Pages

Wednesday, September 3, 2014

Nota Emak Tidak Ingat

Assalamualaikum,

Dari Catatan Harian:

Di hari perjumpaan dengan WA adik angkat Mak Long, WA menghantar Mak Long pulang ke rumah dengan kereta mewahnya.  WA memberi sebekas jerok buah binjai (orang Johor panggil buah kemang) yang kini sudah jarang sekali terjumpa jerok seperti itu.  Sedap dimakan begitu sahaja bagi yang suka memakan makanan masam-masam.  Makan dengan nasi panas juga sedap ditambah kalau ada budu atau sambal belacan ulam petai tua.  Emak mentua lalu depan pintu pun tidak nampak kerana terlalu sedap makan jerok binjai.

Apabila sampai di rumah, adik Mak Long sedang sibuk membantu Emak di mana ketika itu sedang berdiri di tepi meja makan.  Sebelah tangannya Emak berpegang teguh berpaut pada meja agar tidak jatuh.  Dengan mesera WA menghulur salam pada Emak:

Mak Long:      Emak, ini Zam, Mak.  Emak ingat tak dia?   
Emak:             Entah.. dah lupa… dari mana?
Mak Long:     Dari Terengganu Mak… inilah Zam… dan ini anaknya FA
WA:                Emak, ini Zam … Emak apa kabo?          
Emak:             Maaflah dah lupa..  ginilah dah tuaa… (jawab Emak kesal)

Sambil Mak Long memimpin Emak ke tempat tidurnya, Emak menghulurkan tangan kepada Mak Long dan berkata:

Emak:             Ini sapa?
WA:                Ini Mak Long, Mak (jelas di air muka Emak tidak ada tanda ia kenal Mak Long)
Emak:            Entah….!  Tak ingat tapi bersalaman tu wajib
WA:                Ini Mak Longlah, Mak anak Emak….
Mai:                Tu Mak Long, Mak (adik Mak Long cuba mengingatkan Emak)

Hati Mak Long terasa sedih tidak terhingga kerana ingatan Emak bertambah lemah sehingga kadang-kadang tidak ingat orang di sekelilingnya.  Mak Long tidak berkecil hati dan tidak juga tunjukan rasa sedih hati di hadapan Emak.  

WA:             Kak Misah, bukalah tudung biar Emak tengok!  (WA membuka tudung Mak Long)
Emak:         Mata silau tak nampak!

Lalu Zam bawa Mak Long lebih dekat dengan Emak.  Emak merenung Mak Long, lama begitu.  Kemudian Emak senyum lebar sambil meraut pipi dan dagu Mak Long.  Kini dia sudah ingat pada anaknya.   Air mata Mak Long tidak dapat ditahan mengalir juga ia di pipi.  Mak Long alih pandangan ke lain sambil mengesat linangan yang sudah pun laju mengalir.  

Ya Allah….. Emak ku
Ya Allah, syukur Dia Emak ku
Ya Allah, betapa pengorbanan Emak ku
Ya Allah, betapa kesabaran Emak ku
Ya Allah, betapa kasihnya Emak ku
Ya Allah, betapa kuat azam dan cita Emak ku
Ya Allah, sihatkanlah kesihatan Emak ku
Ya Allah, permudahkan urusan Emak ku
Ya Allah, ampunkan dosa-dosa Emak ku
Ya Allah, kuatkan iman Emak ku
Ya Allah, aku akan terus berbakti pada Emak ku
Ya Allah, aku sayang Emak ku
Ya Allah…. aku bersyukur pada MU




Untuk Emak ku






Friday, August 29, 2014

Nota Adik Angkat

Assalamualaikum,

Dari catatan hairan:

Perjumpaan Dengan Adik 

Hari itu Mak Long sempat  juga meluangkan masa untuk keluar bersama-sama dengan adik angkat dan menjadi sahabat karib kesayangan yang telah bersusah payah datang jauh dari Terengganu.  Hubungan kami rapat seperti isi dan kuku dan mengasihinya seperti adik sendiri.  Setiap kali Mak Long pulang ke tanahair, kami pastikan ada meluangkan masa untuk kami bertemu walau pun sekejap.  Perjumpaan kami biasanya di bangunan KLCC, Kuala Lumpur kerana ia tempat yang paling sesuai dan mudah sekali untuk pertemuan.  Bukannya tidak boleh bertemu di rumah keluarga Mak Long atau di rumah singgahnya di Kuala Lumpur, tetapi kalau begitu kami tidak dapat bercerita panjang dan bebas tanpa kedengaran ke lubang telinga lain.  Kami akan memilih sesuatu restauran untuk tujuan itu di mana sambil makan kami bersembang mengisi masa yang telah lalu.  

Kali ini kami bertemu di restoran 'The Chilies'.  Adik angkat WA ditemani anak gadisnya FA yang baharu sahaja pulang dari Australia setelah tammat pengajiannya di sana membawa pulang sekeping ijazah yang berharga untuk dirinya dan keluarga.  Ada sedikit oleh-oleh kecil yang Mak Long bawa untuknya.  Begitu juga dia, sentiasa sahaja ada-ada macam-macam buah tangan untuk Mak Long.  Lama jugalah kami di restauran itu hingga beberapa gelas teh  sejuk ditambah dalam gelas kosong kami.  Selepas satu cerita hingga ke satu cerita lain.  Selepas itu kami bercadang berjalan-jalan sahaja melihat kedai-kedai yang ramai penggunjungnya.  Mak Long tidak bercadang hendak membeli-belah.  Semua sudah ada dan tidak perlu apa-apa lagi.


Kami

WA ingin memperkenalkan Mak Long dengan seorang sahabat baiknya yang juga merupakan kawan se kolej dengannya di zaman remaja mereka dahulu.  Tempat yang kami setujui kali ini pula ialah di 'The Loaf' sebuah cafe yang dimiliki oleh yang tidak lain dan tidak bukan dari bekas Perdana Menteri Malaysia kita Tun Mahathir Muhammad.  Cafe ini menghidangkan berbagai jenis minuman panas dan sejuk dengan banyak pilihan jenis kuih manisan dan roti.  Setelah kami duduk semeja menikmati kopi dan beberapa jenis kudapan sedap, serba sedikit dari perkenalan yang baharu dan singkat itu memberi gambaran beliau adalah seorang pengusaha anak negeri Kelantan yang peramah, baik serta murah hati.  Nama timangan di antara kawan-kawan ialah Abae Ngoh yang mudah memberi senyuman dan gelak ketawa.  Mak Long diberitahu beliau juga telah berjaya menembusi dalam dunia usahan bidang pembinaan dan perumahan yang dimiliki sendiri.     

Mak Long berasa sungguh bangga dan menghormati dengan pencapaian ramai dari anak-anak bangsa sendiri berusaha keras tidak mengenal penat dan lelah dalam dunia usahan.  Mak Long sentiasa mendoakan dan mengharapkan lebih ramai lagi anak-anak Melayu jenerasi baru semua bangun dari tidur dan membela bangsa dan negara yang semacam sudah hilang kegemilangannya.

Kami berborak dari berbagai perkara.  Di akhir perjumpaan ini Abae Ngoh berjanji akan mengirimkan kopi Tenom yang menurunya sejenis kopi asli yang enak dari Malaysia Timur setelah mengetahui Mak Long suka minum kopi tanpa gula.  Rezeki kata orang jangan ditolak……  


Abae Ngah

Oleh kerana Mak Long datang ke KLCC dengan menaiki LRT, WA menghantar Mak Long balik dengan kereta baru BMWnya.  Bau baru masih belum hilang lagi.  Boleh tahan juga kereta mewah ni… laju, licin dan cantik.  Tambah pula dipandu oleh seorang wanita cantik molek lagi bergaya.  Doa Mak Long agar adik yang dikasih ini akan terus maju dalam dunia perniagaan yang diceburinya dan sentiasa dilimpahi Allah dengan rezeki yang melimpah ruah disamping diberkati dengan kekuatan iman di hatinya…. Ameeen...


Adik WA & BMW







Wednesday, August 27, 2014

Pulang Kerana Emak

Assalamualaikum,

Dari nota harian:

Penerbangsn Pulang kerana Emak


Dua minggu lepas, Mai adik bungsu Mak Long telah menghantar berita kurang baik mengenai Emak kami.  Emak semakin uzur, tiada selera makan dan minum.  Asik termenung sepanjang hari dan tidak mahu berkumunikasi sangat dengan keluarga.  Dalam minda Mak Long terbayang wajah Emak yang cengkong, pucat dan lesu.  Kesedihan dan kebimbangan terus melanda hati dan fikiran.  Ada peluangkah untuk bersama-sama dengan Emak membantunya lagi seperti yang sudah-sudah?  Dapatkah peluang berkata-kata dengan Emak lagi?  Dapatkah menatap wajah Emak sekali lagi? Hish!  Macam-macam serabut dalam fikiran.  Betullah orang kata orang perempuan mempunyai terlalu banyak persoalan dan masaalah bermain di kepala.  Perkara penting atau tidak tetap bermain di kepala.  Namun begitu seseorang wanita itu harus bersikap terbuka dan sentiasa menimbangkan masaalah itu dengan bijak tidak mengikut sesuka hati.  Segera Mak Long hubungi Mai untuk mengetahui keadaan Emak lebih lanjut.  

Katanya Mai, ia hanya bimbang dengan keadaan Emak begitu, mungkin tidak ada apa-apa berlaku pada Emak.  Mai berjanji memantau keadaan Emak dan akan membawanya bertemu untuk pemeriksaan doktor seterusnya menghubungi Mak Long atas sebarang perubahan pada Emak.  Berita penting seperti ini Mak Long wajib menghabarkan kepada Pak Long.  Pak Long menasihatkan agar Mak Long segera pulang ke Malaysia untuk bersama Emak samaada keadaannya teruk atau tidak.  Katanya "you never know how much time she has...."   Benarlah katanya itu, kita hanya ada seorang Emak sahaja.....

Pak Longlah yang berusaha membeli tiket penerbangan.  Kali ini Mak Long terbang dengan penerbangan Korean Air.  Harga tiket bagi dua hala pun sangat berpatutan.  Dulu pun pernah juga menaiki penerbangan ini beberapa kali tetapi tidak mengemarinya kerana destinasinya dari Houston ke Kuala Lumpur ketika itu mengambil masa lebih panjang dan terpaksa menempuh beberapa transit bertukar pesawat yang amat meletihkan.  Dari Houston ke LA menaiki pernerbangan biasa kemudian tukar pesawat menaiki Korean Air ke Seoul, Korea seterusnya baharulah ke Kuala Lumpur. Begitu juga dengan pernerbangan pulang semula ke USA. Mak Long sudah mengalami dan melalui beberapa pernerbangan seperti ini di mana masa transitnya pendek, terpaksalah bergegas segera ke pintu perlepasan seterusnya mengejar masa agar tidak ketinggalan penerbangan.  Apabila mengalami keadaan seperti ini hati tidak tenang penuh dengan kebimbangan.  Beberapa kali juga mengalami begasi Mak Long tidak sempat dimuatkan ke dalam pesawat yang dinaiki.  Bila ini berlaku, Mak Long akan sampai dahulu dari begasi dan begasi itu akan menyusul kemudian sehari lebih lewat.  Biasanya bila ini berlaku pihak penerbangan terbabit akan menghantar begasi hingga ke rumah dengan percuma.  Kali ini khidmat ke destinasi penerbangan mereka sudah bertambah baik.  Kini sudah ada penerbangan terus dari Houston ke Kuala Lumpur dengan satu persinggahan di Lapangan Antarabangas Incheon, Seoul sahaja.



Oleh kerana penerbangan ini bertolak awal pagi, kami bertolak satu hari lebih awal ke Houston untuk memastikan tiada masaalah trafik pada hari bertolak.  Alhamdulillah semuanya berjalan baik walaupun pesawat penuh samaada kelas pertama atau kelas ekonomi.  Mak Long terpaksa menerima tempat duduk agak jauh ke belakang pesawat tetapi selesa.  Peramugari semuanya mesera melayan penumpang.  Wanita Korea juga sangat cantik walaupun kebanyakan mereka ramai yang menjalankan perawatan kecantikan plastik.

Satu sahaja yang tidak dapat dielakan iaitu tentang permakanan yang disajikan.  Tidak banyak pilihan seperti terdapat dari pesawat-pesawat lain seperti Pesawat Singapore Air atau lain-lain pesawat, penumpang dibenarkan memilih sajian yang mereka inginkan.  Maka terpaksalah berhati-hati bila mana kita sebagai orang Islam patutlah berhati-hati makanan yang disajikan.  

Orang Korea sudah tentu tidak dapat lari dari permakanan kegemaran kebangsaan mereka iaitu kimchee.  Aduhai, kuat sungguh baunya menusuk penuh seluruh hidung  dalam  pesawat apabila mereka memanaskan makanan itu.  Orang Melayu pula  sudah tentu suka makan belacan, budu dan cencalok dimana baunya juga teruk pada orang yang tidak biasa baunya.  Nasib baik pesawat MAS tidak menghidangkan sambal belacan dan berbagai kalau tidak  tentu haru semerbak seluruh dalam pesawat bau belacan kebanggan kite orang Melayu.

Penerbangan selama 22 jam lebih sungguh menyeksaan.  Tambahan apabila pesawat penuh penumpangnya.  Penerbangan sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon tepat masanya seperti yang diramalkan.  Mak Long hanya ada satu jam sahaja untuk meneruskan pertukaran pesawat ke Kuala Lumpur.  Sempatlah cuci muka dan bersugi serta tukar pakaian bersih.  Penerbangan dari Seoul ke KLIA mengambil masa lebih kurang enam jam lebih dan selamat mendarat jam 10.00 malam.  Melalui pintu imigresen, menunggu begasi keluar dari karesol memakan masa juga.  Hampir jam sebelas baharu boleh keluar.  Anak lelaki kesayangan HQ sudah menunggu di antara ramai-ramai orang lain yang menunggu ketibaan penumpang-penumpang lain.  


Emak

"Syukur Mak selamat sampai..... Kami semua berdoa supaya penerbangan Mak selamat..." kata Hylmi nampak lega sambil memeluk Mak Long erat.  Hylmi memberitahu penerbangan MAS MH17 telah ditembak jatuh di kawasan peperangan antara Russia dan Ukrain.  Pesawat MH17 sedang dalam perjalanan pulang ke KLIA dari Amsterdam dan mengorbankan semua 283 orang penumpang dan 15 orang anak kapal pesawat.  Sesampai kami di rumah adik Mai, sudah ramai adik beradik lain sedang menunggu ketibaan Mak Long.  Masing-masing mengucap kesyukuran sambil bergilir-gilir memelok Mak Long selamat sampai, mesera dan penuh dengan kasih sayang.  Emak pun ada sama.  Air mata Emak mengalir sambil mengusap kepala Mak Long ketika Mak Long cium tangan emak dan memberi pelukan sayang padanya.  Kami bersyukur kerana terlepas daripada kecelakaan dan musibah yang tidak disangka…..
Alhamdulillah…

Di awal tahun 2014, satu minggu selepas Mak Long pulang dari Malaysia berlakunya musibah kehilangan pesawat Mas yang tiada siapa tahu di mana, mengapa dan apa terjadi dengannya.  Sesungguhnya Allah juga yang mengetahui.






Monday, July 21, 2014

Nota Hari Kelahiran



Assalamualaikum,


Menapak Menuju Ke Hujung Jalan



Hari kelahiran ialah hari istimewa dimiliki setiap insan yang dilahirkan ke dunia ini dengan saat dan tarikh-tarikh yang ditentukan oleh NYA.  Ada yang sama atau berlainan saat dan tarikhnya.  Ada orang menyambut hari kelahiran setiap tahun samaada sambutan sederhana atau besar-besaran.  Ada juga yang tidak pernah menyambut hari istimewa tersebut atas sebab-sebab sendiri.  Menerima hadiah pemberian dari keluarga dan sahabat.  Buat hati penerima gembira tentunya.


Zaman Mak Long dulu-dulu tidak pernah ambil pusing tentang hari kelahiran.  Tidak pernah ambil tahu pun makna hari istimewa itu.  Tidak pernah pun merayakan hari istimewa itu.  Tidak pernah pun terima ucapan selamat hari kelahiran atau hadiah.

Kini, perjalanan hidup sudah berubah sejak mendirikan rumah tangga.  Tarikh kelahiran ahli keluarga eloklah diambil kira dan diingati untuk mengiratkan hubungan silaturrahim kasih sayang keluarga dan orang yang dikasihi.  

20hb Julai ialah hari istimewa buat Mak Long.  Mak Long sungguh bersyukur punyai keluarga yang perihatin.  Suami dan anak-anak tidak pernah melupai hari kelahiran Mak Long.  Diri ini terasa diperlukan setiap masa membuat hati tenang dan bersyukur ke hadratnya.  Alhamdulillah...Allah hu akbar... 


Thursday, July 10, 2014

Nota Jalan-jalan (5) - Utara Illinois

Assalamualaikum,

Tarikh 10hb Mei, dari rumah Ernie kami teruskan perjalanan menuju ke Daerah Joliet letaknya di utara Illinois.  Perjalanan mengambil hanya lebih kurang 3 jam lebih.  Keadaan di sepanjang perjalanan sama dengan pandangan tanah pertanian, masih banyak lagi tanah ladang yang belum dibuat persediaan untuk penanaman.  Arah perjalanan kami kali ini menuju ke rumah sahabat lama Pak Long.  Mereka berdua telah pun membuat temujanji untuk menggunjungi rumah sahabatnya.  Cuaca hari itu dingin walau pun matahari sudah bersinar tinggi dan kami selamat sampai ke rumah sahabat Pak Long tengah hari itu tanpa masaalah.  Alat GPS memanglah canggih mampu menunjuk arah jalan dengan betul.  Dick dan Aileen Smith begitulah nama sahabat Pak Long.  Kami disambut sungguh mesera walaupun Mak Long tidak pernah bertemu mereka.  Pak Long memberi tahu, Dick pernah bekerja bersamanya suatu masa dahulu di Kentucky dan mereka berkawan baik.  

Mereka beria-ia sangat mengajak kami bermalam di rumah mereka malam itu dan kami terima dengan senang hati.   Seronok juga bersembang-sembang dengan Aileen.  Beliau bijak melayan tamu membuat kami berasa selesa.

Amboi, cantiknya rumah baru mereka, bersih bersinar lantai batu  mar-mar dengan perabut serba mahal.  Sekeliling rumah pula ditanam dengan rumput tebal menghijau segar dan luas kawasannya.  Rumah mereka terletak di pinggir tasik kecil di mana penduduk di situ boleh bersantai tanpa gangguan, mengail ikan atau berihat mengayoh perahu kecil tanpa gangguan.  Di bahagian belakang rumah pula Dick mendirikan sebuah pondok khas untuk berihat atau melayan tetamu yang berkunjung ke rumahnya.  Kemas kerja pertukangannya.


Rumah Kediaman Dick & Aileen Smith


Tasik Kecil 


Tasik kecil di belakang rumah Dick Smith.  Ia adalah sebuah kelumpuk kediaman mewah yang cantik dan tenang keadaan sekeliling.







Mereka telah menyediakan bilik tidur khas untuk kami dengan pemandangan dari jendela menghadap tasik.  Bilik mandinya juga istimewa dilengkapi dengan kolam jakuzi.  Bilik untuk mandi pula dikelilingi dengan dinding kaca buat hati kurang senang pula untuk membersikan diri.



Dick & Aileen Smith

Pasangan ini nampak bahagia dan tinggal di rumah besar yang cantik.  Kebetulan Aileen mempunyai kegemaran hobi yang sama dengan Mak Long…. berkarya seni membuat quilt.  Beliau telah menunjukkan beberapa helai quilt yang telah dibuatnya.  Cantik semuanya dengan pilihan warna ceria.  Seperti Mak Long, beliau juga tidak berminat menjual quilt-quilt yang dibuat.  Quilt yang sudah siap katanya disimpan atau dihadiahkan kepada keluarga terdekat.  Kami berjanji akan berhubungan selalu, bertukar fikiran serta berkongsi rekaan yang kami reka dan temui dari majalah atau buku. 

Keesokan paginya selepas sarapan pagi dengan segelas jus oren, secawan kopi pekat dan sekeping roti bakar Mak Long sudah bersedia untuk menghadapi hari itu dengan rasa lebih bersemangat.  Susah betul hendak berpisah dengan pasangan Dick dan Aileen sahabat Pak Long itu.  Ada-ada sahaja yang hendak diceritakan oleh mereka sejak malam lagi.  Sungguh ramah dan baik hati mereka.  Kami terpaksa menolak bekalan yang hendak dibekalkan kepada kami.













Wednesday, July 2, 2014

Nota Jalan-jalan 2014 (4) - Illinois

Assalamualaikum,

Bertarikh 9hb Mei, 2014 pagi-pagi selepas kemas-kemaskan barang-barang ke dalam bag dan sarapan pagi bersama keluarga Betty dan John kami bertolak pula menghala ke Illinois.  Cahaya matahari pagi itu sungguh cantik walaupun sedikit dingin.  Perancangan perjalanan ini pula menziarahi adik lelaki Pak Long bernama Ernie Lonas dan isterinya Brenda.

Seperti yang telah lalu kami tidak menggunakan lebuhraya.  Kami mengikut jalanraya melalui pendalaman lebih seronok lagi walaupun mengambil masa yang lebih panjang.  Mata puas memandang menikmati keadaan suasana kampung yang damai.  Sepanjang perjalanan ini penduduknya adalah petani.  Tanah yang diusahakan terlalu luas sayup mata memandang hingga ke kaki langit.  kali ini kami melalui bahagian utara Negeri Louisiana.

Kami berhenti di Pike, Illinois sebentar.  Mak Long tidak lepas peluang mengambil gambar "Court House" atau bangunan mahkamah bandar itu.  Tiap-tiap buah bandar mesti ada "Court House".  Kebanyakan "Court House" adalah bangunan lama yang dibina khas untuk itu.

Court House, Pike, Illinois

Di sepanjang kiri dan kanan jalanraya dalam perjalanan kelihatan banyak kolam-kolam berair, ada yang besar dan ada pula yang kecil.  Mak Long diberi tahu dahulu ketika kerajaan mula-mula membina jalanraya di Illinois, mereka mengali kolam-kolam di sepanjang jalan.  Tanah dari galian itu digunakan untuk menambak tapak jalanraya agar tinggi dari aras tanah.  Petani-petani di kawasan ini telah mula mengerjakan tanah dan ladang mereka.  Jalanraya yang kami lalui tidak banyak pokok atau rumput menghijau seperti tempat yang kami lalui dahulu.  Kawasan di sini dihiasi dengan tanah dan ladang pertanian.

Jalanraya Di Illinois

Rumah Petani

Kawasan rumah petani-petani di sini kelihatan kemas dan bersih.  Jarang nampak rumput atau pokok liar berserabut di keliling rumah.  


"Silo" Tempat Menyimpan Hasil
Jagong atau Kacang Soya

Kami sampai di rumah Ernie hampir jam 11 pagi.  Ernie anak ketiga dari keluarga Burkhart tetapi sayang, beliau  dan Betty ketika kecil mereka telah diserah penjagaan kepada keluarga lain sebagai anak angkat.  Kerana itulah nama keluarga Ernie dan Betty berlainan dari Pak Long.  Ibu bapa Pak Long berpisah ketika mereka masih kecil lagi.  Di sini apabila seseorang itu menjadi anak angkat nama keluarga asal ditukar kepada nama keluarga angkat.  Ernie bertugas sebagai pilot helikopter hospital di Champagne sedang isterinya pula seorang jururawat bertauliah.  Kami bermalam hanya satu malam sahaja di rumah Ernie.  Niat asalnya kami bercadang tinggal lebih lama lagi.  Tetapi oleh kerana alahan yang Mak Long alami disebabkan bulu kucing dan anjing dalam rumah mereka membuat Mak Long batuk teruk dan tidak boleh bernafas.  Tambahan bermasaalah untuk menunaikan kewajiban diri kepada Illahi.


Ernie Lonas


Malam itu Ernie dan isterinya membawa kami makan malam di sebuah restauran makanan laut.  Kami berbual panjang tentang keluarga, kesah-kesah lama tentang mereka adik beradik.  Dalam mendengarkan cerita-cerita mereka Mak Long dapat memahami lebih baik tentang sebuah keluarga yang berlainan agama, adat dan masyarakat.  

Sebagai abang yang lebih tua pula Pak Long berpesan kepada adiknya, "Berhentilah dari minum dan merokok!  Rokok dan minuman keras tidak bagus untuk manusia…  "  Mereka suami isteri merokok dan minum minuman keras.  Bertugas untuk orang ramai di hospital difikirkan tentulah mengetahui padah buruknya  merokok dan minum minuman keras yang berlebihan.



Ernie dan Brenda

Walaupun hanya semalam bersama-sama mereka, Pak Long puas hati dapat bertemu dengan adiknya Ernie dan isterinya.  Mereka jarang bertemu.  Sempat jugalah Brenda membawa Mak Long pergi ke sebuah kedai terbesar yang menyediakan pelbagai jenis  bahan perkebunan, bunga, bahan lama, bahan hiasan rumah dan macam-macam lagi.  Yang paling Mak Long gemar sekali adalah tanaman dan bunga yang dipamirkan di situ.


Bakul Bunga Gantung


Bakul Bunga Gantung Bentuk Bocong (1)

Bunga Gantung Plastik Panjang (2)



Mak Long tertarik dengan cara mereka mengubah dan menanam bunga dalam bakul bentuk bocong (gambar 1) untuk digantung.  Bocong itu diperbuat dari jerami padi atau gandum diimpot dari Negeri China.  Kelakarkan!  Banyak pelbagai bahan didatangkan dari Negeri China.  Keduanya (gambar 2) mereka guna bag plastik panjang lebih kurang empat atau lima kaki panjangnya.  Bag plastik ini diisi tanah hitam kemudian dibelah tiga atau empat liang melintang kemudian dari belahan itu ditanam pokok bunga petunia.  Cantik! Dan idea yang baik sekali.  Mungkin musim bunga tahun hadapan Mak Long boleh cuba buat begitu supaya tidak diganggu rusa liar kawasa kediaman kami.





Bunga ini sangat wangi baunya.  Banyak terdapat di kawasan rumah Ernie.  Brenda telah memetik dan dibuat jambangan di atas meja dapur.  Bukan main semerbak wangi seluruh rumah.  Lupalah pulak nama dan jenis bunga ini walau sudah diberitahu.






Setelah siap berkemas dan bersarapan pagi di sebuah restauran berhampiran rumah Ernie, kami teruskan perjalanan kami ke arah daerah Juliet menziarahi sahabat lama Pak Long.  







Saturday, June 14, 2014

Nota Jalan-jalan 2014 (3) - Kingsville, Missouri

Assalamualaikum,

7hb Mei, 2014 hari Rabu adalah hari ke tiga dalam siri Jalan-jalan 2014 kami.  Bermalam dan berihat tanpa gangguan di RV milik Salma dan Bill Beach, mengembalikan kesegaran tenaga kami.  Sudah berumur badan semakin lemah memerlukan rihat lebih sedikit.  Duduk sebelah Pak Long dalam truck pun penat.  Di luar RV mereka gelap melainkan sinaran bulan yang samar-samar cahayanya, tiada lampu menerangi kawasan, dan tiada kebingaran kenderaan lalu lalang menganggu kesunyian perkampungan.

Kami bertolak dari kediaman Salma meneruskan perjalanan menuju ke Kingsville, Missouri. Pak Long sudah merancang hendak singgah melawat adik bungsunya Betty Lou di sana.  Perjalanan mengambil selama lebih kurang enam jam melalui jalan biasa menyusur perkampungan dan bandar-bandar kecil.  Bagi Mak Long dengan cara begini, pendekatan dan mengenali cara hidup orang tempatan lebih jelas dan menepati dari yang selalu dibaca melalui akhbar, radio atau TV.

Sepanjang perjalanan itu Mak Long lihat pemandangan lakdskap tidak begitu banyak perbezaan.  Rumput dan tumbuhan semua sudah menghijau menebal.  Begitu juga pokok-pokok baharu sahaja mengeluarkan pucuk-pucuk halus menjonggol menghijau di dahan.  Semakin jauh perjalanan kami ke bahagian utara, keadaan cuaca lebih dingin dari Oklahoma.  Kebanyakan tanah ladang masih terbiar belum diusahakan lagi untuk bertaman.



Gambar di atas ialah Bandar Coffeeyville satu daripada bandar kecil yang kami lalui.  Kebanyakan bandar-bandar itu mempunyai bangunan lama yang sudah dibaik-pulih dan digunakan semula.

Hampir pukul 3.30 petang baharulah kami sampai di rumah Betty Lou.  Betty menyambut mesera kedatangan kami.  Tampak kegembiraan di air muka adik and abang bila bertemu.  Betty adalah anak bungsu dalam empat orang adik beradik seibu sebapa.   Ibu Pak Long kelahiran anak bumiputera dari keturunan salah satu dari puak "Red Indian" sedangkan bapa mereka pula berdarah keturunan German.  Walau pun Mak Long tidak pernah bertemu dengan ibu dan bapa Pak Long, tetapi wajah Betty 100% mempunyai nilai-nilai sifat puak orang Red Indian; terutama bentuk hidungnya seperti paroh burung helang dan matanya yang tajam bila merenung.

Betty memberi pilihan kepada kami samaada mahu tidur di bilik sebelahan biliknya atau di "basement" di bahagian bawah rumahnya.  Pak Long cepat-cepat jawab "basement"!   Penduduk di sebelah sini kebanyakan mempunyai rumah berbasement.  "Basement" ialah bilik luas di tingkat bawah rumah berdindingkan tanah.  Lazimnya basement digunakan sebagai tempat menyimpan barang sebagainya dan tempat perlindungan dari tiupan angin pusing tornado.  Basement di rumah Betty dilengkapi dengan perabut, katil, TV dan bilik mandi.  Suhu di sini dingin tidak memerlukan mesin pendingin.  Kami tinggal di sini selama dua hari.  Yelah Pak Long jarang dapat bertemu dengan keluarganya, sekali-sekali bertemu biarlah lama sedikit.     

Suaminya John sudah mula berhuma di sebelah rumahnya menanam sayauran seperti bawang, tunip, kacang boncis, strawberry dan lain-lain.   Pendeknya mereka tidak perlu ke pasar membeli sayuran.  Sayur dan buah yang tidak termakan akan dibekukan atau dibuat jerok dan jam.  Pendeknya hasil dari tanaman tidak terbuang.  John memiliki beberapa traktor sendiri untuk bertani.  Di dalam "barn" atau bangsal dalam bahasa Melayu yang penuh macam-macam perkakas dan alat untuk bertani dan bengkil.  Barn itu lebih besar dan luas saisnya dari rumah mereka.      


Traktor
Traktor dalam gambar di atas telah dibaik pulih dan ada tiga buah lagi yang serupa.  Satu daripadanya sedang diperbaik pulih.  John mempunyai kemahiran untuk memperbaiki jentera justeru tidak perlu mengupa mengupah orang lain yang sudah tentu akan memakan belanja yang besar.  



Traktor


Strawberry baru sahaja menjonggol

Bawang dan tunip

Dalam gambar di atas adalah sebahagian dari tanaman yang John usahakan.  Gambar di bawah pula sebuah kolam besar dan luas di belakang rumah digunakan sebagai tempat lembu ternakan minum.  Di kolam ini juga ada beberapa jenis ikan air tawar ditempatkan.  Apabila ada kelapangan untuk bersama-sama keluarga mereka sering memancing dan berkelah di tepi kolam.  Ikan yang berjaya dipancing dilepaskan semula ke dalam air.  Mereka tidak makan ikan-ikan itu.  



Kolam

Ikan yang ditangkap dilepaskan semula

Tanaman utama di ladang keluarga adalah jagong yang diupah kepada seorang peladang lain untuk diuruskan.  Gambar di bawah tanah masih belum dibajak lagi.  Biasanya apabila sampai masa untuk penyemaian benih, peladang yang mengerjakan akan membajak dahulu kemudian menabur benih biji jagong dengan menggunakan kapal terbang khas untuk menabur benih dan baja.


Ladang Jagong

Ladang Jagong



Kawasan ini (gambar atas) dulunya sebuah paya kecil dipenuhi dengan rumpai dan air.  Penanaman tidak dapat dikerjakan kerana keadaan tanah begitu.  Baru-baru ini kawasan itu telah ditimbus bahagian atas dan di bawahnya dijadikan sebagai kolam menyimpan air yang disalurkan pada tanaman.

Betty dan John bawa kami menonton satu perlawanan "soft ball" di Lone Star Elementary School  iaitu sekolah di mana cucu mereka Twilla dan Tori bersekolah.  Sebelum pergi, kami dijamu makan ringgan…sandwich sayur dan keju.  Dalam kereta sudah tersusun empat buah kerusi lipat untuk kegunaan di padang sekolah nanti.  Permainan mula jam enam petang.  Sesampai sahaja kami di padang sekolah, masing-masing bawa seorang satu kerusi lipat ke tempat perlawanan.  Belum pun sempat kami duduk, Brenda bersama ke dua-dua anaknya Twilla dan Tori datang memelok kami dengan mesera.  Anak-anaknya sungguh manja dan petah bercakap.  Brenda ialah anak perempuan Betty dan John.  Petang itu Tori dengan pasukannya masuk berlawan "soft ball".  Tangkas juga budak ini bermain.  



Betty Lou Dan John Oliphant

John, Betty Lou, Pak Long Dan Sandi the dog

Pihak keluarga dan guru-guru sekolah di sini memberi galakan penuh kepada anak-anak mereka bersukan.  Ibu bapa dan guru berusaha keras memenuhi apa juga keperluan anak-anak baik dari segi pembelajaran mahu pun kesukanan.  

Mak Long teringat masa kecil-kecil dahulu.  Apabila ada majlis sukan sekolah, jarang keluarga hendak datang melihat untuk memberi sokongan kepada anak-anak pergi berlatih sukan.  Pada hari majlis sukan diadakan pun tidak ramai ibu bapa dan keluarga datang.