Pages

Saturday, February 24, 2018

Sayur Peria Masak Cili Jalapeno

Assalamualaikum,


Alhamdulillah.....  Berminyak bibir makan sedap malam ini.  Biasa Mak Long tidak makan selepas pukul tujuh malam.  Malam ini lain sedikit.  Sudah beberapa hari lauk ini sudah terbayang melayang-layang dalam minda sampai meleleh air lior dibuatnya hahahaha ... betul!

Orang sebelah memang tidak ingin, untunglah kite dapat pulun semua.  Hari itu Mak Long goreng sedikit dengan telur untuk sarapan paginya... Ada ker diasing-asingkannya sayur tu!  Mak Long kutip masuk dalam pinggan sendiri...hahaha jangan ketawakan.  Rugi.....tidak baik membasir!

Haaaa inilah benda yang buat Mak Long terlior habis....   Nasi panas lauknya sayur peria masak lemak cili pedas dengan udang, itu sahaja.  Bukan senang hendak dapat sayur peria.  Kena pergi ke pasaraya China di bandaraya Austin baru ada.  Itu pun nasib!  Omputeh tidak pandai makan sayur macam kita-kita dari sebelah Asia.  Rugi betul mereka.  Tapi kalau mereka sudah tahu rahsia sesuatu makanan berhasiat seperti kelapa, kunyit dan buah manggis seluruh dunia mereka cerita.  Macam mereka pulak jadi pakar lebih-lebih, cara guna bahan-bahan itu.  Ini bolehlah ibaratkan "lembu punya susu, sapi dapat nama" kan!

  
Peria masak lemak pedas

Cili padi tiada, tetapi tetap ada penggantinya...cili jalapeño dari Mexico.  Sebutan yang betul ialah “halapenyor”.  Orang Mexican tidak pandai mengeja hahaha.  Cili jalapeño ialah sejenis cili pedasnya lebih kurang seperti cili padi juga.  Saisnya besar dan gemok-gemok... biasa jual di pasaran berwarna hijau.  Orang Mexican suka makan makanan pedas-pedas tetapi masih tidak boleh lawan dengan orang Melayu dan orang Thai.  


Cili jalapeno

Sekiranya ada peluang ke USA cubalah makan cili jalapeno jerok, banyak terdapat di mana-mana pasaraya.  Biasanya cili jalapeno itu di potong-potong nipis baharu dijerok.  Jerok cili ini boleh dimakan/dimasak campur dalam daging burger tambah ompp.  Mak Long pun sering juga buat dan guna jeruk cili ini dalam masakan seperti burger, daging goreng dan sebagainya. 


Jeruk cili jalapeno













Sunday, February 18, 2018

Sembang Kami

Assalamualaikum,






Baru-baru ini Pak Long ubah cara permakanan beliau.  Hendak diet katanya, hendak kurangkan berat badan yang sudah mulai boyak hmm.  Yerlah!  Pagi untuk sarapan beliau minta Mak Long sediakan telor dua biji dimasak dalam apa cara sesuka hati kitalah.  Tidak kesahlah, memang tiap-tiap pagi pun mesti buat kopi dan sarapan untuknya.  Tengahari makan ala kadar sahaja dan sedikit kunyahan seperti "pop corn"- bertih jagong.  Musim panas tidak ada masaalah sangat kerana boleh aktif di luar rumah dan berpeluh, boleh lupa pasal perut kurang berisi makan.  Ini, musim sejuk!  Perut asik-asik minta makan...  Hendak buka pintu keluar sebentar pun adohhh sejuknya..

Pagi ini seperti biasalah selepas subuh Mak Long terus ke dapur sediakan sarapan.  Pecahkan telor dua biji masak dadar campur susu segar sedikit, di atasnya letakkan daging cincang goreng dan sedikit keju, tangkup dua dan letak atas pinggan siap untuk Pak Long sarap.  Kita pun panggillah Cik Abang:

"Sarapan dah siap..jom sarap”,  panggil Mak Long dari dapur.  Dengar atau tidak tu?

"Oookkk..." suara macam orang tua sakit sambil berjalan arah ke meja makan.  Kaki terhenjut-henjut, seret kaki seperti orang tempang!  Mak Long buat tidak tahu, pepagi buta malas hendak berkata-kata... “silent is golden!”,  hahaha perangai orang tua!  

Pak Long duduk pelan-pelan, buat mulut senget dan hirup kopi panas kemudian menjamah sarapannya.  Aduhaii apalah kenanya!  Tiba-tiba Mak Long perasan Pak Long tengah pandang pada kita dengan senyum lebar mulut senget dari telinga kanan ke telinga kiri.  Kita pula tengah terkial-kial menyejukkan oat campur susu panas..yang ini sarapan sendiri.  Ya Rabbi he was flirting at me!  Adoi Pak Long pengsan aku!  Asik-asik mengusik ajer.... sabor ajerlah...















Saturday, February 17, 2018

Apa Nak Masak Tengahari Ini?

Assalamualaikum,


Sosej pedas, sauerkraut dalam tin, bawang merah dan bawang putih 

"Apa nak masak tengahari ini ek?  Inilah delima suri rumah setiap hari.  Hari-hari fikir hendak masak apa untuk suami dan keluarga.  Selalu suri rumah hilang punca menyediakan menu harian untuk mengisi perut suami dan ahli keluarga.  Mujur kalau ahli keluarga yang tidak cerewet tentang apa jenis menu yang dihidangkan di atas meja makan.  Bahagialah hati suri rumah yang memiliki suami dan keluarga yang tidak kisah, janji ada makanan untuk dinekmati.  Bagaimana pula suri rumah yang memiliki suami dan keluarga yang cerewet.  Makan memilih!  Hendak makan yang sedap-sedap setiap hari.  Ada yang hendak makan pedas-pedas dan manis bagai.  Ada yang hendak makan kari, berlemak bagai setiap kali.  Ada yang tidak mahu makan makanan yang tidak habis lauk hari semalam walaupun yang tidak habis itu tidak diusik.  Suami dan keluarga cerewet memilih macam ini leceh, menyusahkan suri rumah!  

Mak Long pun kekadang menghadapi masaalah "apa mak masak hari ini?"  Pintu peti sejuk dibuka katup beberapa kali mencari ilham hendak masak apa!?  Nasib baik pintu peti sejuk kuat dan kukuh.  Macam hari ini, termenung Mak Long mikir apa hendak masak tengahari ini.  Pintu peti sejuk itu kalau dia boleh berkata-kata pasti sudah menjerit ... "stop! Stop! ...". Pintu "pantry" pun begitu juga tercegat Mak Long tengok bahan-bahan kering....  Rupanya gelagat Mak Long diperhatikan sepasang biji mata hijau.....hahaha...


Pak Long       "Ada sauerkraut?"
Mak Long       "Ada..."
Pak Long        "Ada sosej pedas?
Mak Long       "Ada...."
Pak Long        "Cer tanya cik google cara nak masak dua bahan tu...."


Yer tak yer juga.  Bagus juga cadangan itu.   Haaa macam itu tidak mengapa juga ... tidak apa pun ada bagi cadangan.  Maka inilah jadinya masakan Mak Long cuma tukar-tukar bahan yang ada dari peti sejuk dan "pantry".  Mak Long namakan "sosej goreng dengan sauerkraut.  Rasanya nanti sudah siap masak Mak Long kasik tahu.  Kalau sedap rasanya, Mak Long kongsi resepi...kalau tidak ... tidak payah ler buat ketengi (dialek orang Johor) muka ..hahaha



Sauerkraut (kobis jerok)

Bahan siap dipotong-potong


Sauerkraut ialah kobis jerok.  Kobis itu biasanya disagat halus lalu diperam dengan garam beberapa lama.  Cara jeruk ini adalah makanan orang German.


Goreng dalam kuali

Sudah masak

Siap boleh dijamah dan dinekmati


Pak Long cakap boleh tahan rasanya.  Jadi inilah resepinya.

1 tin sauerkraut - dibasuh untuk kurangkan masam dan toskan
1 batang sosej pedas - dipotong kasar
1/2 bawang besar - dipotong dadu
3 bawang putih - diketuk
2 sudu besar minyak masak

Cara: 

1.    Panaskan minyak dalam kuali.  Masukkan sosej dan goreng sebentar, kemudian keluarkan.

2.   Dalam kuali yang sama goreng bawang besar dan bawang putih hingga layu.  Masukkan sosej semula.  Akhir sekali masukkan souerkraut.  Balik-balikkan beberapa minit, angkat dan sediakan untuk dinekmati.

Mudah sahaja, selesai masaalah nak masak apa tengahari ini.  Kami makan masakan ini dengan sekeping roti bakar sahaja.  Mak Long malas hendak masak nasi!












Tuesday, January 30, 2018

Enchalada masakan Mexico

Assalamualaikum,

Tiap-tiap hari mesti fikir “apa hidangan untuk hari Ini?”  Kekadang tidak ada masaalah hendak masak apa, idea datang macam peluru di minda.  Senanglah otak tidak payah fikir panjang.

Hari ini tidak ada masaalah, bahan pun semua ada dalam peti sejuk dan dalam gerobok barang kering sudah isi barang-barang yang sudah habis.  Hari ini Mak Long cadang masak masakan makanan orang Mexico.  Di Texas penduduknya rata-rata orang Mexico terutama di bahagian selatan.  Mengikut sejarah pun dulunya Texas memang dibawah pemerintahan negara Mexico jadi tidaklah heran penduduk Texas lebih ramai orang Mexican.  Bahasa yang mereka tutur adalah bahasa Sepanyol (Spanish).

Nama masakan ialah enchilada (ench cer lada) casserole.   Bahan dalam enchilada menggunakan lempeng dipanggil tortillas (tor tias).  Lempeng ini dibuat dari "cornmeal" iaitu tepung jagung kasar.  Ada juga tortillas dibuat menggunakan tepung gandung.


Tortillas


Bahan:

1 lb daging ayam bahagian dada - buang kulit, potong kecil dan nipis
1 bawang besar dipotong dadu
1 cili sulah merah atau hijau di potong dadu
1 inci halia diparut/tumbuk
1 tomato dalam tin
1 jagong dalam tin - toskan airnya
1 cawan air
6 keping tortillas
1 cawan sour cream (boleh diganti dengan yogurt)
1-1/2 cawan keju parut
2 sudu besar minyak zaiton

Cara: 
  1. Panaskan ketuhar 400F
  2. Panaskan minyak dalam periok, masukkan ayam, bawang, cili dan halia.  Balik-balikkan sebentar kemudian masukkan tomato dari dalam tin bersama airnya sekali,  jagong dan air.  Masak hingga ayam empok.  Sekiranya kering boleh tambah air sedikit (masakan ini lembab).  
  3. Atur 3 tortillas dalam bekas pembakar ukuran 9”x 13” yang telah disapu minyak dahulu.  Letakkan ayam di atas tortillas, ratakan, kemudian letak sour cream/yogurt dan keju atasnya.  Ulang lapasan dan tutup dengan aluminium.  
  4. Masukkan dalam ketuhar dan bakar selama 40 minit.  Buka penutup aluminiun 10 minit sebelum sampai masa tamat pembakaran.

Enchilada Casserole

Cubalah... tak cuba tidak tahu sedap atau tidak.  Kalau tidak ada tortillas boleh diganti dengan roti chapati.  Mak Long pernah ternampak tortillas ada dijual di pasaraya Ion semasa berada di Kuala Lumpur.














Monday, January 8, 2018

Imbasan Sepanjang 2017

Assalamualaikum,

Tahun 2017 meninggalkan titik-titik kenangan di hati.  Suka dan duka, senyum dan tangis semuanya ada.  Ada usaha dan rancangan jaya tercapai, ada juga rancangan yang terpaksa dipendam buat sementara.  Manusia merancang, Allah yang menentukannya.  Rancangan dari Allah itu tepat dan benar tidak disangkal.

Minggu pertama tahun 2017, pada 6hb Januari suatu pagi yang amat sejuk di Christus Santa Rosa Hospital, New Braunfels Mak Long ditakdirkan menghadapi suatu pembedahan.  Pembedahan pembuangan pundi hempedu, suatu idapan lama berlarutan akhirnya terpaksa akur atas nasihat pakar Dr Rossback.  Cacatlah satu organ dalaman anggota ini meninggalkan tiga parut yang ketara.  Beberapa pantang dan larangan dalam pengambilan permakanan diterangkan dalam bab ini.  Pastinya terpaksalah mengucapkan selamat tinggal kepada permakanan yang pedas-pedas kesukaan tekak.  Juga mesti mengamalkan senaman yang ringan mempercepatkan permulihan luka.  Saat melalui hari-hari pemulihan yang membosankan.

Untuk menghilangkan kebosanan, sebaik sahaja berasa kesihatan pulih, Pak Long merancang membawa Mak Long ke Fort Davis, Texas melawat Pusat McDonald Observatory iaitu pusat kajian falak atau astronomi pada awal bulan Februari.  Inilah lawatan pertama kami bagi tahun 2017.  Perjalanan mengambil masa lebih kurang empat jam lebih.  Cuaca di situ tidaklah begitu sejuk dibandingkan dengan daerah kami.



McDonald Observatory, Ft Davis, Texas

Bukan sahaja melawat Mc Donald Observatory, kami juga ke Big Bend Ranch sampai tersesat-sesat gara-gara mengikut 100% arah tunjuk jalan minah GPA hahaha.  Waktu malam-malam pula bersejuk-sejuk konon hendak melihat sinaran pancaran lintasan cahaya yang dikatakan ajaip menerangi sekitar kawasan desert Marfa.  Tidak nampak apa-apa pun!


Kawasan Desert Big Bend, Texas

March adalah awal musim bunga.  Dalam bulan ini bunga bluebonnet mulai meriah berkembangan indah dengan bauannya yang lembut harum semerbak.  Bluebonnet adalah bunga kebangsaan Texas.  Ia berbunga hanya setahun sekali.  Pertumbuhan bluebonnet amat perlahan mengambil masa yang lama.  Ia bermula dari pendebuah benih keras sekecil pasir mulai bulan October hingga March baharulah mula berbunga.  Ia gemar cuaca sejuk, lagi sejuk lagi subur tumbuhnya.   Setiap tahun di hadapan bahagian dapur kami dipenuhi dengan tumbuhan indah itu.

Bluebonnet di hadapan dapur kami

April, 2017 Mak Long terpaksa pulang ke Malaysia ditemani Icah anak bungsu kami menguruskan hal keluarga.  Kepulangan ini paling singkat sekali hanya selama dua minggu.  Selain itu berpeluang baik mengunjungi Emak yang dikasihi.  Sebenarnya kesihatan Emak tidak berapa sihat.  



Kami

20hb April adalah tarikh ulangtahun pernikahan kami.  Sempena hari itu kami ke South Padre Island, Selatan Texas saja-saja menikmati angin laut Telok Mexico selama dua hari.  Oleh kerana South Padre ini berhampiran dengan Negara Mexico maka penduduk di situ rata-rata orang Mexico 95%.  Mereka menyangka Mak Long orang Mexico dan bertutur dalam bahasa mereka pada Mak Long.....  kelakar pun ada, buntu juga dibuatnya.  Suatu yang dipelajari dari orang Mexico ialah mereka rajin kerja dan kuat berusaha.


South Padre Island, Texas

Minggu pertama bulan Mei, kami mulakan pengembaraan ke Colorado dan Arizona yang mengambil masa beberapa minggu.  Kami gemar mengembara melihat tempat-tempat yang tidak pernah kami pergi di luar mahu pun dalam negeri.

Tempat pertama dalam lawatan ini ialah Canon City, Colorado di mana kami merancang menaiki keretapi melalui persekitaran pergunungan The Royal Gorge.  



Keretapi di The Royal Gorge

Selain dari itu kami berpeluang memandu kereta di jalan sempit, tinggi dan merbahaya di Skyline Drive.  Seram juga kerana lebar jalan itu hanya muat-muat untuk sebuah kenderaan kecil sahaja tetapi seronok.



The Skyline Drive, Canon City, Colorado

Dari Canyon City kami perjalanan menuju ke pergunungan Pikes Peak dengan menaiki keretapi rail Pikes Peak Cog.  Sayangnya kami tidak dapat terus ke puncak Pikes Peak disebabkan salji tebal menutupi landasan keretapi selepas mengalami ribut salji sebelum kami sampai ke situ.  Cuaca sejuk dan kabus pula tebal.  Terasa tidak puas hati, kita datang dari jauh-jauh tidak dapat menikmati yang dirancang.


Keretapi Pikes Peak Cog

Kami mengambil keputusan untuk naik ke Pikes Peak juga dengan memandu kereta sendiri.  Pemandangan pergunungan tersebut nyata tidak menghampakan walaupun jalan masih licin dan merbahaya memerlukan Pak Long lebih berhati-hati memandu.  Allah hu indahnya ciptaan Allah.  Kami sampai hampir ke puncak Pikes Peak kira-kira satu batu sahaja lagi hendak sampai ke puncak.  Perjalanan kami terhalang kerana jalan ke situ ditutup disebabkan salji dan air batu tebal menutupi jalanraya.  



Pintu mask ke Lebuhraya Pikes Peak

Dari Pikes Peak kami ke Durango untuk menaiki keretapi antik dari Durango ke Silverton City.  Tiket sudah ditempah awal-awal lagi supaya tidak terlepas peluang.  Ini adalah kali kedua kami menaiki kereta di situ di mana kali pertama itu kami tidak sampai ke Silverton City disebabkan masaalah yang sama, salji menimbusi jalan keretapi dan kawasan ditutup.  Gambar di bawah adalah perjalanan kami menaiki keretapi dari Durango, Colorado melalui hutan pergunungan ke Bandar Silverton, Colorado.  Menaiki keretapi adalah suatu kegemaran yang kami kongsi bersama dan kami tidak akan melepaskan peluang naik keretapi.

Durango/Silverton Train Ride

Silverton City adalah sebuah bandar tua yang pada suatu ketika dahulu adalah sebuah bandar yang gemilang dengan perlombongan perak.  Tetapi sekarang perlombongan sudah tiada yang tinggal hanya bangunan-bangunan lama.  Sungguh pun begitu masih ramai penduduk yang tinggal di situ.  Seorang penduduk di situ memberitahu kami pada tahun 2016 salji turun dengan lebat setinggi lebih 30 kaki menjejaki dua tingkat bangunan.  Mereka terperangkap beberapa minggu tanpa kuasa letrik.  Menurut kata mereka lagi mereka sudah peka dengan keadaan begitu.


Silverton City, Colorado

Kami singgah lagi hampir setengah hari di Royal Gorge, Colorado.  Kali ini kami berjalan kaki menyeberangi jembatan gantung dipanggil The Royal Gorge Hanging Bridge.  Sayup mata memandang di bahagian bawah jambatan itu di mana beberapa hari dahulu kami menaiki keretapi di situ.  Gambar bawah ialah jambatan gantung The Royal Gorge.

Royal Gorge, Colorado

Dari Colorado kami mulai perjalanan pulang ke Texas melalui dan berhenti di beberapa tempat yang kami fikirkan patut kami singgah.  Antaranya ialah The Four Corner Monument di mana empat penjuru sempadan negeri iaitu Arizona, New Mexico, Utah dan Colorado bertemu penjuru sempadannya.


The Four Corners Monument

Kemudian perjalanan kami ke Jerome, Arizona sebuah kawasan lombong arang batu dan emas lama di mana pada suatu masa dahulu adalah juga sebuah bandar yang maju dengan penduduk yang ramai.  Seperti tempat perlombongan-perlombongan lain, Jerome juga menghadapi masaalah yang serupa.  Kerja-kerja perlombongan memerlukan mengali lombong yang dalam ke perut bumi.  Apabila itu berlaku, ia merbahayakan permukaan bumi.  Banyak peristiwa tanah runtuh yang mengerikan.  Oleh kerana itu kerajaan mengistiharkan tidak selamat untuk terus tinggal di tempat itu.  Namun begitu masih ramai penduduk yang tinggal menetap di situ.  Tidak hairanlah ramai pelancung-pelancung dari dalam dan luar negeri datang berkunjung.  Memang pemandangan di situ sungguh menarik dan indah sekali.  Terdapat bangunan hotel dan rumah-rumah lama terlalu rapat di jalan-jalan sempit dan berliku seperti ular.



Jerome, Arizona

Gambar di bawah ialah pemandangan sebelum masuk ke kawasan Jerome.


Jerome, Arizona 

Belum pun hilang lagi rasa letih pada 24hb Mei, Pak Long ajak pula saja-saja ke Bandar Laredo, Texas.  Di sana kami hanya bermalam satu malam sahaja.  Di bawah ini adalah binatang ternakan di ladang ternakan khas untuk dijadikan binatang buruan, suatu sukan kegemaran orang Texas.



Kambing Biri-biri dan beberapa jenis binatang untuk berburu

Sungei pemisah antara dua Negara Texas USA dan Mexico

Satu hari dalam musim panas kami ke Bandar San Antonio dan bermalam di sana.  San Antonio ialah sebuah bandar tua yang menyimpan banyak khazanah dan sejarah Texas "The Alamo".


The Alamo, San Antonio

Pertengahan bulan Jun, menerima berita gembira tentang kelahiran cucu sulong anakanda kepada anak saudara kesayangan Mak Long Muhammad Fauzan.



Muhammad Farish

Awal Julai berita kurang baik dari kampung ... Emak tenat memanggil Mak Long pulang ke tanahair untuk bersama Emak dan keluarga di sana.  Tiga bulan lebih Mak Long di kampung menjaga Emak.  



Kuala Lumpur

Sambutan Hari Raya Haji pada 2hb September kami berdua beranak menyambut hari mulia di kamar Hospital KPJ, Muar lantaran Emak diserang sesak nafas disebabkan paru-paru berair dan tahap oxygen dalam badan beliau rendah.  Emak dibenarkan keluar dari hospital atas permintaan Emak sendiri, kami juga berusaha mendapatkan bantuan seorang Ustaz membantu Emak.  Mengadakan bacaan Yassin dari orang-orang kampung di rumah.  

30hb September adalah hari yang paling sedih buat kami sekeluarga. .. Inna lilla wa inna illaihiro jioon Ibunda tersayang telah meninggalkan kami sekeluarga buat selama-lamanya.. Al-Fatihah .. semuga Allah mengampuni dosa dan tempatkan arwah di kalangan mereka orang-orang yang beriman dan beramal soleh.   Sesungguhnya kita ini adalah milik Allah.  

Permergian arwah Emak meninggalkan tekanan yang dalam.  Parah rasanya..  Hati ini benar-benar berasa tidak ada apa lagi keperluan untuk Mak Long terus berada di kampung...  Memang berat hati ini hendak meninggalkan rumah tua tempat kami adik-beradik dibesarkan.  Kesedihan membalut hati dan jiwa.  Terbayang dan terngiang-giang di benakan waktu-waktu bersama arwah, membersihkan luka "bed sore", membalut serta menyapu ubat, menukar pakaian arwah setiap hari. Sapu bedak wangi dan mencium pipi arwah apabila selesai.  Membancuh susu mengikut masa yang ditentukan.  Aduhai boleh buat kita sakit dan meletihkan fikiran.....  

Di Kuala Lumpur Mak Long berpeluang berjumpa dan berkumpul dengan tiga orang sahabat rapat sekelas.  Kami membesar dengan makan nasi kawah berpuluh tahun dahulu.  Merekalah yang berusaha mengatur pertemuan tersebut untuk mengiratkan hubungan silarturrahim yang lama.  Pertemuai diadakan di Restauran Sapura, Taman Melawati berhampiran dengan rumah kami.



Kiri: Naem, Moon.  Kanan: Mak Long, Nul

17hb Oktober Mak Long pulang ke Texas kepangkuan suami yang setia menunggu.  Inilah kali pertama kami berpisah lama... memang kerinduan kami amat terasa hahaha dah tua-tua pun masih rindu-rinduan!  Beberapa hari setelah pulang, Mak Long sakit dan tidak sihat beberapa minggu.  Mungkin kerana terlalu keletihan tanpa rehat ketika di kampung.  Al-maklumlah kita bukanlah muda lagi... 

Apabila berasa segar kami ke Hot Spring, Arkansas dan Branson, Missouri.  Tetapi baru sahaja tiga hari di sana Mak Long berasa tidak larat terpaksa pusing balik ke rumah.  Belum berapa baik lagi gamaknya.  

1.  Hot Spring, Arkansas

2.  Natural Bridge, Arkansas


Natural Bridge, Arkansas


3.  Fantastic Cavern, Missouri 

Gua Fantastic telah ditemui oleh beberapa orang wanita.  Pelawat-pelawat dibawa masuk ke dalam gua dengan kereta jenis jeep...tidak penat kaki berjalan.  Cantik di dalam gua itu.

Fantastic Cavern


4.   Train Ride, Branson, Missouri


Branson Train Station, Missouri

5.  Wiggley House, Eureka Spring, Arkansas


Dalam perjalanan balik kami berkesempatan singgah di Eureka Spring, Arkansas.  Sebenarnya sudah beberapa kali kami ke situ.  Eureka Spring mempunyai tarikan istimewa di mana ramai penggunjung datang ke situ atas perbagai sebab.  

Kami singgah di sebuah rumah pelik dan unik yang dibina oleh seorang wanita bersama anak lelakinya.  Bahagian dinding luar rumah dibina dari sepihan ketulan batu, kulit siput dan berbagai jenis kaca yang diambil dari sungai, laut dan lain-lain tempat.  Bahagian dalam rumah pula di tepi tingkap tingkat bawah ditanam berbagai jenis pokok tropika, kini tanaman itu sudah tinggi hampir ke tingkat atas.  Di keliling kawasan luar rumah juga terdapat berbagai bentuk ukiran dan gubahan dari batu-batu kecil.  Memang unik!



Wigley House, Eureka Spring, Arkansas


Akhir bulan November cuti "Thanks Giving", Icah cuti panjang.  "Mom, jom kita pergi ke Marfa dan Ft Davis, Icah belanja...".  Sebenarnya Mak Long lebih suka rehat di rumah sahaja.  Tidak sampai hati menghampakan permintaan anak.  Jadi sekali lagi kami bercuti di Marfa dan Ft Davis di barat Texas, dua kali ke situ dalam setahun.  November abdallah musim luruh cuaca mulai sejuk jadi kenalah bersedia dengan pakaian yang bersesuaian.  Marfa adalah bandar bagi orang-orang berjiwa seni... berbagai macam seni.. seni lukis entah apa-apa seni lagi...




Kotak dari simen ... 3D katanya..

3hb December sekali lagi menerima berita gembira dan istimewa dengan kelahiran cucu kedua... alhamdulillah.  Tahun ini keluarga kami bertambah dua orang cucu lelaki Muhammad Farisha dan cucu perempuan Aisha Faqiha yang comel.

Musim sejuk tahun ini adalah tahun yang paling sejuk sekali sejak kami pindah di daerah Texas Hill Country.  7hb dan 8hb Decembar, salji turun menyelimuti seluruh bumi Texas Hill Country.  Cantik tetapi sejuk....







Muga tahun 2018 akan lebih baik daripada tahun-tahun lepas, in sha Allah .... aamiin.