Assalamualaikum,
Lama sungguh blog Mak Long dalam kesepian. Macam hidup segan, mati tak mahu. Petang ini tiba-tiba sahaja buka blog ini. Banyak dan berlambak cerita .. hmm in sha Allah pelan-pelan dulu.
Namun masa begitu pantas datang dan pergi. Kini sudah pun melewati bulan May, hampir setengah tahun kita dalam 2020. Rasa baru beberapa hari sahaja kita menyambut kedatangan tahun 2020. Masa itu tidak menunggu walau sekelip mata untuk sesiapa pun. Kami berdua ni memang tidak boleh duduk diam di rumah lama-lama. Pada hal kerja-kerja rumah memang melambak menanti. Tetapi itulah, kaki kami terlalu gatal hendak berpergian. Pak Long berhasrat hendak ke rumah Robin di Belmont, North Carolina di samping singgah di tempat lain sebelum sampai ke rumah Robin. Sambil menyelam sambil-sambil minum airlah kononnya.
Hari pertama - Bertolak dari rumah di awal pagi hari Khamis 28hb Februari dan bermalam di Forrest City, Missouri selepas 9 jam dalam kereta, berhenti hanya isi minyak dan makan. Aduhai, lama sungguh duduk dalam kereta, sengal segala sendi. Sampaikan berasa terhuyong hayang bila berhenti dan keluar dari kereta. Dahsyat! Satu yang Mak Long tidak suka bila berjalan dalam musim sejuk. Kena bawak baju tebal-tebal dan pakai kasut boot atau sepatu dengan setokin tebal. Leceh!
Esoknya hari Jumaat kami teruskan perjalanan dan singgah di rumah Judy sepupu Pak Long di Wicklift, Kentucky (Kampung halaman Pak Long). Malangnya Judy tiada di rumah. Tabi'at Pak Long pulak memang tidak pernah hendak telipon atau hantar mesej kepada sedara mara yang hendah ditemui. Pak Long tidak mahu menunggu, maka kami terus ke rumah Tommy Cruise iaitu kawan sekolah Pak Long. Hampir sejam jugalah kami di situ bersembang bermacam tajuk entah apa-apa sampai perut pun sudah berbunyi minta diisi. Hari itu kami makan makanan laut di Restaurant Captain D, alhamdulillah.
Video di bawah ini adalah dua jambatan lama dan amat sempit menghubungi dua buah sungai iaitu Sungai Mississippi dan Sungai Ohio. Perjalanan yang mesti dilalui menuju ke kampung Wicklift. Seram juga apabila berselisihan dengan kenderaan besar-besar. Pak Long cerita, Judy tidak suka dan takut memandu di jambatan tersebut. Kalau boleh ia akan mengelak dari memandu di situ.
Perjalanan kami diteruskan ke Bowling Green, Kentucky dan berhenti di National Corvette Museum. Banyak kali sudah kami datang ke museum ini. Memang sudah dalam mindanya hendak singgah di tempat itu. Konon hendak tengok kot ada keluaran terbaharu 2020 Corvette dipamerkan. Hampa! Mereka tidak pun pamirkan kereta baru lagi. Pak Longlah terasa sangat hampanya. Orang lelaki memang itulah minta mereka.... kereta, motorsikal, tukul besi dan lain-lain yang orang perempuan tidak minat walaupun ada tetapi tidaklah ramai.
National Corvette Museum |
Malam itu kami bermalam di kawasan berhampiran sahaja. Esok pagi-pagi Sabtu kami teruskan perjalanan ke North Carolina. Cuaca memang sudah sejuk, ditambahlah pula dengan salji turun. Nampak cantik memutih salji yang turun tetapi tidak lebat.
Salji mula menyelubungi bumi |
Alhamdulillah kami selamat sampai di North Carolina dan terus ke rumah Robin di Bandar Belmont, iaitu sebuah bandar lama. Terasa amat letih seluruh badan. Almaklumlah umor pun sudah terlalu banyak angkanya. Orang tua-tua dulu kata rumah kata pergi, kubur kata mari..... tapi hati tetap muda macam tidak sedar diri...
1hb Mac, kebetulan tarikh ini adalah tarikh yang istimewa buat Pak Long. Hari ulang tahun kelahiran beliau. Katanya, "I feel old........." hahaha.. Sedar diri tidak mengapa! Happy Birthday, Dear Sayang.. Dalam gambar di bawah, Pak Long nampak kepenatan tersandar dan tertidur di kerusi. Sempena harijadi Pak Long, Ricky dan Robin belanja kami makan makanan laut di sebuah restauran. Udang dan ikan goreng bertepong nipis, coslaw, kentang dan keledek goreng. Alhamdulillah... rezeki.
2hb Mac, Mak Long pagi-pagi mesti pekena dengan kopi panas pekat tanpa gula baru boleh segar mata, tetapi di rumah orang walaupun di rumah anak, Mak Long jarang buat macam rumah sendiri. Ricky buatkan secawan kopi panas baru lega tetapi tidak pekat seperti di rumah sendiri guna kopi kampung yang sangat umpp.. Memilih pulak orang tua ini hahahah. Tidak mengapa janji kopi...
Tengah hari itu kami dibawa anak dan menantu makan di sebuah restauran kawasan di situ. Tengoklah gambar di bawah itu, sandwish ikan tuna berketul-ketul penuh sepinggan. Sayuran yang dicelor kena letak di mangkok asing sebab tidak muat hendak diletak dengan sandwish. Ini Mak Long punya... tidak habis pun dimakan .... lebihnya bungkus bawak balik, nanti boleh makan untuk malam nanti.
Sandwich Ikan Tuna dan Sayur Celor |
Untuk menyerohkan perut yang penuh dan kekenyangan, kami berjalan-jalan kawasan bandar itu, tengok-tengok ada beberapa kedai yang baru dibuka. Banyak perubahan ... bangunan semuanya bangunan lama cumanya dibaik-pulihkan memberi muka baru.
Bandar Belmont |
Tiba-tiba Pak Long minta Ricky dan Robin pergi ke taman riadah. Bolehlah berjalan ambil angin dan berpeloh sedikit. Tempatnya di Latta Plantation Nature Preserve. Tidaklah berapa jauh dari Belmont. Ia adalah taman riadah yang disediakan dalam perhutanan di mana tempat itu disediakan beberapa lorong dan jalan-jalan kecil dilengkapi batu tanda menunjukkan jarak-jauh dari satu tempat ke satu tempat bagi pejalan kaki.
Peta Pejalanan Kami |
Jauh juga kami berjalan kaki, tidak sedar kami sampai di pinggir tasik. Lupa pulak Mak Long nama tasik kecil itu. Airnya jernih boleh nampak banyak ikan besar dan kecil berenang berhampiran di kaki air. Tetapi pengunjung tidak dibenarkan berenang atau bermain dalam air. Papan tanda terpangpang besar memberitahu bahawa air dan ikan-ikan itu mengandungi bahan mecury yang merbahaya kepada manusia minum air dan memakan ikan di situ. Jenis ikan terdapat di situ ialah ikan air tawar jenis sembilang/keli (catfish) dan ikan "largemouth bass".
Lihatlah makcik di bawah ini sedang asik menikmati berjalan kaki. Kami diberitahu supaya berhati-hati kerana dalam kawasan itu ada beruang hitam yang dikenali bahayanya. Manalah tahu nasib tidak baik tiba-tiba terserempak pulak...ish bahaya..
Gambar di bawah kami posing sakan untuk kenangan bila jumpa satu pokok hidup bengkok boleh duduk di situ. Taman riadah itu terang tidak semak walaupun dalam hutan. Daun kering dan luruh. Kalau ada binatang seperti beruang pasti boleh nampak kalau mereka ada berhampiran.
Hampir satu jam lebih kami beriadah di situ. Panas dan segar rasa badan dibawa berjalan. Puas hati Pak Long dapat berjalan kaki sampai rasa penat.
Haus.. minum air |
Gambar di bawah ialah suatu monumen American Air Force. Tidak lama kami di situ. Tengok-tengok lebih kurang kami teruskan perjalanan balik ke rumah Robin. Malam itu Mak Long tidor lena bukan main, mungkin letih berjalan kaki siangnya.
Pada awal pagi-pagi esoknya kami bersiap-siap untuk meneruskan peralanan kami. Kami berhasrat ke Tennessee untuk beberapa hari berihat di kaki gunung.
No comments:
Post a Comment