Mak Long tidak berapa ingat tahun berapa apabila orang kampung sibuk dan teruja hendak membuat rombong ke bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor (Johor Bahru), Singapore dan lain-lain tempat. Kalau tidak silap Mak Long ketika itu Wak baru sahaja daftarkan Mak Long untuk masuk sekolah rendah (1956??) mungkin! Arwah Tok Cik Asim (Adik kepada Atok Keti dengan emak lain) jadi ketua rombongan. Beliau sibok benar mencari pelangan dan sesiapa yang ingin menyertai rombongan dan beliaulah juga yang menguruskan semua tentang rombongan...mencari bas, harga tambang, kemana hendak berombong dan macam-macam lagi.
Salah satu tempat popular dalam agenda rombongan Tok Cik Asim ialah Kuala Lumpur, ibu negeri Malaysia (ketika itu masih lagi dipanggil Malaya). Sebut sahaja hendak berombong ke Kuala Lumpur semua orang kampung sudah seronok, semua hendak pergi. Tetapi sedih tidak semua mampu membayar tambang walaupun tidak seberapa harganya. Yang mampu sahajalah yang dapat pergi! Sebuah bas hanya boleh memuatkan 40 orang penumpang dan tidak dibenarkan membawa anak-anak. Wak dan Emak teringin sangat hendak berombong, tidak pernah mereka pergi ke mana-mana selain dari di sekitar bahagian dalam kawasan Muar. Maka mereka pun bermuafakat bersama hendak mengikut rombungan tersebut ke Kuala Lumpur. Wak dan Emak mengira berapa wang simpanan yang mereka dapat kumpul dari hasil menjual getah keping. Malam itu Emak keluarkan wang simpanan mereka dari tabung sebuah tin susu cap pangkah yang sudah berkarat untuk mengira tabungan. Penuh tabung itu dan berat.. Tabung tin itu dibungkus rapi dengan kain lusuh dan disimpan di satu tempat Mak Long tidak ingat. Wak berkata simpanan sudah cukup untuk tambang bas pergi berombong. Emak senyum sahaja..sukalah tu. Esoknya Wak daftar nama dengan Tok Cik Asim kira jadilah berombong. Tarikh dan tempat berkumpul sudah ditetapkan sekian masa dan haribulan. Tidak ada sebut-sebut tentang Mak Long boleh ikut atau tidak. Cuma Emak kata budak tidak boleh ikut! Hmm....Siang malam Mak Long berdoa supaya dapat ikut berombong.
Petang sebelum bertolak pagi esoknya, Emak sibuk masak bekalan berombong. Mak Long ingat Emak masak nasi, sambal tumis, lauk ayam dan air. Semua bekalan itu dimasukkan dalam mangkok tepen yang baru sahaja Wak beli. Wah meriah sungguh hendak berombong! Pagi-pagi masih gelap lagi Wak dan Emak sudah siap berkemas dan gerakkan Mak Long untuk mandi dan pakai baju kembang (gown). Mak Long dapat pergi rupanya, saja mereka tidak hendak beri tahu. Mak Long senyum macam hendak rabak hingga ke telinga..suka!!
Kami berkumpul di satu tempat tidak jauh dari rumah kami. Seronok! Bas besar dan panjang pun sampai dan Tok Cik Asim mengaturkan penumpang-penumpang di tempat duduk masing-masing. Lama proces mengatur orang kampung naik bas!, bising dan seronok. Semua penumpang membawa bekalan, penuh bas. Bas untuk rombongan itu bas biasa sahaja, tidak macam bas zaman sekarang bas ada tempat duduk enak dan selesa dengan hawa dingin. Zaman dulu bas semua tingkap terbuka luas, ditutup hanya bila hujan. Mak Long dipangku Wak dan Emak bergilir-gilir. Alarr, sepanjangan jalan Mak Long tidur ..apa entah yang ditengok!?!
Bas rombongan sampai di Kuala Lumpur hampir tengah hari. Besar Kuala Lumpur kita pada pendapat Mak Long. Bangunan kerajaan Sultan Abdul Samad tersergam indah. Ageda utama rombongan ialah melawat bangunan radio Malaya ketika itu ialah bangunan baru (sekarang bangunan itu sudah tiada lagi) di hujung Jalan Kuching. Kanak-kanak tidak dibenarkan masuk bersama jadi Mak Long tinggal dalam bas dengan mereka-mereka yang tidak hendak dan tidak larat hendak berjalan. Wak kata, dia tengok orang radio sedang bertugas membuat penyiaran. Zaman itu sesiapa yang mempunyai radio mesti bayar lesen radio yang dibayar setahun sekali. Pegawai-pegawai kerajaan yang ditugaskan akan datang dari rumah ke rumah buat pemeriksaan memastikan mereka ada lesen untuk mendengar radio!
Tempat kedua ialah melawat kilang coco-cola yang ketika itu terletak di Jalan Cambell sekarang ditukar nama Jalan Dang Wangi (di tengah-tengah dalam bandar). Semua pelawat diberi penerangan tentang minuman coco cola dan diberi minum coke percuma.
Akhir sekali kami dibawa ke Lake Garden taman bunga yang sangat tersohor ketika itu di mana penumpang akhirnya dapat menjamu selera makan bekalan yang dibawa. Petang hampir waktu maghrib barulah bas rumbungan bergerak balik ke Kampung Jorak, Muar singgah di Seremban sebentar mengisi minyak. Wak dan Emak belikan Mak Long sehelai baju dan mainan kuda (permainan yang pertama Mak Long miliki) bergerak bila dikunci dari salah satu gerai berhampiran dengan tempat bas berhenti. Kami selamat sampai kerumah lewat malam.
No comments:
Post a Comment