Pages

Tuesday, April 5, 2016

Kerusi, Meja Buruk Lagi

Assalamualaikum,


Catatan dari beberapa bulan lalu:

Selepas zohor kami ke Bastrop suatu daerah kira-kira 70 batu jauhnya dari rumah kami.  Pak Long unjukkan satu alamat pada Mak Long untuk masukan data ke dalam minah GPS.  Pak Long buat temu-janji dengan seseorang di sana untuk melihat kerusi, meja besi lama untuk dijual yang diiklankan di laman Craiglist.  Pak Long cakap kalau Mak Long tidak suka, tidak perlu beli.  Tengok sahaja!  Ikutkan sahaja.  Sebenarnya sudah lebih dari cukup kerusi, meja besi buruk yang sudah ada di sekeliling rumah.  Kami selamat sampai di alamat rumah itu di mana pasangan suami isteri itu telah menunggu.  Ramah orangnya, mereka menyambut kami dengan mesera seperti sudah kenal lama.  Kami diperlihatkan pada barangan yang dijanjikan.  Pak Long tanya pendapat Mak Long samaada jadikah kerusi meja itu untuk dibeli.  Mak Long anggok sahaja, yang berminat sangat Pak Longlah.  Mak Long tidak pun kesah, samada jadi beli atau pun tidak.  Kerja-kerja tukang baik-pulih barang besi mahu pun kayu Mak Long tidak minat sangat.  Harga asal yang diminta adalah $190.00.  Pak Long minta kurangkan harga memandangakan kerusi meja itu sudah lama dan berkarat di sana sini serta kayunya pun mulai reput memerlukan baik-pulih yang remeh.  "Do you take $150.00?"  Lama si isteri merenung suaminya... "I agree whatever you think best.....", akhirnya dia berkata.   "Ok...I take USD160.00", kata si suami.


Kerusi besi buruk

"Deal!!", laju jawab Pak Long sambil tersengeh lebar.  Mereka bantu memuatkan belian kami iaitu sebuat meja, dua kerusi dan satu kerusi panjang ke dalam truck.  Berat bukan main benda alah itu. 



Cast iron chairs


Memang unik reka-benuk kerusi dan meja besi itu, terutama mejanya.  Keliling meja dihiasi dengan bunga rose begitu juga tempat bersandar kerusinya.



Meja besi

Sebelum sampai rumah kami singgah di gedung Lowes iaitu sebuah "home depot".  Pak Long perlu beberapa tin cat warna hitam untuk memulakan projek baru.  
  


Kerja baik-pulih bermula

Asyik dan tekun


Siap satu kerusi



Hasil dari kerja baik-pulih

Hampir dua minggu lebih Pak Long mengerjakan projeknya.  Tekun dan amat halus kerjanya.  Dia buka satu persatu meja dan kerusi itu, bertarai merata tempat belakang garage.  Bahagian kayunya digosok dengan "sand paper" sampai licin.  Kemudian disapu cat kayu.  Bahagian besinya begitu juga, dibersihkan dahulu kemudian disapu cat hitam.  Apabila kerja siap Pak Long nampak puas hati dengan hasil titik peluhnya itu.  

Sebelum membeli dan pindah di kediaman kami sekarang, kami berhasrat membeli rumah di kawasan Bastrop.  Kami berpendapat tempat tersebut amat ideal untuk tempat tinggal apabila Pak Long bersara nanti.  Tanah bukit dipenuhi dengan kehijauan pokok-pokok pine yang tegak dan tinggi menjolok langit.  Design rumah-rumah di situ juga sesuai tidak terlalu kecil dan tidak terlalu besar.  Sebenarnya kami telah pun memilih sebuah rumah yang kami fikir sesuai cuma satu masaalahnya "garage" rumah tersebut tidak memenuhi cintarasa Pak Long.  Pak Long perlu garage besar!  Lagi besar garage itu lagi bagus pada Pak Long.  Sahabat kami Lisa sebagai "realtor" atau agen membeli/menjual rumah berkerja keras membantu kami.  Tetapi saat-saat akhir kami tidak jadi beli rumah di Bastrop.  

Tahun 2012 iaitu dua tahun selepas kami pindah di Canyon Lake, Texas menghadapi kemarau panjang terutama di kawasan kami Texas Hill Country dan Bastrop.  Air di beberapa batang sungai menjadi kering, tanaman tidak menjadi dan tumbuhan banyak yang mati.  Air di Tasik Canyon susut ke aras yang getir sekali.  Suhu setiap hari mencecah antara 105-113 degrees Fahrenheit... panas terik sangat!  Bastrop telah mendapat bencana alam yang teruk dan menyedihkan.  Hampir tiga suku dari kawasan Bastrop dilanda kebakaran.  Beratus buah rumah dan kedai habis runtuh rentong menyembah bumi.   Ketika bencana berlaku kebanyakan penghuni-penghuni rumah keluar pergi kerja.  Mereka pulang, rumah sudah tiada.  Ramai yang hanya tinggal sehelai sepinggang.  Rumah yang kami pilih juga tidak terlindung.....  Kami bersyukur Allah telah menghindarkan kami dari musibah yang ditakuti.  Alhamdulillah.....

Ketika kami di situ, masih jelas kesan-kesan kebakaran kelihatan.  Tunggul pokok pine yang terbakar masih ada.  Kini rumah-rumah yang terbakar itu sudah dibangunkan dengan pembinaah rumah-rumah baharu yang lagi hebat, cantik dan moden.  Betapa cepatnya kawasan itu membangun semula.














  

1 comment:

  1. rajin pak long...

    betul tu maklong...kadang ada perkara yg kita tak.minat..tapi memikirkan hobi suami...turutkan saje..janji suami happy

    ReplyDelete