Pages

Sunday, July 29, 2012

NOTA DAUN ATAP RUMBIA

Zaman kanak-kanak bagi Mak Long sungguh menyeronokkan.  Sebagai anak perempuan dan juga cucu perempuan sulung dalam keluarga memang bahgia.  Mak Long dimanjakan oleh keluarga dan suka bermanja pula walaupun kedua hidup keluarga kami miskin.  Emak dan Wak membanting tulang mencari rezeki setiap hari tidak mengira waktu untuk menyara hidup keluarga.  Terutama Emak, beliaulah tulang belakang keluarga.  Emak sanggup melakukan apa sahaja kerja yang berat atau yang ringan asal sahaja dapat membantu rezeki keluarga.  Sebut sahaja apa kerja yang Emak tidak pernah buat dalam bab kerja kampung..menoreh getah, menebas belukar, potong kayu untuk kayu api, menyangkol, ambil upah cucuk atap dan sebagainya, semua Emak sudah buat.

Rumah kami kecil sahaja, tidak ada bilik. Rumah ini terbahagi kepada tiga bahagian.  Pertama ruang depan untuk menerima tetamu, ruang tengah di mana kami semua tidur dan ruang kecil tempat kami makan dan lepak-lepak.  Hanya bahagian ruang dapur sahaja ada dibuat pisang sesikat yang berdindingkan batang buluh yang diketok leper. Tiang rumah adalah dari batang nibong, sementara lantai dan dinding rumah dari kayu papan murah.  Papan dinding tidaak berketap, kasar begitu sahaja.  Atap rumah pula dari atap daun rumbia yang Emak buat sendiri.  Atap daun rumbia tidak tahan lama, dua tiga tahun sekali perlu diganti baharu.  Kalau tidak diganti kalau sudah lama, atap jadi rapuh, kering  dan bocur pula nampak langit.  Sudah tentu bila hari hujan akan membasahi dalam rumah.  Apabila ini berlaku Emak akan sibuk cari kain buruk atau besin atau baldi buruk tadah air hujan yang bucur itu.   

Pada tahun itu atap rumah kami sudah bocor terok dan perlu diganti baru.  Emak dan Wak minta kebenaran dari Atok Saleh untuk mengambil daun rumbia di kebunnya di Kampung Seberang. Hendak mengambil daun itu pula terpaksa menyeberang Sungai Muar dan menggunakan perahun Atok.  

Pagi-pagi sebelum pergi ke kebun emak sudah siapkan bekalan nasi dan sayur kulit rambai masak lemak cair serta sedikit ikan kering goreng.  Nasi dibungkus bersama ikan kering di dalam upih pinang kering, sayur berkuah kenalah dibawa dalam mangkok tepen diikat dengan kain batik lusuh Emak dan tidak lupa air kopi.  Emak tidak bawak Mak Ngah bersama sebab dia terlalu kecil tetapi Mak Long dapat ikut.  Mak Ngah ditumpangkan dengan rumah jiran tidak ingat rumah siapa.  Di dalam perahu, emak duduk bahagian depat bersama Mak Long.  Wak duduk bahagian belakang mengayoh.  Seronok pergi tempat-tempat begini bagi Mak Long...masih kecil bukan tahu takut apa pun!  Sampai di kebun Emak dan Wak mula mengait daun rumbia yang tinggi menggnakan galah dan sabit.  Emak cakap pada Mak Long supaya duduk setempat dan  jangan merayau ke mana-mana kerana bimbang kalau ada binatang liar atau sang buaya.  Banyak jugalah daun yang dapat tiga, empat ikat besar.  Mereka berhenti bekerja hanya untuk makan bekalan dan minum air kopi cair sejuk bila lapar.  Ada pokok nipah berbuah yang sedang elok untuk diambil,  Emak tidak lepas peluang untuk mengambilnya setandan.  Isi buah nipah warna putih dan rasanya sedap.


Hari hampir gelap baharu kami pulang ke rumah dengan daun rumbia.  Esok harinya Emak dan Wak potong dan belah pokok buluh untuk buat tulang belakang atap.  Selain dari itu mereka tebang dan ambil kulit pokok bemban dijadikan sebagai benang untuk menjahit daun rumbia pada tulung buluh.  Sudah siap semua bahan-bahan yang diperlukan barulah Emak mula mencucuk daun dijadikan atap.  Bila atap sudah siap Emak bantu Wak naikkan atap baru.  Atap yang lama pula digunakan untuk buat dinding bilik air di tepi perigi.  Mak Long fikir ketika itu kami kaya sebab rumah kami beratap baru tahun itu.









No comments:

Post a Comment