Pages

Saturday, September 15, 2012

NOTA PERCUTIAN 2010

Tahun 2010 suami Mak Long mengambil keputusan untuk bersara apabila usianya mencapai enam puluh dua tahun.  Katanya sudah sampai masa bagi kami menghabiskan sisa-sisa hidup kami bersama.  Tiada siapa mengetahui bila ajal akan datang menjemput kami yang sudah jauh ke petang. Mak Long setuju sahaja. Mak Long sudah berbelas tahun bersara tidak kisah sangat.  Bagus juga kalau dia bersara awal, banyak perkara dan aktiviti dapat kami abadikan bersama.  Tidak perlu tunggu hari atau masa sesuai untuk ambil cuti.  Bila sudah bersara, bila-bila masa boleh bercuti.  Sebenarnya kami ini memang cuti memanjang sejak suami bersara.  Mak Long memang gemar sangat berjalan makan angin.  Kalau ada peluang memang panjang langkah Mak Long.  


Tahun 2010 kami sepakat untuk makan angin dalam negeri-negeri di Amerika yang belum pernah kami lawati lagi iaitu Colorado, Arizona, Nevada dan Utah.  Perjalanan ini mengambil masa lebih kurang dua minggu dan di sepanjang perjalanan kami berhenti sambil melawat dan menikmati keindahan di tempat-tempat yang kami lalui.  Waktu yang ditetapkan ialah awal bulan Oktober musim luruh sedang memuncak kecantikannya terutama negeri-negeri sebelah pertengahan hingga ke utara Amerika.

Kami bertolak dari rumah awal pagi selepas Mak Long solat subuh ketika dingin di awal pagi terasa damai di muka.  Kereta dipandu menuju ke New Mexico dan bercadang akan bermalam di sana.  Perjalanan ke sana mengambil masa satu hari baru sampai...petang kami sampai di bandar Roswell.


Malam pertama perjalanan kami bermalam di bandar Roswell, New Mexico.  Pada 4hb Julai, 1947 bandar ini telah dihebohkan di seluruh Amerika dengan satu peristiwa "spaceship" makhlok asing telah jatuh di suatu kawasan bandar ini.  Serpihan spaceship telah dijumpai dan telah disaksikan juga oleh beberapa orang penduduk setempat.  Tetapi pihak kerajaan Amerika telah menyangkal kesahihan berita itu mungkin mempunyai beberapa sebab mereka sendiri.



Selepas berihat dan menjamu selera sarapan pagi secukupnya di hotel kami meneruskan perjalanan menghala Arizona.  Lihatlah gambar di atas betapa lurus lebuhraya di sana.


Cuaca di sini agak panas lagi.  Gambar ini masih lagi di New Mexico.  Boleh dikatakan setiap masuk persimpangan jalan ada lukisan seperti di atas mengambarkan binantang-binatang dan keadaan "desert" atau padang pasir di tempat tersebut.  Banyak kaum orang-orang Red Indian tinggal di sini.


Kami sampai di Arizona tengahari dan kami singgah di sini luruskan kaki dan cari rezeki untuk minum dan makan tengahari di sini.  Cuaca panas!


Arizona:   Jualan pelbagai barangan perhiasan batu permata buatan orang-orang Red Indian.  Kerjatangan mereka halus dan cantik.  Batu permata turquoies (sejenis batu permata berwarna biru/hijau) adalah sejenis batu perhiasan yang digemari kaum Indian.  Arizona terkenal dengan nama Grand Canyon State terletak di barat selatan Amerika.  Sempadannya ialah California dan Nevada sebelah barat, Utaha sebelah utara, New Mexico sebelah timur, Colorado sebelah timur-utara dan Mexicastate of Sonora di sebelah selatan.  Ia adalah satu daripada negeri yang dipanggil "Four Corners States".  Negeri ini terbahagi kepada: 

Arizona Timur 
-  Tanah gersang "desert"

Phoenix  
-  Bandaraya metropolitan ke empat belas terbesar di United States

Arizona Utara  
-  Grand Canyon; Navajo Nation (banyak desert tempat-tempat menarik dan cantik)

Arizona Tengah-Selatan
-  Tucson kawasan desert yang luas dan cantik dan asli.


Saguaro Cactus


Pokok ini dipanggil Saguaro cactus mempunyai hayat yang panjang hingga 150 tahun.  Ketinggian biasanya 40 hingga 60 kaki tinggi dan mengambil masa hingga 75 tahun untuk bercabang seperti tangan.  Pokok ini menyerap air hujan hingga nampak ia berupa kembang dan berupaya menyimpan air itu untuk diguna sendiri pelahan-lahan.  Anih kan ciptaan Illahi...


Malam Di Las Vages the Sin City


Perjalanan kami sampai di sempadan negeri Arizona dan Nevada pada petang hari kedua bermusafir.  Kami tinggal di Hotel Circus Circus, Las Vegas, Nevada dua malam.  Besar hotel ini, macam-macam aktiviti ada terutama aktiviti perjudian dan pelacuran.  Las Vegas digelar sebagai "Sin City" atau bahasa kita kalau diterjemahkan ialah Bandaraya Maksiat.  Perpatah orang di Las Vegas "Whatever happened in Las Vages stay in Las Vages" .  Panas cuaca di sini.





Waktu malam di "Las Vegas Strips" sangat cantik, lampu berwarna warni menerangi bandar.  Ramai manusia datang ke sini samaada melawat, berjudi, berkhaluat, bermaksiat, kawin dan sebagainya termasuklah selebriti-selebriti terkenal dan jutawan-jutawan menghabiskan dan membazirkan wang ringgit mereka!  Di sinilah syurga mereka.....!!  Mak Long seronok melihat pertunjukan air pancut yang sangat indah seolah-olah menari mengikut rentak musik sekali.





Hoover Dam


Kami menaiki sebuah helikopter untuk melihat Hoover Dam dari udara

Hoover Dam pemandangan dari udara

Hari kedua di Las Vegas kami melawat Hoover Dam.  Hoover Dam terletak di antara Arizona dan Nevada.  Sebelum ke situ kami bersarapan di IHOP manalah tahu nanti tidak ada tempat sesuai untuk makan.  Kami merancang menaiki helicopter untuk melihat pemandangan Hoover Dam dari atas.  Mak Long tidak pernah naik helicopter, inilah pertama kali merasa naik dan terbang dengan helicopter.  Rasa takut tetapi seronok juga.  Bayarannya tidaklah mahal  sangat untuk seorang..USD40.00 selama lima minit kerana Mak Long rasa puas hati dapat tengok keindahan dam juga tasik Mead yang dibena manusia untuk menyimpan air di dam.  


Tasik Mead  
Garisan putih di kaki gunung itu adalah bekas air yang kini sudah susut

Hoover Dam telah dibena dalam tahun 1930an menggunakan batu concrete berbentuk setengah bulatan.  Tujuan utama ialah untuk mengelakkan banjir juga ia memberi bekalan air yang sangat diperlukan aliran air dan kuasa jana di kawasan tandus di California, Arizona dan Nevada.  Nama asal dam ini ialah Boulder Dam kemudian diganti nama Hoover Dam sempena Herbert Hoover seorang "US secretary of commerce".  Tinggi dam ini ialah 726 kaki dan panjangnya 1,244 kaki.  Hoover Dam adalah empangan yang terbesar di dunia yang pernah dibena oleh manusia juga pengeluar jana letrik terbesar sekali di alam ini.

Semasa kami sampai di perkarangan Hoover Dam, kami telah mengelami sedikit "accident" di bangunan tempat letak kereta.  Pak Long mencari tempat letak kereta di tingkat atas sekali kononnya tidak ramai orang gunakan di sana.   Setengkat demi setengkat kereta melunsor naik sampailah di atas sekali.  Dia tidak nampak ada benting tinggi di sebelah Mak Long dan dia terus panjat batu benting itu.  Wah!  takut bunyinya semacam... Letak kereta betul-betul kami turun melihat apakah yang sudah terjadi?!  Huwaaa... mengamoklah member...nasib baik bukan Mak Long yang pandu kereta kalau tidak matilah Mak Long kena marah dan diletir tidak habis-habis.. Padan muka dia...sebelum itu aksen sangat pandu macam pemecut NASCAR!!  Selepas itu Mak Long berasa tidak seronok benar sebab mood dia tidak ceria...  Selepas lawatan empangan kami bawa kereta ke Chevrolet Dealer.  Alhamdulillah tidak ada apa-apa rosak selain dari karut di bawah kotak oil filter dan rosak sedikit di wheel hadapan.  Nasib baik....

Malam itu Pak Long buka atap kereta dan pandu kereta keliling bandar Las Vegas..Old Vegas dan New Vages.  Cantik Las Vegas waktu malam.


Jalan raya dikelilingi oleh banjaran gunung batu batan yang tinggi melangit.  Cuba bandingkan kereta itu dengan banjaran gunung ....

Pada 16hb Oktober, 2010 iaitu hari ketiga di Las Vegas, Nevada pagi-pagi lagi kami sudah siap untuk meneruskan perjalanan kami.  Kami keluar dari Hotel Circus Circus menuju arah Utah melalui Great Basin Highway. Kali ini kami tidak ada agenda tertentu hendak ke mana arah....ikut naluri sahaja.  Kami lalui Moapa India Reservation, Nevada; Kanap National Park, Utah dan Zion National Park.  Indah sungguh di sini dengan banjaran gunung-ganang tinggi melangit berbatu merah.  Kami berhenti di Kanap perkampungan pelancungan.  Mak Long tidak lupa membeli T-shirt untuk kedua orang puteri kesayangan.  Beberapa buah perfileman seperti "Planet of the Apes" pernah menjadi lokasi tempat filem difilemkan.  Kami juga singgah sebentar di Zion Ranch melihat kerbau Amerika (vison).  Ketika kami melalui Zion National Park, kami dikenakan bayaran untuk masuk atau melalui kawasan ini.  Di sini adalah salah satu dari tempat yang terindah dengan keadaan semula jadi di Amerika Syarikat.  


Walauapun Zion kawasannya banjaran gunung berbatu batan dan cuaca panas terik dan kering, berbagai jenis tumbuhan terdapat di sini juga terdapat berbagai jenis specis binatang liar seperti cayotes, gray fox, porcupines, chcimunks dan lain-lain serta tidak ketinggal beberapa jenis ungas berada di sini.  Sacrad Datura adalah bunga liar yang banyak di sini dan menjadi bunga lambang di Zion.


Bunga Sacrad Datura



Bekas Tapak Kaki Dinesor

Kami singgah di Mooui Cave sebuah gua di mana tuan punya gua itu telah menggunakan gua itu sebagai mazium yang mempamirkan barang kazanah peninggalan orang Red Indian milik keluarganya dan juga terdapat beberapa bekas tapak dinesor pernah berada di situ suatu masa dahulu.  Mak Long membeli sepasang anting-anting yang dibuat dari kulit siput berwarna biru.


Terowong ini sepanjang 1.7 batu yang dibina dalam tahun 1930an.  Tiada lampu menerangi terowong hanya cahaya dari tingkap-tingkap di sepanjang terowing.


Perjalanan kami masuk semula sedikit ke Arizona dan sampai di bandar kecil Page dan bermalam di situ.  Di sini kami berpeluang melihat satu lagi empangan jana letrik dan sumba bekalan air Powell Dam mengalir di Sungai Colorado sempadan Utah dan Arizona.  Powell Dam merupakan empangan kedua terbesar pernah dibina manusia di Amerika Syarikat.  Tasik Powell iaitu tasik buatan dijadikan reservoir di situ.


Keesokan harinya kami tidak tergesa-gesa seperti hari-hari terdahulu untuk meninggalkan bandar Page.  Kami teruskan perjalanan masih tidak ada agenda khas.  Setelah jauh perjalanan kami nampak papan tanda  Monument Valley, Utah di atas.  Pak Long tanya "Want to go there?", Cepat Mak Long jawab Ye.... tidak mahu lepas peluang.  



Monument Valley maknanya Valley of the Rocks.  Kawasan Colorado Plateau di mana sandstone buttes yang gersang terluas sekali antara Utah dan Arizona dan berhampiran dengan kawasan "Four Corners".  Ia juga adalah kawasan Navajo (Na va ho) Nation Reservation tempat puak orang Red Indian ditempatkan.  Gunung-gunung batu terjadi hasil dari hakisan air dan angin beribu tahun.  Semasa kami berada di situ cuaca sejuk terpaksa memakai baju panas. Kami juga menghabiskan lawatan ke Pusat Informasi.  Di sini disediakan restauran dan kedai jual barangan buatan kerjatangan orang Red Indian.  Semua hasil kerjatangan mereka sangat halus dan cantik.  Mak Long belilah juga beberapa cenderamata untuk kawan-kawan dan anak-anak.  Satu daripadanya ialah sebuah CD yang menunjukan keadaan dan kehidupan Monument Valley.  Pak Long buat salinan CD itu untuk dihadiahkan keluarga di kampung berkongsi pengetahuan.  Yang sedihnya apabila Mak Long sampaikan CD pada salah seorang dari adik Mak Long supaya diperlihatkan kepada anak-anak dan keluarga macam tidak suka sahaja.  Tidak tahulah apa terjadi dengan CD itu?!  Sedih kalau orang tidak menghargai ... lain kali tidak payahlah......  Tetapi kalau kita bagi barangan mahal dan berjenama senyum lebar bukan main suka!!


Dari Monument Valley, perjalanan diteruskan menujuk ke Colorado.  Sepanjang perjalanan, permandangan di musim luruh sungguh indah.  Daun bertukar warna kuning keemasan gugur ke bumi.  Terlebih indah lagi apabila cahaya matahari bersinar pada pokok-pokok itu.  Kecanggihan camera pun tidak dapat menerap gambar keindahan ciptaan Illahi.



Kami melalui di kawasan banjaran pergunungan The Rockies.  Salji memutih berkilauan dipancar matahari di puncak gunung.  Di kaki banjaran the Rockies pula berbagai tumbuhan dan pokok berwarna warni menghiasi alam. 


Lihatlah betapa indahnya warna dedaun ini...

Perjalanan kami teruskan hingga ke petang dan kami bermalam di Pagosa Springs, Colorado.  Pagosa Spring terkenal dengan kolam air panas asli yang terpanas dan terbesar yang dipercayai mengandungi mineral sulfur memberi  "therapeutic" semula jadi di dunia.  Kaum Utes namakan tempat ini "Pah gosah" bermakna air ubat.  Pagosa Springs juga menyediakan tempat  berbagai aktiviti-aktiviti bersukan salji (skiing) berhampiran Wolf Creek Ski di musim sejuk;  mengail ikan, hiking dan rafting di musim panas.  Musim luruh aktiviti memburu elk, rusa dan berbagai binatang lain sangat digemari oleh penduduk dan pelancung.  Cuaca ketika kami berada di situ sejuk terutama waktu malam sesejuk 40 degree F hinggalah ke pagi.  




Kami singgah isi minyak di sebuah pekan kecil nama Saguache (so what) begitulah bunyi sebutan bandar itu.  Eja lain, bunyi lain....

 Pagi-pagi kami sudah bersiap untuk meninggalkan Pagosa Springs menuju ke Royal Gorge tempat rekreasi ternama.  Berbagai aktiviti di sini ada seperti hiking, panjat gunung, terjun dari jambatan dan sebagainya.  Cuaca sangat sejuk nasib baik kami bersedia membawa pakaian musim sejuk.




Jambatan menyeberangi gorge (gaung).  Beberapa orang pernah terjun dari sungai itu sebagai satu sukan lasak dan membahaya,


Kami menaiki tramp menyeberangi gorge (gurun) yang beribu batu tinggi dan dalamnya gurun itu.



Dari Royal Gorge walaupun hari hampir petang perjalanan diteruskan menuju ke New Mexico.  Perjalanan ini melalui Texas Creek, Colorado dan beberapa buah bandar kecil.  Pemandangan di sekeliling sungguh indah berwarna warni daun yang menguning keemasan luruh ke bumi dengan lembut ditiup angin sepui.  Pak Long memandu hingga lewat malam, di mana cuaca semakin buruk , gelap, sejuk serta kabus tebal.  Kami sampai untuk bermalam di Eagle Nest, New Mexico.


Pemandagan ketika matahari senja dalam perjalanan kami melalui Eagle Nest, New Mexico.



Eagle Nest, New Mexico

Pagi-pagi lagi kami sudah meninggalkan Eagle Nest.  Cuaca sangat sejuk dan salji turun rengai-rengai.  Perjalanan kami menuju ke Bandaraya Albuqaque, New Mexico.  Dari situ kami teruskan perjalanan kembali ke Roswell di mana kami barmalam malam itu.


Selepas sarapan pagi itu (20hb October 2010) kami mulakan perjalanan pulang ke Texas dan perhentian terakhir di Denton menjengok puteri kesayangan di sana.  Kali ini Mak Long sendiri memandu kereta kerana Pak Long sudah letih.. asik bising sahaja mulut dia penat katanya.  

Hati Mak Long puas dapat berjalan melihat negeri orang yang jauh dan cantik. Orang tua-tua kata "Jauh perjalanan, jauhlah pandangan dan pengelaman".  Ditambah lagi dapat bertemu anak kesayangan.  Kami sampai ke rumah di Canyon Lake pada petang 21hb Oktober, 2012 dengan selamat.







No comments:

Post a Comment