Pages

Monday, March 14, 2016

Ziarah Menyambil Santai Mata


Assalamualaikum,



Bluebonnet

Hari ini hujan lagi macam hari semalam.  Menurut ramalan kaji cuaca hari akan hujan hingga hari Sabtu ini.  Alhamdulillah.. rahmat, tidak mengapa.  Hujannya kadang-kadang lebat, kadang-kadang renyai dan ada kala berhenti hujan, begitulah.  Juga sejuk macam semalam.  Pak Long ingatkan hari ini pergi ziarah Barry.  Beliau tidak pernah lupa menziarahi sahabatnya Barry setiap minggu.  Mak Long betul-betul hormat dengan sikapnya itu.  Setianya beliau pada setiap sahabat-sahabat karibnya.  Tidak pernah Pak Long merunggut atau mengeloh tentang mereka semua.  Sentiasa sedia memberi bantuan bila diperlukan, tidak payah mereka meminta-minta.  Mudah-mudahan akan terusan begitu.  

Kadang-kadang Mak Long berasa malas juga hendak menemaninya ke sana.  Perjalanan satu jam pergi dan satu jam balik.  Itu bukankah tanggung-jawab isteri untuk sentiasa disamping suami? Mak Long mengingatkan diri sendiri.  Keperluan suami perlu diutamakan dahulu dari diri sendiri.  Bukanlah bermaksud tidak puas hati...  Masaalahnya ialah persoalan untuk menunaikan tanggung jawab diri kepada Ilahi.  Tiada ruang di bilik kecil Barry untuk itu.  Juga berasa tidak selamat dan was-was.  Buat solat jamah dilakukan setiap kali hendak ke situ selepas masuk Zohor.  Semuga Allah ampunkan kami dan permudahkan urusan.  Inilah antara ujian yang sering dihadapi berada di negara di mana penduduknya rata-rata orang kafir!  

Mak Long sedih melihat Barry.  Banyak perubahan pada sikapnya.  Semuga ia tidak berputus asa berusaha untuk pulih.  Sejak kemalangan sudah hampir genap setahun berada di pusat pemulihan dan masih belum nampak perubahan berkesan.  Pertuturannya lemah masih sukar difahami.  Belum boleh mengatur langkah, tangan kanannya lemah tidak digerak disebabkan "stroke".  Doktor tidak dapat memastikan "stroke" berlaku sebelum atau selepas kemalangan motorsikal... tidak diketahui.  Dia tidak boleh ingat.  Setiap kali kami melawatnya beliau hanya duduk atas katil sambil menonton TV sekali pun ada tetamu.  Mungkin beliau letih selepas latihan yang diberi oleh jururawat bertugas agaknya, bujuk hati sendiri.  Apabila TV dibuka tetamu yang datang seperti terpaksa menonton TV juga.  Tidak seronok begitu bila bercakap pun mata tertumpu pada kaca TV.  Mintak-mintak Barry segera sembuh boleh bergerak sendiri walaupun dengan berkerusi roda.  Kerusi rodanya sentiasa tersadai dalam bilik air. Tidak tahu berapa kali setiap hari kerusi roda itu digunakan.  Kami pasti pihak pembantu di pusat pemulihan itu menjalankan tugas terbaik mereka kepada setiap penghuni di situ. 

Mak Long selalu tanya kerana ingin mengetahui sejauh mana kemampuannya bergerak sendiri tanpa bantuan.  Jawabnya "I'm still working on it.  I will be walking again...!. you'll see.." , kadang-kadang jelas pertuturannya, kadang-kadang buat kami terkebil-kebil cuba memahaminya.  

Hari ini kami sampai ke tempat Barry lambat sedikit.  Senyum lebar bila kami sampai, nampak ceria.  Katanya tiga hari lepas doktor bagi suntikan rawatan "Botox" pada tangan kanannya yang tidak mampu bergerak itu.  Mak Long ingatkan botox itu hanya untuk rawatan muka agar tampak cantik dan gebu!  Hahaha.... Menurunya sudah ada perubahan sedikit.  Senyum lebar dia sambil mengangkat tangan kanannya tayang kepada kami semua.  Alhamdulillah....   Wahai Barry, pulihlah cepat agar mudah pergerakan harian mu.

Sebenarnya Pak Long sengaja ikut jalan jauh melalui Johnson City dan Frederiskburg untuk ke sana.  Hendak melihat-lihat kalau bluebonnet sudah berbunga kata Pak Long.  Memang setiap tahun kami ke sana menyusur jalan menikmati kembangan bluebonnet.  Johnson City ialah tempat kelahiran bekas president Amerika Syarikat yang ke 36, iaitu President LB Johnson.  

Bluebonnet
Cantik kawasan yang kami lalui iaitu kawasan "ranch".  Kawasan "cowboy".  "Ranch" ialah kawasan ladang ternak yang beratus ekar luas, landskapnya berbukit, padang ragut dan lurah untuk ternakan lembu, kambing dan biri-biri untuk daging dan bulu.  Bluebonnet masih belum banyak kembang lagi.  Mak Long senang dengan suasana di situ.  Jalanraya sempit dan berliku, indah dan tenang. 


Kedamaian dicari

Ayam belanda hutan

Kami nampak sekumpulan ayam belanda hutan.  Nampak jinak macam burung punai, tetapi klok! klok! mereka lari jauh.

Santai



Lembu berkeliaran merata, setengahnya tiada pagar.  Ada kala Pak Long terpaksa berhenti beri laluan kepada lembu lalu.  Istimewa lembu itu kan!  Binatang ternakan di situ adalah lembu, kuda dan kambing.  Binatang tersebut mempunyai tanda logo di badan mereka dipanggil "branded lifestock".  Logo itu menunjukkan tanda hak milik ternakan kepada "rancher" atau penternak.  Mudah dikenali apabila hilang atau dicuri.  Kaedah membuat tanda itu adalah dengan membakar besi berlogo penternak hingga panas menyala, kemudian dicap pada badan binatang... lembu, kuda atau kambing.  Mesti bisa punya rasanya...!  Kaedah itu dilakukan sejak dahulu lagi hingga sekarang.  Kini satu kaedah "freeze branding" lebih digemari kerana kaedah ini tidak menyakiti binatang yang ditanda.



Gambar dari Google

Inilah cara mengecap logo pada lembu.


Gambar dari Google

Logo yang sudah siap dan pulih di badan lembu.

Gambar di bawah ialah cattle guard.  Cattle guard juga dipanggil Texas gate berfungsi sebagai penghadang binatang ternakan dari keluar dari kawasan ragut.  Menghadang mereka dari pergi ke kawasan lain.  Cattle guard juga dibina untuk menghindar binatang dari menghampiri kawasan jalan keretapi.  Cattle guard dibina seperti jambatan menggunakan besi seperti dalam gambar.  Dengan sendiri binatang tidak berani melintas  jambatan itu.


Cattle guard/Texas gate














Wednesday, March 9, 2016

Rabu, March 9 , 2016

'Assalamualaikum,

Kami diberitahu cuaca buruk dengan hujan, ribut petir dan angin kuat akan melanda kawasan kami di Texas Hill Country.  Macam sudah musim bunga pula.... Hmmm tidak berapa lama lagi musim bungalah...  Kemarin dulu hujan tidak lebat, dapat juga Mak Long membuat riadah berjalan kaki setengah jam, jadilah....  Sebelah petangnya matahari ada tetapi suhu dingin amat sempurna.  Pak Long ajak ke Lowes gedung menyediakan pembekalan segala peralatan pembinaan yang juga ada nurseri.  Macam-macam benda dan barang ada, bawakkan sahaja duitnya atau kad plastik.  Boleh jadi gelap mata dan pitam Mak Long di situ.  Itu hendak dan yang ini pun berkenan, di situ pun mengamit suruh datang tengok dan bawalah balik.  Rambang mata betul dengan semua jenis pokok yang memikat hati.  Adalah beberapa bahan yang dibeli, beli dua beg tanah hitam yang sudah siap berbaja... 40 lb satu beg berat terkial-kial hendak angkat masuk dalam bakol beroda.  Pembantu jualan tidak nampak kelibat!  Pak Long sudah lesap dalam gedung entah cari apa agaknya.  

Mak Long pernah mengikuti kursus dan ceramah tentang penanaman jenis-jenis pokok hiasan laman yang sesuai ditanam di daerah kami.  Jadi bila memilih dan membeli walau apa jenis pokok mesti pilih yang bersesuaian dengan jenis tanah. Kebanyakan nurseri menjual berbagai jenis pokok hiasan laman yang mungkin tidak boleh hidup subur.  Tidak faham mengapa jual pokok-pokok yang tidak sesuai dengan tanah tempatan.

Lihatlah di bawah ini sedikit dari antara bunga-bunga cantik, sampai rasa naik juling mata Mak Long nengok...




Yang ini tidak sesuai ditanam, untuk buat bunga gantung bolehlah tetapi tidak tahan lama dia akan mati di musim panas.




Yang ini pun cepat mati di musim panas!




Yang ini (gambar atas) pun sama, tetapi boleh hidup di tempat yang redup dan mesti disiram selalu dalam musim panas.    

Semalam hujan lagi tetapi sebelah petangnya sama seperti kemarin.  Sempat juga dapat cabut rumput yang mula menjonggol di muka bumi.  Mak Long hendak tanam pokok bunga sedikit di depan rumah di kiri kanan tangga biar nampak berseri sedikit...hahaha... Rupanya Pak Long diam-diam bila Mak Long sibuk bersih rumah dia sudah bersihkan, kaut semua "mulch" di sekeliling pokok bunga gambar di bawa ini.  "Mulch" ialah cebisan kayu, ranting, daun yang dimesen halus dijadikan penutup keliling pokok atau batas pokok bunga).  Hasrat hati hendak tambah tanam bunga petunia.  Di tanahair ada pokok bunga petunia ini rasanya..rajin berbunga dari musim bunga hingga musim luruh.  Mak Long kena pagar supaya rusa tidak jahanamkan.  


Bunga kuning!?

Hari ini suasana cuaca buruk, gelap macam waktu subuh lagi.  Angin bertiup kuat entah dari utara atau selatankah?  Sesekali ada kilat...  Rasa pula macam keadaan di tanahair.

Malam tadi ribut, kilat sabung meyabung disambut pula dengan guruh bersabong berdentum.  Terfikir pula apa hal terjadi dengan binatang-binatang liar dan ungas di ketika cuaca buruk begini.  Tidak boleh hendak lelapkan mata.  Teringatkan anaknda Icah pula, di Dallas cuacanya selalu tidak begitu baik.  Teringat keluarga di tanah air..ok ke tidak.. kabarnya ada gerhana matahari yang berlaku empat tahun sekali..masya Allah....

Tengahari ini juga Mak Long ada janji temu berkala dengan Dr Singer iaitu doktor mata.  Tidak suka betul bila bab bertemu dengan doktor.  Sejak dulu lagi memang berat hendak melangkah jumpa doktor.  Tetapi sekarang "rasa" terpaksa jumpa doktor kiranya mahukan kesihatan terjaga agar tidak menyusahkan orang-orang tersayang.

Hari ini memang tidak berapa ceria.  Matahari tidak nampak hingga ke petang.  Suram ditambah suhu udara sejuk menyelubungi suasana buat hati pun turut sama tidak seronok.  Tidak best rasa begini kan!

Bagusnya pula suasana begini rusa tidak datang menagih jagong.  Dapatlah peluang letakkan pasu-pasu ros di tepi patio supaya dapat siraman air hujan yang turun.  Pokok tumbuhan "bluebonnet" segar dapat curahan air hujan ditambah dengan cuaca sejuk.  Bluebonnet penuh memenuhi ruang di antara garage dan dapur kami.  Nampak membesar dan mula mengeluarkan kudup pada setiap dahan kecil.  Tidak lama lagi kembanglah dia membiru di halaman.  Pernah Mak Long menulis tentang "bluebonnet" dulu  Di sini    




Bluebonnet

Bluebonnet


Selain pokok bunga bluebonnet ialah pokok Texas Mountain Laurel.  Pak Long upah seseorang tanam pokok Texas Mountain Laurel di sisi rumah tahun pertama kami pindah di Canyon Lake.  Pokok ini termasuk di antara pokok-pokok istimewa yang tumbuh melata di kawasan Texas Hill Country.  Pokok hutan sebenarnya.  Ramai yang suka pada pokok itu kemudian ditanam sebagai pokok perhiasan di laman rumah dan taman.  Pokoknya rendang berdaun hijau tua, lebat dan berbunga hanya sekali setahun.  Bunganya berwarna biru biji kundang (ungu), harum semerbak baunya.


Texas Mountain Laurel


Texas Mountain Laurel


Dua pokok tin yang sedang botak pun sudah mula mengeluarkan pucuk-pucuk hijau.  Mak Long memang suka sibukkan diri dengan tanaman.  Hati terhibur bila melihat tanaman semua menjadi.  Pokok bawang besar merah dan bawang kuning sudah meninggi, agak-agak sudah boleh petik daunnya letak dalam sop.  Nanti esok-esok boleh dipatahkan batangnya supaya isi bawang membesar pula.  Itulah rahsia Pak Long tentang bawang sekiranya mahukan isinya membesar.  Tahun lepas banyak juga dapat hasil bawang hingga tidak perlu beli di pasar buat beberapa ketika.  Pokok asparagus pun sudah naik nampaknya, nanti boleh buat sayur goreng!     


Pokok Tin
Mulch di keliling pokok

Di bawah ini ialah bawang kuning tahun lepas yang dicabut terlalu awal.  Isinya belum besar lagi.  Tidak sabar hendak cabut juga!  Sedap bawang ini dibakar atas grill makan dengan ayam panggang atau steak....  Meleleh air lior dibuatnya!

Emak pernah berkata "Tidak rugi berbudi pada bumi...akan dapat hasilnya..."

















Sunday, March 6, 2016

Tempeh

Assalamualaikum,



Tempeh

Tempeh adalah satu dari permakanan tradisi kegemaran orang Melayu dan orang Jawa yang telah berzaman ujutnya.  Mak Long pasti tempeh berasal dari ciptaan orang Jawa dahulu.  Kedatangan orang Jawa dari Indonesia ke Tanah Melayu dahulu kala membawa ilmu membuat tempeh kepada penduduk tempatan.  Malah kini bukan dari kalangan orang Melayu dan Jawa sahaja yang suka makan tempeh.  Orang China dan India sudah menerima tempeh sebagai sebahagian dari permakanan mereka.   Akhir-akhir ini tempeh sudah mendapat tempat istimewa di kalangan penduduk Amerika Syarikat terutama mereka-mereka yang tinggal di bandar-bandar dan mengetahui khasiat tempeh.  Mereka mengutamakan permakanan sihat.  Sebenarnya sudah banyak pengenalan bahan makanan dari Asia seperti kelapa, kuetiaw, popia/spring roll antaranya yang mula mendapat sambutan baik di negara luar.       

Kandungan utama dalam tempeh adalah seratus peratus kacang soya.  Kacang soya mengandungi  zat protein, vitamin B dan serat.  Zat-zat itu penting untuk tubuh badan manusia juga haiwan.    Penanaman dan pengeluaran kacang soya adalah satu daripada bidang pertanian utama di Amerika Syarikat.  Kacang soya diproses untuk bahan makanan seperti minyak soya, mayonais, butter, makanan haiwan ternakan dan lain-lain jenis pengeluaran.


Kacang soya

Tempeh adalah satu dari makanan kegemaran Mak Long.  Makan nasi berlaukkan tempeh masak bening (masak air, perkataan sering digunakan oleh orang Johor) atau goreng cecah kicap pun sudah mencukupi.  Macam-macam cara dan resepi memasak tempeh.  Masak lemak lodeh kalau tidak ada tempeh, memang tidak sempurna rasanya.  Di kampung apabila hendak menyambut hari raya puasa tempehlah antara bahan masakan yang paling laris di pasar Muar.  Bungkusan tempeh yang belum menjadi pun berebut orang membeli untuk disimpan dan guna apabila tempeh sudah jadi.


Tempeh goreng

Isteri arwah bapa saudara Mak Long bernama Mak Yam berketurunan Jawa pandai membuat tempeh untuk jualan.  Keluarganya dulu memang tokey tempeh di pasar Bukit Gambir, Muar.  Tempeh yang paling sedap ialah tempeh yang dibungkus dengan daun pisang atau dengan sejenis daun yang Mak Long tidak pasti namanya.  Pernah Mak Yam beritahu bagaimana hendak buat tempeh.  

Menurutnya, pertama sekali kacang soya dibersihkan dari barang asing seperti pasir kemudian dicuci dengan air bersih beberapa kali.  Setelah bersih hendaklah direndam sehari atau dua hari dengan menukar air rendaman itu dua kali sehari sehingga kacang soya itu kembang.  Setelah kacang soya kembang bolehlah dibuang kulit arinya dengan meramas kacang soya hingga tanggal semua kulit ari.  Rebus kacang soya yang sudah bersih itu tanpa garam selama 30 minit.  Toskan dan keringkan biar sejuk suhu bilik di dalam dulang besar.  Setelah itu bolehlah meragi kacang soya dengan menggunakan ragi tempeh.  Ragi tempeh jarang dijual di pasaran, tidak seperti ragi tapai yang mudah dapat dibeli di pasar orang Melayu atau Jawa.  Kata Mak Yam sekiranya tidak ada ragi tempeh, gunakan tempeh yang sudah jadi itu sahaja dengan mengeringkan tempeh itu dahulu kemudian dihancurkan jadi raginya.  Cara meragi ialah dengan menaburkan ragi kepada kacang soya, digaul hingga rata barulah dibungkus dengan daun, biasanya Mak Yam bungkus bahagian luar bungkusan tempeh dengan kertas surat kabar.  Apabila siap membukus, simpan tempeh di tempat kering selama lebih kurang 36 hingga 48 jam.  Tempeh menjadi bila kulat putih meliputi dan memampatkan rupa tempeh.  Nah sudah boleh dimasak! 

Mak Long pandai beli, buat tidak pernah.  Mungkin sudah sampai masa untuk cuba membuat tempeh sendiri.  Di Texas pasaran tempeh terdapat di kedai-kedai menjual barang makanan oganik untuk diet sihat juga dijual di pasaraya Kroger sahaja.  Tempeh yang ada di Texas diusahakan oleh orang Indonesia.  Tempeh dibungkus dengan plastik kemudian dikedap udara agar tahan lama (gambar atas sekali).  Ada terdapat beberapa kelainan pembuatan tempeh di sini.  Tempeh ditambah perisa seperti dicampur dengan beberapa jenis bijiran seperti biji flax, biji gandum dan lain-lain.  Biasanya Mak Long beli lebih kemudian simpan dalam peti beku.  Pak Long tidak suka makan tempeh dan tahu katanya.  Itu dulu!  Mak Long masak tempeh goreng bercili bersama-sama ikan bilis, kacang tanah dah kentang yang dipotong kecil-kecil.  Goreng semuanya dengan minyak kemudian disira dengan sambal manis-manis sedikit.  Elehh mula-mula dia jual mahal... Mak Long saja biarkan dalam mangkok atas meja dan makan sebagai kudapan depan dia.  Hahaha tidak tahan Pak Long akhirnya tergoda juga dengan tempeh.  



Tempeh goreng bercili dengan
kacang tanah, ikan bilis dan kentang

Tengok gambar mangkok di bawah sudah tinggal kekoret hingga nampak warna mangkok....


Tempeh goreng bercili














Tuesday, March 1, 2016

Selamat Harijadi "Dear"


Assalamualaikum,


Hari ini genab 68 tahun usia Pak Long 
Kekasih hati tempat mencurah kasih dan cinta  
Dahan rendang tempat berpaut 

Muga Allah SWT

Sentiasa membuka hati mu 
Memberi petunjuk arah perjalanan mu 
Ke jalan yang lurus lagi benar.




Dearest "Dear"

It is your birthday
I wish you
Many Happy Returns Of The Day
May you have much pleasure and joy
May each hour and minute be filled with delight
May you have many more birthdays to come





Love

"Miss K"






















Sunday, February 28, 2016

Hujung Minggu Akhir February 2016

Assalamualaikum,

Malam tadi Pak Long pesan supaya siap awal boleh pergi ke Austin.  Bandaraya Austin adalah ibu negeri Texas, kira-kira satu jam memandu dari rumah.  Bandaraya ini lebih kecil dari Dallas dan Houston.  Kami sering ke situ hanya untuk berbelanja bahan makanan halal.  Tetapi kali ini Pak Long berhajat untuk membeli sebuah tangki tandas ganti tangki di bilik mandi tingkat atas yang pecah dua beberapa hari lalu.  Patutlah lama benar Pak Long mengadap komputer, rupanya melayari sesawang "craiglist" cari benda.  Terjumpalah seseorang mempunyai set tangki yang hendak dijual.  Omputeh di sini sekiranya ada barang yang tidak perlu, mereka jual sahaja tidak disimpan buat semak kawasan.

Pak Long dengan pertolongan Brenda jiran kami membaik-pulih bilik mandi utama kami.  Sementara kerja siap kami gunakan bilik mandi di tingkat atas.  Leceh!  Pak Long tergelincir dalam tab mandi (bath tub) ketika cuba mengambil sebuku sabun yang terlepas dari tangannya lalu terkena pada tangki.  Melimpah air hingga tiris ke bawah melalui saluran lampu di dapur.  Basah dapur!  Alhamdulillah Pak Long tidak apa-apa.  Tahun ini sudah dua kali beliau jatuh.  Kali pertama berlaku bulan lalu.  Mak Long sibuk menjahit, Pak Long pula tidak ada kerja pergi merayau belakang rumah mencari kayu cedar kering dan tunggul buruk untuk menambah timbunan kayu kering yang diatur bertingkat jadikan macam tugu atau monument kayu.  Tunggul yang terkumpul diletakkan atas kereta sorong.  Gamaknya terlalu penuh dan berat apabila ditarik, tayar kereta sorong tersangkut akar... tunggul dan kereta sorong sekali terbalik menghempap Pak Long.  Tidak boleh bergerak katanya bila cuba bangun dan tangan pula tidak sampai hendak mencapai talipon bimbitnya dari saku seluar untuk panggil Mak Long.  Bergelut dia sorang-sorang melepaskan diri.  Mujur tidak apa-apa.  Mak Long tegur agar lain kali tidak mengulangi perbuatan begitu tanpa sesiapa bersama.  Udah tua, kekuatan sudah banyak yang kurang.....



Sebelah kanan sekali itulah tugu kayu cedar yang Pak Long kerjakan sedikit demi sedikit hingga tinggi.  Pokok-pokok di sekeliling ialah pokok cedar.  Kayu cedar cantik berbau wangi boleh dibuat perabut, tahan lama tidak lut dimakan anai-anai.

Apabila kami sampai di Austin di rumah yang maksudkan menjual tangki sudah menunggu kami.  Amboi cantik dan besarnya rumah dia.  Macam istana, lengkap dengan taman dan kolam renang besar.  Beliau menunjukkan kami pada tiga set tangki dan harganya cumalah USD35.00 seunit.  Pilih sahaja yang mana kami suka.  Masih baru.  Tetapi sayangnya design tangki tersebut tidak sesuai untuk dipasang di bilik mandi kami.  Jenis lain!  Menurut lelaki muda itu, dia hendak menganti tangki tandas baru mengikut design baru.  Orang muda kaya!   

Seterusnya kami singgah ke rumah sahabat kami yang tinggal di Austin.  Lisa seorang agen jual-beli rumah dan harta tinggal di apartment mewah menghadap Tasik Travis.  Indah dan tenang di situ.  Selepas makan tengahari, Lisa membawa kami turun ke tasik...jalan kaki dan turun tangga.


Tasik Travis

Pemandangan Tasik Travis dari atas bukit

Tasik Travis

Pelantar boat

Boleh memancing dan naik boat kalau ada boat sendiri.  Dalam tasik itu, airnya hijau disebabkan banyak lumut dan rumpai.  Pelantar itu terapong, maksudnya apabila air naik tinggi ia akan naik juga tidak tenggelam.

Air menghijau

Tangga-tangga ke tasik

Lamalah juga kami di situ menikmati suasana tasik yang indah dan tenang.  Mak Long perhatikan tangga untuk naik semula ke atas sangatlah tinggi dan curam.   Lisa tanya samaada kami hendak ikut jalan mula-mula turun bukit tadi atau hendak menapak naik tangga dalam gambar atau hendak naik tram.  Pak Long kata ikut suka.  Mak Long perasan Lisa nampak letih jadi kami naik tram sahajalah.  Heee.... gayat duduk dalam kotak tram yang sempit.  Jalan pelan-pelan panjat tangga lebih baik.  Mak Long ada masaalah kalau masuk di tempat kecil yang sempit.  

Lisa mengidap barah dua kali, barah paru-paru dan dua tahun lepas ia disahkan dengan barah payu dara pula.  Doktor berjaya membuat pembedahan dan merawat ke dua-dua barah yang diidapinya.  Namun begitu ia masih memerlukan mengambil perubatan setiap hari supaya barah lama tidak kembali.


Tangga dan tram


















Friday, February 26, 2016

Terapi Minda Pagi Jumaat

Assalamualaikum,

Suasana tenang di pagi hari Jumaat ini.  Embun pagi yang telah beku semalam putih bersih mulai meleleh di cucur atap kerana sang suria sudah muncul.  Ungas dan haiwan liar berkeliaran sibuk mencari rezeki di belakang rumah.  Ungas-ungas berkicau sedang menikmati butir-butir bijiran dalam sangkar yang sentiasa tersedia ada.  Rusa jantan dan betina menunggu penuh harapan untuk memakan butiran jagung habuan mereka.  Pak Long segera mengenakan baju panas terus ke belakang menabur jagung.  Alhamdulillah KAU beri peluang untuk menikmati keindahan ciptaan Mu lagi hari ini.


Menunggu!

Tunggu lagi!

Terlambat!

Tunggu lagi!

Sarapan pagi

Cik punai kutip yang gugur

Tiada masaalah cari makan..

Bib! Bib! Bib!

Burung roadrunner cari ulat..

Burung roadrunner