Catatan harian:
9hb-11hb November, 2014
|
Big Bend |
Pagi itu hari terakhir kami berada di Alamogordo, New Mexico. Cuaca sangat sejuk dan kami sudah pun siap sedia untuk meneruskan perjalanan pulang ke Texas semula dengan melalui beberapa tempat perhentian dan persinggahan yang telah kami rancang. Mak Long rasa lebih sihat daripada semalam.
Tempat pertama dalam lawatan ini ialah Big Bend, Texas. HQ belum pernah datang ke Big Bend lagi. Sebenarnya lawatan ini adalah kali ke empat bagi Mak Long datang ke situ. Bagi SH pula ini kali kedua baginya. Kali pertama Mak Long dan Pak Long ke situ ialah dalam tahun 1998 Sini. Kali kedua kami ke sana ialah dalam tahun 2000an. Ketika itu kami tinggal di Deming, New Mexico di mana Pak Long bertugas selama lebih kurang setahun lamanya. Lawatan ketiga pula ialah dalam tahun 2010 apabila AM datang tinggal bersama-sama kami buat beberapa bulan setelah kami berpindah di Canyon Lake, Texas. Peliknya Mak Long tidak berasa jemu datang ke Big Bend. Tempat ini membuat hati Mak Long damai dengan suasana desert tandus yang unik dihias dengan beribu buah gunung batu tinggi dan bergaung dalam. Ia mempunyai cuaca terlalu panas di musim panas, terlalu sejuk di musim sejuk. Malamnya sentiasa gelap apabila tiada bulan mengambang memperlihatkan kegemerlapan berjuta bintang di langit. Indah dan syahdu begitu..... tiada bunyi kenderaan menderu, tiada bunyi musik yang memekakkan anak telinga melainkan bunyi sayup salakan serigala, cenkerik dan ungas malam.
Puak orang Red Indian pernah berkata bahawa apabila penciptaan dunia tamat dan sempurna, tuhan "The Great Spirit" membuang semua saki baki dan lebihan kumpulan batu-batu ke Big Bend.
Kedatangan kali ini kami tidak tinggal dalam kawasan Big Bend seperti yang sudah-sudah. Kami tinggal di Bandar Alpine sebuah bandar kecil paling hampir dengan Big Bend selama dua malam. Pak Long berpendapat Bandar Alpine menyediakan beberapa kemudahan dalam beberapa segi keperluan.
Dalam perjalanan kami melalui tempat-tempat seperti yang dicatitkan:
|
Bangunan Lama Marathon |
Apabila kami melalui Bandar Marathon, SH dan HQ berhasrat berhenti sebentar melihat-lihat keadaan bandar lama sambil mengambil gambar. Puas SH berposing.
|
Bandar Marathon |
Bandar Marathon ialah sebuah bandar kecil dan tidak ada banyak aktiviti. Terdapat sebuah hotel cantik berbentuk ala Mexican stail. Kebanyakan bangunan-bangunan penting seperti pejabat pos dan kedai makan berbaris di bahagian tepi jalanraya besar.
|
Ternakan lembu sus |
Semakin perjalanan kami hampir dengan ke sempadan Texas, kami melalui beberapa pusat pertanian penternakan lembu tenusu untuk pengeluaran susu, krim dan keju. Seterusnya begitu juga keadaannya setelah kami masuk dalam negeri Texas. Luas dan besar sungguh penternakan lembu tenusu terdapat di kedua-dua negeri itu. Beribu ekor lembu dapat kami lihat dari jalanraya. Tetapi bau lembu dan najis rasa menyumbat memenuhi lubang hidung. Walaupun kereta ditutup ketat, bau busuk masih dapat menyusup masuk ke dalam kereta. Hampir mahu muntah dibuatnya. Sepanjangan melalui di situ Mak Long tutup hidung.
|
Ladang Pecan |
Selain pusat penternakan lembu tenusu, terdapat juga ladang-ladang pecan yang luas iaitu sejenis kekacang yang sangat tinggi mutu dan rasa yang sedap dan unik. Mak Long suka pecan. Ia boleh dicampur dalam makanan atau dimakan begitu sahaja. Sayang harganya mahal sedikit. Harga termurah sepaun berharga USD14.00 terdapat di supermarket "Sam" dan "Wal-mart". Di tempat lain harganya lebih tinggi hingga mencecah USD20.00 sepaun mengikut taraf kedai yang menjualnya.
|
HQ beraksi dengan motorsikil Harley Davidson |
Jam sepuluh pagi kami sudah pun memasuki sempadan barat Texas. Bandar terbesar di situ adalah Bandar El Paso. Satu dari tarikan terkenal di bandar itu ialah kedai motorsikal Harley Davidson. Pak Long mesti hendak berhenti punya... Kebetulan hari itu kedai tersebut sedang mengadakan jualan murah dalam bahagian pakaian, cermin mata dan barang-barang alat ganti motorsikal. Pak Long dan HQ seronoklah! Mak Long dan SH tidak berminat dengan baju-baju-T Harley Davidson. Lama jugalah kami di kedai tersebut tunggu Pak Long dan HQ membeli belah. HQ banyak borong baju-T untuk dibawa balik ke Malaysia sebagai buah tanggan untuk keluarga dan kawan-kawannya.
|
Cattlemen Steak House Restaurant |
Tidak berapa jauh dari bandar El Paso ialah sebuah daerah dipanggil Haven. Di sana ada sebuah restauran yang pernah kami singgah dulu-dulu diberi nama Cattlemen Steak House Restaurant. Yang menjadi uniknya tentang restauran itu ialah ia terletak di sebuah ranch terasing dan jauh dari orang ramai. Namun begitu ramai penggunjung tetap datang ke situ. Suasana kawasan restauran itu agak berlainan dari restauran-restauran yang pernah kami kunjungi. Dari meja kami duduk, kami dapat melihat beberapa jenis burung dan binatang liar sedang makan mengutip makanan lebih yang ditabur oleh pihak restauran di situ melalui tingkap cermin kaca besar. Pihak restauran menggumpul makanan dan bahan masakan yang lebih kemudian memberi makan kepada binatang liar di luar. Hidangan yang kami gemar ialah coslaw yang dicampur nenas, kentang bakar dan beberapa pencuci mulut. Selain dari itu restauran tersebut dikelilingi oleh zoo kecil menempatkan pelbagai binatang seperti lembu longhorn, arnab, merak, kuda dan banyak juga jensi burung dan ayam.
|
Llama |
Perut sudah kenyang, perjalanan tetap diteruskan juga. Kami sampai di Bandar Alpine hampir waktu Asar. Kami terus sahaja ke hotel di mana kami tinggal selama dua malam.
|
Terowong Big Bend |
Bayaran setiap individu untuk masuk ke Taman Nasional Big Bend tidak begitu mahal. Oleh kerana Pak Long mempunyai kad khas sebagai warga emas untuk melawat taman-taman nasional seluruh Amerika, kami tidak perlu membayar sesen pun. Bagusnya kad khas ini tidak perlu diperbaharu sampai bila-bila dan ia laku untuk diguna apabila perlu.
|
Rio Grande |
Dalam gambar ialah Rio Grande dalam bahasa Spainish atau Sungei Grande. Sungei Grande mengalir memisahkan antara dua buah negara iaitu Amerika Syarikat dan Mexico. Sungei Grande adalah sempadan antara Texas dan Negeri Mexico. Sungei ini tidak luas tetapi panjang. Dulu ketika kami datang di sini air sungei masih dalam di mana ramai penggunjung boleh bermain rapit. Sekarang sejak kemarau panjang bertahun-tahun air sungeinya berkurangan dan cetik. Tiada lagi sukan air rapit. Batu gaung (gorge) yang menggunung tinggi sebelah kiri ialah Negeri Mexico dan batu gaung yang juga sama besar dan tinggi itu adalah sebelah Texas. Di kaki gaung sebelah Texas disediakan anak tangga tinggi memudahkan untuk penggunjung memanjat dan merasa mengalami keadaan di situ. Pak Long dan Mak Long sudah pajat tangga itu dahulu.
|
Rio Grande (Sungei Grande) |
|
Sempada Mexico |
Di antara sempada dua negara ini tidak ada kawalan ketat dari kedua-dua belah pihak keselamatan. Rakyat Amerika boleh menyeberang ke Mexico dengan menaiki perahu kecil tanpa passport atau sebarang dokumen diri. Ia tidak menjamin keselamatan bagi sesiapa yang berani menyeberang ke sana. Sesiapa yang berani berbuat demikian akan menanggung resiko sendiri. Sempadan Mexico terkenal dengan jenayah antarabangsa "drug cartel" atau kumpulan pengedar dadah terbesar di dunia.
Lain pula dengan keadaan rakyat Mexico. Mereka sangat bebas menyeberang Sungei Grande keluar masuk ke sempadan Texas. Mereka seperti tidak menghiraukan langsung kehadiran pihak keselamatan yang sesekali berkawal di situ. Mereka masuk ke Big Bend menjual pelbagai barangan untuk mencari rezeki, umpamanya menjual barangan ciptaan tangan yang amat berseni. Mereka juga tidak silu-silu dan takut meminta pelawat-pelawat menjualkan minyak kereta kepada mereka.
|
Cactus |
Cactus adalah tumbuhan yang paling banyak tumbuh dan hidup di Big Bend. Beribu jenis cactus terdapat di situ di mana kehadiran tumbuhan itu menambahkan lagi keindahan alam semula jadi. Banyak jenis pokok lain yang sering ditanam di kawasan perumahan di Texas ini terdapat di Big Bend. Di antaranya adalah pokok Texas Silver Sage yang telah menjadi kegemaran Pak Long sebagai satu dari projek tanamannya.
|
Texas Silver Sage |
Ketika kami berada di sana cuaca sangat sejuk walau pun matahari bersinar cerah dan cantik. Suhu paling tinggi hanya 40 darjah feranheit sahaja. Sebelah malam lagilah sejuk suhunya. Sekiranya ada peluang untuk datang ke sini lagi pasti Mak Long tidak menolak.
|
Big Bend |
|
Big Bend |
|
Big Bend |
|
Big Bend |
Dinegeri yang begitu luas dengan hubungan jalanraya yang baik seronoklah kesana kemari diwaktu cuti. Kita cuma ada jalanraya timur-barat dan selatan-utara. Masa cuti kita cuma berseronok meihat kenaikan yang bersusun susun merayap seperti siput!
ReplyDeleteSejak Pak Long masuk ke tangga warga emas, masa kami banyak berjalan jauh tidak mengira waktu cuti atau tidak. Tambahan kemudahan sentiasa di depan mata, alhamdulillah... Pak Cik, pembangunan di Malaysia sangat hebat sekarang, banyak perubahan, yang mungkin susah berubah adalah kesesakan jalanraya terutama di bandar-bandar. Orang Melayu banyak berubah berlumba cuba berlawan sama dengan bangsa lain.
DeleteAssalamualaikum..salam perkenalan ya maklong..saya Noor dari Kuala Kangsar PERAK..Saya suka mmbaca catatan maklong sehingga saya menanam cita2 untuk mengembara seperti maklong.. Satu soalan saya..benarkah di Texas ada bandarnya yang benama Ding Dong.. Bagaimana agaknya rupa bandar tu ya..terima kasih maklong untuk catatan berharga ni..
ReplyDeleteWaalaikumsalam Noor. Terima kasih kerana sudi singgah di blog Mak Long. Orang dulu-dulu cakap "jauh perjalanan, banyak pengelaman. Ada kebenarannya, jadi teruskanlah cita-cita hendak panjang-panjangkan langkah. Tidak kiralah di mana langkat itu dipijak di bumi luas ini. Bila merantau di tempat orang, keadaan akan mengajar untuk membuka mata dan minda luas. Ding Dong ialah sebuah daerah kecil tiada keistimewaannya terletak sebelah utara dari tempat kami tinggal. Bandar terdekat dengan kampung ini ialah Bandar Temple. Mak Long belum pernah lalu di kawasan tersebut.
Delete