Pages

Tuesday, October 18, 2016

Riadah Hari Ini

Assalamualaikum,


Apa khabar sahabat-sahabat semua?  Muga sihat dan sejahtera sentiasa setiap hari.

Sebulan lebih Mak Long bercuti panjang dari beriadah untuk diri.  Aduhai... tegang segala urat dan sendi.  Berjalan kaki entah kemana?  Beryoga pun sudah menyepi!  Berkiut-kiut bunyi kepala lutut marah bila dibengkok.  Lengoh, sengal rasa segala rongga badan. 

Pak Long pesan, hari pertama tidak perlu beria-ia sangat nanti lagi penat, pelan-pelan ... al-maklomlah bukannya muda belia lagi.   Yerlah Pak Long pelan-pelanlah ni.




Sarapan hari ini

Thursday, October 13, 2016

Salam Sejahtera

Assalamualaikum,





Salam sejahtera diucapkan kepada semua sahabat-sahabat Mak Long yang dihormati dan dikasihi.  Sudah hampir dua minggu Mak Long pulang dari tanahair tercinta.  Selama itulah Mak Long mengalami "jet-lag", sakit-sakit badan, demam dan alahan.  Semua penyakit datang sekali arong dalam satu masa yang sama.  Tenaga dan kekuatan minda sekali rebah jatuh luruh entah ke mana.  Agak-agak berderai-derai dosa Mak Long gugur ke bumi hahaha...

Hari ini, alhamdulillah bolehlah juga keluar rumah...  

Cuaca di Texas Hill Country kini sudah beransur dingin terutama waktu pagi dan petang, daun-daun dari beberapa jenis pokok sudah mula bertukar warna kekuningan dan gugur.  Yer, musim gugur sudah datang kembali.  Daerah-daerah sebelah utara memanglah sudah sejuk dan musim gugur sedang rancak.  Di sebelah selatan Amerika di mana kami berada lambat sedikit, setengah bunga masih rancak berbunga seolah-olah dalam musim bunga.  Waktu-waktu beginilah di mana debunga dan habuk dari daun yang gugur menyebarkan debungan dan kuman alahan.  Ada juga jenis-jenis pokok daun hijau yang tidak bertukar warna dan tidak gugur hingga ke musim sejuk.  Semakin umur kita memanjat tinggi, semakin mudah mendapat alahan dan penyakit.  

Walau apa sekali pun Mak Long bersyukur dapat meluangkan masa untuk keluarga terdekat di tanah air dan alhamdulillah dapat menjaga Emak sebaik yang terdaya.  Cumanya rasa terkilan tidak dapat meluangkan masa untuk bertemu dan berkenalan dengan sahabat-sahabat blogger seperti Uncle dan Kakcik Seroja dan lain-lain.  Belum ada rezeki mungkin untuk bertemu kenal.  Tetapi kiranya ada di kesempatan dan kemudahan di masa akan datang, insya Allah muga dipermudahkan oleh Nya. 










Friday, September 23, 2016

Bahasa Melayu Bahasa Ibunda

Assalamualaikum,

Setiap hari FB (Facebook) tanya "What is on your mind?".  Jadi inilah yang bermain di minda setiap hari.

Bahasa Melayu atau disebut Bahasa Malaysia adalah bahasa resmi kita di Malaysia.  Mak Long bangga jadi rakyat Malaysia dan terlalu bangga serta sayang dengan bahasa ibunda kita yang menjadi pengirat sillarturrahim rakyat Malaysia.  Bahasa Melayu, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil memang tidak asing lagi bagi kita 1 Malaysia.

Mak Long dengar orang Cina dan orang India bertutur dalam bahasa Melayu sangat fasih dengan loghatnya sekali.... Syabas!!  Sering kali bila mereka bertutur dalam bahasa mereka sendiri, kemudian mereka selitkan dengan bahasa Melayu terutama perkataan "lah" di hujung ayat mereka.  Terasa keiratan di antara kita 1Malaysia.

Tetapi Mak Long rasa ralat, orang Melayu "TIDAK" fasih berbahasa ibunda sendiri. Bahasa Melayu yang cantik dan bernilai itu sudah dirosakkan dengan menggunakan/menukar perkataan dari bahasa yang diceduk dari bahasa-bahasa asing seperti Bahasa Inggeris atau Bahasa Arab amnya.  Bila orang Melayu bertutur, banyak perkataan "ceduk" digunakan.  Mithalnya, "Today I makan fried rice with sambal prawn".  Di mana-mana sahaja terdengar bahasa Melayu campur seperti itu digunakan seolah-olah itulah bahasa Melayu asli.  Malah di kaca TV atau di radio juga bahasa Melayu campur ceduk digunakan.

Melalui penggelaman dengar sendiri dalam pembicaraan anak-anak muda kita tidak tahu adanya perkataan Bahasa Melayu khusus dan tepat untuk digunakan kerana mereka sudah biasa menggunakan bahasa ceduk.

Sayangilah bahasa ibunda kita.  Jika tidak bahasa ibunda kita akan hilang dari muka bumi ini.

Mak Long bangga sebagai orang Melayu dan jadi rakyat Malaysia serta sangat bangga menggunakan Bahasa Melayu.






Nota:

Kerana masa tidak membenarkan Mak Long untuk lebih kerap mencoretkan sesuatu di blog dalam bulan ini walau pun dari mata kasar mempunyai waktu terluang.  Mak Long menumpukan sepenuh masa memberi perhatian kepada Emak yang terlalu uzur.  Mak Long tidak dapat peluang keemasan ini setiap hari bila sudah pulang ke perantauan.










Thursday, September 8, 2016

Dugaan Mencabar

Assalamualaikum,





Menunaikan fardu haji adalah rukun Islam yang kelima bagi yang mampu menunaikannya.  Setiap umat Islam yang beriman pasti menamam cita-cita untuk ke Mekah melaksanakan fardu haji.  Hari khusus itu bagi tahun 2016 hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi.  Rakyat Malaysia yang dapat undangan istimewa dari Allah sudah dijadualkan ke sana..masya Allah.  Mudah-mudahan Allah permudahkan setiap urusan mereka, selamat melaksanakan rukun yang dituntut dengan kejayaan haji mabrur.

Malam tadi, Mak Long menerima berita sedih dari seorang sabahat baik.  Persahabat kami erat sejak dari zaman sekolah di sekolah menengah berasrama.  Beliau dijadualkan ke tanah suci pada 7hb September.  Akal berkata tentunya beliau sudah berada di sana.  

Mesej yang Mak Long terima dari beliau.

"Assalamualaikum,  
Dengan dukacitanya saya maklumkan bahawa saya masih berada di Malaysia.  Last minute dimaklumkan visa tidak lulus.  Saya tidak akan maklum pada kawan-kawan kiranya tidak dapat maklumat dari agent..... Sedih... Perkara dah nak terjadi...lebih separuh dari kami tak dapat pergi... Doakan saya dapat pergi tahun depan...tq " 

Hati Mak Long sedih menerima berita itu, namun kita hanyalah manusia biasa yang lemah tiada daya melainkan dengan daya Nya jua.  Mesej keduanya kepada Mak Long:

"Walaikumsalam,
Aminn.  Insya Allah I am ok.  Yang kecewa tu sebab Dato owner pakej tu pun pergi.  He was scheduled to leave on 6th.  That day when we assembled for suaikenal and ceramah akhir .. His last statement to me was "see you Datin kat Mekah".  That time itself I yakin he already had our visas..half of list tak lulus visa..."

Kuasa Allah itu besar dan hanya Dia lah yang memegang segala rahsia.  Manusia merancang, Allah jua yang menentukannya.

Mudah-mudahan kami menerima jemputan istimewa untuk ke sana dari Allah untuk menunaikan fardu haji bagi tahun hadapan.   Harapan dan doa Mak Long juga menerima jemputan istimewa itu.  Aminn....














Tuesday, September 6, 2016

Goreng Pisang

Goreng Pisang





Dulu-dulu zaman sekolah, goreng pisang adalah kegemaran number satu.  Tidak kesah apa jenis pisang yang digoreng.  Kantin sekolah rendah di mana Mak Long sekolah dahulu tiap-tiap hari ada menjual goreng pisang.  Itulah yang mengisi perut Mak Long.  Belanja kurang dari sepuluh sen!  Sekarang mana boleh dapat goreng pisang sepuluh sen sebiji goreng pisang?  

Orang Johor kalau makan goreng pisang mesti ada lawan cicahnya.  Cicahnya cumalah sambal goreng cair atau sambal tumis cair.  Biasanya sambal cicah itu diletak dalam sebuah besen ayan atau mangkok kongkom bersebelahan dengan goreng pisang.  Sebelum menikmati goreng pisang itu, step pertama goreng pisang itu mesti dicelupkan dalam sambal sampai tengelam, kadang-kadang habis jari juga tercelup dalam cicah.  Menitis-nitis berjela atas lantai dikerjakan murid-murid yang berebut-rebut mencelup dalam cicah.  Bising arwah Pak Mat Kelepek (pengurus kantin sekolah) marah bila beliau terpaksa mengelap lantai yang penuh dengan cicah.  Sudah siap pisang goreng kena celup barulah boleh ngap masuk mulut!

Di kampung goreng pisang memang biasa dimakan sebagai sarapan pagi atau kudapan minum petang.  Tinggal di kampung seronok.... Tidak ada jadual khusus untuk buat itu ini.  Makan pun apa ada sahaja ...  Seperti sarapan pagi ada kala makan ubi rebus colek sambal belacan belimbing, nasi goreng kampung, lempeng tepung berkelapa dan lain-lain.   Sarapan pagi pun Mak Long biasa makan nasi sejuk berlaukkan apa ada dalam periok lebihan semalam.  Makan nasi sejuk dengan kicap pun jadi!  

Semalam ketika keluar, mata Mak Long mudah sahaja nampak benda-benda sekeliling.  Nampak dua wanita Melayu mengoreng dan menjual goreng pisang di sisir bangunan.  Ke situlah kaki melangkah tanpa berfikir panjang.   Ada goreng pisang abu yang memang kegemaran.  

Penjual:       Goreng pisang, Kak?
Mak Long:  Yer, tolong bungkuskan err errr macam mana jual ekk?
Penjual:       3 keping seringgit.    
Mak Long:  Tolong bagi saya 10 ringgit... 

Masya Allah ... Sedapnya.... Sudah lama tidak jumpa goreng pisang.  Cuma tidak ada sambal colek! Janji puas hati dapat makan goreng pisang heheh....

Rasanya sedap dari segi kualiti mungkin tidak berubah tetapi kuantiti amat ketara berkurangan.  Satu biji pisang abu (di Johor kami biasa panggil pisang awak abu) dibelah empat, nipis sangat!  Sekali ngap sahaja sudah hilang, hendak buat tahi gigi pun tidak memadai!

Tidak mengapalah bagi can orang Melayu berniaga.













Wednesday, August 31, 2016

Mengurut Keletihan "Jet lag"

Assalamualaikum,

Penerbangan jauh menaiki pesawat amat meletihkan.  Akibat dari penerbangan jauh itu mengganggu seperti rasa keletihan dan kebingungan diri.  Badan seseorang itu berasa tidak mampu dalam menyesuaikan diri dengan zon waktu yang baharu.  Ia dinamakan dalam bahasa Inggeris "jet lag".  "Jet lag" boleh mengganggu pola tidur seseorang iaitu membuat rasa mengantuk dan lesu.  Semakin banyak zon waktu yang dilintasi kerana penerbangan jarak jauh, maka "jet lag" yang dialami lazimnya menjadi lebih teruk dan mengambil masa beberapa hari untuk pulih.

Bagaimana boleh terjadi "jet lag"?

Menurut yang Mak Long baca, bahawa dunia ini terbahagi kepada 24 zon waktu yang berbeza.  Tubuh kita akan menyesuaikan waktu sehari 24 jam dipanggil ritme sirkandian.  Ritme ini mudah terganggu setelah melintasi zona waktu yang berbeza.  Jadi, penyebab "jet lag" adalah selepas perjalanan penerbangan yang jauh sehingga tubuh gagal menyesuaikan dengan zon waktu yang baru.

Cara untuk mengatasi rasa "jet lag" itu mudah sahaja:

Apabila mengalami "jet lag", perlulah diatasi segera agar tidak menimbulkan masaalah.  Biasanya "jet lag" tidak menimbulkan masaalah kesihatan jangka panjang yang membimbangkan hingga memerlukan menelan ubat.  Tip-tip untuk kelegaan dari "jet lag" :

*  Ketika sampai di tempat yang dituju .. Lakukan rutin baru iaitu masa makan dan tidur hendaklah mengikut tempat zon masa baru.  Jangan ulangi rutin biasa yang dilakukan di rumah di tempat baru.

*  Elakkan tidur siang apabila sampai di destinasi baru walaupun badan berasa letih selepas penerbangan jauh sehingga sampai waktu tidur yang betul.  

*  Segarkan diri dan sentiasa aktif hingga sampai waktu tidur di tempat baru untuk membantu tubuh menyesuaikan diri dengan rutin baru.

*  Dapatkan cahaya di luar waktu siang hari kerana cahaya itu membantu tubuh menyesuaikan suasana baru.

Sehari selepas Mak Long sampai, Kakak (puteri sulung Mak Long) sarankan kami makan tengahari di kedai makan di Kampung Baru.  Hendak makan nasi penyit katanya.  Mak Long ikut sahaja asal sahaja dapat membatu menghilangkan "jet lag".  Sejak sampai di Kuala Lumpun ini keluarga asik-asik ajak menjamu selera sahaja.  Habislah diet Mak Long, entah ke laut mana ...?  Apa-apa pun Mak Long perlu berhati-hati tentang permakanan.  Alaa enjin perut lama....

Malamnya pula anak-anak bawa ke kedai makan anak saudara Mak Long di Damansara Utama.  Nama kedai makan itu ialah "The Port".  Mereka ni masih baru lagi dalam urus niaga kedai makan.  Masih banyak kelemahan.  Alhamdulillah menjadi juga walau pun pelan-pelan berkat berbekalkan kecekalan di hati mereka.  Mereka mendirikan sebuah bangunan kecil kemudian bahagian dalamnya dibahagi-bahagikan kepada beberapa petak jualan yang disewakan kepada peniaga-peniaga kecil menyediakan beberapa jenis menu.

Kami sengaja datang senyap-senyap ke sana, duduk di meja di suatu sudut kemudian membuat pesanan makanan dan minunan.  Sudah siap buat bayaran baharu cari anak-anak saudara Mak Long.  Terkejut mereka apabila nampak Mak Long muncul dengan tiba-tiba.  Kalut mereka mahu menyediakan meja untuk kami.  "Mak Long, mintak ler apa-apa nak ekk... Tariq belanja!"  Hampir merajuk mereka apabila diberitahu semua sudah beres.....  Mak Long cakap "business tetap business" walaupun dengan keluarga.  Keluarga ramai, kalau semua yang datang hendak dibelanja.... Tidak boleh jadilah begitu.....

Ketiga-tiga anak saudara datang berkumpul di meja kami ...sembang-sembang macam-macam.  Ketika mereka kecil semuanya manja dengan Mak Long.  Sudah besar panjang pun tetap sama.  Kemudian Alil datang ke meja membawa sebesen buah manggis dari kampung.  "Keras kulitnya Mak Long, si anu tu dimasok ke nye dalam peti sejuk!  Isinya tak aral (rosak)..."  Pukul satu pagi baharulah kami bersurai.  

Semuga anak-anak muda Melayu kita akan terus gigih berusaha bersaingan dengan bangas-bangsa lain di negara ini.  Yang mereka perlu adalah galakan di samping dengan doa dari keluarga dan sahabat-sahabat.






















Saturday, August 27, 2016

Pulang Ke Tanahairku

Assalamualaikum,

Diam tidak diam sudah hampir setahun Mak Long tidak pulang ke tanahair.  Bukannya tidak rindu kepada tanah kelahiran, bukan main lagi, Tuhan sahaja yang tahu betapa rasa rindu itu di hati.  Namun perasaan itu disimpan baik-baik agar tidak ketara kepada Pak Long, walaupun beliau tidak pernah menghalang bila-bila masa Mak Long mahu pulang ke kampung.  Menyedari tanggungjawab sebagai seorang isteri itulah membuat Mak Long diam-diam sahaja.

Seruan dari tanah tumpahnya darah itu semakin menebal sekian hari.  Mak Long selamat sampai Kuala Lumpur semalam petang .. Alhamdulillah .... Wahhh panas lembab betul cuaca.  Berpeluh dan berkeringat melekit seluruh anggota.  Walaupun badan mengalami keletihan (jetlag) dengan penerbangan jauh selama 21 jam lebih, dengan pertukaran cuaca dan suasana sekeliling, hati ini tetap bersyukur dan gembira menemui keluarga tersayang yang selama ini tidak lekang dari ingatan.  Melihat kegembiraan terpancar di wajah keluarga membantu menyegarkan minda tua ini.  Alhamdulillah.....

Malaysia tanahair tercinta.  Begitu banyak berubah rupa yang ketara walaupun hanya dalam setahun masa berlalu.  Di jalanrayanya...waaaa setiap jalan yang dilalui pasti mengharungi kesesakan lalu lintas ketara.  Terasa bimbang dan was-was di fikiran, mampukah diri ini memandu kereta sendirian di tengah-tengah arus lautan kesibukan lalu lintas.  Aduhai....  Penyakit ganjaran kemajuan di negara membanggun.

Bangunan tinggi-tinggi di setiap inci di bandaraya seperti cendawan tumbuh bercambah tanpa gangguan.  Bandaraya Kuala Lumpur sudah berubah rupa!  Begitu juga penghuninya!  Yang belum berubah rasa nasi lemah kegemaran Mak Long.  Hahahaha sarapan pertama di Kuala Lumpur....sedap dan berselera ....my comfort food!