Pages

Tuesday, September 6, 2016

Goreng Pisang

Goreng Pisang





Dulu-dulu zaman sekolah, goreng pisang adalah kegemaran number satu.  Tidak kesah apa jenis pisang yang digoreng.  Kantin sekolah rendah di mana Mak Long sekolah dahulu tiap-tiap hari ada menjual goreng pisang.  Itulah yang mengisi perut Mak Long.  Belanja kurang dari sepuluh sen!  Sekarang mana boleh dapat goreng pisang sepuluh sen sebiji goreng pisang?  

Orang Johor kalau makan goreng pisang mesti ada lawan cicahnya.  Cicahnya cumalah sambal goreng cair atau sambal tumis cair.  Biasanya sambal cicah itu diletak dalam sebuah besen ayan atau mangkok kongkom bersebelahan dengan goreng pisang.  Sebelum menikmati goreng pisang itu, step pertama goreng pisang itu mesti dicelupkan dalam sambal sampai tengelam, kadang-kadang habis jari juga tercelup dalam cicah.  Menitis-nitis berjela atas lantai dikerjakan murid-murid yang berebut-rebut mencelup dalam cicah.  Bising arwah Pak Mat Kelepek (pengurus kantin sekolah) marah bila beliau terpaksa mengelap lantai yang penuh dengan cicah.  Sudah siap pisang goreng kena celup barulah boleh ngap masuk mulut!

Di kampung goreng pisang memang biasa dimakan sebagai sarapan pagi atau kudapan minum petang.  Tinggal di kampung seronok.... Tidak ada jadual khusus untuk buat itu ini.  Makan pun apa ada sahaja ...  Seperti sarapan pagi ada kala makan ubi rebus colek sambal belacan belimbing, nasi goreng kampung, lempeng tepung berkelapa dan lain-lain.   Sarapan pagi pun Mak Long biasa makan nasi sejuk berlaukkan apa ada dalam periok lebihan semalam.  Makan nasi sejuk dengan kicap pun jadi!  

Semalam ketika keluar, mata Mak Long mudah sahaja nampak benda-benda sekeliling.  Nampak dua wanita Melayu mengoreng dan menjual goreng pisang di sisir bangunan.  Ke situlah kaki melangkah tanpa berfikir panjang.   Ada goreng pisang abu yang memang kegemaran.  

Penjual:       Goreng pisang, Kak?
Mak Long:  Yer, tolong bungkuskan err errr macam mana jual ekk?
Penjual:       3 keping seringgit.    
Mak Long:  Tolong bagi saya 10 ringgit... 

Masya Allah ... Sedapnya.... Sudah lama tidak jumpa goreng pisang.  Cuma tidak ada sambal colek! Janji puas hati dapat makan goreng pisang heheh....

Rasanya sedap dari segi kualiti mungkin tidak berubah tetapi kuantiti amat ketara berkurangan.  Satu biji pisang abu (di Johor kami biasa panggil pisang awak abu) dibelah empat, nipis sangat!  Sekali ngap sahaja sudah hilang, hendak buat tahi gigi pun tidak memadai!

Tidak mengapalah bagi can orang Melayu berniaga.













1 comment:

  1. Berniaga pisang goreng rasanya memang untung. 3 keping dijual serinngit yang mana 3 keping itu sebenarnya dari sebiji pisang sahaja...

    ReplyDelete