Pages

Wednesday, September 25, 2013

Nota Penebangan Pulang .. Goodbye!

September 2, 2013

Assalamualaikum,

Setiap Yang bermula akan berakhir.  Setiap yang hidup akan tamat kehidupan.  Walau hati berat hendak meninggalkan setiap ahli keluarga dan sahabat handai, namun kami terpaksa berpisah jua.  Hari ini adalah harinya kami berpisah, mungkin berpisah buat sementara waktu, mungkin buat selamanya.  DIA jualah yang maha mengetahui.

"Parting is a sweet sorrow", kata-kata madah pujangga orang putih.  Mak Long sudah lali dengan keadaan dan suasana begini.  Kadang-kadang rasa perasaan yang tidak dapat dibendung sedihnya.  Ada kala biasa-biasa sahaja mengikut keadaan agak gayanya.  Hari ini alhamdulillah tidaklah menyedihkan sangat kerana Puteri AM ikut sama.  Kedua-dua putera HQ dan MM serta Busu Mai juga menghantar kami di lapangan terbang hinggalah ke saat kami bertolak walaupun beberapa kali Mak Long minta mereka pulanglah dahulu memandangkan hari sudah lewat malam.  Mak Long bimbangkan keselamatan mereka pandu kereta malam-malam begitu.  Sebenarnya Mak Long tidak gemar menaiki pesawat, samaada perjalanan jauh mahu pun perjalanan dekat .... sungguh menyiksakan.

Yang paling seronok dan tidak disangka sekali ialah kunjungan dari seorang sahabat lama dari Sekolah Tun Fatimah.  Beliau dan suami telah berusaha datang ke KLIA semata-mata hendak berjumpa Mak Long.  Kami tidak dapat bertemu sebelum ini oleh tidak bersuaian dan kesuntukan masa.  Sesungguhnya Mak Long berasa sungguh terharu dan tersentuh dengan usahanya.  Bayangkanlah bertapa manis nikmat yang kami rasakan!  Kami tidak dapat menahan linangan air mata gembira dan terlalu bersyukur dapat bertemu kembali.  Mak Long rasakan begitu gembira hati ini seperti berumur belasan tahun kembali.  Kami cuba mengisi cerita masa-masa yang telah hilang sebanyak mungkin dalam masa yang terlalu singkat.  Semenjak perpisahan dari sekolah 45 tahun lalu kami tidak pernah bersua, mahu pun berhubung dengan persuratan.  Ah!  Manisnya dapat bertemu setelah sekian lama.  Dulu ketika berpisah kami masih belasan tahun.  Kini kami sama-sama telah mendokong pangkat menjadi nenek.  Terima kasih Selamah Mansur kerana usaha dan keikhlasan mu ...  Ia sentiasa menjadi kenangan manis yang sangat berharga di hati ini.  Terima kasih juga kerana sudi menghadiahkan sebungkus buah tangan (cookies dari cereal dan kacang) usaha air tangan mu sendiri.  Sedap!  Rupa dan senyuman mu tidak banyak berubah!


Sahabat Lama Selamah Mansur


Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Singapure lewat dua puluh minit, maka sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi juga lambat.  Alhamdulillah, walau pun kelambatan tidak pula mengganggu jadual penerbangan seterusnya.  Penerbangan seterus singgah ke Moscow selama satu jam.  Di Lapangan Terbang Antarabangsa Moscow, semua penumpang termasklah penumpang-penumpang yang hendak ke Houston, Texas dimestikan turun dari pesawat.  Seperti biasa semua penumpang melalui pemeriksaan keselamatan.  Mak Long dapati kali ini pihak keselamatan tidak begitu ketat dan rumit seperti yang telah sudah-sudah sejak peristiwa 9/11.  Penumpang yang hendak meneruskan penerbangan ke Texas melalui pemeriksaan keselamatan kali kedua sebelum masuk ke dalam pesawat.  Cuaca di Moscow waktu itu sejuk kira-kira 10 celcius atau 50 Degree F.   Amat mendukacitakan setiap kali berhenti di Moscow ialah keadaan bilik air kemudahan awam di lapangan terbang tidak bersih dan terlalu kecil.  Pengguna terpaksa beratur bergilir untuk mengguna bilik air.   Orang Russia tidak suka senyum membuat mereka seolah-olah muram dan terlalu garang.  Sayang mereka sebenarnya cantik dan kacak.

Penerbangan selama 24 jam sungguh menyiksaan dan meletihkan.  Peramugari dan peramugara berkerja keras melayan penumpang sebaiknya.  Senyuman mereka tidak lekang dari bibir membuat penumpang senang hati.  Makanan yang dihidangkan juga baik. Mak Long telah berpesan untuk hidangan halal sebelum memulakan penerbangan melalui internet.  Yaaa lengoh segala sendi!!!  Kami selamat sampat di Lapangan Terbangan Antarabangsa Continental Bush, Houston jam 3.30 petang.  Melalui pintu imigresen juga tiada masaalah walau pun mengambil masa yang agak lama.  Pegawai imigresen yang bertugas di barisan kami teralu ramah dan mahu berbual dengan semua penumpang.....  

Kami hanya dapat keluar dari imigresen dan kastam jam 5.00 petang.  Di luar Pak Long dan Puteri S sudah menunggu dengan senyum lebar mereka menyambut kepulangan kami berdua beranak.  Alhamdulillah kami selamat sampai!













Thursday, September 12, 2013

Nota Pencuit Hati

Assalamualaikum,

Si kecil comel, keletah dan bijak bercakap hampir dua tahun umurnya diberi nama Anna telah berjaya mencuri, memikat  dan menambat hati Mak Long.  Bilakah dapat berjumpa kembali?  Masih ingatkah dia nanti apabila bertemu di sisi kembali?  


































Sunday, September 8, 2013

Nota Hidup Daif, Hati Mulia

Assalamualaikum,

(Catatan harian)

Hari raya kedua kami sepakat menziarahi sebuah keluarga sebelah Emak iaitu keluarga Mak Adah di Kampung Telok Bakong.  Dulu-dulu jalan ke kampong ini dari kampong Mak Long perlu menyeberang Sungai Muar dengan perahu berpengkalan di Kampung Sungai Raya.  Upah seseorang memang kerjanya mengambil penumpang berulang-alik ke kampong tersebut.  Bayaran murah, hanyalah antara RM0.30 - 0.50 sahaja.  Itu pun nasib baik ada penumpang yang bermurah hati sudi membayarnya.  Sekarang tidak perlu lagi kerana jalan raya telah disediakan oleh kerajaan.  Sudah boleh bawa kereta hingga depan rumah. 

Sebenarnya banyak tahun Mak Long tidak ke kampong ini.  Dulu, masa zaman budak-budak Mak Long biasa ke Kampung Telok Bakong mengikut Busu Peah, emak saudara Mak Long melawat atok saudara dan keluarganya.  Dari rumah ke Kampung Telok Bakong kami kayoh basikal ke pengkalan di mana kami menaiki perahu pula menyeberang sungai.  Busu Peah tidak pandai kayoh basikal, jadi Mak Longlah atau Mak Biah sepupu Mak Long kayoh, Busu Peah boncing di para (carrier) belakang basikal.  Bila sampai di pengkalan perahu, basikal kami tompangkan di rumah Pak Senin penduduk kampong.  Seronok naik perahu.  Bukan tahu takut pun, ada buaya di sungai.  Kadang-kadang kalau kami ke sana dalam musim hujan, jalan raya berbatu merah ke pengkalan terok.  Jalan berlobang sana, berlobang sini.  Nasib tidak baik tayar basikal masok lubang menyebabkan suasana jadi tidak selamat, terhoyong hayanglah kami lalu jatoh dengan basikal sekali.  Lumpur jalan batu merah habis melekat pada tayar menjadikan basikal tidak boleh dikayoh. Kadang-kadang nasib tidak baik dapat "cendawan kukur" di tulang kering kena sagat batu jalan.  Sakit!  Susah-susah macam itu pun tidak pula mematahkan hasrat kami menyeberang ke Kampung Telok Bakong!  Tidak tahu serik!

Ketika kami sampai ke rumah Mak Adah, beliau dan keluarga anak-anaknya ada sama.  Ramai ........ keluarga besar.  Mak Adah nampak lebih tua dari umurnya oleh keperitan hidup, namum kecantikan yang suatu masa mudanya amat terserlah masih lagi kelihatan.  Senyumannya sentiasa terukir di bibir dengan beberapa batang gigi yang masih tinggal.  Lainnya sudah tiada dan rompong.  Kedut di muka jelas kelihatan.  Kami sebenarnya hampir sebaya cuma Mak Adah tidak diberi peluang untuk meneruskan ke sekolah tinggi.  Bukan kerana kesempitan hidup keluarganya ketika itu, tetapi kerana cetek pengetahuan ibu bapa.  "Anak perempuan walau bagaimana pandai sekali pun, dapur juga tempatnya".  Begitulah pendapat orang-orang tua suatu masa dahulu!

Mah Adah dikawinkan dengan anak atok saudara yang tidak mempunyai kerja tetap dan mereka mempunyai anak ramai pula.  Untuk membantu pendapatan keluarga Mak Adah mengambil upah membersih dan mengutip buah di kebun China.  Mereka tinggal di rumah lama peninggalan atok saudara.  Rumah itu sudah terlalu usang, lantainya jarang boleh nampak tanah di bawah sedangkan atap zinc pula penuh dengan lubang-lubang kecil nampak langit.  Tangga untuk turun dari rumah hadapan ke ruang dapur pula tinggi dan jarang anak tangganya.  Malangnya anak-anak Mak Adah tidak seorang pun menjadi untuk membela keadaan hidup mereka.  Mereka semua berkerja di kampung mengambil upah.  Sedih hati melihat keadaan hidup keluarga melarat.

Kedatangan kami disambut mesera.  Mak Adah gembira tidak terhingga menerima kedatangan kami hingga menampakkan titisan air mata jernih ke pipinya.  Bertahun kami tidak pernah bertemu.  Kami dihidangkan dengan beberapa jenis kuih muih hari raya dan minuman air sirap warna merah.  Orang Johor bila menyambut hari raya mesti ada air sirap merah atau "air jenjal" perisa oren, pisang, sarsi dan skrim soda (minuman soda - bergas).  Mak Adah mahu kami makan tengahari bersamanya.

"Tak ada lauk, marilah makan apa yang ada...... mari, jemput makan, budak-budak dah hidangkan....."

Mak Long tidak sampai hati hendak makan makanan mereka.  Mereka lebih memerlukan makanan itu.  Mak Adah mendesak juga agar kami menjamah makanan tengaharinya, "tidak banyak sikit .... makanlah, rasa lauk ni ......" .  Untuk menjaga hatinya kami makan juga sedikit ...... (Itulah lain kali jangan bertandang ke rumah orang waktu tengah hari!  Mak Long berkata sendirian!)

Selepas makan kami bawa pinggan kotor ke dapur untuk dicuci.  Di dapur alangkan terkejutnya, Mak Long lihat tiga dari anak-anak Mak Adah sedang makan juga.  Lauknya alahai, hanyalah sayur pucuk ubi dan sedikit ikan kering goring.  Kami di luar dihidangkan dengan lauk ayam  dan sayur ......!  Mak Adah mulianya hati mu ...  tetamu dihidangkan yang terbaik sedangkan keluarga mu sanggup makan yang kurang dan lebihan.  Insaf melihat kemuliaan hati mereka dan hiba hati melihat kedaifan hidup yang mencengkam mereka.  

Apabila saat kami pulang, Mak Adah dan anaknya mengeluarkan beberapa bungkus lempok dan dua botol tempoyak durian untuk kami bawa balik bersama kami.  

"Ko, Mak Long duduk jauh-jauh di negeri orang mana dapat makan ini semua.... Ada sikit ni amiklah rasa......"  Murahnya hati mereka!  Mak Long hanya sanggup mengambilnya apabila dia menerima sesuatu dari Mak Long sebagai tukar-ganti.  

Ya Allah, ya tuhan ku... Kau limpah kurniakanlah keluarga Mak Adah dengan rezeki yang lebih lagi halal.  Bukakanlah setiap pintu rezeki baginya.  Senangkan dan sejahterakanlah hidup Mak Adan dan keluarganya dari kedaifan.  Kuatkan iman di hati mereka.....    

Di benakan terlintas pertanyaan ... adakah kalau dahulu Mak Adah terus diberi peluang bersekolah menimba ilmu mungkin hidupnya tidak melarat seperti sekarang?  Siapa hendak disalahkan, orang tuanya atau dirinya sendiri?




Rumah Keluarga Mak Adah


Beberapa Jenis Buah-buah Di sekeliling Rumah











Nota Kedatangan Syawal 2013

Assalamualaikum,

(Catatan harian)

Catatan ini tiada kesempatan diturunkan oleh kekurangan masa ketika berada di Malaysia.  Maka baru inilah berpeluang berbuat demikian dan agak sudah basi juga.


Pada hari terakhir Ramadhan kami sekeluarga sibuk berkerjasama menyediakan beberapa juadah untuk hari esok .. Menyambut Syawal.  Sebelum itu pagi-pagi lagi kami ke bandar Muar membeli beberapa bahan keperluan seperti sayuran dan barang-barang yang masih belum dibeli.  Mak Long pula sibuk menganyam daun kelapa muda buat ketupat nasi dan masak rendang daging.  Orang Johor ketupat nasi adalah satu dari hidangan yang mesti ada.  Busu Mai, adik Mak Long dapat bekalan membeli daging lembu  lebih dengan separuh harga dari majikan TV3.  Setiap tahun begitu.  Separuh malamnya kami berdua bersama Yana, anak buah kesayangan berjaga menyediakan juadah untuk dihidangkan pada Hari Raya 'Aidil Fitri tahun 2013.

Kedua-dua anak teruna Mak Long balik dan sampai hampir pukul empat pagi ketika Mak Long baru sahaja dapat melelapkan mata.  Anak yang tinggal di Sibu, Sarawak juga balik denan keluarganya.  Paling mengembirakan dan penuh kesukuran ialah kali pertama dapat bertemu dan menatap wajah cucu kecil sulung berusia dua tahun yang belum berpeluang bertemu sebelum ini.  Inilah suatu rahmat kurnia Illahi yang tiada nilai harganya.

Pada Syawal pertama, pagi-pagi lagi Mak Long sudah bangun, menunaikan kewajipan diri dan bersiap-siap untuk bersama menunaikan solat sunat Aidil Fitri di masjid kampong yang tidak jauh dari rumah.  Bersyukur juga dapat bersama-sama bersolat berjemamah beramai-ramai.  Bilangan besar wanita-wanita kampong berduyun turut serta.  Busu Peah, Mak Melah dan anak gadisnya Hani pun ada sama.  Mak Long berasa sedih juga kerana ramai di antara Jemaah yang hadir tidak Mak Long ingat lagi, terutama mereka yang masa dulunya masih muda dan ada yang masih kanak-kanan lagi kini sudah dewasa.  Ada yang sudah meninggalkan kampong mencari rezeki dan ada yang masih tidak bergerak kemana pun tambahan segala sudah berubah rupa.  Zaman berubah dan manusia juga berubah dimamah usia!

Pak Imam kampong sudah uzur benar dia.  Berjalan pun sudah perlahan dan sedikit bongkok, mungkin kesihatan diri tidak mengizinkan.  Beliau tidak macam ketika masa mudanya, cergas berkayoh basikal berulang alik ke masjid.  Kini Pak Imam menunggang motosikal "Honda?".....  Toot, toot, toot perlahan sahaja geraknya.  Suaranya terketar-ketar membaca ayat-ayat suci ketika mengimamkan solat sunat Aidil Fitri.  Semua manusia dimamah usia dan berubah rupa......

Selepas solat kami bersalaman dan bertanya khabar.  Kemudian terus pulang ke rumah menikmati juadah-juadah istimewa bersama keluarga.  Melutut di hadapan Emak dan mencium tangannya memohon ampun dan maaf diikuti oleh semua ahli keluarga yang lain, kecil dan besar, tua dan muda.  tidak lupa mengucapkan kesyukuran kepada Allah SWT yang telah memberi nikmat dalam hidup ini.  Inilah saat yang sangat indah dapat berkumpul dan merayakan hari yang mulia di bulan Syawal bersama keluarga dan sanak saudara.

Sepanjang hari itu Mak Long berada di rumah sahaja menyambut kaum kerabat yang datang beraya.  Sepupu Mak Long, Hashim, Saadon bersama keluarga di antara tetamu juga tidak ketinggalan .  Hashim masih dalam kesugulan kerana kehilangan isteri kesayangan yang terlebih dahulu kembali ke rahmattullah...  Al-Fatihah untuk Delah...

Salam Syawal kepada setiap umat Islam jauh dan dekat, serta mohon maaf zahir dan batin.





Ketupat Nasi











Saturday, September 7, 2013

Nota Catatan 31hb Ogos, 2013

Assalamualaikum,

31hb Ogos, 2013 (catatan harian)


Merdeka!  Merdeka!  Merdeka!  Selamat menyambut hari ulang tahun ke 56 Malaysia tercinta.  "Malaysia ku berdaulat, tanah tumpahnya darahku" tema menyambut kemerdekaan tahun ini.  Melihat dan menikmati perkembangan negara tercinta semenjak kemerdekaan amatlah besar maknanya kepada seluruh rakyat Malaysia.  Perkembangan negara dan rakyat sangat pesat nyata dirasai.  Setiap tahun ia disambut dengan penuh kegemilangan dan kemuliaan.

Tetapi benar-benarkah Malaysia sudah merdeka?  Benar-benarkah Melayu sudah merdeka?  Sudah berapa dekat Melayu memerintah, merancang meneraju dan melaksanakan perkembangan membanggunkan negara?  Tetapi mengapakah Melayu masih lagi ketinggalan jauh kebelakang dari orang Cina dan India?  Mengapakah Melayu sebagai tuan, menjadi pengemis di negara peribumi sendiri yang kaya dan membanggun?

Hanya segelintir Melayu yang sedar dan berusaha bangun menggagahi mengharung kehadapan bersaing berganding bahu dengan orang Cina dan orang India.  Mereka maju dan mereka berjaya.  Ada juga Melayu yang maju dan berjaya tetapi lupa jati diri.  Mengapakah jadi begitu?

Melayu boleh berjaya dan maju, tetapi mereka tidak berani bersaing.  Melayu boleh berjaya dan maju, tetapi mereka malas berusaha.  Melayu boleh berjaya dan maju, yang paling sedihnya mereka tidak cinta dan tidak sayangkan bangsa dan negara ibunda.  Kalau Melayu cinta dan sayangkan negara Malaysia sudah tentu Melayu itu berusaha menjaga tanah pertiwi mereka!  Kalau digerak, diseru suruh bangun bagikan telinga disumbat padat. Sedarlah Melayu kalau cinta dan sayangkan negara Malaysia!






Sayangilah Malaysia






Thursday, September 5, 2013

Nota Sekolah Tun Fatimah (Tambahan)

Assalamualaikum,

Ketika Mak Long berada di Malaysia baru-baru ini menyambut perayaan Ramadhan dan Aidil Fitri, Mak Long telah berpeluang menghadiri perjumpaan kecil bekas pelajar-pelajar Sekolah Tun Fatimah.  Perjumpaan ini telah diadakan oleh pelajar-pelajar senior Mak Long di sebuah perkampungan yang cantik iaitu Kampung Bagan Tengkorak, Tanjung Karang, Selangor.  Bagi Mak Long inilah kali pertama dapat bersua mereka semenjak berpisah dalam tahun 1968 dahulu... ya 45 tahun berlalu!!  Beberapa orang memang tidak dapat dikenali kerana perubahan yang sangat ketara.  Mak Long bersyukur dan berasa gembira tidak terhingga diberi peluang mengiratkan semula hubungan sillaturrahim yang telah kian lama terputus.  Yang lucunya, kami semua sudah menjadi nenek moden yang masih lagi cergas dan ada yang masih bertugas seperti Prof Dr Kak Fatanah Muhamad dan Kak Sujiah  Salleh sebagai penulis skrip di beberapa TV.








Di akhir perjumpaan itu kami dihadiahkan sebuah majalah Sekolah Tun Fatimah yang tidak asing lagi ialah "Majalah Purnama" edisi ke 51.  Di muka (2) ditulis sejarah sekolah tersebut dan Mak Long dapati ada kesilapan faktor iaitu:

Sekolah Tun Fatimah telah berpindah ke premis sekarang di Johor Bahru, Johor pada Ogos 1962.   Faktor ini tidak benar kerana Mak Long masuk sebagai pelajar Sekolah Tun Fatimah pada tahun 1963 yang bertempat di Durian Daun, Melaka.  Sekolah Tun Fatimah dengan penghuninya hanya berpindah ke Jalan Larkin, Johor Bahru pada bulan Ogos, 1964 dalam penggal kedua persekolahan.

Buktinya lihatlah gambar-gambar yang Mak Long lekarkan di bawah atas budi baik sahabat se darjah Hamsiah (Kak Ham) yang sudi berkungsi beberapa gambar kami.



Pejabat Sekolah Tun Fatimah, Durian Daun, Melaka (1963)


Asrama Pelajar Di Tepi Sawah, Durian Daun, Melaka (1963)



"Remove Class" Sekolah Tun Fatimah, Durian Daun, Melaka (1963)
Guru ialah Miss Ranjit Kaur
Barisan hadapan (Kiri ke Kanan):  Siti Ros, Saaidah, Rohani Ramli, Apsiah Sidik, Azizah Aziz, Mak Long, Syarifah Khadijah 'Idit.
Barisan kedua (Kiri ke Kanan):  Nornisah Abdullah, Noriah, Zaharah Saleh, Sapiah Hamid, Hasiah, Sayang, Rohani Manaf, Khadijah Ibrahim
Barisan ketiga (Kiri ke kanan):  Zaleha, Zanifa Md Zain,  Robiah, Rokiah Ismail, Hasmah, Selamah, Rubihah
Barisan keempat (Kiri ke kanan):  Ramlah Hamid, Hamsiah, Tukimah Kunting, Fatimah Sihi, Rohani, Normah Abidin, Zainon

Hadapan Bilik Darjah Remove Class (1963)
Baris Hadapan:  Saaidah, Faridah Ismail, Normah Bidin
Baris kedua: Robiah, Istin Tamarin, Mak Long
Baris ketiga:  Zainab Hassan, Siti Ros
Baris belakang:  Hamsiah, Rohani Ramli, Murina Yusof



Barisan Guru Dan Kakitangan Sekolah Tun Fatimah, Durian Daun, Melaka (1963)
Pengetua Sekolah ialah Miss Jannet Lim
Duduk (Kiri ke kanan):  Miss Yeap, (?), (?), Miss Lim, Mrs Kang, Miss Yap, Peace Co dari USA
Berdiri (Kiri ke kanan):  Kerani sekolah, (?) Miss Chelaya, Arwah Cik Kadijah, Cik Asmah, (?), Mrs Khoo, Roselyn dan Pembantu Pejabat















Sunday, September 1, 2013

Nota Usia Uzur



Assalamualaikum,

Mak Long tidak pandai bersajak atau bergurindam.  Di bawah ini hanyalah catatan yang terasa di hati melihat dan bersimpati keadaan Emak kesayangan yang sedang uzur.


Usia Uzur


Renung kosong tanpa fikir
Ingat dulu, lupa sekarang
"Kau siapa.......?"
Hilang ingatan
Sunyi dunia ..lemah sendi
Usia uzur mencengkam jasad
Allah.....

Konyel-konyel telan
Gigi ronggak tinggal gusi
Tulang-tulang bisa memamah kuderat
Berpapah menyusun langkah
Langkah layu bongkok tiga
Kumpul gagah agar tidak menyusah
Aduhai....

Hidup hanya menunggu saat
Rumah kata pergi...... 
Kubur kata mari........
Dia mengetahui, Dia menentukan .....
Allah hu akbar .......