Assalamualaikum,
(Catatan harian)
Catatan ini tiada kesempatan diturunkan oleh kekurangan masa ketika berada di Malaysia. Maka baru inilah berpeluang berbuat demikian dan agak sudah basi juga.
Pada hari terakhir Ramadhan kami sekeluarga sibuk berkerjasama menyediakan beberapa juadah untuk hari esok .. Menyambut Syawal. Sebelum itu pagi-pagi lagi kami ke bandar Muar membeli beberapa bahan keperluan seperti sayuran dan barang-barang yang masih belum dibeli. Mak Long pula sibuk menganyam daun kelapa muda buat ketupat nasi dan masak rendang daging. Orang Johor ketupat nasi adalah satu dari hidangan yang mesti ada. Busu Mai, adik Mak Long dapat bekalan membeli daging lembu lebih dengan separuh harga dari majikan TV3. Setiap tahun begitu. Separuh malamnya kami berdua bersama Yana, anak buah kesayangan berjaga menyediakan juadah untuk dihidangkan pada Hari Raya 'Aidil Fitri tahun 2013.
Kedua-dua anak teruna Mak Long balik dan sampai hampir pukul empat pagi ketika Mak Long baru sahaja dapat melelapkan mata. Anak yang tinggal di Sibu, Sarawak juga balik denan keluarganya. Paling mengembirakan dan penuh kesukuran ialah kali pertama dapat bertemu dan menatap wajah cucu kecil sulung berusia dua tahun yang belum berpeluang bertemu sebelum ini. Inilah suatu rahmat kurnia Illahi yang tiada nilai harganya.
Pada Syawal pertama, pagi-pagi lagi Mak Long sudah bangun, menunaikan kewajipan diri dan bersiap-siap untuk bersama menunaikan solat sunat Aidil Fitri di masjid kampong yang tidak jauh dari rumah. Bersyukur juga dapat bersama-sama bersolat berjemamah beramai-ramai. Bilangan besar wanita-wanita kampong berduyun turut serta. Busu Peah, Mak Melah dan anak gadisnya Hani pun ada sama. Mak Long berasa sedih juga kerana ramai di antara Jemaah yang hadir tidak Mak Long ingat lagi, terutama mereka yang masa dulunya masih muda dan ada yang masih kanak-kanan lagi kini sudah dewasa. Ada yang sudah meninggalkan kampong mencari rezeki dan ada yang masih tidak bergerak kemana pun tambahan segala sudah berubah rupa. Zaman berubah dan manusia juga berubah dimamah usia!
Pak Imam kampong sudah uzur benar dia. Berjalan pun sudah perlahan dan sedikit bongkok, mungkin kesihatan diri tidak mengizinkan. Beliau tidak macam ketika masa mudanya, cergas berkayoh basikal berulang alik ke masjid. Kini Pak Imam menunggang motosikal "Honda?"..... Toot, toot, toot perlahan sahaja geraknya. Suaranya terketar-ketar membaca ayat-ayat suci ketika mengimamkan solat sunat Aidil Fitri. Semua manusia dimamah usia dan berubah rupa......
Selepas solat kami bersalaman dan bertanya khabar. Kemudian terus pulang ke rumah menikmati juadah-juadah istimewa bersama keluarga. Melutut di hadapan Emak dan mencium tangannya memohon ampun dan maaf diikuti oleh semua ahli keluarga yang lain, kecil dan besar, tua dan muda. tidak lupa mengucapkan kesyukuran kepada Allah SWT yang telah memberi nikmat dalam hidup ini. Inilah saat yang sangat indah dapat berkumpul dan merayakan hari yang mulia di bulan Syawal bersama keluarga dan sanak saudara.
Sepanjang hari itu Mak Long berada di rumah sahaja menyambut kaum kerabat yang datang beraya. Sepupu Mak Long, Hashim, Saadon bersama keluarga di antara tetamu juga tidak ketinggalan . Hashim masih dalam kesugulan kerana kehilangan isteri kesayangan yang terlebih dahulu kembali ke rahmattullah... Al-Fatihah untuk Delah...
Salam Syawal kepada setiap umat Islam jauh dan dekat, serta mohon maaf zahir dan batin.
Salam Syawal kepada setiap umat Islam jauh dan dekat, serta mohon maaf zahir dan batin.
Ketupat Nasi |
No comments:
Post a Comment