Monday, May 25, 2020
Tuesday, May 19, 2020
Cerita 2020 - Kentucky Dan North Carolina
Assalamualaikum,
Lama sungguh blog Mak Long dalam kesepian. Macam hidup segan, mati tak mahu. Petang ini tiba-tiba sahaja buka blog ini. Banyak dan berlambak cerita .. hmm in sha Allah pelan-pelan dulu.
Namun masa begitu pantas datang dan pergi. Kini sudah pun melewati bulan May, hampir setengah tahun kita dalam 2020. Rasa baru beberapa hari sahaja kita menyambut kedatangan tahun 2020. Masa itu tidak menunggu walau sekelip mata untuk sesiapa pun. Kami berdua ni memang tidak boleh duduk diam di rumah lama-lama. Pada hal kerja-kerja rumah memang melambak menanti. Tetapi itulah, kaki kami terlalu gatal hendak berpergian. Pak Long berhasrat hendak ke rumah Robin di Belmont, North Carolina di samping singgah di tempat lain sebelum sampai ke rumah Robin. Sambil menyelam sambil-sambil minum airlah kononnya.
Hari pertama - Bertolak dari rumah di awal pagi hari Khamis 28hb Februari dan bermalam di Forrest City, Missouri selepas 9 jam dalam kereta, berhenti hanya isi minyak dan makan. Aduhai, lama sungguh duduk dalam kereta, sengal segala sendi. Sampaikan berasa terhuyong hayang bila berhenti dan keluar dari kereta. Dahsyat! Satu yang Mak Long tidak suka bila berjalan dalam musim sejuk. Kena bawak baju tebal-tebal dan pakai kasut boot atau sepatu dengan setokin tebal. Leceh!
Esoknya hari Jumaat kami teruskan perjalanan dan singgah di rumah Judy sepupu Pak Long di Wicklift, Kentucky (Kampung halaman Pak Long). Malangnya Judy tiada di rumah. Tabi'at Pak Long pulak memang tidak pernah hendak telipon atau hantar mesej kepada sedara mara yang hendah ditemui. Pak Long tidak mahu menunggu, maka kami terus ke rumah Tommy Cruise iaitu kawan sekolah Pak Long. Hampir sejam jugalah kami di situ bersembang bermacam tajuk entah apa-apa sampai perut pun sudah berbunyi minta diisi. Hari itu kami makan makanan laut di Restaurant Captain D, alhamdulillah.
Video di bawah ini adalah dua jambatan lama dan amat sempit menghubungi dua buah sungai iaitu Sungai Mississippi dan Sungai Ohio. Perjalanan yang mesti dilalui menuju ke kampung Wicklift. Seram juga apabila berselisihan dengan kenderaan besar-besar. Pak Long cerita, Judy tidak suka dan takut memandu di jambatan tersebut. Kalau boleh ia akan mengelak dari memandu di situ.
Perjalanan kami diteruskan ke Bowling Green, Kentucky dan berhenti di National Corvette Museum. Banyak kali sudah kami datang ke museum ini. Memang sudah dalam mindanya hendak singgah di tempat itu. Konon hendak tengok kot ada keluaran terbaharu 2020 Corvette dipamerkan. Hampa! Mereka tidak pun pamirkan kereta baru lagi. Pak Longlah terasa sangat hampanya. Orang lelaki memang itulah minta mereka.... kereta, motorsikal, tukul besi dan lain-lain yang orang perempuan tidak minat walaupun ada tetapi tidaklah ramai.
![]() |
| National Corvette Museum |
Malam itu kami bermalam di kawasan berhampiran sahaja. Esok pagi-pagi Sabtu kami teruskan perjalanan ke North Carolina. Cuaca memang sudah sejuk, ditambahlah pula dengan salji turun. Nampak cantik memutih salji yang turun tetapi tidak lebat.
![]() |
| Salji mula menyelubungi bumi |
Alhamdulillah kami selamat sampai di North Carolina dan terus ke rumah Robin di Bandar Belmont, iaitu sebuah bandar lama. Terasa amat letih seluruh badan. Almaklumlah umor pun sudah terlalu banyak angkanya. Orang tua-tua dulu kata rumah kata pergi, kubur kata mari..... tapi hati tetap muda macam tidak sedar diri...
1hb Mac, kebetulan tarikh ini adalah tarikh yang istimewa buat Pak Long. Hari ulang tahun kelahiran beliau. Katanya, "I feel old........." hahaha.. Sedar diri tidak mengapa! Happy Birthday, Dear Sayang.. Dalam gambar di bawah, Pak Long nampak kepenatan tersandar dan tertidur di kerusi. Sempena harijadi Pak Long, Ricky dan Robin belanja kami makan makanan laut di sebuah restauran. Udang dan ikan goreng bertepong nipis, coslaw, kentang dan keledek goreng. Alhamdulillah... rezeki.
2hb Mac, Mak Long pagi-pagi mesti pekena dengan kopi panas pekat tanpa gula baru boleh segar mata, tetapi di rumah orang walaupun di rumah anak, Mak Long jarang buat macam rumah sendiri. Ricky buatkan secawan kopi panas baru lega tetapi tidak pekat seperti di rumah sendiri guna kopi kampung yang sangat umpp.. Memilih pulak orang tua ini hahahah. Tidak mengapa janji kopi...
Tengah hari itu kami dibawa anak dan menantu makan di sebuah restauran kawasan di situ. Tengoklah gambar di bawah itu, sandwish ikan tuna berketul-ketul penuh sepinggan. Sayuran yang dicelor kena letak di mangkok asing sebab tidak muat hendak diletak dengan sandwish. Ini Mak Long punya... tidak habis pun dimakan .... lebihnya bungkus bawak balik, nanti boleh makan untuk malam nanti.
![]() |
| Sandwich Ikan Tuna dan Sayur Celor |
Untuk menyerohkan perut yang penuh dan kekenyangan, kami berjalan-jalan kawasan bandar itu, tengok-tengok ada beberapa kedai yang baru dibuka. Banyak perubahan ... bangunan semuanya bangunan lama cumanya dibaik-pulihkan memberi muka baru.
![]() |
| Bandar Belmont |
Tiba-tiba Pak Long minta Ricky dan Robin pergi ke taman riadah. Bolehlah berjalan ambil angin dan berpeloh sedikit. Tempatnya di Latta Plantation Nature Preserve. Tidaklah berapa jauh dari Belmont. Ia adalah taman riadah yang disediakan dalam perhutanan di mana tempat itu disediakan beberapa lorong dan jalan-jalan kecil dilengkapi batu tanda menunjukkan jarak-jauh dari satu tempat ke satu tempat bagi pejalan kaki.
![]() |
| Peta Pejalanan Kami |
Jauh juga kami berjalan kaki, tidak sedar kami sampai di pinggir tasik. Lupa pulak Mak Long nama tasik kecil itu. Airnya jernih boleh nampak banyak ikan besar dan kecil berenang berhampiran di kaki air. Tetapi pengunjung tidak dibenarkan berenang atau bermain dalam air. Papan tanda terpangpang besar memberitahu bahawa air dan ikan-ikan itu mengandungi bahan mecury yang merbahaya kepada manusia minum air dan memakan ikan di situ. Jenis ikan terdapat di situ ialah ikan air tawar jenis sembilang/keli (catfish) dan ikan "largemouth bass".
Lihatlah makcik di bawah ini sedang asik menikmati berjalan kaki. Kami diberitahu supaya berhati-hati kerana dalam kawasan itu ada beruang hitam yang dikenali bahayanya. Manalah tahu nasib tidak baik tiba-tiba terserempak pulak...ish bahaya..
Gambar di bawah kami posing sakan untuk kenangan bila jumpa satu pokok hidup bengkok boleh duduk di situ. Taman riadah itu terang tidak semak walaupun dalam hutan. Daun kering dan luruh. Kalau ada binatang seperti beruang pasti boleh nampak kalau mereka ada berhampiran.
Hampir satu jam lebih kami beriadah di situ. Panas dan segar rasa badan dibawa berjalan. Puas hati Pak Long dapat berjalan kaki sampai rasa penat.
![]() |
| Haus.. minum air |
Gambar di bawah ialah suatu monumen American Air Force. Tidak lama kami di situ. Tengok-tengok lebih kurang kami teruskan perjalanan balik ke rumah Robin. Malam itu Mak Long tidor lena bukan main, mungkin letih berjalan kaki siangnya.
Pada awal pagi-pagi esoknya kami bersiap-siap untuk meneruskan peralanan kami. Kami berhasrat ke Tennessee untuk beberapa hari berihat di kaki gunung.
Tuesday, December 31, 2019
Selamat Tahun 2020
Assalamualaikum,
SELAMAT TAHUN 2020
ALLAH merancang hidup hamba-hamba Nya
Berdoa dan berdoa pohon pertunjuk
Ke arah perancangan Nya
Jujur, ikhlas serta iman
Tekun, sabar dan istiqamah
Membawa kejayaan
Dunia dan akhirat
Amiin
Thursday, October 10, 2019
Cadillac Ranch, Amarillo, Texas
Assalamualaikum,
Cadillac Ranch, Amarillo, Texas
Selepas balik dari kunjungan di Palo Duro Canyon kami singgah di Cadillac Ranch yang tidak berapa jauh dari hotel di mana kami bermalam. Cadillac Ranch ini tidak ada apa yang istimewanya. Ia hanyalah berupa sepuluh buah kereta lama jenis Cadillac keluaran antara 1949-1953 yang ditanam separoh dalam tanah di tengah-tengah padang luas dalam tahun 1974. Tujuannya ialah sebagai salah satu dari seni arca atau sculpture yang dicipta oleh Chip Lord dan Hudson Marque. Penggunjung boleh mengecat, menyembur cat pada kereta-kereta yang sudah pun berwarna-warni itu di luar mahu pun di bahagian dalam kereta itu. Tin-tin cat ada tersedia di situ. Sapa-sapa boleh mengecat apa-apa sahaja.
![]() |
| Pintu masuk ke Cadillac Ranch |
Pintu masuk ke Cadillac Ranch pun dicat dengan berbagai warna dan jenis cat. Dari pintu masuk penggunjung berjalan kaki sahaja ke tempat kereta-kereta Cadillac buruk yang ditanam itu. Ketika kami di situ cuaca sejuk dan berangin deras.
![]() |
| 10 buah kereta Caddillac yang diwarna-warnikan |
![]() |
| Tukang cat |
![]() |
| Berposing di sisi kereta Cadillac buruk |
Ada orang tu rasa seronok pula mengecat. Hasilnya selepas mengecat.
Palo Duro Canyon, Texas
Assalamualaikum,
![]() |
| Palo Duro Canyon, Texas |
Kami baru sahaja balik dari Palo Duro Canyon, Texas. Cadangnya hendak ke sana pada hari Isnin lalu selepas hujung minggu untuk mengelakkan dari keadaan kesesakan dan sibuk di kawasan itu. Tetapi ada sahaja hal yang tiba-tiba timbul. Musim panas terutama di akhir musim, cuaca sangat baik dan menyenangkan kerana tidak terlalu panas hingga ke 100 degree lebih. Tambahan kawasan itu letaknya di sebelah utara Texas nun..
Palo Duro Canyon terletak di bahagian yang dikenali sebagai Texas Panhandle iaitu sebelah Utara barat Texas. Perjalanan dari rumah mengambil masa tujuh jam, lengohlah juga duduk dalam kereta lama. Rata-rata bahagian sini tanah rata tiada gunung dan bukit-bukit tinggi di mana terdapat banyak kawasan perindustrian yang besar, pertanian kapas dan jagong. Bandar-bandar yang dilalui antaranya ialah Lubbock, Amarillo dan lain-lain.
![]() |
| Ladang kapas dan kincir angin |
Kami sampai di Bandaraya Amarillo sudah petang dan bermalam di sana. Dulu-dulu kalau berjalan jauh tidak menjadi hal. Sekarang rasa penat bukan main. Sedar dah tua dah...
Awal paginya bersiap-siap dan sarapan, kami bertolaklah ke Palo Duro Canyon. Tidak jauh dari hotel cuma 40 batu lebih sahaja. Cuaca mendung dan agak dingin. harp-harap hujan tidak turun hari ini. Sampai di Palo Duro masih belum ramai pengunjung lain sampai. Pegawai Ranger memberi kami peta dan keterangan kawasan itu.
![]() |
| Perjalanan ke Palo Duro dari Amarillo |
Awal paginya bersiap-siap dan sarapan, kami bertolaklah ke Palo Duro Canyon. Tidak jauh dari hotel cuma 40 batu lebih sahaja. Cuaca mendung dan agak dingin. harp-harap hujan tidak turun hari ini. Sampai di Palo Duro masih belum ramai pengunjung lain sampai. Pegawai Ranger memberi kami peta dan keterangan kawasan itu.
![]() |
| Gate masuk ke Palo Duro Canyon |
Penggunjung dikenakan bayaran untuk masuk. Penggunjung juga boleh membeli pas atau kad tahunan di mana pemegang kad boleh datang keluar masuk bila-bila masa sahaja. Kad ini juga boleh digunakna di mana-mana “national park” dalam Texas. Mereka yang gemar camping boleh bercamping dengan mengummunkan kepada pihak Ranger keinginan si penggunjung.
![]() |
| Boleh pandu kereta di jalan yang disediakan |
Penggunjong dibenarkan memandu kereta sendiri untuk melihat keliling kawasan itu. Juga boleh berjalan kaki dan hiking di lorong-lorong kecil atau memdaki bukit-bukit di situ. Untuk memudahkan penggunjung setiap lorong hiking itu ditanda seperti berapa jauhnya dan sampai hingga ke mana.
![]() |
| Kelihatan lorong-lorong kecil untuk pejalan dan hiking |
Sebenarnya ini adalah kali kedua kami datang ke Palo Duro Canyon. Banyak perubahan terdapat semenjak kami ke situ dahulu. Dulu 10 tahun yang lalu jalan-jalan di situ masih lagi jalan tanah merah. Kini jalan sudah bertar. Aktiviti hiking memang sesuailah untuk orang-orang muda. Kami dah tak larat dah... keliling kawasan naik keretalah hahaha...
![]() |
| Bangunan "Visitor Centre" |
Bangunan "Visitor Centre" terletak di pinggir gaung dalam menghadap gaung yang luas. Indah pemandangan dari situ.
![]() |
| Bahan perubtan Red Indian |
![]() |
| Jenis minyak sapu Red Indian |
Di dalam bangunan Visitor Centre ada menyediakan jualan perbagai barang artifak, rangka binatang yang terdapat di situ beribu-ribu tahun dahulu serta bahan bacaan berkenaan sejarah Texas dan Red Indian.
Terdapat juga beberapa bahan perubatan orang Red Indian seperti minyak sapu untuk sakit-sakit sendi, sakit digigit serangga dan lain-lain.
![]() |
| Pemandangan dari "Visitor Centre" |
Di situ terdapat beberapa jenis tumbuhan yang merupakan tumbuhan liar biasa tumbuh di kawasan tandus, seperti di Big Bend National Park, Mafa, Fort Davis National Historic Park dan kawasan-kawasan berpadang pasir atau desert di bahagian barat Texas.
Bunga di atas sangat cantik tetapi Mak Long tidak tahu namanya. Daun dan batang sangat keras seperti dawai. Lebah sangat suka berkerumun pada bunga itu.
![]() |
| Bunga matahari liar |
Tumbuhan liar yang banyak adalah cactus dan agave.
Mula-mula kami bercadang hendak bermalam di Palo Duro Canyon di tempat "camping" yang disediakan. Tetapi dibatalkan kerana didapati tempat itu tidak mempunyai bilik mandi dan kemudahan yang diperlukan. Kami balik sahaja ke hotel hahahah mudah cerita...
Friday, September 13, 2019
Mississippi Pot Roast
Assalamualaikum,
![]() |
| "Crock Pot" |
Sudah beberapa hari Mak Long teringat hendak memasak resepi omputih nih. Nama masakan ini namanya "Mississippi Pot Roast". Pak Long pun sudah sound lama tidak makan masakan istimewa ... masakan ini tidaklah istimewa hanya meggunakan beberapa jenis bahan sahaja.
“Mississippi Pot Roast" ialah masakan omputih Amerika. Kebiasaannya masakan ini dinikmati waktu makan bersama keluarga dan kawan-kawan beramai-ramai sedap. Istilah "Roast" dalam bahasa Melayu kalau tidak salahlah ialah memasak atau memanggang makanan di atas api atau dalam ketuhar atau dalam periok "slow cooker" iaitu periok masak jangka masa pelahan dengan kepanasan tinggi. Bahan yang biasa dipanggang seperti daging, ikan, sayur dan lain-lain.
Cara memasaknya terlalu mudah main campak-campak sahaja dan tidak menggunakan banyak bahan tetapi sungguh lazat dan mengenyangkan. Keluarga sebelah Pak Long sering memasak cara bergitu. Resepi ini menggunakan periok "slow cooker". Mak Long kira masakan ini sesuai kepada mereka yang mengamalkan diet keto kerana kandungan masakan ini tidak banyak carbohydrate...
Masakan begini juga memudahkan kerja suri rumah malah bagi wanita-wanita yang berkerja sepanjang hari. Mulakan dengan menyediakan bahan-bahannya waktu malam dahulu sebelum tidur seperti potong sayuran, cuci daging dan lain-lain kemudian simpan dalam peti sejuk. Waktu pagi sebelum pergi kerja masukkan semua bahan dalam periok "crock pot" dan biarkan masak dengan pelahan selama 8-9 jam. Petang bila balik dari kerja masakan sudah sedia dimasak. Tidaklah susah dan penatkan badan.
![]() |
| Daging sudah masak |
Nota: Kekadang bahan-bahan yang diguna tidak terdapat di Malaysia. Jangan risau masakan seperti ini mudah digantikan dengan bahan lain seperti kiub daging/ayam.
3-6 lb daging lembu (1.4kg-2.5kg)
1/2 cawan jus/air jerok pepperonicini**
1 peket Dry Ranch Dressing Mix
1 peket Au Jus atau Brown Gravy Mix
1 batang butter (1/2 cawan)
9-10 biji Pepperoncinis
Nota: **Pepperonicini Mak Long tukar guna sweet banana peppers jerok
Caranya:
1. Letak daging lembu yang sudah dicuci dan keringkan dengan mengelapnya guna paper towel dalam periok "crock pot".
2. Curah air jus pepperoncini dari dalam balang jerok pepperonicini ke atas daging
3. Tabur Dry Ranch Dressing Mix atas daging.
4. Tabur Au Jus atau Brown Gravy Mix atas daging.
5. Letakkan butter atas daging.
6. Letakkan pepperocini atas daging.
7. Tutup "crock pot" dengan penutupnya dan tekan butang periok untuk memanggang selama 8-9 jam untuk masak pelahan, atau selama 4-6 jam masak panas tinggi untuk cepat masak.
8. Apabila cukup masa masak tutup api "crock pot" dan keluarkan daging dari periok ke dalam pinggang lebar. Daging panggang ini sangat empok dan bolehlah dipotong atau dicarik-carik dengan gerpu sahaja.
Kuahnya digunakan untuk siraman di atas daging panggang itu atau boleh juga digunakan untuk dalam masakan lain seperti buat kuah penculik roti dan lain-lain. Hidangan daging ini sedap dimakan bersama-sama kentang lenyek (mashed potato), nasi atau buat sandwitch.
![]() |
| Nikmatnya |
Subscribe to:
Posts (Atom)









































