Pages

Monday, November 2, 2015

Nota Percutian Akhir 2015 - Niagara Falls

Assalamualaikum,

Dari catatan:

Sudah lama kami bercadang untuk bercuti ke pantai barat California, melawat Lake Taho, melawat The Redwood National Park dan lain-lain tempat dalam bulan September atau Oktober tahun ini.  Sedihnya cadangan itu terpaksa kami batalkan untuk sementara memandangkan akhir-akhir ini melalui laman berita dari TV dan laman media, California menghadapi masaalah darurat kebakaran yang berluasan di negeri itu berpunca dari cuaca panas dan kering.  Beberapa perhutanan dan taman negara di situ mengalami kebakaran.  Untuk melawat bandar-bandar di sana tiada masaalah tetapi kami tidak berminat lihat bandar.  Makanya kami tukar hala ke utara Amerika sebelah utara dan ke Niagara Falls di Canada. 

Perjalanan ini sebenarnya tiada perancangan yang khusus melainkan lawatan ke Niagara Falls di Canada.  Yang lainnya mengikut keadaan, maksudnya sekiranya tempat yang kami lalui atau tujui itu mempunyai tarikan dan melebihi keistimewaannya maka kami tinggal beberapa hari lamanya.  Berapa lama kami berpergian pun tiada ketetapan.  Orang pencenlah katakan....

Sehari sebelum bertolak, Mak Longlah paling sibuk berkemas barang-barang yang perlu dibawa bersama.  Barang yang penting sekali adalah pasport kami untuk masuk Canada nanti.  Satu beg pakaian untuk Pak Long dan satu lagi untuk Mak Long sendiri.  Senang sorang satu beg sendiri.  Bawa pakaian lebih supaya tidak perlu pula hendak cuci.. buang masa sahaja.  Dua pasang kasut (kasut untuk mendaki bukit atau gunung yang tahan cuaca sejuk dan kasut untuk berjalan kaki tambah yang dipakai = tiga pasang semua) yang bersuaian pun penting juga untuk aktiviti di sana nanti.  Jaket baju panas pasti bawa bersama memandangkan sekarang adalah musim luruh, cuaca mulai sejuk, kadang-kadang bersalji.  Macam-macam bekalan ubat itu dan ubat ini (termasuklah plaster kalaulah dapat luka, minyak angin, pil pening dan lain-lain) .. senang kalau apa-apa hal sudah ada ubatnya.  Tidak lupa juga bawa sedikit bekalan makanan kering, kalau tiada rezeki makanan halal itu sahajalah nanti yang dimakan.  Penuhlah "trunk" kereta itu.  Orang putih Amerika guna perkataan "trunk" untuk "but" tempat letak barang di belakang.

Satu perkara yang membimbangkan hati Mak Long, ialah pokok-pokok bunga dan fern kesayangan.  Minta-minta janganlah dikorbankan oleh si rusa Pak Long itu.  Jiran pelawa untuk jaga pokok....  

Tarikh:  Jumaat - 16hb Oktober, 2015

Selepas subuh kami sudah bersedia untuk bertolak.  Pak Long memang suka bertolak awal pagi kalau hendak pergi jauh ke mana-mana.  Suhu pagi itu dingin juga kira-kira 60 farenheit, terasalah kesejukan itu serap dalam sendi.  Kami tidak sarapan walaupun perut terasa kosong.  Teringat hendak kopi panas, tapi tidak dan dah...  Yang mengelikan hati Mak Long selepas semua siap dan Pak Long sudah pasang "alarm penyelamat" rumah, kunci pintu dan sudah masuk kereta, Pak Long perasan dia lupa tutup lampu .. kenalah masuk rumah balik semula tutup lampu..  Setelah masuk semula dalam kereta... kunci kereta pula tertinggal dalam rumah... hahaha terlalu seronok agaknya suami ku!  Bacakan selawat dan doa, muga semua selamat dan dilindungi Allah dari segala musibah ..Pak Long.

Perjalanan kami bermula dengan lancar melalui lebuhraya I-35 North hala ke Dallas kemudian masuk laluan I-30 East agar tidak masuk kawasan Bandaraya Dallas.  Cuaca pun sangat cantik dengan suhu antara 80-85 degree farenheit.  Pak Long siap pasang GPS gagap untuk arah haluan kami..  Dulu-dulu sebelum ada internet dan GPS setiap kali kami pergi ke mana-mana kami gunakan peta, tanda dan ambil nota nama-nama jalan yang harus digunakan untuk laluan perjalanan.  Kini semua mudah, boleh bercakap dengan GPS lagi!  Kami sampai di pinggir daerah Dallas sudah masuk pukul sebelas setengah pagi.  Pak Long kata eloklah cari tempat makan dahulu sebelum pergi lebih jauh lagi.  Kalau sudah jauh perjalanan nanti susah juga hendak cari tempat makan yang sesuai.  Kami guna GPS untuk cari tempat makan, senangkan!  GPS memberi senarai beberapa buah restauran di kawasan terdekat.  Kami pilih Bass-Pro Shop.  Di Bass-Pro Shop ada Fishing Company Restaurant menyediakan makanan laut.  Bass-Pro Shop adalah rangkaian gedung besar menyediakan segala jenis peralatan bersukan..sukan laut, sukan darat, sukan hutan, sukan udara semua ada!  

Perjalanan kami tergendala sedikit di mana laluan kami di I-30 East mengalami kesesakan lalu lintas.  Asap hitam berkepol-kepol serta berbau getah terbakar berhampiran di mana kami berada dan buat Mak Long berasa sesak nafas, rupanya sebuah kenderan kebakaran di tengah lebuhraya itu dan jalan ditutup.  Nasib kami baik, peta Texas yang kami bawa bersama menjadi penyelamat.  Jadual kami untuk hari pertama ialah memandu sejauh hingga ke Mempis, Tennessee, tetapi oleh sebab masaalah di lebuhraya I-30 awal tadi, tidaklah sampai ke Mempis.  Malam itu kami bermalam di Hampton Inn, Arkansas.


Tarikh:  Sabtu 17hhb Oktober, 2015

Hari ini kami mulakan perjalanan hari kedua dari Utara Arkansas di mana kami bermalam tadi.  Cuaca pagi ini dingin 50 degree farenheit, kena pakai baju panas.  Laluan yang kami ambil dari sini ialah Lebuhraya I-40.  Pak Long kata, kita tidak perlu pandu kereta macam kilat.  Baguslah, dapat tengok suasana tempat lebih jelas dan selesa.  Yerlah, ada kala itu, Pak Long pandu kereta laju, yang nampak hanyalah "blur" bergerak!

Di utara Arkansas kelihatan banyak ladang kapas yang memutih bak salji mekar di pohon.  Ada ladang yang kapasnya sudah diketam dari pohon dan ada yang masih di pokok.  Kebanyakan peladang di daerah ini sudah bersedia untuk musim sejuk yang mendatang.   Akhirnya kami sampai juga di Mempis, Tennessee seawal 10.00 pagi.  Pak Long berhasrat mengimbas kembali kenangan silamnya di Mempis dengan melalui kawasan dan lorong-lorong lama di situ.  Menurut Pak Long suatu ketika dahulu kawasan itu penduduk hidup aman dan bersih.  Sekarang sudah jadi "The Obama land".  Suasana jelas kelihatan suram tiada seri.  Penduduk di situ seolah-olah tidak kesah dengan keadaan tempat mereka menjadi sarang dunia dadah dan pelacuran.  Kemiskinan mencenkam hidup.  Ruginya, dan inilah kesudahannya kalau seseorang ketua negara hanya mementingkan kuasa berserta dendam membara kepada peristiwa yang sudah berkurun lalu.  Yang menjadi mangsa dan merugikan adalah rakyat jelata.  Keharmonian rakyat putih dan hitam berpecah dan bermusuhan...  

Perjalanan kami teruskan menuju ke Columbus, Kentucky melalui Lebuhraya I-51.  Di sini suasana indah sekali.  Tiada gangguan dan kerosakan ciptaan Ilahi. Kawasan terjaga dengan baik.  Pohon-pohon rendang tinggi menjolok langit.  Dedaun sudah mula bertukar warna dari hijau subur kepada kekuningan emas dan merah.  Di jalanan kelihatan beberapa "flea market", ada yang luas kawasannya dan ada juga kawasan yang kecil.  "Flea Market" ialah pasar lambak yang biasa ada di Malaysia.  Bezanya di Amerika ini, flea market dibuat secara besar-besaran terutama setiap hujung minggu atau bulan.  Mereka menjual pelbagai barang baru dan lama dengan harga yang lebih murah. Selain itu kami juga lalu di kawasan perkilangan-perkilangan gula dan membuat ice cream Bryer yang popular dengan ice cream klondike.  Sedap bukan main ice cream klondike ini.  Makan dua mangkok sahaja sudah boleh debabkan badan!  

Sampai di daerah Columbus, sekali lagi Pak Long berhasrat melihat kembali tempat-tempat lama yang pernah dilalui dalam sejarah hidupnya.  Lantas kami terus ke Columbus-Belmont State Park yang letaknya di pinggir sungai terpanjang di Amerika iaitu Sungai Mississippi.  Taman ini memang cantik, mempunyai sejarah silam tentang peperangan civil di mana sebuah musium kecil menyimpan segal pakta mengenainya.  Kawasannya berbukit-bukit kecil terjaga rapi. Memang Mak Long suka di sini, sudah beberapa kali Pak Long bawa datang ke situ.  Di taman ini juga memperingatkan kesah dan sejarah lama orang-orang "Red Indian"..."Trails of Tears" di mana ada kaitan keturunan Pak Long.


Sungai Mississippi


Meriam lama
Columbus-Belmont State Park

"Trails of Tears" -  ialah peristiwa penderitaan dan pembunuhan untuk menghapuskan puak orang-orang Red Indian penduduk asal tanah Amerika (Native American).  Dalam sejarah "Indian Removal Act of 1830", puak-puak Indian termasuklah puak-puak Cherokee, Muscogee, Seminole, Chickasaw dan Choctaw dipaksa dan dihalau keluar dari tanah tumpah darah mereka di tenggara Amerika ke suatu tempat lain.  Mereka yang berdegil akan dibunuh tanpa belas kasihan.  Nanti insya Allah Mak Long ingin bercerita tentang peristiwa pedih ini. 


Satu dari lorong kecil di Wickliffe

Daerah Columbus ini adalah tempat Pak Long dibesarkan.  Kampung halamannya ialah Wickliffe tidak jauh dari Bandaraya Paducha.  Kali ini apabila berada di tempat ini Pak Long semacam banyak mengingati serta merindui tempat asalnya.  Tidak jemu dia bercerita tentang zaman kanak-kanaknya dahulu.  Tambahan pula kami sudah dekat sangat dengan perkampungannya maka Mak Long cadangkan kami singgah sebentar di situ.  Dia setuju...  Indah, tenang keadaan kampung itu.  Tiada kesibukan lalu lintas.  Jalanraya bengkang bengkok menyerupai lorong kecil, ada yang hanya muat-muat untuk sebuah kereta lalu sahaja.  Apabila berselisihan kedua-dua kenderaan kena salah seorang berhenti memberi laluan.



Rumah Putih
Wickliffe, Kentucky

Gambar di atas ialah rumah lama datuk Pak Long.  Keluarga namakan Rumah Putih.  Di situlah Pak Long dibesarkan oleh datuk dan neneknya hingga umur Pak Long meningkat 16 tahun.  Pak Long cerita rumah tersebut sudah terlalu tua.. Dulu-dulu rumah itu tiada bekalan api letrik dan tiada bekalan air paip.  Musim sejuk bahan pemanas dalam rumah menggunakan kayu api kemudian arang batu.  Bekalan air pula melalui perigi pam.  Tandas dan bilik air juga di luar rumah.  Kini Rumah Putih kosong tiada penghuni lagi walau masih utuh dan bersih.

Kami singgah di rumah anak sulung sepupunya Angela.  Rumah Angnela pula berhadapan dengan Rumah Putih.  Mak Long pun kurang faham cara panggilan dan pangkat susur-galur omputeh.  Kalau tidak silap bagi kita di Malaysia, anak adik beradik atau anak sepupu terdekat digelar anak saudara.  Tetapi di sini anak sepupu  pun dipanggi "cousin" atau sepupu bukan anak saudara.  Angela sungguh terkejut dengan kedatangan kami yang tidak diduga, tetapi nyata kegembiraan dan kemeseraan terselah di wajahnya menyambut kami.  Ketika kami sampai ia sedang membersihkan laman rumahnya, maka wanita berambut perang itu tidaklah bermekap seperti selalu setiap kali kami bertemu bersamanya.  Cuaca sejuk, kami dipersilakan ke dalam rumah "trailer" (sejenis rumah pasang siap).  Mesin penghawa panas sudah sedia dipasang memanaskan badan yang terasa kesejukan dari luar.

Rancak Angela bercerita itu dan ini cuba memberi kabar berita dahulu dan terkini hingga tidak sedar masa berlalu begitu pantas.  Beberapa kali ia memujuk kami agar tidur semalam di rumahnya, tidak puas bertemu sekejap sahaja.  Pak Long memberi alasan kami sudah membuat tempahan bilik di destinasi seterusnya dan berjanji kami akan datang lagi tahun hadapan menemuinya.  Memang pun kami ada rancangan untuk menziarah keluarga tahun hadapan.  Pada hal kami belum pun berbuat begitu.. aduhaiii..

Kami bertolak dari rumah Angela sudah hampir pukul lima setengah petang.  Apabila masuk musim luruh waktu siang semakin pendek, waktu malam pula semakin panjang sementara cuaca mulai sejuk dan sejuk!.  Waktu di sini lebih awal satu jam dari waktu Texas.  Apabila kami sampai di Bandar Luisville, Kentucky kami perlu mencari bilik untuk malam itu.  Kami singgah di Hampton Inn, tetapi kami batalkan hasrat untuk bermalam di situ disebabkan terlalu ramai sangat penghuni yang kebanyakannya dari pemain-pemain bola (American football).  Kesudahannya kami bermalam di Best Western Hotel di bandar La Grange, Kentucky beberapa puluh batu jauhnya di utara Bandar Luisville.  Kami keletihan masing-masing tidak berminat untuk makan malam.


Tarikh:  Ahad - 18hb Oktober, 2015

Amboi sejuknya pagi hari ini, menggelatok bibir, tengok catatan cuaca hanya 29 degree.  "Frost" - embun pagi memutih beku menyelubungi atap bangunan, kereta dan bumi.... Matahari belum sedia menjonggolkan diri.  Selepas sarapan jam 7:30 pagi kami bertolak meninggalkan hotel meneruskan perjalanan.  Kami berharap hari ini sekurang-kurangnya kami sampai berhampiran Canada!  Perjalanan berjalan lancar, kami berhenti hanya untuk keperluan sahaja.  

Sepanjang perjalanan sempat juga Mak Long melihat suasana negeri sebelah timur Amerika.  Seni bina rumah dan bangunan sedikit berbeza daripada yang ada di Texas.  Di sini yang paling nyata perbezaan adalah atap rumah kelihatan lebih luncup tajam.  Ini kerana mengelakkan salji turun di musim sejuk daripada beku memberatkan atas atap.  Keadaan berat demikian boleh merosakkan dan meruntuhkan atap.  Pukul 12:30 tengahari kami tiba di daerah Toledo, Ohio.  Bandaraya Toledo adalah salah satu bandaraya terbesar di Amerika.  Kami tidak singgah di situ.  Ketika dalam perjalanan  itu Mak Long terpandang sebuah bangunan mesjid besar tersergam indah.  Terlonjak hati gembira serta bersyukur melihat mesjid tersebut.  Mana tidaknya!  Susah hendak jumpa mesjid besar begitu di Amerika.  Agak-agaknya ramai umat Islam di Bandaraya Toledo.


Mesjid di Toledo, Ohio

Dari Toledo kami sudah tidak jauh untuk masuk ke Michigan dan sampai ke sana lebih kurang pukul 12:40 tengahari.

Lebuhraya I-94 North membawa kami melalui Bandaraya Detroit, Michigan seterusnya sampai ke sempadan Amerika/Canada pukul 2:30 petang.  Di sebelah kanan kelihatan Tasik Erie.  Tiada masaalah dari pihak imigresen ketika masuk ke tanah besar Canada melalui jambatan di Sungai St Clair ke Bandar Sarnia.  

Pegawai imigresen:  How are you, Sir?  What purpose do you come here, Sir?
Pak Long:  Very good, thank you.  Ooooh .... we are visiting to see Niagara Falls.

Pegawai Imigresen:  Do you bring any gun?
Pak Long:  No, Sir.

Pegawai Imigresen:  You are from Texas... No guns? Do you have guns or rifles?
Pak Long:  Yes, I have guns and rifles at home.

Pegawai Imigresen: You don't have the guns in the car? (hahaha pegawai itu cuba kelirukan Pak Long)
Pak Long:  No, I don't have guns in the car!

Pegawai Imigresen:  Have a nice visit, Sir!
Pak Long:  Thank you


Jambatan ke Canada

Dari Sarnia kami programkan GPS ke Niagara Falls dan perjalanan ke sana mengambil masa selama lebih kurang tiga jam.  Awwhhhh..... cuaca muram pula apabila kami sampai di Canada.  Suhu turun hingga ke 36 degrees.. ahhh salji turun pula lebat!  Sejuk ooo....


Sarnia, Canada - Salji 

Kami sampai ke Niagara Falls lebih kurang pukul 6:30 petang.  Bagus juga GPS walaupun dia gagap!  Pak Long tidak buat tempahan bilik hotel.  Kami main berhenti dan singgah sahaja hotel yang paling dekat dengan Niagara Falls.... Hotel The Oaks.  Sibuk juga nampaknya di hotel itu.  Ramai pelancung dari Jepun datang dan tinggal di hotel tersebut. Kami terus sahaja ke meja penyambut tamu:



Penyambut Tetamu:  Hello, Sir.  What can I do for you?

Pak Long:  Need a room tonight.. 


Penyambut Tetamu:  Yes, we have rooms.  King or queen, Sir?
Pak Long:  Do you have a room facing the falls?

Penyambut Tetamu:  Yes, we do have one left and it is $200.00 nett + $20.00 for parking a night.  Would like to see the room first?
Pak Long:  You are charging an old man for parking too? .. And yes we'd like to see the room, please.  
(Pak Long berseloroh dengan penyambut tetamu hahaha) 

Kami dibawa ke tingkat dua belas melihat bilik yang dimaksutkan oleh penyambut tetamu.  Mak Long suka bilik "suite" itu, betul-betul menghadap air terjun.  Bilik selesa, tub mandi jaquzi berbentuk hati terletak dalam bilik tidur sekali.  Cermin mengeliling tempat mandi tersebut.  Hmmm...  Pak Long setuju dengan bilik suite kerana Mak Long dah suka.  Hahaha nak tahu, penyambut tetamu itu turunkan harga bilik ke $150.00 semalam dan tanpa bayaran parking.  Kami menginap selama dua malam.  Urusniaga adalah dalam dollar Canada, lebih murah dari dollar Amerika.  Lagi pun harga bilik hotel di Canada juga lebih murah harganya.



Peta Niagara Falls (dari google)

Niagara Falls atau Air Terjun Niagara mengandungi dua buah air terjun besar terletak di Sungai Niagara.   Sungai Niagara menjadi sempadan antarabangsa antara New York, USA dan Ontario, Canada.  American Falls terletak di sebelah Amerika dan Canada atau Horseshoe Falls terletak di sebelah Canada.  Di sebelah kanan American Falls pula terletak sebuah lagi air terjun yang lebih kecil yang dipanggil Bridal Veil Falls.  Goat Island pula terletak antara American Falls dan Horseshoe Falls.

Ketika masih di bangku sekolah rendah lagi Mak Long pernah dengar tentang air terjun itu.  Arwah Cikgu Said ada bercerita berkenaan kecantikan Niagara Falls dalam pelajaran Ilmu Alam.  Memang sangat teringin untuk melihat dengan mata kepala sendiri tetapi simpan dalam hati sahaja.  Tidak sangka pula Mak Long ditakdirkan bermastautin di negara orang ... USA.  



Gambar Panurama
American Falls sebelah kiri  (USA)
Horseshoe Falls sebelah kanan, (Canada)


Pada hari pertama di Niagara Falls, selepas berihat seketika kami turun menilau-nilau kawasan di situ.  Besar juga bandarnya, lengohlah juga kaki melangkah.  Malamnya Mak Long macam jakun pula tidak jemu-jemu asik duduk melihat keindahan air terjun.  Waktu malam lampu berwarna warni bersileh ganti  menyuluh mewarnakan air terjun hingga ke pagi.  Indah pada pandangan tidak terkata melihat dan menikmati ciptaan Allah yang sempurna segala.


Rainbow Bridge


Rainbow Bridge sebuah jembatan penyambung antara USA dan Canada.


Pelangi di Niagara Falls

Senja di Niagara Falls


Waktu Subuh di Niagara Falls


Selepas Subuh di Niagara Falls


Pontoon Boat hampir air terjun

Banyak pontoon boat membawa pelancung di Sungai Niagara untuk melihat dan mengalami air terjun lebih dekat lagi.  Mak Long tidak berminat naik pontoon boat...sejuk, tambah percikan air terjun dan angin kuat tidak tahan Mak Long...kang demam pula hihihi....



Niagara Falls (American Falls) sebelah Amerika

Kami berpeluang turun ke bawah tanah dengan lif khas kemudian berjalan kaki melalui terowong di mana pemandu pelawat membawa kami di belakang air terjun Horseshoe Falls.  Kami diberi baju hujan plastik berwarna kuning untuk melindungi dari percikan air terjun yang kuat. Di situ air terjun dengan pantas bersama dengan angin seperti ribut lajunya.  Walaupun pakai baju hujan, basah juga Mak Long.  Camera pun basah... sayang video yang Mak Long ambil tidak boleh di muat-turun di sini.  Sesiapa yang boleh ajar Mak Long muat-turunkan video amatlah dialukan....




Di belakang Niagara Falls

Pemandangan dari sipi belakang Niagara Falls

Pada hari kedua, pagi-pagi lagi kami sudah bersedia, tidak sabar-sabar hendak turun ke bawa.  Kami berjalan menyusur pinggir air terjun.  Deruan air terjun kuat dan jelas kedengaran.  Percikan gerimis dari air terjun juga terasa dan melembabkan pakaian.  Sebelum itu kami ke Skylon Tower yang tidak jauh jaraknya dengan hotel kami menginap.  Skylon Tower ialah menara pemerhatian melihat arah sebahagian American Falls, New York, dan sebahagian besar Horseshoe Falls, Ontario dari sebelah Canada.  Di menara itu menyediakan pusat hiburan, pusat beli belah dan sebuah restauran berpusing.  Siapa yang berminat untuk menjamu selera di situ diperlukan membuat tempahan terlebih awal.


Skylon Tower

Tengah hari itu kami pula makan di sebuah restauran dalam bangunan Information Centre menghadap air terjun, sebelum kami turun ke bawah tanah melihat di belakang air terjun.  Sedap pula makanan yang dihidangkan, ikan trout (sejenis ikan air tawar) bakar dengan mentega dan semangkok besar salad.  Pak Long tidak suka makan salad...makan rumput katanya.  Jadi dia gantikan dengan kentang goreng!   Kalau makan macam ini dengan menghadap ke air terjun cantik itu setiap hari, boleh gemok gedempol agaknya Mak Long....  Untuk balik ke hotel kami kena naik keretapi panjat bukit sekejap.. tiket sehala hanya $2.50 seorang.

Pak Long sudah kepenatan gamaknya, terlena pulak.  Apabila dia sedar, Mak Long suarakan hendak turun berjalan ke bangunan lama yang kelihatan dari bilik kami.  Pak Long tidak benarkan pergi sorang-sorang....hihihi sayang juga dia ek!  Hendak tidak hendak kena juga Pak Long temankan berjalan kaki ke situ.  Aduh..  Jauh juga berjalan, terasa penat ditambah dengan kesejukan tiupan angin yang kuat.  Dalam hati Mak Long berasa nyesal pula, tetapi hati lebih kuat hendak ke tempat itu.

Rupa-rupanya ada dua tiga bangunan lama yang sudah tidak digunakan lagi.  Satu daripadanya ialah bangunan "power house" jana letrik.  Cantik seni bina bangunanya tetapi sayang ia tidak digunakan lagi.  Letaknya betul-betul di pinggir Sungai Niagara di mana beberapa empangan dibina.

Sebenarnya Mak Long ada membuat video tentang lawatan ini tetapi entahlah tidak pandai dan tidak dapat hendak dimuat-turunkan di sini.  Rugi betullah....



Power house dari sisi


Power House dari hadapan


Satu dari Empangan Power House






















Wednesday, October 21, 2015

Nota Percutian Akhir 2015



Assalamualaikum,

Kami berdua sedang dalam perjalanan jalan-jalan meliputi Niagara Falls dan sebahagian timur Amerika.  Insya Allah nanti turunkan gambar-gambar dan cerita bila terluang.



Niagara Falls, Canada















Tuesday, October 13, 2015

Nota Alahan - (Allergy)

Assalamualaikum,

Alahan atau allergy dalam bahasa Inggeris.  Pernahkah anda mengalami alahan?  Ada beberapa jenis alahan yang menyebabkan seseorang itu mengalami alahan.  Ada orang alah bila memakan makanan laut, kacang, buah-buahan dan lain-lain.  Ada alahan pula bila terkena percikan getah sesuatu pokok pada kulit badan seperti terkena getah mempelam menyebabkan kulit mendapat kegatalan, bengkak, perit membuat kulit kudis.  Ada alahan boleh membawa maut sekiranya tidak mendapat rawatan segera.  Umpamanya alahan memakan makanan laut lazimnya seperti ketam, udang dan sotong juga kacang tanah.  Alahan ini bertindak menyekat pernafasan seseorang yang mengalaminya.  Alahan dengan bulu binatang seperti bulu kucing boleh membuat seseorang itu mengidap asma.

Setiap kali bertukar musim bunga dan musim luruh Mak Long mengalami alahan.  Di Malaysia, apabila musim durian atau mangga berbunga Mak Long dapat alahan.  Di Amerika pula Mak Long mendapat alahan dari pokok cedar dan bunga rumput "rag" (Ragweed).  Ragweed pula ada beberapa jenis dan banyak tumbuh melata di Texas.  Pokok cedar banyak di sekeling rumah dan kawasan kami.  Tahun ini paling teruk rasanya.  Yalah umur semakin jauh ke hujung, maka lagi mudah segala penyakit suka datang menghampiri.  Alahan yang dialami menyekat Mak Long dari membuat kerja-kerja luar rumah.  Setiap kali keluar sahaja mulalah gejala datang meyerang - mata berair serta gatal, seluruh muka berasa gatal pula.  Bila masuk rumah, ok pulak!  Waktu-waktu macam ini habuk dalam rumah pun boleh buat hal...  Semua ini buat Mak Long manjalah, tidak boleh bersihkan rumah, hehehehe Pak Long kena buatlah!  Bermacam jenis ubat untuk melawan alahan sudah Mak Long telan.  Semua lali tidak berkesan.  Jumpa doktor!


Ragweed (Rumput Rag)

Pokok Cedar

Lihatlah betapa banyaknya pokok cedar di belakang rumah kami.  Mana tidaknya buat Mak Long alah....



Pokok Cedar

Apakah yang berlaku pada tubuh anda apabila mengalami alahan?

Immune system dalam tubuh kita mengenal pasti alahan sebagai penceroboh atau perosak, dan ia melawan dan memeranginya dengan mengeluarkan beberapa kimia dalam badan, antaranya dinamakan "histamine".  Phasa awal untuk histamine melawan alahan, ia menyebabkan beberapa gejala atau symptom seperti pesakit:

Bersin
Sempit pernafasan hidung
Mata berair dan gatal
Berhingus cair
Kulit, tekak berasa gatal

Debunga yang berterbangan di udara sekiranya masuk kedalam mata membuat mata berair dan gatal-gatal.  Apabila ini terjadi, bagi anda yang menggunakan contact len hendaklah membersihkan mata dengan titisan air mata palsu (eye drops).  Debunga akan melekat pada contact len membuat keperitan dan sakit pada mata.

Alahan, demam atau virus demam sesema?

Gejala atau symptom ketiga-tiga penyakit ini agak sukar juga untuk dibezakan kerana gejalanya mirip sama.  Alahan mempunyai gejala lebih kuat dari virus demam dan virus demam sesema dan kepastian hanya doktor yang dapat membantu menentukan.

Gejala Alahan:

Hidung berhingus cair
Gejala di kala musim bunga atau musim gugur
Gejala akan berlaku lebih dari sepuluh hari
Kegatalan pada mata, muka, tekak dan hidung
Bersin 
Gejala sepanjang tahunan
Letih

Gejala virus demam dan demam sesema:

Demam
Sakit tekak
Berhingus pekat
Batuk
Badan berasa sejuk-sejuk
Sakit-sakit badan
Letih

Walau apa sekali pun sekiranya apabila kita berasa tidak sihat hendaklah bertemu doktor untuk mendapat rawatan.




Sunday, October 11, 2015

Nota Burung Kelicap (Hummingbird)

Assalamualaikum,


Dari catatan (Lewat Ogos):


Burung Kelicap

Cacatan cuaca yang sentiasa tergantung di dinding rumah hari ini memanjat hingga 105 degree (40.6 celcius).  Panas Oo...  Panas terik serta kering.....tidak berpeluh walaupun terasa panas membakar. Siang dan malam sama sahaja rasa panasnya.  Penghawa dingin dua puluh empat jam sentiasa dibuka.  Masuk waktu subuh barulah nyaman cuaca sedikit hinggalah matahari keluar semula di awal pagi hari. Tidak lama lagi pusingan cuaca akan bertukar ganti.  Musim luruh yang bakal tiba dinantikan dengan kesyukuran.  Ia pusingan musim yang cantik dan indah; kebanyakan dedaun bertukar rupa berwarna warni. Sebelah malam setelah semua  jadual harian selesai, kami gemar duduk-duduk bersembang di luar bahagian belakang berandar rumah dengan kipas berputar laju macam hendak tercabut dari siling!  Rasa berangin sikit..  Sengaja tidak pasang lampu kerana suka gelap begitu boleh nampak bintang cerah di langit.  Tiada nyamok mengganggu kami.  Ada potongan tembikai yang sudah dipotong di dalam mangkok baru sahaja dikeluarkan dari peti sejuk.  Tabur garam halus sedikit. Hmmmm .... Best juga!

Pak Long bangun terus masuk ke garage.  Tidak lama kemudian datang semula ke meja dan berkata, "Come, I need your help!!".  

Mak Long bangun cepat-cepat mengekurinya dari belakang ke garage.  Apa hal agaknya ek?  Laa hai... rupanya ada seekor burung kelicap (hummingbird) sesat sedang terbang berpusing-pusing dalam garage.  Tidak tertuju pintu hendak keluar agaknya?  Pintu itu kan terbuka besar boleh lalu kereta!  Pintu besar garage sudah dibuka luas tetapi si kelicap tidak mahu keluar jua.  Tidak nampak atau apa agaknya!?  Hari pula sudah gelap di luar.  Lama-lama akhirnya ia berhenti terbang dan hinggap di daun pintu.  Ekor kecilnya nampak mengeletar, takutkah atau kepenatankah...?  Mesti berasa kedua-dua sekali agaknya!  Pak Long ambil tangga dan cuba menhalaunya keluar sementara Mak Long cuba mengarahkannya hala ke pintu dengan penyapu.  Kelicap terbang keluar garage tetapi tidak terus keluar ke laman, malah terbang berlegar-legar di bumbung garage kereta bahagian luar mengelilingi lampu.  Aduhai, sekejap dan pantas sekali kelicap masuk semula ke dalam garage utama terus terjelepuk ke lantai simen..

Mak Long dekati kelicap itu, keras, tidak bergerak lagi seperti sudah mati.  Kena kejutan sakit jantungkah dia?!  Perlahan-lahan dengan cermat Mak Long kaup kelicap dengan kedua belah tapak tangan.  Perhatikan dengan teliti... betulkah si kenit ini sudah mati?  Tiada tindak balas bila diusik sedikit..  Sedihnya hati, kelicap mungkin mati keletihan kehilangan tenaga!  Pak Long bantu carikan sesuatu bekas kecil untuk isikan air manisan yang memang sentiasa ada dalam botol berisi air manisan untuk burung kelicap, mungkin kelicap boleh menyedut sedikit air memberi tenaga. Ya, Pak Long dapat tudung botol..isikan air manisan di situ.  Kelicap dibaringkan di lantai berdekatan dengan tudung botol berisi air manisan tadi.  Mak Long titikkan setitik air manisan di hujung muncungnya.  Kedua-dua matanya terbuka besar tidak berkelip dan tiada sebarang riaksi...!





Sedihnya hati Mak Long, melihat burung kelicap...  sambil berdoa agar ia tidak mati dan agar ia bangun terbang semula kepangkuan keluarganya.  Hilang rasa selera hendak makan tembikai.....




Pak Long kembali duduk bersama dan pujuk Mak Long, mungkin burung itu kepenatan dan pengsan sahaja katanya.  Ya mungkin..!

Sejam kemudian ketika Mak Long sudah masuk ke dalam rumah, Pak Long panggil "Dear!  Come!  Come quick!... you won't believe this!!!"  Mak Long berlari menghampiri Pak Long yang sedang berdiri hampir dengan tempat burung itu diletakkan tadi.  Di mana burung?  

Pak Long kata dia hanya usik burung itu perlahan-lahan di kepalanya dan titikkan air manisan ke hujung muncung.  Tetiba burung tersebut bergerak dan terus terbang dari tangan Pak Long.  Alhamdulillah, burung kelicap hidup...


Hummingbird (Kelicap)

Keesokan paginya, seperti biasa kami minum pagi di tempat yang sama di beranda bahagian belakang rumah.  Seekor burung kelicap terbang rendah berdekatan di mana kami duduk sambil mengeluarkan bunyi buzzzz buzzzz gitu...  Bulunya berwarna hijau berkilat seperti yang malam tadi itu.  Adakah ia burung yang sama telah kami selamatkan malam tadi?  Entahlah...


Botol penuh dengan air manisan untuk humingbird














 

Nota Camping

Assalamualaikum,

Dari catatan:

Minggu ini mencatat minggu bersejarah buat diri Mak Long.  Kenapa?  Mak Long ni walau sudah tua begini tidak pernah mengalami suasana riadah berkemah (camping).  Masak makanan di luar dan tidur di kemah.  Zaman persekolahan dulu pasukan pandu puteri (girl guide) adalah buat acara "campfire" di padang sekolah tetapi tidaklah berpeluang tidur di kemah.  Bila api dipadamkan, kami kemas dan bersihkan kawasan kemudian semua jalan menonong balik ke asrama untuk tidur!  Di college pun tidak pernah menyertai berkemah.

Pak Long sudah lama... bertahun, sebut berniat hendak bawak Mak Long camping.  Setiap kali ada ura-ura hendak camping ada sahaja yang membuatkan riadah itu bantut.  Di negara ini aktiviti bercamping dan berkelah tidak mengenal umur.  Tua muda sama sahaja bagi yang gemar dengan hidup aktif di luar.  Tidaklah rasa malu kami yang sudah tua-tua ini bercamping.  Dahulu kami tinggal di Freeport, Texas iaitu kawasan yang berdekatan dengan perairan Telok Mexico tetapi kami tidak pernah pun lakukannya.  Rumah kami terletak dalam kawasan terusan di mana setiap rumah menghadap aliran terusan.  Air dari terusan mengalir terus ke Telok Mexico, jadi bila teluk tersebut pasang dan surut ia menguasai keadaan air di terusan.  Pantai di Telok Mexico itu dinamakan Surfside Beach dan pantainya cantik sesuai untuk camping.  Suatu malam gelap kami bentang "sleeping bag" di atas pelantar (deck) di anjung rumah kami.  Konon hendak tidur di bawah langit yang bergemerlapan dengan bintang.  Cuaca pun sangat baik dengan tiupan bayu dari terusan (canal) yang nyaman.  Tidak sampai sepuluh minit kami terpaksa gulung tikar!  Nyamok besar-besar mengetip dan menyerang kami.  Bantut niat kami hahaha... bintat-bintat merah dapatlah di badan!  Gambar di bawah adalah rumah lama kami di Freeport, Texas.  Di bawah pelantar adalah tempat kami gantung boat guna untuk memancing di laut dalam.


Pelantar (deck) rumah kami

Kali ini kami buat percubaan camping hahaha tak jauh.....!  Belakang rumah sahaja.  Pak Long beli sebuah kemah muat untuk lima orang, boleh tahan luas juga dalamnya.  Sampai sahaja di rumah Pak Long pasanglah, Mak Long tolong sikit-sikit.  Malam pertama bersemangat betul hendak tidur dalam kemah .... pukul tiga pagi Pak Long cabut keluar, "sakit belakang", katanya.  Mak Long pun ikut masuk dalam rumah sambung tidur hingga subuh.  Malam kedua kami cuba lagi.  Petang itu, sekembalinya kami dari melawat sahabat sakit di rumah pemulihan kami beli sebiji tilam angin pula.  Best juga... pukul tiga pagi kami terjaga.. tilam baru itu bucur!  Habis angin keluar.  Leper melepek atas rumput ...!  Kami pulangkan balik tilam itu dan tukar yang lain.



Camping belakang rumah

Pada malam minggu itu kami sudah bersedia untuk bercamping betul-betul.  Diramalkan juga malam itu bulan mengambang 14% lebih besar dari biasa kemudian dituruti oleh gerhana pula.  Tapak camping pun tidaklah jauh, kira-kira 3 batu sahaja dari rumah, di tepian Canyon Lake.  Canyon Lake Camping Site ini diuruskan oleh pihak US Army Corps of Engineers di mana ia menyediakan tapak-tapak khas untuk bercamping sahaja terbuka kepada awam.  Pembayaran sewa tempat berkemah murah sahaja hanya USD12.00 semalam.  Kemudahan asas disediakan di tapak perkemahan seperti bilik air, paip air untuk memasak dan minum berhampiran serta "picnic table" atau meja berkelah di setiap satu spot berkemah yang disediakan.  Mudah sangat untuk berwuduk.  Sayangnya pusat camping ini ditutup setiap musim luruh dan musim sejuk,  Ia dibuka semula pada musim bunga dan musim panas.  Kebetulan malam itu adalah malam terakhir dibuka untuk awam bagi musim panas tahun ini.

Senja di Canyon Lake

Kami dirikan kemah bersama.  Mudah sahaja kerjanya.  Setelah siap Pak Long turunkan basikal dan letak di sebelah kemah.  Sudah siap kami pulang ke rumah mengumpulkan keperluan untuk malam nanti.  Oleh kerana sekarang masih lagi dalam larangan membakar - "Burn Ban In Effect" berkuat kuasa.., tidak bolehlah kami hendak memasak masa bercamping.  Mak Long sediakan sandwich tuna dan buah untuk makan malam cukuplah.  Selepas asar baharulah kami ke tempat perkemahan.  Seronok juga tempat ini, memang sesuai untuk beriadah samaada sendirian atau pun berkumpulan.


Tapak Camping, Canyon Lake

Rupa-rupanya malam itu hanya kami berdua sahaja berkemah hahaha.... Walaupun hujung minggu, tidak ramai orang datang..mungkin esoknya hari Isnin ada yang kena pergi kerja dan anak-anak pula kena ke sekolah.  Malam itu Mak Long dengar ponggok woot.. woot... woot..... Tidak rasa takut, Pak Long ada...

Aktiviti kami petang itu ialah kayuh basikal mengelilingi sebahagian semenanjong tasik.  Macam-macam jenis burung dan binatang kami jumpa.  Antaranya rusa, burung blue jay dan armadillo.  Armadillo ialah sejenis binatang mamalia apabila keselamatannya tergugat kerana bertemu musuh atau diganggu ia akan menggulung diri jadi bentuk bola.  Adakah ia sama jenis tenggiling seperti yang terdapat di Malaysia?   Mungkinlah....  Kulitnya bersisik keras, pengelihatan matanya tidak jelas. Armadilla menggunakan gerakan naluri untuk mengetahui keadaan sekeliling, pantas juga berlari binatang ini dan memakan serangga seperti semut, ulat dan lain-lain.  Hidup dalam lubang (borrow) biasanya di bawah pokok, di tepi tempat-tempat lurah seperti di sungai, tasik dan parit.



Armadillo (Tenggiling?)

Armadillo


Sebelum Isyak kami berjalan-jalan di persekitaran berdekatan menikmati kedamaian dan ketenangan di tepian tasik.  Air di tasik sejuk dan sangat jernih.  Boleh juga berenang tetapi mesti berhati-hati kerana banyak batu-batu dan lubang besar di dalamnya.  Ikan dalam gambar di bawah ialah "bass".. sudah bernyawa ikan.  Agaknya dibuang oleh pengail nun...  Goreng berkunyit sedap tu!


Ikan beryawa ikan

Malangnya malam itu awan tebal melindungi bulan ketika gerhana.  Nampaklah cahaya bulan merah menyala sekejap kemudian terus kegelapan. 

Walau pun hanya kami di situ, selepas bulan gerhana tammat, beberapa "pontoon boat" lalu.  Omputeh suka berparty, berseronok dan minum-minum.  Di dalam pontoon boat" mereka melalak, ketawa riang ditambah bingat dari bunyi muzik kuat yang mereka dendangkan.  "Pontoon boat" ialah sejenis boat berbentuk seperti kotak seperti gambar di bawah.  Di atasnya barisan kerusi untuk duduk.  Biasanya pontoon boat tidak laju.  Pak Long sudah berangan untuk memilik satu daripadanya.



Pontoon boat (gambar dari google)

Lena pulak  tidur dalam kemah di tepi tasik di bawah cahaya bulan mengambang terang.  Cuaca pun sangat baik.  Sedar-sedar sudah pukul lima pagi.  Bulan masih mengambang cantik di sebelah barat.  Gambar yang Mak Long ambil tidak mampu melakarkan seindah yang kami lihat dengan mata sendiri.  Setiap saat bertukar rupa dan bentuk..  Air paip terasa sejuknya ketika berwuduk.  Pak Long tidak galakkan guna air dari tasik kerana masih gelap.


Bulan mengambang awal pagi

Pukul lima suku pagi

Pukul lima setengah lima pagi

Pukul lima empat puluh lima pagi


Pukul enam pagi

Sementara di sebelah timur pula, pemandangan tidak mengeciwakan mata dan hati.  Matahari mula muncul dengan kehebatan yang tiada bandingan.  Allah hu indah dan besarnya ciptaan Mu....


Pukul enam suku pagi

Pukul enam setengah pagi

Lihatlah sudah banyak burung-burung bangun dan berterbangan sedia mencari rezeki untuk mengisi perut yang telah kosong di sepanjang malam.  Pusingan hidup bermula lagi......


Hari dah siang

Apabila hari siang kami kemas-kemas barang dan balik ke rumah.  Nampak tak dalam gambar di atas itu ada sebuah sampan kecil.  Lelaki itu sedang memeriksa jala yang dipasangnya petang semalam.  Seronok juga penggelaman camping.  Pak Long cakap, bila kami pergi ke mana-mana dalam masa terdekat nanti bolehlah bawa kemah itu.  Guna apabila ada tempat sesuai untuk camping.  
























Sunday, September 27, 2015

Nota Salam Apa Khabar?

Assalamualaikum,

Apa khabar semua?  Sekian lama Mak Long tidak membuat sebarang coretan di sini.  Lantaran kudrat dan kesihatan tidak mengizinkan berbuat demikian.  Kudrat untuk berfikir menjadi tumpul dan letih.  Namun mampu juga melawat ke beberapa blog kegemaran walau pun melalui beberapa masaalah untuk membaca.  Pengelihatan mata Mak Long tidak berapa baik buat beberapa minggu ini.  Mata terasa amat kering serta perit seperti ada habuk disebabkan penyakit kering mata.  Sudah lama mengidap penyakit ini sejak muda-muda lagi cuma tidak diindahkan kerana menganggap ianya perkara biasa-biasa sahaja.  Segera kami bertemu dengan doktor pakar mata yang merawat kami.  Rupanya Mak Long sudah ketinggalan satu temu-janji dengan Dr Singer ketika berada di Malaysia dahulu dan  kami lupa pula hendak membuat tarikh yang baharu walau sudah diberi peringatan oleh jururawat klinik.  Bising jugalah jururawat itu.. 

Alhamdulillah kini sudah beransur baik dan sangat bersyukur mendapat khidmat seorang pakar doktor mata yang berpengelaman luas dalam bidang yang diceburinya.  Dr Singer sentiasa memahami masaalah pesakitnya.  




Pohon Apple