Pages

Sunday, September 30, 2012

NOTA MAKAN ANGIN KE QURAY, COLORADO - 2011

Ogos 24, 2011


Dua bag pakaian termasuklah pakaian tebal, bag telekong dan sejadah, bag bedak-bedak, beberapa botol air minum, beberapa pasang kasut, camera dan lampu picit semua sudah siap disusun dalam kereta.  Padam semua lampu, cek keliling rumah kemudian kunci rumah.  Baca selawat tiga kali barulah kami bertolak dari rumah awal-awal pagi lagi setelah menunaikan solat subuh.  Kami hendak berjalan jauh lagi untuk melihat-lihat tempat yang belum kami pergi .... yerrr makan anginlah...

Tempat pertama kami singgah dalam perjalanan ialah Peco, Texas.  Kami melawat museum yang menyimpan barang-barang kazanah  sejarah lama Peco.  Cuaca di sini masih panas lagi walaupun sudah akhir bulan Ogos.  Lama juga kami di museum ini leka melihat barang-barang lama yang masih baik keadaan.


Museum Peco, Texas



Batu giling dan bakul lama orang Red Indian menarik hati; 
ada persamaan dengan alat batu giling orang Melayu.

Pengembaraan diteruskan menghala ke New Mexico.  Negeri Texas ialah negeri yang terbesar di Amerika.  Untuk keluar dari Texas ke negeri lain berjiran dengannya mengambil masa berjam-jam malah hampir satu hari lamanya barulah sampai di sempadan negeri.  Waktu senja kala barulah kami sampai di Roswell, New Mexico dan bermalam sahajalah di situ.

Ogos 25, 2011  

Cuaca di Roswell, New Mexico dalam bulan Ogos biasa panas kering walaupun awal pagi.  Hari itu pagi-pagi lagi selepas Subuh kami sudah bersedia untuk meneruskan perjalanan kami ke Quray (Uu-ray), Colorado.  Kami sangat selesa bermalam di hotel itu. Roswell menjadi pusat persinggahan kami setiap kali kami hendak meneruskan perjalanan kami di sebelah barat Amerika dan akan bermalam di hotel yang sama.  Perjalanan kami bertambah jauh ke utara dan cuaca semakin menurun hingga ke 70 degree F.  Terasa kedinginannya menyalut muka dan badan bila kami berhenti rehat sebentar meluruskan kaki yang penat duduk sahaja dalam kereta di tempat rehat kemudian meneruskan perjalanan seterusnya semula.

Kami hanya berhenti untuk mengisi minyak kereta bila perlu.  Di satu tempat bernama Cuba, kedudukan tempat ini mempunyai dataran ketinggian kira-kira 70,000 kaki tinggi dari aras laut.  Tidak berapa jauh dari Cuba, satu papan tanda menunjukkan "Continental Divide".  Pak Long tanya tahukah apa itu Continental Divide?  Mak Long geleng kepala.  Masa zaman sekolah dulu pun Cik Gu tidak pernah pun sebut atau ajar apa benda alanya itu Continental Divide.  Pak Long menerangkan iaitu sungai yang mengalir dua hala, timur dan barat disebabkan banjaran dataran yang tinggi membuat aliran air berbahagi.  Hari itu Mak Long dapat pengetahuan baharu dalam ilmu alam sain.  

Aztec Ruins (Runtuhan Aztec), New Mexico -------    Setelah beberapa jam kami sampai hampir di penghujung sempadan antara New Mexico dan Colorado.  Kami terpandang papan tanda yang menunjukkan arah ke Aztec Ruins. Pak Long tanya kalau Mak Long hendak singgah dan melihat tempat itu.  Lantas Mak Long beritahu dia yang kami berdua pernah mengunjungi Aztec Ruins beberapa tahun (2001??) lalu ketika kami tinggal di Demming, New Mexico.  Laaa Pak Long tidak ingat pulak dan berkeras mengatakan belum pernah lagi ke situ.  Oklah....jom kita pergi tengok betul atau tidak cakap Mak Long.  Kami menyusur arah Aztec Ruins hingga ke bahagian hadapan tempat itu.  Kan sudah Mak Long cakap..sudah pernah datang dah tempat ini ...tidak percaya cakap orang!!!!  Kami pernah sampai di situlah!  Jadi pusing baliklah.  Akhir-akhir sekali berhenti minum "root beer" di A&W.  Istimewanya bangunan restauran ini adalah satu dari restauran makanan Amerika yang mula-mula sekali dibuka di Amerika.  


Restauran A&W lama

Dalam Restauran A&W

Kaedah memesan makanan dan minuman juga masih seperti dulu.  Tidak ada pelayan datang mengambil pesanan.  Duduk sahaja di mana-mana ada meja dan kerusi kosong.  Untuk memesan gunakan talipon yang tersangkut di dinding tepi meja itu.  Root beer adalah minuman asli jenama keluaran mereka sendiri.  Rasanya sungguh sedap dan menyegarkan dan dihidang dalam gelas tinggi tanpa air batu.

Di Malaysia dahulu dalam tahun enam puluhan ada sebuah restauran A&W di Petaling Jaya dan Mak Long pernah berkunjung di restauran itu.  

Jam 3.15 petang kami sampai di sempadan New Mexico dan Colorado.  Tidak jauh pun dari restauran A&W.  Cuaca di sini sejuk, mujur kami sudah bersedia dengan baju panas.  Kami berhenti di Molas Park menikmati keindahan alam dan cuaca yang sejuk kira 57 degree.  Sibuklah Mak Long ambil gambar bagikan hendak rak hingga kehabisan bateri!


Molas Park

Bunga menghampari Molas Park seperti musim bunga 

Bandar seterus yang kami lalui ialah bandar Silverton tempat pelancungan di musim sejuk yang tersohor dengan sukan bermain gelongsor atau ski dalam bahasa inggerisnya.  Suhu di sini semakin sejuk hampir 50-53 degree.  Di puncak gunung banjaran "the Rocky Mountain" diliputi salji memutih.  


Banjaran The Rocky Mountains


Akhirnya kami sampai ke Quray setelah melalui jalan yang bengkang bengkok dan bergurun dalam di sepanjang jalan.  Permandangan di sini memang cantik sejuk lagi menyegarkan.


Jalan bahaya bengkang-bengkok

Chipmonk


Quray

Quray ialah sebuah bandar kecil dan bersejarah terletak di lembah sungai di tengah=tengah pergunungan The Rocky.  Bandar ini telah digelarkan sebagai "Switzerland of America" kerana kedudukannya yang subur, indah dan strategik sekali sebagai tempat percutian dan pelancungan.  Di kiri dan kanan jalan utama adalah bangunan-bangunan lama yang dijaga.  


Bandar Quray 

Sebelum kedatangan pelomong-pelombong emas dan galian lain, bandar ini didiami oleh kaum "Tabeguarch Indian" satu dari puak Red Indian.  Dalam tahun 1871 Chief Quray dipaksa oleh pihak kerajaan agar menyerahkan tanah mereka kepada kerajaan Amerka supaya orang kerajaan dapat melombong di kawasan itu.  Chief terpaksa dengan berat hati menandatangi perjanjian menyerah kuasa tanah mereka kepada kerajaan.  Beliaulah juga menjadi sebagai alat pengaman di antara kaum Ute Indian dengan pendatang-pendatang baru yang bagi Mak Long macam perangai lanon merompak terang-terangan.  Bandar ini dinamakan sempena nama Chief Quray.  Di sini juga sebuah filem "The True Grit" telah difilemkan.  Mak Long sudah nonton cerita ini.


Red Indian Chief Quray

 Bandar Quray



Bandar Quray

Air Terjun Quray

Setelah mendaftar di hotel Comfort Inn, kami berjalan kaki sahaja mengelilingi bandar kecil itu.  Cuaca memang sejuk seperti musim sejuk.  Walaupun bandarnya kecil, ia lengkap dengan sebuah sekolah, kelinik, gereja, pejabat pos dan pasar kecil.  Rumah-rumah lama juga cantik dan masih terjaga indah. Di jalan utama keseluruhan bangunan telah dijadikan kedai membeli-belah untuk pelancung, bank, hotel dan restauran.  Kami juga berkesempatan mendaki pergunungan bahagian bawah kaki Air Terjun Quray.  Penat dan berpeluh jugalah kami yang sudah masing-masing agak montok hihihi.. 





No comments:

Post a Comment