat yang dinanti dengan penuh debaran dan sangsi.  Tarikh kelahirannya dijangka awal dalam bulan February.  Tahun itu juga adalah tahun naga bagi kaum Tionghua yang akan menyambut perayaanTahun Baru China.   Pada tarikh bersamaan yang diramalkan oleh Dr Tan Chee Koon akan kelahiran Puteri Sulung.  Lebih awal Dr Tan telah mengumumkan kepada kami dan pesakit-pesakit lain yang beliau akan bercuti beberapa hari meyambut dan meraikan perayaan Tahun Barunya.  Bermakna kalau Puteri Sulung lahir pada tarikh yang diramalkan, Dr Tan tidak dapat menyambut kelahiran Puteri dan segalanya akan terserah kepada kepakaran bidan hospital sahaja.  Kami menerima cadangan Dr Tan untuk mempercepatkan kelahirana Puteri Sulung iaitu pada 29hb Januari.  Alhamdulillah dan bersyukur Puteri selamat dilahirkan jam dua belah tengahari hari itu ketika matahari sedang tinggi di langit di Klinik Bersalin Dr Tan Chee Koon di Jalan Tengku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.  Sekarang klinik bersalin itu sudah tidak ada lagi dan tidak tahu apa terjadi dengan klinik tersebut.  Dari saat ketika itulah bermulanya Mak Long menjadi dan bergelar seorang ibu.  

Kasih dan sayang seorang ibu kepada anaknya hingga ke akhir hayat, sanggup berkurban demi anak........  Tetapi kasih seseorang anak kepada ibunya belum tahu sampai ke mana?.....  


Twinkle, twinkle little star
How I wonder what you are
Up above the world so high
Like a Dimond in the sky

SELAMAT MENYAMBUT HARIJADI, SAYANG


Anakku


Masih jelas di ruang mata...
Saat pertama kau ku sapa,
Saat pertama bertentang mata,
Walau bermusim ianya berlalu pergi,
Keindahan detik itu masih mekar di sanubari.

Anakku...
Lihatlah sekeliling mu,
Inilah dunia mu,
Inilah pentas permainan mu,
Jangan gentar jangan gerun,
Bangunlah kau berlari gagah,
Usah mengundur usah mengalah

Anakku...
Engkaulah anak merdeka,
Engkaulah anak Malaysia,
Dunia kini kian berubah,
Measat, KLCC, MSC juga ICT,
Menjadi satu wadah perjuangan,
Semua ini milik mu jua,
Tawanlah segala ilmu yang ada,
Biar dunia mengenali siapa diri mu

Wahai anakku..
Usah kau meninggi diri,
Atau sombong dan saling membenci,
Ingatlah pada Tuhan Mu,
Taatlah pada ibubapa mu,
Setialah pada pertiwi mu,
Bulatkan segala tekad mu,
Dan berpeganglah pada janji janji mu
Sesunggunnya anak aku..
Dunia ini adalah milik mu
Janganlah dipersiakan segalanya
Janganlah dibazir peluang yang ada
Ingatlah...ingatlah...ingatlah...



 Petikan dari pesajak yang tidak dikenali siapakah penulisnya.








Friday, January 25, 2013

Nota Beef Steak

Assalamualaikum,

Apakah "steak?"  Macam mana sebutannya?  Se...teik? begitulah lebih kurang bunyinya.  Sebutan se dipendekkan seperti sebut stik.  Tetapi apakah nama "steak" dalam bahasa Melayu?  Tidak ada nama khas dalam bahasa Melayu perkataan "steak" sebab "steak" bukan masakan orang Melayu.  Kalaulah ia satu dari masakan Melayu sudah tentu ada nama khas baginya.  Satey masakan orang Melayu, bolehkah kita istilahkan dalam senarai "steak" juga?  Hmmm... boleh kot!  Sebab satey pun dipanggang juga!  "Steak" ialah masakan orang barat berupa potongan atau keratan daging atau ikan yang dipotong mengikut melintangi serat. Cara "steak" disediakan biasanya dipanggang (grilled); digoreng atau dipanggang (broiled) dengan api tinggi dalam ketuhar.  "Steak" ikan pula biasanya dari ikan yang besar seperti ikan tuna, salmon dan lain-lain lagi.

Beberapa nama diberikan kepada potongan daging lembu yang hendak dibuat "steak" mengikut bahagian-bahagian terletak dalam badan lembu.  Umpamanya "tender loin steak, rib eye steak, T-bone steak dan banyak lagi nama yang diberi.  Seperti nama-nama yang disebut adalah di antara yang mudah dipanggang dan tidak liat.   Ada bahagian daging lembu keras dan liat memerlukan bahan pelembut daging (meat tenderizer) sebelum dimasak atau dipanggang.  Memilih bahagian daging yang sesuai sangatlah penting supaya "steak" tidak keras atau liat.  

Di Amerika, para tukang potong daging (butcher) mereka pakar cara memotong dan memilih daging yang sesuai untuk berbagai jenis masakan pelanggan.  Mak Long dapat bekalan daging halal dari pasar daging orang Pakistan yang tidak kurang bagusnya cara daging dipotong.  Walau pun pasar ini agak jauh dari rumah, kira-kira sejam perjalanan, Mak Long biasanya beli lebih dan simpan dalam "freezer".  

Pak Long pandai panggang "steak" tetapi sekarang dia pencen dari memanggang.  Mak Long belajar daripadanya dan tugas memanggang "beef steak" sudah jadi tugas Mak Long seumur hidup!  Kebiasaan kami panggang menggunakan grill di luar rumah. Ada beberapa cara menyediakan "steak" sebelum dipanggang.  Setengah orang suka peram dahulu dengan rempah selama beberapa minit sebelum dipanggang.  Ada pula tabur atau sapu serbuk lada hitam dan  garam dan terus dipanggang.  Ada juga tidak menggunakan apa-apa perasa terus sahaja dipanggang, bila sudah masak barulah taruk garam dan lada hitam.  Memasak "steak" boleh diperbagai, dipanggang (grilled) di atas pemangang atau dibakar dalam ketuhar, kaedah ini dipanggil "broiled" kerana menggunakan api terus pada "steak".  Akhir sekali digoreng dalam kuali tebal, sesuai bagai mereka yang tidak mempunyai ketuhar atau grill.   Sudah cakap pun di atas!!!

Inilah resepi membuat "steak" menggunakan kuali tebal.


Bahan:

6 - 8 oz. (1 - 1 1/2 inci tebal) daging lembu
Garam ikut rasa sendiri
Lada hitam

Cara Memanggang

Panaskan kuali tebal dengan api sederhana besar, masukkan 2 sudu besar minyak zaiton  atau minyak sayur.  Boleh juga campurkan minyak zaiton dengan sedikit mentega.

Gunakan sudip kapit panjang, masukkan daging ke dalam kuali pelahan-lahan.  Gerak-gerakkan daging supaya tidak melekat di kuali selama 5 hingga 6 minit kemudian balikkan dan gerak-gerakkan seperti mula-mula selama 5 hingga 6 minit.  Masak daging itu mengikut selera masing-masing iaitu:

Suhu dalam steak yang sudah masak:

Kurang masak (rare)  -  120 degrees F
Setengah masak (medium rare)  -  125 degrees F
Masak (Medium)  -  130 degree F (dibahagian tengah "steak" masak tapi masih berwarna merah)

Bila "steaks" sudah dimasak seperti yang dikehendaki, keluarkan daging dari kuali, bungkus atau balut "steak" dalam aluminum foil dan biarkan rehat 5 hingga 10 minit sebelum dihidang.  Ketika ini daging akan terus masak lagi.  Selepas itu bolehlah dihidang, tabur garam sedikit dan menikmati "steak" sama ada dipotong nipis atau ikut suka hati macam mana hendak makan.  


Potong daging lembu sebelum dipanggang



Beef Steak 



Kami suka sayur hijau yang dicelur seperti brokoli, kacang hijau, kacang panjang atau carrot makan dengan "steak".  Kadang-kadang Mak Long buat kentang lenyek "mashed potato" atau kentang bakar begitu sahaja kemudian potong, taruk keju dan "sour cream".  Ada orang suka makan "steak" colek dengan sos.  

Sos senang sahaja buatnya tidak perlu beli.  Caranya, guna bekas kuali mengoreng "steak" tadi.  Koret-koret dalam kuali itulah yang menyedapkan sos.  Dengan api sederhana masukan sedikit tepung gandung dan goreng seketika hingga sebati dengan koretan itu kemudian taruk air sedikit angaran yang perlu untuk makan ketika itu, garam dan lada hitam.  Kacau hingga pekat dan angkat, sedia untuk diguna.

Menurut kata doktor, makan steak hendaklah berpada-pada dan tidak selalu.  Kerap memakan daging dan lemak adalah satu dari punca penyakit jantung dan darah tinggi.







NOTA:

Jaga kesihatan dengan mengambil makanan yang sihat.


Wednesday, January 23, 2013

Nota Tawaran Ke Slovenia

Assalamualaikum,

Dua bulan lepas Puteri beritahu dapat tawaran menghadiri "GIDE Conference 2013", di Ljubljana, Solvenia selama seminggu.  Puteri sungguh gembira sekali menerima tawaran itu.  Mak Long pun turut gembira juga atas kejayaanya dari usaha gigih Puteri dalam pelajaran di peringkat tertinggi.  Bukan senang hendak memanjat ke menara gading tanpa usaha dan pengorbanan diri dan keluarga. Tetapi jauh di sudut hati Mak Long terasa kebimbangan melepaskan Puteri ke sana.  Ibu mana yang tidak merasa perasaan begitu?  Kebimbangan menusuk hati ini pertama sekali, Puteri belum pernah bersendirian mengembara jauh di Eropah selain dari penerbangan pulang ke Malaysia.  Keduanya musim sejuk di negara tersebut selalunya tahap teruk.  Segala perbelanjaan dibiayai pihak universiti melainkan duit belanja "shopping".  Jadual dan tarikh penerbangan pun sudah dalam tangan.  Hati ini bertambah gusar.  Puteri selamba sahaja seperti tidak ada apa-apa yang meragukan atau merisaukan hatinya.

Mak Long tanya kalau semua keperluan sudah cukup untuk ke tempat itu.  Jawabnya hampir semua cukup hanya perlukan beberapa pasang pakaian seperti coat tebal dan wang saku untuk belanja.  Ahaa ... kalau itu fahamlah Mak Long!  Beli pakaian baru dan wang memang tidak pernahnya mencukupi!   Selagi ada benda yang menarik dan cantik di kedai dan nampak .... mahu sahaja.  Mak Long sarankan ambil sahaja coat tebal yang Mak Long ada dan tidak pun pernah digunakan dan sehelai baju dibuat dari bulu arnab.  Senyum lebar bukan main lagi dia dan Mak Long harap dia suka dengan pakaian itu.

Puteri, Puteri ...... buat hati Mak Long cair melimpah ruah bila dia memberi pelukan manja dan mesera begitu.  Orang putih cakap "She is my baby!"  Tetapi tidak bermakna kita sebagai ibu mesti menurut sahaja segala kehendak anak-anak tanpa menimbangkan baik dan buruknya, perlu atau tidak perlunya.  Mestilah ada garis pandu dan sempadannya.  Ketegasan, tanggung jawab, sifat keadilan dan galakan dari ibu dan bapa mesti ada dalam membimbing anak-anak disamping memberi kasih dan sayang sepenuhnya.  Mak Long bersyukur dengan kehadiran anak-anak yang baik serta hormat kepada kami.  Anugerah dari Allah yang tidak ternilai dalam hidup Mak Long.  

Mak Long banyak membuat kesilapan dalam banyak perkara sepanjang perjalanan hidup ini.  Semua liku dan lurah pernah dilalui.  Tetapi Mak Long cekalkan hati untuk bangun atas dasar kesedaran diri, tidak segan silu, tidak serik sentiasa belajar dari kesilapan yang lalu serta berusaha untuk menjadi seorang ibu dan ummah yang diredhai Nya.  Insya Allah.





Puteri








NOTA:

Jadikanlah diri sebagai contoh yang baik dan dihormati kepada anak-anak kita.






Tuesday, January 22, 2013

Nota Beef Stew

Assalamualaikum,

 Beef stew dalam bahasa Melayu ialah sop daging lembu.  Terdapat sedikit perbezaan cara memasak antara sop orang Melayu dan sop orang Amerika.  Walaupun berlainan cara, rasa semua jenis sop sedap dimakan.  Sop orang Melayu, lazimnya menggunakan bahan rempah ratus yang dibungkus bonjot direbus sekali dalam daging atau tulang dengan air biasa atau air kosong sehingga daging lembut.  Kemudian dicampurkan atau ditumis dengan bahan-bahan tumbuk temasuk bawang, bawang putih, halia atau guna rempah penumis mengikut selera pemasak.  

Orang Amerika pula kelainannya, mereka lebih mengemari menggunakan daging pejal tanpa lemak untuk buat sop.  Mereka gemar menggunakaan "stock" atau "broth" iaitu air rebusan dari tulang, makanan laut atau sayuran sebagai kuah dalam sop.  Air rebusan ini banyak dijual di mana-mana pasaraya di sini. Mak Long buat air rebusan sendiri menggunakan sayuran atau tulang kaki ayam sahaja.  Kadang-kadang kalau malas, Mak Long guna air paip sahaja, lebih cepat dan mudah.  Sop mereka pekat dengan campuran sedikit tepung gandum.  Kalau sop sayur biasanya diblend hancur seperti makanan bayi pun ada.  "Beef stew" lebih sedap dimakan sehari selepas dimasak kerana semua bahan sudah mesera dalam periok.  Oh ya, Mak Long tambah sedikit halia lagi sedap rasanya.  Kalau tidak ada sos Worcesteshire, Mak Long gantikan dengan sedikit air asam jawa.  Makannya pula bersama roti bakar atau "corn bread" (roti dibuat dari tepung jagong kasar).  Mak Long suka makan panas-panas begitu sahaja.

Ini resepi "beef stew":

Bahan:

2 1/2 lb daging lembu tanpa lemak dipotong dadu kira-kira 1 1/2"x1 1/2".  Basuh dan toskan
1/3 cawan tepung gandum
3-4 cawan air rebusan atau air paip
1/2 cawan minyak masak
1 bawang besar dipotong kecil
2 bawang putih diketuk sahaja
3 ketul kiub pati lembu
1 camca teh sos Worcestershire 
1 camca teh serbuk lada hitam (black pepper)
5 ubi kentang dipotong serdahana besar
5 batang carrot dipotong besar kira-kira 1-1 1/2"
1 cawan kacang pea (kalau suka)
Garam secukup rasa

Cara memasak:

1.   Gaulkan daging dengan tepung gandung.  Jangan habiskan tepung itu, tinggalkan sedikit dan letak tepi.  

2.   Panaskan periok besar dan masukkan minyak.  Kemudian masukkan daging sedikit-sedikit dan golek-golekkan hingga kekuningan, keluarkan dari periok dan ulang buat seperti itu pada daging selebihnya hingga habis semua.

3.   Dalam periok yang sama, masukkan bawang, bawang putih dan goring seketika hingga bawang lembut.  Kemudian masukkan tepung gandung lebih tadi dan kacau.  Kecilkan api supaya tepung tidak hangus.

4.   Pelahan-lahan masukkan air, lada hitam, sos Worcestershire, pati lembu dan garam.  Kacau pelahan-lahan hingga kuah itu nampak pekat sedikit.  

5.   Masukkan daging dan masak hingga mendidih dan kacau selalu supaya tidak berkerak di bontot periok.  Kecilkan api, tutup periok dan renih selama 2 jam.

6.   Masukkan kentang dan carrot serta besarkan api sedikit.  Masak hingga mendidih semula hingga daging, kentang dan carrot lembut.

Selamat mencupa kepada yang berminat buat dan makan sop daging lembu...."beef stew".




Beef Stew









NOTA:

Makan kerana hendak hidup....  atau
Hidup kerana hendak makan...







Monday, January 21, 2013

Nota Kek Vanilla Wafer Walnut Memaw

Assalamualaikum....

Atas permintaan adik Mak Long untuk menurunkan resepi kek Vanilla Wafer Walnut kesukaan puteri.  Puteri suka makan kek ini.  Biasanya bila dia balik Mak Long buatkan untuk dibawa pulang.  Katanya dia akan makan setiap serpih dan habuk yang tinggal!!  Mudah sahaja membuatnya dan bahannya pula senang didapati.

Bahan dalam kek ini sangat manis dan lemak.  Tidak bagus kalau makan selalu.   Mak Long kurangkan gula kalau menggunakan gula putih dengan mengurangkan setengah cawan dari resepi atau menggunakan setengah gula putih dan setengah gula merah (gula tebu).  Kali ini Mak Long guna gula tebu sahaja kurang manis dengan memampatkan gula merah itu dalam cawan ukuran.  Kelapa parut di USA dijual dari dalam paket yang sudah dimaniskan, sebab itu juga Mak Long kurangkan gula.  Boleh guna kelapa parut yang dibuang kulit arinya mungkin lebih baik.  Tidak tahulah Mak Long belum cuba lagi buat begitu.  Vanilla wafer ialah sejenis biskot manis.  Zaman Mak Long budak-budak dahulu biskot ini biskot koman aja, dijual dan ditimbang pakai kati.  Rupa, sais dan bentuknya seperti jering rebus.  Biasa Emak Mak Long beli untuk sarapan pagi cicah dengan air kopi atau jamu tetamu datang ke rumah Emak.

Resepi ini resepi lama sudah berpuluh tahun lamanya kepunyaan keluarga Memaw minah saleh, emak angkat Mak Long.  Dia sudah pun mati dua minggu lepas.  


Bahan:


1 kotak 12oz = (340gm) vanilla wafer (kalau tidak ada vanilla wafer boleh gunakan biskut mary asal beratnya sama
2 ketul butter (8 oz = 226.8gm) lembut (at room temperature)
2 cawan gula  pasir
6 biji telur
1/2 cawan susu segar (boleh guna susu cair, susu soya, susu almond)
7 oz = (198gm)  kelapa parut manis 
1 cawan walnut dicencang kasar (kalau tiada boleh guna pecan atau badam)
1 camca kecil esen vanilla
1 camca baking powder

Cara bancuhan:


  • Panaskan oven 350 degree F. (ikut petunjuk kepanasan oven masing-masing untuk membakar kek).  
  • Biskut vanilla wafer diketuk-ketuk hancur tetapi tidak terlalu halus and campurkan baking powder, letak tepi dahulu.
  • Kacang walnut yang sudah dicencang kasar dicampurkan dengan kelapa, letak tepi dahulu.
  • Pukul mentega dengan gula hingga kembang kemudian masukkan telur satu demi satu.  Dipukul setiap kali telur dimasukkan sampai bersatu.
  • Masukkan dan kacau serbuk biskut sedikit-sedikit berselang-seli dengan susu hingga habis.  Masukkan esen vanilla.
  • Masukkan kelapa bercampur kacang walnut kedalam bancuhan.  Jangan kacau terlalu lama atau banyak kali nanti kek jadi mampat.
Masukkan bancuhan ke dalam cetak pembakar dan bakar selama 50 minit atau bila cucuk dengan lidi tidak melekat dilidi.  Mak Long guna cetak kek dipanggil "bundt" seperti dalam gambar.  Sapu minyak rata-rata pada cetak itu kemudian taburkan dengan tepung gandung dalam cetak kek kemudian tengkorkan keluar tepung itu supaya kek yang dibakar itu longkah bila hendak dikeluarkan.



Bahan Kek Vanilla Wafer Walnut Memaw



Adunan yang sedia untuk dibakar

Sedia untuk dinikmati






Nota:


Makan makanan yang berkhasiat untuk menjaga kesihatan badan.  Kurangkan pengambilan manisan, lemak dan memakan tidak berlebihan.  Ikutlah sunnah Nabi cara dan bila makan.



Saturday, January 19, 2013

Nota Menunggu Puteri

Assalamualaikum,

Dua hari lepas, puteri talipon.  Katanya dia dan kawannya ada kerja bersabit dengan kerja sekolah di bandar Austin pada hari Sabtu, iaitu hari inilah.  Bandar Austin tidaklah begitu jauh sangat dari rumah kami di Canyon Lake kira-kira satu jam perjalanan dengan kereta. Katanya lagi mereka akan balik menjengok Mak Long selepas kerja mereka selesai.  Hati Mak Long tentulah gembira menerima berita ini.  Alahai.... hati ibu mana yang tidak seronok bila dapat berita anaknya hendak balik ke rumah menjengok orang tua.

Pagi semalam, Mak Long pergi ke pejabat "Texas Department of Motor Vehicles" untuk memperbaharui lesen kereta puteri yang tamat hujung bulan Februari ini.  Nanti bila dia balik bolehlah Mak Long serahkan kepadanya.  Senang puteri nanti tidak perlu berulang alik untuk kerja yang sama.  Bukan dekat perjalanan dari tempat tinggalnya dengan rumah kami ini.  

Petang semalam Mak Long masak "beef stew" atau sop daging lembu.  Puteri suka makan "beef stew".  Masak sehari lebih awal sedap dimakan hari ini kerana sudah mesera masakan itu di dalam periok.  Mak Long juga tidak lupa membuat sebuku kek kesukaannya juga...."Vanilla Cake with Walnut"......Kek vanilla dengan kacang walnut.  Kek ini, orang lain janganlah harap dapat tumpang makan.  

Mak Long tidak sabar menunggu puteri pulang.  Mak Long duduk menghadap tingkap supaya nampak kereta puteri sampai nanti.

"Ya Allah lindungi dan selamatkan perjalanan anakku balik dan sampai ke pangkuanku..
 Ya Allah Ya Rabbi permudahkanlah urusan kami hari ini......aminn"



Puteri









NOTA:  


Kasih sayang seorang ibu kepada anaknya tiada mengenal penghujungnya........hingga ke akhir hayat.