Pages

Sunday, October 19, 2014

Nota Jalan-jalan 2014 - Hospital Besar Tampa, Florida

Assalamualaikum,


Catatan Harian.


Kami baru sahaja pulang dari jalan-jalan melawat beberapa buah negeri bahagian timur benua Amerika bulan lepas.  Penat keletihan berjalan jauh belum begitu hilang lagi.  Pak Long tanya kalau Mak long sudah bersedia untuk berjalan jauh lagi.  Mak Long bersetuju sekiranya tarikh perjalanan jauh kali ini dimulakan di pertengahan bulan Jun sebelum menyambut bulan Ramadhan.  Mak Long suka berjalan, tetapi kali ini terasa keuzuran tenaga menurun dan mengambil masa lama sedikit untuk segar semua.

Tarikh baru yang kami bersetuju ialah 16hb Isnin, Jun.  Kami membuat persediaan lebih awal, antaranya membawa pakaian lebih agar tidak perlu membuang masa mencuci pakaian di bilik cucian di hotel-hotel di mana kami bermalam nanti.  Tidak membawa makanan kunyahan (jajan kata orang Muar) selain dari buah-buahan dan air.  Apabila membawa makanan kunyahan nanti kami asik mengunyah sahaja di sepanjang masa seperti yang sudah-sudah.  Buruknya perbuatan suka mengunyah akan mengurangkan selera makan tengahari dan malam.  Jadi "No snacks this time!"

Tiga hari sebelum tarikh itu, Mak Long menerima email dari kawan baik di Malaysia.  Kami sudah berkawan lama dan kami pernah menunaikan umrah bersama-sama 30 tahun lalu.  Emailnya ringkas sahaja.

"...Yang, kalau ada masa boleh tak tengok Dik Mas?  Dia sakit dan doktor nak operate hari Selasa ni.  I nak datang US ni, tak tau bila sampai..".   

Beliau seorang ibu.  Hati ibu resah tidak terhingga apabila mendapat tahu penderitaan yang ditanggung oleh anaknya, tambahan apabila si anak tinggal jauh di rantauan. Dapat dibayangkan dalam minda keresahan dan kesedihan Normah, kawan baik Mak Long ketika itu.  Mak Long memahami, In sya Allah dengan izin Allah akan tunaikan permintaannya.  Mak Long segera memaklumkan pada Pak Long dan beliau menganggokkan kepala tanda setuju.  Kami mengubah hala perjalanan di mana Dik Mas berada dahulu iaitu di Tampa, Florida.  Kebetulan cadangan tempat yang hendak kami pergi kali ini memang pun arah ke Florida.   Perjalanan ke Tampa dengan kenderaan biasa mengambil masa lebih kurang 18 jam, bermakna kami memerlukan dua hari untuk sampai ke Tampa....jauh!  

Pada tarikh 16 hb, Jun kami bertolak awal pagi selepas Subuh kami sudah di perjalanan.  Berhenti hanya untuk mengisi minyak kereta, melepaskan keperluan diri dan makan ringan. Berasa bagus juga tidak mengunyah apa-apa selain dari minum air kosong dari botol.  Kami cuba meneruskan perjalanan seberapa jauh yang dapat supaya esoknya masa perjalanan kami tidak jauh sangat dan berharap sampai lebih awal di Tampa Genenral Hospital.  Hampir waktu Maghrib kami sudah sampai di sempadan antara Mississippi dan Florida.  Pak Long suarakan agar kami bermalam dan berehat di Crestview, iaitu sebuah daerah di pinggir sempadan sebelah Florida.  Perjalanan terus kali ini mengambil masa selama 13 jam lebih.  Esoknya jam 7.00 pagi selepas sarapan pagi kami sudah pun dijalanan menuju ke Tampa.  

Sementara itu Normah sudah pun dalam penerbangan ke Florida yang mengambil masa lebih kurang 26 jam lamanya.  Kesihan dia!  Seorang wanita yang sentiasa berdikari, masih berkerja walaupun sudah masuk alam warga emas.  Beliau lebih suka menghabiskan masa lapangnya dengan bekerja dari bersara.



Bangunan Utama Tampa General Hospital

Kami sampai ke Tampa selepas 5 jam perjalanan.  Arah ke Tampa General Hospital tidaklah begitu sukar dengan panduan arah dari kecangihan alat GPS.  Apabila kami sampai di sana kami segera mencari tempat meletak kereta.  Banyak betul kereta di tempat letak kereta hospital ini… beratus mungkin beribu banyaknya.  Kami mengambil beberapa ketika untuk mendapatkan tempat.  Bayaran pertama untuk meletak kereta ialah USD3.00 sahaja tidak dikira berapa lama sehinggalah kereta itu keluar dari situ.  Kalau sebulan tidak keluar itulah harganya. 




Bahagian Masuk Ke Tampa General Hospital



Kawasan General Hospital Tampa

Gambar ini dirakamkan daripada bahagian letak kereta yang di mana ia berasingan dari bahagian bangunan hospital.  

Besar dan luasnya hospital besar ini boleh membuat seseorang itu sesat.  Kami perlu meminta pertolongan mencari arah ke bahagian wad neurology di mana Dik Mas sedang dirawat.  Sesampai kami di wad tersebut, Normah sudah pun sampai beberapa jam terdahulu.  Nampak letih dan uzur kawan Mak Long ni, maklumlah mengalami penerbangan jauh dengan 'jet-lag' lagi.  Beliau menyambut Mak Long di pintu wad yang hanya membenarkan pelawat yang mengenali pesakit masuk melawat.  


Bilik Pesakit

Kami terus ke bilik pesakit di mana Dik Mas masih belum berapa sedar dari kesan pembedahan.  Dik Mas didapati mengidap ketumbuhan "tumor" di bahagian kiri otaknya.  Sudah lama ia mengidap migraine rupanya, tetapi tidak diindahkan sangat.  Bila sudah parah baharulah menemui doktor dan hampir-hampir terlambat.  Bila sudah tidak tahan menanggung kesakitan tambahan tanda-tanda sakit semakit ketara seperti pemandangan tidak jelas nampak berpinar berlapis-lapis (double vision) dan sengal tangan baharulah dia ke hospital.  Pandu sendiri!  Tidak tahulah bagaimana dia masih mampu memandu kereta!  Mujur di hospital ada kemudahan 'valet parking' jadi Dik Mas terus dikejarkan ke bahagian kecemasan.  Ketumbuhan sudah membesar sebesar telur ayam menurut kata doktor yang merawatnya.  Ia perlu dibedah untuk mengeluarkan ketumbuhan.  Dik Mas meminta agar dibedah hanya bila suami dan emaknya sampai.  Suaminya bertugas di luar negara di Timur Tengah sebagai pensyarah.  Mujur mereka sampai lebih awal dan Dik Mas selamat dibedah.  Pendarahan dapat dibersihkan dan ketumbuhan dapat dibuang.  Ketika itu sebelah badan tangan dan kaki kanan tidak mampu bergerak.  Dik Mas memerlukan menjalani rawatan terapi urat saraf dan percakapan.

Jumlah harga rawatan dan belum termasuk harga bilik sahaja melebihi USD250,000.00.  Aduihai mahalnya …..

Bila keadaan pesakit sudah setabil maka kami berhasrat meneruskan perjalanan kami.  Normah pun kelihatan sudah segar semula dan perlahan-lahan menyesuaikan dirinya dengan keadaan di sekeliling.  Kami berada di Tampa selama tiga hari dua malam.  

Ketika di sana kami dapat bertemu dan berkenalan dengan seorang sahabat baharu dari Malaysia.  Kebetulan beliau juga datang menjengok pesakit.  Beliau bermastautin di Amerika Syarikat lebih dari 15 tahun dan bertugas sebagai jururawat  di sebuah hospital MAYO di Jacksonville, Florida.  Beliau beria-ia sangat telah menggundang kami datang dan bermalam di rumahnya untuk beberapa hari.  Apa salahnya kami menerima undangannya, begitulah Mak Long berpendapat.  Tambahan bukannya selalu dapat berjumpa dengan orang Melayu di USA ini.  Kebetulan kami pun memang merancang akan melalui Jacksonville dalam perjalanan kami ke Miami, St Augustine, Key West dan seterusnya.
















No comments:

Post a Comment