Assalamualaikum,
Catatan Harian:
Hari sudah tinggi ketika kami meninggalkan daerah Shipshewana untuk meneruskan pengembaraan kami berdua menghala Kentucky. Kentucky adalah tanah kelahiran Pak Long. Tempat yang menjadi pilihan dalam lawatan kali ini ialah Taman Nasional Gua Mammoth di Kentucky. Awan menebal hitam berarak di langit tidak menjanjikan hari yang cerah. Suhu yang beberapa ketika tadi sederhana menurun mendadak terpaksa menaikkan suhu panas dalam kereta. Hujan! Hujan selebat-lebat hujan hingga mengganggu pengelihatan. Pak Long memandu perlahan sahaja. Perjalanan mengambil beberapa jam dengan menggunakan arah pandu alat GPS. Kami arahkan GPS ke alamat menuju ke hotel tempat kami bermalam.
Hari Hujan Lebat |
Perjalanan kami melalui jalan pergunungan yang tidak banyak terdapat ramai orang tinggal di situ. Hanya hutan tebal dengan pokok-pokok tinggi mencakar awan. Sebelum bertolak dari Shipshewana Mak Long telah membuat tempahan sebuah bilik di Hampton Inn di Horse Cave, Kentucky kira-kira empat batu dari Memmoth Cave National Park. Itulah tujuan kami, menerokai Mammoth Cave National Park. Kami berpandukan dan bergantung pada GPS 100% untuk mencari jalan… kalau tidak ada GPS mungkin leceh sedikit hendak cari alamat sesuatu tempat.
Mulanya semua berjalan baik seperti yang dirancangkan. Kami nampak papan tanda hotel untuk kami malam itu sudah hampir tetapi yang anihnya GPS tidak menunjukkan kami arah ke hotel. Kehairanan tetapi mahu tahu ke mana hendak perginya? Jalan raya itu membawa kami melalui kawasan perkampungan. Cantik pemandangan menghijau disulami dengan pelbagai bunga hutan menguntum indah. Semakin jauh jalan raya pula semakin sempit jalannya hanya boleh lulus untuk sebuah kenderaan dan pokok-pokok hutan pula semakin tinggi. Jalan lecah selepas hujan, kekadang melalui lubang-lubang kecil membuat air itu terpercik. Sampai di suatu tempat GPS berkata, "YOU HAVE ARRIVED AT THE DESTINATION ON THE LEFT…." Huwaaa….. Mana hotelnya? Tidak ada apa-apa bangunan atau manusia pun di situ. Bulu roma Mak Long sudah mula berdiri tegak seram O!
Pak Long berhentikan kereta. Mak Long toleh ke kanan … . Eeee kubur lama! Entah sudah berapa ratus tahun lamanya? Batu nensan semua sudah ada yang pecah dan berlumut hitam seperti yang kita tengok dalam cerita-cerita seram di TV! Di antara kubur pula sebuah gereja kecil tua yang juga mungkin digunakan sebagai rumah jenazah (funeral home). Tingkap kaca ukiran "stained glass" berwarna warni suatu ketikanya dulu mestilah cantik sudah berlumut mengaburkan warna. Mak aiii..apa dah jadi? Kami berpandangan dan rasa keheranan.
"Dear, are you looking what I am looking at?"
Pak Long jawab, "Of course, dear!…" Ish! Ish! Tidak takut pulak dia! Pak Long belek-belek GPS kotlah Mak Long salah picit alamat! "Betul…" katanya, " …. tapi macam mana sampai sini…. hmmm.. OK kita pusing balik ke Hampton Inn yang kita nampak tadi". Macam-macam ayat suci Mak Long baca. Mak Long tidak berani hendak ambil gambar kubur lama …! Kang ada yang ikut balik susah pulak.
Hingga ke hari ini kami masih tiada jawapan mengapa GPS bawa kami ke daerah perkuburan tua itu?
Kami berpatah balik menujuk ke hotel yang kami nampak mula-mula tadi. Memang itulah hotel yang kami tempah. Malam itu kami tidur lena tiada gangguan, mimpi ke, apa ke.…alhamdulillah… Pihak hotel memberitahu Mammoth Cave National Park dibuka awal pagi dan digalakan mengikut pemandu pelancung di sana dengan sedikit bayaran.
Kawasan Mammoth Cave National Park |
Esoknya pagi-pagi lagi kami sudah sampai di Mammoth Cave National Park. Cuaca tidak menyebelahi kami lagi hari itu. Hujan renyai dan sejuk. Pak Long beli ticket untuk ikut pemandu pelancung yang dikelolakan oleh "Ranger" bertugas. Ada senarai beberapa jenis pelancungan yang diberikan dan pelawat boleh memilih mengikut pilihan yang digemari. Sekiranya mempunyai masa panjang dan bertenaga bolehlah ambil "the Grand Avenue Tour" … iaitu perjalanan yang jauh berliku-liku dalam gua di bawah bumi. Kami hanya memilih "The Historic Tour" tidak berjalan jauh sangat. Itu pun boleh tahan juga berjalan turun naik dan berjalan itik di mana-mana tempat yang sempit dan rendah.
Taklimat Dari Pengawal/Pemandu Pelancung Memmoth Cave |
Sebelum masuk ke dalam gua kami diberi taklimat tentang gua tersebut oleh "Ranger" (pengawal hutan) bertugas. Beberapa arahan diberi iaitu tidak dibenarkan membawa bekal makanan, tidak boleh mengguna lampu picit, tidak boleh mengambil gambar menggunakan lampu dan tidak membuang sampah merata. Lampu yang tidak berapa terang akan dinyalakan menerangi untuk laluan kami. Sebaik sahaja pelawat lalu, lampu itu akan digelapkan semula. Ini kerana dikuatiri akan mengganggu hidupan dalam gua seperti kelawar.
Kumpulan Kami |
Perjalanan ke pintu masuk gua hanya boleh dengan berjalan kaki sahaja, hampir lebih kurang satu batu lebih begitulah jauhnya. Jadi sekiranya hendak pergi ke tempat seperti itu eloklah bersedia sekurang-kurangnya memakai kasut yang sesuai untuk berjalan jauh. Ketika kami berada di situ hujan renyai dan sejuk tetapi tidak mematahkan hasrat kami. Seronok juga pergi berramai-ramai sambil berkenalan dengan pengunjung-pengunjung lain.
Pintu Gua Mammoth |
Kami menuruni anak tangga untuk masuk ke dalam gua. Di atas hadapan pintu gua ada sebuah anak sungai bawah tanah kecil mengalirkan air menjadi sebuah air terjun kecil.
Pemandangan Dari Dalam Gua |
Suhu dalam gua sentiasa bertukar sepanjang tahun iaitu antara 50-60 degree fahrenheit. Bila hari hujan anak tangga turun naik lecah dan merbahaya. Kenalah pegang kuat pada tempat pemegang yang disediakan.
Pemandangan Luar Dari Pintu Gua |
Apakah yang menarik dari Gua Mammoth? Selain dari amat panjang, gua ini unik yakni berliku-liku dan berlapis-lapis. Keadaan ini terjadi lantaran dari proses pembentukan gua yang cukup lama yang berlaku di bawah permukaan bumi.
Di dalam gua tersebut terdapat sungai bawah tanah yang mengalir sejauh mata memandang. Kemungkinan kerana aliran arus sungai maka terbentuknya keadaan gua itu kini. Salain dari itu Gua Mammoth juga menunjukkan jadian stalaktit dan stalakmit yang memukau kecantikan semula jadi. Para ahli sain menyatakan Gua Mammoth sebagai gua dengan ekosistem paling kompleks di muka bumi. Tidak siapa pun tahu berapa besar dan panjangnya gua itu. Masih banyak lagi bahagian Gua Mammoth yang masih belum diterokai dan ia masih lagi merupakan misteri.
Orang yang pertama pernah tinggal di Gua Mammoth adalah orang nomad, kira-kira 4,000 tahun dahulu. Mereka tidak pula masuk jauh ke dalam gua. Kemudian dikatakan seorang hamba-abdi bernama Stephen Bishop perentas jalan dan petakan keadaan dalam gua tersebut dalam keadaan gelap gelita. Beliau hanya berbekalkan dengan lampu minyak babi kecil sebagai penerang dalam gua.
Lampu Minyak Tanah |
Sampai di suatu tempat dalam gua itu "Ranger" meminta kami berkumpul serta memberi tahu kami yang beliau akan mematikan lampu yang menerangi kami untuk beberapa ketika. Dia mahu kami memahami gelap gelita yang macam mana? Bila lampu dipadamkan … Alamak! Gelap gelitanya tanpa cahaya. Kiranya kita meletakan sesuatu di hadapan mata yang terbuka, kita tidak boleh nampak apa pun. Kemudian "Ranger" menyalakan sebuah lampu minyak tanah kecil seperti dalam gambar. Lama kelamaan mata kami mampu menyesuaikan suasana cahaya dalam gelap itu. Dengan itu membolehkan mata melihat samar-samar. Bayangkanlah betapa Stephen Bishop boleh mencari jalan dan membuat peta dalam gelap dengan hanya berlampukan lampu minyak yang malap.
Dalam gambar di atas, lampu di dinding gua itu hanya samar-samar sahaja. Lampu itu akan dipadamkan sebaik sahaja pengunjung lalu.
Pemandangan Dalam Gua Mammoth |
Bottomless Pit |
Gambar di atas adalah sebuah gaung merbahaya dan sangat dalam. Menurut "Ranger", Steven Bishop adalah orang pertama yang telah menyeberang gaung dalam itu. Kiranya tersalah langkah dan terjatuh ke dalam lubang ini, hidup mati dalam kegelapanlah jadinya.
Lorong sempit dan rendah |
Setengah dari jalan yang kami lalui sungguh sempit dan atap yang sangat rendah. Ada kalanya pula kami terpaksa berjalan seperti itik tidak boleh berdiri.
Lombong Calcium Nitrate |
Gambar di atas adalah tinggalan bekas lombong calcium nitrate yang terdapat dalam Gua Mammoth. Dalam peperangan antara Amerika dan British dalam tahun 1812, pihak British telah menyekat kemasukkan bahan letupan ke pelabuhan Amerika sebagai langkah mereka untuk melumpuhkan kuasa Amerika. Bagi mengatasi masaalah tersebut Amerika telah menggunakan calcium nitrate yang dilombong dari Gua Mammoth dijadikan sebagai sumba serbuk letupan melawan British. Selepas peperangan tammat lombong tersebut telah ditutup kemudian dijadikan sebagai satu dari tarikan pelancung yang berkunjung ke situ.
Ketika kami keluar dari dalam gua itu, cuaca masih hujan renyai. Mak Long berkesempatan juga melewati kedai menjual barang-barang cendera mata seperti post card, baju T dan lain-lain.
No comments:
Post a Comment