Pages

Thursday, November 3, 2016

Air Teh Jemur

Assalamualaikum,

Dalam musim panas Mak Long sering membuat teh jemur untuk minuman melepas dahaga.  Ia sangat mudah menyediakannya.  Bagi menyediakan satu jar sederhana besar kira-kira satu gelen air (boleh guna air masak biasa).  Masukkan sebungkus teh lipton atau apa-apa jenis mengikut selera sendiri.  Sekiranya gemar air teh pekat bolehlah tarok dua atau tiga bungkus teh.  Mak Long suka guna teh hijau (green tea) dan letak potongan batang serai ...  Kekadang Mak Long guna daun limau purut yang dicarik-carik atau pun daun pudina.  Kemudian tutup jar itu serta letakan dibawah sinaran matahari.  Kalau hari panas terik cepatlah dapat teh untuk dinekmati.  Kami minum teh tanpa gula, minum gitu sahaja..



Air teh jemur


















Fine-Needle Thyroid Biopsy

Assalamualaikum,

Dari catatan:


Hari ini Mak Long telah menjalani satu  tatacara ("procedure") dipanggil "Fine-Needle Thyroid Biopsy" di Resolute Health Hospital.  Sebelum menjalani tatacara ini pesakit dikehendaki berpuasa selama enam jam ... tidak boleh makan dan minum atau menelan ubatan.  Rawatan ini tidak memerlukan tinggal di wad hospital.  Jadi pesakit luar (out patient) sahaja.

Apa itu Fine-Needle Thyroid Biopsy?

Ia adalah suatu tatacara khusus untuk mengambil sedikit tisu (tissue) dari kelenjar tiroid (thyroid gland) dengan menggunakan jarum halus khas.  Kelenjar tiroid ini terletak di bahagian hadapan leher dan ia berbentuk seperti rama-rama.

Mengapa dan bagaimana "procedure" itu perlu dilakukan?

"Procedure biopsy" dilakukan khususnya untuk menentukan keadaan "nodule" (ketumbuhan) atau "cyst" (sista) terdapat di thyroid gland samaada ia merbahaya pada kesihatan atau tidak.

Ketika procedure tersebut dijalankan kepada pesakit, sejenis jarum halus yang khusus dimasukkan/dicucuk menembusi kulit leher hingga ke kelenjar.  Funsi jarum tersebut ialah mengambil sedikit cell/tisu daripada kelenjar.  Kaedah ini doktor mungkin mengulang beberapa kali untuk menentukan cel-cel dapat diambil dari seluruh ketumbuhan di kelenjar tiroid.  Jarum itu digunakan untuk menyedut dan mengeringkan cecair yang terdapat pada "cyst".  Cell atau tisu yang diambil itu akan dibawa ke makmal untuk pemeriksaan lanjut yang perlu dilakukan.  Kiranya ia merbahaya doktor pakar akan membuat rawatan tertentu.

Mereka Dr Bailey, Darleen Rn dan Chelsea juru ultrasound iaitu pasukan yang bertugas hari ini sangat baik dan amat berhati-hati menjalankan tugas mereka yang mengambil masa lebih kurang tiga puluh minit lebih. Setiap langkah yang mereka lakukan mereka akan mengumum dan menerangkan kepada Mak Long.  Darleen siap pegang tangan Mak Long konon bimbang merasa takut ketika doktor memasukkan jarum ke leher.   Hahaha sebenarnya memang rasa seriau juga .....  tetapi ia tidak menyakitkan!

Procedure dimulakan dengan membuat ultrasound kali kedua di bahagian kedudukan thyroid bagi menentukan thyroid sebelah kanan atau sebelah kiri yang perlu dilakukan procedure tersebut.  Ultrasound pertama telah dibuat dua minggu lalu.  Kemudian diikuti pula bahagian tandatangan kertas kerja  mengizinkan mereka membuat procedure bermula.  Apabila selesai Mak Long dibenarkan pulang kerumah dan Pak Long dijemput masuk ke bilik pembedahan.  Ketika procedure dilakukan Pak Long diminta menunggu di bilik menunggu.  Yang geli hatinya masa hendak keluar bilik pembedahan Mak Long siap bangun menuju ke pintu.  Laju aje langkah Mak Long, maklumlah bukannya sakit pun.  Darleen segera kata "Uwhaaa..... Hold on Maam, You have to ride in this...!"  Hahh nak kena duduk atas kerusi sorong pulak... boleh jalan sendirilah!  "Hospital rules...Maam".  "Ok..."  Beliau sorong sampai di hadapan pintu kereta di mana Pak Long sedang sedia menanti di muka pintu hospital.  Hahahaha rasa pelik kena sorong!!

Bagaimana masaalah thyroid dikesan?

Awal tahun ini Dr Francis yang kami pilih dilantik sebagai doktor keluarga atau kalau di Malaysia dipanggil "panel doktor" ke gitu kalau tidak silap, beliau menyarankan membuat peperiksaan CT scan.  Di US fungsi sebagai doktor keluarga ialah doktor tersebut akan merawat dan menyimpan segala jenis rawatan peribadi seseorang dan ialah juga akan mencadangkan dan mengesyurkan rawatan yang perlu itu kepada pakar-pakar doktor lain kiranya perlu.  Rawatan dari doktor-doktor yang disyurkannya pula mereka akan berhubung rapat dengan doktor keluarga dengan berkungsi maklumat rawatan yang diberi.  CT Scan ialah kaedah Sinar X atau X-ray yang boleh mengesan berbagai masaalah-masaalah dalam organ dalam badan manusia.  Ia adalah teknik menghasilkan bayangan struktur di dalam badan pada kedalaman tertentu menggunakan sinar X.  Ia boleh mengambil gambar sinar X dalam setiap sudut organ.  Sebelum menjalani CT Scan pesakit perlu berpuasa tanpa makan dan minum juga tidak dibenarkan memakan sebarang ubatan beberapa jam sebelumnya.  Kaedah ini tidak menyakitkan.  Ia cepat dan tepat mengesan masaalah dalam badan.

Selepas menjalani CT Scan Mak Long berasa dahaga dan dinasihatkan agar minum air kosong banyak untuk membersihkan buah pinggang atau "kidney" dari cecair yang dimasukan dalam badan ketika menjalani kaedah CT Scan.  

Keputusan yang mereka dapati ada beberapa isu dalam badan tetapi tidak/belum merbahayakan lagi.  Hahahaha ingatkan kita ni sihat benar, rupanya indah rupa dari sebenarnya.  Dua perkara masaalah yang dikesan ialah masaalah tirod dan kelihatan kandungan kalsium di bahagian tisu jantung.  Alhamdulillah kedua-dua masaalah tersebut sudah dibereskan ok!

Kali kedua Mak Long melalui mesen CT Scan atas nasihat dari Dr Ferra Yesser pakar penyakit jantung yang merawat ialah untuk mengetahui berapa tahap kalsium yang terkandung dalam tisu jantung.  Kaedahnya sama juga tetapi yang ini dipanggil "cardiac CT for calcium scoring" di mana ia menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan gambar di rongga urat-urat jantung yang halus dan menentukan samaada ada urat-urat yang tersumbat atau tersangkut yang menjadi "plaque" disebabkan kalsium.  Keadaan begini boleh menyebabkan seseorang mendapat serangan sakit jantung atau strok.  Umur sudah larut begitulah......  

Di bawah ini adalah gambar-gambar mesen CT Scan yang terdapat di pusat-pusat kesihatan.  Bentuk CT Scan itu menyerupai donut besar ... 


Mesen CT Scan


Rawatan sedang dijalankan
Gambar dari Google


Melalui mesen CT Scan berupaya mengesan beberapa isu kesihatan dalam badan.  Pekerja yang bertugas di bahagian ini sangat baik dan mesera membantu pesakit berasa selesa.  Mereka memberi penerangan yang cukup ketika mereka menjalankan kerja menerusi mesen CT Scan.



 














Tuesday, October 18, 2016

Riadah Hari Ini

Assalamualaikum,


Apa khabar sahabat-sahabat semua?  Muga sihat dan sejahtera sentiasa setiap hari.

Sebulan lebih Mak Long bercuti panjang dari beriadah untuk diri.  Aduhai... tegang segala urat dan sendi.  Berjalan kaki entah kemana?  Beryoga pun sudah menyepi!  Berkiut-kiut bunyi kepala lutut marah bila dibengkok.  Lengoh, sengal rasa segala rongga badan. 

Pak Long pesan, hari pertama tidak perlu beria-ia sangat nanti lagi penat, pelan-pelan ... al-maklomlah bukannya muda belia lagi.   Yerlah Pak Long pelan-pelanlah ni.




Sarapan hari ini

Thursday, October 13, 2016

Salam Sejahtera

Assalamualaikum,





Salam sejahtera diucapkan kepada semua sahabat-sahabat Mak Long yang dihormati dan dikasihi.  Sudah hampir dua minggu Mak Long pulang dari tanahair tercinta.  Selama itulah Mak Long mengalami "jet-lag", sakit-sakit badan, demam dan alahan.  Semua penyakit datang sekali arong dalam satu masa yang sama.  Tenaga dan kekuatan minda sekali rebah jatuh luruh entah ke mana.  Agak-agak berderai-derai dosa Mak Long gugur ke bumi hahaha...

Hari ini, alhamdulillah bolehlah juga keluar rumah...  

Cuaca di Texas Hill Country kini sudah beransur dingin terutama waktu pagi dan petang, daun-daun dari beberapa jenis pokok sudah mula bertukar warna kekuningan dan gugur.  Yer, musim gugur sudah datang kembali.  Daerah-daerah sebelah utara memanglah sudah sejuk dan musim gugur sedang rancak.  Di sebelah selatan Amerika di mana kami berada lambat sedikit, setengah bunga masih rancak berbunga seolah-olah dalam musim bunga.  Waktu-waktu beginilah di mana debunga dan habuk dari daun yang gugur menyebarkan debungan dan kuman alahan.  Ada juga jenis-jenis pokok daun hijau yang tidak bertukar warna dan tidak gugur hingga ke musim sejuk.  Semakin umur kita memanjat tinggi, semakin mudah mendapat alahan dan penyakit.  

Walau apa sekali pun Mak Long bersyukur dapat meluangkan masa untuk keluarga terdekat di tanah air dan alhamdulillah dapat menjaga Emak sebaik yang terdaya.  Cumanya rasa terkilan tidak dapat meluangkan masa untuk bertemu dan berkenalan dengan sahabat-sahabat blogger seperti Uncle dan Kakcik Seroja dan lain-lain.  Belum ada rezeki mungkin untuk bertemu kenal.  Tetapi kiranya ada di kesempatan dan kemudahan di masa akan datang, insya Allah muga dipermudahkan oleh Nya. 










Friday, September 23, 2016

Bahasa Melayu Bahasa Ibunda

Assalamualaikum,

Setiap hari FB (Facebook) tanya "What is on your mind?".  Jadi inilah yang bermain di minda setiap hari.

Bahasa Melayu atau disebut Bahasa Malaysia adalah bahasa resmi kita di Malaysia.  Mak Long bangga jadi rakyat Malaysia dan terlalu bangga serta sayang dengan bahasa ibunda kita yang menjadi pengirat sillarturrahim rakyat Malaysia.  Bahasa Melayu, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil memang tidak asing lagi bagi kita 1 Malaysia.

Mak Long dengar orang Cina dan orang India bertutur dalam bahasa Melayu sangat fasih dengan loghatnya sekali.... Syabas!!  Sering kali bila mereka bertutur dalam bahasa mereka sendiri, kemudian mereka selitkan dengan bahasa Melayu terutama perkataan "lah" di hujung ayat mereka.  Terasa keiratan di antara kita 1Malaysia.

Tetapi Mak Long rasa ralat, orang Melayu "TIDAK" fasih berbahasa ibunda sendiri. Bahasa Melayu yang cantik dan bernilai itu sudah dirosakkan dengan menggunakan/menukar perkataan dari bahasa yang diceduk dari bahasa-bahasa asing seperti Bahasa Inggeris atau Bahasa Arab amnya.  Bila orang Melayu bertutur, banyak perkataan "ceduk" digunakan.  Mithalnya, "Today I makan fried rice with sambal prawn".  Di mana-mana sahaja terdengar bahasa Melayu campur seperti itu digunakan seolah-olah itulah bahasa Melayu asli.  Malah di kaca TV atau di radio juga bahasa Melayu campur ceduk digunakan.

Melalui penggelaman dengar sendiri dalam pembicaraan anak-anak muda kita tidak tahu adanya perkataan Bahasa Melayu khusus dan tepat untuk digunakan kerana mereka sudah biasa menggunakan bahasa ceduk.

Sayangilah bahasa ibunda kita.  Jika tidak bahasa ibunda kita akan hilang dari muka bumi ini.

Mak Long bangga sebagai orang Melayu dan jadi rakyat Malaysia serta sangat bangga menggunakan Bahasa Melayu.






Nota:

Kerana masa tidak membenarkan Mak Long untuk lebih kerap mencoretkan sesuatu di blog dalam bulan ini walau pun dari mata kasar mempunyai waktu terluang.  Mak Long menumpukan sepenuh masa memberi perhatian kepada Emak yang terlalu uzur.  Mak Long tidak dapat peluang keemasan ini setiap hari bila sudah pulang ke perantauan.










Thursday, September 8, 2016

Dugaan Mencabar

Assalamualaikum,





Menunaikan fardu haji adalah rukun Islam yang kelima bagi yang mampu menunaikannya.  Setiap umat Islam yang beriman pasti menamam cita-cita untuk ke Mekah melaksanakan fardu haji.  Hari khusus itu bagi tahun 2016 hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi.  Rakyat Malaysia yang dapat undangan istimewa dari Allah sudah dijadualkan ke sana..masya Allah.  Mudah-mudahan Allah permudahkan setiap urusan mereka, selamat melaksanakan rukun yang dituntut dengan kejayaan haji mabrur.

Malam tadi, Mak Long menerima berita sedih dari seorang sabahat baik.  Persahabat kami erat sejak dari zaman sekolah di sekolah menengah berasrama.  Beliau dijadualkan ke tanah suci pada 7hb September.  Akal berkata tentunya beliau sudah berada di sana.  

Mesej yang Mak Long terima dari beliau.

"Assalamualaikum,  
Dengan dukacitanya saya maklumkan bahawa saya masih berada di Malaysia.  Last minute dimaklumkan visa tidak lulus.  Saya tidak akan maklum pada kawan-kawan kiranya tidak dapat maklumat dari agent..... Sedih... Perkara dah nak terjadi...lebih separuh dari kami tak dapat pergi... Doakan saya dapat pergi tahun depan...tq " 

Hati Mak Long sedih menerima berita itu, namun kita hanyalah manusia biasa yang lemah tiada daya melainkan dengan daya Nya jua.  Mesej keduanya kepada Mak Long:

"Walaikumsalam,
Aminn.  Insya Allah I am ok.  Yang kecewa tu sebab Dato owner pakej tu pun pergi.  He was scheduled to leave on 6th.  That day when we assembled for suaikenal and ceramah akhir .. His last statement to me was "see you Datin kat Mekah".  That time itself I yakin he already had our visas..half of list tak lulus visa..."

Kuasa Allah itu besar dan hanya Dia lah yang memegang segala rahsia.  Manusia merancang, Allah jua yang menentukannya.

Mudah-mudahan kami menerima jemputan istimewa untuk ke sana dari Allah untuk menunaikan fardu haji bagi tahun hadapan.   Harapan dan doa Mak Long juga menerima jemputan istimewa itu.  Aminn....














Tuesday, September 6, 2016

Goreng Pisang

Goreng Pisang





Dulu-dulu zaman sekolah, goreng pisang adalah kegemaran number satu.  Tidak kesah apa jenis pisang yang digoreng.  Kantin sekolah rendah di mana Mak Long sekolah dahulu tiap-tiap hari ada menjual goreng pisang.  Itulah yang mengisi perut Mak Long.  Belanja kurang dari sepuluh sen!  Sekarang mana boleh dapat goreng pisang sepuluh sen sebiji goreng pisang?  

Orang Johor kalau makan goreng pisang mesti ada lawan cicahnya.  Cicahnya cumalah sambal goreng cair atau sambal tumis cair.  Biasanya sambal cicah itu diletak dalam sebuah besen ayan atau mangkok kongkom bersebelahan dengan goreng pisang.  Sebelum menikmati goreng pisang itu, step pertama goreng pisang itu mesti dicelupkan dalam sambal sampai tengelam, kadang-kadang habis jari juga tercelup dalam cicah.  Menitis-nitis berjela atas lantai dikerjakan murid-murid yang berebut-rebut mencelup dalam cicah.  Bising arwah Pak Mat Kelepek (pengurus kantin sekolah) marah bila beliau terpaksa mengelap lantai yang penuh dengan cicah.  Sudah siap pisang goreng kena celup barulah boleh ngap masuk mulut!

Di kampung goreng pisang memang biasa dimakan sebagai sarapan pagi atau kudapan minum petang.  Tinggal di kampung seronok.... Tidak ada jadual khusus untuk buat itu ini.  Makan pun apa ada sahaja ...  Seperti sarapan pagi ada kala makan ubi rebus colek sambal belacan belimbing, nasi goreng kampung, lempeng tepung berkelapa dan lain-lain.   Sarapan pagi pun Mak Long biasa makan nasi sejuk berlaukkan apa ada dalam periok lebihan semalam.  Makan nasi sejuk dengan kicap pun jadi!  

Semalam ketika keluar, mata Mak Long mudah sahaja nampak benda-benda sekeliling.  Nampak dua wanita Melayu mengoreng dan menjual goreng pisang di sisir bangunan.  Ke situlah kaki melangkah tanpa berfikir panjang.   Ada goreng pisang abu yang memang kegemaran.  

Penjual:       Goreng pisang, Kak?
Mak Long:  Yer, tolong bungkuskan err errr macam mana jual ekk?
Penjual:       3 keping seringgit.    
Mak Long:  Tolong bagi saya 10 ringgit... 

Masya Allah ... Sedapnya.... Sudah lama tidak jumpa goreng pisang.  Cuma tidak ada sambal colek! Janji puas hati dapat makan goreng pisang heheh....

Rasanya sedap dari segi kualiti mungkin tidak berubah tetapi kuantiti amat ketara berkurangan.  Satu biji pisang abu (di Johor kami biasa panggil pisang awak abu) dibelah empat, nipis sangat!  Sekali ngap sahaja sudah hilang, hendak buat tahi gigi pun tidak memadai!

Tidak mengapalah bagi can orang Melayu berniaga.