Assalamualaikum,
Hari ini Mak Long usahakan untuk masak beef steak untuk Pak Long. Kesihan, sejuk-sejuk begini Pak Long teringat hendak makan steak. Pak Long sudah lama pencen dari memasak steak! Nanti kempunan pulak kalau tidak dibuat. Ini semua Brenda jiran kami punya pasal! Malam kemarin dia datang tumpang bakar/panggang beef steak guna grill kami. Katanya grill dia gasnya bocor tidak berani guna. Berat sedikit hendak masak steak kerana grill terletak di serambi belakang rumah, cuaca pula sejuk dengan tiupan angin utara menular ke tulang sum-sum sejuknya. Pagi-pagi lagi Mak Long cuci bersih grill tu.
Potongan daging lembu batang pinang (beef loin NY strip) dua ketul sudah sedia ada dalam peti beku sejak sebulan lalu. Mak Long main agak makna beef loin dalam bahasa Melayu. Malam tadi keluarkan dan masukkan ke dalam peti sejuk. Pagi ini keluarkan dan biarkan suhu daging itu bersuhu bilik. Tebal daging ialah kira-kira 1 1/2 inci tebalnya. Sedang eloklah senang hendak bakar. Cuci cucur dengan air dan lap kering dan biarkan sementara sediakan sayur-sayuran yang hendak dibakar sama. Eloklah sediakan makanan yang seimbangan mengandungi protin, kanji, vitamin C dan lain-lain.
Inilah hidangan makan tengahari hari ini....
![]() |
| Daging yang sudah dikeluarkan dari peti sejuk |
- Panaskan grill 450 - 500 degree fahrenheit (232 - 260 Celsius).
- Tabur garam kasar/halus dan lada hitam pada daging. Letak atas grill panas, bakar selama 5-7 minit dan paling. Masak lagi selama 5-7 minit. Angkat dan letakkan dalam pinggan besar, biarkan 5 minit sebelum dipotong untuk dinikmati. Daging yang baru dikeluarkan dari grill akan terus masak dalam masa itu. Steak ini dimasak "medium" iaitu sedikit warna pink di dalamnya.
![]() |
| Bahan sayur untuk dibakar bersama steak |
- Sayur kobis dipotong setebal lebih kurang 1 inci, sapu minyak zaitun, garam dan lada hitam. Sedikit ketulan butter untuk perisa biar lagi sedap.
- Kacang boncis gaul dengan minyak zaitun, garam dan lada hitam
- Tomato (elok kalau guna tomato besar) dipotong dua. Korek dan keluarkan isinya, kemudian dicincang kecil dan campur dengan cheese parut, sedikit garam, lada hitam dan daun basil. Masukkan semula dalam tomato tadi.
![]() |
| Steak dan sayur sedang dibakar/panggang |
![]() |
| Makanan sudah siap |
Alhamdulilah, inilah hasilnya.... ok juga rasanya... Hahahaha puji diri ...masuk bakul angkat sendiri!!!!
Nota: Dulu Mak Long pernah buat entri berkenaan Beef Steak di Di sini










