Pages

Sunday, June 19, 2016

Ramadhan Di Rantauan

Assalamualaikum,


Senja di Canyon Lake

Alhamdulillah ibadah Ramadhan sudah di pertengahan bulan.  Idil-Fitri pula sudah hendak sampai ke hadapan.  Cepatnya masa berlalu.  Menunaikan ibadah puasa di rantauan banyak ujian setiap hari.  Pertama ialah keadaan cuaca.  Berpuasa ketika dalam musim panas seperti tahun ini masanya panjang... mulai dari jam 5:14 pagi hinggalah jam 8:40 malam.  Alhamdulillah setakat ini walaupun masa itu panjang tidaklah membebankan.  Hanya perlu berhati-hati agar tidak lama di luar di bawah matahari mencarak panas terik hingga mencecah 99 degree farenheit atau 37.2 celsius (semalam).  Cuaca panas yang terik boleh memudaratkan kesihatan terutama bagi yang sudah berumur seperti Mak Long.  Boleh dapat pitam dan sakit kepala berdenyut-denyut.  Kerja-kerja di luar rumah harus dipendekkan.  Kami gunakan waktu pagi untuk melakukan kerja-kerja itu.  Untuk berbuka Mak Long lebih gemar minuman panas dan juadah yang paling mudah dan sedikit.  Almaklum enjin perut tidak perlu makanan yang berat-berat.  Yang sedihnya di daerah kami tiada masjid dan surau untuk berkumpul menjalani ibadah waktu malam di bulan puasa.  Semua ibadah dikerjakan di rumah sahaja. 

Berpuasa dalam musim sejuk lain pula.  Waktu berpuasa sangat pendek.  Biasanya bermula dari jam 6:00 pagi hingga jam 4:45 petang sudah berbuka.  Yang tidak tahanya pula ialah menahan kesejukan walau pun tubuh dibalut dengan pakaian tebal.  Badan kita apabila perut kosong tiada lemak untuk dibakar membuat berasa sejuk yang lebihnya.    

Teringat juga suasana kemeriahan di kampung di bulan Ramadhan.  Teringat pengat pisang sekali sekala pun timbul juga.  Hendak makannya hanya semangkok kecil, hendak dibuat sedikit tidak berbaloi!  Tetapi itu hanya perkara kecil!  Dugaan kecil!  

Hari ini lain ceritanya.  Entah kenapa teringin pula hendak makan berlaukkan sayur keladi masak asam rebus.  Emak Mak Long selalu masak sayur keladi masak asam rebus.  Mujurlah Mak Long ada tanam pokok keladi sudah hampir tiga tahun lamanya.  Benih pokok keladi yang Mak Long seludup masuk ke Amerika, I say man ... nasib tidak kena tangkap oleh pihak kastam masa bawak balik dulu.  Bila fikir balik hai berani betul mak tua ini.  Mak Long bawa dua biji isi kecil sahaja.  Bila ditanam ia hidup dan subur pula.  Musim sejuk semua mati tetapi isinya masih terlindung dari cuaca sejuk di dalam bumi.  Apabila musim bunga isi keladi di dalam bumi bercambah kembali.  Betapa kuasa Allah ... yang hidup dimatikan, yang mati dihidupkan, ia berpusing mengikut giliran.

Keladi dari Malaysia

Pokok kunyit pun begitu juga.  Kunyit sudah lebih lima tahun ditanam.  Alahmdulillah menjadi dia.  Begitulah musim sejuh semua mati.  Musim bunga bercambah cantik.  Bila musim panas kenalah disiram selalu supaya tidak layu.


Gulai keladi sedang mendidih



Gulai keladi kita

Itulah dia lauk Mak Long berbuka puasa semalam.  Bahan masakan hampir semua hasil tanaman sendiri dan dari kampung.  Pak Long tidak teringin masakan macam itu, maka rugilah dia tidak mengerti kenikmatan orang kampung.  Pak Long lebih suka makan dadeh perisa strawberry dan blueberry serta buah-buahan.  Nasi pun Pak Long tidak pandang dalam bulan puasa nih!  

Selamat berpuasa sahabat-sahabat di sana terutama orang Malaysia! 














10 comments:

  1. Assalamu'alaikum dan sela,at berpuasa Maklong.

    Alhamdulillah, benih dari malaysia hidup subur di bumi sana...segalanya milik Allah juga, kan? :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam Kakcik.
      Sebenarnya banyak tumbuhan di Malaysia yang boleh hidup di bumi Texas. Pokok pisang dan betik pun boleh hidup dan berbuah. Cuma nak rajin sikit mencuba jenis tumbuhan yang boleh hidup.

      Delete
  2. assalamualaikum maklong
    dapat pulak maklong tanam keladi tu dah tumbuh dgn suburnya
    memang sedap nampak gulaikeladi tu
    saya pun suka keladi macam tu
    biarlah paklong tak suka sbb tak boleh paksa orang ikut selera kita kan maklong

    ReplyDelete
  3. Replies
    1. Salam Ramadhan jua buat adik suka suka. Sudah buat kuih raya?

      Delete
  4. As salam Mak Long.
    Selamat berpuasa. Semoga Allah permudahkan Mak Long & Pak Long menjalani ibadah puasa di sana..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam Kasih,
      Terima kasih. Salam Ramadhan buat Kasih dan keluarga muga dipermudahkan segala urusan ibadah.

      Delete
  5. Assalamualaikum Mak Long dari Ampang....

    Sebenarnya saya dah naik kematu pikir apa nak makan untuk buka puasa. Pasar Ramadhan tu saya kurang sikit sebab selalu jadi pembaziran. Makanan saya selalunya tak banyak. Cuma satu lauk dan satu sayur. Habis....tu pon payah!

    Mak Long, u take care....selamat berpuasa....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam Uncle,
      Uncle, toksah fikir-fikir sangat apa nak makan dalam bulan puasa. Kita biasakan makan aje apa-apa yang ada asalkan tidak membazir. Samalah, kadang-kadang satu lauk ajer.. Kadang-kadang pengabisnya roti cecah air milo panas pun ada Mak Long buat hihihi...

      Dah beli baju raya warna sedondon ke Uncle?

      Delete
  6. Sebenarnya seingat saya kami tak pernah sedondon...setiap tahun berterabur. 2 pasang baju melayu saya waktu kahwin dulu masih elok. Selalunya yang tu lah yang saya pakai....saya buat 'seluar getah' tu yang sampai sekarang boleh pakai lagi! Hahahahahaha!

    ReplyDelete